KUALA LUMPUR -- Khabar duka menutup hari terakhir tahun 2020 apabila kes baharu COVID-19 mencatat jumlah tertinggi, iaitu 2,525 kes sejak setahun pandemik itu melanda negara.
Lebih mendukacitakan lapan nyawa lagi diragut virus tanpa sempadan ini, menjadikan jumlah maut setakat ini seramai 471 orang.
Dengan perkembangan terbaharu ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kes positif di Malaysia mencecah 113,010 kes, dengan jumlah kes aktif pula adalah 23,598 kes.
“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,205 kes, daripada jumlah itu sebanyak 995 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.
“Ini diikuti oleh Sabah sebanyak 299 kes dan Melaka sebanyak 239 kes,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Selain itu beliau turut memaklumkan terdapat sebanyak 1,481 kes sembuh, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya adalah sebanyak 88,941 kes.
Setakat ini terdapat 131 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 60 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Memperincikan kes mengikut negeri, selain Selangor, Sabah dan Melaka, Kuala Lumpur mencatat 222 kes, Johor (194), Pulau Pinang (92), Negeri Sembilan (78) Labuan (63) Kelantan (37), Perak (33), Kedah (24), Terengganu (17) Pahang (15), Putrajaya (5) dan Sarawak 2 kes.
Manakala bagi kes kematian ia melibatkan lima lelaki dan tiga wanita warganegara yang berusia 39 hingga 79 tahun di Johor, Selangor, Kelantan, Negeri Sembilan dan Kedah. #sumber
BENTONG - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail terbukti sentiasa memberi perhatian kepada petugas barisan hadapan apabila bertindak segera menyalurkan sumbangan pelitup muka dan keperluan makanan kepada petugas barisan hadapan yang kini digerakkan ke Penjara Bentong.
Sumbangan kira-kira12,000 pelitup muka dan keperluan makanan kepada lebih 200 petugas barisan hadapan yang ditugaskan menangai kluster baharu itu disampaikan oleh Pegawai Khas Menteri Besar, Datuk Jasvir Singh Ram Singh yang juga Ahli Majlis Perbandaran Bentong di Kompleks Penjara Bentong hari ini.
Jasvir berkata, sumbangan tersebut membuktikan Menteri Besar Pahang begitu mengambil berat dan prihatin terhadap barisan hadapan yang berhadapan risiko dan tugas berterusan dalam menangani pandemik Covid-19.
"Jadi sebagai bantuan awal Menteri Besar menyumbangkan pelitup muka dan juga keperluan makanan yang diperlukan petugas-petugas barisan hadapan yang ditempatkan di Penjara Bentong.
"Keperluan petugas barisan hadapan akan terus diberi perhatian dari semasa ke semasa bagi memastikan mereka dalam menjalankan tugas dengan lancar dan selamat,"katanya selepas menyampaikan sumbangan di Kompleks Penjara Bentong di sini, hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Polis daerah, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar.
Kluster Tembok Mempaga yang melibatkan Penjara Bentong merekodkan 288 kes sehingga semalam.
Susulan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang mengarahkan semua petugas dan ahli keluarga Penjara Bentong dikuarantin sehingga selesai disaring dan disahkan negatif.
Menurut Jasvir, pengorbanan petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus dalam membanteras pandemik Covid-19 sentiasa dihargai oleh Menteri Besar.
Katanya, sumbangan segera itu diharap dapat membantu petugas barisan hadapan yang bertugas dan pihaknya akan terus menyalurkan bantuan yang diperlukan.
"Saya mengucapkan terima kasih juga kepada semua pihak yang terlibat termasuk Ketua Polis Daerah, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar yang begitu komited bersama-sama menangani penularan wabak Covid-19 di daerah ini,"ujarnya. #sumber
BENTONG - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman, menafikan dakwaan dia akan melangsungkan perkahwinan pada tahun depan.
“Tak betul. Anyway, happy new year (selamat tahun baru),” jawabnya ringkas.
Young Syefura berkata demikian ketika ditanya mengenai hantaran Facebook adik kepada Azmin Ali, Ummi Hafilda Ali, yang mengucapkan tahniah kepadanya kerana didakwa bakal melangsungkan perkahwinan tahun depan.
Menurut hantaran itu, Young Syefura yang lebih dikenali sebagai Rara dikatakan bakal bertunang dengan jejaka tersebut pada Jan 2021 manakala majlis resepsi akan diadakan pada Mac.
Ummi turut memuat naik gambar pasangan tersebut.
Bagaimanapun hantaran tersebut telah dipadam tidak berapa lama kemudian.
Untuk rekod, Rara, 31, pernah mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Masyur, seorang pengurus pelaburan pada 24 Sept 2016.
Namun pasangan tersebut bercerai talak satu pada 7 Mac 2019. Kedua-dua mereka tidak dikurniakan cahaya mata. #sumber
KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) mungkin tidak dapat menarik sokongan Melayu sekiranya tidak bekerjasama dengannya pada pilihan raya umum akan datang.
Beliau mengambil contoh pembabitannya dengan PH pada 2018, yang katanya membantu menguatkan sokongan orang Melayu kepada pembangkang, lalu membawa kepada kemenangan ke atas Barisan Nasional.
“Saya bantu pembangkang menang (pada PRU-14) kerana saya tarik sokongan orang Melayu. Anda tahu DAP, yang tidak pernah peroleh lebih daripada 18 kerusi, dapat 42 kerusi disebabkan sokongan orang Melayu yang saya tarik itu.
“Jadi, kalau saya diketepikan, anda akan mengetepikan sokongan orang Melayu. Anda akan kalah,” katanya dalam temubual dengan China Press.
Pakatan Rakyat (PR) memenangi 89 kerusi pada PRU-13 dengan 38 daripadanya dimenangi DAP. Namun, dengan penyertaan PPBM, gabungan itu menang 113 kerusi Parlimen dalam kempen 2018.
Walaupun sokongan orang Melayu kepada PH membantu parti-parti komponennya bersaing di kawasan-kawasan ramai pengundi Melayu, ia tidak dapat menembusi sepenuhnya nusa teras Melayu, dengan PPBM hanya menang 13 kerusi.
Sementara itu, Mahathir berkata mahu bekerjasama dengan Anwar Ibrahim, tetapi ketua pembangkang itu menolak semua cadangannya, walaupun DAP dan Amanah menunjukkan minat.
“Apa yang saya lakukan padanya? Saya yang membebaskannya (dari penjara), malah melepaskan jawatan walaupun belum tiba masanya.
“Saya tidak menghalangnya, saya mahu bekerjasama dengannya. Saya beritahu: ‘Baiklah, jika anda tidak sukakan saya, beri tempoh enam bulan kerana tanpa sokongan Melayu, pembangkang tidak boleh menang.’”
Kerajaan PH tumbang selepas hanya 22 bulan pada awal 2020 selepas Mahathir meletak jawatan perdana menteri, yang membawa kepada PPBM keluar daripada gabungan itu, selain beberapa ahli politik berhijrah ke parti lain.
Mahathir akhirnya disingkirkan dari parti itu sebelum membentuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Mahathir berkata, Anwar mesti dapatkan sokongan secukupnya terlebih dahulu jika mahu menjadi perdana menteri.
“Namun lihatlah pada rekod, berapa kali beliau dakwa ada sokongan? Sebaliknya, beliau tidak mempunyai sokongan,” kata Mahathir.
Beliau berkata, walaupun Anwar mendakwa mempunyai bilangan mencukupi untuk membentuk kerajaan pada September, Ahli Parlimen Port Dickson itu jelas berkata tidak akan menerimanya.
Desas-desus mengenai gabungan parti pembangkang yang besar kembali diperkatakan sejak beberapa minggu ini.
Amanah menyeru suatu pakatan yang menggabungkan semua pembangkang, manakala Pemuda PKR Selangor terbuka membincangkan kemungkinan itu, dengan syarat tidak termasuk Mahathir.
Anak Mahathir, Mukhriz, yang juga presiden penaja Pejuang, pada Selasa berkata ahli politik muda patut ditampilkan pada pilihan raya umum akan datang, bukannya bekas perdana menteri berusia 95 tahun itu. #sumber
KUANTAN - Menjelang PRU-15 tidak lama lagi, semakin kuat kedengaran suara akar umbi UMNO menolak calon PPBM bertanding ke kerusi Parlimen Indera Mahkota.
Bukan sahaja dikalangan veteran parti, kini ia hangat diperkatakan dikalangan golongan muda.
Tinjauan PDO ke beberapa buah lokasi di sekitar Indera Mahkota, mendapati suara penolakan itu lebih banyak dari yang menyokong dan bersetuju.
"PPBM pengkhianat, calon mereka menang atas tiket PKR pada PRU-14 lalu. Makanya kerusi apabila parlimen di bubarkan, kerusi ini adalah hak UMNO. Kami yang perlu letakkan calon, bukan PPBM," kata nentizen Angah Nasrullah, seorang penyokong kuat UMNO Indera Mahkota.
"UMNO sudah bekerja lama di sini, walau pun kami kalah tiga penggal. Orang kami tak khianat, terus berjuang membela nasib rakyat ke seluruk pelusuk parlimen Indera Mahkota.
"Mana mungkin kami benarkan orang lain semudah itu untuk mengambil alih kerusi, bertanding dan kami turun padang berkempen untuk memastikan kemenangan pengkhianat," dakwa Angah lagi.
Difahamkan, secara rasminya kerusi Parlimen Indera Mahkota yang hangat sekarang ini akan ditandingi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atas tiket Perikatan Nasional (PN).
Maka secara automatik, Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Komunikasi Dan Multimedia akan dikekalkan untuk bertanding.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, beliau mendakwa kemungkinan besar akan ada calon bebas bertanding akibat tidak berpuas hati dengan tindakan pucuk pimpinan parti itu.
"Saya takut andai bebas yang menang gara-gara protes rakyat yang keliru dengan situasi politik hari ini. UMNO sudah bekerja lama di Parlimen Indera Mahkota, berbagai program telah dibuat sejak dulu lagi walau pun kami kalah, tak mungkin kami hanya jadi petugas sahaja pada PRU-15 ini. Sudah pasti kami mahu calon kami bertanding," katanya lagi.
Tambahan pula dakwa Angah, UMNO ada ahli yang ramai dan cawangan yang banyak. Maka, ia mudah untuk memperkuatkan jentera parti berbanding PPBM yang baru setahung jagung dikenali rakyat kawasan ini.
"Saya menyokong penuh kalau Ketua Umno Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid menjadi calon, tapi kalau orang lain..minta maaflah. Kami tak akan turun padang membantu. Pandai-pandailah buat kerja sendiri," tambah beliau.
Pada PRU-14 lalu, Saifuddin menang dengan majoriti besar 10,950 undi. Beliau yang mewakili PKR (PH) mendapat 28,578 undi menewaskan calon UMNO (BN) Datuk Dr Johan Mat Sah yang mendapat 17,628 undi dan calon PAS, Nasrudin Hassan Tantawi yang mendapat 17,515 undi.
Melihat kepada senario semasa ini, maka agak panas juga iklim politik di Parlimen Indera Mahkota sebenarnya. Rata-rata netizen dan pengamal media sosial UMNO mengeluarkan kenyataan yang sama iaitu 'Tolak PPBM'.
Soalnya, adakah ia berbaloi? Jika PPBM kalah dan bebas juga kalah, maka yang menang sudah pastilah PKR iaitu pembangkang. Namun, apa pun hakikatnya PPBM perlu bekerja keras untuk meyakinkan rakyat bahawa mereka lebih layak bertanding di kerusi Parlimen Indera Mahkota PRU-15 ini.
Sama-sama kita nantikan episod seterusnya adengan ini. Apakah UMNO juga akan meletakkan calon mereka, sama macam apa yang berlalu di beberapa DUN ketika Pilihanraya Negeri Sabah baru-baru ini. #PahangDaily
KUANTAN - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kini sedang giat turun padang untuk membela dan menyelesaikan isu-isu rakyat di kawasan Parlimen Kuantan.
Ini memberi petanda, PPBM kemungkinan besar akan meletakkan calon mereka bertanding di kerusi itu pada PRU-15 nanti.
Difahamkan, mantan Pengerusi PKR Pahang, Zakaria Abd Hamid antara nama-nama yang disebut bakal dipertaruhkan oleh Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Kuantan
Beliau yang juga merupakan Pengerusi FINAS, dan Pengerusi NGO Penggerak Komuniti Negara (PKN) Pahang, adalah orang kanan Azmin Ali, Menteri Kanan Ekonomi sekarang.
NGO terbabit, kini begitu aktif diseluruh pelusuk Parlimen Kuantan sekarang ini. Desas-desus ini diperkuatkan lagi dengan tindakan Zakaria menyertai PPBM secara rasmi di bahagian Kuantan baru-baru ini.
Zakaria sebelum ini, aktif berpolitik di Parlimen Bera. Bahkan beliau hampir menewaskan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada PRU-14 lalu.
Ismail hanya menang dengan majoriti 2,311 undi sahaja dalam pertembungan tiga penjuru antara BN, PKR dan PAS.
Zakaria mendapat 18,449 undi, sementara Ismail 20,760 dan calon PAS, Musaniff Abd Rahman hanya mendapat 8,096 undi. Agak jauh juga Zakaria meninggalkan undi PAS ketika itu.
Ini bermakna, beliau mempunyai pengaruh yang kuat di Bera, tambahan pula dia adalah anak jadi Felda Bukit Mendi yang berada dalam kawasan parlimen Bera itu sendiri.
Jika benar, Zakaria mahu meninggal Bera maka ia memberi tamparan cukup hebat kepada BN di sini. Apatah lagi ada ura-ura, Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Datuk Sri Ab Hamid Nazahar dikhabarkan bakal menjadi calon untuk merampas kerusi Parlimen Kuantan dari tangan PKR.
Namun, berdasarkan rekod dua penggal terdahulu UMNO mencuba namun tewas ditangan Fuziah Salleh. Maka ada harapan PPBM pula mencuba pada kali ini.
Dengan ahli yang ramai, jentera yang hebat dan cawangan di merata tempat BN sepatutnya menang pada PRU-14 yang lalu. Namun, mungkin ketika itu MCA yang bertanding.
Tambahan pula undi yang memenangkan Fuziah sejak dua penggal lalu, iaitu dari kalangan pengundi PAS sudah berpecah apabila parti itu juga meletakkan calon mereka iaitu Sulaiman Md Derus.
Namun, Fuziah tetap menang dengan majoriti undi yang agak besar iaitu 8,111 undi pada PRU-14 lalu. Beliau mendapat 22,807 undi.
Sementara itu calon BN, Wong Kean Hwee hanya mendapat 13,667 dibelakang calon PAS yang mendapat 14,698 undi.
Andaian pengundi BN jika undi PAS dan BN diambil kira maka mereka akan menang kerana ada lebih dari 28 ribu undi pada PRU-14 lalu juga wajar diambilkira.
Apa pun, siapa yang bakal bertanding di kerusi Parlimen Kuantan hanya pucuk pimpinan sahaja yang akan menentukannya. Sanggupkah UMNO benarkan PPBM meletakkan calon mereka? Atau akan ada calon bebas dari kalangan ahli UMNO jika situasi ini berlaku?
Jika dilihat kepada suasana politik semasa, memang sesuai Zakaria menentang Fuziah di Parlimen Kuantan kali ini. Fuziah kini adalah Pengerusi PKR Pahang, dan Zakaria mantan.
Umum mengetahui, Fuziah adalah orang kuat Anwar Ibrahim, dan Zakaria orang Azmin Ali. Makanya, jika mereka berlawan pada PRU15 ini, sudah pasti pertembungan yang cukup sengit akan berlaku.
Cuma, adakah ahli akar umbi UMNO bersetuju dengan semua ini. Sama-sama kita nantikan adengan panas seterusnya. Kedua-dua pihak kini sedang sibuk bekerja menyantuni rakyat untuk persediaan menjelang PRU-15.
Soalnya, benarkah Zakaria bakal menjadi calon PN yang akan bertanding di kerusi Parlimen Kuantan?. #PahangDaily
KUALA LUMPUR - PAS tidak mahu mana-mana pihak mempersoalkan sama ada mereka benar-benar serius mahu menjadi sebahagian daripada Muafakat Nasional (MN).
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata partinya berpegang teguh kepada Piagam MN yang dimeterai bersama UMNO pada 14 September 2019 bagi mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.
“Mana-mana pihak tidak perlu meminta PAS memilih sama ada hendak bersama MN atau tidak kerana PAS adalah antara watak utama yang merangka dan berusaha menubuhkan MN atas dasar penyatuan ummah.
“MN perlu dijadikan amalan musyawarah dalam memperkasakan agenda Islam, Melayu, Bumiputera khususnya dan rakyat Malaysia amnya secara tuntas dalam kerangka Perlembagaan negara demi membangunkan negara inklusif, sejahtera dan menjamin keadilan sosial merentasi batas warna kulit mahupun anutan,” katanya dalam kenyataan.
Justeru, Takiyuddin berpandangan MN bukanlah milik eksklusif sesuatu parti atau kelompok, sebaliknya harus dibuka kepada semua kalangan yang cintakan perpaduan, keharmonian dan keadilan dalam negara ini.
Katanya lagi, dengan mengekalkan komitmen dalam agenda besar MN, tiada suatu pun halangan yang dikenakan kepada UMNO daripada kekal bersama Barisan Nasional (BN) mahupun PAS dari menyertai mana-mana gabungan atau kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Apa yang penting adalah gabungan UMNO dan PAS boleh malah perlu bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai cita-cita yang sama dalam menghadapi PRU-15 dengan suatu persefahaman yang jitu khususnya tiada pertembungan sesama sendiri yang menguntungkan pihak lain.
“PAS amat yakin bagi mencapai cita-cita dan hasrat ini semua pihak perlu meneroka jalan damai dan saling menerima serta hormat menghormati, bukan sebaliknya,” katanya. #sumber
CALIFORNIA - Seorang jururawat berusia 45 tahun di California, Amerika Syarikat (AS) didapati positif COVID-19 seminggu selepas beliau menerima vaksin coronavirus Pfizer Inc, menurut laporan ABC News.
Matthew W, seorang jururawat bertugas di dua hospital tempatan berbeza, dalam catatan di Facebook, berkata pada 18 Disember lalu beliau menerima suntikan vaksin Pfizer.
Beliau memberitahu ABC News bahawa lengannya sakit selama sehari tetapi tidak mengalami sebarang kesan sampingan yang lain.
Namun, enam hari kemudian pada malam Krismas, jururawat itu jatuh sakit selepas bekerja di unit COVID-19 dan dilaporkan menggigil selain mengalami sakit otot serta keletihan.
Beliau kemudiannya mendapatkan rawatan dan ujian COVID-19 di hospital berkenaan serta didapati positif sehari selepas sambutan Krismas, kata laporan itu.
Pakar penyakit berjangkit Pusat Kesihatan Keluarga di San Diego, Christian Ramers.
Pakar penyakit berjangkit dengan Pusat Kesihatan Keluarga di San Diego, Christian Ramers, memberitahu wakil ABC News bahawa senario itu tidak dijangka.
"Kami dimaklumkan bahawa dalam ujian klinikal, vaksin mengambil masa sekitar 10 hingga 14 hari untuk mula memberi perlindungan.
"Dos pertama yang diberikan hanya sekitar 50 peratus dan anda memerlukan dos kedua itu, yang memberi perlindungan sehingga 95 peratus," katanya. #sumber
LIPIS - Program Cakna Rakyat Bersama ADUN PAS Pahang yang menjelajah ke seluruh negeri ini untuk menjengah kehidupan penduduk telah singgah ke FELCRA Sungai Temau, di sini baru-baru ini.
Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar yang juga ADUN Tanjung Lumpur mengetuai program ini memimpin semua ADUN PAS Pahang menyantuni hal ehwal kehidupan warga negeri ini.
Beliau semasa menemui penduduk dan menyampaikan sumbangan kepada kalangan yang perlu dibantu telah diiringi Yang DiPertua PAS Kawasan Lipis, Roslan Zainal Al-Ahmadi serta Ahli Jawatankuasa PAS Lipis.
Malah, kehadiran Ustaz Rosli ke tanah rancangan penempatan pertanian ini juga diraikan dengan penyertaan ADUN Padang Tengku, Dato’ Mustafa Long, sekali gus mengukuhkan ikatan Muafakat Nasional di sini.
Dalam pada itu Roslan berkata, beliau berharap usaha bersama Muafakat Nasional terus dipereratkan dalam menjejaki permasalahan penduduk setempat yang perlu diberikan perhatian sewajarnya.
Program tersebut turut diceriakan dengan bantuan Ahli-ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Lipis menyerahkan sumbangan dari rumah ke rumah dan beramah mesra dengan warga FELCRA Sungai Temau.
Ketua Muslimat PAS Lipis, Khatijah Jamal berharap inisiatif seperti ini mendekatkan PAS dan Muafakat Nasional kepada penduduk terutama golongan perlu dibantu, lebih-lebih lagi dalam situasi ekonomi era COVID-19.
Menurut beliau, keadaan COVID-19 ketika ini menyebabkan ramai penduduk terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu dalam usaha kerajaan mengekang penularan pandemik tersebut.
Hadir sama adalah Timbalan Ketua Muslimat PAS Lipis, Hasanah Ludin dan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Kesejahteraan Kampung FELCRA Sungai Temau, Siti Salwani Ramli. #sumber
KUANTAN - Pihak berkuasa negeri Pahang diminta mengambil langkah bagi mengekang penularan perkara-perkara tidak diingini dan boleh menjejaskan keharmonian berikutan isu kartel daging haram import ketika ini.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu berkata, isu ini sangat sensitif di mana kini semakin serius berdasarkan berita-berita yang dibongkarkan dan tersebar, sekali gus menuntut kesahihannya disahkan segera.
“Kerana daging halal ini merupakan penggunaan atau barangan harian di kedai-kedai makan yang menggunakan daging import sebegini menjadi hidangan kepada ramai pelanggan. Jadi kesahihan isu ini menuntut tindakan serius agensi terbabit.
“Juga perlu supaya segera umumkan syarikat-syarikat yang telah dikenal pasti tidak menggunakan daging yang halal. Kerana jenama yang digunakan di pasaran sekarang ini terlalu banyak, dan juga dibimbangi menjejaskan pihak lain yang tidak bersalah.
“Ada pengilang tempatan yang beroperasi dengan baik pematuhan halal boleh terkena kesan negatif jika kartel terlibat tidak didedahkan ke pengetahuan awam segera,” ujar beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Lajnah Pekerja dan Kepenggunaan PAS Pusat.
Tambah beliau, penguatkuasaan untuk memantau dan melakukan pemeriksaan dan penyeliaan ke atas semua pemegang permit import daging-daging daripada luar untuk pasaran negeri Pahang juga perlu segera dijalankan.
“Kita khususkan kepada negeri Pahang ini sebab kita rasa bahawa ianya tidak dapat lari, Pahang tak dapat lari daripada terlibat dengan isu kartel daging halal ini. Jadi, kita mengharapkan ianya diberikan satu perhatian yang sangat serius, tindakan segera dan tegas diambil.
“Ini untuk melindungi umat Islam terutama sekali daripada terpedaya dengan isu halal dan haramnya daging yang mereka gunakan setiap hari. Dan melindungi juga sensitiviti daripada pengusaha-pengusaha tempatan yang tulen,” ujarnya.
Isu didedahkan media sejak sebulan lalu ini telah disusuli dengan beberapa lagi siri laporan pembongkaran dan reaksi dari banyak pihak, namun bercampur baur dengan berita tokok tambah dan palsu dimainkan terutama di media sosial.
Kian menggempar dan melaratkan kebimbangan awam apabila tular muat naik yang tidak sahih dan disensasikan bersama kisah-kisah rekaan atau ulangan cerita lama hingga meletuskan kesangsian besar terhadap jualan daging.
Bagaimanapun, kesan isu ini telah menampilkan agensi-agensi terlibat dalam rantaian perbekalan daging ini memberi jaminan dan kesediaan meningkatkan kawal selia yang ketat atas perkara berkaitan. #sumber
TEMERLOH - Muslimat PAS Negeri Pahang telah menyampaikan sumbangan berjumlah RM43,000 kepada Muslimat PAS Malaysia bagi tujuan pembangunan Kompleks Pendidikan Saidatina Aisyah, baru-baru ini.
Serahan cek dana itu disampaikan Pengarah Akademi Pendidikan Saidatina Aisyah (APSA) Pahang, Ustazah Norzilah Husin kepada Naib Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Salamiah Mohd Nor dalam pertemuan di sini.
Pembinaan fasa pertama kompleks yang dianggarkan menelan belanja RM1 juta ini akan bermula Jun tahun depan setelah urusan berkaitan tanah diselesaikan ditapaknya di Ulu Bernam, Hulu Selangor.
Kompleks ini dihasratkan menjadi pusat pendidikan dan dakwah untuk Muslimat dan wanita Malaysia di mana bakal dilengkapi dewan serbaguna, bilik kuliah, masjid, bilik seminar, pejabat pentadbiran dan asrama.
Kegiatan utama bakal dilangsungkan di kompleks bersifat ‘one stop center’ tersebut antaranya adalah kuliah APSA dan latihan kemahiran wanita, serta pelbagai aktiviti lain termasuk hal ehwal pentadbiran Dewan Muslimat.
Dana kompleks ini telah dilancarkan pembinaannya oleh Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh dalam Muktamar Tahunan Muslimat PAS Malaysia di Kuala Lumpur, September lalu.
Bertitik tolak daripada itu, Dewan Muslimat PAS Pahang bersama APSA Pahang menyahut seruan tersebut dengan mengumpul sumbangan dalam kalangan ahli-ahli Muslimat yang bersama-sama mendukung hasrat menjayakan pembinaan kompleks ini.
Dalam kesempatan pertemuan tersebut, Ustazah Salamiah yang juga Penaung APSA Pahang telah mengingatkan mengenai mendepani cabaran dan ujian keluarga serta kerjaya di sebalik mengejar kejayaan akademik di APSA.
Seru beliau, para pelatih yang terlibat dalam program Pengajian Diploma Eksekutif Naqibat (DEN) perlu membuktikan kelahiran naqibat dengan mempunyai dan menerajui ciri-ciri ‘Alimat, Haraki dan Sufi atau ringkasnya AKIFI.
Pada ketika ini APSA Pahang beroperasi di dua lokasi iaitu Cawangan Kuantan di Taman Guru, Kuantan dan Cawangan Temerloh di Kompleks Tahfiz Al-Qardhawi, Kerdau melibatkan 38 pelatih dan lapan pensyarah.
APSA berorientasikan pentarbiyahan semi-akademik yang asalnya ditubuhkan di bawah Lajnah Tarbiyah dan Pengkaderan Muslimat PAS Malaysia, tetapi kini sebagai satu jabatan khusus untuk ahli Muslimat PAS mengikuti tempoh pengajian selama 6 semester.
Pengajian Jarak Jauh (PJJ) ini bermatlamat melahirkan muslimat berilmu, berjihad, berkorban dan bersama memimpin perubahan dari APSA yang bervisi menjadi institusi pembangun keupayaan kepimpinan muslimah berteras pembudayaan ilmu menurut Islam.
Sumbangan kepada APSA Pahang boleh dibuat menerusi Bank Islam 0606 4010 020899 atas nama Sahabat Aishah Services dan sebarang pertanyaan hubungi 011-1078 5008 (Ustazah Norzilah) atau 013-296 5723 (Nuur Afifah).
Manakala sumbangan bagi pembangunan Kompleks Pendidikan Saidatina Aisyah boleh dibuat menerusi akaun Bank Islam 1404 1010 037673 atas nama Dewan Muslimat PAS Pusat dan sebarang transaksi maklumkan ke 013-960 6242 (Dr Che Faridah). #sumber
KUANTAN - Pemuda PAS Kawasan Kuantan telah mengadakan program Ziarah Mahabah mengunjungi para penduduk dalam kalangan asnaf yang menetap di Kempadang dan Batu Tiga, di sini kelmarin.
Program dilaksanakan bagi membantu keluarga kurang berkemampuan serta kalangan penduduk yang terkesan secara langsung akibat pandemik COVID-19 sedang melanda negara ini.
Fokus dan perhatian daripada kunjungan ini adalah menyantuni mereka yang perlu dibantu terutama kalangan fakir miskin, orang kelainan upaya, pesakit, warga emas, ibu tunggal dan anak-anak yatim
Dipimpin Ketua Pemuda PAS Kuantan, Ustaz Mohd Khairul Nizam Che Mustofai, ziarah ini turut disertai Ahli-ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Kuantan serta Pemuda PAS Cawangan Taman Berjaya Permai dan Batu Tiga.
“Kami cakna dengan kesusahan dan kepayahan hidup mereka yang sangat terkesan dengan pandemik yang melanda negara sekarang dan inisiatif begini perlu diteruskan lagi,” ujar Ustaz Khairul Nizam.
Menurut beliau juga, pihaknya bersama para Pemuda PAS Cawangan-cawangan komited untuk tidak melihat kesusahan ditanggung sendirian oleh golongan ini melainkan mereka dibantu.
Selain mengambil maklum dan mengemaskini perkembangan semasa keluarga yang dikunjungi, program rutin secara berkala ini turut menyerahkan sumbangan kepada mereka. #sumber
KUALA LUMPUR - Sembilan kluster baharu COVID-19 membabitkan tempat kerja dikesan hari ini, dengan Kluster Tembok Mempaga merekodkan jumlah jangkitan harian tertinggi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Kluster Tembok Mempaga dikesan di Bentong, Pahang dan merekodkan 284 kes positif semalam.
Jumlah itu juga, katanya turut menyumbang 98 peratus daripada keseluruhan 288 kes positif COVID-19 yang direkodkan di Pahang.
Beliau memaklumkan, selain Tembok Mempaga, lapan lagi kluster baharu dikesan hari ini membabitkan Kluster Seri Lanang, Kluster Jalan Chu, Kluster Tapak Bina Awan Puteh, Kluster Integra Ikon, Kluster Jalan Satang dan Kluster Rambai.
"Kluster Seri Lanang membabitkan daerah Klang, Gombak, Kuala Selangor dan Petaling di Selangor, yang mana 173 individu dikesan positif.
"Kluster Jalan Chu pula membabitkan Lembah Pantai di sini, dengan 44 individu disahkan positif.
"Juga dikesan di Lembah Pantai, Kluster Tapak Bina Awan Puteh dengan 29 kes positif, manakala Kluster Integra Ikon di Titiwangsa membabitkan 11 kes positif," katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan Kluster Jalan Satang membabitkan daerah Titiwangsa dan Kepong, selain Hulu Langat, Klang, Petaling dan Gombak serta Bentong di Pahang sudah mengesan 30 individu positif.
"Kluster Teguli di Putatan, Sabah pula membabitkan 12 kes positif dan Kluster Rambai di Melaka Tengah dan Alor Gajah di Melaka, serta Petaling di Selangor dan Rembau di Negeri Sembilan mencatatkan 16 kes positif," katanya dalam kenyataan media, hari ini. #sumber
PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 1,870 kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu, dengan Johor mencatatkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 607 kes.
Kes di Selangor masih tinggi dengan 472 kes, diikuti Sabah dengan 208 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan kes di Johor berkaitan dengan penjara iaitu Kluster Tembok Choh yang melaporkan sebanyak 374 kes.
Sementara itu, Kuala Lumpur melaporkan 219 kes, diikuti Pulai Pinang (69), Kelantan (56), Perak (48), Pahang (48), Negeri Sembilan (34), Kedah (23), Melaka (8), Labuan (2), Terengganu (2), Sarawak dan Putrajaya masing-masing 1 kes.
Hampir semua negeri melaporkan jangkitan baharu kecuali Perlis.
Sementara itu, Hisham berkata daripada keseluruhan kes dalam tempoh 24 jam lalu, 1,868 kes adalah penularan tempatan.
Jumlah jangkitan COVID-19 yang direkodkan sehingga kini sebanyak 110,485 kes.
Ketika ini, sebanyak 22,562 mangsa sedang dirawat, dengan 131 pesakit di ICU berbanding 117 semalam dan 62 memerlukan alat bantuan pernafasan.
Enam kes kematian dilaporkan, menjadikan jumlah korban 463 orang.
Kematian membabitkan lima pesakit lelaki dan seorang perempuan, berusia antara 45 hingga 69 tahun, di mana empat di Sabah dan satu di Johor dan Selangor.
Dalam pada itu, 745 mangsa sembuh dalam tempoh sama. #sumber
PETALING JAYA: Gandingan UMNO, PAS dan PPBM tidak dapat didaftarkan di bawah Muafakat Nasional (MN) kerana nama gabungan itu telah digunakan pihak lain, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau berkata, sudah ada pihak yang mendaftarkan nama MN dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM).
“Apa pun, muafakat ini akan terus diperkasakan. MN bukan sekadar muafakat politik, sebaliknya adalah muafakat bagi penyatuan ummah,” kata beliau.
Dalam pada itu, Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah berkata, belum ada cadangan nama baru untuk gandingan tiga parti itu.
“Oleh sebab itu, kita tidak boleh nak daftar. Kalau mahu daftar, kena buat perubahan nama. Tapi buat masa ini, belum ada cadangan nama lain,” katanya.
Oktober lalu, kepimpinan UMNO dan PAS mencapai persetujuan untuk mendaftarkan MN secara rasmi dengan JPPM.
Kepimpinan dua parti itu juga bersetuju untuk PPBM pimpinan Muhyiddin Yassin menyertai MN, namun hubungan UMNO-PPBM dikatakan tegang atas beberapa isu, termasuk pengagihan kerusi dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Bagaimanapun, PAS kerap menegaskan sebarang kerjasama dengan UMNO tidak boleh meminggirkan PPBM.
PAS dan PPBM adalah parti komponen Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin. #sumber
KUALA LUMPUR -- Polis percaya kegiatan kartel daging import yang menggunakan label halal palsu melibatkan rangkaian luas serta didalangi sindiket dalam dan luar negara, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed.
Beliau berkata ia berdasarkan jumlah dan nilai rampasan serta sitaan yang terlibat sebelum ini.
"Siasatan berhubung kegiatan itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada orang awam.
“Selain itu, siasatan merangkumi pihak terlibat dalam pemerolehan, penyimpanan, pemprosesan, penyeludupan, pihak yang memanipulasi, bersubahat dan membawa masuk daging beku melalui Permit Import (AP),” katanya dalam kenyataan.
Huzir berkata setakat ini polis menerima 13 laporan daripada orang awam di seluruh negara yang gusar dengan kemunculan isu berkenaan.
Isu kartel daging import mula mendapat perhatian ramai selepas media baru-baru ini melaporkan taktik kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkus semula daging berkenaan dengan menggunakan logo halal dan menjualnya di pasaran seluruh Malaysia.
“PDRM memandang serius dan komited untuk menanganinya dengan jaringan kerjasama agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin serta Pemeriksaan Malaysia dan Jabatan Kastam,” kata Huzir.
Beliau berkata tindakan ke atas sindiket ini adalah wajar kerana ia mencetuskan kegusaran rakyat Malaysia serta menyentuh sensitiviti agama Islam.
“Sindiket ini juga mencetuskan ketidakpuasan hati dan mengancam ketenteraman dalam negara akibat perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab, menjejaskan imej negara sebagai hub halal dan memberi kesan besar kepada sektor ekonomi negara,” katanya. #sumber
KUALA NERUS -- Umat Islam mempunyai pilihan sendiri untuk tidak memakan daging import khususnya lembu sekiranya mempunyai keraguan status halal daging tersebut, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
“Sepertimana yang disebut dalam hadis, tinggalkan apa yang menjadi keraguan kepada apa yang tidak menjadi keraguan. Sebab itu saya sendiri telah pergi ke dua tempat (kilang menyimpan daging beku) dua hari lepas untuk memastikan daging import yang benar-benar ikut piawaian dan garis panduan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Mufti Perak Datuk Zamri Hashim yang dilapor menyarankan umat Islam menggunakan kuasa pengguna dengan tidak memakan daging import khususnya lembu buat sementara waktu sehingga keyakinan mengenai status halal daging terbabit diperakui sepenuhnya.
Zulkifli berkata ia merupakan pandangan dan saranan oleh Zamri sebagai satu ikhtiar atau ‘jalan berhati-hati’ yang boleh dipilih umat Islam sekiranya mereka mempunyai keraguan terhadap status halal daging import.
Bagaimanapun katanya pihak yang berkaitan dengan isu ini termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah pun memberikan penjelasan yang sebaiknya bagi meredakan keresahan dan keraguan masyarakat Islam.
Timbalan Menteri (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid dalam satu program semalam berkata tiga syarikat pengeluar daging sejuk beku terbesar iaitu Allana Group, Amroon dan Al-Aali adalah antara pembekal daging yang dijamin halal dan masyarakat Islam di negara ini tidak perlu berasa was-was dengan pembelian daging daripada tiga syarikat berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Zulkifli berkata masih terlalu awal bagi pihaknya memutuskan untuk melakukan rombakan secara besar-besaran terhadap Jakim.
“Ini terlalu awal untuk kami katakan apa-apa, saya lebih suka menambah kualiti dan kebaikan...kami akan melihat dengan lebih meluas lagi dari pelbagai aspek. Seperti yang saya katakan kita akan kerjasama dengan beberapa pihak dan kemas kini SOP (prosedur operasi standard) Jakim dan beberapa yang terkait dengan cara import daging dan pelaksanaannya. Insya-Allah kita akan tengok dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas cadangan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Majlis Perundingan Melayu Tun Hanif Omar yang dilapor mencadangkan Jakim dirombak secara besar-besaran, bertujuan untuk melantik mereka yang lebih kompeten, berkebolehan dan berintegriti untuk menerajui jabatan itu. #sumber
KUALA LUMPUR -- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca waspada peringkat kuning dengan hujan lebat dijangka berlaku di beberapa negeri, bermula esok hingga 2 Jan ini.
Ketua Pengarahnya Jailan Simon dalam satu kenyataan hari ini berkata amaran peringkat kuning di Sabah akan melibatkan kawasan pedalaman, pantai barat dan Kudat (Kota Marudu) serta Labuan, berkuat kuasa esok sehingga Khamis ini.
Beliau berkata amaran sama turut dikeluarkan di Terengganu (Marang, Dungun dan Kemaman), Pahang (Kuantan, Pekan dan Rompin) serta Johor (Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi) mulai Khamis hingga Sabtu ini selain di Kelantan dan Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu) dari Jumaat sehingga Sabtu ini.
“Dalam tempoh berkenaan, kejadian angin kencang boleh berlaku di kawasan pantai di negeri-negeri pantai timur Semenanjung dan Sabah.
“Kebanyakan kawasan di negeri-negeri pantai barat Semenanjung dan barat Sarawak dijangka mengalami kejadian ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang terutamanya pada waktu petang sehingga awal malam sekali gus berpotensi menyebabkan banjir kilat di kawasan rendah serta kerosakan kepada struktur yang tidak kukuh,” katanya.
Jailan berkata angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50km sejam dengan ombak mencapai 3.5 meter dijangka boleh berlaku di perairan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah dalam tempoh berkenaan dan keadaan itu boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai serta muara sungai kawasan terbabit. #sumber
PUTRAJAYA – Kes penularan harian Covid-19 melaporkan sebanyak 1,925 kes melibatkan 1,915 penularan tempatan dan lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor melaporkan kes harian tertinggi sebanyak 747 kes diikuti Kuala Lumpur (360) dan Pahang (288).
“Sebanyak sembilan kluster baharu dikesan iaitu Kluster Seri Lanang di Selangor serta Kluster Jalan Chu, Kluster Tapak Bina Awan Puteh, Kluster Integra Ikon dan Kluster Jalan Satang di Kuala Lumpur.
“Seterusnya ialah Kluster Tembok Mempaga di Bentong, Kluster Timbang Dayang di Kota Belud, Kluster Teguli di Sabah dan Kluster Rambai di Melaka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Noor Hisham berkata, dua lagi kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan membabitkan warganegara menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian sebanyak 457.
Pada masa sama, beliau berkata, sebanyak 1,123 kes pulih dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih adalah 86,715 setakat hari ini. #sumber
JOHOR BAHRU -- Seramai lapan individu ditahan, kerana disyaki menceroboh masuk ke kawasan Air Terjun Sungai Pelepah Kiri, Hutan Simpan Panti dekat Kota Tinggi, semalam.
Menerusi kenyataan di laman rasmi Facebook Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ), kesemua individu yang terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita itu, dikesan Bahagian Penguatkuasa Pejabat Hutan Daerah Johor Selatan dan anggota Balai Polis Batu Ampat, yang ketika itu membuat rondaan bersepadu bagi memantau aktiviti pencerobohan di hutan itu lagi.
“Hasil rondaan tersebut, pasukan rondaan telah membuat tangkapan dan semakan lapan individu disyaki telah menceroboh Air Terjun Sungai Pelepah Kiri dan kesemua mereka telah dibawa ke Balai Polis Batu Ampat untuk diambil keterangan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut kes berkenaan diambil Bahagian Penguatkuasaan dan Siasatan JPNJ dan seterusnya akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan selanjutnya dan mereka yang terbabit boleh disabitkan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 47 (1) (c) Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 Negeri Johor dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
JPNJ menyatakan jabatan itu bersama agensi penguatkuasa yang lain akan sentiasa menjalankan operasi pemantauan bersepadu, bagi memastikan aktiviti pencerobohan dan lain-lain di dalam hutan simpan kekal dapat dibendung, sekali gus mengurangkan kemalangan yang berlaku di luar pengetahuan pihak berkuasa.
JPNJ turut menasihati orang awam agar mendapatkan maklumat yang jelas berkaitan keperluan dan kaedah permohonan permit memasuki hutan simpanan kekal di Pejabat Hutan Daerah terdekat sebelum menjalankan apa-apa aktiviti. #sumber
KUANTAN -- Tidak timbul isu kenaikan harga produk pertanian dari Cameron Highlands kerana nilai sewaan tanah RM4,500 setahun tidak memberikan kesan besar kepada keuntungan petani dan peraih, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata kadar sewaan berkenaan telah dikaji dan bersesuaian dengan keadaan semasa serta tidak membebankan petani di kawasan tumpuan pelancong itu.
"Nilai RM900 sewaan bagi seekar (0.4 hektar) tanah setahun ialah kadar TOL (lesen pendudukan sementara) dan tidak termasuk cukai dan pembayaran lain, manakala nilai RM4,500 bagi seekar tanah setahun ialah pembayaran keseluruhan yang terangkum.
"Bayaran RM4,500 setahun (RM375 sebulan) ini adalah lebih rendah berbanding dengan kadar sewaan tanah persendirian sebanyak RM12,000 hingga RM14,000 bagi seekar tanah dalam masa setahun," katanya dalam catatan laman Facebook beliau hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah agensi berita asing yang mendakwa kemungkinan berlaku kenaikan harga sayur dari Cameron Highlands susulan kadar sewaan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri tersebut.
Menurut Wan Rosdy, bayaran itu juga boleh dibuat secara ansuran sebanyak empat kali dalam setahun kepada Pahang Corporation Sdn Bhd.
"Bayaran RM4,500 ini akan digunakan oleh kerajaan Pahang untuk pembangunan negeri, terutamanya dalam usaha memulihkan semula alam sekitar yang telahpun terkesan teruk oleh aktiviti pertanian yang dijalankan selama ini.
"Kaedah penyewaan 3 + 2 yang diperkenalkan ini turut juga diambil kira daripada rungutan pekebun yang mengadu bahawa kaedah penyewaan TOL sebelum ini sukar kerana mereka terpaksa memperbaharui lesen menduduki tanah tersebut setiap tahun," jelasnya.
Malah, Wan Rosdy berkata tidak timbul isu kesukaran untuk mendapat pembiayaan daripada pihak bank kerana kerajaan negeri dimaklumkan institusi perbankan seperti AgroBank dan Maybank bersetuju dengan syarat kaedah penyewaan terbaharu berkenaan.
Katanya kerajaan negeri terbuka kepada sebarang kritikan mana-mana pihak, namun sebarang pendapat dan kritikan yang diberikan haruslah bersandarkan fakta.
Pada 19 Nov lepas, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi negeri Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak dilaporkan berkata Pahang Corporation Sdn Bhd menetapkan kadar sewaan tanah pertanian sebanyak RM4,500 seekar (0.4 hektar) setahun kepada pekebun di Cameron Highlands
Menurut Mohd Soffi, seorang pekebun hanya dibenarkan menyewa tidak melebihi tiga ekar (1.2 hektar) dengan tempoh pajakan selama 10 tahun dan proses pengurusan pemberian sewa, secara keseluruhannya akan melibatkan empat fasa. #sumber
KUANTAN - Pahang mencatatkan pertambahan 11 kes Covid-19 hari ini dengan 14 kes sembuh harian. Demikian dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pahang hari ini.
Daerah Kuantan mencatatkan satu kes sembuh, Temerloh 7 kes, Bentong 5 kes dan satu kes lagi di Daerah Raub
Hanya Mukim Bentong sahaja yang masih berada dalam zon merah setakat ini.
Sementara itu lima kes baru dilaporkan di Mukim Rompin, Daerah Rompin hasil saringan kontak rapat kes 973 yang didaftarkan pada 25.12.2020 dan mempunyai kaitan dengan Kluster Ceram (Negeri Sembilan). Kesemua kes merupakan warganegara Malaysia dan mempunyai pertalian kekeluargaan. Punca jangkitan dikategorikan sebagai jangkitan tempatan.
Satu kes baru dilaporkan di Mukim Chenor, Daerah Maran hasil saringan bergejala dan mempunyai sejarah perjalanan ke zon merah (Selangor). Kes merupakan warganegara Malaysia dan punca jangkitan dikategorikan sebagai jangkitan tempatan.
Bagi Kluster Aktif pula adalah seperti berikut:
▪️ Kluster Pagar Bentong (Kes 1005-1008)
5 kes baru dilaporkan pada hari ini hasil saringan kontak rapat kes positif COVID-19. Kluster ini dilaporkan di Mukim Bentong, Daerah Bentong. Sebanyak 4 kes merupakan warganegara Malaysia dan 1 kes bukan warganegara. Kes indeks merupakan warganegara Malaysia hasil saringan OKT yang didaftarkan pada 5.12.2020. Jumlah kes dalam kluster ini adalah 18 orang.
▪️ Kluster Semambu
Tiada kes baru dilaporkan pada hari ini. Kes indeks bagi kluster ini merupakan seorang bukan warganegara hasil saringan bergejala yang didaftarkan pada 17.12.2020. Kes indeks bekerja di sektor peruncitan yang berulang alik ke zon merah. Jumlah kes positif kluster ini adalah seramai 12 kes.
▪️ Kluster Jln Genting
Tiada kes baru dilaporkan pada hari ini. Kesemua kes merupakan bukan warganegara. Seramai 1180 orang telah disaring dan 454 kes dikesan positif.
▪️ Kluster Menara Wang
Tiada kes baru dilaporkan pada hari ini. Kluster tempat kerja ini melibatkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor serta daerah Maran dan Kuantan di Negeri Pahang. Kes indeks telah didapati positif pada 17 Disember 2020 melalui saringan bergejala.
▪️ Kluster Kuala
Tiada kes baru dilaporkan pada hari ini. Jumlah kes bagi kluster ini ialah seramai 33 orang.
▪️ Kluster Atabara
Tiada kes baru dilaporkan pada hari ini. Jumlah kes bagi kluster ini ialah seramai 7 orang. Kes terakhir dilaporkan ialah pada 15.12.2020.
▪️ Kluster Inten
Tiada kes baru dilaporkan pada hari ini. Jumlah kes bagi kluster ini ialah seramai 10 orang.
Orang ramai perlu sedar bahawa virus COVID-19 ini tidak akan hilang dalam masa terdekat. Virus ini berada di mana-mana sahaja di persekitaran kita. Justeru, semua orang perlu menerima dan beradaptasi dengan situasi kehidupan ini. Budayakan amalan norma baharu untuk terus kekal sejahtera dan selamat.
Sentiasa amalkan pakai pelitup muka, jaga jarak fizikal 1 meter, jerap basuh tangan dengan sabun dan air atau guna hand sanitizer dan segera ke klinik kesihatan berhampiran jika bergejala
Dengan mematuhi SOP, risiko untuk dijangkiti COVID-19 adalah sangat rendah walaupun kes positif tersebut anda tidak kenali. #sumber
PUTRAJAYA - Sebanyak 1,594 kes baharu jangkitan COVID-19 dilaporkan hari ini dan daripada jumlah itu, tiga kes adalah kes import.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan kes itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini sebanyak 106,690 kes.
Katanya, Selangor melaporkan kes harian tertinggi dengan 697 kes baharu atau 43.7 peratus daripada jumlah kes dilaporkan hari ini.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 593 kes (85.1 peratus) adalah daripada kluster dan saringan kontrak rapat COVID-19 di lapangan.
"Ini diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 194 kes (12.2 peratus) dan Johor sebanyak 191 kes (12 peratus).
"Sebanyak 108 kes (6.8 peratus) pula dilaporkan daripada kluster lokap, depot tahanan imigresen dan penjara," katanya pada sidang media, hari ini. #sumber
KUALA LUMPUR - Portal aduan khas secara dalam talian perlu diwujudkan bagi menangani isu 'lubang maut' pada jalan di seluruh negara.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, ketika menyuarakan cadangan itu berkata pendekatan sedemikian akan dibincangkan dengan Kementerian Kerja Raya dalam tempoh terdekat.
Katanya, jalan penyelesaian seperti itu penting kerana rakyat berupaya menjadi 'mata dan telinga' agensi berkaitan yang bertanggungjawab untuk menyelia aspek penyelenggaraan jalan.
"Saya dengar jalan yang saya lalui itu tiada lubang beberapa hari lalu, justeru kita perlukan pemantauan 'real time' (semasa).
"Tetapi agensi kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak mempunyai kakitangan mencukupi untuk nak tengok seluruh jalan Persekutuan.
"Sebab itu, saya sudah bincang dengan (Menteri Kerja Raya) Datuk Seri Fadillah (Yusof) untuk bagaimana kita boleh jalinkan penggunaan teknologi bagi menyelesaikan isu ini.
"Dengan mewujudkan suatu portal khas untuk menyalurkan aduan, beberapa butiran seperti gambar, video dan maklumat mengenai kerosakan jalan dapat disalurkan secara pantas," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau semalam dilapor terbabit kemalangan apabila basikal ditunggangnya terbalik, selepas tayar hadapan terperosok dalam lubang.
Melalui gambar dimuat dan status di Twitter, Khairy dilihat mengalami beberapa kecederaan ringan pada muka berikutan terhumban pada bahu jalan.
Ditanya berhubung insiden itu, Khairy tidak dapat memberikan perincian lanjut kerana mengalami kesan hilang ingatan sementara, selepas terpaksa ditempatkan di hospital semalaman.
"Saya sampai sekarang tak ingat apa yang jadi semalam. Yang saya ingat, bila sudah sampai ke hospital.
"Doktor kata ia disebabkan gegaran ketika jatuh daripada basikal. Saya masih bernasib baik, tetapi simpati kepada rakyat kerana inilah yang jadi pada orang biasa.
"Niat saya semalam memuat naik insiden ini di Twitter ialah untuk beri peringatan kepada pengguna jalan lain, namun ia nampaknya mendapat perhatian JKR.
"Saya berterima kasih kepada JKR kerana peka dengan isu ini, tetapi janganlah hanya disebabkan saya menteri, baru nak ambil berat," katanya.
Cakna dengan kejadian lebih parah, termasuk maut yang dialami rakyat susulan keadaan jalan berlubang, Khairy berkata punca di sebalik isu sedemikian harus disiasat.
Beliau berkata, ia termasuk aspek kualiti dan jentera atau kenderaan berat yang menggunakan jalan berkenaan sehingga menyebabkan permukaannya berlubang.
"Tetapi yang penting, kalau sudah berlubang, janganlah berhari-hari atau kena tunggu terlalu lama untuk turap semula.
"Kalau kita nampak, boleh elak. Tetapi saya yang berbasikal, dengan kelajuan maksimum 40 kilometer sejam pun tak nampak. Apatah lagi penunggang motosikal?
"Jadi, saya ambil pandangan positif maklum balas pelbagai pihak yang ingin saya kemalangan ketika melalui kawasan mereka supaya tindakan segera dapat diambil.
"Isu pokoknya, masalah jalan berlubang ini memerlukan penyelesaian segera kerana ia dekat di hati rakyat," katanya. #sumber
KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak teragak-agak untuk mengembalikan sekatan merentas daerah dan negeri sekiranya rakyat menyalahgunakan kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) sehingga menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memahami perasaan rakyat dan memberi kelonggaran untuk bergerak bebas dengan syarat mematuhi SOP seperti mengelak berkumpul beramai-ramai dalam keadaan sesak dan memakai pelitup muka.
“Kita sekarang beri kebebasan, harap rakyat jalankan tanggungjawab mematuhi SOP dan jika merasakan perlu kembali kepada keadaan asal, saya tak menolak kemungkinan perkara itu boleh berlaku,” katanya dalam sidang media PKP harian di Kementerian Pertahanan hari ini.
Ismail Sabri mengakui maklum tentang keadaan pengunjung di Zoo Melaka menonton persembahan dalam keadaan begitu sesak tanpa penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka selain membawa sekali kanak-kanak menambah risiko penularan.
Katanya, keadasan itu merupakan salah satu contoh jelas perlanggaran SOP dilakukan oleh rakyat yang mana kelonggaran rentas daerah dan negeri disalahgunakan tanpa mempedulikan risiko penularan dalam komuniti.
Ujar beliau, walaupun setakat ini belum dibincangkan mengenai semakan semula atau menarik kembali kebenaran merentas negeri namun pihaknya menunggu pandangan dan penilaian risiko KKM.
“Kalau KKM merasakan perlu tarik balik, kita akan ikut nasihat mereka dan tarik balik kelonggaran yang diberikan itu termasuk juga insiden yang mana ramai pergi bercuti dengan kenderaan sesak di lebuh raya utara selatan menuju ke utara termasuk Langkawi yang menyaksikan kebanjiran orang ramai sehingga melanggar SOP.
“Kalau selepas dua minggu ini kes meningkat kerana pembukaan rentas negeri dan daerah akan mungkin nasihat KKM arah kembali kepada SOP asal.
“Harap rakyat memberi kerjasama mematuhi SOP sebab kita belum menang perang cegah Covid-19 sepenuhnya,” tegasnya. #sumber
KUALA LUMPUR -- Dewan Negara hari ini meluluskan lima Rang Undang-undang (RUU) termasuk Rang Undang-Undang Kewangan 2020, Rang Undang-Undang Kastam (Pindaan) 2020, dan Rang Undang-Undang Eksais (Pindaan) 2020.
Turut diluluskan Rang Undang-Undang Zon Bebas (Pindaan) 2020 dan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) (Pindaan) 2020.
Rang Undang-Undang Kewangan 2020 dan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) (Pindaan) 2020 dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah.
Sementara Rang Undang-Undang Kastam (Pindaan) 2020, Rang Undang-Undang Eksais (Pindaan) 2020, dan Rang Undang-Undang Zon Bebas (Pindaan) 2020 dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Abd Rahim Bakri.
Mohd Sahar berkata pembentangan Rang Undang-Undang Kewangan 2020 adalah bagi tujuan meminda Akta Cukai 1967, Akta Cukai Keuntungan Hartanah 1976, Akta Setem 1949, Akta Petroleum (Cukai Pendapatan 1967), Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990, Akta Kewangan 2012 dan Akta Kewangan 2018.
Jelasnya ia juga bagi menguatkuasakan Langkah Cukai 2021 yang telah dibentangkan dalam Belanjawan 2021 pada 6 Nov lepas di samping melaksanakan keputusan kerajaan berkenaan penambaikan pentadbiran cukai yang memerlukan pindaan kepada akta berkenaan.
Sementara itu, Abd Rahim memaklumkan pindaan bagi Akta Kastam 1967 antara lain bertujuan menambah baik, menyeragam dan mengemaskini peruntukan sedia ada, dan memasukkan peruntukan baharu dalam Akta Perundangan Cukai supaya lebih telus dan efisien selari dengan perubahan semasa polisi percukaian.
Jelasnya pindaan juga dilaksanakan bagi tujuan memperkasa tindakan penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk memastikan pematuhan cukai dan mengurangkan ketirisan hasil cukai.
Pindaan terhadap Akta Eksais 1976 pula adalah susulan daripada pindaan terhadap Akta Kastam 1967.
ADVERTISEMENT
Pindaan terhadap kedua-dua rang undang-undang itu antara lain bagi mengadakan peruntukan kebolehpercayaan keterangan ejen provokasi dan kebolehterimaan sebagai keterangan dalam mahkamah.
Abd Rahim berkata Rang Undang-undang Zon Bebas (Pindaan) 2020 pula melibatkan pindaan terhadap Akta Zon Bebas 1990.
Menurutnya ia bagi memperuntukkan kuasa tambahan kepada pegawai kanan JKDM untuk menjalankan penguatkuasaan penyiasatan dan pemeriksaan sebagaimana kuasa polis di bawah Kanun Tatacara Jenayah.
Sementara itu Mohd Shahar ketika membentangkan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) (Pindaan) berkata anggaran perbelanjaan tambahan Kumpulan Wang COVID-19 yang dibentangkan adalah sebanyak RM20 bilion.
Mohd Shahar memaklumkan ia bagi membiayai Perbelanjaan Pakej Rangsangan Ekonomi Kita Prihatin dan Inisiatif Belanjawan 2021 di bawah Kumpulan Wang COVID-19.
KUANTAN - Angkatan Pembela Rakyat (ANGKARA) senada dengan NGO Pertubuhan Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), agar Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) ditubuhkan segera untuk menyiasat unsur penyelewengan, rasuah dan korupsi yang berlaku dalam isu pencerobohan tanah secara haram untuk tanaman durian 'Musang King' yang sedang hangat diperkatakan sekarang ini.
Mahkamah Tinggi Kuantan pada 23 Disember lalu membuat keputusan permohonan pendengaran kes semakan kehakiman yang difailkan 110 pekebun durian Raub bagi mengetepikan notis pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan Pahang terhadap mereka.
Dilaporkan, keseluruhan sebanyak 204 pekebun memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap enam responden iaitu Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Jabatan Perhutanan, kerajaan Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang, Royal Pahang Resources PKPP Sdn Bhd dan Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang.
Aktivis masyarakat yang juga Penyelaras ANGKARA, Mohd Shukri Mohd Ramli ketika ditemui berkata keputusan mahkamah baru-baru ini memberi harapan baharu untuk kita melihat perubahan sistem pentadbiran dan penguatkuasa hutan dan tanah di seluruh negeri Pahang khasnya dan seluruh negara amnya.
Menurut Shukri, ketika membuat keputusan, Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz ada membuat beberapa teguran terutamanya dari sudut penguatkuasa yang ditujukan khas kepada Kerajaan Negeri Pahang.
"Tindakan penguatkuasaan yang lemah menyebabkan kes ceroboh tanah di Raub ini berlaku dengan sewenang-wenangnya tanpa diambil tindakan oleh pihak kerajaan.
"Sepatutnya awal-awal lagi pemantauan dibuat, iaitu ketika penceroboh menanam pokok durian Musang King, bukan tunggu membesar dan mereka sudah dapat hasil jutaan ringgit," kata Shukri.
Shukri turut menegaskan, antara beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh pihak Kerajaan Negeri Pahang seperti yang dimaklumkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan baru-baru ini iaitu pencerobohan adalah satu jenayah, maka penceroboh wajar diambil tindakan yang tegas.
Kerajaan Negeri Pahang juga katanya perlu memperbaiki sistem permohonan tanah. Malah, kawasan yang diceroboh adalah kawasan tadahan air. Hakim menegur kerajaan negeri agar lebih peka menjaga alam sekitar.
"Sebagai permulaan, suara rakyat menang tapi tindakan oleh pihak berkuasa di Raub terhadap tanah terbabit masih menjadi pertikaian dan persoalan. Penceroboh perlu keluar dari tanah-tanah terbabit, namun siapa yang akan memantau semua ini?. Rakyat di sana, perlu menjadi 'mata dan telinga' kerajaan untuk melaporkan kepada kami sekiranya mereka melihat ada tindakan yang mencurigakan," tambah beliau lagi.
Rakyat katanya tidak mahu, keputusan sudah dibuat oleh pihak mahkamah diatas 'kertas. Namun di atas 'tanah' penceroboh tetap dibiarkan tanpa ada sebarang tindakan tegas oleh pihak berkuasa.
Justeru, beliau mahu melihat pula mereka yang menceroboh ini dikenakan tindakan saman dan denda mengikut akta yang telah ditetapkan. Juga kepada 'dalang' yang telah 'bersekongkol' dan membiarkan pencerobohan ini berlaku sejak sekian lama juga perlulah dibawa ke muka pengadilan sebenarnya. Mereka masih berkhidmat dengan jabatan yang berkenaan.
Apa pun apa yang berlaku di mahkamah baru-baru ini, ia adalah permulaan perjuangan rakyat sebenarnya. Banyak lagi kes pencerobohan haram didalangi 'orang dalam' dan 'berpengaruh' yang berlaku di seluruh negeri Pahang, dakwa Shukri lagi
"Kami akan terus bersuara untuk melihat adengan seterusnya dalam kes ini. Kita tidak mahu akhirnya rakyat hanya "menang sorak, kampung tergadai". Maknanya kita menang di mahkamah, tapi mereka bebas beroperasi seperti biasa kerana ada pihak tertentu yang cuba melindunginya kelak,
"Biar pun wakil NGO Pembela yang terdiri daripada Tn Hj Aminuddin Yahya (Pengerusi) dan Ustaz Masrizi Sat (Naib Pengerusi) tidak dibenarkan masuk ke dalam kamar mahkamah untuk mendengar keputusan perbicaraan.
Hanya Ketua Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) Pahang, iaitu Datuk Syed Nasarudin Syed Abd Hadi yang juga merupakan seorang peguam yang dibenarkan masuk. Namun begitu kita merasa lega kerana ia akhirnya berpihak kepada rakyat," tambah beliau.
Sementara itu, Shukri juga bertegas agar RCI ditubuhkan jika benar kerajaan mahu melihat ketelusan dalam isu ini. Jika tidak rakyat tetap menganggap ada sesuatu cuba disembunyikan. Tambahan pula tiada seorang pun penceroboh dan pihak yang bersekongkol terbabit yang didakwa di mahkamah. Sedangkan dalam masa yang sama, penceroboh pula akan membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah baru-baru ini.
Bahkah jika melibatkan bangsa sendiri, masuk hutan simpan untuk jalankan aktiviti rekreasi, berkhemah, memancing dan sebagainya pun ramai yang didakwa dan dikenakan hukuman kerana menceroboh secara haram. Adakah ada dua undang-undang berbeza dalam hal pencerobohan haram ini.
"Kita sibuk menyalahkan bangsa lain dalam isu ini, sedangkan yang ada kuasa ke atas tamah dan hutan bangsa kita sendiri. Dalam diam kita diperdayakan oleh bangsa sendiri yang khianat dan bersekongkol dengan penceroboh untuk mengejar kemewahan duniawi," dakwanya lagi #PahangDaily
KUANTAN -, Pahang mencatat 9 kes aktif baharu Covid-19 hari ini. Menurut laporan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang Mukim Sabai, Bentong. mencatatkan dua kes aktif.
Kes 995 merupakan hasil saringan OKT. Kes merupakan warganegara Malaysia dan punca jangkitan dikategorikan sebagai import B (Kuala Lumpur).
Kes 996 merupakan hasil saringan bergejala. Kes merupakan warganegara Malaysia yang pulang dari zon merah (Selangor). Punca jangkitan dikategorikan sebagai import B.
Sementara itu bagi Mukim Bentong, Bentong pula mencatatkan satu kes baharu iaitu Kes 997 yang merupakan hasil saringan bergejala. Kes merupakan warganegara Malaysia yang mempunyai sejarah ke zon merah (Kuala Lumpur). Punca jangkitan dikategorikan sebagai import B.
Bagi Mukim Triang 1, Bera terdapat tiga kes baharu, dimana Kes 998-1000 merupakan hasil saringan kontak rapat kes positif COVID-19 dari zon merah (Selangor). Kesemua kes merupakan warganegara Malaysia dan punca jangkitan dikategorikan sebagai import B.
Bagi Mukim Pekan, Pekan ada satu kes baharu hari ini. Kes 1002 merupakan hasil saringan kontak rapat kes 961 yang didaftarkan pada 24.12.2020. Kes merupakan warganegara Malaysia dan punca jangkitan dikategorikan sebagai jangkitan tempatan.
Bagi Mukim Ganchong, Pekan pula juga terdapat satu kes baharu. Kes 1003 merupakan hasil saringan kontak rapat kes positif COVID-19 di zon merah (Selangor) iaitu dari Kluster Usaha. Kes merupakan warganegara Malaysia dan punca jangkitan dikategorikan sebagai import B.
Sementara itu, bagi Mukim Kuala Kuantan 1, Kuantan terdapat satu kes baharu. Kluster Semambu (Kes 1001) merupakan hasil saringan kontak rapat kes positif COVID-19. Kes merupakan bukan warganegara. Kes indeks bagi kluster ini merupakan seorang bukan warganegara hasil saringan bergejala yang didaftarkan pada 17.12.2020. Kes indeks bekerja di sektor peruncitan yang berulang alik ke zon merah. Jumlah kes positif kluster ini adalah seramai 12 kes. #sumber
KUANTAN - Seorang nelayan berputih mata apabila kerugian RM13,000 selepas mendakwa ditipu individu tidak dikenali yang menyamar sebagai anak perempuannya menerusi panggilan telefon Jumaat lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, nelayan berusia 59 tahun itu mendakwa menerima panggilan telefon daripada individu yang mempunyai suara seakan-akan anak sulungnya kira-kira 11 pagi ketika masih berada di laut.
Beliau berkata, suspek turut memberitahu mangsa dia telah menukar nombor telefon dan meminta nelayan itu memasukkan wang RM5,000 untuk membeli barang perniagaan.
“Mangsa telah meminta tolong rakannya membuat transaksi berkenaan sebelum sekali lagi dihubungi suspek dan meminta wang sebanyak RM8,000 lagi kerana wang permulaan yang diterima tidak mencukupi.
“Nelayan itu telah meminta tolong majikannya melakukan transaksi tersebut. Namun, sejurus pulang ke darat mangsa menghubungi anaknya untuk bertanya mengenai permintaan wang tersebut, bagaimanapun anaknya menafikan meminta wang daripadanya,” katanya dalam kenyataan.
Susulan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Rompin kira-kira 130km dari sini semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. #sumber
MARAN - Ketua UMNO Bahagian Maran, Dato' Sri Shahaniza Shamsuddin membuat laporan polis berhubung dengan dakwaan fitnah yang dibuat terhadap 'Exco Wanita Pahang' oleh Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP).
Ia berkaitan dengan kenyataan berniat jahat yang dibuat oleh Presiden NGO terbabit, Haslihelmi DM Zulhasli terhadap kepimpinan beliau selaku ADUN Kuala Sentul, Ketua UMNO Bahagian Maran dan merangkap Exco Kerajaan Negeri Pahang yang dimaksudkan.
Laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran malam tadi. Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Maran, Dato' Mukaram Shah Zainuddin serta Ahli Jawatankuasa yang lain termasuk dari pemuda, wanita dan puteri.
Dalam kenyataan ringkasnya di facebook beliau, Shahaniza membuat hantaran berbunyi "Adakala tak perlu layan tapi kalau dah kurang ajar, kena lah kita sekolahkan sikit. See you in Court!".
Terdahulu, Presiden PSAP menggesa 'Exco Wanita Pahang" tidak mendabik dada dan takbur dengan pangkat dan kuasa yang diberikan rakyat pada masa kini.
PSAP mendakwa mereka menerima rungutan, maklumat daripada penduduk setempat di Maran berhubung sikap pemimpin terbabit.
Dakwa PSAP lagi, Exco Wanita berkenaan kerap kali menyatakan mahu mengambil alih kepimpinan di DUN Jengka, Chenor dan Luit dari wakil rakyat PAS.
Sikap Exco Wanita berkenaan nyata tidak disenangi oleh penduduk di Maran yang begitu hairan dengan perubahan sikapnya yang dahulu sewaktu mula menjadi ADUN begitu lemah lembut dan berbudi bahasa.
Semalam, PSAP ada membuat permohonan maaf atas perkara tersebut. Namun dengan perkembangan terbaru ini maka sudah pasti adengan lebih panas dapat disaksikan. #PahangDaily
MARAN - Pergerakan Pemuda UMNO Maran tidak akan mengambil tindakan terhadap Presiden NGO Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmi DM Zuhasli diatas ketelanjurannya mengeluarkan kenyataan berniat jahat terhadap kepimpinan UMNO Bahagian Maran yang juga Exco Kerajaan Negeri Pahang.
Kenyataan telah dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Mohd Tasyrif Sabaruddin di laman rasmi PPU Maran malam tadi.
Menurut kenyataan tersebut, PPU Maran mengambil maklum bahawa PSAP telah mengeluarkan kenyataan permohonan maaf diatas perkara itu.
Walaupun begitu katanya, jika dilihat dari pernyataan Haslihelmi, jelas beliau tiada kesedaran terhadap kesilapan yang telah beliau lakukan.
"Namun begitu, sebagai memegang janji, PPU Maran tidak akan mengambil apa apa tindakan, sebaliknya juga tidak mampu untuk menghalang sesiapa sahaja yang berhasrat untuk mengambil apa apa tindakan terhadap pernyataan asal beliau (PSAP)," dakwa beliau.
"Kami berharap selepas ini, jika mahu mencampuri urusan dalaman sesebuah institusi, haruslah disertakan dengan bukti nyata dan bukan hanya dengan menerbitkan persepsi negatif yang lebih menunjukkan kedangkalan dan motif peribadi berbanding niat yang kononnya suci murni," tambahnya lagi.
Pendirian PPU Maran ini harus dipuji kerana bertindak profesional dalam menangani kes tersebut. Banyak urusan rakyat yang lebih penting perlu dilakukan menjelang PRU-15 tidak lama lagi sebenarnya. #sumber
Jun Hao perlu buktikan kemampuan
-
LEONG Jun Hao masih menjadi sandaran utama perseorangan lelaki negara,
namun status itu perlu dibuktikan menerusi keputusan lebih meyakinkan
selepas pema...
Anwar's political needs.
-
1. When I was a 6th former, our economics teacher gave us a homespun wisdom
which i remember till today 2. Studying economics is like putting up a
brick wa...
[Autosaved] WZWH Mula Menulis…
-
Sudah lama WZWH tidak berblog
WZWH mula menulis…
Sekarang Perang US-Israel VS Iran. Ganggu keamanan dan ekonomi dunia
Sudah tentu beri kesan kepada Malay...
EMPAT PAHLAWAN MELAYU KELAHIRAN BUMI PAHANG
-
PAHLAWAN MELAYU
NAMA-NAMA PENDEKAR KELAHIRAN BUMI PAHANG
1. Dato' Bahaman
Nama sebenar: Abdul Rahman bin Tuanku Imam Nuh.
Asal: Semantan, Temerloh, Paha...
#BUBARPARLIMEN MALAYSIA BUKAN DIA PUNYA!!!
-
Percaturan yang direncanakan sebelum ini GAGAL memenuhi kehendak Mahathir
apabila gabungan PAS dan UMNO serta komponen lain dalam Muafakat Nasional
menar...