Pages

PRU-15: Parlimen Indera Mahkota 'Panas', Akar Umbi UMNO Mahu 'Calon Mereka' Bertanding !!

KUANTAN - Menjelang pilihan raya umum ke-15 tidak lama lagi, Kerusi Parlimen Indera Mahkota dilihat antara kerusi 'panas' yang menjadi 'pertikaian' di Pahang.

Biar pun, umum mengetahui 'status quo' kerusi itu bakal memihak kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), namun kini terdapat gerakan akar umbi UMNO yang mahu parti itu meletakkan calon mereka.

Demikian ditegaskan oleh beberapa orang ahli akar umbi UMNO Indera Mahkota. Menurut mereka, secara tradisi UMNO mewakili BN bertanding di kerusi itu, maka tiada alasan untuk membenarkan parti lain meletakkam calonnya.

Kerusi Parlimen Indera Mahkota kini diwakili oleh Datuk Saifuddin Abdullah. Beliau juga merupakan Menteri Komunikasi Dan Multimedia, dibawah kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Kami tidak boleh terima PPBM ambil kerusi ini. Beliau (Saifuddin) menang atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersama PH  pada PRU-14 lalu. Maknanya yang menang PKR, bukan PPBM. Maka itu kami tidak boleh terima dan berkempen untuk parti lain selain UMNO. kami rela undi calon bebas," kata seorang penyokong tegar UMNO di Taman Kota Ria dekat sini.

Malah difahamkan juga, ramai ahli akar umbi UMNO akan membuat undi protes jika pucuk pimpinan parti akur dengan keputusan sedia ada (Indera Mahkota kekal untuk Bersatu).

Pada PRU-14 lalu, Saifuddin menang dengan majoriti 10,950 undi di kerusi Parlimen Indera Mahkota. Beliau mendapat 28,578 undi menewaskan calon BN, Datuk Dr Johan Mat Shah (17,628 undi) dan Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi dari PAS yang mendapat 17,515 undi.

Jika dilihat kepada undi yang diterima oleh Saifuddin itu, akar umbi UMNO mungkin percaya beliau akan tewas jika parti itu meletakkan calon atas tiket Muafakat Nasional (MN) bersama PAS.

Lagi pun  Saifuddin menang, ketika beliau bersama PKR. Maka, kemungkinan besar banyak undi yang diperolehi akan beralih kepada PKR semula pada PRU-15 ini.

"PPBM tiada kekuatan jentera akar umbi. Kami tidak sanggup buat kerja untuk mereka walau pun UMNO sekutu PPBM dalam kerajaan PN,"  kata seorang ahli UMNO Indera Mahkota 1.

Melihat kepada pertikaian ini, ternyata suhunya terlalu panas dan agak berbahaya kepada PN. Mereka boleh kehilangan kerusi parlimen itu jila berlaku pertembungan tiga penjuru. Itu belum ditambah lagi sekiranya ada 'calon bebas'.

Jika ini berlaku, maka warga Indera Mahkota akan kehilangan keistimewaan memiliki wakil rakyat yang bertaraf menteri. Sebab jika Saifuddin menang, sudah pasti kedudukan beliau sebagai 'menteri penuh' akan kekal, cuma berlainan portfolio sahaja sebenarnya.

Tetapi jika pihak lain menang, apatah lagi 'pembangkang' maka belum tentu akan diangkat sebagai anggota kabinet kerajaan baharu. Justeru, pengundi Indera Mahkota harus membuat pilihan yang bijak antara mengikut 'perasaan' atau 'pertimbangan'.

Namun, sepatutnya pengundi sedia untuk mempertahankan kerusi itu dan setuju berkompromi untuk membantu PPBM menang bergaya. Jika sebaliknya berlaku sudah pasti kedua-dua pihak akan 'berputih mata' akhirnya, baik PN mahu pun MN.

Jalan terbaik, PAS dan UMNO pastikan PN kekal berkuasa di Parlimen Indera Mahkota. Apa pun, segalanya terletak ditangan para 'pengundi atas pagar' sebenarnya. Jika mereka termakan dengan 'dakyah' pihak tertentu yang mahu menolak calon PPBM, maka sudah pasti angin perubahan drastik akan berlaku.

Sama-sama kita nantikan adengan seterusnya kemelut 'panas' di Parlimen Indera Mahkota ini. Apakah bahangnya akan terasa sehingga menjelang PRU-15 nanti. Atau sekadar 'suam suam kuku' ketika iklim sedang 'panas' ketika ini.  Di sebelah PH khabarnya mereka akan meletakkan bekas calon sebelum ini untuk brtanding sama ada Datuk Fauzi Abd Rahman atau pun Azan Ismail. Pasti panas!  #PahangDaily



0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]