GEORGE TOWN - PKR akan membincangkan isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dalam mesyuarat parti itu, kata Setiausaha Agong PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata PKR setakat ini belum ada pendirian berhubung PPSMI kerana perkara itu baru diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.
"PKR bermesyuarat setiap minggu jadi kami akan membincangkan perkara ini segera. Perkara ini baru sahaja diumumkan oleh perdana menteri," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina PKR peringkat Kebangsaan di Padang Kota Lama, di sini malam ini.
Majlis itu turut dihadiri Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan barisan pemimpin parti-parti dalam Pakatan Harapan.
Saifuddin Nasution berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung cadangan Dr Mahathir yang mahu mengembalikan semula PPSMI sedangkan PKR satu ketika dahulu membantah serta menggesa memansuhkan PPSMI.
Sementara itu, Anwar ketika ditanya soalan yang sama berkata beliau menyerahkan cadangan pelaksanaan semula PPSMI kepada Kabinet untuk membincangkannya.
"Biar depa (mereka) bincangkan (PPSMI) di Kabinet," katanya yang enggan mengulas lanjut.
Perdana menteri semasa mesyuarat khas bersama Kumpulan Pengurusan Kementerian Pendidikan Malaysia di Putrajaya semalam menekankan tentang perlunya menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik.
Dr Mahathir, yang juga pemangku Menteri Pendidikan, berkata ini adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris dan penguasaan bahasa itu dalam sistem pendidikan negara.
Dasar PPSMI yang diperkenalkan pada 2003 telah digantikan dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) secara berperingkat mulai 2010. #sumber
KUANTAN - Sebanyak 1,000 kiosk yang memasarkan produk muslim bertemakan kempen Beli Produk Muslim (BMF) bakal dibuka di masjid terpilih seluruh negara tidak lama lagi.
Presiden Majlis Pemikir Melayu Muda Kebangsaan (MPMMK), Datuk Syed Mohammad Faiz Azemmant berkata, setakat ini, proses penyediaan prasarana kiosk BMF itu berjalan lancar dan pihaknya hanya menunggu lampu hijau daripada pihak kerajaan bagi menetapkan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan sebelum dilaksanakan.
Selain itu, katanya, MPMMK juga akan melihat potensi dan kemudahan di masjid-masjid terbabit terlebih dahulu sebelum menawarkan sewaan pada kadar berpatutan kepada peniaga yang berminat bagi memudahkan urusan jual beli kelak.
"Produk yang akan diniagakan adalah barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula dan tepung termasuk lain-lain produk kesihatan, kecantikan serta eksesori lelaki serta wanita.
"Projek berkenaan memfokuskan kepada peniaga yang tidak diberi ruang oleh pasaraya-pasaraya besar untuk memasarkan produk mereka," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Syed Faiz berkata, pembukaan 1,000 kiosk BMF di masjid merupakan usaha MPMMK memberi peluang dan membela nasib usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam kalangan orang Islam bagi menempatkan barangan keluaran mereka selain diharapkan dapat membantu dalam menjihadkan ekonomi Islam.
Jelasnya, masjid perlu menjadi platform peningkatan ekonomi masyarakat setempat seterusnya membantu meningkatkan penguasaan orang Islam dalam bidang tersebut.
"Masjid adalah platform terbaik kerana setiap hari orang Islam solat berjemaah, setiap minggu ada perjumpaan besar iaitu solat Jumaat. Tidak lama lagi bulan Ramadan ramai orang Islam akan solat Tarawih dan selepas itu solat hari raya Aidilfitri.
"Selepas beribadat, orang Islam boleh mendapat bekalan harian daripada kiosk BMF yang disediakan. Begitu juga barangan seperti kurma untuk berbuka puasa pada bulan Ramadan ini," jelasnya.
Beliau berkata, sejak MPMMK mengemukan cadangan pembukaan kiosk BMF di masjid seluruh negara, projek itu mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada peniaga muslim.
"Peniaga yang berminat menyertai projek ini sudah tidak sabar untuk beroperasi, sekiranya fasa pertama ini berjaya kami rancang memperluaskan lagi ke masjid seluruh negara," jelaanya.
Sebarang pertanyaan dan tempahan kiosk boleh hubungi pihaknya di talian 014-3371010. #PDO
KUANTAN - Seramai 37 pelajar sekolah di Pahang dilaporkan dijangkiti influenza sejak 7 Januari lalu.
Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Tajuddin Mohd Yunus berkata, jangkitan itu membabitkan 24 sekolah di sembilan daerah di negeri ini dengan Kuantan mencatatkan jumlah mangsa teramai iaitu 14 orang.
"Ia diikuti daerah Pekan dengan enam kes, Cameron Highlands dengan lima kes, Bentong (empat), Maran (tiga), Jerantut (dua) dan masing-masing satu kes di Temerloh, Rompin dan Bera," katanya ketika dihubungi pemberita di sini semalam.
Beliau berkata, daripada 37 kes yang dicatatkan, 31 membabitkan murid sekolah rendah, tiga murid prasekolah, dua pelajar sekolah menengah dan seorang guru.
"Sebanyak 36 kes disahkan sebagai influenza A atau H1N1, manakala satu kes influenza B. Ada antara mangsa yang dikuarantin di rumah dan ada yang dirawat di hospital, manakala dua kes lagi mangsa telah disahkan pulih sepenuhnya," katanya. #sumber
KUANTAN - Sembilan laporan polis dibuat terhadap pemilik akaun Facebook yang mengeluarkan kenyataan penghinaan terhadap Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini kelmarin.
Laporan berkenaan dibuat oleh wakil Majlis Pembangunan Wanita Pahang, Wanita UMNO Pahang, Wanita UMNO Bahagian Pekan, Wanita UMNO Bahagian Jerantut, Wanita UMNO Bahagian Bentong, Pertubuhan Pronita Pahang, Kelab Mamanita Indera Mahkota dan dua individu lain.
Exco Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, pihak polis digesa menyiasat dan mengambil tindakan segera terhadap individu yang menghina Raja Permaisuri Agong susulan baginda menggunakan tulisan jawi di akaun Twitter.
Menurutnya, laporan polis dibuat juga sebagai satu mesej ketegasan kepada rakyat di negara ini supaya menghormati institusi diraja.
"Negara kita adalah negara Raja Berperlembagaan. Rakyat tidak mengira bangsa dan kaum seharusnya menghormatinya.
"Walaupun Raja Permaisuri Agong menyokong jawi, ia tidak bermakna baginda tidak menyayangi bangsa lain selain Melayu," katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, tular status di akaun Facebook menggunakan nama Nengtung Ting ditulis dalam bahasa Cina telah menghina dan mencerca Permaisuri Agong berikutan penggunaan tulisan jawi di dalam akaun Twitter baginda. #sumber
KUALA LUMPUR - Majlis Sukarelawan Bencana Negara (MSBN) akan menganjurkan majlis makan malam penghargaan dan penyerahan watikah pelantikan pegawai kehormatnya bagi tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa MSBN, Datuk Zuhairi Ab Kadir berkata, makan malam berkenaan akan diadakan pada 28 Mac depan di Hotel Royale Chulan.
"MSBN telah pun menghantar surat jemputan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk turut sama memeriahkan majlis berkenaan.
"Selain itu, MSBN turut menjemput Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Zuhairi berkata, penubuhan MSBN sebagai inisiatif kesiapsiagaan untuk digerakkan ke lokasi terjejas bagi memberi khidmat sokongan membantu mangsa bencana.
Jelasnya, bencana bukan hanya dalam ruang lingkup banjir semata-mata, tetapi skop yang luas termasuk membantu operasi mencari dan menyelamat orang hilang.
"Bencana turut melibatkan kebakaran hutan, kemalangan, pesawat terhempas, bangunan dan tanah runtuh serta tsunami yang memerlukan tindakan penggemblengan tenaga ekstensif menurut garis panduan ditetapkan pihak berkuasa agar lebih sistematik dan strategik dari segi pengurusan dan pergerakan bantuan," ujarnya.
Katanya, MSBN turut menganjurkan program latihan intensif bertujuan memberi pendedahan dan pengetahuan kepada pihak terlibat dalam persediaan menangani bencana untuk memastikan platform itu berfungsi dan berperanan seperti yang dimahukan.
"Kesiapsiagaan cukup penting untuk diterapkan dalam diri segenap lapisan masyarakat hari ini supaya menjadi satu budaya agar mangsa bencana mendapat perlindungan serta bantuan yang sewajarnya daripada semua pihak," katanya. #PDO
KUALA LUMPUR - Majlis Sukarelawan Bencana Negara (MSBN) melancarkan Unit Sukarelawan Bencana Peringkat Negeri sebagai langkah kesiapsiagaan untuk digerakkan ke lokasi terjejas bagi membantu mangsa bencana.
Pengerusi Jawatankuasa MSBN, Datuk Paduka Kapten (K) Zuhairi Ab Kadir berkata, usaha itu bagi menarik penyertaan badan sukarela serta orang perseorangan dalam misi bantuan atas prinsip pengurusan bencana menjadi tanggungjawab yang perlu dikongsi bersama.
"Langkah ini penting untuk menggalakkan lebih ramai sukarelawan baharu menganggotai MSBN dan mewujudkan kerjasama bersepadu melibatkan semua agensi kerajaan daripada peringkat pusat, negeri dan daerah apabila khidmat sokongan diperlukan.
Menurutnya, MSBN turut menganjurkan program latihan intensif bertujuan memberi pendedahan dan pengetahuan kepada pihak terlibat dalam persediaan menangani bencana untuk memastikan platform ini berfungsi dan berperanan seperti yang dimahukan.
"Kesiapsiagaan cukup penting untuk diterapkan dalam diri segenap lapisan masyarakat hari ini supaya menjadi satu budaya agar mangsa bencana mendapat perlindungan serta bantuan yang sewajarnya daripada semua pihak.
Mengulas lanjut, zuhairi berkata, bencana bukan hanya dalam ruang lingkup banjir semata-mata, tetapi skop yang luas termasuk membantu operasi mencari dan menyelamat orang hilang, kebakaran hutan, kemalangan, pesawat terhempas, bangunan runtuh, tanah runtuh dan tsunami yang memerlukan tindakan penggemblengan tenaga ekstensif.
"Selain berkhidmat kepada masyarakat, saya menekankan peranan penting Unit Sukarelawan Bencana ini dalam memberi sumbangan termasuk keperluan asas seperti makanan, pakaian, kewangan dan perubatan kepada mangsa bencana yang memerlukan," katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan watikah perlantikan Kapten Kehormat MSBN hari ini.
"Bantuan perlu sampai ke tempat bencana pada kadar segera bagi meringankan beban mangsa yang bersifat sementara hingga digantikan bantuan secara berkala oleh pihak berwajib atau agensi kerajaan dalam jangka panjang," ujarnya.
Sekretariat bagi MSBN adalah Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka). #PDO