script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Tan Sri Irwan Serigar Bukan Lagi Ahli Lembaga Pengarah TH, BNM


SHAH ALAM: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, tidak lagi menyandang jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarahnya.

TH dalam kenyataannya berkata, Irwan menyandang jawatan berkenaan sejak 2011 di atas kapasiti sebagai wakil Perbendaharaan.

“Kekosongan Ahli Lembaga Pengarah TH akan diisi wakil Perbendaharaan yang baharu sebagai mana yang termaktub di bawah Akta Tabung Haji 1995,” katanya.

Terdahulu, Bank Negara Malaysia (BNM) juga memaklumkan Irwan bukan lagi ahli Lembaga Pengarahnya berkuatkuasa 14 Mei 2018.

Bank pusat itu dalam kenyataan berkata, ia susulan Mohd Irwan Serigar tidak lagi memegang jawatan sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

Pada 14 Mei lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, kerajaan memutuskan kontrak perkhidmatan Mohd Irwan Serigar Abdullah sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan dipendekkan kepada 14 Jun daripada 6 Mac 2019. #sumber
Share:

Pelajar Lelaki Di Sambung Reman, Bantu Siasatan Kes Bunuh Rakan !


PORT DICKSON: Tempoh tahanan reman seorang pelajar lelaki Kolej Vokasional Port Dickson yang disyaki menyebabkan kematian seorang penuntut perempuan pada minggu lalu dilanjutkan selama tujuh hari bermula esok. 

Perintah sambung reman dikeluarkan oleh Majistret Siti Khariah Abdul Razak ke atas suspek berusia 19 tahun itu selepas permohonan dikemukakan oleh pihak polis.


Terdahulu, suspek direman tujuh hari bermula Jumaat lalu yang berakhir hari ini.
Sebelum ini melaporkan, mangsa, Nur Alya Damia Hairi, 19, (gambar kecil) yang belajar di Kolej Vokasional Port Dickson ditemui mati dengan kesan cekik pada leher di tepi jalan di Lorong 4, Taman PD Permata pada 24 Mei lalu. 

Mayatnya ditemui oleh seorang lelaki yang membuang sampah di kawasan tersebut pada pukul 10.30 malam sebelum kejadian itu dimaklumkan kepada pihak polis. 

Susulan kejadian itu, polis menahan suspek yang dipercayai bekas teman lelaki mangsa di Taman Selasih, berhampiran kolej tersebut. #sumber
Share:

Dr Maza: Tak Pelik Ada Yang Cuba Tolong Kerajaan "Bayar" Hutang


KUALA LUMPUR:  Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin mempertahankan tindakan rakyat yang mahu menyumbang dana kepada Tabung Harapan Malaysia (THM).

Menurutnya, ini kerana kutipan dana itu tidak berbentuk paksaan, dan memberi ruang secara sukarela kepada rakyat untuk berbakti kepada negara dalam membantu meningkatkan ekonomi.

“Tidaklah pelik jika ada yang cuba tolong pihak Kerajaan bayar hutang.

“Ia satu usaha yang bersifat sukarela. Siapa mahu boleh berikan, siapa tidak mahu boleh biarkan,” katanya menerusi catatan terbaharu di Facebooknya.

Katanya, namun yang pelik lagi melampau pihak yang membuat hutang yang ditanggung sekalian rakyat secara paksa tanpa rela.

“Lebih kejam lagi apabila pihak yang mengambil hutang itu bermewahan, sementara rakyat yang menanggung hutang hidup dalam bebanan.

“Apa yang ganjil lagi ajaib apabila ada kelompok yang pernah menyatakan mereka berpuas hati dengan isu penyalahgunaan harta awam tersebut,” katanya. #sumber
Share:

Najib Umum Letak Jawatan Beliau Sebagai "Pengerusi" Khazanah Nasional


KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional hari ini mengumumkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah syarikat pelaburan tersebut.

Peletakan jawatan Najib berkuatkuasa 31 Mei 2018.

Susulan itu, bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani juga telah meletakkan jawatan sebagai Lembaga Pengarah Khazanah Nasional, berkuatkuasa 30 Mei 2018.

Awal minggu lepas, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah telah meletakkan jawatan sebagai Lembaga Pengarah Khazanah Nasional pada 23 Mei 2018.

Antara Lembaga Pengarah yang masih kekal di Khazanah termasuk Datuk Seri Nazir Razak dan Tan Sri Md Nor Md Yusof.

Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Datuk Wira Azman Mokhtar juga masih kekal di Lembaga Pengarah syarikat itu. #sumber
Share:

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Sabah, Armani Mahiruddin Sertai Warisan


SANDAKAN: Ketua Pergerakan Wanita UMNO Negeri Sabah, Datuk Armani Mahiruddin mengambil keputusan meletak jawatan dalam parti untuk menyokong penuh Parti Warisan Sabah (Warisan) di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Selain itu, beliau turut melepaskan jawatannya sebagai Exco Wanita UMNO Malaysia, Ketua Wanita UMNO Bahagian Libaran dan Ketua Cawangan UMNO Merpati Permai Libaran. 

Turut mengikut langkah beliau menyertai Warisan ialah 200 ahli pergerakan parti tersebut.

Armani berkata, keputusan itu diambil selepas memikirkan tiada hala tuju dalam UMNO.

"Kami menyertai Warisan sebagai ahli biasa kerana keutamaan kami adalah untuk menyokong perjuangan Datuk Seri Mohd. Shafie yang ingin memastikan nasib rakyat Sabah terus dibela," katanya hari ini. #sumber
Share:

Dalam Masa Sehari, Dana Tabung Harapan Malaysia Sudah Ada RM7 Juta


PUTRAJAYA: Selepas sehari penubuhannya, dana keseluruhan Tabung Harapan Malaysia kini sudah mencecah lebih RM7 juta.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berasa terharu dan berterima kasih kepada rakyat Malaysia atas semangat yang ditunjukkan melalui derma tersebut.

"Setakat 3 petang hari ini, dana yang terkumpul adalah RM7,075,508.79.

"Kita akan mengumumkan dana yang terkumpul setiap hari pada jam 3 petang melalui laman web Kementerian Kewangan," kata Guan Eng.

Selain itu, beliau turut mengumumkan bahawa rakyat Malaysia yang menderma kepada tabung tersebut layak untuk mendapat penolakan cukai.

"Oleh itu, sila simpan resit bagi tujuan tersebut," pesan beliau.

Apabila ditanya tentang apa yang bakal dilakukan kerajaan dengan dana yang terkumpul, Guan Eng berkata keseluruhan dana yang terkumpul akan dilakukan bagi menurunkan hutang negara.

"Dana ini tidak akan digunakan bagi kegunaan lain kecuali dengan membayar hutang negara," kata Guan Eng dalam satu sidang media di Kementerian Kewangan hari ini. #sumber
Share:

Maszlee: 433,000 Peminjam PTPTN "Di Keluarkan" Dari Senarai Hitam Imigresen


PUTRAJAYA: Kira-kira 433,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sedang dikeluarkan daripada senarai hitam Jabatan Imigresen secara berperingkat-peringkat sejak 24 Mei lepas dan dijangka selesai 15 Jun ini.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata lebih satu juta peminjam telah disenarai hitam sejak tahun 2000 namun 655,000 orang yang telah membuat bayaran dikeluarkan daripada senarai tersebut melalui kaedah biasa sebelum ini.

"Saya jangka semua urusan yang berkaitan akan dapat diselesaikan sebelum pertengahan Jun. Maka dengan itu saya percaya bahawa janji yang pertama berkaitan kementerian saya akan dapat kita kotakan," katanya pada majlis penyerahan surat tawaran rasmi kemasukan ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) kepada calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017, di sini hari ini.

Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 telah berjanji untuk memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam PTPTN dan menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang bergaji kurang daripada RM4,000 sebulan.

Mengenai janji penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada peminjam yang bergaji kurang daripada RM4,000 sebulan, Maszlee berkata pihak kementerian memerlukan sedikit masa lagi untuk mencari jalan terbaik termasuk mekanisme pelaksanaan bagi menunaikan janji itu.

"Saya akan membuat pengumuman sewajarnya apabila tiba masanya nanti, sebelum berakhir tempoh 100 hari pertama (Pakatan Harapan menerajui Kerajaan Persekutuan)," katanya.

Maszlee berkata kementerian telah menubuhkan sebuah kumpulan untuk mengkaji dengan teliti cara terbaik bagi melaksanakan janji tersebut dalam tempoh 100 hari dengan tidak menggadaikan kepentingan rakyat lain yang turut diberi keutamaan oleh kerajaan.

"Jadi kita harap peminjam PTPTN dapat terus membayar hutang mereka dan dapat bersabar. Berikan kami waktu untuk membuat kajian dan perincian," katanya.

Ditanya mengenai status peminjam PTPTN yang tersenarai di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS), beliau berkata nama peminjam akan masuk ke dalam senarai CCRIS secara automatik dalam tempoh 13 bulan selepas mereka tamat pengajian.

Bagaimanapun, Maszlee berkata kementerian akan mengkaji isu itu dan membuat penyelarasan dengan CCRIS.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PTPTN Wan Ahmad Wan Yusoff yang turut serta dalam sidang media itu berkata peminjam yang tersenarai di bawah CCRIS boleh hadir ke kaunter PTPTN untuk menyusun semula hutang mereka.

"Kalau tidak mampu bayar ansuran bulanan RM100, boleh bincang untuk bayar RM50," katanya.

Mengenai diskaun bayaran balik PTPTN yang diumumkan dalam Bajet 2018 oleh kerajaan terdahulu, Wan Ahmad berkata ia masih dilaksanakan bagi mereka yang masih berhasrat untuk membayar pinjaman masing-masing.

Diskaun PTPTN ialah 20 peratus untuk bayaran penuh, 10 peratus untuk bayaran 50 peratus sekali bayaran dan 10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus.

Dalam perkembangan lain, Maszlee berkata kementerian telah menubuhkan sebuah jawatankuasa induk pelaksanaan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang berkaitan dengan kementerian tersebut.

Katanya jawatankuasa itu dianggotai oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dan semua anggota pengurusan tertinggi kementerian dengan bahagian dasar sektor pengajian asas dan pengajian tinggi akan bertindak sebagai urusetia.

"Saya sendiri akan mempengerusikan jawatankuasa ini dan saya akan memanggil mesyuarat pertama pada minggu hadapan," katanya.

Ditanya pengiktirafan kepada Peperiksaan Gabungan Sekolah Menengah Cina (UEC) yang turut terkandung dalam manifesto PH, Maszlee berkata perkara itu akan turut dibincangkan oleh jawatankuasa tersebut.

"Sebahagian daripada usaha kami, kami akan berjumpa dengan pihak berkepentingan yang terlibat (termasuk pihak persatuan)," katanya.

Mengenai Program PERMATA yang dipindahkan dari Jabatan Perdana Menteri ke Kementerian Pendidikan seperti yang diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam, Maszlee berkata kementerian telah menubuhkan pasukan petugas khas bagi membincangkan perkara itu. #sumber
Share:

Pelajar Sekolah Harian Biasa, Menang Pertandingan Nuklear Peringkat Dunia


KUALA TERENGGANU: Siapa sangka sebuah perkampungan nelayan di Besut mampu melahirkan juara dunia dalam Pertandingan Pembangunan Sumber Manusia Untuk Tenaga Nuklear yang diadakan di Gyeongju, Korea Selatan, petang semalam.

Lebih istimewa, dua daripada tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut itu pula bukanlah daripada keluarga yang berlatarbelakangkan kerjaya profesional, sebaliknya mereka hanya anak orang kampung yang nekad mahu mencipta sejarah dunia dalam pertandingan itu.

Guru Penyelaras Projek, Wan Zul Azri Wan Mod Shatar berkata segala susah payah pasukan itu berbaloi dengan kejayaan itu dan beliau secara peribadi menyifatkan kejayaan itu sebagai kemuncak kecemerlangannya sepanjang berkhidmat dalam bidang perguruan selama ini.

"Sebenarnya saya sendiri hampir berputus asa dengan 1,001 dugaan sepanjang menyertai pertandingan ini. Kami perlu melalui tiga fasa dalam pertandingan ini di mana fasa pertama disertai 188 pasukan dari 30 buah negara. Alhamdulillah, pasukan kami terpilih untuk fasa kedua.

"Namun di sinilah mula menguji kesabaran saya. Cuba bayangkan untuk muat naik video bersaiz 500 mb yang berdurasi hanya tiga minit sahaja saya perlu mengambil masa setengah jam dan saya mencuba lima kali namun semuanya gagal," katanya kepada Bernama melalui applikasi Whatsapp hari ini. #sumber
Share:

Pihak Berkuasa Di Gesa "Pantau" Orang Awam "Merokok" Di Tapak Expo Aidil Fitri, Stadium Darul Makmur


KUANTAN: Seorang netizen bernama Syar Ir menggesa pihak berkuasa untuk memantau tindakan orang awam yang merokok di khalayak ramai.

Kejadian berlaku di Tapak Expo Aidil Fitri, Perkarangan Stadium Darul Makmur dekat sini.

"boleh x penguatkuasa(MPK) atau mana2 saje pihak berkuasa memantau serta memastikan tiada lg pengunjung2 lelaki(yg kurang akal serta pertimbangan) yg mengunjungi expo raya di perkarangan stadium utk TIDAK MEROKOK di khalayak ramai semasa sdg brjln2 dan juga membeli belah.. tolong lahh..!! hal ini krn byk memberi kesan yg tidak baik kpd pengunjung lain khasnya wanita dan kanak2.. terkesan juga kpd org tua serta lelaki yg tidak merokok.. nk merokok, tlng keluar skjp then masuk balik bila dh siap, fikir org lain sama bang.. mintak cerdik skjp je.. bkn lame.. tlng fhm..", kata kenyataan beliau yang ditularkan dalam group Warga Kuantan (Official) semalam.

Di harap pihak berkuasa terutamanya Jabatan Kesihatan Negeri Pahang segera turun padang untuk memantau isu ini.


Share:

Bekas Pengarang Berita TV3, Khaidir Ahmad Umum Sertai PPBM


TEMERLOH: Calon Bebas Parlimen Temerloh dan DUN Lanchang PRU14, Khaidir Ahmad membuat keputusan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Khaidir membuat kenyataan tersebut dalam posting di Facebook beliau baru-baru ini.

"Selamat Tinggal UMNO... aku dibesarkan dalam keluarga UMNO, menjadi ahli UMNO seawal usia 20 tahun, mendokong UMNO selama 33 tahun dan akhirnya aku terpaksa melangkah keluar kerana matlamat asal perjuangan UMNO sudah tersasar jauh dek ketamakan, kerakusan dan keangkuhan pemimpin2nya di semua peringkat.
Kini bagi aku, Melayu sudah tidak ada pilihan selain BERSATU membina kegemilangan Melayu Baharu", kata kenyataan beliau.

Khaidir yang merupakan bekas Pengarang Berita TV3 merupakan pejuang alam sekitar yang tersohor di bumi Pahang sejak sekian lama.

Dengan penyertaan beliau ke dalam PPBM diharap dapat memantapkan lagi perjuangan parti itu di Temerloh dan bumi Pahang hendaknya. #PDO
Share:

Roslan Madun: "Surat Terbuka" Untuk YAB Menteri Besar Pahang


Sebagai rakyat Negeri Pahang saya ingin menyatakan taat setia dan kasih sayang kepada negeri tanah tumpah darah, meskipun Pahang kini sudah menjadi negeri pembangkang di bawah kerajaan Pakatan Harapan. Maka dengan rendah diri saya ingin mencadangkan agar Negeri Pahang bergerak terus dengan memperkasakan seni budaya dan warisan, seterusnya menjadikan negeri ini sebagai Kota Budaya. Justeru, ada beberapa cadangan yang ingin saya berikan;

1. MENDIRIKAN MUZIUM IKAN SUNGAI PAHANG

Sebuah muzium dalam bentuk taman, didirikan di daerah Temerloh atau mana-mana tempat yang sesuai menjadi laluan pelancong. Di dalamnya dibuat akuarium mengikut jenis ikan yang ada dalam Sungai Pahang. Kalau seibu jenis maka seribu buah akuarium dibuat. Selain caption dan gambar-gambar ikan tesebut di sisi akuarium, erlu juga dibuat video untuk diceritakan tentang sejarah atau mitos ikan itu, termasuk mungkin kegunaannya dari segi saitifik kepada manusia, selain untuk dimakan.

Di sisi muzium didirikan sebuah restoran khusus untuk pelancong. Misalnya sebuah bas membawa pelancong dari Jepun yang memesan gulai ikan patin, sebaik mereka selesai melawat muzium diberi takklimat oleh pegawai muzium, mereka akan dijamu ikan pantin dengan kadar harga yang ditetapkan dalam pamplet yang diedarkan ke seluruh dunia. Perlu juga diwujudkan kedai cenderamata yang designnya semua berkaitan dengan ikan.

2. MENDIRIKAN MUZIUM KAYU

Sebuah muzium kayu di dalam sebidang tanah seluas sepuluh hektar misalnya. Didirikan di mana-mana daerah yang sesuai dan sinonim dengan kayu kayan. Di dalamnya diletak semua jenis kayu yang ada dalam negeri Pahang. Jika ada seribu jenis kayu, maka seribu kayu diletak di situ. Kayu-kayu itu dibuat sebagai ukiran. Misalnya kayu sepetir berbentuk huku keris yang besar, misalnya kayu cengal berbentuk perahu kajang, begitulah seterusnya. Semua kayu itu diukir melambangkan tamadun Melayu.

Di dalamnya juga perlu ada balai kecil untuk sesi penerangan tentang kayu kayan dan hutan di Pahang. Video tentang semua jenis kayu juga perlu dibuat. Pengunjung boleh memilih untuk klip video mana yang mereka nak tengok. Video tak perlu panjang, memandai dengan penerangan tentang perkara penting saja, kalau ala-ala dokudrama sikit lebih menarik. Perlu juga ada kedai soviner kecil yang menjual segala cennderamata berasaskan kayu untuk dibawa pulang.

3. MONUMEN

Dirikan monumen-monumen yang penting dulu. Misalnya monumen Pahlawan Bahaman di Semantan, Monumen Tok Gajah d Budu, Monumen Tok Tuan di Pekan. Sama seperti Muzim Ikan dan Muzium Kayu, di sisi monumen perlu ada benda-benda berkaitan dengan sejarah tokoh tersebut. Zaman digital ini perlu mengaplikasikan teknologi. Misalnya video perperangan Dato Bahaman yang dilakonkan semula boleh dtonton di balai kecil yang didirikan disisi monumen.

Sovenir yang bertemakan sejarah sudah tentu menarik minat pengunjung. T. Shirt gambar Dato Bahaman misalnya. Pameran senjata Melayu, dan busana kepahlawanan Melayu juga perlu untuk pamerkan dan juga untuk jualan. Tempat-tempat berfoto berlatar belakangkan replika  sejarah juga perlu didirikan di situ untuk menarik minat pengunjung. Balai kecil juga mestilah mampu menampung pelajar-pelajar yang mungkin ingin mengadakan seminar sehari mengenai sejarah kepahlawanan tokoh di monumen itu.

4. KAMPUNG SENIMAN

Sebagai pusat kegiatan sastera dan seni budaya. Pahang masih ada tanah kosong untuk tujuan ini. Alangkah eloknya jika didirikan sebuah Kampung Seniman, yang menempatkan para seniman negei Pahang dan juga dari  Kuala Lumpur atau mana-mana, yang mungkin belum ada rumah sendiri. Seniman yang dimaksudkan termasuk di bidang sastera. Cari tanah yang berdekatan dengan sungai, supaya sungai dapat dimanfaatkan bila ada aktivti. Mereka boleh mastautin di  situ sebagai penghuni tetap. Dapat dalam lima puluh keluarga sebagai permulaan dah bagus. Rumah itu tak perlu mewah, dibuat comel design dengan tema tertentu, dengan harga mampu milik.

Kemudian chalet-chaet kecil juga didirikan, guna untuk sewaan para seniman dari luar Pahang termasuk dari luar negara untuk menghadiri acara kesenian dan sastera mingguan atau bulanan di situ. Calet juga boleh untuk didiami pengunjung yang ingin bersantai merasai nikmat suasana kampung. Nama-nama chalet boleh diletak nama seniman atau sasterawan misalnya Rumah Sudirman, Rumah P. Ramlee, Rumah Nordin Ahmad, Rumak Pak Sako, Rumah Keris Mas dan lain-lain. Kampung Seniman boleh didirikan secara berperingkat. Namun aktivitinya mestilah secara berterusan ditunjangi jawatankuasa atau kumpulan yang mastautin di situ. Pendapatan mereka ialah dari aktiviti tersebut, dari jualan soviner, dan dari pertanian, misalnya untuk penghuni Kampung Seniman diusahakan kebun durian yang hasilnya diberi sama rata sesama mereka. Seniman yang tinggal di situ masih boleh ambil job memberi ceramah sastera, berlakon atau menyanyi di luar.

5. PLAZA TENUN PAHANG ALA-ALA PASAR PAYANG ATAU PASAR KHATIJAH

Didirikan sebuah plaza atau bangunan sebagai Pasar Tenun Pahang dan menjual beraneka jenis barangan. Kalau di Terengganu ada Pasar Payang di Kelantan ada Pasar Khatijah, Pahang juga perlu ada satu tempat seperti itu. Ini sebagai tarikan orang datang ke Pahang. Macam sekarang orang datang ke Pahang untuk pergi ke mana? Nak membeli belah di mana?

Pusat Tenun Pahang perlu lengkap dengan imformasi dalam bentuk video terutammanya. Video-video pendek berkaitan sejarah tenun yang berasal dari Makassar itu perlu dibuat. Filem pendek lakon semula yang boleh menyentuh hati sesiapa yang menontonnya. Barulah orang tahu bahawa Tenun Pahang itu mempunyai sejarah yang sangat menarik. Sejarah Tok Tuan yang terpaksa merentasi lautan dari Makassar datang ke Pahang pada abad 16 kalau tak silap saya. Jualan kain tenun juga mestilah ada waktu-waktu tertentu dijual dengan diskaun menarik. Misalnya setiap 1 haribulan ada jualan istimewa untuk menarik pelancong datang ke Pahang. Selain kain tenun Pahang, di situ bolehlah diadakan beraneka jualan barangan lain.

6. MERIAHKAN BANDAR TEPI SUNGAI

Pahang mempunyai bandar tepi sungai, misalnya Kuala Lipis, Jerantut, Temerloh dan Chenor dan lain2. Bandar-bandar ini dulunya menjadi tumpuan kerana di sinilah terbinanya sistem pentadbiran dan budaya hidup orang Pahang dan orang datang dari luar Pahang dengan sangat harmoni. Justeru bandar-bandar tepi sungai perlu dihidupkan dan ditambah nilai dengan segala sistem yang berkaitan dengan pembangunan fizikal dan mental. Misalnya pekan sehari diseragamkan pada hari minggu, kemudian dipopularkan dengan kegiatan seni budaya dan sastera di pentas-pentas kecil mengikut tema tertentu pada minggu itu selain kegiiatan membelibelah.

Di pekan sehari juga perlu didirikan booth-booth dari pelbagai agensi kerajaan untuk khimat masyarakat, seupaya selain untuk membeli barang keperluan, di situ juga boleh mendapat khidmat kerajaan pada hari cuti. Lain-lain seperti pusat permainan kanak-anak supaya tidak menganggu ibu bapa yang berurusan pada hari itu. Bandar tepi sungai ini perlu diwar-warkan melalui internet supaya menjadi tarikan pelancong. Jadikan ia sebuah destinasi "serba ada" dalam semua aspek kehidupan masyarakat. Ia seolah-olah sebuah karnival, dan elok dimulakan pada Sabtu malam degan berbagai kegiatan masyarakat hinggalah ke Ahad petang. Bandar tepi sungai juga  perlu dilengkapi dengan infra struktur kemasyarakatan supaya semua keperluan ada di situ.

7. MANFAATKAN SUNGAI

Pelancong dari luar negara terutamanya datang untuk menikmati percutian santai bagi menikmati keindahan alam semula jadi. Pelancong dalam negara pula mencari tempat untuk berhujung minggu dengan aktiviti seperti berkhemah, memancing atau sebagainya. Ini boleh dibuat di Pahang, dengan mengadakan satu pekej percutian 2 malam, datang Jumaat petang dan pulang Ahad petang. Banyak pekej berkaitan alam sekitar boleh dibuat. Program yang dah ada macam program berakit di Sungai Pahang tu boleh teruskan.

Di sini saya turunkan satu dari idea2 iaitu fokus untuk Temerloh saja dulu, iaitu pekej memancing hujung minggu. Pelancong dibawa dengan bot ke Gunung Senyum pada petang Jumaat. Sampai di sana disediakan khemah atau chalet, dan pada malam itu dihidangkan persembahan kesenian dan makan secara kenduri kampung. Pagi Sabtu pelancong dibawa memancing dengan bot di tempat yang dikenal pasti. Petang nanti mereka dihidangkan dengan gulai ikan sungai yang dipancing. Mana yang tak mahu memancing boleh saja ikut jungle traking. Malam minggu  diadakan acara kesenian di kalangan peserta (pelancong) pula disulami oleh persembahan tempatan. Pagi Ahad mereka dibawa  ke pekan sehari untuk membelibelah dan makan tengahari (perkara 6 berkaitan) sebelum pulang pada petangnya.

8. GALERI TOKOH

Galeri tokoh yang lebih fokus kepada sastera perlu diwujudkan di bandar-bandar kelahiran tokoh sastera. Misalnya di Temerloh Galeri Pak Sako, di Bentong Galeri Keris Mas, di Jerantut Galeri Ahmad Kotot atau Ibrahim Omar begitulah seterusnya. Galeri ini perlu dilengkapi dengan segala hal berkaitan dengan persuratan. Jika ada mahasiswa hendak membuat tesis mengenai tokoh tersebut di sini lengkap, tak perlu cari tempat lain lagi. Sebuah perpustakaan yang lengkap dengan buku-buku sastera dari penulis tanah air juga perlu ada di dalam galeri ini.

Kegiatan sastera seperti baca puisi atau teater bulanan bolehlah diadakan di sini sebagai wadah untuk orang-orang sastera seluruh negara bertemu. Bengkel-bengkel sastera juga perlu disemarakkan di sini. Satu proram melahirkan pelapis di bidang sastera perlu diwujudkan secara konsisten. Galeri ini boleh disekalikan dengan galeri lukisan, arca atau apa saja yang ada kaitan dengan sastera. Ia boleh menjadi tempat menghimpunkan hasil karya tokoh-tokoh yang sudah meninggal dunia supaya tidak hilang dalam simpanan keluarga.

9. BANGSAL PERSILATAN TERBESAR

Di atas tanah seluas 5 atau 10 hektar didirikan bangsal silat terbesar. Namanya bangsal silat, tapi bolehhlah menggunakan bahan tahan lama supaya dapat digunakan sepanjang masa. Bangsal tersebut didirikan beberapa buah mengikut jenis silat. Di sini dijadikan semacam akademi persilatan negara, lengkap dengan tempat penginapan tapi ala kampung, bukan bangunan batu yang mahal. Kegiatan buka gelanggang silat untuk belajar silat mestilah berterusan. Untuk peserrta luar perlulah ada modul pembelajaran hujung minggu misalnya atau mekanisma lain untuk membolehkan mereka belajar dan tempat ini menjadi pusat persilatan bertaraf nasional.

Semua perkara berkaitan persilatan seperti senjata dan buana ada di sini. Malah orang boleh membuat tempahan atau membeli yang sudah siap. Kegiatan demonstrasi silat perlu di susun dan diwar-warkan melalui internet  supaya masuk dalam kalender pelancong. Kalau ada pelajar luar negara ingin belajar bersilat, seperti di Indonesia, bolehlah dibuka. Tempat ini juga boleh djadikan pusat segala informasi dan seminar persilatan negara. Di sini juga disediakan lokasi untuk shooting drama atau filem bercorak persilatan dalam dan luar negara sebagai punca pendapatan kepada kerajaan.

KE ARAH PAHANG "KOTA BUDAYA"

...bersambung

* Ini adalah idea asas saja, perlu dibuat seminar atau forum atau perbincangan dengan pakar-pakar dalam bidang seni budaya, sastera dan sejarah untuk merealisasikannya. Pahang perlu berubah menjadi negeri berbudaya tinggi, kerana hanya dengan idea-idea luar biasa dan pendekatan berbeza dari sekarang, Pahang akan dapat dipacu menjadi negeri tumpuan orang dari dalam dan luar negara. Kita berhenti berpolitik buat sementara, mari kita bina negeri ini menjadi negeri cantik dan disukai semua orang.

Nukilan oleh Roslan Madun, Aktivis seni budaya Pahang yang tersohor di rantau Asia Tenggara. #PDO
Share:

Tun Mahathir: Kos Bina HSR Tidak Berbaloi Terhadap Peluang Kerja !


PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad tetap dengan pendiriannya bahawa projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur - Singapura dibatalkan kerana tidak memanfaatkan ekonomi negara secara keseluruhan.

Perdana Menteri berkata, kos untuk menampung projek berkenaan tidak berbaloi dengan jumlah peluang pekerjaan yang akan dicipta.

"Jika kita membelanjakan RM60 bilion hingga RM100 bilion supaya 100,000 orang boleh bekerja, itu tidak efisien," katanya kepada media selepas Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri di sini, malam ini.

Dr Mahathir mengulas gesaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya kerajaan bersikap telus dalam keputusan pembatalan projek HSR Kuala Lumpur - Singapura.

Najib menerusi Facebooknya hari ini berkata, projek berkenaan bukan diilhamkan berdasarkan keputusan satu negara saja, tetapi melalui kajian terperinci terhadap manfaatnya.

Katanya, berdasarkan unjuran laporan, HSR menunjukkan manfaat ekonomi sehingga RM640 bilion bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga 2069, manakala akan wujud 110,000 peluang pekerjaan dan diunjurkan akan meningkat sehingga 442,000 menjelang 2069.

Kerajaan hari ini memutuskan HSR dibatalkan selepas mengadakan perbincangan dengan Singapura selepas mengambil kira implikasi kewangan kerajaan, kerana ia memerlukan kos tinggi. #sumber

Share:

Tabung "Harapan Malaysia", Mula Terima Sumbangan Derma Rakyat


PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia yang ingin menyumbang kepada Tabung Harapan Malaysia (THM) bagi menangani masalah hutang negara boleh menyalurkan sumbangan mereka menerusi akaun Maybank 566010626452, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata, penubuhan tabung itu yang diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mesyuarat Kabinet hari ini, adalah bagi membolehkan Kementerian Kewangan menguruskan sumbangan rakyat secara sistematik dan telus.

"Derma dan sumbangan yang boleh dihulurkan adalah dalam bentuk mata wang tempatan (Ringgit Malaysia) sahaja," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Guan Eng turut merakamkan penghargaan bagi pihak kerajaan di atas keprihatinan dan segala sumbangan ikhlas rakyat Malaysia dalam menghadapi keadaan ekonomi semasa.

Menurutnya berdasarkan kepada perkembangan semasa ekonomi negara dan keprihatinan rakyat terhadap kedudukan hutang negara, wujud kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia untuk membantu kerajaan.

"Rakyat secara sukarela ingin berkongsi pendapatan mereka dengan menyalurkan derma dan sumbangan ikhlas mereka kepada kerajaan bagi menangani isu tersebut," katanya.

Terdahulu, perdana menteri berkata terdapat ramai rakyat Malaysia sanggup memberi derma kepada kerajaan selepas mengetahui kedudukan kewangan negara dan kerajaan mengalu-alukan sikap patriotik mereka, #sumber
Share:

BN Tewas Di Pusat, Warga Maran Kempunan Dapat Hospital Baharu


MARAN: Penduduk di daerah ini sekali lagi "kempunan" untuk melihat sebuah hospital terbina di kawasan Parlimen Maran. 

Projek pembinaan Hospital Maran yang bernilai RM80 juta yang dijangka  memberi manfaat kepada lebih 130,000 penduduk di daerah ini mungkin tidak menjadi kenyataan selepas Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan Putrajaya pada PRU14 lalu.

Malah, Ahli Parlimen Maran Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib, yang sebelum ini adalah menteri kabinet Kerajaan Malaysia kini sudah tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk membantu bagi merealisasikan hasrat tersebut.

Projek pembinaan Hospital Maran yang dijangka akan bermula pada September 2019 itu mungkin terkubur begitu sahaja susulan kekalahan BN dan rakyat tidak boleh lagi mengharapkan sesuatu.

Sebelum ini sudah beberapa kali pelancaran tapak di buat, namun kayu balak dan hasil mahsul di ambil sebaliknya hospital tingga angan-angan semata-mata.

Ramai yang kecewa dengan senario ini dan mengganggap Ahli Parlimen Maran, gagal memainkan peranan penting selepas menang tiga penggal di kawasan itu.

"Sepatutnya ketika menjadi Timbalan Menteri dan berada dalam kabinet, isu ini dibawa serta diperjuangkan, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Tindakan tegas tidak diambil dan rakyat hanya menlihat tapak hospital yang hasil mahsulnya diambil oleh pihak terbabit. Itulah penangan apabila suara rakyat dinafikan.. hasil mereka sapu.. rakyat hanya dimomok-momokkan untuk dapat undi PRU. Mujurlah beliau masih menang", kata seorang penduduk yang kecewa dengan situasi itu.

Difahamkan, walau pun Parlimen Maran masih dimenangi BN namun dua kerusi DUN tumbang iaitu Chenor dan Luit. Susulan kekalahan itu, kini nampaknya Hospital Maran mungkin tidak menjadi kenyataan. Tambahan pula kini kerajaan pusat sudah ditadbir oleh Pakatan Harapan.

Sudah pasti segala peruntukan yang berkenaan tidak dapat lagi diberikan, tambahan pula Maran kni sudah menjadi parlimen pembangkang. #PDO
Share:

Affendi: Menteri Pertahanan Guna Pesawat TUDM Atas Urusan Rasmi


SHAH ALAM: Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang menafikan wujudnya unsur salah guna kuasa apabila Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menggunakan pesawat TUDM ke Majlis Berbuka Puasa dan perjumpaan warga TUDM di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang.

Menurutnya, kehadiran Mohamad ke majlis pada 26 Mei lalu adalah jemputan program rasmi tahunan TUDM serta perjumpaan pertama anggota TUDM bersama Menteri Pertahanan.

“Pada hari penerbangan, pesawat pengangkut TUDM A400M membawa delegasi Menteri Pertahanan dan pegawai-pegawai kanan ATM ke Butterworth. Penerbangan pesawat tersebut juga digunakan bagi memberi manfaat dan melengkapkan jam penerbangan juruterbang TUDM yang membawa pasangan berkenaan.

“Ini kerana setiap juruterbang perlu melengkapkan jumlah jam penerbangan bagi mengekalkan tahap kompetensi mereka.

“Sehubungan itu, pergerakan berkenaan juga dapat menjimatkan kos penerbangan oleh Kementerian Pertahanan bagi kedua-dua tujuan yang dinyatakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Wawancara Khas Panglima Tentera Udara Bersama Media Sempena Hari TUDM Ke-60 di Bangunan Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang.

Jelasnya, kehadiran Menteri Pertahanan mengikuti penerbangan bersama pesawat A400M juga bertujuan memberikan pendedahan berkenaan keupayaan, prestasi, kredibiliti dan kemampuan pesawat pengangkut pelbagai guna dalam menjalankan pelbagai operasi ketenteraan disamping mengekalkan tahap kesiagaan ATM.

Sebelum ini, peguam Datuk Abu Backer Sidek membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mendakwa berlakunya salah guna kuasa terhadap aset kerajaan berkenaan penggunaan pesawat TUDM. #sumber
Share:

Padah Gara-Gara "Ketuk Kepala", Pegawai Imigresen Kena Gantung Tugas


PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen (IMIGRESEN) mengenakan tindakan serta merta tahan kerja terhadap seorang pegawainya yang dikaitkan dengan video yang tular di media sosial.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pihaknya memandang serius perkara itu ekoran perlakuan pegawai itu jelas menjejaskan imej dan bertindak bertentangan kod etika jabatan dan perkhidmatan awam.

“Pengurusan tertinggi Imigresen telah mengambil tindakan serta merta dengan mengenakan tindakan tahan kerja ke atas pegawai terbabit.

“Imigresen tidak akan berkompromi terhadap pegawainya yang melakukan pelanggaran integriti sehingga mencemarkan nama baik dan imej jabatan serta tidak akan melindungi mereka melakukan kesalahan sedemikian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian berhubung isu video seorang pegawai Imigresen yang bertindak dengan kasar ke atas seorang warga asing ketika berurusan di kaunter Imigresen di Wisma Persekutuan, Johor Bahru, hari ini, yang tular di media sosial.

Katanya, tindakan serius akan diambil tanpa kompromi termasuk buang kerja terhadap pegawai yang melakukan kesalahan.

“Imigresen tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tatatertib berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan& Tatatertib) Pindaan 2002,” katanya. #sumber
Share:

Semua '13 Jawatan' Ketua UMNO Bahagian Di Negeri Pahang Akan Di Tandingi


KUANTAN: Jawatan Ketua UMNO Bahagian di semua bahagian di negeri ini kecuali Pekan bakal ditandingi bagi memilih pemimpin baharu dalam usaha memastikan parti terus kekal relevan dalam politik semasa.

Menurut sumber pejabat Perhubungan UMNO negeri, pemilihan kepemimpinan peringkat bahagian itu akan berlangsung dalam mesyuarat UMNO bahagian yang akan diadakan serentak di 14 bahagian, 30 Jun ini.

Katanya, sudah pasti bahagian yang menunjukkan prestasi buruk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bakal menyaksikan pertandingan untuk memilih pemimpin baharu menerajui bahagian berkenaan.

"Contohnya, bahagian Indera Mahkota, semua kerusi tewas dan kita percaya akan ada perubahan besar dalam bahagian itu.

"Untuk Paya Besar pula, memang akan ada pertandingan memandangkan Ketuanya, Datuk Seri Abdul Manan Ismail meninggal dunia pada 12 Februari lalu dan timbalannya, Datuk Sohaimi Jusoh juga meninggal dunia hujung tahun lalu," katanya.

Sumber berkata, semua ketua UMNO Bahagian sudah dimaklumkan mengenai tarikh untuk mengadakan mesyuarat masing-masing.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebelum ini dilaporkan berkata, mesyuarat UMNO di peringkat bahagian ditetapkan pada 30 Jun dan semua persidangan ini perlu dijalankan secara serentak dengan pemilihan parti di semua peringkat. #sumber
Share:

Pembatalan HSR Itu Perlu, Bukan Permusuhan Terhadap Singapura


KUALA LUMPUR: Pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) adalah langkah perlu dan sama sekali bukan tindakan permusuhan atau tidak puas hati terhadap Singapura, yang berkongsi sejarah dan setia kawan dengan Malaysia sejak sekian lama, kata Penasihat Kanan, Institut Strategik dan Kepimpinan Asia, Dr Oh Ei Sun.

Sekarang ini adalah waktu ekonomi mencabar kepada kerajaan baharu Malaysia, yang disebabkan oleh pendedahan mengejutkan akan banyaknya hutang terselindung dan kewajipan sebelum ini.

"Dengan demikian, banyak projek awam bersaiz besar terpaksa ditangguhkan buat masa ini untuk memperketatkan perbelanjaan.

"Apabila ekonomi kedua-dua negara pulih semula nanti, banyak projek untuk faedah bersama akan dibentangkan semula," katanya kepada BERNAMA News Channel melalui aplikasi WhatsApp dari Beijing, ketika diminta mengulas berhubung pembatalan projek HSR.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam sidang media pada Isnin, berkata Malaysia akan membatalkan projek HSR kerana ia tidak memberikan keuntungan kepada Malaysia.

Ditanya berhubung pampasan sebanyak RM500 juta yang Malaysia perlu bayar berikutan pembatalan projek itu, Dr Oh, yang adalah penceramah, pakar motivasi, perunding dan usahawan yang dikenali, berkata:

"Saya yakin hubungan baik yang dijalin sekian lama antara kedua-dua negara berjiran itu akan menentukan kaedah dan jumlah penyelesaian pembatalan itu diselesaikan dengan cara paling kreatif dan memuaskan hati bersama," katanya.

Hakikatnya katanya, "Malaysia seharusnya fokus untuk membangunkan rumah mampu milik pada masa ini supaya setiap rakyat berupaya memiliki bumbung untuk berteduh. Pada masa ini terdapat limpahan hartanah berharga tinggi."  #sumber
Share:

M Kula: Kadar "Gaji Yang Rendah" Faktor "Rakyat Malaysia" Memilih Kerja


PUTRAJAYA: Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran mendedahkan kadar gaji yang rendah dipercayai merupakan antara faktor mengapa sebab ramai rakyat Malaysia bersikap memilih kerja.

“Pekerja tempatan tidak mahu menerima sesuatu pekerjaaan jika gajinya terlalu rendah.

“Anda tidak boleh minta rakyat Malaysia membandingkan gaji untuk mereka dengan yang diberi kepada warga asing yang bekerja di sini.”

Sehubungan itu, isu berkenaan katanya perlu diselesaikan segera.

Kula berkata demikian kepada media semasa sambutan Hari Wesak di Kuil Buddha Mekprasit di Ipoh semalam, lapor Malaysiakini.

Sebelum ini, Kula dilapor media berkata kementeriannya akan menangani masalah kekurangan pekerja tempatan sehingga memaksa Malaysia bergantung pada pekerja asing.

Beliau memberi jaminan bahawa Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) akan memberi keutamaan kepada pekerja tempatan berbanding pekerja asing.

Justeru, semua perjanjian kerajaan terdahulu termasuk melibatkan pengambilan 1.5 juta pekerja asing dari Bangladesh akan disemak semula.

“Kita akan benarkan pekerja asing untuk masuk bekerja tetapi ia akan berdasarkan keperluan.

“Keutamaan akan tetap diberikan kepada pekerja kita dahulu, Kita utamakan rakyat Malaysia dahulu, yang lain, kedua,” katanya minggu lalu. #sumber
Share:

Masalah Air Di Pahang Berlarutan, 'Kerajaan Pusat' Di Minta Campur Tangan


RAUB: Masalah gangguan air di negeri Pahang bukanlah sesuatu yang baru namun ia terus berlarutan meskipun telah banyak kali dilaporkan kepada agensi terbabit dan disuarakan di Dewan Undangan Negeri.

Baru-baru ini, Sinar Harian melaporkan bahawa penduduk beberapa kawasan sekitar Raub terpaksa berhadapan dengan ketiadaan air kira-kira dua minggu sehingga menyebabkan mereka terpaksa menggunakan air hujan akibat ketiadaan air.

Masalah itu berkalu akibat penutupan Loji Rawatan Air Bilut akibat kekeruhan air mentah yang tinggi sebagaimana diumumkan Pengurusan Air Pahang Berhad 25 Mei lalu.

Masalah tersebut bagaimana pun mendapat perhatian Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji yang selama ini sering mengadakan pertemuan dengan agensi-agensi terbabit khususnya Pengurusan Air Pahang (PAIP).

Bagi menyelesaikan masalah ini, beliau mencadangkan supaya dua pendekatan diwujudkan iaitu untuk jangka masa pendek dan panjang.

Menurutnya, penyelesaian jangka masa pendek dapat dilakukan dengan menambah dan menyediakan lori tangki khususnya di kawasan kritikal supaya penduduk memperolehi bekalan air secukupnya.

“Dalam jangka masa panjang, saya akan memanggil semua agensi atau jabatan berkenaan (bertemu) dengan agensi Persekutuan seperti pihak PAIP sendiri, Jabatan Alam Sekitar, Perhutanan, SPRM dan sebagainya untuk kita tubuhkan sebuah pasukan khas (task force) bagi menyelesaikan masalah loji di Bilut (akibat kekeruhan air),” katanya yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP itu.

Beliau berkata, pihaknya akan bertemu dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk membincangkan penyelesaian masalah yang berlarutan lama itu. #sumber
Share:

Wan Azizah 'Dakwa' Terma-Terma Perjanjian Projek ECRL Amat Aneh


KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan perlu berhati-hati menilai perjanjian projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) kerana terma-terma perjanjian yang amat aneh.

Wan Azizah berkata pihaknya diberitahu terma-terma dalam perjanjian itu “boleh kata amat aneh” kerana antaranya ia “tidak berdasarkan kemajuan kerja.”

“Perdana menteri perlu mengkaji semula projek itu kerana kita sudah membuat satu perjanjian semasa kerajaan lepas dan kita tidak mahu bayar pampasan yang akan merugikan negara,” katanya ketika ditemui di majlis berbuka puasa di Kompleks Sukan Pantai Eco City Park.

Pakatan Harapan mahu mengkaji semula projek laluan keretapi api bernilai RM55 bilion itu, yang sepanjang 688km merentasi sebahagian Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan. Langkah menkaji semula projek besar ini, termasuk projek-projek besar lain seperti Keretapi Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), sebahagian daripada usaha kerajaan untuk berjimat cermat dan mengurangkan hutang negara.

Ditanya mengenai respons Singapura kepada projek HSR, Dr Wan Azizah berkata republik pulau itu memberi komitmen kepada sebarang perbincangan mengenai projek itu.

“Apabila Dr Mahathir buat keputusan ia telah mengambil kira banyak perkara dari segi kewangan negara. HSR bukan pengangkutan awam yang menjadi pilihan sebab sekarang ada penerbangan murah dan penerbangan domestik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Wan Azizah berkata PH memang terbuka kepada mana-mana pihak untuk bersama mereka.

Sementara itu, Wan Aziah menyokong idea membenarkan ahli UMNO menyertai PH asalkan mereka bersama agenda reformasi gabungan itu.

“Memang ada perbezaan antara parti dan pendapat namun kalau kita tiba pada satu tahap di mana rakyat memilih (kata putus). Kita nakkan kerajaan untuk semua,” katanya.

Penerimaan ahli Umno menimbulkan perbezaan pendapat dalam kalangan pimpinan Pakatan Harapan. Dr Mahathir hari ini berkata PPBM mendapati ramai ahli-ahli Umno berminat menyertai PPPBM dan mengalu-alukan mereka.

“Kita tentukan mereka boleh sertai parti kita setelah mereka isytihar keluar Umno dan jadi bebas, dan kemudian nyatakan pendirian mereka terhadap kerajaan PA, barulah kita boleh timbang kemasukan mereka,” kata Perdana Menteri. #sumber
Share:

Anthony Loke: Tan Sri Isa Samad Kini Bukan Lagi Pengerusi SPAD !


PUTRAJAYA: Tan Sri Mohad Isa Samad meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) susulan keputusan kerajaan menutup agensi itu, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke hari ini.

“Isa menyerahkan surat peletakan jawatannya 2 hari lalu,” kata Loke di kementeriannya hari ini.

Loke sebelum ini berkata sudah tiba masa untuk Isa dan lantikan politik bawah pentadbiran sebelum ini untuk letak jawatan, memandangkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan SPAD akan ditutup.

Loke juga berkata lantikan politik dalam agensi berkaitan kementerian juga harus letak jawatan.

“Ini termasuklah lantikan politik dalam pihak berkuasa pelabuhan.

“Saya harap mereka akan ambil jalan keluar yang mulia dan letak jawatan. Saya tidak mahu memalukan mereka dengan memecat mereka,” katanya sebagaimana yang dilaporkan.

SPAD ditutup untuk mengecilkan saiz kerajaan dan membuang fungsi bertindih, katanya.

“Rancangan jangka panjang adalah memansuhkan undang-undang berkaitan SPAD di Parlimen dan kakitangannya diserap masuk ke dalam kementerian untuk mengecilkan saiz perkhidmatan awam.

“Kita akan kurangkan jumlah kakitangan jika fungsi mereka bertindih,” kata Loke. #sumber
Share:

Majlis Penasihat Kerajaan, Panggil "Pembeli Tanah" Lot Felda Di Jalan Semarak


KUALA LUMPUR: Pengarah Pembangunan Bisnes Synergy Promenade Sdn Bhd, Datuk Marina Hashim antara dilihat dipanggil berjumpa dengan Majlis Penasihat Kerajaan petang tadi.

Difahamkan Marina bersama pasukannya memasuki pekarangan Ilham Tower kira-kira jam 3.45 petang tadi.

Bagaimanapun beliau kemudiannya dilihat meninggalkan bangunan itu kira-kira jam 5 petang.

Majlis Penasihat Kerajaan dianggotai lima individu iaitu bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin; bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican; Ahli Ekonomi, ProfJomo Kwame Sundaram dan tokoh perniagaan, Robert Kuok.

Sebelum ini beberapa individu lain turut dilihat berjumpa dengan badan yang dilantik kerajaan itu.

Synergy Promenade merupakan syarikat membangunkan projek Kuala Lumpur Vertical City yang pernah menjadi kontroversi dengan Felda.

Sebelum ini, Felda dilaporkan berisiko kehilangan hak ke atas tanah berstrategik di Jalan Semarak, yang dianggarkan bernilai lebih RM250 juta, apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015, tanpa pengetahuan Felda.

Tanah milik Felda yang bernilai RM270 juta itu mula menjadi kontroversi apabila Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad mendedahkan penukaran milik tanah berkenaan tanpa mendatangkan sebarang pembayaran kepada Felda.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi membangunkannya. #sumber
Share:

Najib Kecewa, Berikutan Tindakan Tun Mahathir Batalkan Projek HSR !


KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa kerajaan jangan emosi dalam membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR)yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura.

Menerusi hantaran di Facebooknya, bekas Perdana Menteri itu turut memperincikan mengapa HSR wajar diteruskan.

"Projek ini bukan diilhamkan berdasar kepada keputusan dibuat satu negara sahaja. Ia dibuat secara kajian terperinci termasuk manfaat dari segi kos bagi membuktikan wujud manfaat sosial dan ekonomi bagi kedua-dua negara,” katanya.

Menurutnya,Malaysia banyak manfaat termasuk melalui jualan tiket kerana majoriti landasan adalah di Malaysia.

"Ia adalah sebahagian daripada agenda transformasi untuk Malaysia baharu yang akan mewujudkan industri baharu, kaedah baharu untuk kerjasama antara dua negara, meningkatkan pekerjaan berpendapatan tinggi serta taraf hidup lebih baik," katanya.

Najib menambah, HSR juga akan mewujudkan pusat pertumbuhan baharu seperti Batu Pahat, Muar, Ayer Keroh, Melaka dan  Seremban.

"Saya kecewa dengan keputusan terburu-buru untuk membatalkan projek ini dan menggesa kerajaan untuk bersikap lebih telus dan mengadakan rundingan sebelum membuat sebarang keputusan kerana ia akan memberi kesan kepada masa depan ekonomi, peluang pekerjaan dan jenis pekerjaan untuk rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata, kerajaan baharu mendakwa kos projek ini adalah RM110 bilion sedangkan jawatankuasa bersama Malaysia–Singapura, sehingga awal tahun ini mengunjurkan kos bagi projek ini adalah kira-kira RM72 bilion sahaja.

“Ia termasuk pengambilan tanah dibayar kepada rakyat Malaysia, berasaskan kepada penilaian antarabangsa yang dilakukan dan dikemukakan sebelum ini," katanya.

Najib juga mahukan penyelasan bagaimana kerajaan memperoleh angka RM110 bilion?

Adakah angka ini dinaikkan atas dasar politik sebagaimana dilakukan terhadap angka RM1 trilion bagi‘hutang negara?’

"Saya terkejut dengan kenyataan Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan Malaysia tidak mendapat pulangan sesen pun daripada projek HSR.

"Saya mahu bertanya kepada Dr Mahathir apakah projek Lebuhraya Pan Borneo dan Lebuhraya Central Spine Road yang tiada tol, projek LRT, MRT dan monorel mendapat pulangan dari hasil tiket sahaja?," katanya.

Beliau menjelaskan, projek -projek infrastruktur ini mendatangkan pulangan kepada negara dari segi kepesatan ekonomi. #sumber
Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.