KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa hasil siasatan polis mendapati dua tertuduh remaja melompat masuk ke dalam kawasan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dengan membawa petrol yang diisi dalam botol air mineral dalam kejadian kebakaran menyayat hati, yang mengorbankan 23 penghuni pusat itu.
Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Othman Abdullah berkata pada malam sama sebelum kebakaran tercetus pada 14 Sept 2017, tertuduh-tertuduh telah berbual bahawa mereka mahu membakar pusat tahfiz tersebut.
Katanya tertuduh-tertuduh dilihat meninggalkan Lorong Keramat 18, Jalan Datuk Keramat pada 4.15 pagi hari kejadian dengan kedua-duanya menunggang motosikal dan pada jam 4.30 pagi, mereka telah ke kawasan berhampiran pusat tahfiz sebelum masuk ke dalam kawasan pusat tahfiz dengan cara melompat pagar dan membawa petrol yang diisi dalam botol air mineral.
"Pada jam 4.50 pagi, tertuduh-tertuduh telah melompat keluar daripada pusat tahfiz berkenaan dalam keadaan cemas dan tergesa-gesa sebelum meninggalkan tempat kejadian dengan menunggang motosikal sama. Pada masa sama cahaya api telah kelihatan di tingkat 3 pusat tahfiz tersebut," katanya dalam ucapan pembukaan pada hari pertama perbicaraan kes kebakaran pusat tahfiz itu dan kematian 23 penghuninya di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.
Othman berkata pihak polis juga berjaya menemukan beberapa rakaman kamera litar tertutup yang mengesahkan kehadiran tertuduh-tertuduh di beberapa lokasi termasuk di kawasan berhampiran tempat kejadian. #sumber







Tiada ulasan:
Catat Ulasan