script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar Meninggal Dunia Pagi Tadi

KUANTAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar, Dato' Mohd Shohaimi Jusoh, 55, meninggal dunia di rumahnya di Sungai Isap Damai awal pagi tadi.
Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Seri Abdul Manan Ismail berkata beliau dimaklumkan berita itu oleh pegawai Shohaimi kira-kira 3.55 pagi dan amat terkejut kerana mereka baharu berjumpa Jumaat lepas.
Katanya mereka bersama menghadiri program sumbangan Jom ke Sekolah oleh Yayasan Felda peringkat Parlimen Paya Besar dan Shohaimi tidak kelihatan sakit walaupun demam beberapa hari sebelumnya.
“Saya bertanya jika arwah sudah sihat dan beliau menjawab demamnya sudah kebah. Saya hanya tahu arwah ada penyakit kencing manis.
“Malam semalam juga ada kawan-kawan telefon beritahu arwah mengajak sesi mengeteh di warung berhampiran rumahnya, yang merupakan kebiasaan arwah pada waktu malam.
“Bagaimanapun tiba-tiba arwah batalkan hasrat itu dan beritahu tak apa, kita jumpa malam lain,” katanya semasa dihubungi Bernama hari ini.
Abdul Manan berkata jenazah dibawa ke Masjid Sungai Isap pada 11.00 pagi tadi untuk dimandi dan dikafankan sebelum dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sri Fajar, Gambang sebelum solat Zohor. #sumber
Share:

Pengerusi SPR: Jangan Terpedaya Tarikh PRU Tular Di Media Sosial !

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan orang ramai tidak mempercayai tarikh pembubaran parlimen dan hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sedang tular di media sosial.
Pengerusinya Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata hak membubarkan parlimen bawah perkenan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.
Dalam kenyataannya, beliau berkata mesej yang sedang tular dan mendakwa kononnya parlimen akan dibubarkan pada 11 Januari 2018, penamaan calon pada 11 Mac dan hari mengundi ditetapkan pada 25 Mac, adalah tidak munasabah.
“Ini kerana tarikh pembubaran dan pengundian dinyatakan melebihi tempoh 60 hari seperti dinyatakan bawah Perkara 55(4) Perlembagaan Persekutuan, menetapkan apabila parlimen dibubarkan, pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh bubar,” katanya lagi. #sumber
Share:

Presiden ANAK, "Mazlan Aliman" Menangis Rayu Selamatkan Felda !

PETALING JAYA: Aktivis generasi Felda, Mazlan Aliman tidak dapat menahan sebak dan menangis ketika diwawancara mengenai kemelut yang melanda agensi kerajaan itu oleh sebuah saluran YouTube milik Amanah, Oren TV.
Dalam wawancara itu, Mazlan yang mengetuai Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) melahirkan rasa sedih dengan skandal yang berlaku mutakhir ini dan merayu warga Felda, insaflah dengan apa yang berlaku.
Mazlan berkata beliau sedih melihat nasib peneroka, terutama mereka yang sudah berusia terpaksa berdepan dengan kesan buruk akibat pentadbiran yang terlalu mengejar keuntungan poket sendiri.
“Saya tiada apa-apa kepentingan… Sebagai anak peneroka, kasih dan sayang saya kepada peneroka Felda, saya merayu, berubahlah, demi anak-anak kita yang sedang membesar,” katanya sambil menitiskan air mata di akhir wawancara selama lebh sejam itu.
“Jika kita hancurkan Felda, bererti kita telah membawa malapetaka kepada mereka yang hidup akan datang,” katanya.
Semalam, Mazlan dan beberapa peneroka Felda berkunjung ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyatakan rasa tidak puas hati dengan keputusan membersihkan Felda daripada salah laku rasuah.
Ia susulan laporan Berita Harian yang Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik bernilai RM270 juta itu, susulan urusan pindah milik tanah yang mencurigakan pada 2015.
Polis berkata pasukan khas sedang menyiasat kes Felda kehilangan hak ke atas tanahnya di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, yang dipercayai mempunyai nilai pasaran beratus juta ringgit.
Mazlan, 51, berkata beliau sudah 30 tahun menyusuri isu Felda dan kini hanya mahu agensi itu “kembali ke landasan yang betul”.
“Siapa pun yang pegang, bagi saya walaupun orang ini orang politik, biarlah dia orang politik yang bersih, ada integriti dan paling penting ada keazaman politik yang kuat untuk buat perubahan,” katanya menahan sebak.
Katanya, jika Felda ditadbir oleh mereka yang berintegriti, kegemilangannya akan kembali seperti tahun-tahun sebelumnya.
“Tapi kalau kita fikirkan wang, fikirkan aset Felda untuk buat duit, kita bersama golongan kapitalis ambil kesempatan daripada keringat orang kampung, penyudahnya menyedihkan.” #sumber
Share:

Saifuddin Harap Bekas Seterunya, Nizam Hamid Calon Di Temerloh !

PETALING JAYA: Datuk Saifuddin Abdullah, yang kalah kepada PAS di kerusi Temerloh, Pahang pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu, yakin kerusi itu boleh dirampas daripada parti Islam itu melalui gabungan Pakatan Harapan (PH).
Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang menyertai PKR itu turut berharap PH akan mencalonkan Ahmad Nizam Hamid sebagai calon pada PRU ke-14 yang perlu diadakan pertengahan 2018.
Nizam merupakan seterunya di Temerloh pada 2008, ketika Saifuddin masih dalam UMNO.
Bagaimanapun, pada 2013, Saifuddin tewas kepada Nasruddin Hassan dari PAS, dengan majoriti 1,070 undi.
Beliau akur dengan dapatan tinjauan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), yang mengatakan kekalahannya disebabkan oleh gelombang “ubah” yang menawan pengundi Cina.
UMCEDEL berkata 60% daripada pengundi Cina di Temerloh memberikan undi mereka kepada PAS, atas dasar mengalahkan calon Barisan Nasional (BN).
Saifuddin berkata, pengundi Cina ketika itu dipengaruhi oleh ahli keluarga lebih muda yang kebanyakannya tidak menetap di Temerloh dan tidak mengenalinya secara peribadi.
Saifuddin berharap untuk PRU yang akan datang, perlawanan 3 penjuru dapat dielakkan.
“Tetapi jika PAS memilih untuk mempertahankan kemenangan di Temerloh, masih tidak mustahil untuk Pakatan memenangi kerusi itu,” katanya.
PAS bukan merupakan sebahagian daripada PH, dan sebelum ini berkata akan meletakkan calon melawan gabungan itu di samping BN.
Saifuddin berkata sentimen pengundi Cina terhadap PAS sudah berubah.
“PAS mempunyai 2 masalah di Temerloh, iaitu Cina tidak akan mengundi untuk mereka dan ramai yang mempersoalkan komitmen ahli Parlimen sekarang, yang kerap tiada di sana. Apabila beliau ada sekali pun, kebanyakan untuk ceramah,” katanya.
Beliau mendedahkan PKR dan Amanah masih berunding untuk bertanding di kerusi itu, tetapi katanya, Temerloh adalah kerusi “yang baik untuk PKR secara semula jadi” kerana corak penduduk dan kaum di situ.
Menurut bancian Jabatan Statistik 2010, Temerloh terdiri daripada 75.7% penduduk Melayu, 15.8% Cina, 7.8% India, selebihnya kurang 1% kaum lain.
Pada 2008, Saifuddin memenangi lebih daripada 53% undian menentang Nizam.
Untuk PRU13, Nizam bertanding di kerusi Lanchang dalam Temerloh dan kalah kepada calon UMNO Mohd Sharkar Shamsudin dengan perbezaan undian sebanyak 1,100.
Bagaimanapun, Saifuddin berkata Nizam akan menjadi calon yang baik untuk bertanding di Temerloh pada pilihan raya akan datang, terutamanya dalam perlawanan 3 penjuru.
“PAS kemngkinan besar tidak akan meletakkan Nasruddin sebagai calon dan mencari calon baharu mungkin sukar, terutama jika PKR akan meletakkan ‘budak’ Temerloh, Nizam, yang berpengalaman di situ,” katanya.
Bagi kerusi negeri dalam Temerloh pula, Saifuddin berkata beliau percaya Amanah akan mendapat sambutan baik di Kuala Semantan, dan DAP pula di Mentakab, sementara PKR atau PPBM boleh bertanding untuk Lanchang.
PAS berpengaruh besar di Kuala Semantan, tetapi Adunnya, Syed Hamid Mohamed beralih ke Amanah pada 2015.
Calon PKR sebelum ini bertanding di Lanchang, tetapi Saifuddin menyifatkannya sebagai kawasan pengaruh UMNO.
“Jadi, mungkin PPBM adalah pilihan lebih baik,” katanya.
Mentakab pula adalah kerusi campuran. Menurut Saifuddin, undian Melayu di sana hampir terbahagi kepada 2 dengan sama rata, dengan Umno yang mungkin menang tipis dan kebanyakan undian Cina akan diraih oleh Pakatan. #sumber
Share:

Tanya Irwan Serigar Sumber Dana Wang 1MDB "Bayar Hutang" IPIC !

PUTRAJAYA: Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani enggan mengulas dakwaan dalam laporan media mengenai pembayaran hutang 1MDB kepada syarikat kerajaan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC), sebaliknya pemberita diminta bertanya kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan.
Akhbar Singapura, Straits Times melaporkan 1MDB berupaya membayar AS$602.7 juta (RM2.4 bilion) dengan melupuskan sahamnya dalam 2 syarikat kepada pembeli dikaitkan dengan syarikat milik China.
Apabila ditanya tentang perkara ini, Johari berkata kerajaan tidak berhutang sedikit pun dengan China untuk sebarang pembangunan akan datang di Malaysia.
“Kita langsung tidak berhutang dengan China,” katanya sebelum meminta pemberita mendapatkan lebih banyak maklumat tentang perkara itu daripada Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah yang juga Pengerusi 1MDB.
Ansuran ke-2 pembayaran pinjaman IPIC sebanyak AS$1.2 bilion yang dilanjutkan pada Julai 2015 kepada 1MDB, dilunaskan Jumaat lalu (22 Disember), menjelang tarikh akhir 31 Disember ini yang dipersetujui kedua-dua pihak awal April lalu.
IPIC dalam kenyataan pada Rabu mengesahkan “pihanya sudah mendapat semua dana yang perlu dibayar kepada IPIC menjelang 31 Disember di bawah penyelesaian dengan Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan 1MDB serta Anugerah Persetujuan yang dibuat pada 9 Mei 2017”.
Ansuran pertama dilangsaikan Ogos lalu.
Straits Times memetik sumber mendakwa ansuran kedua itu dibayar dengan dana diraih daripada jualan pelaburan dalam instrumen kewangan 1MDB dan saham dalam 2 entiti berkaitan 1MDB yang memiliki beberapa bidang tanah di Pulau Pinang dan satu hartanah berkeluasan 128 hektar di sekitar Pelabuhan Klang.
“Pegawai kerajaan enggan mendedahkan identiti pembeli dalam transaksi hartanah itu tetapi seorang eksekutif kewangan yang mengetahui situasi itu berkata, kepentingan ekuiti dalam entiti hartanah 1MDB itu diperolehi ‘pihak dikawal perusahaan milik kerajaan China’,” lapor akhbar Singapura itu.
1MDB dalam kenyataan Rabu lalu berkata, semua bayaran dibuat daripada hasil program rasionalisasi yang sednag dijalankan.
Untuk ansuran pertama, 1MDB pada April lalu berkata, mereka akan menggunakan unit pelaburan milik anak syarikat 1MDB, Brazen Sky Limited, untuk membiayai pembayaran itu.
Pertikaian antara 1MDB dan IPIC berkisar tentang pinjaman IPIC dan wang pendahuluan sebanyak AS$3.54 bilion yang didakwa 1MDB disalurkan kepada beberapa entiti dikawal Abu Dhabi sebagai sebahagian hutang di bawah pengurusan bon pada Mei 2012.
PIC bagaimanapun mendakwa pihaknya tidak pernah menerima wang itu daripada 1MDB, sekaligus mencetuskan pertikaian.
Jabatan Kehakiman AS memfailkan beberapa saman sivilnya bagi merampas hartanah dan aset mewah yang didakwa dibeli menggunakan dana diseleweng daripada 1MDB berjumlah lebih AS$3.5 bilion.
Siasatan pengubahan wang haram turut dijalankan di sekurang-kurangnya 6 negara, termasuk Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura. #sumber
Share:

Lelaki Menyamar Anggota Polis, Culik Pelajar 16 Tahun Di Raub !

KUANTAN: Polis giat mengesan seorang lelaki berusia awal 30-an yang disyaki menyamar sebagai anggota polis semasa melarikan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun, semalam.
Ketua Polis Daerah Raub Supt Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata suspek yang berkulit sawo matang dan bertubuh kurus itu dipercayai memperdayakan ibu mangsa dengan memaklumkan dia memerlukan pertolongan daripada mangsa.
Katanya, suspek ke rumah mangsa di Kampung Ulu Gali, Sungai Ruan, Raub sekitar pukul 11 pagi dan memperkenalkan dirinya sebagai anggota polis berpangkat sarjan yang baharu bertukar ke Balai Polis Sungai Ruan.
“Suspek kemudiannya meminta izin mahu membawa mangsa untuk membantu mengambil motosikal yang baharu dibelinya. Ibu mangsa membenarkan dan melihat anaknya menaiki kereta suspek.
Mangsa juga menghubungi ibunya pada pukul 1 tengah hari memaklumkan dia berada di sebuah pasar raya di Raub dan akan pulang tidak lama lagi,” katanya semasa dihubungi hari ini.
Wan Mohd Zahari menambah pada pukul 3 petang, ibu mangsa sekali lagi menerima panggilan telefon yang mana mangsa memberitahu dirinya di Gua Musang, Kelantan dan berada dalam keadaan selamat dan akan pulang tidak lama lagi.
“Panggilan itu bagaimanapun terputus menyebabkan ibu mangsa cuba menghubungi anaknya beberapa kali namun gagal sebelum dia menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) memintanya untuk tidak berasa risau,” katanya.
Sehubungan itu, ibu mangsa membuat laporan polis pada pukul 4 petang semalam.
Wan Mohd Zahari menambah laporan media sosial yang menyatakan suspek berpakaian seragam polis adalah tidak benar kerana suspek hanya memperkenalkan diri kepada ibu mangsa sebagai anggota polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan individu yang membawa hukuman penjara 7 tahun dan juga boleh didenda serta Seksyen 170 kanun sama kerana menyamar penjawat awam yang boleh dihukum penjara maksimum 2 tahun atau denda, jika sabit kesalahan. #sumber
Share:

Kes "Rogol Anak" Sehingga Hamil, Bapa Kena Dakwa Di Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Seorang bapa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan merogol anak perempuannya berumur 15 tahun.
Lelaki berusia 50 tahun itu didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu di rumah mereka di Air Itam antara 9.45 malam, 20 Disember hingga 12.30 malam 21 Disember lepas.
Tertuduh yang bekerja sebagai peniaga didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun atau boleh dikenakan sehingga 10 sebatan jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Farah Aimy Zainul Anwar tidak menawarkan sebarang jaminan kerana mangsa adalah remaja bawah umur dan ini merupakan kes sumbang mahram.
Hakim Irwan Suainbon tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 29 Januari depan untuk pengurusan kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam dan serahan laporan perubatan mangsa.
Sabtu lepas, polis mengesahkan seorang peniaga ditahan atas dakwaan merogol anak perempuannya berusia 15 tahun di rumah mereka sehingga hamil. #sumber
Share:

ANAK Hairan SPRM Kata Tidak Ada Unsur Rasuah & Salah Guna Kuasa !

PUTRAJAYA: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) mempertikaikan kesimpulan awal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes pindah milik tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, bahawa tidak ada unsur rasuah dan salahguna kuasa dalam transaksi kontroversi itu.
Presiden Mazlan Aliman berkata kesimpulan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki sejurus selepas negara digemparkan dengan isu Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah bernilai RM270 juta kepada sebuah syarikat swasta menimbulkan lebih banyak persoalan.
“Sepatutnya penyiasatan harus dilakukan terlebih dahulu sebelum apa-apa kesimpulan,” kata Mazlan kepada pemberita di depan ibu pejabat SPRM hari ini.
“Sebab inilah kenapa kita mendesak Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Felda, khususnya di zaman Tan ri Isa Samad, mesti dilakukan.”
Anak hari ini tampil bersama-sama Pemuda Pakatan Harapan untuk menyerahkan memorandum mendesak agensi anti-rasuah itu meneruskan siasatan ke atas transaksi itu.
Pada hari yang sama Berita Harian (BH) membongkar kes tersebut, SPRM mengumumkan tiada unsur rasuah dan salah guna kuasa selepas meneliti dokumen dan maklumat berkaitan selepas menerima laporan 4 bulan lalu. Azam dilaporkan berkata, kes menjurus kepada kelemahan tadbir urus dan tertakluk bawah siasatan polis.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan, iaitu penipuan serta pemalsuan dokumen.
Kes transaksi tanah Felda bernilai RM270 juta di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, dilaporkan berlaku tanpa Felda menerima sebarang wang daripada syarikat yang membeli tanah itu. Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad “terpegun” pindah milik tanah institusi kerajaan boleh dilakukan begitu mudah. Beliau mula menyedari perkara itu pada akhir Januari.
Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (PA) bagi membangunkan tanah itu.
“Kesan daripada PA itu adalah memberikan kuasa, bukan sahaja membangunkan tanah itu, malah memberi kuasa memindah milik tanah,” kata Naib Ketua Pemuda PH Faiz Fadzil selepas penyerahan memorandum hari ini.
“Apabila dijual pada pihak ketiga, wang RM270 juta tidak dibayar dan tidak ada apa-apa tindakan diambil terhadap Tan Sri Isa Samad.”
Felda dipengerusikan Isa sehingga Januari lalu. Beliau merupakan pengerusi FIC sejak syarikat itu ditubuhkan pada 2 Julai 2013 sehingga kini. #sumber
Share:

Mayat Kanak-Kanak Yang Hilang Di Pantai "Kuala Sungai Pontian" Di Temui


KUANTAN: Mayat seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang hilang ketika mandi di pantai Kuala Sungai Pontian, Kuala Rompin dekat sini semalam ditemukan hari ini.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, mayat itu ditemukan pasukan mencari dan menyelamat kira-kira 150 meter dari lokasi Nik Hafizuddin Nik Aziz dilaporkan hilang.
“Mayat mangsa dijumpai pada pukul 1.30 petang selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR)  disambung pagi tadi.
“Mangsa dilaporkan hilang pada pukul 3.45 petang semalam ketika mandi di kawasan itu bersama abang dan rakan-rakannya. Dia dipercayai gagal menyelamatkan diri akibat arus kuat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Azli, mayat mangsa dihantar ke Hospital Rompin untuk bedah siasat. #sumber

Share:

Pengawal Keselamatan 'Maut' Di Tanduk, Di Pijak Oleh Kerbau Di Temerloh


KUANTAN: Seorang pengawal keselamatan maut selepas ditanduk dan dipijak seekor kerbau ketika sedang menaikkan haiwan tersebut ke atas sebuah lori di kawasan belukar berhampiran rumahnya di Kampung Paya Tambang, Temerloh dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, dalam kejadian pada pukul 6.45 petang itu, Bazarudin Yeop Yahya, 59, memanggil rakan-rakannya untuk membantu menaikkan kerbau itu ke kenderaan berkenaan untuk dijual namun secara tiba-tiba ia mengamuk.


Situasi itu, katanya, menyebabkan seutas tali yang mengikat haiwan itu menjadi longgar.
“Kerbau berkenaan mengamuk dan menanduk di bahagian perut serta memijak mangsa.
“Mangsa masih meminta rakan-rakannya menaikkan kerbau tersebut sedangkan dia terbaring kesakitan di belukar berdekatan sebelum dibawa pulang ke rumahnya,” katanya di sini hari ini.
Menurut Zundin, keluarga mangsa segera membawanya ke hospital namun disahkan meninggal dunia akibat pendarahan teruk di perut. #sumber

Share:

Kerajaan Arahkan Semua Sekolah Henti Amalan "Asing Pelajar" Ikut Kepandaian

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan mengarahkan semua sekolah menghentikan sepenuhnya amalan pengasingan kelas melalui ujian kemasukan tahun 1 mulai 2019, dalam usaha mengelakkan jurang kepandaian antara pelajar.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin dipetik Berita Harian berkata, amalan itu bukan dasar pendidikan, sebaliknya ia kaedah sekolah untuk mengejar pencapaian akademik mengikut Gred Purata Sekolah (GPS) yang menjadi petunjuk prestasi utama (KPI).
Katanya, Jabatan Pendidikan Negeri juga perlu menghentikan sekolah kawalan yang memilih pelajar berdasarkan pencapaian akademik, sukan dan disiplin yang tidak sejajar dasar pendidikan negara.
Sekolah atau kelas kawalan di peringkat menengah bertujuan menyisih pelajar baik yang gagal ke sekolah berasrama penuh dengan pelajar kurang cemerlang.
“Kita tidak menggalakkan amalan ini yang kadangkala menyusahkan pelajar kerana ada sesetengah kes, pelajar terpaksa pergi ke sekolah jauh kerana tidak diterima di sekolah berhampiran kawasan perumahannya.
“Selaras Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) yang mula dilaksanakan tahun ini, sekolah tidak lagi perlu mengejar GPS kerana kita mahu semua murid dididik secara holistik dan tidak terlalu mementingkan pencapaian akademik semata-mata.
“Tiada keperluan untuk pihak sekolah mengasingkan murid mengikut tahap akademik. Sebaliknya, kita menggalakkan semua pelajar yang mempunyai tahap penguasaan akademik dan kelebihan berbeza dicampurkan supaya dapat saling membantu,” katanya pada sidang media di Institut Aminuddin Baki, Nilai, semalam.
Amin berkata, Kementerian Pendidikan tidak bercadang mengeluarkan pekeliling mengenai semua amalan lama itu, sebaliknya berharap pentadbir sekolah memahami dan menerapkan amalan seiring dasar pendidikan negara. #sumber
Share:

JAS Sahkan Air Sungai Telang Lipis Kini Memang Kelihatan Tercemar !


KUANTAN: Jabatan Alam sekitar (JAS) Pahang mengesahkan air di Sungai Telang, Kampung Beletik, Lipis kelihatan tercemar dengan warnanya bertukar seakan-akan air lumpur, seperti yang diadu oleh orang awam.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata JAS Pahang telah mengambil sampel air sungai di kawasan berkenaan untuk dianalisis susulan aduan yang diterima oleh beliau menerusi aplikasi WhatsApp pada 12 dan 19 Dis lalu.


Katanya siasatan lanjut JAS Pahang juga mendapati berlaku aktiviti perlombongan di kawasan hutan Simpan Tersang dan usaha sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada lombong terbabit beroperasi secara sah atau tidak.
"Saya memandang serius terhadap pencemaran sungai ini kerana Sungai Telang merupakan sumber utama yang digunakan penduduk kampung untuk kegunaan harian seperti air minuman, mencuci pakaian dan menangkap ikan.
"Oleh demikian, saya telah mengarahkan JAS untuk menggunakan apa juga kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk mengekang pencemaran ini," katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya hari ini.
Sementara itu, Wan Junaidi berkata buat masa ini, arahan pemberhentian kerja serta-merta akan dikeluarkan terhadap operator terbabit bagi membendung pencemaran yang berlaku dan arahan untuk melaksanakan langkah-langkah pemulihan kawasan yang menjadi punca pencemaran sungai juga akan dikeluarkan.
Keengganan mematuhi arahan ini boleh menyebabkan setiap operator didenda sehingga RM50,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan, katanya.
"Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sentiasa mengambil berat dan prihatin terhadap keperluan dan denyut nadi rakyat dalam mengurus pembangunan negara demi mengekalkan sumber asli dan alam sekitar secara lestari," katanya.
Wan Junaidi berkata JAS Cawangan Cameron Highlands juga telah memanjangkan aduan itu kepada Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Pahang, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pahang, Pejabat Tanah dan Daerah Lipis serta Pejabat Hutan Daerah Raub untuk tindakan selanjutnya di bawah bidang kuasa agensi masing-masing. #sumber
Share:

Tempoh Angkut Baki Lebih 10 Juta Tan Bauksit Perlulah Di Tetapkan !


KUANTAN: Kerajaan Persekutuan perlu menetapkan tempoh bagi memastikan bauksit yang masih berbaki lebih 10 juta tan itu dapat diangkut dan diselesaikan dalam jangka masa ditetapkan.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, sekiranya tiada tempoh tertentu ditetapkan, pastinya warga Kuantan akan  berterusan berdepan dengan bencana pencemaran.

"Saya lihat tiada tempoh masa yang di tetapkan. Adakah ia bermaksud warga Kuantan akan berterusan berhadapan dengan bencana pencemaran nanti?," katanya.

Fuziah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang akan menarik balik penyitaan stok bauksit lebih 10 tan di negeri ini.

Menurutnya, awal moratorium pada Januari 2016, stok bahan mineral itu yang berada di pusat penyimpanan dianggarkan berjumlah 5.4 juta tan.

Jelasnya, kemudian setelah itu didapati 5.8 juta tan stokpile telah dieksport sehingga bulan julai 2017 sedangkan stokpile asal tidak juga berkurangan.

"Pada waktu itu, SPRM masuk dan terus menyita stokpile kerana terbukti telah berlaku aktiviti 'korek bauksit haram' dan aktiviti korek sambil angkut stokpile sewaktu dlm tempoh moratorium.

"Kini jelas jumlah stokpile yang 10 juta tan hari ini ialah stokpile tambahan (haram) yang di korek ketika sewaktu moratorium sedang berlangsung.

"Jumlah stokpile haram ini dua kali ganda dari stokpile asal. Kini stokpile haram ini pula nak di benarkan  untuk diangkut dan  dieksport," katanya.

Fuziah berkata, mengikut graph trend  itu, stokpile haram kali yang kedua ini mungkin dijangkakan akan meningkat menjadi 20 juta tan sekiranya tidak diperketatkan undang-undang.

"Jumlah itu  dua kali ganda dari jumlah stokpile haram yang pertama? Anda fikir bagaimana? Boleh kah nanti pihak yang dipertanggungjawabkan untuk mengawal selia bertindak secara telus dan rasuah dapat dielakkan?

"Bagaimana sekiranya berlaku lagi 'korek sambil angkut' stokpile?," soalnya.

Kelmarin, SPRM dalam satu kenyataan akan menarik balik penyitaan stok bauksit lebih 10 juta tan di Pahang selepas kerajaan bersetuju memperkenalkan satu peraturan baharu mengekang perlombongan mineral itu.

Peraturan baharu itu dipersetujui Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), Jabatan Geosains dan Mineral serta kerajaan negeri bagi mengekang isu perlombongan bauksit secara tidak sah yang menyebabkan pencemaran alam sekitar dan kerugian kepada hasil kerajaan negeri. #sumber
Share:

Sharkar: Yayasan Pahang Belanja RM1.1 Bilion, Sejak 30 Tahun Lalu


TEMERLOH: Yayasan Pahang membelanjakan sebanyak RM1.1 bilion bagi meningkatkan kualiti program pembangunan dan bantuan pendidikan sejak ditubuhkan lebih 30 tahun di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pe­lan­­congan dan Kebudayaan ne­geri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, peruntukan besar itu telah memberikan manfaat kepada lebih 1.35 juta penerima.
Beliau berkata, jumlah pene­rima itu hampir menyamai jumlah penduduk negeri ini sekali gus membuktikan kerajaan ne­geri memberi keutamaan terhadap pembangunan pendidikan.
“Perbelanjaan itu meliputi pemberian biasiswa, dermasiswa, pinjaman dan program-program pendidikan secara berterusan ba­gi memperkasakan kualiti pendi­dikan anak Pahang.
“Peruntukan besar dalam pel­bagai program yang dirancang membuktikan bahawa ke­rajaan negeri melalui Yayasan Pahang menitikberatkan soal pendidikan anak negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Anak Pahang (BAP) 2018 peringkat Parlimen Temerloh di Dewan Tun Razak di sini baru-baru ini.
Yang hadir sama, Pengurus Kanan Bahagian Operasi Yayasan Pahang, Airulamri Amran dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh, Datuk Mohd. Azlan Yaman.
Pada majlis berkenaan, seramai 1,600 murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah dari kawasan Parlimen Temer­loh menerima sumbangan RM200 seorang yang membabit­kan peruntukan keseluruhan RM320,000.
Mohd. Sharkar dalam pada itu berkata, Yayasan Pahang juga tidak ketinggalan memberikan biasiswa kepada murid dan pelajar yang berkelayakan di negeri ini.
Menurutnya, sejak dilaksa­na­kan pada 2004, seramai 102,000 murid sekolah rendah dan 162,000 pelajar menerima biasis­wa ber­kenaan.
“Kerajaan negeri akan juga te­rus memberikan bantuan termasuk kewangan kepada pelajar cemerlang yang tidak mendapat pembiayaan bagi meneruskan pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi,” katanya. #sumber
Share:

"20 Tahun", Penduduk Kampung Alor Batu Di Hantui Masalah Lalat !


KUANTAN: Kira-kira 1,200 penduduk Kampung Alor Batu, Jabor di sini dihantui masalah lalat sehingga menjejaskan aktiviti seharian selama hampir 20 tahun yang didakwa berpunca daripada ladang ternakan ayam berdekatan kampung itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung itu Mohd Rosli Yusop berkata rumah dan kedai makan di kampung itu sentiasa dihurungi lalat pada jumlah yang banyak yang sungguh menjijikkan dan menjejaskan kesihatan.

"Keadaan bertambah buruk setiap kali ayam dibawa keluar dari reban untuk dijual kerana ketika itu reban akan dicuci dan disembur racun. Ia menyebabkan serangga itu lari ke arah kampung.

"Pelbagai cara telah dilakukan oleh penduduk bagi mengatasinya termasuk memanggil Jabatan Kesihatan untuk memberi khidmat nasihat, pemeriksaan dan bantuan ubatan membasmi lalat namun ia tetap menemui jalan buntu," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Mohd Rosli berkata beliau percaya masalah berkenaan akan berterusan jika pengusaha tidak beralih kepada kaedah penternakan di dalam reban tertutup.

"Pengusaha  masih menggunakan kaedah lama iaitu menternak dalam reban terbuka. Ini berbeza dengan kaedah terkini di mana ayam diternak dalam reban tertutup dan ia pastinya menghalang sebarang pembiakan serangga termasuk lalat, Kami terpaksa hidup dalam keadaan amat tidak selesa," katanya.

Pemilik warung, Saroddin Sidek, 46, berkata pendapatan beliau dan peniaga makanan lain di kawasan itu amat terjejas kerana pelanggan jijik dengan situasi premis yang sentiasa dihurungi lalat.

"Siapalah yang ingin menjamu selera jika melihat terdapat ribuan lalat menghurung kedai kami, makanan dan minuman jika dihidangkan pula terpaksa ditutup bagi mengelakkan dimasuki serangga itu. Sudah pelbagai ubat saya gunakan bagi menghapuskannya tetapi ia tetap datang tanpa apa-apa kesan," katanya.

Seorang daripada penduduk, Rahmah Ali, 38, berkata aktiviti seharian mereka terganggu rentetan masalah berkenaan yang tiada kesudahan.

"Bayangkan apabila ada kenduri kendara di sini, pasti tetamu yang hadir terutama orang luar berasa tidak selesa. Sedikit sebanyak mereka risau mendapat penyakit apabila menikmati juadah disediakan berikutan terdapat begitu banyak lalat," katanya. #sumber

Share:

UMNO Kuantan "Hulur Bantuan" Persekolahan Kepada 250 Murid !


KUANTAN: UMNO Bahagian Kuantan meneruskan tradisi membantu golongan yang memerlukan bantuan menerusi program Jom kembali Ke Sekolah bagi meringankan beban ibu bapa menyediakan kelengkapan persekolahan.
Program anjuran Pergerakan Wanita UMNO Kuantan itu melibatkan 250 murid dan pelajar dari sekitar Parlimen ini yang dibawa membeli sepasang pakaian sera­gam, beg, stoking serta kasut sekolah di Pusat Pakaian Hari Hari di sini hari ini.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO Kuantan, Datuk Zaiton Mat berkata, para penerima bantuan itu terdiri daripada anak yatim dan keluarga miskin yang mana pemilihan mereka dibuat mengikut cawangan-cawangan UMNO di dalam bahagian tersebut.
“Program ini dijayakan dengan kerjasama rakan penaja daripada syarikat swasta. Ia adalah antara usaha kami bagi memastikan murid dan pelajar daripada golongan kurang berkemampuan dapat memasuki musim baharu sekolah dengan lebih ceria.
“Diharapkan sumbangan ini dapat membantu mengurangkan beban golongan memerlukan dalam membuat persediaan untuk membolehkan anak-anak mereka meneruskan sesi persekolahan 2018 dengan kelengkapan persekolahan mencukupi,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.
Yang hadir sama Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat.
Zaiton berharap inisiatif murni itu dapat diperluas dan dilaksanakan secara berterusan dengan menarik penglibatan pelbagai pihak supaya prihatin dengan nasib murid dan pelajar yang kurang berkemampuan untuk membuat persedia­an bagi sesi persekolahan baharu.
Sementara itu, Wan Adnan berkata, program pemberian bantuan yang dijalankan oleh UMNO Bahagian Kuantan menerusi kerjasama sayap-sayap parti berkenaan diadakan secara berterusan demi memberi keselesaan dan kesejahteraan kepada rakyat. #sumber

Share:

Ridzuan: PAS Hanyalah Berangan, Untuk Mentadbir Negeri Pahang !


TEMERLOH: Angan-angan Pas kononnya untuk mentadbir Pahang dengan pentadbiran yang lebih baik sebenarnya hanyalah retorik semata-mata.

Ketua Penerangan UMNO Temerloh, Datuk Ridzuan Hazimin Ramli (foto) berkata, pertamanya Pas sendiri tidak pernah bertanding kerusi yang secukupnya untuk membentuk kerajaan di negeri Pahang.

Menurutnya yang keduanya, rekod daripada segi prestasi dan pentadbiran negeri Pahang kini jauh mengatasi Kelantan.  

“Program-program bantu rakyat begitu semarak di Pahang seperti bantuan diberikan Yayasan Pahang dalam bidang pendidikan berjumlah lebih RM 1 bilion serta bantuan mangsa-mangsa ribut, rumah terbakar dan banjir diberikan secara konsisten di bawah kerajaan BN sekarang.

“Pengalaman UMNO/BN memerintah disertakan dengan iltizam terus membantu rakyat menjadi teras kepada keberkesanan program-program bantu rakyat yang dilaksanakan,” katanya mengulas kenyataan PAS semalam.

Ridzuan berkata, hutang yang terpaksa dibuat kepada kerajaan pusat adalah kerana pengorbanan negeri Pahang yang terpaksa mengurangkan kawasan pembangunan bagi memenuhi rizab hutan negara.  

Beliau berkata, Pahang adalah pembekal oksigen dan karbon dioksida terbesar di semenanjung Malaysia.

Semalam Pesuruhjaya Pas Pahang Rosli Abd Jabar bersama kepimpinan Pas negeri mendakwa mampu menjadi pentadbir kerajaan negeri yang lebih baik jika diberi peluang memerintah Pahang.

Menurutnya, Pas Pahang bersedia menerajui kerajaan negeri ini selepas PRU14 jika diberi mandat dengan memperkenalkan sistem pentadbiran lebih baik berlandaskan lslam.

Rosli berkata, antara isu menjadi keutamaan Pas dalam pentadbiran negeri ialah penyelesaian hutang kerajaan negeri yang mana dikatakan tertinggi di Malaysia.

“Pas juga akan mengkaji operasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya ia memberi keuntungan maksima kepada kerajaan negeri,” katanya. #sumber
Share:

PAS Serang Balik PPBM, Nafi Hadi Mahukan Kabinet ‘Melayu Sahaja’ !

PETALING JAYA: PAS menafikan yang Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan hanya pemimpin Melayu dan beragama Islam yang boleh menjadi anggota jemaah kabinet di Malaysia.
Sebaliknya Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata artikel Hadi diputar belit pihak media sehingga mendapat kritikan hebat beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan parti komponen Barisan Nasional (BN).
“Tiada satu ayat pun di dalam kenyataan Presiden PAS yang mahu kabinet Melayu sahaja atau ‘all-Malay cabinet’. Olahan tajuk sensasi ini jauh daripada maksud sebenar ulasan Presiden PAS,” kata Tuan Ibrahim.
Menurutnya, apa yang dimaksudkan Hadi ialah Melayu-Islam perlu memimpin di dalam konteks politik Malaysia, sementara bukan Islam diterima untuk memerintah bersama di dalam bidang-bidang kepakaran dan pengurusan.
“Islam meletakkan mestilah ketua negara dan anggota kabinetnya yang beraqidah Islam daripada bangsa yang paling berpengaruh. Tetapi pada masa sama, Islam memberi hak yang lebih banyak kepada penganut bukan Islam dalam aspek politik, ekonomi dan lain-lain urusan kehidupan,” katanya menerusi kenyataan.
Tuan Ibrahim berkata pendirian Hadi tidak berbeza dengan dasar yang selama ini diutarakan parti PH seperti PKR dan DAP, yang menjamin perdana menteri dari kalangan Islam.
“Mengapa Pakatan Harapan bermain politik kaum di dalam susunan jawatan mereka untuk dilihat ia dipimpin oleh orang Melayu sedangkan yang mempunyai kerusi parlimen terbesar, DAP?,” soalnya.
Beliau turut mencabar pemimpin PH dan BN untuk menyatakan pendirian mereka sama ada mereka tidak bersetuju negara diterajui pemimpin Islam.
“Ini adalah dasar yang diterima oleh PPBM, DAP, PKR, Amanah dan juga BN. Apakah mereka yang menuduh presiden PAS rasis tidak bersetuju bahawa yang perlu memimpin Malaysia ialah dari kalangan penganut Islam? Jika ya, sila nyatakan pendirian ini secara terbuka,” katanya, memberikan respon kepada seorang pemimpin PPBM yang menyifatkan kenyataan Hadi sebagai “rasis”.
Tuan Ibrahim berkata PPBM sendiri tidak membuka keahliannya kepada semua kaum.
Dalam artikel Hadi yang diterbitkan portal rasmi parti Islam itu, Harakahdaily Jumaat lalu, beliau berkata pemimpin bukan Islam di bawah kerajaan Islam masih boleh menganggotai kabinet, tetapi bukan dalam membuat dasar.
“Dalam aspek politik, Islam tegas mewajibkan kepimpinan utama yang menjaga dasar dan konsepnya daripada penganut Islam dan menerima bukan Islam dalam aspek kepakaran dan pengurusan, bukannya perkara dasar dan konsep. Maka, Islam menerima kedudukan bukan Islam melalui pilihan raya atau konsep kerajaan teknokrat,” tulis Hadi.
Tuan Ibrahim berkata kritikan terhadap Hadi tidak lebih daripada “politik murahan” memfitnah Presiden PAS itu. #sumber
Share:

Ikatan Pengundi Berbilang Kaum, Fuziah "Yakin Kekal" Di Kuantan !

KUANTAN: Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yakin pengundi akan terus menyokongnya selagi beliau bertanding di kerusi itu.
Fuziah mendakwa ikatan yang terjalin dengan pengundi di Kuantan melampaui parti politik dan lebih kepada peribadi, apabila beliau mula memenangai kerusi itu pada 2008.
“Saya sudah berusaha. Saya turun padang dan saya boleh rasa ada hubungan peribadi antara saya dan pengundi sekarang. Ia bukan lagi mengenai parti.”
Beliau mendakwa hakikat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Kuantan terbahagi antara Barisan Nasional (BN) dan pembangkang menunjukkan wujud kepelbagaian pendapat politik di kalangan pengundi.
“Mereka akan undi saya di Parlimen, tetapi di peringkat negeri, parti politik masih memainkan peranan.”
Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lalu, calon PKR, Sim Chon Siang memenangi kerusi DUN Teruntum, wakil PAS, Rosli Abdul Jabar memenagi kerusi DUN Tanjung Lumpur dan calon BN, Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif menang di kerusi DUN Inderapura.
Fuziah bertanding di kerusi Parlimen sejak PRU 1999, tetapi hanya berjaya menewaskan calon BN buat pertama kali pada 2008.
Pada 2008, Fuziah melawan calon MCA, Datuk Fu Ah Kiow buat kali ke-2 dan berjaya meraih majoriti tipis dengan mendapat 52% undi. BN bagaimanapun memenangi 3 kerusi DUN di bawah Parlimen Kuantan pada PRU sama.
Pada 2004, Fuziah kalah kepada Fu yang berjaya mendapat 63% undi. Fu adalah Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri ketika itu.
“Ketika itu, saya tidak dikenali, tetapi Umno sudah biasa dengan orang Melayu dan apabila seorang calon Melayu menentang MCA, orang Melayu yang menyokong Umno merasakan mereka suka mengundi calon Melayu berbanding Cina dan itu sebabnya saya menang, walaupun pembangkang kalah di 3 kerusi DUN.”
Pada 2013, UMNO “meminjam” kerusi itu daripada MCA bagi memanfaatkan peningkatan pengundi Melayu, tetapi Fuziah berjaya menewaskan calon Umno, Datuk Mohamed Suffian Awang dengan majoriti tipis 54% undi.
Suffian adalah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuantan dan setiausaha politik kepada Pengerusi BN dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Fuziah mendakwa ia disebabkan selepas kemenangan pertamanya, beliau memastikan berusaha sedaya upaya untuk membuktikan kepada rakyat mereka membuat pilihan tepat memilihnya sebagai ahli Parlimen.
“Saya sedar saya menang bukan kerana kekuatan parti kami, ia bukan kerana sebab itu. Ia disebabkan retorik perkauman UMNO yang memakan diri mereka.
“Jadi, bermula dari hari pertama, saya menjadikannya matlamat peribadi untuk bekerja keras dan membuktikan saya boleh menjadi suara rakyat dan memperjuangkan hak mereka dan membawa masalah mereka ke Parlimen.
“Dalam masa 5 tahun penggal pertama saya, mereka nampak saya bekerja keras untuk mereka dan saya berjaya menyelesaikan lebih 6,000 kes yang dibawa kepada perhatian saya di kawasan saya.”
Kuantan ialah kawasan majoriti Melayu dengan 78.5% ialah pengundi Melayu, Cina 17.9%, India 3.3% dan kaum lain 0.3%, menurut bancian penduduk pada 2010.
Fuziah lahir di Johor pada 1959, tetapi dibesarkan di Pahang dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Perempuan Methodist di Kuantan. #sumber

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.