script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Pertubuhan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang Didakwa Duduki Tanah Kerajaan Tanpa Kebenaran Sah

KUANTAN: Pertubuhan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (PPNP) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran yang sah.

Pertubuhan itu yang diwakili bendaharinya Wan Aidie Amin Wan A. Aziz mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang didakwa dilakukan di Kampung Kawah, Mukim Hulu Kuantan di sini pada 2 petang, 18 Jun 2024.

Pertuduhan mengikut Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara (Revised 2020) Akta 828 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) Muhammad Najmi Zaki Amer Suhaimi dan Muhammad Taqiyuddin Azizan manakala PPNP diwakili Asiah Abd Jalil.

Muhammad Najmi Zaki berkata pihak pendakwaan tidak menetapkan sebarang jumlah jaminan dan meminta mahkamah menentukan atas budi bicara.

Sementara itu, Asiah memohon jaminan minimum dengan mengambil kira ia sebuah pertubuhan dan wang ikat jamin ialah wang pertubuhan selain kes berkenaan tidak melibatkan kerugian kepada hasil kerajaan negeri.

Hakim Azman Mustapha membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 April untuk sebutan semula kes. #BERNAMA

Share:

Program Himpunan 'Pahang Bermunajat Raja Berdaulat' Sepatutnya Ada Mesej, Bukan Hanya Ceramah

KUANTAN: Objektif penyatuan rakyat dalam memartabatkan institusi Raja Berdaulat di negeri Pahang menerusi Himpunan Pahang Bermunajat Raja Berdaulat, malam tadi dikatakan tidak tercapai sepenuhnya.

Menurut Tengku Ahmad Fareez Tengku Zulkifly, 34, penganjuran himpunan di Padang MBK itu sepatutnya boleh dipenuhi lagi dengan intipati penyebaran mesej penyatuan rakyat, bukan hanya sekadar ceramah sahaja.

“Saya memang bersemangat dan teruja untuk hadir semalam, terutamanya sebagai rakyat Pahang yang mempertahankan institusi beraja.

“Kelazimannya, yang dinamakan ‘himpunan’ ini bertujuan menyampaikan pesan, tapi himpunan semalam cuma mendengar ceramah khas. Sepatutnya, jangan dinamakan program itu ‘himpunan’, tapi program ceramah,” katanya.

Beliau yang juga merupakan salah seorang kerabat Diraja Negeri Pahang memberitahu, hadir ke program itu yang bermula di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, di sini bersama ayah dan dua orang adik lelakinya.

“Benar, tuanku Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah ada bertitah sewaktu program di dalam Masjid Negeri. Tapi, bagi saya, pengisian program yang di Padang MBK sepatutnya perlu lebih lagi daripada sekadar ceramah,”jelas Tengku Ahmad Fareez.

Sementara itu, Nur safiah hanani norhalizan, 21 pula memberitahu, teruja kerana dapat melihat sendiri Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah secara berdepan sewaktu program terbabit.

Dia yang merupakan pelajar sebuah institusi pengajian tinggi swasta di sini berkata, dia hadir bersama abangnya ke program yang bermula pada jam 7 petang itu.

“Saya juga rasa kagum sebab dapat melihat para pemimpin, wakil rakyat negeri ini yang mengenepikan fahaman politik masing-masing dan hadir bersama-sama di program itu.

“Lagipun sempena bulan Ramadan yang akan tiba ni, baik sama-sama eratkan ukhuwah. Baguslah. Jangan gaduh-gaduh,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pandangan sama juga dikongsi Khairunnisa Amrina Azlan, 23, yang memberitahu ia merupakan pengalaman pertama kali menyertai perhimpunan beramai-ramai seperti itu.

Katanya, sejurus habis waktu bekerja, dia mengambil keputusan untuk hadir kerana teruja apabila mengetahui keberangkatan Sultan Pahang ke program berkenaan.

“Intipati program juga bagi saya baik. Sebab mengeratkan silaturrahim semua yang hadir. Lebih-lebih lagi dah nak masuk bulan Ramadan kan. Ia program yang bagus lah,” kata Khairunnisa. #MGAZETTE

Share:

Sultan Pahang Bertitah Perpaduan Adalah Kunci Paling Utama Kepada Keamanan Dan kemakmuran Sejagat

KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah perpaduan adalah kunci utama kepada keamanan dan kemakmuran sejagat.

Baginda bertitah sehubungan itu, rakyat diminta supaya tidak membiarkan perbezaan fahaman dan kepentingan kecil memecahbelahkan masyarakat.

"Jangan biarkan perbezaan menjadi punca perpecahan, sebaliknya hormatilah antara satu sama lain dan carilah titik persamaan demi kesejahteraan bersama.

"Pada masa yang sama, saya ingin mengingatkan semua pihak agar perlu sentiasa bersangka baik.

"Janganlah kita terlalu cepat menilai seseorang atau sesuatu perkara dengan sikap negatif," titah baginda semasa berangkat pada Program Himpunan Pahang Bermunajat Raja Berdaulat di Masjid Negeri di sini malam tadi.

Berangkat sama Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mengetuai barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan kerajaan supaya menyantuni dan prihatin terhadap rakyat di samping pembangkang memainkan peranan membina serta memberi cadangan yang baik.

"Semua pihak, kerajaan, pembangkang dan rakyat mesti meninggalkan sikap suka memfitnah, menabur kebencian dan menyebarkan berita tidak benar yang akan melemahkan perpaduan serta menghakis nilai moral dalam masyarakat," titah baginda. #HMETRO

Share:

Pemimpin politik Akur Dengan Titah Sultan Pahang, Tak Berterusan Panjangkan Isu Titah Adendum

KUALA LUMPUR: Pemimpin politik akur dengan titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya semua pihak tidak berterusan membahaskan isu Titah Adendum kerana perkara itu sudah berada di bawah proses undang-undang.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, berkata jika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa bersikap telus, perbahasan ini tidak berlaku dan akan berpanjangan.

"Salah kerajaan dan PM10 (Anwar) kerana gagal menyelesaikan isu ini secara cepat dan baik, sebaliknya mengakibatkan ia berpanjangan sehingga melebihi satu tahun.

"Kita junjung titah Tuanku Sultan Pahang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, isu ini turut menjadi perbahasan umum selepas pemimpin UMNO yang pro bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melihat terdapat elemen penderhakaan dan kegagalan untuk menjunjung kehendak-kehendak Perlembagaan Persekutuan.

Al-Sultan Abdullah seperti dipetik dalam laporan media pagi tadi mahu semua pihak menghormati proses undang-undang yang sedang berlangsung.

Turut akur dengan titah baginda, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh.

"Menjunjung titah tuanku," katanya ringkas ketika diminta mengulas saranan Sultan Pahang itu.

Pada Januari lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Najib juga dikatakan akan memfailkan permohonan untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh kerana didakwa 'menyorokkan' Titah Adendum.

Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan Al-Sultan Abdullah yang juga Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan bekas perdana menteri menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Kini, perbicaraan kes itu sedang berjalan di Mahkamah Tinggi. #BHARIAN

Share:

Bekas Pemain Kebangsaan S. Subramaniam Anggap Faktor Fizikal Punca Sri Pahang FC Kecundang 1-5

KUALA LUMPUR: Bekas pemain pertahanan kebangsaan, S. Subramaniam melihat faktor fizikal menyumbang kepada kekalahan Sri Pahang FC di tangan Terengganu FC.

Pandangan itu dibuat beliau selepas melihat kesukaran anak buah Fandi Ahmad mengekang asakan hebat pelawat diketuai pemain sayap Harimau Malaya, Safawi Rasid.

Subramaniam melihat kelemahan dari segi aspek tersebut menyebabkan gawang Tok Gajah bocor sebanyak lima kali di Temerloh pada 27 Februari lalu.

“Keadaan fizikal mereka tidak berada pada tahap memberangsangkan. Dan intensiti perlawanan juga tidak begitu baik buat Sri Pahang, mereka tidak dapat menekan,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola.

“Kalau kita lihat gol Safawi, sepatutnya bagi pemain yang ada keadaan fizikal yang baik, mereka boleh saja menekan. Tetapi mereka berundur sehingga ke dalam kotak penalti.

“Itu menunjukkan mereka tidak mengalami keadaan (fizikal) yang baik. Yang nampak ketara dari segi intensiti perlawanan mereka ialah jurang yang terlalu besar antara barisan pertahanan dengan barisan serangan.”

Terengganu menyumbat lima gol menerusi Akhyar Rashid, Safawi, Safwan Mazlan, Ismaheel Akinade dan Manuel Ott. Sergio Aguero menyumbat gol saguhati buat Tok Gajah.

Sri Pahang turut dipaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Aleksandar Cvetkovic diperintah keluar padang pada separuh masa pertama.

Keputusan ini menyaksikan Sri Pahang kekal di tangga ke-11 liga dengan 17 mata. Peteh pula semakin menghampiri Sabah FC di tempat ketiga dengan 31 mata. #MAKANBOLA

Share:

Fandi Sifatkan Kekalahan 5-1 Kepada Terengganu FC, Bukannya Permainan Sebenar Sri Pahang FC

TEMERLOH: Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad mengakui beraksi 10 pemain selepas ketinggalan 2-0 menyukarkan skuad itu untuk menyekat Terengganu FC (TFC) yang menewaskan mereka 5-1 pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, malam tadi.

Legenda bola sepak Singapura itu berkata, kekalahan itu juga berpunca daripada kesilapan sendiri apabila memberikan tiga daripada lima jaringan mudah kepada lawan, sekali gus memberi tekanan kepada pasukan.

"Pada perlawanan ini (malam tadi) pemain banyak melakukan kesilapan terutama pada babak pertama termasuk kehilangan seorang pemain.

"Jentera pertahanan terlalu cepat berada di dalam kotak penalti hingga membenarkan pemain tengah Terengganu menguasai bola yang membolehkan mereka melakukan jaringan.

"Bagi saya permainan Sri Pahang tidak seperti yang dipersembahkan sebelum ini dan selayaknya Terengganu beroleh kemenangan," kata pengendali berusia 62 tahun itu.

Fandi berkata, skuad itu cuba melakukan kebangkitan dan memiliki sekurang-kurangnya empat peluang untuk menghasilkan gol tetapi diselamatkan penjaga gol, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin pada babak kedua.

Katanya, kekalahan itu seharusnya dijadikan pengajaran dan mengharapkan anak buahnya melakukan kebangkitan untuk baki perlawanan dalam saingan liga selepas ini.

"Bukan hari Sri Pahang kerana bermain di bawah prestasi sebenar dan mudah-mudahan kita berusaha lebih baik untuk memperbaiki kedudukan dalam liga," katanya.

Pada perlawanan itu, gol gol Sri Pahang dijaringkan pemain naturalisasi, Sergio Aguero pada minit ke-39.

Beraksi dengan 10 pemain sepanjang baki 62 minit perlawanan menambah kesukaran selepas pemain pertahanan, Aleksandar Cvetkovic dilayangkan kad merah kerana mengasari Akhyar Rashid pada babak pertama.

Lima gol TFC, masing-masing satu dijaringkan oleh Akhyar Rashid seawal minit kedua, Safawi Rasid (m-20), Muhammad Safwan Mazlan (m-28), Ismaheel Akinade (m-59) dan Manuel Ott (m-89). #BHARIAN

Share:

Dr Akmal: Himpunan 'Pahang Bermunajat Raja Berdaulat' Di Kuantan, Kami Bersatu Tanpa Kira Perbezaan Fahaman Politik


KUALA LUMPUR: Program Himpunan Pahang Bermunajat, Raja Berdaulat yang berlangsung di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, di Kuantan semalam, menyatukan pemimpin politik mewakili pelbagai parti.

Perkara itu diakui Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh yang berkongsi gambar beliau bersama beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN).

Antara yang dilihat turut hadir iaitu Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim.

“Demi agama, bangsa dan raja, kami bersatu tanpa kira perbezaan warna politik. Daulat Tuanku,” tulis Akmal di Facebook.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan berangkat ke program berkenaan. #MalaysiaGazette


Share:

Titah Adendum: Sultan Pahang Gesa Semua Pihak Hormati Undang-Undang, Tidak Timbul Kekeliruan


KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar semua pihak menghormati proses dan undang-undang yang telah ditetapkaan serta tidak menimbulkan sebarang kekeliruan berkaitan Titah Adendum.

Baginda bertitah, perkara itu berada di bawah bidang kuasa pihak yang bertanggungjawab dan berintegriti.

"Saya juga menyeru semua pihak agar berpegang teguh kepada nilai kejujuran, amanah, saling menghormati dan bersikap terbuka dalam menyelesaikan sesuatu perkara.

"Dengan semangat ini, Insya-ALLAH negeri Pahang akan terus menjadi negeri yang harmoni dan sejahtera,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Majlis Himpunan Pahang Bermunajat, Raja Berdaulat bertempat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, di sini pada Khamis.

Keberangkatan baginda diiringi Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Titah baginda, perpaduan kunci utama kepada keamanan dan kemakmuran negeri.

"Jangan biarkan perbezaan fahaman dan kepentingan kecil memecahbelahkan kita sebaliknya mari bersama kukuhkan ukhwah dan belerja ke arah kesejahteraan bersama.

"Bersatu hati dan berpegang teguh kepada ajaran Islam demi mempertahankan keharmonian yang dikecapi selama ini," titah baginda.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah mengingatkan semua pihak agar tidak mempolitikkan keberangkatan baginda ke Majlis Himpunan Pahang Bermunajat Raja Berdaulat.

"Saya datang semata-mata untuk bermunajat, menyembah kepada ALLAH SWT, berdoa supaya kita, negeri Pahang, rakyat Pahang akan sentiasa diberkati, sentiasa dilindungi dan sentiasa dirahmati ALLAH SWT.

"Saya tidak pernah melibatkan diri dalam sebarang politik kepartian dari dahulu, kini dan akan datang. Tolonglah ingat ya, saya selaku sultan mesti berkerjasama dengan kerajaan yang memerintah sekarang, kerajaan negeri Pahang,” titah baginda.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan rakyat negeri ini untuk sentiasa berpegang kepada ajaran As-Sunnah Wal Jamaah.

Selain itu, baginda turut menyeru agar rakyat negeri ini untuk terus menghormati warisan dan sejarah yang menjadi asas kepada jati diri selain menekankan perpaduan sebagai kunci utama kepada keamanan dan kemakmuran negeri. #SinarHarian

Share:

Kerajaan Didakwa Masih Enggan Terima Hakikat Tentang Kewujudan Titah Adendum Dikeluarkan Sultan Pahang


KUANTAN: Kerajaan didakwa masih enggan menerima hakikat mengenai kewujudan Titah Adendum yang dikeluarkan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 29 Januari tahun lalu.

Perikatan Nasional (PN) Pahang dalam satu kenyataan menegaskan, kerajaan bukan sahaja tidak menjawab persoalan mengenai titah tersebut, malah terus membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan mengesahkan kesahihan Titah Addendum.

“Mengapa kerajaan masih enggan menerima hakikat bahawa Titah Adendum ini wujud? Mengapa perlu dibuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan?

“Sudahlah sebelum ini, kerajaan dengan pelbagai helah mengelak daripada menjawab persoalan mengenai kewujudan Titah Adendum, baik ketika dibangkitkan dalam Parlimen mahupun menerusi surat yang dikemukakan oleh Peguam Pemohon terhadap enam responden, yang langsung tidak dijawab,” menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Badan Perhubungan Negeri Parti Pribumi Bersatu Pahang, Datuk Abdul Khalid Abdullah.

Pemimpin PN Pahang turut mendakwa ahli Parlimen tidak dibenarkan membangkitkan isu ini di Parlimen, manakala Peguam Negara pula membantah permohonan mereka untuk menghantar Peguam Pemerhati dalam kes ini.

“Persoalannya, apa yang mereka takutkan? Apa akan jadi dengan Kerajaan Madani ini?

“Bukankah kerajaan ini diangkat oleh Al-Sultan Abdullah untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan? Jika Tuanku yang mengangkat mereka pun tidak dihormati, apatah lagi rakyat biasa,” tegas kenyataan itu.

Selain itu, kenyataan tersebut turut menyifatkan tindakan menyembunyikan Titah Adendum sebagai satu bentuk penderhakaan kepada Raja, bangsa, dan negara.

Terdahulu, rakyat di Pahang berhimpun bagi menzahirkan taat setia kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah.

Perhimpunan ini dianggap sebagai detik bersejarah dalam memperkukuh Institusi Raja yang menjadi payung negara.

Menerusi kenyataan itu juga, pemimpin PN Pahang menegaskan bahawa Al-Sultan Abdullah, yang bersemayam sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dari 31 Januari 2019 hingga 30 Januari 2024, merupakan pemerintah tertinggi negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan tersebut turut mengingatkan bahawa Raja-Raja Melayu telah diiktiraf sebagai Raja Berperlembagaan sejak laporan Suruhanjaya Reid 1957, dengan kedudukan mereka tetap dihormati walaupun dalam era penjajahan British. #SinarHarian

Share:

Skuad Terengganu FC Belasah Sri Pahang FC 5-1 Di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh Malam Tadi

KUANTAN: Finalis Piala Malaysia 2025, Sri Pahang FC dimalukan oleh Terengganu FC apabila dibelasah 5-1 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, malam tadi.

Hanya tiga minit diperlukan untuk Akhyar Rashid menewaskan penjaga gol Sri Pahang, Zarif Irfan bagi membuka jaringan pada pesta skuad Penyu di gelanggang lawan.

Pada minit ke- 20, Sri Pahang terus dihukum selepas sepakan kaki kiri kapten Terengganu , Safawi Rashid dari luar kotak penalti terkena palang sebelum melencung masuk ke dalam gawang Sri Pahang untuk gol dua pelawat.

Sri Pahang terus dirundung malang kerana terpaksa beraksi sepuluh orang pada minit ke-28 selepas Aleksandar Cvetkovic diperintah keluar padang kerana menerima kad merah ekoran mengasari Akhyar.

Anak buah Badrul Afzan Razali mendapat sepakan percuma dengan bantuan VAR ekoran tindakan Cvetkovic itu dn mereka berjaya menambah jaringan gol ke tiga untuk kedudukan 3-0 melalui tindakan susulan Safwan Mazlan.

Bagaimanapun, disebalik keghairahan pelawat menambah gol, Sri Pahang berjaya merapatkan jurang gol pada minit 38 melalui sepakan Sergio Aguero selepas mendapat lorongan cantik Ahapov.

Pada babak kedua, Fandi Ahmad membawa masuk Ibrahim Manusi dan David Rowley untuk membantu penyerang Sri Pahang bangkit mencari jaringan gol.

Bagaimanapun, Terengganu lebih banyak mengasak ke kubu Sri Pahang tetapi keadaan padang becak dan kecekapan Zarif Irfan banyak membantu tuan rumah daripada terus dibolosi.

Terengganu kembali menggearkan gawang tuan rumah pada minit ke 57 selepas Ismaeel Akinade mudah melepasi permain pertahanan Sri Pahang sebelum menewaskan penjaga gol tuan rumah untuk gol ke empat.

Dua minit teriakhir perlawanan, Manuel Ott berjaya menambah satu lagi jaringan gol untuk Terengganu bagi keputusan penuh menewaskan Sri Pahang 5-1 bagi untuk mencabar kedudukan Sabah FC di tangga ke dua liga Super. #UTUSAN

Share:

PM Hulur Sumbangan Ihya' Ramadan RM196,000 Kepada Masjid Dan Surau Dalam Parlimen Indera Mahkota

KUANTAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hulurkan sumbangan RM196,000 bantuan Ihya’ Ramadan kepada 44 buah masjid dan surau dalam Parlimen Indera Mahkota. 

Sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi kepada wakil pengurusan masjid dan surau terbabit di Masjid Tengku Ampuan Afzan dekat sini pada Selasa. 

Menurut Farhan, sumbangan itu adalah hasil dukungan dan keprihatinan Perdana Menteri,  terutama kepada warga Indera Mahkota dalam menyemarakkan aktiviti masjid sepanjang bulan Ramadan.

Farhan turut bersolat Isyak berjemaah bersama hadirian yang diimamkan oleh Sheikh Dr. Ekrima Sa’id Sabri, Imam dan Khatib Masjidil Aqsa. #pahangdaily

Share:

Zalzul Kamar Didakwa Kerana Membunuh Seorang Peniaga Makanan Wanita Di Tepi Sungai Pahang Pada 13 Februari Lalu


KUANTAN: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan pada Khamis atas pertuduhan membunuh peniaga makanan wanita di tepi Sungai Kuantan berhampiran jambatan Tanjung Lumpur disini pada 13 Februari lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Zalzul Kamar Abdul Ghani, 53, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.

Mengikut pertuduhan, Zalzur Kamar didakwa membunuh Norshamira Zainal, 37, di kawasan jeti Sungai Kuantan, belakang Restoran Golden Empire Palace di Jalan Padang Lalang. #Mstar

Share:

Himpunan Pahang 'Bermunajat Raja Berdaulat' Diteruskan Walau Depani Provokasi Tuntut Program Dibatalkan


KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam akan tetap meneruskan himpunan ‘Pahang Bermunajat, Raja Berdaulat’ yang dijadualkan esok walaupun berdepan dengan pelbagai provokasi menuntut agar himpunan itu dibatalkan.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata, pihaknya sentiasa menghormati dan berlapang dada demi menghormati institusi diraja dan penyatuan orang Melayu dan Islam di seluruh negara.

“Berlaku sedikit tidak penyelarasan (himpunan), namun perkara ini tidak menjadi halangan kepada kita semua untuk kita terus hadir di dalam program ini.

“Kita menyeru seluruh rakyat negeri Pahang sama ada luar atau dalam negeri Pahang untuk terus hadir ke program ini bagi menumpahkan taat setia dan solidariti kepada Tuanku (Sultan Pahang).

“Kita menegaskan bahawa solidariti kepada Tuanku ini tidak hanya di peringkat Kuantan sahaja, selepas ini pihak NGO akan terus menggerakkan solidariti ini kepada peringkat-peringkat di seluruh negeri Pahang,” katanya dalam satu sidang media, di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hasan Syed Ali dan Pengerusi Sekretariat Kedaulatan Agama Negara (SKAN), Ustaz Masridzi Sat serta Exco Sekretariat Anak Pahang Perantauan, Ustaz Ahmad Arshad.

Himpunan ‘Pahang Bermunajat, Raja Berdaulat’ yang akan diadakan esok, Khamis, 27 Februari adalah bagi menyatakan solidariti kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Timbalan Mufti Pahang, Dato’ Badli Shah Alauddin dijadual akan memberikan ceramah umum di himpunan berkenaan yang diadakan di Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 (MBK1) selepas solat Isyak. #Harakahdaily

Share:

Rosli Jabar Seru Ahli PAS Pakai Baju Hijau Sempena Himpunan 'Pahang Bermunajat, Raja Berdaulat' Di Kuantan Esok


KUANTAN: Semua ahli Pas diseru memakai baju hijau sempena perhimpunan Pahang Bermunajat, Raja Berdaulat yang dijadualkan diadakan, Khamis ini.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Rosli Abdul Jabar berkata simbolik pemakaian hijau itu sekali gus menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan parti tersebut memboikot perhimpunan itu.

”Oleh kerana ada makhluk buat hantaran palsu kononnya PAS arahkan boikot program ‘Pahang Bermunajat, Raja Berdaulat’, saya tegaskan bahawa pimpinan PAS Pahang tidak pernah keluarkan arahan untuk boikot program tersebut.

”Saya mengarahkan semua ahli PAS Pahang mesti hadir seramai mungkin sebagai solidariti kami kepada Tuanku Sultan Pahang dan institusi diraja Pahang.

”Semua ahli mesti hadir dan pakai baju hijau sebagai bukti bahawa PAS tidak memboikot program ini dan bukti kami kasih dan tetap bersama dengan raja kami,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu tular mengatakan penyokong Pas menarik diri daripada himpunan berkenaan kerana memboikot program yang dikendalikan oleh kerajaan negeri.

Pada semalam Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Zulkifli Yaacob menerusi kenyataan berkata Program Himpunan Pahang Bermunajat Raja Berdaulat akan diadakan di Masjid Negeri, jam 7 petang pada 27 Februari 2025.

Program tersebut dianjurkan sebagai manifestasi kepada penyatuan rakyat yang bernaung di bawah Sultan Pahang tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan fahaman politik.  #MalaysiaGazette

Share:

Himpunan ‘Pahang Bermunajat Raja Berdaulat’ Di Kuantan Esok Bukan Agenda Politik

 


KUALA LUMPUR: Pengerusi Sekretariat Gerakan Kedaulatan Agama Negara (SKAN), Ustaz Masridzi Sat tidak menolak kemungkinan wujudnya pihak akan tergugat berhubung himpunan ‘Pahang Bermunajat, Raja Berdaulat’ yang dijadualkan berlangsung esok.

Jelas beliau, terdapat pihak yang memandang penganjuran himpunan itu dari sudut politik semata-mata dan tidak memandang dari sudut solidariti rakyat kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Ini satu benda yang merosakkan nama baik ataupun kemuliaan Raja-raja Melayu. Perkara ini mereka nak tutup, kita tak bolehlah buat macam tu. Ia satu benda yang secara tidak langsung mengajak rakyat untuk hilang kepercayaan dan derhaka kepada Tuanku.

“Sebab itu kita sebagai rakyat yang bertanggungjawab, rakyat yang berpegang kepada rukun negara, menjunjung Perlembagaan, hak Tuanku macam mana, hak pengampunan dan sebagainya yang tidak boleh dipertikaikan. Hak itu mesti dipertahankan.

“Sekarang ini hak itu seolah-olah ada orang nak suruh kita langgar. Langgar kepercayaan kepada Tuanku, kepercayaan kepada Perlembagaan negara, adat dan budaya masyarakat kita yang selama ini hormat kepada Tuanku dan Raja-raja Melayu,” katanya dalam satu sidang media bersama pemimpin NGO Melayu-Islam lain.

Turut hadir Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa dan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hasan Syed Ali serta Exco Sekretariat Anak Pahang Perantauan, Ustaz Ahmad Arshad.

Tambah Masridzi, situasi itu menyebabkan berlakunya pihak yang mengutamakan tuntutan-tuntutan golongan liberal dan merendahkan pihak yang berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air.

“Di sinilah berlakunya persaingan, sebab itu kita tidak menafikan adanya provokasi dan sebagainya. Mungkin mereka ini masih di dalam otak kepartian.

“Kita di sini menyatukan, melepasi border kepartian demi institusi diraja dan penyatuan umat kita. Inilah orang yang cerdik, orang yang boleh menyatukan umat,” katanya. #Harakahdaily

Share:

Kerajaan Negeri Anjur Program Himpunan Pahang Bermunajat, Raja Berdaulat Tanda Solidariti Rakyat Kepada Institusi Diraja

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang akan menganjurkan satu Program Himpunan Pahang Bermunajat, Raja Berdaulat bagi menunjukkan solidariti rakyat Pahang kepada Institusi Diraja Pahang.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Haji Zulkifli Haji Yaacob, pada Selasa, program ini juga merupakan manifestasi penyatuan rakyat Negeri Pahang yang bernaung di bawah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang.

“Program ini merupakan manifestasi kepada penyatuan rakyat Negeri Pahang yang bernaung di bawah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan juga fahaman politik.

“Program ini akan diadakan pada 27 Februari 2025 (Khamis) bermula jam 7.00 petang di Masjid Negeri dan dimulai dengan solat maghrib, solat hajat, bacaan yasin, doa selamat dan solat Isya’.

“Seterusnya, program akan diteruskan di padang MBK1 dengan ceramah oleh Timbalan Mufti Negeri Pahang Datuk Haji Badli Shah Alauddin,” katanya.

Menurut beliau, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang turut berkenan berangkat bercemar duli menghadiri program di Masjid Sultan Ahmad Shah ini.

Beliau mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke program ini dengan memakai pakaian kebangsaan dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan mengadakan kawalan keselamatan sepanjang program ini berjalan.

“Orang ramai dijemput hadir dan digalakkan memakai pakaian kebangsaan. Sebarang pakaian yang berlambangkan atau mewakili mana-mana parti politik adalah tidak dibenarkan.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pahang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kawalan keselamatan sepanjang program ini berlangsung dan orang ramai diminta tidak menimbulkan sebarang provokasi yang boleh mencetuskan suasana yang tidak harmoni.”

Beliau dalam kenyataannya turut berharap pelaksanaan program ini dapat memartabatkan insitusi Diraja di negeri ini dan menyatukan rakyat.

“Kerajaan Negeri berharap agar pelaksanaan program ini akan mencapai objektif penyatuan rakyat dalam memartabatkan institusi Raja Berdaulat di Negeri Pahang Darul Makmur. Semoga usaha murni ini mendapat keberkatan Allah SWT,” katanya. #UMNOnline

Share:

Aktiviti Perlombongan Emas Secara Haram Di Muadzam Shah Tumpas Dalam Op Bersepadu Khazanah

KUANTAN: Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang berjaya menumpaskan kegiatan melombong emas secara haram dalam Op Bersepadu Khazanah di kawasan lombong Sungai Jubau, Mukim Keratong Muadzam Shah, Rompin pada Isnin.

Briged Tenggara PGA melalui kenyataan di Facebooknya menjelaskan, dalam pemeriksaan kira-kira jam 12 tengah hari itu, dua lelaki warga Kemboja ditahan untuk siasatan selepas gagal menunjukkan lesen pelombongan yang sah.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kegiatan melombong emas itu dilakukan dua lelaki terbabit.

"Dalam pemeriksaan itu, pihak PGA dan UPNP menahan dan merampas peralatan melombong, kenderaan termasuk karpet getah mengandungi habuk dan partikel emas.

"Anggaran nilai rampasan keseluruhan mencecah RM96,000," katanya.

Jelas kenyataan itu lagi, kes disiasat di bawah Akta Enakmen Mineral Pahang 2001, Kanun Tanah Negara Akta 828 dan Sek 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Suspek diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin manakala barang rampasan diserahkan kepada UPNP untuk tindakan selanjutnya.

"Pihak PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan pelombongan haram dari terus berleluasa di dalam negara," ujarnya. #SinarHarian

Share:

Menteri Besar, Datuk Seri Haji Wan Rosdy Wan Ismail Terima Anugerah Tokoh Alumni Belia 4B Pahang

KUANTAN: Pengorbanan dan pengalaman golongan alumni belia terus dihargai oleh pimpinan generasi baharu.

Lebih membanggakan apabila Alumni Belia 4B Pahang telah mengangkat Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Tokoh Alumni Belia 4B Pahang pada acara di sini malam tadi.

Wan Rosdy berkata, pengiktirafan tersebut merupakan satu penghargaan kepadanya bersama golongan belia yang membangunkan golongan belia muda sehingga hari ini.

Menurut beliau, alumni bukan sekadar bekas ahli tetapi sebagai aset penting yang boleh membimbing, memberi tunjuk ajar dan mencipta peluang kepada golongan muda yang sedang mencari arah dalam kehidupan mereka.

”Tak sangka rasa macam tak layak tapi bila alumni belia bagi terima. Saya ingin ucapkan terima kasih dan sangat hargainya.

”Kita nak pastikan kalau boleh yang belia baru ini bawa macam kita, ada semangat juang tinggi, patuhi masa, kerjasama, ikhlas, jujur, ada nilai kempimpinan dan kalau boleh lebih baik dari kami.

”Yang penting tidak kurang daripada apa kami lakukan, lebih tidak mengapa,” katanya ketika ditemui media sejurus Majlis Makan Malam Pertubuhan Bekas Ahli 4B Negeri Pahang (Alumni) di sini semalam.

Pada majlis itu, Wan Rosdy turut merasmikan buku Coretan buat Tokoh Alumni 4B Negeri Pahang mengandungi profil 18 tokoh alumni belia di negeri ini.

Terdahulu semasa berucap, Wan Rosdy berkata, cabaran politik masa kini bukan sahaja melibatkan kepintaran dalam berstrategi tetapi juga keupayaan untuk memahami kehendak rakyat serta menerajui perubahan dengan penuh tanggungjawab.

“Sebagai bekas ahli 4B, mereka yang telah diasah dengan nilai kepimpinan sejak awal untuk berkhidmat kepada masyarakat, memahami keperluan rakyat di akar umbi serta menjadi pemimpin yang sentiasa mendahulukan kepentingan umum berbanding kepentingan peribadi.

”Saya percaya ramai dalam kalangan Alumni 4B telah berjaya dalam pelbagai bidang, sama ada dalam bidang perniagaan, perkhidmatan awam, politik atau sebagai pemimpin masyarakat.

”Justeru, marilah kita bersama-sama membantu anak-anak muda hari ini untuk mengikut jejak langkah kita, malah menjadi lebih hebat lagi daripada kita,” katanya.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri sentiasa mengiktiraf peranan pertubuhan seperti 4B dalam membentuk generasi pemimpin masa depan.#MalaysiaGazette

Share:

Fandi: Sri Pahang FC Beri Tumpuan Sepenuhnya Baki Saingan Liga Super Berbanding final Piala Malaysia

KUANTAN: Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada baki saingan Liga Super berbanding final Piala Malaysia.

Namun, legenda bola sepak Singapura itu, berkata keutamaan tetap pada aksi final Piala Malaysia terutama dalam membentuk skuad terbaik apabila berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) nanti.

"Buat masa ini Sri Pahang fokus dalam saingan Liga Super terutama berdepan Terengganu FC (TFC) di Temerloh, Khamis ini.

"Tetapi kami tetap memikirkan kesebelasan terbaik terutama memilih pemain yang mempunyai dedikasi, disiplin dan kemahuan yang tinggi apabila bertarung dengan JDT.

"Harapan saya adalah semoga penyokong akan hadir membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) selepas 11 tahun tidak ke final," katanya.

Sabtu lalu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam kenyataan mengumumkan aksi final Piala Malaysia antara juara bertahan, JDT dan Sri Pahang FC akan berlangsung di SNBJ pada 12 April depan.

Keputusan penetapan tarikh itu dibuat selepas mengambil kira kesesuaian kalendar Liga Malaysia (Liga M) 2024-2025 serta pembabitan JDT dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE). #BeritaHarian

Share:

Pahang Rekod Kehadiran 13.74 Juta Pelancong. Anggaran Belanja RM12.35 Bilion Sepanjang Tahun Lepas

KUANTAN: Pahang merekodkan kedatangan sebanyak 13.74 juta pelancong dengan anggaran perbelanjaan RM12.35 bilion sepanjang tahun lepas, sekali gus melebihi sasaran ditetapkan kerajaan negeri iaitu 13.5 juta pelancong. 

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri Leong Yu Man berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan positif sebanyak 3.87 peratus berbanding tempoh sama pada 2023 iaitu 13.23 juta pelancong dengan perbelanjaan dianggar sebanyak RM11.89 bilion. 

Beliau berkata angka berkenaan hanya mengambil kira pelancong yang bermalam sekurang-kurangnya satu malam dan tidak termasuk pelancong harian dan dipercayai jumlah kedatangan pelancong akan jauh lebih besar sekiranya statistik pelancong harian direkodkan. 

“Empat destinasi yang menerima paling ramai jumlah kedatangan pengunjung bermalam ialah Genting Highlands dengan sebanyak 8.55 juta pelancong, diikuti Kuantan (2.28 juta), Cameron Highlands (1.37 juta) dan Temerloh (286,038).

“Selain itu, kami turut berbangga dengan pencapaian Taman Negara yang mencatatkan peningkatan kedatangan pengunjung pada tahun lepas iaitu 135,435 berbanding 128,592 pelancong pada 2023, ini merupakan catatan paling tinggi, malah lebih tinggi sebelum COVID-19 dan Tahun Melawat Pahang 2017,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media Perancangan Tourism Pahang Tahun 2025 di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Besar Tourism Pahang Kamaruddin Ibrahim.

Mengambil kira prestasi kedatangan pelancong ke Pahang yang memberangsangkan, Leong berkata kerajaan negeri menetapkan sasaran 13.8 juta pelancong tahun ini dengan penganjuran pelbagai program domestik dan antarabangsa selain memastikan setiap daerah mempunyai sekurang-kurangnya satu produk pelancongan untuk dipromosikan. 

“Setakat ini, sebanyak 35 acara pelancongan telah dimasukkan ke dalam kalendar acara pelancongan negeri dan akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut permintaan dan sebagainya. Untuk 2025, Tourism Pahang akan memberi penekanan kepada program seperti Malaysia International Tourism Expo Pahang yang memasuki tahun kedua. 

“Selain itu lawatan suai kenal dengan membawa agensi pelancongan dari luar negara seperti Singapura, China dan India serta agensi pelancongan tempatan dari Selangor, Perak, Johor dan negeri lain dalam mempromosikan Pahang,” katanya. 

Dalam pada itu, Kamaruddin berkata pelancong domestik merupakan penyumbang terbesar kedatangan pelancong ke negeri ini dengan merekodkan 80 peratus manakala selebihnya pelancong antarabangsa.

”Pelancong Singapura paling ramai datang ke Pahang iaitu lebih 60 peratus adalah dari negara itu. Faktornya, Singapura paling dengan kita dan mereka memang sangat meminati produk pelancongan berasaskan alam semula jadi, ekopelancongan,” katanya. #Bernama

Share:

Kerajaan Pahang Nafi Abai Cherating Sebagai Destinasi Pelancongan Yang Menjadi Pilihan Pengunjung

KUANTAN: Kerajaan Pahang menafikan mengabai Cherating sebagai destinasi pelancongan yang menjadi pilihan pengunjung ke negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man berkata, kerajaan negeri melalui Tourism Pahang sentiasa mempergiatkan promosi Cherating sebagai destinasi pelancongan pilihan.

Katanya, promosi yang dilakukan itu membabitkan aktiviti pelancongan sama ada di dalam dan luar negara untuk mengembalikan populariti Cherating yang sebelum ini berdepan beberapa isu terutama kekurangan pelancong.

"Cherating tetap dimasukkan dalam senarai promosi pelancongan dalam negara dan luar negara seperti Eropah, China, Singapura.

"Pada masa sama, promosi Cherating turut dilakukan menerusi risalah dan media sosial. Tahun lalu, kedatangan pelancong ke Cherating direkodkan 220,567 orang berbanding 240,856 orang pada 2023," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Perancangan Pelancongan Pahang 2025 di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim.

Sementara itu, Yun Man berkata, Genting Highlands antara 20 destinasi pelancongan yang menjadi tumpuan dalam kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa dengan kedatangan 8.55 juta pelancong sepanjang tahun lalu.

Katanya, berdasarkan statistik, destinasi pelancongan kedua tertinggi ialah Kuantan yang merekodkan kedatangan seramai 2.28 juta pelancong, ketiga, Cameron Highlands dengan jumlah 1.37 juta pelancong dan keempat Temerloh (286,038 pelancong).

"Empat destinasi pelancongan ini adalah antara penyumbang terbesar daripada 13.74 juta pelancong yang berkunjung ke Pahang dengan anggaran perbelanjaan RM12.35 bilion.

"Statistik juga menunjukkan peningkatan 3.87 peratus iaitu 13.5 juta pelancong dengan anggaran perbelanjaan RM11.89 bilion pada 2023.

"Jumlah ini hanya mengambil kira pelancong yang bermalam sekurang-kurangnya satu malam dan tidak termasuk pelancong harian," katanya. #HarianMetro

Share:

Tekanan Darah Turun Naik, Bekas PM Ismail Sabri Masih Lagi Perlukan Pemantauan Rapi Di Hospital

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilaporkan tidak sedarkan diri pada Sabtu kini berada dalam keadaan stabil.

Setiuasaha Akhbarnya, Azran Fitri Abdul Rahim bagaimanapun memberitahu bahawa Ismail Sabri masih di bawah pemantauan perubatan yang rapi.

"Walaupun keadaan beliau stabil tetapi tekanan darahnya turun naik dan memerlukan pemantauan rapi," katanya pada Ahad.

Azran Fitri berkata, pihak hospital mengehadkan sebarang lawatan buat masa ini dan hanya membenarkan ahli keluarga terdekat sehingga keadaannya bertambah baik.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bera itu dimasukkan ke hospital selepas rebah di kediamannya awal Sabtu.

Beliau kemudiannya dilaporkan sedar sepenuhnya pada petang hari yang sama tetapi memerlukan pemerhatian perubatan rapi. #Majoriti 

Share:

Banjir Di Pahang: Jumlah Penduduk Terjejas Tidak Berubah,100 Orang Daripada 43 Keluarga Masih Di PPS

KUALA LUMPUR: Seramai 100 orang daripada 43 keluarga terjejas banjir di Pahang, setakat pukul 6.00 pagi tadi.

Angka berkenaan tidak berubah berbanding, tengah malam tadi.

Portal Bencana Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) masih diaktifkan di satu daerah negeri itu.

"Ini hanya membabitkan daerah Temerloh," menurut kenyataan tersebut. #BeritaRTM

Share:

Perlawanan Akhir Piala Malaysia Di Stadium Nasional Bukit Jalil, CEO Sri Pahang Sambut Baik Keputusan MFL

KUANTAN: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelab Bolasepak Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang yakin bahawa pasukan mereka sudah bersedia untuk menghadapi Perlawanan Akhir Unifi Piala Malaysia 2024/25 yang akan berlangsung pada 12 April di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Beliau menegaskan bahawa ketetapan tarikh yang dibuat oleh Malaysian Football League (MFL) perlu diterima dengan baik, sejajar dengan pemahaman terhadap faktor-faktor penting yang mempengaruhi keputusan tersebut.

Salah satu faktor utama dalam penetapan tarikh final Unifi Piala Malaysia ialah kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) melayakkan diri ke pusingan seterusnya Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE). Kemaraan kelab Harimau Selatan di pentas Asia turut memberikan impak besar terhadap perkembangan bola sepak negara.

“Saya mendapat maklum bahawa final Unifi Piala Malaysia kali ini akan berlangsung pada 12 April. Semua sedia maklum bahawa tarikh ini masih dalam suasana perayaan Aidilfitri, tetapi pada pandangan saya, 12 April adalah tarikh yang tersedia dan dibuat oleh pihak penganjur, MFL.

“Tambah lagi, dengan pencapaian cemerlang JDT yang membawa nama negara di peringkat antarabangsa, hal itu juga menjadi keutamaan untuk memberi laluan kepada mereka. Jadi walau bagaimanapun, saya pasti pasukan Sri Pahang FC bersedia untuk bermain pada tarikh tersebut.

“Selain itu, saya percaya sudah tentu baki perlawanan Liga Super ini adalah sebahagian daripada persiapan menjelang Unifi Piala Malaysia. Saya yakin ketua jurulatih, Fandi Ahmad dan barisan kejurulatihannya telah menyusun rapi persediaaan seterusnya untuk memastikan kami tampil dengan aksi terbaik, walaupun saya menjangkakan kami mungkin kehilangan beberapa tonggak penting pada final nanti,” katanya.

Datuk Suffian turut menyeru penyokong setia Tok Gajah untuk hadir ke stadium pada tarikh tersebut bagi memberikan sorakan penuh semangat kepada pemain-pemain Sri Pahang FC.

“Ini bola sepak, dan kami akan menentang pasukan terbaik negara. Pasukan Sri Pahang pastinya mengharapkan ‘pemain ke-12’ untuk hadir beramai-ramai ke stadium dan memberikan sorakan padu kepada pasukan,” tambahnya.#MakanBola

Share:

Sanusi Junjung Kasih Baginda Sultan Pahang, Dilepas Dan Dibebaskan Daripada Tuduhan Menghasut

SHAH ALAM: “Junjung kasih baginda Sultan Pahang (Al Sultan Abdullah Ri’ayatudin Al Mustafa Billah Shah),”

Demikian kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor selepas dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, atas pertuduhan menghasut berkaitan Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu, dua tahun lalu.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu, beliau menjunjung kasih kepada Al Sultan Abdullah yang berkenan memberi warkah pengampunan.

“Saya juga tahu rakyat Malaysia turut mendoakan diri saya sepanjang kes ini. Terima kasih juga kepada mahkamah atas keputusan ini selain pimpinan (parti) dan barisan peguam saya,” katanya.

Tambah Muhammad Sanusi, beliau berpegang kepada prinsip bahawa semua perkara berlaku atas izin Allah.

“Sekiranya semua makhluk atas dunia mahu kenakan seseorang tetapi Allah tidak izin, maka ia tidak akan terjadi. Jika berhimpun satu dunia untuk menyelamatkan satu orang, tapi Allah tidak izin, dia juga tidak boleh selamat,” ujarnya.

Sementara itu, peguamnya, Awang Armadajaya Awang Mahmud berkata, pihaknya menerima warkah pengampunan berkenaan pada 14 Februari lalu.

“Kami kemudian mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara bagi menggugurkan pertuduhan itu pada Isnin minggu lalu (17 Februari).

“Alhamdulilah hakim setuju untuk lepas dan bebas. Kini, Datuk Seri (Sanusi) tidak terikat kepada sebarang perintah mahkamah bagi kes itu,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan Hakim Datuk Aslam Zainudin membuat keputusan lepas dan bebas kepada Muhammad Sanusi selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan pertuduhan berkenaan. #KOSMO! 

Share:

Muhyiddin Lantik Khalid Dan Jasri Jadi Ketua, Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Pahang

KUANTAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang bersama gabungan parti itu dalam Perikatan Nasional (PN) akan memberikan tumpuan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Pahang, Datuk Abdul Khalib Abdullah berkata, Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua BPN bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Tan Sri Presiden parti juga mengingatkan agar setiap jentera pilihan raya sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dan memperkukuhkan parti di setiap bahagian dan cawangan.

“BPN negeri akan memberikan tumpuan bagi menghadapi PRU16 dan memperkukuh parti serta kerjasama dengan rakan gabungan PN di Pahang,” katanya dalam kenyataan di sini.

Pada 7 Februari lalu, Abdul Khalid menerima watikah pelantikan Ketua BPN Bersatu Pahang daripada Muhyiddin bagi menggantikan Datuk Seri Saifuddin Abdullah manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul dilantik Timbalan Ketua BPN Bersatu negeri.

Abdul Khalid dalam pada itu merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Muhyiddin yang memberi kepercayaan kepadanya menggalas amanah sebagai Ketua BPN Bersatu Pahang.

Sementara itu, Timbalan Ketua BPN Bersatu Pahang, Datuk Jasri Jamaluddin turut mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin atas lantikan itu dan memberi kepercayaan kepadanya untuk berganding bahu dengan Abdul Khalib.

“Fokus utama kami sekarang untuk bersama-sama rakan dalam PN menghadapi PRU16. Untuk itu, gerak kerja akan dilakukan bagi menyusun bahagian-bahagian Bersatu di Pahang dan bekerja bersama ketua-ketua bahagian sebagai satu pasukan yang dapat menarik sokongan rakyat bagi mencabar dominasi kerajaan negeri.

“Insya-Allah saya dan Abdul Khalib akan memperincikan langkah-langkah gerak kerja dan hala tuju yang jelas dalam mesyuarat BPN Bersatu Pahang yang akan diadakan dalam masa terdekat.

“Ini juga selari hala tuju PN Pahang untuk menerajui kerajaan Pahang dalam PRU16 akan datang,” katanya. #Utusan

Share:

Sultan Pahang Titah Dalamkan Sungai Yang Begitu Cetek Bagi Mengelakkan Air Melimpah Ke Tebing

BENTONG: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah kejadian banjir yang berlaku di Kampung Karak Setia dan PRIMA Pahang di sini sebagai ‘rahmat’ bagi mengenal pasti kekurangan di kawasan tersebut.

Titah baginda, antara kekurangan yang dikenal pasti adalah sungai yang begitu cetek dan perlu diperdalamkan bagi mengelak air melimpah ke tebing.

“Tadi kita dengar Pegawai Daerah Bentong (Datuk Seri Mohd. Shahid Ismail) cakap untuk tinggikan ban di Sungai Bentong dan akan ada projek tebatan banjir. Difahamkan (bernilai) RM300 juta.

“Saya ingat itu (ban) mungkin dapat mengurangkan kesan banjir besar, namun saya masih lagi dengan pendapat Sungai Bentong atau sungai mana sekalipun perlu didalami, lebih-lebih lagi apabila kita buat ban atau apa-apa tebatan sekalipun.

“Ini akan mengurangkan tekanan kepada projek-projek (tebatan) baru ini,” titahnya selepas berkenan berangkat mencemar duli menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Karak Setia, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, baginda bertitah, kajian untuk meluruskan laluan air Sungai Bentong perlu dilakukan sebagai langkah jangka panjang bagi mengelak musibah sama berulang. #KOSMO!

Share:

Sultan Pahang Berkenan Bercemar Duli Untuk Menyantuni Para Penduduk Yang Terjejas Banjir Di Karak

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan bercemar duli menyantuni penduduk terjejas banjir di Karak, Bentong,.

Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada 49 ketua isi rumah membabitkan 150 penduduk dari Kampung Karak Setia dan Perumahan PR1MA Karak yang terjejas akibat bencana tersebut.

Dalam titahnya, baginda mengingatkan penduduk agar menerima ujian itu dengan tabah serta menganggapnya sebagai satu rahmat. Baginda turut menasihatkan penduduk supaya sentiasa mengutamakan keselamatan dan bersabar dalam menghadapi musibah.

Baginda juga bertitah agar penduduk yang menetap berhampiran sungai mengambil inisiatif membina rumah bertiang tinggi sebagai langkah persediaan.

Pihak berkuasa berkaitan turut disarankan untuk mendalamkan sungai serta membina tebatan banjir bagi mengurangkan impak bencana pada masa hadapan.

Keberangkatan tiba baginda di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Karak Setia disambut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Datuk Amizar Abu Adam. #BeritaRTM

Share:

Kontraktor Projek Lampu Jalan, Senggara Bangunan Di Pahang Kena Sentiasa Utamakan Keselamatan

KUANTAN: Kontraktor yang mendapat projek lampu jalan dan senggara bangunan bernilai RM7.814 juta di Pahang, diingatkan perlu mengutamakan aspek keselamatan.

Pengarah Kanan Cawangan Kejuruteraan Elektrik Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, Ismail Hashim, berkata keselamatan itu bukan sahaja membabitkan pekerja, malah pengguna jalan raya dan tapak projek untuk mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini.

Katanya, pelaksanaan kerja mengikut spesifikasi yang ditetapkan dengan memastikan kualiti kerja sentiasa menjadi keutamaan kerana semua bertanggungjawab dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Peruntukan yang disalurkan kerajaan dengan sentiasa mengikut prosedur dan pekeliling terkini yang ditetapkan terutama mematuhi tempoh siap kerja.

"Seperti sedia maklum, projek ini membabitkan kerja bernilai sehingga RM200,000 dengan tempoh siap yang lebih singkat dan seharusnya kontraktor mempunyai kecekapan dan kepatuhan kepada jadual yang dirancang.

"Oleh itu kita meminta semua kontraktor melaksanakan kerja dengan jujur, amanah dan berintegriti," katanya pada Majlis Perasmian Program Cabutan Undi Bilangan 1 2025 dan Sesi Libat Urus Kontraktor Elektrik Pahang di Dewan PM Najib, Batu 3, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Razali Kassim.

Berdasarkan peruntukan 53 projek itu, sebanyak 39 kerja lampu jalan dengan nilai RM5.150 juta dan 14 projek senggara bangunan bernilai RM2.079 juta

Sementara itu, Razali berkata, kerja itu dijangka bermula dimulakan pada 24 Februari dan siap pada 31 Mac ini.

"Kita harap kontraktor yang mendapat projek ini mengikut tempoh masa ditetapkan demi keselesaan rakyat," katanya.#BeritaHarian

Share:

'Piala Malaysia Main Sini', Stadium Darul Makmur Dicadang Jadi Venue Lepas Ura-Ura Tok Gajah Bakal 'Terkubur'

EPISOD duka berterusan dalam kem Sri Pahang FC apabila kemaraan ke pentas akhir Piala Malaysia 2024/25 gagal menutup kisah kemelut kewangan dialami kelab Pantai Timur itu yang bertebaran di media sosial.

Berdasarkan luahan tersirat daripada pelbagai pihak, pemain dilaporkan tidak menerima bayaran sejak enam bulan lalu sehingga ada daripada mereka yang terpaksa mengikat perut.

Sekiranya masalah itu berterusan, terdapat kemungkinan skuad Tok Gajah terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi dalam Liga Super musim depan berdasarkan laporan media semasa.

Bagaimanapun, di sebalik kemelut yang terus membelenggu kelab itu, masih terdapat sinar harapan dilihat peminat bola sepak di negeri tersebut apabila kerja-kerja menambah baik Stadium Darul Makmur, Pahang berjalan lancar.

'Rumah' Tok Gajah berkenaan tidak dapat digunakan musim ini berikutan operasi dilancarkan bermula musim lalu sehingga memaksa anak-anak buah Fandi Ahmad beraksi di Stadium MP Temerloh, Pahang.

Berdasarkan perkembangan dikongsikan di laman Facebook Perbadanan Stadium PSDM, venue perlawanan itu sudah kelihatan lebih baik berbanding sebelum ini dengan proses penanaman rumput baharu sudah selesai.

Menyedari perubahan positif di stadium berkapasiti 40,000 itu, penyokong Tok Gajah mengharapkan ia dapat dimanfaatkan sebaiknya, termasuk sebagai lokasi penganjuran perlawanan akhir Piala Malaysia.

"Bersyukur dengan MFL (Liga Bola Sepak Malaysia), setuju dengan aksi Piala Malaysia di sini," kata Zol Baharum.

"Mantap PSDM, rumput makin subur. Tetapi, sayangnya Sri Pahang yang dengar-dengarnya mahu menarik diri. Tidak mengapalah, biarlah rakyat jelata Sri Pahang gunakan sepenuhnya semasa kemudahan yang ada," kata Sa'ari Zulkifli.

"Tidak sabar rasanya untuk masuk dan tengok stadium baharu," kata Bai Bai.

Sri Pahang FC akan bertemu juara bertahan Piala Malaysia, Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan venue dan tarikh perlawanan masih belum ditetapkan kerana tidak mahu mengganggu perjalanan pihak lawan dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite.

Stadium Darul Makmur, Pahang juga tidaklah asing dalam menjadi lokasi penganjuran aksi bertaraf tinggi kerana majlis pembukaan Sukan Malaysia (SUKMA) dan Pestabola Merdeka 2013 pernah diadakan di situ.

Jadi, sekiranya perlawanan akhir Piala Malaysia diadakan di stadium berusia 52 tahun berkenaan, ia sudah tentu diterima penyokong di negeri Pantai Timur tersebut sebelum skuad Tok Gajah 'terkubur' daripada saingan Liga Malaysia. #Majoriti 

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.