KUANTAN: Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad tidak mahu anak buahnya mengulangi kesilapan selepas `menghadiahkan' dua penalti ketika seri 2-2 berdepan Sabah FC pada aksi Liga Super, Ahad lalu.
Legenda bola sepak Singapura itu berkata, kesilapan itu mampu dielakkan jika pemain mengekalkan fokus dan tidak melakukan sebarang kesilapan terutama di dalam kotak penalti kerana ia merugikan pasukan.
"Seperti saya katakan sebelum ini, Sri Pahang mampu memenangi perlawanan itu tetapi disebabkan kita melakukan kesilapan dengan dua penalti, kita sekadar mengutip satu mata di tempat lawan.
"Oleh itu saya harap selepas ini kesilapan itu tidak akan berlaku lagi selepas ini dan fokus utama adalah untuk mengukuh pertahanan," katanya.
Pada masa sama, Fandi berkata, dua pertahanan iaitu Aleksandar Cvetkovic dan Syazwan Andik akan kembali dalam pasukan.
"Syazwan yang berdepan masalah kecederaan diharap segera sembuh dan Cvetkovic yang dibenarkan pulang ke Eropah minggu lalu bagi urusan keluarga akan kembali dalam pasukan," katanya.
Selepas 18 perlawanan, Sri Pahang berada di kedudukan ke-11 liga dengan mengutip 17 mata. Selepas ini, skuad Tok Gajah akan menerima kunjungan Terengganu FC (TFC) di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, 27 Februari ini. #HarianMetro







Tiada ulasan:
Catat Ulasan