TEMERLOH: Sri Pahang FC mara ke pentas final Piala Malaysia selepas menewaskan Sabah FC 2-1 pada aksi separuh akhir kedua piala itu dengan agregat 3-2 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, sebentar tadi.
Kejayaan itu menyaksikan Sri Pahang akan berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil yang dijadualkan pada 26 April depan.
Pada aksi separuh akhir pertama 18 Januari lalu, skuad Tok Gajah mengikat lawan 1-1 di Stadium Likas.
Sri Pahang yang beraksi di laman sendiri bermula dengan baik apabila menguasai perlawanan apabila peluang terbaik tuan rumah hadir hasil sentuhan Kpah Sherman namun percubaannya sedikit melepasi palang sebelah kiri lawan pada minit ke-15.
Sabah mula mendapat rentak dan lebih banyak melakukan serangan ke kubu Sri Pahang pada 10 minit terakhir babak pertama namun jentera pertahanan tuan rumah nyata 'kebal' apabila berjaya menyekat percubaan lawan.
Bersambung di babak kedua, kedua-dua pasukan berusaha untuk mendapatkan jaringan tetapi gagal membolosi gawang masing-masing sebelum pemain gantian Sabah, Taesu Park tertanduk bola ke gawang sendiri selepas berusaha menyelamatkan bola hantaran Baqiudin Shamsuddin pada minit ke-68.
Empat minit kemudian penyerang Sabah, S Kumaahran menyamakan kedudukan 1-1 selepas penjaga gol tuan rumah, Zarif Irfan Hashimuddin ditewaskan dan kedudukan itu kekal sehingga tamat 90 minit yang menyaksikan perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan.
Pada minit ke-106, Sherman menjaringkan gol kemenangan 2-1 buat Sri Pahang, sekali gus menempah tiket ke final piala beprestij itu yang kali terakhir dijulang pasukan pada 2014. #BeritaHarian







Tiada ulasan:
Catat Ulasan