KUANTAN: Seorang wanita yang juga peniaga makanan ditemui meninggal dunia di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di sini pada Khamis.
Mayat mangsa berusia 37 tahun ditemui seorang lelaki sebelum penemuan itu dimaklumkan kepada pihak polis kira-kira jam 12.45 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, hasil siasatan pada tubuh mangsa mendapati punca kematian wanita itu disyaki wujud unsur jenayah.
Menurutnya, berdasarkan maklumat saksi, mangsa yang tinggal di daerah ini menjalankan perniagaan makanan.
Wan Mohd Zahari berkata, pihak polis memohon kerjasama masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian hingga boleh menganggu siasatan.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta berhubung dengan balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," ujarnya. #SinarHarian







Tiada ulasan:
Catat Ulasan