KUANTAN: Polis mengesahkan menerima 64 laporan berhubung sebuah koperasi yang didakwa belum membuat pembayaran termasuk dividen kepada ahlinya.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata laporan yang diterima itu dibuat di Pahang dari 2023 sehingga kelmarin.
"Sebanyak 64 laporan diterima sejak 2023 hingga kelmarin termasuk dua laporan tetapi dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, Terengganu kerana didakwa berlaku di Kemaman.
"Dalam kes ini, polis kemudiannya merujuk kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) berhubung dakwaan ahli koperasi itu.
"Jumlah kerugian yang didakwa ahli terbabit berjumlah RM4.5 juta," katanya ketika ditemui media selepas Program Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini hari ini.
Katanya, berdasarkan laporan, nilai kerugian yang didakwa ahli terbabit berjumlah RM4.5 juta dikatakan kegagalan koperasi itu menunaikan janji mereka untuk membuat pembayaran dividen.
Semalam, sebuah portal melaporkan beberapa ahli koperasi membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kuantan selepas mereka gagal menerima pulangan pelaburan seperti yang dijanjikan.
Sementara itu, Yahaya berkata, sejumlah RM6.02 juta kerugian direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang dengan 232 kertas siasatan dibuka sepanjang Januari tahun ini.
"Berbanding Januari tahun lalu, sejumlah RM8.7 juta kerugian direkodkan dengan 220 kertas siasatan dibuka," katanya. #HarianMetro







Tiada ulasan:
Catat Ulasan