script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Seorang Penternak Rugi Lebih RM100,000 Dalam Tempoh Lima Tahun, 30 Ekor Lembu Milik Keluarga Dicuri Dan Diracun Di Maran


KUANTAN: Seorang penternak rugi lebih RM100,000 dalam tempoh lima tahun apabila 30 ekor lembu milik keluarga dicuri dan diracun dalam kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sungai Kertam, dekat Maran.

Terbaharu dalam kejadian kelmarin, dua bangkai haiwan terbabit yang dipercayai diracun.

Penternak, Mohamad Asyri A Majid, 30, berkata, episod lembu mati berlaku setiap tahun sejak awal 2022 hingga kini.

Katanya, penternakan lembu secara bebas terdedah dengan kes kecurian termasuk diracun kerana merosakkan tanaman mereka terutama pokok kecil.

"Saya reda dengan apa yang berlaku dan menganggap itu semua ujian, sudah tertulis rezeki saya termasuk ahli keluarga yang turut memiliki lembu dalam kumpulan sama tidak menjadi kenyataan.

"Jumlah lembu yang banyak dalam satu kumpulan merumitkan lagi untuk saya mengawal haiwan terbabit," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau menambah, dia kini memiliki lebih 100 lembu baka Kedah-Kelantan termasuk kepunyaan ahli keluarga. #HarianMetro

Share:

Kerajaan Madani Lulus Peruntukkan Sebanyak RM350,000 Untuk Baik Pulih Dua Buah Pusat Pendidikan Islam Di Negeri Pahang


KUANTAN: Kerajaan Madani terus memperkukuh pendidikan Islam dengan meluluskan peruntukan sebanyak RM350,000 bagi menyokong pembinaan serta kerja-kerja baik pulih fasiliti dan infrastruktur Pusat Pendidikan Ribath Al-Mustofa dan Ribath Az-Zahra Al-Batul di Pahang.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, komitmen kerajaan itu dizahirkan menerusi pelbagai dasar, program dan intervensi strategik yang menyeluruh bagi memartabatkan syiar Islam di negara ini.

Menurut beliau, komitmen tersebut turut diterjemahkan melalui Belanjawan 2026 apabila sebanyak RM2.6 bilion diperuntukkan bagi memperkukuh pendidikan Islam serta pembangunan sektor berkaitan, termasuk maahad tahfiz, sekolah agama rakyat dan institusi pondok di seluruh negara.

"Kelulusan peruntukan itu dibuat susulan lawatan kerja ke Pusat Pendidikan Ribath Al-Mustofa, Sungai Karang Pantai, bagi meninjau secara langsung keadaan fasiliti dan infrastruktur pusat pendidikan berkenaan yang diasaskan oleh Ustaz Uwais Al-Qarni Abdul Wahab," ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Lawatan tersebut turut disertai Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Pahang, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razihan Adzharuddin.

Ahmad Farhan berkata, peruntukan yang diluluskan oleh Perdana Menteri itu bertujuan memastikan para pelajar dapat menimba ilmu agama dalam persekitaran yang lebih selesa, selamat dan kondusif.

Menurutnya, usaha tersebut diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan pendidikan Islam serta menyuntik semangat kepada generasi muda untuk terus mendalami ilmu agama dan melahirkan insan berilmu yang mampu menyumbang kepada agama, masyarakat dan negara.

"Kerajaan Madani akan terus komited memperkasa institusi pendidikan Islam sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan insan yang holistik dan berteraskan nilai," tambahnya. #SinarHarian

Share:

Individu Yang Mana Tanahnya Sudah Jadi Laut Akibat Hakisan Di Pahang Tetap Di Kenakan Cukai Tanah, Selagi Tak Serah Geran

PEKAN: Pemilik tanah yang terhakis oleh laut di Pahang tetap dikenakan cukai tanah. Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim menegaskan, individu yang mana tanahnya sudah menjadi laut akibat hakisan masih dianggap pemilik tanah berkenaan selagi dia tidak menyerahkan geran tanah kepada pihak kerajaan dan masih perlu membayar cukai tanah tersebut.

Malah pemilik  tanah di laut sekalipun perlu membayar cukai mengikut peruntukan undang-undang, katanya.

“Tanah yang menjadi laut akibat hakisan masih dianggap pemilik tanah berkenaan selagi dia tidak menyerahkan geran tanah kepada pihak kerajaan.

“Pemilik tanah masih perlu membayar cukai tanah tersebut,” katanya ketika diminta mengulas isu hakisan pantai di Pahang hari ini.

Tambah Razali, pihaknya sedang menyemak data berkaitan hakisan dari tahun  dalam tempoh 40 tahun bagi mengetahui jumlah keluasan tanah yang sudah terhakis.

Dalam perkembangan sama, kerajaan negeri telah membuat permohonan kepada Kerajaan Persekutuan untuk mengawal isu hakisan pantai dan mendalamkan muara sungai.

Jelasnya, kawasan berkenaan membabitkan dari sempadan Pahang-Terengganu hingga ke sempadan Pahang-Johor.

Razali optimis isu berkenaan dapat diselesaikan namun menelan kos belanja yang tinggi menerusi pelbagai kaedah.

Ia berdasarkan sesi lawatan yang diadakan oleh beberapa pihak dan agensi berkaitan termasuk Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) setiapkan kejadian hakisan berlaku.

“Kita akan semak data dari tahun 1985 hingga 2025 bagi mengenal pasti jumlah sebenar kehilangan tanah yang dihadapi. Kos untuk memulihkan hakisan pantai di sepanjang pantai di Pahang menelan kos besar iaitu dianggarkan lebih RM1 billion,” katanya.

Razali menyatakan kerajaan negeri telah pun melakukan permohonan kepada Kerajaan Persekutuan bagi tujuan itu.

“Kita juga akan lihat balik data berkaitan hakisan dari tahun 1985 hingga 2025 iaitu dalam tempoh 40 tahun ini bagi mengenal pasti jumlah sebenar kehilangan tanah yang dihadapi,” katanya.

Beliau berkata, hakisan berkenaan boleh dipulihkan kembali dengan pelbagai kaedah kejuruteraan terkini dan ia memerlukan perbelanjaan tinggi.

Di bawah Kanun Tanah Negara 1965, status sesuatu tanah berimilik yang terjejas akibat hakisan pantai atau ditenggelami laut tidak terbatal secara automatik hanya berdasarkan kejadian fizikal tersebut.

Katanya penentuan status hak milik adalah tertakluk kepada proses perundangan dan pentadbiran tanah.

Terdahulu media melaporkan kegusaran pemilik chalet susulan tanah di Pantai Tanjung Batu di Nenasi seluas kira-kira satu hektar bertukar menjadi lautan selepas kejadian hakisan pantai.

Menurut pemilik, tanah yang dibelinya seluas 1.4 hektar pada tahun 2016 kini lenyap menjadi laut kini hanya berkeluasan 0.4 heltar. #MalaysiaGazette

Share:

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan (KIA), Pemuda UMNO Pahang Tempelak Pemuda PAS Tidak Gelojoh Membuat Kenyataan


KUANTAN: Pemuda UMNO Pahang menempelak Pemuda PAS negeri itu yang menyasarkan kritikan semberono terhadap projek di bawah seliaan kerajaan negeri terutamanya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan (KIA).

Ketua Penerangannya, Mustaqim Zakaria berkata, sayap pembangkang itu perlu lebih berhemah, bertanggungjawab dan cermat daripada terus bersikap gelojoh dalam mengeluarkan sebarang kenyataan.

Menurutnya, tindakannya sedemikian hanya akan mewujudkan tidak keharmonian dalam kalangan rakyat dan juga menyebabkan persepsi buruk terhadap kerajaan Pahang.

"Lebih-lebih lagi apabila membuat tuduhan status semasa projek KIA membawa implikasi negatif terhadap kewangan dan pembangunan ekonomi negeri.

"Lebih elok ambil masa untuk semak prestasi kewangan kerajaan negeri daripada terus mencipta persepsi jahat terhadap kerajaan pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar sebelum ini yang menuntut kerajaan negeri menjelaskan status sebenar projek KIA di Gebeng selepas ia dikatakan gagal disiapkan.

Mengulas lanjut, Mustaqim berkata, Pemuda PAS perlu merujuk kepada agensi berkaitan bagi mengelakkan sebarang manipulasi dan salah fakta sebelum mengeluarkan kenyataan.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa menekankan kepentingan akauntabiliti dalam setiap pelaksanaan projek di Pahang.

"Kami di pihak Pemuda UMNO Pahang sentiasa meletakkan kepercayaan penuh terhadap kepimpinan Wan Rosdy.

"Rekod pencapaian dan prestasi telah membuktikan segalanya, maka tiada apa yang perlu diragukan lagi," tegas beliau. #sinarharian

Share:

Pemuda PAS Pahang Tuntut Kerajaan Jelaskan Apa Status Sebenar Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan (KIA)


KUANTAN: Dewan Pemuda PAS Pahang tuntut kerajaan negeri menjelaskan status sebenar projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan di Gebeng dekat sini.

Ketua penerangannya, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan di Gebeng itu sebelum ini diumumkan akan mula beroperasi pada tahun 2026 dengan kos mencecah berbilion ringgit

“Pengumuman projek ini telah dibuat sejak beberapa tahun lalu dan sering dijadikan bahan promosi kejayaan serta bukti keupayaan pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang yang sekarang ini dipimpin oleh UMNO PH.

“Namun, sehingga kini, rakyat masih tertanya-tanya di manakah kedudukan sebenar projek ini?” soalnya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad Azlan tidak melihat sebarang perkembangan fizikal jelas di tapak projek yang menandakan pembinaan sudah bermula selain tiada pengumuman rasmi mengenai kelulusan lesen aerodrom dibuat.

Justeru, Pemuda PAS Pahang berpandangan rakyat Pahang berhak mendapat penjelasan yang jujur dan berfakta bukan sekadar pengumuman berulang yang akhirnya tinggal sebagai janji politik.

“Lebih membimbangkan, projek mega seperti ini melibatkan implikasi besar terhadap kewangan negeri, guna tanah, alam sekitar serta hala tuju pembangunan ekonomi Pahang.

“Pembangunan tidak boleh berasaskan retorik semata-mata di mana setiap projek mega mesti didasari perancangan rapi, ketelusan dan keutamaan rakyat.

“Kegagalan menjelaskan status sebenar hanya menghakis keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negeri,” tegasnya.

Pemuda PAS Pahang juga akan terus memainkan peranan sebagai suara semak dan imbang demi memastikan kepentingan rakyat dan masa depan negeri Pahang tidak terus dipermainkan. #MalaysiaGazette

Share:

Blogger Cucumatkilau Terharu Atas Kunjungan Setiausaha Politik (SUPOL) PM, Penghargaan Selepas Lebih 27 Tahun Berjuang

KUANTAN: Kunjungan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi ke kediaman reformis Mohd Shukri Mohd Ramli, 55, di sini pada Isnin memberi kesan mendalam kepada aktivis terbabit.

Farhan yang juga merupakan Ketua Cabang Keadilan Indera Mahkota dalam rangka kerja 'Santuni Madani'  program ziarah kasih @ rumah reformis 'Blogger Cucumatkilau' itu turut menyampaikan sedikit sumbangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada beliau.

Shukri yang kini sudah tidak aktif dengan mana-mana parti politik sejak 2011 itu berkata, kunjungan Farhan merupakan satu detik berharga dalam hidupnya. 

Menulis diblog peribadinya https://cucumatkilau.blogspot.com, Shukri berkata selepas lebih 27 tahun berjuang sebagai reformist dialam maya, jadi Blogger sejak 1998 ini kali yang pertama seorang wakil kerajaan hadir dan menziarahinya.

"Saya juga sempat menunjukkan beberapa bahan-bahan sejarah lama saya  menjadi blogger berjuang membela Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 5 Disember 1998.

"Terharu betullah, kerana hampir separuh abad saya hidup di dalam perjuangan reformasi dan rakyat, akhirnya ada pihak yang menghargainya.

"Terima kasih saya ucapkan kepada Dato' Farhan dan semua AJK Keadilan Pahang juga Indera Mahkota yang mengunjungi saya,

"Memang terbaiklah, at least 'refomis' yang sekian lama berjuang di zaman derita dulu (Anwar terpenjara) dikenang jua," kata kenyataannya. #Cucumatkilau


Share:

Kerajaan Pahang Lancar e-Rakyat, Uruskan Maklumat Serta Penyelarasan Bantuan Lebih Tersusun, Bersepadu Dan Berkesan

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang melancarkan Sistem Pengurusan Bantuan Rakyat Negeri Pahang (e-Rakyat) bagi mengurus maklumat serta penyelarasan bantuan rakyat secara lebih tersusun, bersepadu dan berkesan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif itu selari dengan hala tuju pentadbiran negeri yang menekankan kecekapan, ketelusan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan.

Menurutnya, sebagai sebuah platform pusat sehenti, Sistem e-Rakyat membolehkan kerajaan negeri membina, mengumpul dan menyelaraskan data bantuan antara jabatan dan agensi sekali gus mengelakkan pertindihan penerima serta pembaziran peruntukan awam.

"Matlamat utama pelaksanaan sistem ini adalah untuk memastikan setiap bentuk bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar layak, disalurkan tepat pada masanya dan berasaskan keperluan sebenar rakyat.

"Melalui sistem ini, perancangan belanjawan negeri dapat dilaksanakan dengan lebih tepat, realistik dan mampan di samping memperkukuh kesejahteraan rakyat serta meningkatkan keupayaan tadbir urus kerajaan negeri secara keseluruhan," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, Wan Rosdy menyempurnakan pelancaran Sistem e-Rakyat itu sempena Perhimpunan Penjawat Awam Bersama Menteri Besar Pahang di Dewan Kompleks Bandaraya Kuantan di sini.

Jelas beliau, pelaksanaan Sistem e-Rakyat akan dibuat secara berfasa.

"Fasa pertama melibatkan pendaftaran ketua isi rumah dan ahli isi rumah serta semakan penerima bantuan sedia ada khususnya di bawah Inisiatif Makmur Pahang.

"Manakala fasa kedua akan melibatkan permohonan bantuan secara dalam talian yang dijadualkan bermula April ini seterusnya diperluaskan kepada bantuan kerajaan negeri serta bantuan kerajaan Persekutuan," ujarnya.

Katanya, rakyat Pahang boleh mendaftar sistem ini menerusi portal erakyat.pahang.gov.my.

"Pelancaran Sistem e-Rakyat ini merupakan komitmen berterusan kerajaan negeri Pahang bukan sekadar memberi bantuan tetapi memastikan setiap bantuan dilaksanakan secara adil, tersusun, telus dan benar-benar berkesan demi kepentingan rakyat," katanya. #SinarHarian

Share:

Seorang Pemandu Maut, Isteri Cedera Selepas Kenderaan Pacuan Empat Roda Dipandunya Terbabas Di Plaza Tol Bentong

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu maut manakala isterinya cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandu lelaki itu hilang kawalan lalu melanggar tiang keselamatan batu nosing berhampiran Plaza Tol Bentong di Kilometer 61.7 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Supritendan Zaiham Mohd Kahar berkata, semasa kejadian kenderaan tersebut dipandu dari arah Raub menuju ke Kuala Lumpur .

Menurutnya, pelanggaran tersebut menyebabkan kenderaan berkenaan terbalik ke sebelah sisi kanan bahagian pemandu.

“Dalam kejadian itu, mangsa Mohd Sapri Aziz, 65, cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Manakala penumpang wanita yang merupakan isteri mangsa berusia 61 tahun mengalami cedera ringan di bahagian kepala dan telah dibawa ke Hospital Bentong bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Zaiham berkata, siasatan lanjut masih dijalankan serta usaha mengesan saksi-saksi kejadian termasuk rakaman kamera litar tertutup (cctv) di kawasan Plaza Tol Bentong.

Zaiham meminta orang ramai yang menyaksikan atau mempunyai maklumat kejadian tersebut diminta tampil memberi kerjasama bagi membantu siasatan.

Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya berhati-hati Ketika memandu. #MalaysiaGazette

Share:

Pembebasan Bekas Pengurus Perbadanan Air Pahang Berhad (PAIP) Atas 22 Pertuduhan Rasuah Dibatalkan Oleh Mahkamah

PETALING JAYA: Pembebasan bekas pengurus Air Pahang daripada 22 pertuduhan menerima rasuah RM44,700 telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi di Kuantan hari ini.

Hakim Samry Masri menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM239,500 kepada Sani Khan Ali Khan, 60, atau penjara 12 bulan lagi jika gagal membayar jumlah itu.

Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, mahkamah membenarkan Sani penangguhan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Samry memutuskan bahawa mahkamah sesyen telah tersilap meletakkan beban kepada pihak pendakwaan untuk membuktikan unsur-unsur rasuah dalam pertuduhan apabila tertuduh berdepan beban yang lebih berat untuk menangkis pertuduhan.

Hakim juga berkata mahkamah rendah mengambil kira hujah pembelaan tanpa mengambil kira keseluruhan keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan

Tertuduh didakwa pada Januari 2020 atas tuduhan menerima rasuah RM44,700 daripada Chong Wei Peng, pemilik firma kontrak, sebagai pertukaran kontrak Air Pahang yang diuruskan oleh Sani.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asraf Tahir dan Hazel Tan manakala tertuduh diwakili peguam Najib Husain.

Sani dibenarkan diikat jamin RM20,000 dan diperintah melaporkan diri di pejabat SPRM Kuantan setiap bulan. #FreeMalaysiaToday

Share:

JPN: Kewarganegaraan Malaysia Tidak Diberi Sewenang-Wenangnya, Setiap Permohonan Diteliti Dan Diperhalusi Sewajarnya

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan penganugerahan kewarganegaraan Malaysia kepada bukan warganegara tidak diberikan sewenang-wenangnya, dengan keputusan permohonan tertakluk Panel Jawatankuasa Pertimbangan Kelulusan yang dijalankan secara berkala.

JPN melalui kenyataan memaklumkan setiap permohonan kewarganegraan diterima diproses dan diteliti sewajarnya berdasarkan peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan dan Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964 dengan mengambil kira kepentingan nasional serta keselamatan dan kesejahteraan warganegara sedia ada.

Kenyataan itu merujuk kebimbangan dizahirkan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung isu pemberian taraf Pemastautin Tetap (PR) kepada warga asing dan kewarganegaraan yang melibatkan kepentingan kedaulatan negara, keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Mengulas lanjut, katanya pada masa ini kawalan prosedur utama bagi permohonan Kad Pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR) berpandukan kepada Permit Masuk sah yang diperoleh oleh pemohon daripada Jabatan Imigresen Malayisa (JIM).

"Pertimbangan dan kelulusan Permit Masuk adalah sepenuhnya tertakluk kepada kriteria dan penilaian yang ditetapkan JIM.

"Semakan silang secara bersepadu antara JPN dan JIM dilaksanakan bagi mengesahkan bahawa Permit Masuk dikemukakan adalah tulen, sah dan dikeluarkan kepada individu yang benar-benar layak," katanya.

MyPR adalah kad dikeluarkan JPN kepada individu bukan warganegara yang diberikan status pemastautin tetap di Malaysia, membolehkan mereka menetap dan bekerja secara sah di negara ini selepas diberikan status pemastautin tetap melalui Permit Masuk oleh JIM.

Sehingga 31 Disember 2025, seramai 261,156 pemegang MyPR direkodkan di seluruh negara.

Tambah JPN, selain tertakluk Panel Jawatankuasa Pertimbangan Kelulusan yang dijalankan secara berkala, setiap permohonan juga akan diperhalusi dengan teliti bagi memastikan kesahihan dan kelayakan pemohon.

Katanya, status dan kad pengenalan MyPR boleh ditarik balik sekiranya pemegangnya didapati terbabit dalam apa-apa kesalahan yang boleh mengancam keselamatan, ketenteraman awam atau kepentingan negara.

"Penganugerahan kewarganegaraan Malaysia kepada individu bertaraf bukan warganegara anugerah tertinggi dan hak eksklusif Kerajaan Persekutuan yang tidak ditawarkan dan diberikan sewenang-wenangnya.

"Setiap permohonan kewarganegraan yang diterima diproses dan diteliti dengan sewajarnya berdasarkan peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan dan Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964 dengan mengambil kira kepentingan nasional serta keselamatan dan kesejahteraan warganegara sedia ada

"KDN dan JPN akan sentiasa peka dan menjalankan proses sebaik-baiknya berkenaan perkara ini kerana setiap permohonan akan diteliti mengikut giliran sewajarnya sebelum keputusan dikeluarkan.

"Pertimbangan yang teliti perlu dilaksanakan bagi memastikan taraf kewarganegaraan Malaysia diberikan kepada individu yang benar-benar layak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan perundangan berkaitan tanpa menjejaskan aspek keselamatan, kepentingan negara dan warganegara sedia ada," katanya. #BeritaHarian

Share:

Projek Persimpangan Bertingkat Jalan Panching FT02 Bernilai RM120 Juta Dijangka Akan Siap Dibina Menjelang Tahun 2029

KUANTAN: Persimpangan bertingkat Jalan Panching FT02 di sini dijangka siap dibina menjelang tahun 2029.

Menurut Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kerajaan negeri  sedang melalui proses pengambilalihan empat lot tanah yang terlibat bagi projek terbabit.

“Projek telah secara rasmi bermula pada 13 Januari 2026. Kita meluluskan peruntukan siling berjumlah RM120 juta bagi projek ini.

“Saya lihat projek ini sangat mendesak kerana laluan ini sudah mencapai tahap kesesakan agak luar biasa setiap kali hujung minggu, musim cuti umum dan cuti perayaan.

“Jadi, hari ini saya panggil semua pihak termasuk JKR, syarikat kontraktor dilantik, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Koridor Utiliti Pahang dan komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Sesi Penerangan dan Pendengaran Awam Projek Persimpangan Bertingkat Jalan Panching di Masjid Al-Bukhori Nurul Aman, Taman Mahkota Aman, di sini hari ini yang dihadiri kira-kira 100 penduduk setempat.

Mohd Shahar berkata, sebuah jejantas motosikal dan tiga buah tempat menunggu bas akan dirobohkan sebelum pembinaan projek berkenaan dan akan dibina semula kontraktor selepas projek siap.

Selain itu terdapat tiga lagi projek berkepentingan awam bagi kawasan Paya Besar yang akan dilaksanakan iaitu Persimpangan Bertingkat Bukit Rangin, naik taraf jalan di Taman Tas dan Permatang Badak.

“Kita buat secara berfasa. Untuk persimpangan bertingkat Bukit Rangin telah diluluskan RM28 juta bagi proses awalan iaitu reka bentuk, pengambilan tanah dan kajian.

“Seterusnya JKR akan membawa kepada kementerian untuk proses seterusnya termasuk lantikan kontraktor,” katanya lagi.

Salah seorang penduduk, Rahimi Abdul Rahman, 56, ketika ditemui pada sesi itu menyambut baik pelaksanaan projek persimpangan bertingkat di lokasi itu.

Dia turut menyeru agar pembinaan projek terbabit disiapkan secepat mungkin agar dapat dimanfaatkan semua pihak sebaiknya.

“Saya sebagai penduduk kawasan sini rasa suka dan lega sebab seperti yang diberitahu JKR dalam sesi penerangan tadi pun, level of service sudah tahap F iaitu aliran trafik yang sangat teruk di situ.

“Dikatakan kalau projek ini siap, level of service akan jadi tahap B di mana perjalanan akan lebih lancar dan ia satu kemudahan yang bagus untuk penduduk Kuantan dan Paya Besar khususnya,” katanya.

Rahimi yang tinggal di Perumahan Bukit Rangin sejak 25 tahun dahulu pernah menghabiskan masa selama hampir 40 minit melalui jalan itu untuk pulang ke rumah dengan jarak kira-kira lima kilometer sahaja. #MalaysiaGazette

Share:

Sultan Pahang Menzahirkan Kebimbangan Berkaitan Isu Pemberian Taraf Penduduk Tetap (PR) Dan Kewarganegaraan

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan kebimbangan berkaitan isu pemberian taraf penduduk tetap (PR) dan kewarganegaraan.

Al-Sultan Abdullah bertitah perkara berkenaan bukan sekadar isu pentadbiran, tetapi menyentuh amanah, integriti, keadilan dan maruah sebuah bangsa berdaulat dengan pemberian keistimewaan berkenaan bukanlah urusan kecil yang boleh dilayan sambil lewa.

"Kewarganegaraan bukan hanya sekeping dokumen dan sekadar pengiktirafan undang-undang, ia adalah ikrar kesetian, sumpah setia kepada raja dan tanah air.

"Kewarganegaraan juga bukan ganjaran yang boleh dijual beli, bukan hadiah kuasa dan bukan tiket mudah untuk memasuki pangkuan watan, ia adalah lambang kepercayaan tertinggi negara kepada seseorang.

"Jadi, saya ingin mengingatkan kepada semua yang bertanggungjawab, ketegasan dalam perkara ini bukanlah kezaliman tetapi benteng kedaulatan negara. Jika pintu kerakyatan dibuka tanpa tapisan yang adil dan berintegriti, maka runtuhlah kepercayaan rakyat dan lunturlah maruah negara di mata dunia," titah baginda.

Sultan Pahang bertitah demikian pada Program Wacana Belia Diraja 2026 "Titah Diraja, Amanah Belia: Membina Masa Depan Pahang Berdaulat" di sini yang turut dihadiri paduka anakanda Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Hadir sama Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang Fadzli Mohamad Kamal serta Presiden Majlis Belia Malaysia Mohd Izzat Afifi Abd Hamid.

Al-Sultan Abdullah bertitah kedaulatan negara tidak boleh dikompromi atas alasan pelaburan, tekanan politik atau keuntungan sementara, malah maruah bangsa bukan untuk dijual dan kedaulatan negara bukan untuk digadai.

Sementara itu, dalam menyentuh aspek kesetiaan kepada raja dan negara sebagai asas kepada kestabilan, baginda menyeru supaya golongan muda bersuara serta menegur dengan hikmah dan tertib berasaskan fakta sebenar.

"Jika mahu mengubah, ubahlah dengan ilmu dan akhlak, bukan amarah serta caci. Sesungguhnya, kesetiaan kepada raja dan negara ialah asas kestabilan nasional, tanpanya kebebasan bertukar menjadi kebiadaban dan keberanian berubah kepada keangkuhan," titah baginda.

Wacana berkenaan menghimpunkan 500 peserta terdiri daripada kepimpinan persatuan belia, mahasiswa institusi pengajian tinggi serta pihak berkepentingan dalam bidang pembangunan belia dan kenegaraan.

Program itu juga merupakan inisiatif strategik untuk memperkukuh literasi kenegaraan dalam kalangan belia, khususnya berkaitan fungsi, peranan dan kedudukan institusi raja berperlembagaan sebagai teras kestabilan dan kedaulatan negara. #BeritaHarian

Share:

Inisiatif Makmur Pahang Kluster Siswa Manfaatkan 20,000 Mahasiswa Di Institusi Pengajian Tinggi Terpilih Seluruh Negara

JOHOR BAHRU: Kira-kira 20,000 mahasiswa anak Pahang yang layak, di institusi pengajian tinggi terpilih seluruh negara, menerima bantuan RM400 secara sekali beri (one-off), melibatkan peruntukkan RM9 juta menerusi Inisiatif Makmur Pahang Kluster Siswa.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri bercadang menambah peruntukan dan kadar bantuan kepada pelajar pada tahun depan susulan peningkatan harga barangan keperluan harian.

“Kita memahami bahawa kenaikan kos sara hidup dan harga barangan memberi tekanan kepada pelajar kerana latar belakang mereka yang berbeza. Ada dalam kalangan mereka yang enggan menghubungi ibu bapa kerana tidak mahu membebankan keluarga.

“Pelajar ini sebaliknya terpaksa berjimat dan berdepan kekurangan. Oleh itu, bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban serta memastikan tumpuan mereka terhadap pembelajaran tidak terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran dan Penyampaian Inisiatif Makmur Pahang Kluster Siswa 2026 kepada 538 anak Pahang di Dewan Seri Perdana, Kolej Perdana, UTM di sini.

Selain bantuan kewangan, Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pahang turut menyediakan pelbagai sokongan pendidikan lain termasuk Geran Bantuan Pelajaran sekali beri RM700 kepada prasiswazah dan RM1,200 kepada pasca siswazah.

Sebelum ini kadar bantuan tersebut sebelum ini diberikan secara berperingkat bermula RM200 dan kini dikekalkan RM400 bagi meringankan beban pelajar yang menuntut di institusi pengajian tinggi. #BeritaRTM

Share:

Sultan Pahang Tangguh Sebentar Perjalanan, Bantu Mangsa Kemalangan Di LPT1 Berhampiran Susur Keluar Tol Temerloh

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menangguhkan sebentar perjalanannya hari ini bagi membantu mangsa kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) berhampiran susur keluar tol Temerloh.

Ketika kejadian baginda dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, baginda terlihat satu kemalangan melibatkan seorang penunggang motosikal dengan sebuah kereta.

“Bimbang dengan kecederaan yang dialami penunggang motosikal menyebabkan baginda menitahkan agar kereta polis pengiring membawa mangsa ke Hospital Temerloh dengan segera untuk mendapatkan rawatan,” menurut perkongsian Facebook Kesultanan Pahang.

Malah, baginda turut berkenan turun dari kenderaan untuk melihat serta bertanya sendiri situasi mangsa dan sebuah lagi kenderaan terlibat sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Kuantan. #MalaysiaGazette

Share:

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang Dakwa Kelodak Lombong Punca Pencemaran Sungai Lipis Di Jambatan Sengkela, Raub

KUANTAN: Pencemaran Sungai Lipis di Jambatan Sengkela, Raub yang tular dalam media sosial semalam, disebabkan pelepasan kelodak dari kolam takungan di kawasan operasi perlombongan bijih besi di Hulu Sungai Bekil.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang Zakaria Ahmad @ Mohd berkata berdasarkan pemeriksaan di sepanjang Sungai Lipis, hanya air Sungai Bekil yang terletak berdekatan kawasan lombong didapati berwarna keruh.

"Kejadian limpahan kelodakan ke Sungai Bekil ini turut disahkan oleh pengusaha lombong," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya juga mendapati keadaan sungai telah kembali pulih.

"Kejadian limpahan kelodakan ke Sungai Bekil ini turut disahkan oleh pengusaha lombong," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya juga mendapati keadaan sungai telah kembali pulih.

Zakaria berkata pihaknya telah melaksanakan ujian pensampelan di tapak (in situ) di sepanjang Sungai Lipis dan mendapati kadar kekeruhan air sungai ialah 75.48 Unit Kekeruhan Nephelometric (NTU) serta melebihi had 50 NTU bagi kelas II bagi sumber air.

"Bacaan skala pH adalah 7.34 dan oksigen terlarut (DO) sebanyak 7.47 miligram per liter adalah normal bagi kehidupan akuatik," katanya.

Selain itu, beliau berkata hasil siasatan berkenaan akan dimaklumkan kepada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Negeri Pahang untuk tindakan lanjut agensi terbabit.

Berdasarkan rekod, tiada projek perlombongan bijih besi yang diluluskan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) di Daerah Raub.

"Aktiviti perlombongan sedia ada yang diluluskan pajakan melombong sebelum 2015 adalah tidak tertakluk kepada keperluan Laporan EIA di bawah Seksyen 34A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya. #HarianMetro

Share:

Polis Menemukan Satu Mayat Lelaki Dalam Keadaan Separa Reput Di kawasan Ladang Karmen Mengkarak, Bera

KUANTAN: Polis menemukan satu mayat lelaki dalam keadaan separa reput di kawasan Ladang Karmen, Mengkarak, Bera hari ini.

Ketua Polis Daerah Bera Superintenden Zulkiflee Nazir berkata Balai Polis Mengkarak menerima maklumat daripada orang awam pada kira-kira 10 pagi.

"Punca kematian dan pengesahan identiti masih dalam siasatan. Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Temerloh (Hospital Sultan Haji Ahmad Shah) untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zulkiflee meminta mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau kehilangan ahli keluarga membantu siasatan dengan menghubungi talian 019-910 1044 atau 09-250 8222 atau hadir ke balai polis berhampiran. #AstroAwani


Share:

Pemuda PAS Pahang Minta Kerajaan Negeri, Persekutuan Naik Taraf Segera Jalan Raya Di Laluan Utama Muadzam Shah-Selancar

KUANTAN: Dewan Pemuda PAS Pahang meminta kerajaan negeri dan persekutuan mengambil tindakan segera bagi menaik taraf keadaan jalan raya di laluan utama Muadzam Shah ke Gugusan Felda Selancar yang dilihat masih berada pada tahap kurang memuaskan.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, laluan berkenaan merupakan antara pintu masuk utama ke Negeri Pahang dari selatan tanah air, namun keadaannya tidak mencerminkan aspirasi slogan kerajaan negeri, Pahang 1st.

Menurut beliau, masalah kerosakan jalan di kawasan itu bukan isu baharu dan telah berlarutan sejak sekian lama tanpa penambahbaikan yang ketara, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan pengguna jalan raya.

“Apa yang menarik perhatian saya sepanjang perjalanan ke Muadzam Shah, khususnya melalui laluan utama dari Muadzam Shah ke Segamat, Johor, ialah keadaan jalan raya yang dilihat masih berada pada tahap kurang memuaskan.

“Sedangkan laluan ini merupakan antara pintu masuk utama ke Negeri Pahang dari selatan tanah air,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menimbulkan persoalan bahawa dengan slogan Pahang 1st yang diangkat oleh kerajaan negeri BN PH hari ini, adakah keadaan sebenar infrastruktur jalan raya di negeri ini benar-benar mencerminkan aspirasi slogan tersebut?

“Secara peribadi, sejak kecil sehingga ke hari ini, saya melalui laluan yang sama dan mendapati kondisi jalan raya di kawasan ini seolah-olah tidak menunjukkan peningkatan yang signifikan, malah berdepan pelbagai isu keselamatan.

“Keadaan ini menimbulkan persoalan apabila wakil rakyat kawasan ini sendiri diwakili oleh Dato’ Ir Razali Kassim daripada UMNO-Barisan Nasional (BN), yang juga merupakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang merangkap Pengerusi Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan.

“Justeru, adakah ini gambaran sebenar pelaksanaan slogan Pahang 1st yang diwar-warkan?” soalnya lagi.

Sehubungan itu, beliau meminta Razali Kassim agar turun padang bagi menilai sendiri keadaan jalan raya di kawasan berkenaan dan seterusnya melaksanakan kerja naik taraf secara menyeluruh.

“Saya berpandangan bahawa rakyat Pahang berhak menikmati kemudahan jalan raya yang lebih selamat, selesa dan berkualiti.

“Sehubungan itu, saya dengan penuh hormat memohon jasa baik pihak yang bertanggungjawab, khususnya Pengerusi Kerja Raya Negeri Pahang, agar dapat mengambil tindakan segera untuk menilai dan menaik taraf keadaan jalan raya di Pahang, terutamanya di DUN Muadzam Shah.

“Saya juga berharap pihak kerajaan persekutuan boleh meluluskan dengan Kadar segera peruntukan penyelenggaraan Jalan Raya persekutuan bagi menambah baik infrastruktur jalan raya,” ujarnya.

Beliau turut berharap peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) digunakan secara berhemah dan mematuhi garis panduan, supaya isu ketidakpatuhan penggunaan peruntukan seperti yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Suku Ketiga 2025 tidak berulang.

“Walau apa pun, saya mendoakan agar segala perancangan serta usaha penambahbaikan infrastruktur jalan raya di negeri ini dapat disegerakan dan dipermudahkan demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat,” katanya. #Harakahdaily

Share:

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pahang Menyediakan Klinik Veterinar Bergerak Serba Lengkap Pertama Di Pantai Timur

KUANTAN: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pahang menyediakan klinik veterinar bergerak serba lengkap yang pertama di Pantai Timur bagi kegunaan memberi rawatan pada haiwan peliharaan di kawasan luar bandar.

Klinik berkenaan dilengkapi bilik untuk rawatan, bedah, bius, kurungan, ruang pendaftaran dan menunggu. Ia mula beroperasi kelmarin sempena program Kampungku Ceria di Tasik Paya Besar, di sini.

Pengarah JPV Pahang, Dr Norhaliza Abdul Halim berkata, klinik veterinar bergerak itu dijangka ke setiap daerah di negeri itu setiap bulan bagi memberi perkhidmatan yang diperlukan haiwan seperti kucing, anjing, arnab dan hamster.

Beliau berkata, pihaknya memberi tumpuan pada rawatan seperti pemberian vaksin, ubat cacing dan ubat kutu termasuk aktiviti pemandulan serta pembedahan kecil yang perlu dilakukan segera bagi menyelamat nyawa haiwan peliharaan itu.

"Di bahagian luar klinik bergerak ini terdapat pentas menonton televisyen yang menyalurkan pelbagai maklumat berkaitan kemudahan rawatan dan penjagaan haiwan peliharaan.

"Kita mampu memberi rawatan antara 40 hingga 50 ekor haiwan peliharaan sehari bergantung pada jenis rawatan yang diberikan. Untuk pemberian vaksin, ubat cacing dan ubat kutu akan mengambil masa kira-kira 10-15 minit hingga sejam bagi pemandulan," katanya, di sini hari ini.

Norhaliza menambah, bayaran serendah RM5 dikenakan bagi rawatan seperti suntikan vaksin, ubat cacing dan ubat kutu. Bagi pemandulan dikenakan RM80 bagi kucing jantan dan RM120 kucing betina.

Sementara itu, Ketua Bahagian Kesihatan Veterinar JPV Pahang, Dr Zakaria Ahmad berkata, klinik veterinar bergerak memudahkan pemilik haiwan peliharaan mendapatkan kemudahan rawatan.

"Klinik veterinar bergerak dikendalikan tujuh kakitangan termasuk tiga penolong pegawai veterinar yang akan memberi rawatan. Kita berharap perkhidmatan bergerak yang disediakan ini mendapat sambutan daripada pemilik haiwan peliharaan di negeri ini," katanya. #BeritaHarian

Share:

SPRM Pahang Menahan Seorang Pegawai Polis Wanita Bersama Adik Lelakinya Disyaki Minta, Terima Rasuah RM30,000

KUANTAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan seorang pegawai polis wanita berpangkat inspektor bersama adik lelakinya kerana disyaki meminta dan menerima rasuah RM30,000 antara tahun 2021 hingga 2025.

Menurut sumber, wang rasuah itu dipercayai diterima sebagai balasan untuk melepaskan individu yang terbabit dalam kes dadah.

Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut dengan menerima wang rasuah antara RM1,000 hingga RM7,000 setiap bulan melalui akaun peribadi milik suspek lelaki.

"Suspek berusia 20 dan 30-an itu ditahan secara berasingan antara jam 4.30 petang dan 9 malam pada Isnin ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Pahang.

"Suspek dibawa ke mahkamah pada Selasa untuk perintah reman," katanya.

Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhari membenarkan kedua-dua suspek direman lima hari sehingga 24 Januari depan

Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. #SinarHarian

Share:

Wan Rosdy: Perikatan Nasional (PN) Hanya Menjual Persepsi, Sentimen Dan Fitnah Dalam Misi Tawan Pahang PRU-16

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) hanya menjual persepsi, sentimen dan fitnah dalam misinya menawan Pahang pada PRU-16, kata Menteri Besar, Dato' Sri DiRaja Hj Wan Rosdy Wan Ismail.

Naib Presiden UMNO itu berkata naratif berkenaan termasuk mendakwa pentadbiran semasa diterajui Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak Islamik walaupun realitinya berbeza.

“Bagitahu saya apa yang tak Islamik, negeri ini beri bantuan RM750 kepada jemaah haji, wang saku kepada individu kali pertama berkahwin dan beri bantuan RM10,000 setahun kepada masjid.

“Dari sudut ekonomi pula belanjawan kita surplus, tapi pembangkang keluar kenyataan kata itu hitam (negatif) walaupun ia putih (positif),” katanya merujuk tindakan Ketua Pembangkang DUN Pahang Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Beliau pertikai laporan Ketua Audit Negara yang mengatakan belanjawan Pahang surplus dan berbelanja ikut peruntukan.

“Tetapi beliau tak faham dan masih pertikai juga, saya kata buang masa dewan (DUN) dan elok buat kursus. Tetapi mereka bantah kata bukan tak faham tapi ketua audit negara yang tak faham,” katanya yang ditemui di tepian Perhimpunan Agung UMNO 2025 (PAU2025) baru-baru ini.

Menurut Wan Rosdy yang juga ADUN Jelai, rakyat boleh menilai sendiri kemampuan PN berdasarkan situasi terbabit.

“Biasalah jadi pembangkang keluarkan kenyataan yakinkan orang ramai dengan buat persepsi, sentimen dan fitnah.

“Tetapi dalam masa sama orang menilai kalau mereka jadi kerajaan apa nak dibuat,” katanya.

Tahun lalu, gabungan pembangkang melancarkan PN Tawan Pahang (PTP) untuk menawan Pahang.

Pada PRU-15, BN dan PN masing-masing menang 17 kerusi manakala PH memperoleh lapan DUN menyaksikan tiada parti memperoleh majoriti membentuk kerajaan Pahang.

BN kemudiannya bekerjasama dengan PH untuk menguasai DUN sekali gus menubuhkan kerajaan.

Baru-baru ini, Malaysiakini melaporkan Ketua Penerangan PN Pahang Mohd Tarmizi Yahaya berkata gabungan itu menyasarkan tambahan sekurang-kurangnya lima lagi kerusi DUN bagi mencapai hasrat membentuk kerajaan.

Difahamkan DUN berkenaan ialah Tioman, Padang Tengku, Sabai, Ketari dan Chini. #FreeMalaysiaToday

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.