PUTRAJAYA – Harga runcit petrol RON95 dan diesel masing-masing kekal pada paras RM2.08 dan RM2.18 seliter bagi tempoh bermula tengah malam ini sehingga 14 Jun depan.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, harga runcit petrol RON97 pula turun sebanyak 13 sen iaitu daripada RM2.76 kepada RM2.63 seliter untuk tempoh sama.
Menurutnya, penetapan harga runcit produk petroleum itu akan dikekalkan untuk tempoh dua minggu bersempena musim cuti Hari Raya Aidilfitri dengan anggaran subsidi sebanyak RM165.27 juta.
"Sebanyak RM120.94 juta subsidi diperuntukkan untuk produk RON95 manakala subsidi bagi diesel adalah RM44.33 juta.
"Selepas 14 Jun, penetapan harga runcit produk petroleum ini akan kembali kepada asal di mana penetapan akan dibuat secara mingguan," kata kenyataan itu di sini hari ini.
Kementerian Kewangan berkata, penurunan itu adalah berikutan harga produk petroleum diproses di pasaran dunia telah menunjukkan trend penurunan susulan penurunan purata harga minyak mentah Brent berbanding minggu sebelumnya.
"Berdasarkan pengiraan di bawah formula Mekanisme Harga Automatik, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh 1 Jun hingga 14 Jun depan sepatutnya masing-masing adalah RM2.33 dan RM2.40 seliter.
"Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat," katanya. #sumber
JEDDAH - Rakyat Malaysia di Arab Saudi diminta bersama-sama membantu kerajaan membina semula negara selepas tampuk pemerintahan negara bertukar tangan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata mereka boleh membantu mengikut kemampuan masing-masing seperti memberi input membina supaya dasar yang lebih efektif dapat diperkenalkan.
"Membina semula negara selepas apa yang telah berlaku bukanlah satu perkara yang mudah, tetapi ia tidak mustahil.
"Kita perlu membetulkan keadaan dalam masa yang sama meneruskan pertumbuhan ekonomi negara yang memberi manfaat kepada semua rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis berbuka puasa bersama diaspora Malaysia di sini pada Khamis.
Dr Wan Azizah berkata setiap rakyat juga boleh menjadi ‘duta’ kepada negara dalam menyebarkan maklumat yang benar kepada masyarakat di Arab Saudi.
Turut hadir Anggota Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.
Dr Wan Azizah mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-14 yang berlangsung hari ini.
Persidangan itu, yang bertemakan ‘Sidang Kemuncak Makkah: Bersama-Sama menuju ke arah Masa Depan’ didahului dengan Mesyuarat Pegawai kanan pada 27 Mei dan Mesyuarat Menteri-menteri Luar pada 29 Mei. #sumber
TOKYO - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Jepun Shinzo Abe di Pejabat Perdana Menteri di Nagato-cho, Chiyoda-ku di sini.
Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan perkara-perkara yang menjadi minat dan kepentingan bersama bagi mengukuhkan hubungan dan kerjasama dua hala dalam banyak bidang meliputi perdagangan, pendidikan, pertahanan dan lain-lain.
Dr Mahathir, dalam ucapan pembukaannya, berkata Malaysia amat menghargai sokongan dari Jepun dan berharap hubungan baik yang telah sedia terjalin antara kedua-dua negara akan berterusan.
"Kami juga gembira kerana masyarakat perniagaan di Jepun telah menyatakan ikrar sokongan mereka kepada pelaburan dan kami amat mengharap untuk mengadakan lebih banyak kolaborasi dengan Jepun,” katanya.
Abe dalam ucapannya pula berkata Jepun akan terus menyokong Malaysia dan mengharapkan hubungan Jepun dan Malaysia diperkukuh semula dalam pelbagai bidang dan sektor yang sesuai dengan era baru kini.
“Dasar Pandang Ke Timur adalah lampu isyarat (beacon) dalam hubungan dua hala antara Jepun dan Malaysia,” kata beliau.
Dasar Pandang Ke Timur yang diperkenalkan oleh Dr Mahathir selepas beliau menjadi perdana menteri buat kali pertama pada 1981, menggalakkan Malaysia mencontohi etika kerja dan teknik perniagaan negara-negara Timur, seperti Jepun dan Korea Selatan.
Abe turut menyatakan kekagumannya terhadap inisiatif Malaysia yang tidak henti-henti memperbaiki ketelusan dan mengurangkan hutang negara.
Dr Mahathir kini pada hari terakhir lawatan kerja tiga harinya ke Jepun di mana beliau turut menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa mengenai Masa Depan Asia ke-25 atau Persidangan Nikkei.
Ini adalah kali keempat Dr Mahathir melawat Jepun setelah menjadi Perdana Menteri Malaysia bagi kali kedua selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei tahun lepas. #sumber
TOKYO - Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengesahkan semula janji beliau untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti dipersetujui oleh Pakatan Harapan (PH), walaupun tiada tempoh masa dinyatakan.
"Saya telah bersetuju yang Anwar akan mengambil alih dari saya dan saya akan mematuhi dengan perjanjian saya. Semasa pembentukan gabungan PH, adalah dipersetujui bahawa ia akan diketuai oleh saya sebagai pengerusi.
"Kami juga berjanji sekiranya saya menjadi PM, penggal saya akan dihadkan ke beberapa tempoh, tetapi masa sebenar tidak dinyatakan," katanya dalam sesi dialog pada Persidangan Antarabangsa mengenai Masa Hadapan Asia kali ke-25, juga dikenali sebagai Persidangan Nikkei.
Perdana Menteri berkata, beliau akan turun selepas tempoh masa tertentu bagi meletakkan ekonomi di landasan yang tepat.
Beliau berkata, berurusan dengan ekonomi Malaysia adalah satu isu yang paling besar dan menekan yang perlu diselesaikan sebelum peralihan kuasa. #sumber
KUANTAN - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, mengakui bahawa kesempatan bersama rakyat dalam pelbagai program adalah sesuatu yang amat besar ertinya kepada baginda.
Sultan Abdullah bertitah menghadiri program seperti berbuka puasa dan pengurniaan bantuan kepada golongan yang memerlukan juga merupakan amalan keluarga yang sudah dilakukan sejak zaman Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah.
"Paduka ayahanda saya yang meletakkan amalan sedemikian kepada semua (anggota keluarga) dengan prinsip kalau dapat, kita mahu tingkatkan silaturahim antara raja dengan setiap lapisan rakyat.
"Sepanjang hayatnya, almarhum paduka ayahanda banyak melakukan pelbagai program bersama rakyat dan ini adalah legasi yang akan saya teruskan berpaksikan kepada prinsip raja dan rakyat berpisah tiada," titah baginda.
Sultan Abdullah bertitah demikian semasa berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan Pengurniaan Sumbangan Kepada Golongan yang Memerlukan di Masjid Sultan Ahmad 1 di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha kerajaan negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan barisan kepimpinan kerajaan negeri Pahang.
Sultan Abdullah juga bertitah mengingatkan mereka yang layak untuk menjelaskan zakat perniagaan supaya melaksanakan tanggungjawab itu dan manzahirkan ucapan terima kasih kepada mereka yang sudah melakukannya.
"Antara hikmat zakat ialah untuk mengurangkan golongan fakir dan miskin serta merapatkan jurang perbezaan antara mereka yang berada dengan yang kurang bernasib baik," titah baginda.
Pada majlis itu, Sultan Abdullah juga berkenan menerima penyerahan zakat perniagaan daripada sembilan badan korporat di Pahang berjumlah RM9.4 juta, antaranya daripada Tabung Haji bernilai RM4.59 juta, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) (RM2.38 juta) dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (RM760,158).
Turut menyerahkan zakat ialah Etiqa Family and General Takaful Berhad (RM543,500), Bank Islam Malaysia Berhad (RM364,699), Agrobank (RM275,500), Bank Muamalat Malaysia Berhad (RM247,806), Angkasa Pahang Zon 1 (RM161,880) dan Celcom Axiata Malaysia Berhad (RM114,210). #sumber
KUANTAN - Pengalaman membeli baju raya tahun ini menjadi kenangan paling manis buat Aliah, penghuni Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajjah Kalsom di sini, kerana berpeluang bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Aliah, 10, juga mengakui agak gementar apabila Sultan Abdullah berkenan memimpin tangannya semasa menaiki eskalator di pasar raya, dan mula bertanya beberapa soalan kepadanya sepanjang perjalanan.
"Tuanku tanya saya hendak beli apa dan saya jawab baju raya. Tuanku beritahu saya ambil apa sahaja yang saya berkenan...sebenarnya saya segan nak bercakap (dengan tuanku) kerana saya tak tahu gelaran yang sesuai untuk tuanku.
"Tapi saya sempat mengucapkan selamat Hari Raya kepada tuanku. Seronok sebab saya tahu tuanku orang besar dan tiba-tiba saya dapat berdiri sebelah dan tak sangka tuanku ramah orangnya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Aliah antara 106 anak-anak kurang bernasib baik dari Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajjah Kalsom dan Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah di sini, yang diraikan oleh Yayasan CIMB untuk membeli kelengkapan raya di sebuah pasar raya di sini, hari ini.
Terdahulu Sultan Abdullah yang berkenan mencemar duli menemani kanak-kanak tersebut membeli kelengkapan raya, meluangkan masa selama sejam untuk menyantuni dan bertanya khabar kanak-kanak itu, yang semuanya kelihatan teruja bertemu baginda.
Sultan Abdullah yang memandu sendiri kereta ke pasar raya itu, ditemani empat anakanda baginda iaitu Tengku Amir Nasser, Tengku Puteri Iman Afzan, Puteri Ilisha Ameera dan Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz dan isteri Datin Seri Johanna Raja Arshad dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan CIMB Datuk Hamidah Naziadin.
Sementara itu, seorang lagi penghuni Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajjah Kalsom, Alisha, 10, berkata Sultan Abdullah memilih sepasang baju kurung berwarna merah jambu untuk dirinya, namun kerana gementar, dia hanya tersenyum sehingga terlupa mengucapkan terima kasih.
Penghuni Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah, Syamil, 11, pula berkata beliau mengambil peluang untuk menambah koleksi gasing moden, Beyblade selain membeli baju Melayu berwarna merah dan kasut.
"Ini Beyblade keenam saya…saya nak beli kerana kami selalu berlawan sesama sendiri di rumah. Bila mereka kata kami boleh beli satu permainan, saya terus memilih Beyblade," katanya.
Untuk rekod, Yayasan CIMB mula melaksanakan Program Membeli-Belah Hari Raya bermula 2013, dan setakat ini telah membelanjakan lebih daripada RM400,000 yang memanfaatkan lebih 2,000 kanak-kanak dari 30 rumah perlindungan dan rumah anak yatim dari seluruh negara.
Yayasan CIMB yang ditubuhkan pada 2007, telah memperuntukkan RM140 juta yang memperuntukkan 750,000 orang menerusi 1,157 inisiatif bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik. #sumber
\

KUANTAN - Yayasan Pahang (YP) menyampaikan sumbangan sebanyak RM56,000 kepada 433 penerima terdiri daripada mualaf dan golongan kurang berkemampuan bagi membantu mereka membuat persiapan Aidilfitri.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mahmud Mohd Nawwi berkata sumbangan itu yang meliputi bantuan wang tunai RM200 kepada penerima dewasa dan RM50 kepada kanak-kanak, diharapkan dapat menceriakan sambutan hari raya mereka.
Katanya, antara penerima sumbangan itu ialah Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Pahang, Drug Intervention Community (DIC) Pahang, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kuantan.
Turut menerima ialah pelajar Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Asli Pahang, Smart Tahfiz Kolej Universiti Yayasan Pahang tajaan YP dan Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM).
"Ini merupakan tahun ketiga kita mengadakan program sebegini dan InsyaAllah akan diteruskan pada masa depan selari dengan matlamat YP untuk memartabatkan masyarakat, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sementara itu, Zunizam Abdullah, 69, yang memeluk Islam seawal usia 17 tahun berterima kasih kepada keprihatinan YP yang tidak putus-putus mengambil tahu dan memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan.
"Saya rasa sangat bersyukur dengan sumbangan ini yang sememangnya akan digunakan untuk membuat persiapan raya. Seronok juga bila berkumpul dalam majlis begini kerana dapat bertemu ramai rakan senasib," katanya.
Bagi Ahmad Firdaus Ng Abdullah, 58, yang menerima sumbangan itu yang diterimanya untuk kali kedua berkata sumbangan itu akan digunakan untuk dijadikan sebahagian daripada modal menternak ayam. #sumber
KUANTAN - Polis Pahang akan memberi tumpuan kepada 24 lokasi kerap berlaku kemalangan di negeri ini, yang akan diberi tumpuan khusus sepanjang pelaksanaan Op Selamat 2019.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata kawasan itu masing-masing tiga di Kuantan, Rompin, Maran, Temerloh dan Lipis.
Manakala di Pekan, Jerantut, Bera dan Bentong, polis mengenal pasti dua lokasi kerap berlaku kemalangan, selain satu lokasi di Raub, katanya.
"Kita akan mempertingkatkan rondaan di kawasan yang dikenal pasti ini supaya pengguna jalan raya lebih berhati-hati apabila menyedari kehadiran anggota keselamatan.
"Selain itu, anggota keselamatan juga akan ditempatkan di beberapa lokasi sesuai bagi memastikan kelancaran aliran trafik, terutamanya pada waktu puncak orang ramai dijangka pulang ke kampung," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Kamarulzaman berkata untuk tahun ini, lebih 400 anggota polis trafik akan bertugas, dan berharap kehadiran mereka dapat mengurangkan jumlah kesalahan jalan raya.
Beliau berkata pada Op Selamat tahun lalu, sebanyak 1,045 kemalangan direkodkan dengan 22 daripada ialah kemalangan maut yang melibatkan 23 kematian, selain sembilan parah.
Untuk tempoh yang sama, polis juga mengeluarkan 20,705 saman atas pelbagai kesalahan terutamanya yang melibatkan kesalahan pandu laju, meningkat daripada 19,498 saman yang dikeluarkan pada tahun 2017. #sumber
KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang mengumumkan 30 Julai sebagai hari kelepasan am negeri sempena Hari Keputeraan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu kenyataan di sini berkata ketetapan itu dibuat, berdasarkan kuasa yang diberikan di bawah Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369), Subseksyen 9 (1).
"Pekeliling mengenainya sedang diedarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, dan saya berharap semua pihak akan mengambil maklum dan akur dengan ketetapan ini," katanya.
Sultan Abdullah dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang pada 12 Jan lalu, mengambil alih tampuk pemerintahan daripada ayahanda baginda yang gering.
Baginda kemudiannya mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara, pada 31 Jan lalu. #sumber
KUANTAN - Polis telah menyelesaikan siasatan kes seorang pengerusi bahagian sebuah parti politik negeri ini, yang didakwa mengugut Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Mazlan Hassan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Datuk Othman Nanyan berkata kertas siasatan telah diserahkan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan mereka kini sedang menunggu arahan lanjut untuk tindakan seterusnya.
"Kita sudah menghantar kertas siasatan rujukan mereka (timbalan pendakwa raya) dan memandangkan kes ini membabitkan ahli politik serta boleh dikatakan mempunyai kepentingan awam, jadi kertas siasatan dirujuk ke Putrajaya," katanya kepada pemberita selepas mewakili Ketua Polis Pahang Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad pada pelancaran Op Selamat 15/2019 di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPKK) Pahang Datuk Abdul Aziz Salleh, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang Mohamad Abdullah.
Pada 19 Mei lalu, media melaporkan penahanan pengerusi bahagian parti politik yang dikatakan menghantar ugutan kepada Mazlan menerusi aplikasi WhatsApp yang dikatakan berlaku tiga hari sebelumnya.
Suspek yang berusia 53 tahun, didakwa berbuat demikian kerana tidak berpuas hati dengan tindakan polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Jerantut, yang merampas rokok dan minuman keras tidak bercukai yang dikatakan dijual seorang lelaki, yang turut menjawat jawatan dalam parti.
Pada perkembangan lain, Othman berharap penurunan statistik jumlah kemalangan dalam Op Selamat sempena Aidilfitri Pahang pada tahun lalu dapat diteruskan tahun ini.
Katanya, pada Op Selamat sempena Aidilfitri lalu, sebanyak 1,045 kemalangan dengan 23 kematian dicatatkan berbanding tahun 2017 yang merekodkan 1,180 kemalangan dengan 21 kematian.
"Antara kawasan kemalangan yang akan menjadi tumpuan ialah Jalan Kuala Lipis-Merapoh, Jalan Muadzam-Segamat dan Jalan Pintasan Kuantan," katanya.
Abdul Aziz pula berkata setakat semalam, sebanyak 317 borang maklumat pulang ke kampung telah diisi dengan 48 darinya menggunakan Volunteer Smartphone Patrol (VSP).
"Pada tahun lalu sebanyak 5,000 borang diisi dan diharap tahun ini 6,000 borang akan dapat diisi oleh mereka yang ingin pulang ke kampung dalam usaha menggalakkan kerjasama masyarakat dalam memerangi jenayah," katanya. #sumber
KOTA BHARU - Kerajaan Persekutuan diharap dapat menyegerakan bayaran royalti petroleum kepada Kelantan selepas isu saman terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) berhubung pembayaran royalti minyak sudah diselesaikan 17 Mei lepas.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata dari segi asasnya semua urusan berkaitan saman itu telah selesai.
“Cuma isu sekarang adalah Kerajaan Persekutuan melalui wakilnya mahu satu tarikh ditetapkan bagi pendengaran semula kes dan mahkamah telah menetapkan tarikh itu pada September hadapan.
“Jadi kita kena tunggu lagi sehingga tarikh itu. Kalau tengok kepada keadaan ini, Kelantan nampaknya tiada harapan untuk mendapat bayaran royalti minyak tahun ini… kita harap Kerajaan Persekutuan meneliti perkara ini kerana kita patuhi semua proses yang diperlukan bagi tujuan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan 2018 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan Pendidikan Pengaijian Tinggi sains dan Teknologi Datuk Mohamed Fadzli Hassan.
Seramai 863 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) menerima anugerah itu dengan masing-masing mendapat sumbangan berjumlah RM500 seorang.
Mengulas mengenai majlis Iftar anjuran Anggota Parlimen Johor Bharu, Akmal Nasrullah Mohd Nasir di Kuil Gurdwara Sahib, Mohd Amar berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku.
“Secara peribadi bagi saya ia tidak sepatutnya berlaku kerana perlu ada batas dalam hubungan agama walaupun kita perlu hormat agama lain. Puasa ini satu ibadat jadi tidak sesuai kita berbuka di tempat ibadat agama lain.
“Toleransi pun ada batas sempadannya yang perlu dijaga agar akhirnya kita tidak hilang identiti. Berdakwah itu boleh tetapi perlu ada kaedahnya...Islam ada prinsipnya seperti mana dalam surah Al-Kafirun yang bermaksud ‘bagi kamu agama kamu dan bagi kami agama kami’” katanya. #sumber
KUANTAN - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang akan menempatkan anggotanya di 18 lokasi daripada 36 kawasan yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan di negeri ini, kata Pengarahnya Mohammad Abdullah.
Beliau berkata pihaknya akan melakukan rondaan lebih kerap bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan, selain memberikan tumpuan kepada kenderaan berat yang dilarang untuk menggunakan jalan raya pada tempoh larangan.
Mohammad berkata seramai 326 kakitangan JPJ negeri dengan 74 buah kenderaan akan ditempatkan di 18 lokasi itu yang antaranya melibatkan laluan utama ke Kelantan seperti Bentong-Raub dan Benta-Merapoh di Lipis.
Selain itu, ia juga turut melibatkan laluan dari Selatan untuk ke Pantai Timur seperti Nenasi-Tanjung Gemok dan Muadzam-Segamat di Rompin dan Pekan-Leban Chondong.
"Ketetapan ini dibuat kerana kita menyasarkan penurunan kepada statistik kematian akibat kemalangan jalan raya sepanjang musim perayaan yang dicatatkan pada tahun lepas," katanya selepas melancarkan Operasi Penguatkuasaan Hari Raya Aidilfitri di Plaza Tol Gambang di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Mohammad juga mengagihkan bubur lambuk, risalah berkaitan portal perkhidmatan dalam talian jabatan MySIKAP dan risalah pemberitahuan untuk pengguna melaporkan kesalahan lalu lintas kepada pengguna jalan raya.
Beliau berkata pengguna jalan raya boleh membuat aduan secara terus di talian 09-5733027 atau menggunakan aplikasi WhatsApp dengan butiran lengkap kesalahan ke 013-4498997 atau emel ke aduantrafik@jpj.gov.my.
Pada perkembangan lain, Mohammad berkata sebanyak 30 notis saman telah dikeluarkan kepada 240 kenderaan sepanjang operasi bersepadu dengan Jabatan Perhutanan Pahang selama lima hari bermula 13 Mei lepas.
"Daripada jumlah kenderaan yang terlibat, 83 buah kenderaan adalaah lori balak yang terlibat dalam pelbagai kesalahan," katanya.
PUTRAJAYA - Balu kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Cradle Fund Sdn. Bhd., Samirah Muzaffar dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan di sini hari ini sementara menunggu perbicaraan kes bunuh yang dihadapinya.
Tertuduh, Samirah,44, dilihat meninggalkan pekarangan mahkamah bersama tiga individu dipercayai ahli keluarganya dengan menaiki kenderaan pelbagai guna jenis Volkswagen Sharan berwarna hitam kira-kira pukul 12.40 tengah ini tadi.
Bagaimanapun, usaha pemberita untuk menemui Samirah gagal apabila dia telah keluar melalui laluan lokap yang terletak di aras bawah mahkamah.
Terdahulu, dua individu yang juga dipercayai ahli keluarga tertuduh hadir ke Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan untuk urusan menyelesaikan urusan jamin dan dokumentasi kira-kira pukul 11.40 pagi.
Mereka dipercayai merupakan dua penjamin yang menjelaskan wang jaminan sebanyak RM500,000 yang ditetapkan oleh Mahkamah Persekutuan semalam.
Akhbar tempatan hari ini melaporkan, panel lima hakim yang diketuai oleh Tan Sri Azahar Mohamed membuat keputusan membenarkan Samirah diikat jamin sementara menunggu perbicaraan atas dakwaan membunuh suaminya, Nazrin Hassan.
Mahkamah turut menetapkan lima syarat terhadap Bekas eksekutif kanan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) itu seperti dia perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri kepada balai polis terdekat sekali dalam tempoh dua minggu.
Samirah juga perlu berada di dalam rumah dari pukul 6 petang hingga 8 pagi dan tidak boleh berada di sebarang tempat umum dan menghadiri sebarang majlis umum kecuali untuk tujuan keagamaan dan hal ehwal keluarga.
Selain itu, dia tidak boleh meninggalkan Kuala Lumpur dan Petaling Jaya tanpa kebenaran mahkamah.
Pada 12 Mac lalu, Samirah dan dua remaja berusia 14 dan 17 tahun didakwa atas pertuduhan membunuh Nazrin di kediaman mereka di Mutiara Damansara dekat Petaling Jaya, kira-kira pukul 11.30 malam pada 13 Jun hingga 4 pagi, 14 Jun tahun lalu.
Bagaimanapun, kedua-dua remaja itu dibenarkan ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan dua penjamin.
Mahkamah turut menetapkan 21 Jun ini sebagai pengurusan kes, manakala 3 September depan sebagai tarikh perbicaraan. #sumber
MELBOURNE – Remaja lelaki yang memecahkan telur di atas kepala Senator Australia, Fraser Anning, Will Connolly, 17, atau Budak Telur hari ini mendermakan sejumlah hamper AUD100,000 (RM291,582) kepada mangsa serangan dua buah masjid di Christchurch, New Zealand Mac lalu.
Perkara tersebut didedahkan Connolly melalui hantaran di laman Instagram miliknya yang dimuat naik semalam.
Menurutnya, sumbangan tersebut akan diberikan ke dua buah badan kebajikan di Christchurch untuk disalurkan kepada mangsa yang terselamat daripada serangan tersebut.
“Akhirnya, selepas mengumpul jumlah wang yang banyak, AUD99,922.36 telah dipindahkan ke Christchurch Foundation dan Victims Support.
“Saya mengambil keputusan untuk mendermakan semua yang dikumpul untuk membantu meringankan beban mangsa-mangsa serangan ganas tersebut, ia bukan milik saya untuk disimpan,” katanya.
Wang tersebut dikumpul melalui dua dana Go Fund Me yang diwujudkan untuk menampung kos guaman Connolly namun, pihak polis membuat keputusan untuk tidak mendakwanya. #sumber
KANGAR - Seorang warden sebuah maahad tahfiz di Simpang Empat di sini dijatuhi hukuman penjara selama 133 tahun selepas mengaku bersalah atas 26 pertuduhan liwat dan jenayah seksual terhadap lima pelajar tahfiz, bulan lalu.
Tertuduh, Nawawi Anuar, 28, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Nawawi yang berasal dari Bandar Baharu, Kedah turut dikenakan sebanyak 42 kali sebatan.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut ke atas mangsa yang berusia sembilan, 10, 11 dan 15 tahun di Maahad Tahfiz Al-Quran Ar-Raudhah, Simpang Empat di sini sepanjang April lalu.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan iaitu liwat dan memaparkan video lucah melalui telefon bimbit kepada mangsa berusia 11 tahun.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan (KK), 377C KK serta Seksyen 15(e) dan 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 selain Seksyen 5(1)(a) Akta Penapisan Filem 2002.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norshuhada Mohd. Yatim, Mohd. Izham Ali dan Mohd. Farhan Aliff Ahmad sementara tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan iaitu Mohd. Hapiz Rajali dan Nor Herdawati Harun.
Mahkamah menetapkan 9 Julai depan untuk serahan dokumen bagi tiga lagi pertuduhan yang minta dibicarakan. #sumber
KUALA LUMPUR - Pemergian penyanyi veteran Datuk Dahlan Zainuddin turut dirasai Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang disifatkan sebagai biduan negara.
Baginda bertitah, Dahlan bukan seseorang yang asing dalam arena seni kerana baginda secara peribadi mengenali dan meminati setiap karya Allahyarham.
Titahnya, antara lagu yang masih diingati ialah Kisah Seorang Biduan iaitu berkisarkan penghijrahan golongan muda untuk meneruskan kehidupan.
"Saya sememangnya mengenali Allahyarham sejak dari muda kerana beliau sering diundang untuk membuat persembahan upacara di Pahang.
"Dia seorang yang baik dan saya amat meminati beberapa lagu beliau antaranya sudah tentu Kisah Seorang Biduan," titahnya.
Baginda turut berharap ramai dalam kalangan penggiat seni mencontohi Allahyarham yang berjuang melahirkan ramai bakat tempatan.
Terdahulu, baginda berkenan mencemar duli melawat jenazah Dahlan yang ditempatkan di Masjid Saidina Abu Bakar As-Sidiq di sini.
Baginda turut menyempurnakan solat sunat jenazah dan menghadiahkan bacaan surah al-Fatihah.
Baginda yang tiba pada pukul 9.30 pagi itu kemudiannya berangkat pulang pada pukul 10 pagi.
Terdahulu, Dahlan dilaporkan meninggal dunia di Hospital Selayang pada pukul 9.48 malam tadi akibat serangan strok.
Jenazah dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Zuhur hari ini. #sumber
KUALA LUMPUR - Penyanyi veteran, Datuk Dahlan Zainuddin meninggal dunia pada pukul 9.48 malam tadi di Hospital Selayang, Selangor selepas empat hari tidak sedarkan diri akibat diserang strok pada petang Sabtu lalu.
Berita pemergian penyanyi berusia 78 tahun itu disahkan oleh isterinya, Datin Effa Rizan.
Allahyarham yang popular sekitar tahun 1970-an menerusi lagu Kisah Seorang Biduan meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak.
Jenazah akan dibawa ke Masjid Bangsar untuk dimandikan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara selepas solat Zohor.
Menurut Effa, Allahyarham tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri kerana diserang strok buat kali kedua pada Sabtu lalu sebelum dikejarkan ke Hospital Selayang.
Kali pertama penyanyi itu diserang strok adalah pada 2016 ketika sedang berada di sebuah majlis berbuka puasa di Perlis.
Tahun sebelumnya, Allahyarham juga pernah dimasukkan ke Hospital Ampang, Selangor selama seminggu kerana jangkitan paru-paru.
Selain menyanyi, Allahyarham juga pernah membintangi filem Kisah Seorang Biduan bersama Gaya Zakry, Jeffry Din dan Dian P.Ramlee pada tahun 1979. #sumber
KUALA LUMPUR - Sejarawan dan ahli akademik Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, 82, meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini kira-kira pukul 10.13 pagi tadi.
Anak keduanya, Rubin Khoo, 47, berkata, ayahnya pernah membuat pembedahan pintasan pada Oktober tahun lepas dan keadaan kesihatannya merosot selepas pulang daripada rawatan.
"Walaupun begitu dia masih tabah sehingga akhir hayatnya. Kami sedang menguruskan hal ini dan akan memaklumkan hal pengebumian nanti," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kay Kim yang dilahirkan di Kampar, Perak meninggalkan isteri, Puan Sri Rathi Khoo, 75, serta tiga orang anak, Eddin, Rubin dan Mavin.
Beliau juga merupakan salah seorang penulis yang merangka Rukun Negara selepas rusuhan kaum pada 1969. #sumber
KUANTAN - Hasrat seorang wanita untuk melaram barang kemas baharu lebur apabila diperdayakan penjual emas yang hanya dikenalinya menerusi laman sosial Facebook, sekitar Februari lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa, 30, mendakwa telah membayar RM4,247 selepas berurusan dengan suspek wanita yang dipercayai mengendalikan akaun sosial tersebut.
"Mangsa berkata dia mahu membeli dua utas rantai tangan emas, seutas rantai leher bersama loket dan sebentuk cincin emas. Dia diminta menjelaskan bayaran kesemua barangan itu ke dalam akaun bank yang diberikan suspek pada 12 Feb lepas.
"Suspek mendakwa dia akan menghantar barang kemas itu kepada mangsa sebaik sahaja menerimanya daripada kedai, namun sehingga kini mangsa mendakwa barangan tersebut tidak sampai kepadanya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mohd Wazir berkata mangsa yang berasa ditipu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Pada kes berasingan, seorang pelajar kerugian RM4,050 selepas diperdayakan dengan tawaran jualan murah telefon pintar iPhone X di Instagram yang kononnya hanya berharga RM1,850.
Mohd Wazir berkata mangsa, 21, mendakwa telah membuat transaksi pemindahan wang yang dikatakan sebagai harga jualan telefon itu pada 6.55 petang 26 Mei sebelum dihubungi suspek sekali lagi kira-kira dua jam kemudian.
"Suspek meminta mangsa membayar RM2,200 yang dikatakan untuk mengaktifkan aplikasi pengenalan diri (ID) telefon tersebut yang kononnya akan dipulangkan semula selepas 10 minit ia diaktifkan," katanya.
Mangsa bagaimanapun berasa curiga selepas suspek sekali lagi menghubunginya untuk meminta bayaran tambahan atas alasan ID telefon itu tidak berjaya diaktifkan pada cubaan kali pertama, menyebabkan dia membuat laporan polis di IPD Kuantan semalam. #sumber
KUANTAN - Seorang lelaki maut selepas tersepit di tempat duduk apabila kereta dipandunya bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 333, Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu, dekat Kampung Gesing di Raub, awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Raub Supt Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata pada kejadian 4.10 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Chan Tian Lai, 47, dari Kampung Baru Jerkoh di Benta, Raub.
"Kemalangan dipercayai berlaku selepas mangsa yang memandu kereta Proton Wira memasuki laluan bertentangan dan pemandu bas ekspres mendakwa tidak dapat mengelak ekoran jarak yang dekat," katanya.
Wan Mohd Zahari berkata pemandu bas dan 13 penumpang yang dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan ke Kuala Lumpur bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raub untuk bedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. #sumber
ROMPIN - Kementerian Industri Utama memohon supaya Menteri Besar dan Ketua Menteri dapat memudah cara pemilikan tanah yang diusahakan oleh masyarakat Orang Asli dengan tanaman kelapa sawit.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata ini kerana pemilikan tanah merupakan syarat utama dalam pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) kelapa sawit, yang wajib dipatuhi menjelang hujung tahun ini.
"Kerajaan telah menetapkan pensijilan MSPO yang melibatkan penyertaan semua pihak dalam industri kelapa sawit termasuk pekebun kecil, pengusaha ladang dan pihak pengilang bagi memastikan minyak sawit negara kita dihasilkan melalui pengeluaran mampan.
"Kami menghadapi beberapa cabaran untuk membantu pekebun Orang Asli mendapatkan pensijilan MSPO tapi isu yang paling mencabar ialah dalam isu pemilikan tanah dan berharap mendapat kerjasama Ketua Menteri dan Menteri Besar untuk menyelesaikannya" katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Shamsul Iskandar ditemui selepas merasmikan Program Jom MSPO Pekebun Kecil Orang Asli Pahang di Dewan Besar DARA, Muadzam Shah di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang Johari Alwi.
Pada majlis itu, Shamsul Iskandar juga menyampaikan pensijilan MSPO kepada 26 pekebun kelapa sawit Orang Asli dari Jerantut dan Pahang serta dana RM10,000 setiap satu kepada Koperasi Penanaman Sawit Mampan (KPSM) daerah Bera dan Maran.
Beliau berkata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) juga mengambil inisiatif menyatukan pekebun kecil melalui penubuhan Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) dalam usaha membantu mereka memperoleh pensijilan MSPO.
"Pekebun kecil yang menyertai SPOC dan pensijilan MSPO berpeluang menikmati pelbagai faedah untuk meningkatkan produktiviti malalui amalan pertanian yang baik, seterusnya membantu menghasilkan pendapatan lebih tinggi," katanya.
Beliau berkata setakat 31 Mac lalu, sebanyak 115 daripada 162 SPOC di seluruh negara telah mendapat pensijilan MSPO yang melibatkan penyertaan 8,561 pekebun kecil persendirian dengan keluasan kebun sebanyak 33,008 hektar.
Sembilan SPOC yang sedang menjalani proses audit dijangka menerima pensijilan mereka pada hujung bulan ini dan baki 38 SPOC sedang dalam proses pensijilan yang dijadualkan selesai pada November ini.
Shamsul Iskandar juga memaklumkan KPSM Bera dan Maran merupakan penerima terawal dana Skim Pinjaman Mudah Tanpa Faedah yang secara keseluruhan akan melibatkan 10 KPSM, terdiri daripada empat penerima di Semenanjung dan masing-masing tiga di Sabah serta Sarawak, melibatkan peruntukan sebanyak RM1 juta.
"Dana ini yang disediakan kerajaan adalah untuk membantu KPSM mengembangkan aktiviti perniagaan. Kami membuka mana-mana KPSM untuk memohon, namun mereka akan disaring supaya memenuhi kriteria seperti aktif dan berpotensi besar," katanya. #sumber
KUANTAN - Kerajaan akan meningkatkan pemantauan perairan negara ketika musim sambutan Aidilfitri bagi memastikan pendatang asing tanpa izin tidak mengambil peluang ketika musim perayaan untuk pulang ke kampung halaman mengikut saluran yang tidak sah.
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata pemantauan itu dilaksanakan kerana penggunaan laluan perairan negara tanpa kebenaran yang sah membawa banyak ancaman keselamatan kepada negara.
"Penguatkuasaan di perairan negara akan ditingkatkan ketika musim perayaan secara bersepadu oleh semua agensi termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Imigresen.
"Kita amat mengambil berat isu pendatang asing ini malah baru-baru ini Kabinet mengadakan mesyuarat khas mengenai isu imigran," katanya selepas Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Bungkusan Hari Raya kepada warga TLDM di atas kapal KD Pahang di perairan Kuantan, hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Mohd Zuki Ali, Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Markas Wilayah Laut 1 Laksamana Muda Abu Bakar Mohd Ajis.
Bagi TLDM, Mohamad berkata pasukan itu akan menggerakkan kapal KD Perdana dan KD Pendekar untuk tugasan memantau perairan negara. #sumber
KUALA LUMPUR - Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) akan memperkenalkan modul Skim Wajib Tayang yang baharu, selain menentukan satu garis panduan untuk industri filem tanah air.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata modul yang bertujuan mengatasi isu filem tidak laku sedang dilihat di peringkat pegawai undang-undang.
"Isu filem tidak laku ini terjadi kerana kita tidak ada garis panduan filem yang macam mana boleh masuk panggung. Di Hollywood, tak semua filem boleh masuk panggung, tetapi di Malaysia, semua filem boleh masuk panggung.
"Kami ada satu modul wajib tayang baharu, yang kami akan umum dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Sinergi Industri Finas bersama Media di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, ditanya cabaran menerajui Finas, Ahmad Idham yang memegang jawatan tersebut sejak 12 Mac lalu berkata penyelewengan kewangan merupakan cabaran terbesar yang terpaksa dihadapinya.
"Bila masuk dalam Finas, memang saya terkejut dengan pelbagai masalah yang timbul. Saya tertanya-tanya, apa dah jadi Mana duit Finas pergi Kes dengan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) berlambak-lambak.
"Saya tak rasa saya boleh selesaikan semua masalah ini dalam waktu terdekat. Tetapi, saya yakin ia akan diselesaikan secara berperingkat," katanya yang menyerahkan kepada SPRM dalam menyelesaikan isu melibatkan penyelewengan Finas.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo meminta SPRM mempercepatkan siasatan kes dana Finas membabitkan RM25 juta. #sumber
IPOH - Naib Pengerusi DAP Perak Dr Abdul Aziz Bari bersedia jika digugurkan daripada barisan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco) Perak.
Pengerusi Jawatanakuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar negeri itu berkata sehingga hari ini beliau tidak mempunyai sebarang maklumat jika bakal dikekalkan atau sebaliknya.
"Ia merupakan tanggungjawab Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) dan barisan kepimpinan Pakatan Harapam untuk menyelesaikan isu tersebut. Saya tidak boleh bercakap apa-apa mengenai perkara itu," katanya kepada pemberita selepas program memasak bubur lambuk anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Perak di sini, hari ini.
Menurut Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi itu, sepanjang pengetahuannya tidak mungkin akan berlaku pertukaran Exco.
"Sepanjang yang saya tahu, tidak akan ada perubahan. Kedudukan tetap status quo. Kita semua mewakili parti. Jika kita diarahkan pergi, kita pergi. Kita merupakan pemain satu pasukan," tambah beliau.
Terdapat ura-ura menyatakan Abdul Aziz akan digantikan dengan ADUN Sungai Manik dari Parti Pribumi Bersatu Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.
Nama lain turut disebut-sebut mungkin digugurkan adalah Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan, Abdul Yunus Jamhari dari PKR yang dikatakan akan diganti dengan ADUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad. #sumber

KUANTAN - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memperuntukkan bantuan zakat berjumlah RM10 juta kepada keluarga asnaf, fakir dan miskin sebagai bantuan Ramadan dan Aidilfitri tahun ini.
Timbalan Yang Dipertua MUIP Datuk Seri Abdul Wahid Wan Hassan berkata bantuan zakat itu merangkumi pemberian wang tunai dan bantuan barang keperluan makanan, dengan tumpuan diberikan kepada pesakit di hospital.
"Setakat ini, kita telah melawat Hospital Raub dan Hospital Muadzam Shah dan hari ini di Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini sebelum ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh.
"Bantuan zakat juga diberikan kepada pelajar maahad tahfiz, surau dan masjid serta individu persendirian yang dipastikan layak dan memerlukan sumbangan ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Ziarah Prihatin Pesakit Miskin di HTAA di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah HTAA Dr Norazmi Abdullah dan Setiausaha MUIP Datuk Ahmad Hairi Hussin.
Wan Abdul Wahid berkata untuk hari ini, seramai 400 pesakit menerima sumbangan meliputi wang tunai RM200 dan barangan makanan berjumlah RM65.
Bagi pesakit buah pinggang, Abdul Hamid Zakaria, 59, yang telah seminggu berada di HTAA kerana kegagalan buah pinggang berkata sumbangan itu sedikit sebanyak dapat membantu menampung kos rawatan dan ubat-ubatan.
"Tak sangka ada juga yang sudi datang melawat dan membawa buah tangan dalam keadaan saya begini," katanya.
Husain Othman, 65, yang merupakan pesakit buah pinggang sejak 20 tahun lepas juga berkata sumbangan itu meringankan beban kewangan untuk membuat persiapan hari raya.
"Rasa bersyukur dengan rezeki tidak dijangka ini kerana memang wang didahulukan untuk rawatan," katanya. #sumber
SHAH ALAM - Peguam yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan keluarga mangsa, Syazlin Mansor (foto) yang mengundur diri dipercayai akibat didesak pihak tertentu.
Difahamkan, Syazlin menerima sepucuk surat daripada satu pihak yang meminta peguam itu mengundurkan diri daripada meneruskan kes yang menjadi tumpuan negara itu baru-baru ini.
Menurut sumber, selain Syazlin, KPKT juga turut berdepan desakan sama daripada pihak berkenaan.
Difahamkan, antara isi kandungan surat itu adalah menyatakan bahawa Syazlin telah memalukan pihak pendakwaan dalam inkues itu.
Sehubungan itu, peguam itu memaklumkan kepada Koroner Rofiah Mohamad bahawa beliau menarik diri daripada meneruskan inkues ini hari ini. #sumber