
KUALA LUMPUR, 28 April - Orang ramai mula membanjiri sekitar simpan Jalan Tunku Abdul Rahman ke Dataran Merdeka sejak jam 9.00 malam tadi. Difahamkan, sekitar jam 2.30 pagi kehadiran peserta mencecah antara 3,000 hingga 4,000 orang di lokasi terbabit. Sekitar jam 2.40 kelihatan beberapa orang pimpinan Pakatan Rakyat seperti Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu dan Badrul Hisham Shahrin (Chegubard) tiba dengan menaiki tiga buah kenderaan. Turut bersama beberapa orang lagi pemimpin termasuk aktivis Hishamuddin Rais. Pada awalnya kehadiran mereka dihalang oleh pihak polis yang menutup Jalan TAR bermula di persimpangan Komplek SOGO dan Pertama. Namun, selepas beberapa perbincangan akhirnya mereka dibenarkan masuk. Difahamkan, mereka kemudian cuba menenangkan orang ramai yang berada berhampiran Dataran Merdeka. Dalam ucapan ringkas Mat Sabu dan Chegubard dilihat mengarahkan para penyokong Bersih 3.0 agar bersurai buat sementara waktu untuk mengelakkan ketegangan di awal pagi itu. Suasana agak tenteram selepas itu, namun orang ramai terus berpusu-pusu membanjiri kawasan berkenaan. Mereka terdiri daripada berbagai bangsa Melayu, Cina dan India. Turut kelihatan berada di situ ialah beberapa orang penyokong anti Lynas (Himpunan Hijau).


Dari tinjaun yang dibuat, pihak polis kelihatan mula menutup beberapa jalan utama menuju ke Dataran Merdeka. Walau bagaimana pun ia tidak menghalang orang ramai untuk hadir ke situ. Difahamkan, penutupan jalan berlaku berhampiran Jalan Kuching, Bulatan Pahang dan lain-lain jalan dari utara dan selatan. Apa yang jelas dapat dilihat, fenomena yang berlaku kali ini jauh lebih hebat dari Bersih 2.0 Julai tahun lalu. Ini kerana, kehadiran orang ramai sudah bermula sejak jam 9.00 malam, sedangkan pada himpunan terdahlu orang ramai mula membanjiri lokasi yang berkenaan sekitar jam 10.00 pagi ke atas. Ini memberi gambaran, sudah pasti jumlah rakyat yang akan hadir kali ini jauh lebih tinggi berbanding Bersih 2.0 dulu.