
KUANTAN, 5 April - Bekas Timbalan Menteri Besar Pahang, Dato' Hassan Ariffin (foto) bakal menfailkan tindakan saman terhadap dua pemimpin NGO Pengerak Anti Rasuah Dan Salahguna Kuasa (PEDAS) iaitu Ram Ponnusamy dan Pang Jon Kong berikutan dakwaan kononnya beliau dan beberapa orang yang lain terlibat dalam urusan penjualan "Tanah Rezab Melayu Tok Sira" dekat sini. Laporan tersebut telah disiarkan di PDO atas tajuk "UMNO Khianat Tanah Rezab Malayu Tok Sira" pada 19 Mac lalu. Difahamkan, laporan tersebut juga telah disiarkan didalam beberapa buah akhbar berbahasa Cina keesokan harinya. Menurutnya, tindakan saman terpaksa diambil selepas pihak berkenaan sengaja membuat "fitnah" dan menjatuhkan maruah beliau dengan dakwaan tersebut. Malah reputasinya terjejas akibat laporan berkenaan. Beliau juga mempunyai bukti-bukti kukuh bahawa apa yang didakwa adalah tidak berasas sama sekali. Semua dokumen berkenaan akan dibawa ke mahkamah untuk tujuan berkenaan. Difahamkan juga kesemua pihak terbabit (PEDAS) telah diberi tempoh 14 hari untuk memohon maaf atau menarik balik laporan berkenaan. Notis telah dihantar pada 22 Mac lalu dan akan berakhir pada Isnin 9 April ini. Kami akan membuat laporan terkini seterusnya terhadap kontroversi yang telah didedahkan.





