PETALING JAYA: Dua pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dipanggil Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk menjelaskan isu berhubung pemecatan Tan Sri Abdul Khalid daripada parti itu.
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Agung parti, Datuk Saifuddin Nasution Ismail akan memberi keterangan di ROS, Putrajaya pada Rabu.
Kedua-duanya akan ditemani peguam, Ragunath Kesavan di mana temujanji ROS dengan Saifuddin ditetapkan pada pukul 2 petang, manakala Dr Wan Azizah pula pada pukul 2.30 petang.
Ragunath ketika dihubungi mengesahkan mengenai perkara itu dan memaklumkan tarikh dan waktu berkenaan dipersetujui pihak terbabit.
"Surat ROS memanggil kedua-dua pemimpin PKR itu diterima lebih awal dan atas kesibukan masing-masing tarikhnya dipinda dan akhirnya dipersetuji untuk diadakan esok (Rabu)," katanya.
Sebelum ini, ada aduan dikemukakan terhadap Lembaga Disiplin dan Majlis Pimpinan Pusat Keadilan berhubung keputusan memecat bekas Menteri Besar Selangor itu.
Bulan lalu, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong dipanggil ROS untuk menyediakan laporan mengenai tarikh Khalid dipecat, komposisi Lembaga Disiplin parti itu dan buku kehadiran ahli jawatankuasa pusat PKR yang hadir semasa keputusan pemecatan dibuat. #sumber
KUALA LUMPUR: Nasib dua Ahli Dewan Undangan (Adun) PAS yang menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk dilantik sebagai Menteri Besar Selangor akan ditentukan Jawatankuasa PAS Pusat.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapa Ali (foto) berkata, kedua-dua Adun berkenaan, Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) telah dipanggil memberi penjelasan berhubung isu itu dan pimpinan PAS Pusat akan membuat keputusan mengenai status mereka.
"Mereka telah dipanggil secara formal untuk memberi penjelasan hari ini (Isnin).
"Saya sudah dengar penjelasan setiap seorang daripada mereka dan ia akan dimaklumkan kepada PAS Pusat yang akan bertindak membuat keputusan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan dua Adun tersebut di Ibu Pejabat PAS Pusat di sini, Isnin.
Menurut Mustapa, PAS Pusat juga akan memutuskan sama ada Saari dan Hasnul akan dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti atau sebaliknya.
Mengulas lanjut mengenai pertemuan tersebut, beliau berkata ia diadakan secara berasingan.
"Jumpa seorang-seorang...seorang ambil masa kira-kira sejam," katanya.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan isi kandungan penjelasan yang diberikan dan tidak mahu menyatakan sama ada beliau berpuas hati atau tidak dengan penjelasan yang telah diberi.
Mustapa berkata, kelewatan mengambil tindakan terhadap Saari dan Hasnul adalah disebabkan parti ingin menyelesaikan isu satu persatu.
"Kita selesai satu-satu. Isu menteri besar di Selangor sudah selesai, PRK Pengkalan Kubor sudah selesai, sekarang isu ini pula," katanya.
Status dua Adun PAS ini dalam parti masih lagi menjadi tanda tanya apabila tiada sebarang tindakan atau amaran dikenakan terhadap tindakan mereka yang dianggap membelakangkan parti dalam isu pelantikan menteri besar di Selangor.
Kedua-dua Adun berkenaan menandatangani surat akuan bersumpah menyokong Dr Wan Azizah sebagai menteri besar di Selangor, satu tindakan yang bertentangan dengan pendirian parti.
Terdahulu, Saari yang ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Mustapa berkata beliau masih ahli PAS dan akan menjadi ahli PAS sehingga ajal. #sumber
MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan penguatkuasaan peraturan baharu berhubung penggunaan cermin gelap bermula 1 November ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, pelaksanaan peraturan baharu itu menetapkan kadar ketelusan cahaya nampak (VLT) bagi cermin belakang dan sisi penumpang belakang dikurangkan daripada 50 peratus kepada 30 peratus.
Beliau berkata, kadar VLT bagi cermin hadapan dan sisi pemandu pula masing-masing kekal pada kadar 70 peratus dan 50 peratus.
"Peraturan ini selaras dengan standard atau piawaian antarabangsa di beberapa negara luar," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan Ketua Pengarah JPJ bersama anggota penguat kuasa dan pemeriksa kereta motor peringkat zon selatan di sini, Isnin.
Mengulas lanjut, beliau berkata, peraturan baharu itu terpakai kepada semua kenderaan di negara ini termasuk kereta import.
Ismail berkata, pengguna jalan raya yang gagal mematuhi peraturan baharu itu boleh dikompaun RM300 dan sekiranya kes tersebut dibawa ke mahkamah mereka boleh didenda sehingga RM1,000 atau penjara dua minggu atau kedua-duanya di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991.
Bagaimanapun, katanya, pengecualian terhadap peraturan itu diberikan kepada penggunaan kenderaan bagi beberapa jawatan tertentu seperti Yang di-Pertuan Agong; Sultan; Perdana Menteri; Timbalan Perdana Menteri; Ketua Menteri; Ketua Hakim dan juga kenderaan agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia dan Kastam Diraja Malaysia.
Katanya, pengecualian peraturan itu bagi tujuan keselamatan individu berkenaan dan juga anggota penguatkuasaan dalam melaksanakan operasi pencegahan jenayah yang berisiko tinggi.
Dalam perkembangan lain, Ismail berkata jumlah saman yang dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan di negara ini meningkat daripada 611,000 saman pada 2012 kepada 1.02 juta saman pada tahun lepas.
Katanya, jumlah itu dijangka meningkat sehingga 1.2 juta pada 31 Dis ini berdasarkan peningkatan operasi penguatkuasaan dan pemeriksaan terhadap kenderaan serta pengguna jalan raya. #sumber

SHAH ALAM: Pelajar Universiti Selangor (Unisel) yang tidak mampu membayar yuran pengajian mereka tidak boleh dihalang daripada menduduki peperiksaan, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, perkara itu telah dibincangkan dengan Menteri Besar Selangor yang baharu, Azmin Ali yang bersetuju meneliti dasar yang diguna pakai di universiti terbabit yang disifatkan sebagai tidak adil kepada pelajar kurang berkemampuan.
Unisel dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri Selangor.
"Saya telah berbincang dengan menteri besar baharu dan Naib Canselor universiti itu, dan menasihatkan mereka untuk tidak berbuat demikian. Ia bercanggah dengan dasar Pakatan Rakyat.
"Pelajar yang benar-benar dari keluarga miskin harus dibantu dan tidak dihukum. Mesti ada mekanisme dan ini adalah sesuatu yang mengikut kemampuan kerajaan negeri," katanya.
Beliau berkata beberapa pelajar Unisel telah menerima surat yang menghalang mereka daripada menduduki peperiksaan dan menggesa pengurusan universiti untuk mengguna pakai pendekatan jangka pendek yang tidak menjejaskan golongan tersebut.
"Ini adalah satu sebab saya tidak sabar. Anda boleh bercakap mengenai rizab besar di negeri ini dan projek mega tetapi realitinya perkara seperti ini tidak ditangani," katanya.
Beliau merujuk kepada pentadbiran Selangor ketika dibawah pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri syarahan mengenaiCombating Extremism oleh pakar akademik dari Yaman, Dr Abdullah Sheikh Abdul Majeed Al-Zindani di kampus Unisel di sini. #sumber
KUALA LUMPUR: Walaupun dikritik hebat berikutan tindakannya menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor, kesetiaan Saari Sungib kepada PAS terbukti masih kebal.
Sehingga pertemunnya dengan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapa Ali pada Isnin, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang itu mengakui masih lagi menjadi ahli parti dalam gabungan Pakatan Rakyat itu.
"Saya masih lagi ahli PAS," jawabnya ringkas selepas mengadakan pertemuan kira-kira sejam di Ibu Pejabat PAS Pusat, di sini.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai inti pati perbincangan bersama Mustapa dengan berkata ia merupakan satu 'pertemuan biasa'.
Ditanya sama ada beliau akan terus bersama PAS, beliau menyatakan kesetiaannya untuk bersama parti itu sehingga akhir hayatnya.
"...sampai ajal," jawabnya.
Beliau tidak keseorangan, sebaliknya seorang lagi Adun PAS bagi kawasan Morib, Hasnul Baharuddin dilihat masuk ke bangunan sama pada pukul 2.50 petang.
Difahamkan, kedua-dua mereka dipanggil oleh Mustapa untuk memberikan penjelasan mengenai surat akuan bersumpah yang ditandatangani sebagai menyokong Presiden PKR ketika krisis politik Selangor meruncing, sekali gus dianggap membelakangkan parti. #sumber
SIBU: Sebuah pesawat latihan penerbangan King Air C90B dari Seletar, Singapura tergelincir di landasan semasa mendarat di Lapangan Terbang Sibu di sini kira-kira pukul 12 tengah Isnin.
Pengurus Lapangan Terbang Sibu, Zainuddin Abu Nasir berkata, penerbangan tidak berjadual itu membawa seorang juruterbang warga Singapura dan dua pelatih warga asing.
"Ia terpesong ke luar kawasan rumput semasa mendarat di landasan 13. Ketiga-tiga orang di dalam pesawat tidak cedera," katanya pada sidang media di pejabat Sibu Airport Management di sini.
Tujuh penerbangan terjejas selepas pengurusan lapangan terbang itu menutup landasan untuk mengeluarkan pesawat sejurus selepas kejadian dan landasan dibuka semula pada 3.05 petang selepas pesawat itu dikeluarkan.
Zainuddin berkata, penerbangan ke Johor Baharu yang dijadual berlepas pada 11.50 pagi dijadual semula untuk berlepas pada 4.05 petang manakala penerbangan dari Kuching terpaksa berpatah balik selepas landasan itu ditutup.
Beliau berkata, Pejabat Penerbangan Awam dan Kementerian Pengangkutan sedang meyiasat punca kejadian. #sumber
KUANTAN: Orang ramai disekitar bandar ini menggesa pihak berkuasa membenteras aktiviti kumpulan pemungut derma dana Palestin yang kini semakin ramai berkeliaran di kawasan ini. Rata-rata mereka tidak senang dengan tindak tanduk kumpulan terbabit yang dipercayai berselindung di sebalik Yayasan Hang Tawi Malaysia. Persoalannya, kenapa ramai anggota kumpulan itu adalah "muka yang sama" dengan kumpulan pemungut derma untuk Pusat Tahfiz Amal, Yan Kedah suatu ketika dahulu.
Menurut seorang peniaga, kawasan perniagaan mereka sering didatangi oleh kumpulan terbabit terutamanya pada waktu puncak. Mereka memungut derma seolah-olah untuk disalurkan kepada rakyat Palesting, walhal sudah banyak kali didedahkan pihak berkenaan tidak mempunyai kelulusan untuk membuat pungutan terbabit.
"Saya pernah tanya budak yang mengutip derma di hadapan Maybank Kuantan berapa percent kutipan yang dipungut akan diberikan kepada GAZA. Dengan konfiden dia kata kutipan 100% serah kepada GAZA dan dia kononnya sukarela buat kerja tu... dia kata, dia dah ada elaun sebagai pelajar perubatan Islam...", katanya.
Apa yang memusykilkan pergerakan kumpulan ini adalah bernaung dibawah individu yang sama iaitu SM Amin yang merupakan pengasan Al-Mansur Holdings yang diharamkan oleh kerajaan beberapa tahun yang lalu.
Al-Amin kini mempunyai sebuah bangunan sendiri yang bernilai jutaan ringgit di Shah Alam, namun modus operandi tetap sama iaitu menggunakan kakak-kanak dan remaja untuk memungut derma.
Cuma kali ini agak berbeza, mereka tidak lagi menggunakan resit Pusat Tahfiz Amal, sebaliknya membawa tabung derma Palestin untuk mengelirukan orang ramai.
Malah difahamkan, pergerakan Hang Tawi juga aktif di seluruh negara dan bermula selepas Pusat Tahfiz Amal diarahkan tutup Februari tahun ini.
Apapun, dimintan kerajaan memantau pergerakan kumpulan ini yang dilihat begitu aktif terutamanya di pasar-pasar malam, pasar tani, pasaraya, dan sekitar bandar mutakhir ini. Namun, apa yang menghairankan ialah kumpulan ini tidak dikenakan tindakan dan sehingga ke hari ini masih bebas beroperasi tanpa halangan, walhal secara jelas mereka mengelirukan umat Islam sebenarnya. #pahangdaily
PETALING JAYA: Vivian Lee, bekas teman wanita penulis blog kontroversi Alvin Tan tidak terkejut sekiranya lelaki itu lari dari jaminan dan mendapatkan perlindungan di Amerika Syarikat (AS) kerana dia pernah mencadangkan idea tersebut sebelum ini.
"Dia pernah mencadangkan idea mencari suaka politik secara ringkas sebelum ini.
"Dia tidak pernah membincangkan mengenai rancangannya dengan lebih lanjut kepada saya. "Dia boleh mengejar impiannya dan meneruskan kehidupan di AS," kata Lee dalam mesej Facebooknya pada Isnin.
Lee berkata, dia lega kerana mendapat tahu Alvin selamat.
"Sekarang dia berada di AS dengan selamat, saya lega kerana mendapat tahun dia 'Ok'.
"Saya tidak kecewa dan tidak menyalahkannya.
"Saya berharap dia dalam keadaan baik dan semoga berjaya," kata Vivian.
Vivian berkata, walaupun dia menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dan e-mel kepada Alvin, bekas teman lelakinya itu tidak pernah memberikan sebarang respons.
Katanya, dia hanya mendapat tahu bahawa Alvin selamat dan dimaklumkan mengenainya oleh rakan mereka.
Beliau berkata, dia menolak idea untuk melarikan diri daripada perbicaraan mereka di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.
"Saya tidak melihat matlamat untuk menjalani kehidupan sebagai pelarian.
"Kita masih ada kehidupan yang menanti pada masa hadapan dan hidup sebagai pelarian tidak sesuai dengan diri saya.
"Saya dibesarkan oleh ibu bapa saya untuk berhadapan dan menghadapi apa jua perkara yang mendatang dan melarikan diri daripada masalah bukan satu langkah bijak," kata gadis berusia 25 tahun itu.
Alvin dan Vivian Lee didakwa memuat naik satu penerbitan menghasut di laman Facebook 'Alvin and Vivian-Alvivi' di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers mengikut Akta Hasutan 1948.
Mengikut pertuduhan, ia mengandungi gambar dan komen bertajuk 'Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh..wangi, enak, menyelerakan!!!)' yang mengandungi logo halal.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 11 dan 12 Julai tahun lalu di Kompleks Mutiara Jalan Ipoh, Batu 3 1/2, di sini.
Alvin gagal untuk hadir ke mahkamah untuk sebutan semula kesnya pada bulan lalu.
Tindakan itu menyebabkan mahkamah bersetuju untuk hanya melucutkan hak jaminan sebanyak RM20,000 daripada RM30,000.
Alvin mengejutkan ramai pihak apabila memuat naik entri terbaharu di laman Facebooknya pada 26 September lalu dengan memaklumkan dia kini berada di Los Angeles, California. #sumber
PETALING JAYA: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Hasnul Baharuddin (Morib) dan Saari Sungib (Hulu Kelang) ketika ini sedang mengadap Lembaga Disiplin Jawatankuasa PAS Pusat berhubung sokongan terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam isu menteri besar di Selangor.
Pertemuan dengan pimpinan PAS Pusat diadakan di Ibu Pejabat PAS, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 11 pagi Isnin.
Difahamkan, kedua-dua mereka dipanggil untuk memberikan penjelasan berhubung surat akuan bersumpah bagi menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Dr Wan Azizah.
Tindakan tersebut dianggap membelakangkan keputusan parti.
Terdahulu, Saari menyatakan kesediaannya untuk terus setia bersama PAS dan tidak akan meninggalkan parti itu.
Sekiranya disingkir, beliau akan bertanding sebagai calon Bebas.
Sementara itu, Hasnul pula menyatakan kesediaannya untuk bertanding di atas tiket DAP jika parti membuat keputusan menyingkirkan beliau.
Beliau berkata bersedia menerima sebarang keputusan atau tindakan tatatertib yang diputuskan oleh pimpinan PAS Pusat. #sumber
NEW YORK: Oleh kerana Malaysia menangkap lebih ramai suspek yang dikaitkan dengan kumpulan Negara-negara Islam (IS), Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membincangkan langkah susulan terhadap kumpulan tersebut dengan pakar memerangi keganasan Amerika Syarikat (AS) di sini.
Ahmad Zahid yang bertemu dengan pakar pasukan khas atau dikenali FBI Joint Terrorism Task Force di sini untuk menangkis dakwaan bahawa Malaysia mempunyai tempat latihan untuk pejuang jihad IS di kalangan warga Malaysia dan tempat transit yang digunakan pengganas asing untuk menjalankan misi jihad mereka.
"Kami sentiasa bertukar maklumat dan bekerjasama dengan FBI untuk tempoh beberapa tahun lamanya. Masalahnya ialah apabila beberapa pengganas mendakwa diri mereka rakyat Malaysia dan merekrut rakyat Malaysia melalui oraganisasi tertentu bagi memperjuangkan nasib rakyat di Syria dan Iraq.
"Kebenarannya adalah tiada tempat latihan di Malaysia. Sebaliknya, ia dilakukan oleh kumpulan kecil atau individu," katanya kepada pemberita Malaysia di sini, Ahad.
Ahmad Zahid mengakui bahawa ancaman dari negara jiran adalah nyata terutamanya mereka yang bersekongkol dengan satu kesultanan (yang tidak wujud lagi) untuk membentuk pemerintahan tersendiri di Sabah dan Sarawak.
Mengenai program pengecualian visa AS, beliau berkata Malaysia melihat beberapa keperluan yang disenaraikan untuk dimasukkan ke dalam program tersebut termasuk mengkaji semula prosedur pemeriksaan keselamatan sempadan.
Katanya, dengan pengecualian itu, diyakini dapat meningkatkan aliran pelabur, pelancong dan pelajar dari Malaysia ke AS. #sumber
KUALA LUMPUR: Sekumpulan warga Amerika Latin, disyaki mencuri wang tunai lebih RM1 juta, selepas menggodam sistem komputer mesin pengeluaran wang automatik (ATM) milik lima cawangan sebuah bank tempatan, di Johor dan Selangor, dalam tempoh 24 jam.
Mereka dikesan mengambil kesempatan cuti hujung minggu di Johor, untuk menggodam ATM milik cawangan bank berkenaan yang terletak di Taman Molek dan Jalan Kebun Teh, Johor Bahru serta Batu Pahat, pada Jumaat lalu.
Perbuatan itu diteruskan kumpulan terbabit apabila menggodam ATM bank sama milik cawangannya di Subang Jaya dan Petaling Jaya, kelmarin.
Suspek bergerak secara berkumpulan tiga atau empat individu, masing-masing berusia lingkungan 20 hingga 35 tahun.
Modus operandi kumpulan itu membabitkan penggunaan memasukkan cakera optik serta sekeping kad sim telefon pintar yang dimasukkan secara haram ke dalam mesin ATM yang disasarkan menerusi slot kemasukan kad yang disediakan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, berkata siasatan awal berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati cakera optik dan kad sim itu dimasukkan kumpulan terbabit bagi mengumpul data dan kata laluan ATM untuk suatu tempoh.
Katanya, kumpulan terbabit kemudian kembali ke ATM berkenaan sebelum mengeluarkan semula cakera optik dan kad sim yang dimasukkan itu menggunakan alatan khas. #sumber

MELAKA: Seorang bayi perempuan berusia 10 bulan melecur di bahagian punggung dipercayai didera pengasuh di sebuah rumah di Bertam Hulu di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata kejadian itu disedari ibu bayi tersebut, berusia 30-an ketika menukar lampin pakai buangnya sebaik tiba di rumah mereka di kawasan perumahan berhampiran pada 8.30 malam, Selasa lepas.
Beliau berkata bayi berkenaan tidak henti menangis ketika diambil dari rumah pengasuh tersebut bersama seorang lagi anak perempuannya berusia 10 tahun, sejam sebelumnya.
"Pada mulanya ibu dan bapa bayi tersebut tidak mengesyaki sebarang kejadian menimpa anaknya sehingga ibunya melihat kesan melecur teruk di kedua-dua belah punggung mangsa," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, Ahad.
Katanya bayi itu kemudian dibawa ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Melaka dan masih dirawat di hospital tersebut.
Raja Shahrom berkata bapa bayi itu yang berusia 30-an membuat laporan di Balai Polis Tanjung Minyak pada Rabu lepas.
Katanya polis menahan pengasuh berusia 30 tahun terbabit di rumahnya pada 2.40 petang hari sama bagi membantu siasatan dan dibebaskan dengan jaminan polis keesokan harinya.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. #sumber
KUALA LUMPUR: Dua lelaki dipercayai warga asing disyaki melesapkan RM303,000 daripada dua mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah bank di Petaling Jaya pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Azmi Abu Kassim berkata perkara itu terbongkar selepas seorang pegawai bank berkenaan membuat semakan susulan kejadian serupa yang menimpa cawangan bank berkenaan di selatan tanah air pada Sabtu.
"Pada kira-kira 6.30 petang Sabtu, setelah selesai membuat 'balancing' bersama pengurus cawangan bank berkenaan, pegawai bank itu mendapati sejumlah RM33,500 telah dikeluarkan melalui penggunaan kad ATM manakala RM303,000 lagi lesap dipercayai akibat mesin ATM digodam.
"Baki yang tinggal dalam mesin ATM itu hanya RM3,500," katanya.
Bernama pada Ahad melaporkan sejumlah RM530,600 wang tunai di dua buah ATM sebuah bank yang sama di Johor dan Selangor lesap apabila digodam semalam dipercayai menggunakan sim kad telefon dan teknologi canggih.
Azmi berkata mengikut pemeriksaan terhadap rakaman kamera litar tertutup, pegawai bank itu mendapati dua suspek itu telah membuka bahagian atas dua mesin ATM dan memasukkan sesuatu ke dalamnya kira-kira 12.30 tengah malam Sabtu," katanya. #sumber
KUALA LUMPUR: Sejumlah RM530,600 wang tunai di dua buah mesin juruwang automatik (ATM) sebuah bank yang sama di Johor dan Selangor lesap apabila mesin ATM itu digodam semalam yang dipercayai menggunakan sim kad telefon dan teknologi canggih.
Kejadian penggodaman mesin ATM itu merupakan jenayah pertama berlaku di negara ini selepas jenayah mencuri wang melalui pengklonan kad ATM berlaku sejak 1997 sehingga 2002.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahya Ramli ketika dihubungi Bernama berkata, kejadian itu dipercayai dilakukan sindiket antarabangsa dari Amerika Latin yang melakukan pengeluaran beratus kali di kedua-dua mesin milik bank terbabit dalam tempoh sehari.
Beliau berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Jenayah Komputer 1997.
"Ini modus operandi pertama dilakukan seumpama ini. Suspek godam sistem tanpa perlu pecah mesin ATM untuk larikan wang," katanya.
Dalam kejadian pertama pada 9.48 pagi, seorang pengurus bank terbabit di cawangan Batu Pahat, Johor, mendapati mesin ATM bank itu tidak berfungsi dan mendapati wang di dalam mesin itu hilang.
Menurut polis Johor, berdasarkan sistem maklumat pengeluaran wang tunai RM50 sepatutnya berjumlah 5,103 keping tetapi baki sebenar di dalam mesin itu adalah sebanyak 27 keping.
"Mengesyaki sesuatu yang pelik pihak pengurus telah menghubungi polis dan hasil siasatan mendapati tiada kesan mesin tersebut diumpil," menurut sumber polis itu.
Katanya, rakaman kamera litar tertutup di ATM itu mendapati terdapat tiga suspek berbangsa Amerika Latin, berumur dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun, membuat pengeluaran berkenaan. Jumlah wang dikeluarkan mereka ialah RM265,000.
Beberapa jam kemudian pada hari yang sama, Yahya berkata modus operandi yang sama dilakukan di bank berkenaan di USJ Subang Jaya oleh dua suspek lelaki berbangsa Amerika Latin dengan membuat pengeluaran 137 kali secara bergilir-gilir pada 5.30 petang Sabtu.
Katanya, pihak pengurusan bank mengesyaki kehilangan wang itu ketika memeriksa wang ATM tersebut dan polis percaya sindiket berkenaan menggunakan kad sim telefon dan sistem teknologi tinggi untuk menggodam mesin ATM itu bagi mengeluarkan wang.
Polis kini sedang berusaha mengesan suspek terbabit menerusi rakaman kamera litar tertutup bank terbabit.
Jenayah pengklonan kad ATM di negara ini berlaku ketika kad ATM dan kad kredit hanya menggunakan sistem pita magnetik di belakang kad.
Jenayah itu berjaya dihapuskan setelah Bank Negara menguatkuasakan penggunaan sistem cip dan pita magnetik pada setiap kad ATM dan kad kredit kepada setiap bank pada 2003. #sumber
PETALING JAYA: Anak Mursyidul Am PAS mendakwa Parti Keadilan Rakyat dan DAP kini makin berubah dan lebih menonjol dengan sikap umpama UMNO sebagai pembuli.
Kenyataannya yang disiarkan menerusi laman Facebook pada Ahad itu bagai petanda wujudnya pergeseran yang semakin meruncing di kalangan parti dalam gabungan Pakatan Rakyat.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Aziz itu mendakwa, ada di kalangan pemimpin DAP mengeluarkan kenyataan bahawa PAS perlu dihukum kerana bertindak bertentangan dengan keputusan Pakatan Rakyat ketika krisis menteri besar di Selangor.
"Mereka berkata PAS akan mati dan ditanam di Selangor.
"Di Sarawak, mereka mengumumkan tidak lagi mahu bersahabat dengan PAS. Kini mereka mahu menjadi umpama UMNO, bersikap sombong apabila memiliki kuasa," katanya.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu berkata, DAP mula menonjolkan sikap buruknya ketika mendapat kuasa hanya sepenggal, tetapi PAS menjadi mangsa buli UMNO ketika berkuasa di Kelantan dan Terengganu untuk tempoh lebih lama.
"Mereka sering mewar-warkan kegagalan kami, tetapi mereka lupa bahawa PAS juga ada cerita kejayaan tersendiri," katanya sambil menambah PKR juga tiada bezanya dengan DAP.
"PKR juga mahu membuli kami. Mereka mencuri sambil membuli.
"Sesuatu yang baik apabila PKR berhadapan masalah dalaman, jadi mereka tidak sekukuh DAP, malahan ada di kalangan mereka yang tidak sehaluan, jadi tindakan mereka membuli kami tidak begitu berkesan," katanya.
Perpecahan mula melanda Pakatan Rakyat sejak krisis Menteri Besar Selangor, apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan kepemimpinan ulama parti itu memilih untuk menangani krisis itu dengan cara mereka.
Ia berlarutan apabila empat bekas Exco Selangor yang dilabel sebagai pengkhianat apabila enggan meletak jawatan daripada pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai solidariti kepada pemecatan enam Exco PKR dan DAP.
Sebaik dilantik, Menteri Besar yang baharu, Azmin Ali memutuskan untuk mengurangkan jumlah Exco di kalangan wakil rakyat PAS kepada tiga berbanding empat sebelum ini di mana ia dilihat sebagai hukuman kepada parti berkenaan.
Nik Abdul juga berkata, walaupun menjadi mangsa, PAS masih mampu meneruskan perjuangan dan berjaya melaluinya.
"PAS berjaya dalam banyak pilihan raya dan memerintah beberapa negeri. PAS juga melebarkan sayapnya di mana sahaja ia pergi," katanya.
Beliau seterusnya turut menasihatkan DAP supaya tidak menjadi pembuli kerana ia akan menimbulkan kemarahan di kalangan rakyat, seolah-olah cuba 'membunuh' parti itu.
"DAP seharusnya tahu bahawa PAS tidak akan mati kerana ada jangka hayat yang panjang. Jika Umno tidak mati lagi, kenapa pula PAS yang harus mati.
"Jika PAS mati, siapa yang akan berjuang untuk Islam? Umno? PKR? DAP?," katanya sambil menegaskan bahawa Islam ada nadi parti itu yang memungkinkan ia terus subur.
"PAS akan hanya mati atau disisihkan jika ada pihak yang lebih baik untuk memperjuangkan Islam. Setakat ini, tiada yang seumpama itu muncul. Saya tidak fikir PasMA ada keupayaan untuk menggantikan PAS. Mereka boleh bermimpi di siang hari tetapi jangan jadi pembuli," katanya merujuk kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang dibentuk beberapa kepemimpinan PAS. #sumber
MUAR: Sorok-sorok bawa maut. Itulah yang berlaku kepada kanak-kanak malang, Nurul Elies Natasha Abdul Aziz, 11, yang meninggal dunia akibat terjatuh dari tingkat sembilan Blok F1, Kuarters Pasukan Gerakan Am (PGA) Bakri, di sini ketika bermain sorok-sorok dengan rakan-rakannya kelmarin.
Dalam kejadian pukul 5 petang itu, Nurul Elies Natasha yang merupakan murid di Sekolah Kebangsaan Parit Zin dipercayai memanjat siling di tingkat sembilan yang menempatkan tangki air sebelum salah satu daripada petak siling yang dipijaknya pecah dan menyebabkan dia terjatuh.
Seorang jirannya yang enggan dikenali berkata, sebelum jatuh, mangsa dilihat sempat berpaut pada salah satu kayu sambil menjerit meminta tolong rakan-rakannya.
"Rakan-rakannya yang melihat kejadian tersebut takut dan melarikan diri. Mangsa yang tidak dapat bertahan lama terlepas pegangan sebelum jatuh di kawasan longkang.
"Selepas jatuh terhempas Nurul Elies Natasha masih bernafas tetapi lemah dan darah dilihat mengalir keluar dari hidung," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Menurutnya, keadaan mangsa disedari seorang jiran yang turun dari lif kira-kira empat meter dari tempat kejadian semasa mahu menjemput anaknya pulang sekolah.
Katanya, jiran mangsa kemudian meletakkan kanak-kanak itu di atas lantai sebelum dia meninggal dunia tidak lama kemudian.
"Mangsa yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan tinggal di blok sebelah kerap datang bermain di blok berkenaan dan kebetulan semalam penduduk di situ sibuk kerana ada majlis pertunangan," katanya.
Utusan Malaysia difahamkan jenazah Nurul Elies Natasha dibawa pulang ke kampung halaman bapanya di Jeli, Kelantan dan dikebumikan pada tengah semalam.
Sementara itu, rakan sekelas mangsa, Nursyazwani Najwa Roszman, berkata, semasa menemui mangsa di sekolah pada pagi kejadian, Nurul Elies Natasha dilihat kurang bercakap tidak seperti kebiasaan.
"Nurul Elies Natasha merupakan seorang yang periang dan peramah tetapi semalam dia hanya berdiam diri. Saya amat merasakan kehilangannya kerana bukan sahaja rakan sekelas tetapi juga tinggal di kawasan yang sama," ujarnya.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan mengklasifikasikan kejadian sebagai kematian mengejut. #sumber
KUALA LUMPUR: PAS belum memutuskan sama ada menerima atau tidak jawatan Timbalan Speaker Selangor seperti yang diumumkan Menteri Besar sebelum ini.
Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Abdul Samad berkata, pertemuan exco dan bekas exco PAS dengan Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang malam tadi belum memutuskan pendirian berhubung perkara tersebut.
"Pada pertemuan Exco dan mantan Exco PAS dengan Presiden malam, tadi belum diputuskan sama ada PAS akan terima Timbalan Speaker," katanya dalam satu tulisan ringkas di Facebook.
Sebelum ini, Menteri Besar Mohamed Azmin Ali mengumumkan tiga Adun PAS dilantik sebagai Exco iaitu kurang satu kerusi berbanding empat sebelum ini.
Bagaimanapun menurut Azmin, PAS akan diberi jawatan Timbalan Speaker yang telah dikosongkan oleh Nik Nazmi Nik Ahmad yang dilantik sebagai salah seorang dari empat exco PKR.

Azmin membariskan pasukan exconya mengikut komposisi 4 PKR, 3 DAP dan 3 PAS.
Dua exco dari PAS yang dikekalkan adalah Iskandar Abdul Samad (Chempaka) dan Dr Ahmad Yunus Hairi.
Manakala seorang lagi muka baru adalah Adun Taman Templer Zaidy Abdul Talib. #sumber
PETALING JAYA: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Ahad mengalu-alukan semua pihak termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyemak dan menyiasat perjanjian yang ditandatangani semasa beliau menjadi Menteri Besar Selangor.
Katanya, ini termasuk perjanjian penstrukturan semula industri air Selangor dan pembangunan di Canal City.
"Peguam saya akan keluarkan kenyataan penuh berhubung hal ini," kata Khalid menerusi satu kenyataan yang disiarkan menerusi laman Facebook miliknya.
Jawatan Khalid digantikan oleh Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali pada Selasa lalu.

Terdahulu, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata Azmin dijangka mendedahkan nama syarikat yang akan mendapat manfaat daripada perjanjian air yang diluluskan oleh Khalid.
"Apabila ia melibatkan isu kepentingan awam, keprihatinan saya adalah ia mempunyai hubungan langsung dengan tarif air dan rakyat akan menderita," katanya kepada pemberita selepas ceramah menentang Akta Hasutan 1948 di pasar Seberang Jaya di sini pada Sabtu. #sumber
BUTTERWORTH: Menteri Besar Selangor yang baharu, Azmin Ali dijangka mendedahkan nama syarikat yang akan mendapat manfaat daripada perjanjian air yang diluluskan oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberitahu Azmin untuk membuat pendedahan itu berkata, beliau akan menyenaraikan mereka yang mendapat keuntungan jutaan ringgit daripada perjanjian air tersebut berdasarkan beberapa 'penyelidikan' yang dilakukannya.
"Saya menyedarinya bukan kerana ia diberikan kepada saya tetapi saya melakukan penyelidikan dan saya sedari mengapa orang cenderung untuk mempertahankan dan enggan mendengar kerana kepentingan yang besar.
"Apabila ia melibatkan isu kepentingan awam, keprihatinan saya adalah ia mempunyai hubungan langsung dengan tarif air dan rakyat akan menderita," katanya kepada pemberita selepas ceramah menentang Akta Hasutan 1948 di pasar Seberang Jaya di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, ia bukan soal seseorang mengumpul harta kekayaan tetapi apabila keuntungan atau kepentingan terlalu tinggi timbul daripada perjanjian itu, ia akan memberi kesan kepada penduduk di Selangor.
"Pulau Pinang berjaya dalam memastikan tarif air rendah kerana pihak berkuasa air mereka dikorporatkan, bukan diswastakan.
"Apabila anda menswastakan sesuatu dan perjanjian itu tidak telus, maka ia ada masalah," katanya. #sumber
GEORGE TOWN: Tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang mengeluarkan Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Iszuree Ibrahim daripada semua Jawatankuasa Tetap MPPP jelas menunjukkan bahawa kebebasan menyuarakan pendapat tidak dapat diterima pakatan rakyat di negeri ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Zainal Abidin Osman (foto) berkata DAP dan kerajaan negeri Pulau Pinang telah mula menunjukkan sikap sebenar mereka yang tidak boleh menerima kritikan walaupun daripada sekutu politik sendiri.
"Tindakan drastik kerajaan Pulau Pinang menggugurkan Iszuree daripada semua Jawatankuasa MPPP yang dianggotai beliau sebagai Ahli Majlis MPPP mewakili PAS Pulau Pinang Jumaat lalu tidak mengejutkan Umno.
"DAP yang selama ini melaungkan mereka mendokong kebebasan bersuara telah mengambil pendekatan menutup mulut pengkritik sebagaimana yang dilakukan PAP Singapura terhadap pihak yang mengkritik mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini, Ahad.
Pada Sabtu, akhbar melaporkan tindakan menyingkirkan Iszuree berikutan ucapan dasar Bendahari Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang itu pada Muktamar Tahunan PAS ke-60 di Batu Pahat, Johor baru-baru ini menegur kerajaan negeri berhubung isu dasar perumahan.
Iszuree dilaporkan berkata beliau menerima surat mengeluarkannya daripada MPPP, namun surat berkenaan tidak menyatakan alasan tindakan oleh pihak berkuasa tempatan itu biarpun Iszuree telah menjadi ahli majlis tersebut sejak 2010.
Surat bertarikh 26 September itu memaklumkan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 25 September telah memutuskan mengeluarkan Iszuree daripada semua Jawatankuasa Tetap, MPPP yang beliau merupakan seorang ahli dan membekukan semua peruntukan.
Zainal Abidin berkata Iszuree dalam ucapan beliau di Muktamar PAS itu membangkitkan permasalahan orang Melayu Pulau Pinang serta pengusiran penduduk kampung tradisional untuk tujuan pembangunan yang banyak berlaku sejak 2008.
Beliau berkata ucapan Iszuree mewakili PAS Pulau Pinang pada Muktamar PAS itu membuktikan bahawa kedua-dua isu berkenaan benar-benar berlaku di Pulau Pinang sejak DAP menjadi kerajaan negeri dan mereka dilihat tidak bersungguh-sungguh serta ikhlas dalam menangani isu tersebut.
"Ahli Majlis MPPP mewakili PAS itu digugurkan kerana mengkritik kerajaan Pulau Pinang dan kenapa mereka (kerajaan negeri) begitu marah dengan pendedahan yang dibuat oleh Iszuree dalam ucapannya di Muktamar PAS?
"Dalam dua pilihan raya umum lepas, anggota dan penyokong PAS Pulau Pinang turut bekerja keras untuk memenangkan calon-calon DAP dan PKR, bagaimanapun Adun tunggal PAS (Datuk Mohd Saleh Man) tidak juga dilantik menjadi Exco kerajaan Pulau Pinang. Inilah balasan untuk kesetiaan dan pengorbanan PAS di Pulau Pinang," katanya.
Zainal Abidin berkata Umno Pulau Pinang turut bersimpati dengan layanan buruk yang diberikan oleh DAP kepada PAS, sama ada di Pulau Pinang mahupun di peringkat nasional.
"Beberapa hari lalu, DAP dalam satu kenyataan menerusi Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng telah menggelar empat orang Adun PAS yang juga Exco kerajaan negeri Selangor sebagai 'pengkhianat'.
"Jadi, kami Umno berpandangan dengan tindakan dan layanan buruk oleh DAP terhadap PAS, parti itu perlu mengkaji semula peranan mereka dalam pakatan rakyat," katanya. #sumber
GEORGE TOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang yang sebelum ini memperjuangkan prinsip kebebasan bersuara dilihat membelakangkan prinsip itu apabila mengeluarkan Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Iszuree Ibrahim daripada semua Jawatankuasa Tetap MPPP dan membekukan semua peruntukannya.
Tindakan kerajaan negeri itu berikutan ucapan dasar Iszuree pada Muktamar Tahunan PAS ke-60 berlangsung di Batu Pahat, Johor baru-baru ini yang menegur kerajaan negeri berhubung isu dasar perumahan.
Ketua Menteri Lim Guan Eng yang sebelum ini mendesak Anggota Parlimen Temerloh daripada PAS, Nasrudin Hassan Tantawi memohon maaf berhubung kenyataannya dalam isu projek terowong dasar laut, dilihat mengambil langkah lebih drastik terhadap Iszuree berikutan tindakan sama menegur kerajaan negeri itu.
Iszuree mengesahkan menerima surat daripada MPPP berhubung perkara itu dan beliau menyerahkan kepada parti PAS kerana beliau dilantik sebagai anggota majlis oleh parti.
"Saya serahkan (perkara ini) pada parti untuk menentukannya. Saya ahli majlis yang dilantik oleh parti dan saya juga adalah Bendahari Badan Perhubungan PAS negeri. Pada masa sama, saya juga merujuk kepada peguam saya nak tengok ada kes atau tidak. Jika ada kes, saya akan buat saman malu," katanya.
Iszuree menyifatkan tindakan kerajan negeri itu sebagai tidak demokratik dan jelas menunjukkan kesombongan sebuah kerajaan negeri dan pemimpin yang dahulunya memperjuangkan kebebasan bersuara.
"Saya bercakap atas keprihatinan rakyat tanpa mengira kaum. Tapi Malaysia Kini telah 'misquoted' kata saya mempertikai dasar perumahan kerajaan negeri. Hasil daripada laporan Malaysia Kini, beberapa ahli majlis daripada DAP dan PKR mengeluarkan kenyataan balas mempertikai apa yang saya ucapkan.
"Kerajaan negeri pula tanpa mendapat penjelasan saya dan berpandukan laporan Malaysia Kini telah mengambil keputusan semalam menggantung saya serta-merta, umpama memecat saya. Ini amat sedih bila kita tegur, terus diambil tindakan.
"Saya rasa ini cukup tidak demokratik dan hala tuju kerajaan negeri DAP cakap tak serupa bikin, hanya gimik sahaja," katanya.
Beliau berkata teks ucapannya pada muktamar itu turut diserahkan kepada ketua menteri, bagaimanapun kerajaan negeri tetap memecat beliau.
Sementara itu, Lim ketika ditemui dalam majlis berasingan enggan mengulas perkara itu.
Surat bertarikh 26 September itu memaklumkan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 25 September telah memutuskan mengeluarkan Iszuree daripada semua Jawatankuasa Tetap, MPPP yang beliau merupakan seorang ahli dan membekukan semua peruntukan. #sumber
KUALA LUMPUR: Polis sedang memperkemaskan lagi kertas siasatan kes kebocoran soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa berkata, ia selaras dengan arahan terbaru Jabatan Peguam Negara.
"Ada beberapa arahan baharu daripada Jabatan Peguam Negara untuk dilengkapkan ... dan kita bagi tumpuan untuk lengkapkan siasatan tersebut," katanya.
Tajudin berkata demikian pada sidang media sempena majlis Perhimpunan Khas Ketua Polis Kuala Lumpur bersama-sama Sukarelawan Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, Ahad.
Pada minggu lepas, polis telah menyerahkan laporan siasatan kes berkenaan kepada Jabatan Peguam Negara dan difahamkan laporan itu diserahkan semula kepada polis untuk tindakan lanjut.
Pada 10 September lepas, kertas peperiksaan subjek sains UPSR ditangguhkan setelah didapati bocor, dan sehari selepas itu, kertas peperiksaan Bahasa Inggeris juga bocor. Ekoran itu tarikh baharu peperiksaan bagi dua kertas itu ditetapkan pada 30 September.
Isnin lepas, Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Khair Mohamad Yusof mengumumkan kertas peperiksaan subjek matematik dan Bahasa Tamil UPSR yang berlangsung pada 10 September dibatalkan setelah disahkan bocor.
Tarikh baharu peperiksaan bagi kedua-dua mata pelajaran itu ditetapkan pada 9 Oktober. #sumber
KUALA LUMPUR: Akta Hasutan tidak mengikut perlembagaan kerana ia bukan undang-undang yang diluluskan di parlimen, kata peguam mewakili Pensyarah Undang-Undang, Profesor Dr Azmi Sharom.
Gobind Singh Deo (foto) ketika memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini berkata, akta itu gagal mematuhi Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, berkaitan kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.
Beliau berkata, Akta Hasutan yang ada bukan undang-undang sebelum merdeka dalam bentuk asalnya iaitu Ordinan Hasutan.
Pada 2 September, Azmi yang juga Pensyarah di Universiti Malaya, didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (b) dan Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan berkenaan krisis pelantikan Menteri Besar di Perak pada 2009.
Beliau menghadapi denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim berhujah, Mahkamah Rayuan sebelum ini memutuskan tuduhan hasutan terhadap Adun Sri Muda, Mat Shuhaimi Shafiei mengikut Seksyen 4 adalah menurut Perlembagaan.
Gobind mematahkan hujah dengan mengatakan isu sama ada Akta Hasutan adalah “undang-undang oleh Parlimen” tidak diuji Mahkamah Rayuan dalam kes Mat Shuhaimi.
Beliau berkata peguam Mat Shuhaimi tidak membangkitkan isu sama ada peruntukan mengikut Perkara 10 (2) Perlembagaan mengenai “undang-undang oleh Parlimen” mempunyai kesan ke atas Seksyen 4 Akta Hasutan.
“Isu di sini adalah Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan bersuara dan hanya undang-undang oleh Parlimen boleh menyekat kebebasan itu, dan pendirian kami adalah Akta Hasutan tidak diluluskan oleh Parlimen,” katanya.
Beliau juga memberitahu Hakim Zanol Rashid Hussain, sama ada terdapat persoalan yang perlu dirujuk kepada mahkamah lebih tinggi dalam kes ini. Hakim kemudian menetapkan tarikh 1 Oktober untuk keputusan. Gobind dibantu oleh Datuk Malik Imtiaz Sarwar pada pendengaran kes itu baru-baru ini. #sumber