script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) Laksanakan Kadar Baharu Kompaun Bagi Kesalahan Letak Kereta Lebih Rendah Bermula 1 Januari 2026


KUANTAN : Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dijangka melaksanakan kadar baharu kompaun bagi kesalahan letak kereta yang berkuat kuasa 1 Januari depan.

Datuk Bandar Kuantan, Datuk Zaliza Zulkipli, berkata pelaksanaan kadar baharu ditetapkan ialah RM10 untuk bayaran yang dibuat dalam tempoh 30 hari dari tarikh kompaun manakala RM100 selepas tempoh 30 hari dari tarikh kompaun dikeluarkan.

Katanya, kadar baharu kompaun itu selaras dengan peruntukan di bawah Perintah 8, Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Mengenai Tempat Letak Kereta) Majlis Perbandaran Kuantan 2005.

"Pelaksanaan kadar ini bertujuan menggalakkan orang ramai membuat bayaran kompaun dalam tempoh yang ditetapkan dan meningkatkan tahap pematuhan terhadap peraturan letak kereta yang sudah ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Zaliza menasihati pemilik kenderaan sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan berkaitan letak kereta untuk mengelak sebarang tindakan penguatkuasaan diambil.

Kadar baharu kompaun itu lebih rendah berbanding kadar sedia ada ketika ini iaitu RM30 dikenakan bagi bayaran dalam tempoh 30 hari dan maksimum RM300 selepas tempoh 30 hari untuk kesalahan dalam petak letak kereta sahaja.

Sebelum ini, MBK mengumumkan penamatan syarikat operator pengurusan tempat letak kereta secara aplikasi pintar di kawasan pentadbiran MBK berkuat kuasa 24 Disember lalu.

Bermula 24 Disember lalu, bayaran hanya boleh dibuat di kaunter MBK dan melalui aplikasi Pahang Go.

Semua urusan permohonan sewaan tempat letak kereta hendaklah dikemukakan terus kepada MBK berkuat kuasa 24 Disember lalu.

Susulan itu, MBK menjelaskan semua bayaran caj letak kereta melalui saluran syarikat termasuk mesin parkir, kaunter pembayaran, aplikasi Flexi Parking, Touch 'n Go dan Setel akan dihentikan sepenuhnya mulai 31 Disember ini. #HarianMetro

Share:

PAS Kekal Konsisten Hulur Tangan Ingin Terus Bertaut Dengan Perikatan Nasional, Kembali Bermusyawarah Bersama UMNO


KUANTAN: PAS kekal konsisten menghulurkan tangan kepada rakan dalam Perikatan Nasional (PN) untuk terus bertaut dan UMNO untuk kembali bermusyawarah.

Itu kata Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Rosli Abdul Jabar.

Ujarnya, keterbukaan itu dibuka kepada parti lain dan NGO untuk mengumpul seluruh kekuatan umat agar bernaung di bawah payung besar yang sama bagi konteks penyatuan ummah.

“Kerana akhirnya, parti hanyalah wasilahtetapi penyatuan ummah adalah matlamat.

“Penyatuan adalah nikmat. Perpecahan adalah petaka yang sedang menanti. Ancaman paling utama kepada kita adalah agama dan bangsa Melayu yang menjadi tonggak kedaulatan Negara.

“Hilang kedaulatan dan kemuliaan sebuah negara jika lemah pegangan agamanya dan kaum yang menegakkannya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, PAS juga telah lama melihat lebih jauh daripada itu yang mana PN bukan destinasi terakhir tetapi salah satu kenderaan menuju penyatuan yang lebih luas.

Dalam konteks ini, UMNO bukan pihak luar tetapi sebahagian daripada realiti umat dan sejarah politik negara.

Justeru, seruan ke arah kebersamaan tidak boleh terhenti pada sempadan gabungan sedia ada.

“Melayu Islam hakikatnya berada di bawah satu payung yang lebih besar iaitu payung penyatuan ummah yang melangkaui nama, logo dan kepentingan parti.

“Payung besar ini bukan dibina atas angka kerusi atau persaingan dominasi, tetapi atas amanah menjaga agama, kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat,” kata Rosli.

ADUN Tanjung Lumpur itu berkata, ia menuntut kematangan untuk merendah diri, keberanian untuk berdialog dan kebijaksanaan untuk membezakan antara perbezaan strategi dengan perpecahan prinsip.

PAS berpegang bahawa muafakat itu akhlak dan akhlak menuntut untuk mencari titik temu, bukan memperbesarkan jurang.

Jelasnya, sejarah telah membuktikan ketika umat, negara stabil, ketika umat berpecah, ruang terbuka luas kepada pihak yang tidak mempedulikan kepentingan Islam dan Melayu. #MalaysiaGazette

Share:

Treler Terbabas Ragut Nyawa Warga Emas Di Jalan Kuantan-Seremban, Pemandu Didapati Ada 16 Kes Saman Trafik


KUANTAN: Seorang lelaki warga emas maut manakala sembilan lagi selamat dalam nahas jalan raya melibatkan tiga kenderaan di Jalan Kuantan-Seremban pada awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, dalam kejadian pada 6.25 pagi itu, sebuah lori treler jenis Volvo FM13 dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar dua kereta iaitu Mitsubishi Xpander serta Nissan Almera.

“Mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai So’id Lebai Hamid, 68, yang merupakan penumpang belakang kenderaan Mitsubishi Xpander...mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah,” menurutnya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, lori treler itu dipandu oleh seorang lelaki berusia 37 tahun dari arah Keratong 2 menuju ke Muadzam Shah manakala kedua-dua kereta bergerak dari arah Muadzam Shah ke Seremban.

“Siasatan awal mendapati pemandu lori treler cuai ketika memandu sehingga menyebabkan kenderaan itu terbabas ke laluan bertentangan,” katanya sambil menambah pemandu terbabit memiliki 16 saman trafik atas pelbagai kesalahan.

Sharif Shai berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. #SinarHarian

Share:

METMalaysia Keluarkan Amaran Hujan Berterusan Di Pahang Dan Johor Hari Ini, Berkuatkuasa Sehingga Esok 29 Disember

KUALA LUMPUR: Amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) hari ini, berkuat kuasa sehingga esok (29 Disember).

METMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan amaran tersebut melibatkan beberapa kawasan di Pahang dan Johor.

"Analisis terhadap model-model cuaca terkini menunjukkan luruan monsun yang sedang berlaku dijangka berterusan sehingga 29 Disember 2025. Keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan ditimur Semenanjung serta angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan dalam tempoh tersebut."

"Kawasan terlibat di Pahang ialah Kuantan, Pekan dan Rompin manakala di Johor melibatkan Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi," kata kenyataan tersebut.

Sementara itu, amaran angin kencang dan laut bergelora juga masih berkuat kuasa sehingga esok bagi Laut China Selatan termasuk perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur.

Pada masa yang sama, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh yang lebih panjang juga dijangka di pantai barat Semenanjung.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan berlakunya hujan berterusan yang boleh menyebabkan banjir kilat, kenaikan paras air sungai serta gangguan aktiviti harian.

MET Malaysia turut menyarankan agar orang ramai turut cakna dalam mendapatkan maklumat cuaca semasa melalui laman web rasmi jabatan, aplikasi mudah alih myCuaca serta platform media sosial rasmi METMalaysia. #BeritaRTM

Share:

Bas Ekspres Bawa 30 Penumpang Bertembung Treler Di Jambatan Endau, Teluk Gading, Semua Penumpang Selamat

ROMPIN: Seramai 30 penumpang terselamat selepas bas ekspres dinaiki mereka bertembung treler di Jambatan Endau, di Teluk Gading, di sini, 11.20 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, kemalangan berlaku ketika bas terbabit dalam perjalanan dari Johor Bahru, Johor ke Kelantan.

Menurutnya, bas itu dipercayai hilang kawalan ketika melalui jambatan itu.

"Akibatnya bas berkenaan terbabas ke lorong kanan dan bertembung treler muatan besi dari arah bertentangan," katanya menerusi kenyataan.

Sharif Shai berkata, pemandu treler, pemandu dan semua penumpang bas tidak mengalami kecederaan.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku kerana kecuaian pemandu bas mengawal kenderaan dan terbabas ke lorong bertentangan.

"Semua penumpang bas ekpres berusia antara tujuh tahun dan 50 tahun dihantar pulang ke destinasi masing-masing dengan bas lain kira-kira sejam selepas kejadian," katanya.

Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kemalangan. #HarianMetro

Share:

Wan Rosdy: Kerajaan Pahang Sedia Mengkaji Dan Meneliti Cadangan Pembinaan Laluan Kereta Api Di Cameron Highlands

LIPIS: Kerajaan Negeri Pahang bersedia mengkaji dan meneliti cadangan pembinaan laluan kereta api di Cameron Highlands sekiranya projek itu memberikan impak besar kepada rakyat serta pembangunan infrastruktur di kawasan berkenaan.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang cadangan rasmi daripada mana-mana pihak berkaitan projek itu.

"Jika laluan ini dapat beri kemudahan (kepada orang ramai) dan mempertingkatkan infrastruktur di situ, kita akan mempertimbangkannya," katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Inisiatif Makmur (IM) Pahang kepada Kluster Agama (Masjid dan Surau Kebenaran Solat Jumaat) Negeri Pahang Tahun 2025 Zon Pahang Barat di sini hari ini.

Baru-baru ini, tular khabar angin berkaitan cadangan pembinaan laluan kereta api di Cameron Highlands melibatkan Tanah Rata, Brinchang dan Blue Valley, yang dijangka berupaya mengatasi masalah kesesakan jalan raya yang kritikal di destinasi pelancongan terkemuka itu.

Bercakap tentang program hari ini, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM6.97 juta melibatkan 697 masjid dan surau kebenaran solat Jumaat di seluruh Pahang secara berperingkat, pada tahun ini.

"Bagi Zon Pahang Tengah dan Zon Pahang Timur, kita telah agihkan pada September dan November lepas melibatkan 521 masjid dan surau dengan peruntukan RM5.21 juta. Kita meneruskan agihan bagi Zon Pahang Barat melibatkan 176 masjid dan surau dengan peruntukan RM1.76 juta," katanya.

Beliau berkata menerusi Belanjawan Negeri Pahang 2026, pihaknya akan meneruskan IM Pahang dengan peruntukan RM84.59 juta berbanding tahun ini, iaitu RM50.54 juta dengan melibatkan empat kluster, iaitu Kluster Pelajar, Kluster Agama, Kluster B40 dan Kluster Umum dengan 24 inisiatif.

"Di bawah kluster agama sahaja, sebanyak sembilan inisiatif akan dilaksanakan tahun hadapan, antaranya sumbangan RM10,000 kepada masjid dan RM4,000 kepada surau dengan peruntukan RM7.95 juta, pemberian sumbangan khairat kematian RM200 kepada waris dan pemberian wang saku RM750 seorang kepada jemaah haji Pahang," katanya.

Sementara itu, Wan Rosdy turut menzahirkan penghargaan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menunaikan tanggungjawab korporatnya dengan memperuntukkan sumbangan RM15,000 kepada 150 murid Sekolah Kebangsaan Keledek, di sini. #AstroAwani

Share:

Exco Pemuda UMNO Malaysia, Md Jamil Pauzi Tegaskan Titah Tuanku Bukanlah Bahan Politik Untuk Di Permainkan !

 


KUALA LUMPUR: Exco Pemuda UMNO Malaysia, Md Jamil Pauzi menegaskan bahawa Titah Tuanku bukan bahan politik untuk dipermainkan.

Ujarnya, Institusi Diraja tidak boleh dijadikan mangsa permainan naratif atau kepuasan politik jangka pendek, keadilan tidak boleh dilihat terpilih selektif atau bersifat kemenangan politik.

“Sebarang kenyataan atau hantaran yang seolah-olah meraikan penderitaan, menyindir proses undang-undang atau mempamerkan sikap ‘triumphalist’ adalah tidak bertanggungjawab, tidak mencerminkan kematangan kepimpinan, dan boleh menggugat kepercayaan antara rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kerajaan Perpaduan akan dinilai bukan pada siapa yang bersorak hari ini, tetapi pada siapa yang berani mempertahankan prinsip, adab dan institusi negara apabila keadaan menjadi sukar.

“Jika perkara ini terus dipolitikkan tanpa kawalan, ia bukan sahaja menjejaskan keharmonian gabungan, malah mencalar maruah institusi yang sepatutnya kita semua pertahankan demi negara dan rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambah Jamil, menyeru khususnya kepada pimpinan dan wakil rakyat dalam kerajaan, termasuk Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin agar lebih berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan awam.

“Mengawal naratif agar tidak mengapi-apikan sentimen atau persepsi negatif dan mengutamakan penyelesaian berlandaskan undang-undang dan Perlembagaan, bukan emosi atau kepuasan politik sempit,” jelasnya.

Mengulas lanjut kata beliau lagi, keputusan mahkamah berkaitan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan naratif yang ditafsirkan sebagai meraikan penahanan dan ketegangan politik, serta berpotensi mengundang persepsi negatif terhadap institusi keadilan dan keharmonian Kerajaan Perpaduan.

“Dalam sebuah negara yang berteraskan keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan sistem Raja Berperlembagaan, setiap keputusan kehakiman wajar dihormati tanpa dipolitikkan, apatah lagi dijadikan bahan sindiran awam yang boleh mencetuskan kegusaran rakyat serta menjejaskan hubungan antara rakan gabungan kerajaan.

“Isu yang berbangkit hari ini bukan semata-mata berkaitan seorang individu, tetapi menyentuh sensitiviti perlembagaan yang jauh lebih besar, khususnya apabila wujud perbahasan awam mengenai kewujudan dan pengendalian satu titah atau Adendum Diraja yang sehingga kini menimbulkan persoalan dari sudut tatakelola, ketelusan dan pertanggungjawaban pentadbiran.

“Apa yang membimbangkan ialah apabila penahanan terus dikekalkan dan dijadikan bahan naratif politik.

Kesahihan titah Tuanku diperdebatkan secara terbuka di ruang awam, namun pihak yang didakwa menyimpan, menyorok atau gagal menguruskan titah tersebut tidak dikenakan sebarang tindakan atau pertanggungjawaban setakat ini,” katanya lagi.

Tegas beliau lagi, jika dibiarkan secara tidak langsung mewujudkan persepsi bahawa titah Tuanku boleh dipersoalkan, dipilih atau diketepikan mengikut kehendak dan kesesuaian politik.

“Satu persepsi yang amat berbahaya dalam sistem Raja Berperlembagaan dan boleh mencalar keyakinan rakyat terhadap institusi negara,” ujarnya lagi. #UMNOnline

Share:

Banjir Di Pahang Pulih Sepenuhnya, Kesemua 79 Orang Mangsa Daripada 27 Keluarga Di PPS Telah Di Benarkan Pulang Hari Ini

KUANTAN: Banjir di Pahang pulih sepenuhnya apabila kesemua 79 mangsa daripada 27 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) pagi tadi, telah dibenarkan pulang hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan PPS Dewan Orang Ramai Kampung Semangat, Kuantan dan PPS Balai Raya Kampung Baru Pertanian, Maran, masing-masing ditutup pada 2 petang dan 1.30 tengah hari setelah beroperasi sejak 17 Dis lepas.

Sementara itu, PPS Sekolah Kebangsaan Pulau Manis, Pekan ditutup pada 9 pagi tadi selepas dibuka pada 18 Disember.

Laman web infobanjir pula melaporkan setakat 4 petang ini, paras Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan dan Sungai Keratong di Kampung Rekoh, Rompin telah melepasi tahap bahaya.

Hujan lebat berterusan minggu lepas telah mengakibatkan beberapa daerah di Pahang dilanda banjir, dengan mangsa yang dipindahkan ke PPS direkodkan melebihi 13,000 orang. #AstroAwani

Share:

Seorang Lelaki Berjaya Di Selamatkan Selepas Terlibat Dalam Insiden Cubaan Membunuh Diri Di Jambatan Tanjung Lumpur

KUANTAN: Seorang lelaki berjaya diselamatkan selepas terlibat dalam insiden cubaan membunuh diri di Jambatan Tanjung Lumpur, Kuantan, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya segera ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.42 petang.

Menurutnya, mangsa telah terjun ke dalam sungai namun berjaya diselamatkan oleh bot nelayan sebelum dibawa ke tebing sungai dan menerima rawatan awal oleh Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) JBPM.

Mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia 39 tahun kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut dan diserahkan kepada pihak perubatan serta polis.

Operasi melibatkan 10 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan EMRS itu tamat sepenuhnya pukul 3.30 petang.

JBPM menasihatkan orang ramai supaya peka terhadap kesihatan mental dan segera mendapatkan bantuan jika berdepan tekanan emosi. #BeritaRTM

Share:

MB Bertemu Lima Pelajar SK Purun Yang Jadi Johan Pertandingan Bahas Ala Parlimen Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan 2025

KUANTAN: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyantuni lima pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Purun, Bera yang mengharumkan nama negeri selepas muncul johan Pertandingan Bahas Ala Parlimen Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan 2025, dalam satu pertemuan penuh makna di Wisma Sri Pahang, Kuantan baru-baru ini.

Sebelum melangkah masuk ke dewan persidangan, Wan Rosdy meluangkan masa bertentang mata dan beramah mesra dengan wira-wira kecil itu sambil menyatakan rasa bangga terhadap pencapaian luar biasa yang bukan sahaja mengangkat nama Pahang, malah menyemarakkan semangat cintakan ilmu dan negara.

Menurutnya, kejuaraan yang diraih dalam pertandingan yang berlangsung di Perlis sebelum ini, melambangkan kekuatan pendidikan sebagai wadah membina patriotisme sejak usia awal, selaras aspirasi melahirkan rakyat berilmu, berdisiplin dan bertanggungjawab terhadap masa depan negara.

Turut mengiringi pasukan tersebut ialah Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Pahang, Hanita Kassim serta guru pembimbing, Mohd Shukri Hussin dan Norfaizah Mat Diah yang disifatkan sebagai pendidik berdedikasi dan berjiwa besar dalam mencorak kecemerlangan murid. #UtusanMalaysia

Share:

Bekas Pengarah Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang, Artis Kebudayaan Di Hukum Penjara Dan Denda

KUANTAN: Seorang bekas Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang serta seorang artis kebudayaan masing-masing dihukum penjara enam bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana memalsukan dokumen bayaran kepada perkhidmatan bekalan tidak wujud pada 2020.

Hakim Sazlina Safie menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Dayang Kartini Awang Bujang, 49, dan Mardziana Che Mohd Amin, 39, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani tambahan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mereka didakwa dengan niat bersama memalsukan dokumen arahan pembayaran perkhidmatan menyediakan aksesori set kepala pelanduk untuk kumpulan kesenian jabatan terbabit berjumlah RM9,920 atas nama sebuah syarikat, di pejabat JKKN Pahang di sini pada 26 Jun 2020 bagi tujuan menipu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd Zamry, manakala Dayang Kartini diwakili peguam, Azi Azlin Zulkifli, dan Mardziana pula diwakili oleh Taufek Razak.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah ketika didakwa pada 20 Januari 2022, dan seramai 16 saksi dipanggil memberi keterangan sepanjang tempoh perbicaraan berlangsung.

Bagaimanapun, Sazlina membenarkan penangguhan hukuman penjara sementara menunggu rayuan kedua-dua tertuduh di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah juga menetapkan jumlah ikat jamin dinaikkan kepada RM12,000 berbanding RM10,000 sebelum ini. #BeritaHarian

Share:

Isu Titah Adendum Tidak Sah, BERSATU Dakwa UMNO Pahang Kini Lemah Dan Sekadar Pegang Jawatan Utama Dalam Pentadbiran

KUANTAN: Kedudukan UMNO Pahang dalam kerajaan negeri disifatkan sebagai lemah dan sekadar memegang jawatan utama dalam pentadbiran, kata Timbalan Ketua BERSATU Pahang, Datuk Jasri Jamaludin.

Menurutnya, pendirian UMNO negeri yang mahu pimpinan utama parti itu mempertimbangkan langkah keluar daripada Kerajaan Perpaduan tidak lebih sekadar gimik politik.

Jasri mendakwa walaupun UMNO Pahang sering menyuarakan ancaman sedemikian hanya menjejaskan imej parti berkenaan.

“Mereka bercakap tentang tindakan dan mengugut untuk keluar kerajaan (Perpaduan) namun akhirnya tiada sebarang tindakan diambil.

“Keadaan ini menjejaskan maruah dan kredibiliti parti mereka, dan UMNO Pahang dilihat sedang menunjukkan kelemahan ketara dalam menangani isu berkaitan Titah Adendum,” kata Jasri menerusi satu kenyataan.

ADUN Kuala Sentul itu mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin yang menolak permohonan Datuk Sri Najib Razak berkaitan titah adendum bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching dalam keputusannya mendapati titah adendum itu tidak sah kerana tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke-61 pada 29 Jan tahun lalu.

Keputusan berkenaan mencetuskan ketegangan antara pemimpin parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.

Ini susulan kenyataan ringkas Setiausaha Publisiti DAP, Yeo Bee Yin yang memuji keputusan mahkamah menolak permohonan Najib untuk tahanan rumah.

Mengulas lanjut, Jasri berpandangan UMNO Pahang perlu membuat pendirian jelas, sama ada memilih peranan sebagai pembangkang yang tegas atau bekerjasama dengan PN bagi membentuk kerajaan negeri baru.

“Kegagalan bertindak hanya memperlihatkan ketidakupayaan mempertahankan kepentingan rakyat dan institusi Raja,” tambahnya.

Menurutnya, isu itu turut menimbulkan persoalan besar berkaitan persepsi terhadap kuasa sebenar Yang di-Pertuan Agong dalam sistem kenegaraan negara.

“Perlembagaan perlu dibaca secara seimbang dan berhemah. Menghormati kuasa Agong serta menilai kelemahan tanggungjawab politik di peringkat negeri amat penting demi menjaga maruah, kuasa dan integriti institusi negara,” jelasnya.

Jasri turut berkata keputusan mahkamah yang menolak pelaksanaan titah adendum berhubung tahanan di rumah menimbulkan kebimbangan serius terhadap kedudukan serta makna sebenar kuasa pengampunan diraja dalam kerangka Perlembagaan negara.

Menurutnya, keputusan itu berpunca daripada tafsiran Perlembagaan Persekutuan yang terlalu sempit dan berisiko menjadikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong sekadar satu formaliti tanpa kesan sebenar. #Malaysiakini

Share:

Saifuddin Tak Puas Hati Keputusan Mahkamah, Rakyat Pahang Merasa Amat Terhina Bila Titah Agong Diperlaku Sebegitu Rupa


KUANTAN: Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung isu titah addendum yang dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak,.

Menurut pemimpin Bersatu itu, titah Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah diperlakukan secara tidak wajar.

“Sebagai rakyat Pahang, saya berasa terhina kerana Titah Sultan Pahang selaku Yang di-Pertuan Agong (ketika itu) diperlakukan sedemikian,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Menurut bekas menteri itu, dia mengikuti hujahan penghakiman mahkamah yang pada peringkat awal merujuk kepada kes pengampunan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, di mana Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa titah pengampunan Yang di-Pertuan Agong adalah bersifat tidak boleh dipersoalkan di mahkamah.

“Saya mendapati bahawa Yang Arif Hakim telah bermula dengan merujuk kes pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim di mana mahkamah persekutuan telah memutuskan bahawa titah pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah non-justiciable.

“Maknanya sebarang titah Seri Paduka Baginda tidak boleh dipersoalkan di mahkamah,” katanya.

Namun, Saifuddin mempersoalkan kesimpulan seterusnya dalam keputusan itu, apabila hakim menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong terikat dengan keputusan Lembaga Pengampunan.

“Selepas itu, YA Hakim menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong terikat dengan keputusan Lembaga Pengampunan, di mana di sini boleh difahami bahawa Seri Paduka tidak lagi boleh menjalankan kuasa prerogatif Baginda,” katanya.

Menurut Saifuddin, tafsiran tersebut memberi implikasi besar terhadap kedudukan dan prerogatif Raja Berperlembagaan sehingga menimbulkan rasa tersinggung di kalangan rakyat.

Dia seterusnya mempersalahkan kerajaan hari ini kerana didakwa gagal mengendahkan titah addendum berkenaan, malah menyembunyikannya dalam tempoh yang lama.

“Ia berpunca dari tindakan kerajaan hari ini yang tidak mengendahkan, malah menyembunyikan Titah Addendum tersebut selama kira-kira setahun.

“Akibat keingkaran tersebut, maka perkara ini terpaksa melalui proses mahkamah yang membawa kepada keputusan pada hari ini,” katanya lagi.l

Permohonan Najib untuk tahanan rumah bermula pada 2024, susulan permohonan semakan kehakiman yang difailkannya.

Ia dibuat selepas Lembaga Pengampunan mengumumkan pengurangan hukuman penjara 12 tahun dalam kes SRC International kepada enam tahun serta pengurangan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Dalam permohonannya, Najib mendakwa wujud satu titah tambahan yang membenarkannya menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah, selain titah diraja utama yang mengurangkan hukumannya.

Dia kini menjalani hukuman penjara dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah atas kesalahan menyalahgunakan kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam kes berprofil tinggi itu, bekas Pengerusi BN dan bekas Presiden UMNO itu telah menghabiskan semua peringkat rayuannya selepas gagal membatalkan sabitan dan hukuman berkenaan.

Dalam kes berprofil tinggi itu, bekas Pengerusi BN dan bekas Presiden UMNO itu telah menghabiskan semua peringkat rayuannya selepas gagal membatalkan sabitan dan hukuman berkenaan.

Pada 2 Februari tahun lalu, Lembaga Pengampunan mengumumkan bahawa hukuman penjara asal Najib selama 12 tahun dan denda RM210 juta telah dikurangkan kepada enam tahun penjara serta denda RM50 juta.

Menurut kenyataan itu, Najib dijadualkan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Bagaimanapun, dua bulan kemudian, pada 1 April 2024, Najib memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman dengan mendakwa wujud satu perintah tambahan yang membolehkannya menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Dia menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Pengarah Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri serta kerajaan sebagai responden pertama hingga ketujuh.

Dalam notis permohonannya, Najib memohon perintah mandamus supaya semua atau mana-mana responden mengesahkan dan memperakui kewujudan perintah tambahan bertarikh 29 Januari 2024 itu.

Najib juga memohon perintah mandamus supaya, sekiranya perintah tambahan itu wujud, semua atau mana-mana responden melaksanakan perintah diraja berkenaan dan memindahkannya dengan segera dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.

Pada 4 Julai 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman Najib dengan alasan afidavit sokongan mengandungi keterangan dengar cakap.

Keputusan itu mendorong Najib merayu ke Mahkamah Rayuan, di mana dia memenangi rayuan tersebut melalui keputusan majoriti 2-1, dengan perintah supaya perkara itu dirujuk semula ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran penuh.

Pejabat Peguam Negara (AGC) kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu di Mahkamah Persekutuan.

Pada 13 Ogos, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Malaya ketika itu, Hasnah Mohammed Hashim, menolak rayuan AGC dan mengarahkan supaya semakan kehakiman Najib dirujuk semula ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran penuh berdasarkan merit kes.

Kes itu kembali didengar di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur yang telah mendengar hujahan semua pihak dan menetapkan hari ini sebagai tarikh keputusan. #Malaysiakini

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.