KUANTAN: Cukai tanah dan royalti terus menjadi antara penyumbang hasil terbesar bagi kerajaan Pahang dari 2022 hingga November 2025, kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Cukai tanah mencatat kutipan RM403.7 juta atau 38.15 peratus daripada keseluruhan kutipan RM762.9 juta setakat November lalu.
Wan Rosdy berkata berdasarkan jumlah kutipan pada 2022, cukai tanah merekodkan hasil RM383.8 juta, diikuti RM381.8 juta (2023) dan RM396.6 juta pada tahun lalu.
Katanya, empat hasil lain ialah royalti dengan merekodkan hasil RM81.1 juta, diikuti RM66.5 juta hasil bayaran pendaftaran dan permit.
"Perolehan jualan barang (premium, air mentah dan lain-lain) merekodkan hasil RM130.3 juta dan geran daripada kerajaan persekutuan pula berjumlah RM81.1 juta.
"Lima hasil utama ini secara keseluruhan menjadi penyumbang terbesar dengan merekodkan kutipan berjumlah RM762.9 juta setakat November lalu," katanya.
Wan Rosdy berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Andansura Rabu (PAS-Beserah) pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Pada mesyuarat itu, Andansura ingin tahu jumlah dan lima hasil kutipan yang diperoleh Kerajaan Pahang bagi tempoh 2022 hingga 2025.
Dalam pada itu, beliau berkata, cukai tanah yang masih mempunyai tunggakan setiap tahun dengan jumlah RM483 juta pada 2022.
Katanya, pada 2023, tunggakan meningkat kepada RM525.5 juta, RM635.9 juta (2024) dan RM376.1 juta setakat Oktober lalu (2025).
"Usaha mengutip tunggakan ini bukanlah satu perkara yang mudah tetapi saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang kerana mampu mengurangkan daripada RM1.1 bilion kepada lebih 50 peratus tunggakan dan usaha ini akan diteruskan," katanya. #BeritaHarian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan