KUANTAN: Kejadian banjir telah berlaku di beberapa kawasan sekitar daerah ini berikutan hujan berterusan menyebabkan paras air sungai meningkat dan menjejaskan keselamatan penduduk setempat.
Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, sehingga kini sebanyak 15 Pusat Pemindahan banjir (PPS) telah dibuka bagi menempatkan seramai 1,817 orang mangsa banjir yang terjejas.
“PDRM bersama agensi keselamatan dan penyelamat sentiasa bekerjasama dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan ketenteraman awam dipelihara.
“Orang awam dinasihatkan agar tidak menggunakan jalan-jalan yang dinaiki air dan ditutup kepada lalu lintas khususnya di kawasan rendah serta berhampiran sungai dan parit besar.
“Penutupan jalan dibuat bagi mengelakkan risiko kemalangan, kerosakan kenderaan serta ancaman keselamatan nyawa,” katanya.
PDRM akan terus melaksanakan kawalan lalu lintas, rondaan keselamatan serta bantuan pemindahan di kawasan terjejas.
Antara jalan yang dikenalpasti terjejas adalah seperti berikut :
1) Kilometer (KM) 30 Jalan Kuantan – Maran, hadapan Kilang Sawmill Seng Peng – Boleh dilalui kenderaan berat sahaja.
2) KM 36 Jalan Kuantan – Maran, hadapan Bukit Gambang Resort – Tidak boleh dilalui semua kenderaan.
3) Jalan Air Hitam – Kedalaman air anggaran 2 kaki dan jarak lebih kurang 200 meter. Tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan
4) Jalan Kampung Pasir Kemudi – Laluan/kawasan yang di limpahi air sepanjang 1.8 KM, Anggaran paras air : 1.2 m. Status laluan di tutup kepada semua kenderaan.
5) Jalan Kampung Bukit Bangkong (Perkampungan Orang Asli) – Laluan/kawasan yang di limpahi air sepanjang 1.5 KM, Anggaran paras air : 0.90 m. Status laluan di tutup kepada semua kenderaan.
6) Jalan Kuantan – Pekan (Tidak boleh dilalui semua kenderaan)
7) KM 16 Jalan Sungai Lembing – Kuantan (Berhampiran Kilang Papan Bukit Kuin) Laluan/kawasan yang di limpahi air sepanjang 100 M, Anggaran paras air: 0.5 m (arus laju).Status laluan di tutup kepada kenderaan ringan.
8) Jalan Hadapan UNIPSAS – Jalan arah Pekan-Kuantan dinaiki air dan ditutup ke dua-dua arah dan tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan
Susulan itu, PDRM menasihatkan orang ramai agar mematuhi arahan pihak berkuasa dan berpindah segera ke PPS apabila diarahkan serta tidak meredah banjir atau cuba melalui jalan yang dinaiki air.
Orang ramai dinasihatkan juga supaya mengelak aktiviti berhampiran arus deras, longkang, parit dan sungai dan sentiasa memantau makluman rasmi daripada pihak berkuasa.
Orang ramai boleh menghubungi Balai Polis berhampiran atau talian kecemasan 999 sekiranya berlaku sebarang kecemasan atau memerlukan bantuan.
IPD Kuantan memberi jaminan bahawa pemantauan dan penugasan anggota akan diteruskan secara berterusan bagi memastikan keselamatan penduduk serta kelancaran operasi bantuan bencana. #MalaysiaGazette







Tiada ulasan:
Catat Ulasan