script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Titah Tuanku Sultan Pahang Beri Harapan Baru Dalam Perjuangan Isu Warga Asing Di Negeri Ini

KUANTAN: Aktivis masyarakat, Mohd Shukri Mohd Ramli hari ini berkata beliau terharu dengan titah ucapan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan kebimbangan apabila tanah di Pahang mula 'dijajah' oleh pendatang asing secara terang-terangan disebabkan kurang nilai integriti.

Al-Sultan Abdullah bertitah sedemikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-65 Sultan Pahang di Balai Mahkota Istana Abdulaziz di sini pagi tadi.

Menurut Shukri, beliau memang sudah lama menunggu kenyataan daripada pihak istana sejak memperjuangkan lambakan premis dan penempatan warga asing ini.

"Saya ucapkan terima kasih atas titah yang ditunggu-tunggu oleh rakyat selama ini. Memang benda ini sudah lama dan berakar umbi, namun jika ia tidak didedah dan dibongkarkan maka mungkin semua pihak tidak dapat mengambil perhatian," kata Shukri.

Justeru, beliau berharap titah baginda terutamanya berkaitan dengan integririti perlu diambil perhatian serius oleh semua pihak, terutamanya jabatan yang berkenaan.

"Saya kecewa kerana semakin banyak operasi, semakin bertimbu-timbun pula premis warga asing menjalankan aktiviti mereka. Malah di Cameron Highlands sendiri saya ada dedahkan kebanjiran pekerja asing haram yang bekerja dan tanah-tanah pertanian semakin membimbangkan.

"Warga tempatan hilang mata pencarian kerana segalanya dikawal oleh puak-puak warga asing terutamanya dari Bangladesh. Mereka akhirnya jadi taukey dan kuasai industri pertanian dalam negara kita. Sebab itulah kita tidak hairan hampir semua pasar borong di negara kita kini dimonopoli oleh puak-puak mereka," tambah aktivis terbabit lagi.

Beliau turut menyokong titah baginda yang mahukan Kerajaan Pahang memantau aktiviti itu dan mengenakan tindakan penguatkuasaan yang tegas bagi memastikan kegiatan seperti ini tidak lagi berlaku.

"Sebagai sebuah entiti bebas, kami bersedia menjadi mata dan telinga kerajaan dalam menjalankan operasi penguatkuasaan ini, Bukan tidak yakin dengan pihak berkuasa, tetapi saya serabut dengan situasi yang ada. macam-macam maklumat panas diterima tentang pengkhianatan orang dalam terhadap operasi warga asing di negeri ini.

"Sebab itu bila ada operasi, selalu bocor dan ramai yang terlepas. Bukti ada di depan mata kita bukan sekadar fitnah semata-mata. Siapa yang bocorkan maklumat operasi kalau tidak orang dalam?. Akibatnya, operasi sekadar wayang bagai melepaskan batuk ditangga. Hasilnya rakyat terpaksa menanggung derita berhadapan dengan situasi ini sebenarnya," dakwa Shukri.

Beliau turut bangga dengan ketegasan baginda untuk tidak kompromi terhadap isu kemasukan warga asing yang menjajah negeri ini.

"Titah baginda agar semua pihak jangan sesekali gelap mata dengan wang ringgit dan kesenangan dunia yang sementara amat bertepatan dengan apa yang saya perjuangkan semalam ini. 

Malah Shukri turut bersetuju dengan kenyataan baginda yang juga menyeru pihak berkuasa maksanakan amanah yang diberi ini dengan penuh integriti.

Shukri menegaskan baginda turut mengingatkan pihak berkuasa bahawa setiap kerja buat dan tanggungjawab akan dipersoalkan kelak. Ini sesuatu yang amat baik untuk rakyat Pahang agar agar dapat bekerjasama dalam memberi maklumat kepada pihak berkuasa mengenai segala bentuk jenayah dan salah laku yang berlaku.

"Namun beberapa kerat mereka yang berani bersuara dalam isu ini?. Saya sendiri telah ditekan dan diugut oleh ramai pihak hanya kerana memperjuangkan kedaulatan dan maruah negara ini daripada terus diperlakukan sewenang-wenangnya oleh warga asing," tambahnya.

Apa pun kata Shukri lagi, titah ucapan baginda tuanku itu sedikit sebanyak menyedarkan rakyat Pahang tetak tanggungjawab mempertahankan hak kita. Dakwanya, sampai bila semua pihak mahu tutup mata hingga menyebabkan isu lambakan premis dan penempatan warga asing ini sudah menjadi semakin parah dan membimbangkan sebenarnya. 

Apa yang penting, titah tuanku Sultan Pahang itu memberi harapan baru dalam perjuangan isu warga asing di Pahang khasnya dan di Malaysia amnya. #pahangdaily

Share:

Tunku Azizah Dahului 24 Penerima Darjah Kebesaran Sempena Hari Keputeraan Sultan Pahang

KUANTAN: Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mendahului senarai 24 penerima darjah kebesaran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-65 Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang berlangsung di Balai Mahkota Istana Abdulaziz di sini pada Selasa.

Tunku Azizah dikurniakan darjah Darjah Kebesaran Al-Sultan Abdullah Pahang Yang Amat Mulia - Peringkat Pertama Sri Setia Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah (SAAS) bersama lagi lapan lagi penerima.

Turut dikurniakan darjah kebesaran SAAS ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Tujuh lagi penerima darjah kebesaran SAAS yang membawa gelaran Datuk Seri Setia ialah Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah; Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Iman Afzan; Tengku Arif Temenggung, Tengku Fahad Mua’adzam Shah ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah.

Turut tersenarai ialah Tengku Puteri Seri Teja, Datuk Seri Tengku Muhaini Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah; Tengku Puteri Seri Kemala, Tengku Datuk Seri Hajah Aishah; Tengku Puteri Seri Lela Manja, Tengku Datuk Seri Nong Fatimah dan Tengku Puteri Seri Bongsu, Tengku Datuk Sri Shahariah.

Al-Sultan Abdullah juga berkenan mengurniakan Darjah Kerabat Sri Indera Mahkota Pahang, kepada paduka adinda Raja Jordan, Putera Ali Al Hussein.

Sementara itu, Al-Sultan turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang - Peringkat Utama Sri Diraja Sultan Ahmad Shah Pahang (SDSA) yang membawa gelaran Datuk Seri Diraja kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada Penasihat Undang-Undang Pahang, Datuk Saiful Edris Zainuddin; Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta Jabatan Perdana Menteri, Datuk Shamsul Azri Abu Bakar dan Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Haji Muhamad Norazlan Aris.

Turut menerima darjah kebesaran dan gelaran sama ialah, Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Haji Ahmad Jazlan Yaakub; Ketua Jabatan Pembedahan Kardiotorasik dan Vaskular Institut Jantung Negara, Profesor Datuk Dr Alwi Mohamed Yunus; Perunding Kanan Pakar Pembedahan Kardiotorasik dan Vaskular Institut Jantung Negara, Profesor Datuk Dr Mohamed Ezani Md Taib serta Perunding Ancom Nylex Berhad, Datum Ahmad Johari Tun Abdul Razak.

Dua individu menerima darjah kebesaran Seri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Datuk Indera ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar dan Secretary General Higher Committee of Human Fratenity, United Arab Emirates (UAE), Datuk Dr Khalid Ghanim AlGaith.

Dalam pada itu, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Ir Razali Kassim bersama Duta Besar Malaysia Ke Itali, Zahid Rastam dan Pengarah Asian Perlite Industries Sdn Bhd, Lukman Runia Albert dikurniakan darjah kebesaran Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.

Mengakhiri senarai penerima ialah Juruiring kepada Putera Ali Al Hussein, Brigred General (Rtd) Farid Moh’d Ali Hajamat Qat yang dikurniakan darjah kebesaran Setia Al-Sultan Abdullah Pahang (SAS). #sinarharian

Share:

Al-Sultan Abdullah Zahir Kebimbangan Apabila Tanah Di Pahang 'Dijajah' Oleh Pendatang Asing

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kebimbangan apabila tanah di Pahang mula 'dijajah' oleh pendatang asing secara terang-terangan disebabkan kurang nilai integriti.

Baginda bertitah, sebagai contoh tanah-tanah di Cameron Highlands yang dipajak dan disewa kepada petani serta pengusaha kini telah disewakan kepada warga asing.

Titah baginda lagi, perbuatan itu dilakukan hanya demi mengikut nafsu dan mementingkan wang ringgit.

"Kita sanggup menggadai integriti dan membiarkan tanah di negeri ini diratah oleh bukan pemiliknya.

"Lebih mendukacitakan lagi, warga asing tersebut telah mengambil alih peranan sebagai 'tauke' yang mengawal bekalan dan harga dalam industri pertanian, mengakibatkan wujudnya kartel-kartel yang merosakkan ekonomi negeri dan negara secara keseluruhan," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah sedemikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-65 Sultan Pahang di Balai Mahkota Istana Abdulaziz di sini pada Selasa.

Dalam istiadat itu, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mendahului senarai 24 penerima dan baginda dikurniakan darjah kebesaran Peringkat Pertama Sri Setia Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah (SAAS) diikuti Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Al-Sultan Abdullah mahu kerajaan Pahang memantau aktiviti itu dan mengenakan tindakan penguatkuasaan yang tegas bagi memastikan kegiatan seperti ini tidak lagi berlaku.

Baginda bertegas untuk tidak kompromi terhadap isu kemasukan warga asing yang menjajah negeri ini.

"Jangan sesekali gelap mata dengan wang ringgit dan kesenangan dunia yang sementara. Laksanakan amanah yang diberi ini dengan penuh integriti.

"Ingatlah! setiap kerja buat dan tanggungjawab kita akan dipersoalkan kelak," titah baginda lagi.

Baginda turut menyeru agar semua rakyat bekerjasama dalam memberi maklumat kepada pihak berkuasa mengenai segala bentuk jenayah dan salah laku yang berlaku.

Al-Sultan Abdullah bertitah, ini adalah tanggungjawab bersama dan percayalah; 'bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat'.

"Beta juga ingin kerajaan negeri dan pihak berkuasa mengkaji dengan mendalam mengenai rancangan pembangunan di Cameron Highlands khususnya pembangunan- pembangunan pada masa akan datang.

"Hanya pendekatan yang holistik, tegas dan lestari sahaja dapat menyelamatkan tanah tinggi berkenaan daripada segala bentuk kerakusan dan tindakan yang tidak bertanggungjawab," titah baginda lagi.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah mengingatkan kepada semua pihak tidak kira sama ada pemerintah, pemain industri, komuniti setempat sehingga kepada setiap individu supaya berbanding bahu dalam memulihara alam sekitar.

Baginda bertitah, jangan biarkan keindahan bumi hijau ini terusik oleh pencemaran dan kecuaian.

"Alam kita adalah lukisan tuhan yang paling indah, jadilah penjaga seni yang baik. Keindahan alam bukan hanya memberi kita kehidupan semata-mata, tetapi turut menyediakan sumber daya yang kita perlukan untuk hidup.

"Sungai-sungai di Pahang adalah urat nadi kehidupan, ia bukan sahaja menyediakan bekalan air untuk pertanian dan kegunaan domestik, tetapi juga merupakan habitat pelbagai jenis flora dan fauna," titah baginda. #sinarharian

Share:

Kenyataan Isu 'Kerajaan Pahang Goyang' Panas Di TikTok YBTerjah, 100K Tontonan Setakat Ini !

KUANTAN: Kenyataan terbuka yang dibuat oleh aktivis Mohd Shukri Mohd Ramli berkenaan isu 'kerajaan Pahang goyang' telah mendapat perhatian daripada kalangan netizen di seluruh negara. 

Rata-rata terkejut dengan berita panas itu sebenarnya. Sehingga hari ini video yang disiarkan dalam laman TikTok beliau aktivis terbabit mendapat tontonan lebih 100,000 dalam tempoh empat hari sahaja.

Terdahulu, dalam video terbabit yang disiarkan di laman TikToknya ybterjah, Shukri mendedahkan memang ada usaha pihak-pihak tertentu yang cuba menjatuhkan kepimpinan Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Hj Wan Rosdy Wan Ismail selama ini.

Cuma, usaha tersebut gagal akibat tidak mendapat sokongan padu dari kalangan mereka yang terlibat. Beliau mendedahkan, usaha untuk menjatuhkan Kerajaan Pahang bermula sejak beberapa tahun lalu iaitu menerusi pemilihan UMNO.

Namun usaha itu gagal, kerana beliau sendiri telah membongkarkan konspirasi itu di dalam blog peribadinya cucumatkilau. Dakwanya, usaha itu dilakukan melalui usaha dalaman parti UMO sendiri, lantaran tidak berpuas hati dengan kempimpinan Wan Rosdy yang kononnya tidak mahu mendengar suara akar umbi dalam soal pemilihan calon PRU-15 lalu.

Hasilnya, banyak kerusi yang selama ini menjadi kubu kuat UMNO telah tumbang kepada pembangkang. Justeru, mereka berusaha untuk mencantas Wan Rosdy dan menaikkan pemimpin pilihan mereka pula menjadi Menteri Besar.

Usaha tersebut gagal, malahan majoriti calon yang diletakkan untuk bertanding telah tewas dan gagal mendapat sokongan perwakilan UMNO itu sendiri.

Cubaan kedua untuk mejatuhkan kerajaan Pahang pula dakwa Shukri berlaku ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai tahun lalu.

"Sibuk didendangkan kononnya jika PN menang, maka kerajaan Pahang akan berubah dan Tuan Ibrahim Tuan Man akan diangkat sebagai Menteri Besar yang baharu. Malah mereka dakwa sudah mendapat sokongan dari kalangan wakil rakyat BN yang kecewa apabila nama mereka tidak diangkat sebagai exco." dakwa Shukri.

Namun cubaan kedua itu gagal kerana calon PN tewas. BN berjaya mengekalkan kerusi tersebut menerusi calonnya Dato'Amizar Abu Adam. 

"Biar pun berlaku pengurangan undi, namun kemenangan itu sudah cukup untuk menutup hasrat melihat berlakunya perubahan kerajaan di Pahang. Ini kerana kedudukan kerusi kembali menjadi 17-17 antara BN dan PN.

"Namun, seandainya BN tewas maka kedudukan menjadi 18-16 dan ia memungkinkan perubahan boleh berlaku apabila ada wakil rakyat mereka yang berpihak kepada PN," tambah Shukri lagi.

Kegagalan itu menyebabkan isu perubahan kerajaan terhenti seketika.

Namun, mutakhir ini ia panas kembali apabila tersebar satu mesej berbunyii "Pahang sdg goyang! New State Goverment akan naik. Anak Bossku sudah jumpa PN".


Penyebaran mesej tersebut di  media sosial menjadi panas dan kecoh sehingga individu yang didakwa iaitu Dato' Sri Mohd Nizar terpaksa mengeluarkan kenyataan menafikan perkara itu.


Shukri mendakwa, isu tersebut dimainkan semula oleh pihak-pihak tertentu yang kemaruk untuk mendapatkan kuasa.

"Mereka berbuat demikian susulan melihat tahap kesihatan Wan Rosdy yang kononnya sedikit merudum selepas menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) awal Jun lalu. Bagi mereka, Wan Rosdy sudah tidak mampu lagi untuk menjalankan tugasnya dengan berkesan kerana perlu rehat yang lebih lama.

"Maka itulah dijaja cerita akan berlaku perubahan kerajaan dan mengaitkan pula anak mantan Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak sebagai individu yang akan menjadi Menteri Besar sekiranya Wan Rosdy diturunkan." dakwa Shukri lagi.

Apa pun tinjauan PDO di TikTok aktivis terbabit mendapati 2,509 tanda like, 937 komen dan 319 netizen kongsikan kenyataan tersebut.

Rata-rata menyokong sekiranya UMNO dan PAS kembali berpakat membentuk pentadbiran baharu di Pahang. Malah ada juga yang bersetuju jika Menteri Besar Pahang bertukar kepada yang lebih muda dan bertenaga seperti Dato' Sri Nizar (biar pun ia sudah dinafikan).

Melihat keseluruhan ruangan komen di TikTok terbabit, majoritinya mahukan perubahan politik berlaku di Pahang. Mereka mahu sebuah kerajaan baharu tanpa DAP dan Pakatan Harapan (PH) dibentuk sebelum PRU-16.

Bagi mereka, gabungan BN dan PH sekadar retorik semata-mata demi kuasa. Adalah lebih baik kembalikan kuasa Islam dan Melayu kata mereka. Ada pula yang membuat kenyataan sini mendakwa "jika tiada angin masakan pokok bergoyang" susulan penafian yang dibuat oleh anak Bossku itu.

Apapun kenyataan aktivis yang juga pemerhati politik otai di Pahang itu besar kesannya kepada rakyat marhaen. Hanya rakyat yang bijak menentukan hala tuju politik Pahang selepas PRU-16 nanti. #pahangdaily
Share:

Tengku Ampuan Pahang: “Sia-sia Sahaja Awak Masuk Universiti Dan Selepas Itu Ke Tali Gantung”

KUANTAN: Kes pembunuhan Zulfarhan Osman memberi impak yang besar terhadap seluruh rakyat Malaysia dan sudah pastinya menjadi pengajaran buat ramai orang.

Terbaru, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menasihatkan semua penuntut universiti supaya mengambil iktibar terhadap kes buli yang berlaku di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) tujuh tahun lalu sehingga pelakunya ke tali gantung.

Tunku Azizah mengutuskan pesanan itu dalam Majlis Bai’ah atau Lafaz Ikrar Pelajar Baharu di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Gambang, Pahang.

“Saya mengambil kesempatan untuk menasihatkan semua anak-anak yang baru masuk ini kerana baru-baru ini anda semua telah baca dalam surat khabar mengenai apa yang telah terjadi tujuh tahun lalu di UPNM, jadi saya harap ambillah iktibar apa yang telah terjadi.

Kerana sia-sia sahaja awak masuk ke universiti dan selepas itu ke tali gantung kerana tidak fikir apa yang awak buat itu akan memusnahkan diri awak sendiri,” titah baginda.

Dalam pada itu, Tunku Azizah turut sempat menzahirkan ucapan tahniah kepada seramai 5,066 pelajar baharu yang mendaftar bagi sesi pengajian 2024/2025 di dua kampus Pusat Asasi UIAM iaitu di Gambang dan Kuantan. #kesultananpahang

Share:

Ahmad Maslan: Gunakan Formula 'ABCDE' Untuk Sapu Bersih Kerusi Dalam Parlimen Jerantut

JERANTUT: Datuk Seri Ahmad Maslan menyarankan kepemimpinan UMNO Bahagian Jerantut menggunakan formula 'ABCDE' untuk mengembalikan semula penguasaan parti di kerusi Parlimen Jerantut serta tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata ia penting memandangkan semua empat kerusi terbabit yang menjadi milik UMNO dan Barisan nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kini jatuh ke tangan pembangkang.

Mengulas petua berkenaan, beliau berkata 'A' (Aktiviti) menuntut UMNO Bahagian Jerantut menjalankan aktiviti sebanyak mungkin untuk mendekati pengundi, disusuli 'B' (Berpadu) iaitu mesti bersatu padu dan bersama parti komponen lain untuk mendapatkan sokongan yang kuat.

Katanya, 'C' (calon) pula perlu dipersiapkan untuk menghadapi PRU-16 nanti, dengan memastikan ia sesuai dan berkaliber sepertimana kriteria WALI yang merujuk 'winnable' (boleh menang, 'acceptable' (boleh diterima) dan 'likeable' (disukai) (WALI).

"Sementara 'D' (Data) perlu diperkemaskan di bilik 'war room' dengan memastikan semua kawasan sudah diperhalusi dengan warna penyokong yang wajar didekati.

"Akhir sekali untuk 'E' (Emosi), semua ahli UMNO perlu mempunyai sikap dan sayangkan parti dengan sedaya upaya mempertahankan UMNO dan BN sebagai parti keramat," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jerantut di sini, hari ini.

Pada PRU-14, dua daripada tiga kerusi DUN dalam Parlimen Jerantut iaitu Tahan dan Damak jatuh ke tangan pembangkang, manakala PRU-15 menyaksikan UMNO dan BN hilang kerusi Parlimen itu bersama tiga DUN di bawahnya.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, UMNO dan BN tidak boleh leka sebaliknya perlu menyusun pendekatan untuk memastikan hasrat merampas semula kerusi Parlimen Jerantut dan tiga DUN di bawahnya berhasil.

"PRU-16 nanti kita perlu bangkit supaya semua kerusi itu menjadi milik kita...kita tidak boleh leka dan kena susun pendekatan," katanya.

Mengulas saranan bekas Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah supaya DAP tidak perlu berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri, beliau mengakui ia ada asasnya memandangkan terdapat 35 orang masyarakat Cina di kawasan itu.

Beliau turut memaklumkan UMNO akan mengadakan mesyuarat dan pertemuan esok untuk membahagikan kawasan jagaan angkat masing-masing kepada jentera pilihan raya, sekali gus memudahkan pengurusan kempen. #beritaharian

Share:

Kerajaan Pahang Peruntukkan Lebih RM3 Juta Untuk Program Pembangunan Belia Tahun Ini

KUANTAN: Kerajaan Pahang komited memperkasakan belia negeri ini dengan memperuntukkan lebih RM3 juta tahun ini bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan dalam memperkukuh potensi modal insan golongan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Fadzli Mohamad Kamal berkata peruntukan itu disalurkan melalui Jabatan Belia dan Sukan Pahang, Majlis Belia Pahang serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri.

Beliau berkata peruntukan besar itu merupakan langkah jitu kerajaan negeri untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan belia merangkumi kepimpinan belia, kesukarelawanan, keusahawanan, teknokrat dan sukan yang dikenal pasti mampu memperkasakan golongan terbabit untuk lebih berdaya saing.

"Belanja yang cukup besar ini diperuntukkan bukan sahaja bagi memenuhi keperluan dan minat pelbagai kelompok dan segmen belia, tetapi juga untuk menyediakan generasi pewaris yang berdaya saing, berdisiplin dan berketahanan yang boleh disandar untuk memimpin negeri ini pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengurniaan Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Pahang dan Anugerah Khas Belia Kerajaan Negeri Pahang 2024 di sini semalam.

Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan berangkat ke majlis itu bagi menyempurnakan penyampaian anugerah.

Penerima Anugerah Khas Belia Orang Kurang Upaya (OKU) Siti Hawa Apandi, 35, berkata dia tidak menyangka usahanya membangkitkan kesedaran dalam kalangan masyarakat akan kepentingan penyediaan fasiliti mesra OKU melayakkannya untuk menerima anugerah itu.

"Sebagai OKU spinal muscular atrophy yang perlu menggunakan kerusi roda untuk bergerak, saya dapati masih banyak lagi tempat yang tidak mesra OKU, misalnya keluasan tempat letak kenderaan yang tidak sesuai untuk mereka yang berkerusi roda.

"Menerusi Kelab Damai dan dengan kerjasama unit perkhidmatan OKU Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), kami aktif meningkatkan kesedaran menerusi pelbagai program webinar," katanya yang merupakan naib presiden kelab itu dan pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) UMPSA.

Mejar Dr Hafiz Zulariffin Zulkarnain, 33, yang menerima Anugerah Khas Diraja berkata beliau tidak menyangka mendapat anugerah itu daripada kerajaan Pahang.

"Saya kini bertugas di Lubnan sebagai Pegawai Perubatan Kanan MALBAT 85011. Saya baru sampai pagi semalam dan tidak jangka menerima anugerah ini," katanya yang telah berkhidmat selama sembilan bulan di Lubnan.#sumber

Share:

Wan Rosdy: Pemergian Tan Sri Dr Zaharah Sulaiman Satu Kehilangan Besar Kepada Negara

KUANTAN: Pemergian bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Allahyarhamah Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman merupakan satu kehilangan besar kepada negara.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata Allahyarham yang merupakan bekas Ketua Wanita UMNO dan juga bekas Ahli Parlimen Paya Besar itu telah banyak mencurahkan jasa dan bakti ketika perkhidmatannya.

”Innalillahiwainnalillahirajiun. Salam takziah saya ucapkan kepada keluarga Allahyarhamah Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman yang telah meninggal dunia kira-kira jam 11.23 malam tadi.

.”Pemergian Allahyarhamah merupakan satu kehilangan besar kepada negara, negeri Pahang dan juga UMNO kerana banyak jasa telah Allahyarhamah curahkan sepanjang hayatnya.

”Semoga roh Allahyarhamah Tan Sri dicucuri rahmat Allah SWT, diampunkan segala dosa serta ditempatkan bersama-sama orang yang beriman dan beramal soleh, Al-Fatihah.” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu kehilangan besar figura dan tokoh kepimpinan wanita dalam negara itu juga dikongsi oleh Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah.

Katanya,beliau sempat menziarahi Allahyarhamah semasa menerima rawatan di Hospital Shah Alam, Selangor.

” Innalillahiwainalillahirajiun. Saya dikhabarkan YBhg Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman, Mantan Ahli Parlimen Paya Besar telah meninggal dunia pada 11.23 malam, semalam.

“Beliau empat juga beliau titipkan pesanan dan nasihat buat saya. Satu kehilangan buat kami Paya Besar.Takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarhamah,” katanya.

Siti Zaharah yang juga Pengerusi Institut Kemajuan Wanita Malaysia (IKWAM) dilahirkan pada 24 April 1949 dan pernah memegang beberapa jawatan penting dalam kerajaan antaranya Timbalan Perancangan, Dewan Bahasa dan Pustaka (1980-1986), Timbalan Menteri, Jabatan Perdana Menteri (1986), Timbalan Menteri Kesihatan (1995-1999) dan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat (1999-2004).

Dalam politik, beliau pernah memegang jawatan Ketua Wanita UMNO Pahang, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Ahli Parlimen Mentakab, Ahli Parlimen Paya Besar dan Ketua Wanita UMNO. #malaysiagazzete

Share:

Kemalangan: Dua Maut, Lima Lagi Cedera Dalam Nahas Toyota Hilux Dengan Treler Di Temerloh

TEMERLOH: Dua maut selepas tersepit manakala lima lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Lanchang-Mentakab di sini pada Sabtu.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria memberitahu, kemalangan membabitkan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan treler.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 12.47 tengah hari.

"Lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penyelamat bersama sebuah jentera dikerahkan ke tempat kejadian.

"Sebaik tiba di tempat kejadian mendapati dua lelaki dewasa iaitu pemandu dan penumpang tersepit dalam Hilux terbabit," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Ujarnya, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan menyelamat.

Jelas Zulfadli, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Terdapat dua lagi penumpang iaitu seorang lelaki dewasa dan kanak-kanak lelaki cedera dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh oleh orang awam.

"Tiga lagi lelaki dewasa yang cedera dihantar ke hospital menaiki ambulan KKM dan pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)," tambahnya. #sinarharian

Share:

Anak ‘Bossku’ Nafi Bertemu Pemimpin Perikatan Nasional (PN), Akui Beliau Kekal Bersama UMNO

KUANTAN: Anak sulung bekas Perdana Menteri, Dato' Sri Mohamad Nizar Mohamad Najib menafikan spekulasi mendakwa dia bertemu pemimpin pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan negeri Pahang.

Katanya, “pertemuan dongeng” seperti yang  tular di media sosial itu tidak pernah berlaku sama sekali dan dirinya tidak akan berkomplot untuk mengkhianati parti yang keluarganya perjuangkan.

“Ayahanda Dato Sri Najib selalu berpesan walau bagaimana susah pun keadaan kita agar setia kepada parti. Mana mungkin saya akan berkomplot untuk mengkhianati parti yang keluarga saya perjuangkan bersama-sama orang UMNO yang lain sejak ia ditubuhkan.

“Mana mungkin saya akan membelot untuk khianati kerajaan negeri Pahang yang diterajui oleh Menteri Besar Pahang, Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail, seorang pemimpin yang saya amat kasihi dan hormati,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini. #sumber

Share:

Mayat Pelajar Jatuh Sungai Pahang Ditemukan, 25 Kilometer Dari Lokasi Mangsa Dilapor Hilang

PEKAN: Mayat pelajar tingkatan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maran Satu, dilaporkan hilang selepas terjatuh bot di Sungai Pahang ditemukan pagi tadi, kira-kira 25 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata mayat mangsa ditemukan orang awam pada jam 11:44 pagi dekat Kampung Batu Balik, dekat sini.

“Mayat terbabit dijumpai terapung di permukaan sungai.” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Mayat mangsa diserah kepada polis dan dihantar ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat.

Dalam kejadian pagi Sabtu lalu, mangsa Muhammad Danial Fakhrullah Mohd Azri, 17, dilaporkan terjatuh dari bot ketika menjaring ikan di Sungai Pahang dekat kampung Orang asli Tanah Merah, dekat sini.

Bot dikemudi pelajar terbabit dipercayai terlanggar kayu dan berpusing di permukaan air sebelum mangsa tercampak ke sungai.

Berdasarkan rakaman video tular di media sosial, mangsa dilihat terapung seketika di permukaan sungai sejurus kejadian sebelum tengggelam.

Operasi mencari dan menyelamat disertai bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan dibantu penduduk kampung dilancarkan sejurus kejadian. #sumber

Share:

Polis Menahan 323 Individu Dan Merampas Pelbagai Dadah Dalam Operasi HAWK Di Pahang

KUANTAN: Polis menahan 323 individu dan merampas pelbagai dadah dianggarkan bernilai lebih RM97,000 dalam Operasi HAWK selama empat hari yang berakhir semalam.

Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Noor Hisam Nordin berkata operasi membabitkan 17 pegawai dan 101 anggota itu telah menyerbu 193 kawasan hotspot di seluruh negeri ini.

"Kesemua yang ditahan terdiri daripada 319 lelaki dan empat perempuan berumur lingkungan 16 hingga 63 tahun.

"Daripada jumlah itu, 42 tangkapan di bawah kategori kesalahan bekalan atau pengedaran, 77 kesalahan memiliki dadah dan 204 berkaitan kesalahan urin," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata melalui operasi itu juga, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang menahan lapan lelaki yang dikehendaki berkaitan kesalahan dadah.

Noor Hisam berkata dadah dirampas dianggar bernilai RM97,147 selain dua kenderaan dan wang tunai berjumlah RM30,600 turut disita dalam operasi berkenaan. #sumber

Share:

Tukun Tiruan Gerabak LRT Pertama Di Pulau Tioman Diikhtiraf Malaysia Book Of Records (MBOR)

ROMPIN: Pulau Tioman menjadi pulau pertama di negara ini melabuhkan tukun tiruan gerabak sistem Transit Aliran Ringan (LRT) yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) di bawah kategori bangunan dan struktur.

Majlis pelancaran MBOR: The First LRT Coach Reef in Malaysia disempurnakan oleh Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Berjaya Tioman Resort di sini hari ini.

Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah bertitah inisiatif yang dicetuskan oleh Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) itu diharap dapat memberi impak positif kepada sektor pelancongan di pulau peranginan tersebut.

"Beta harap tukun ini akan sedikit sebanyak membawa tarikan kepada pengunjung khususnya mereka yang minat dalam bidang selaman.

"Beta harap (dengan) terbinanya tukun ini, ekosistem marin di sekeliling Pulau Tioman akan bertambah baik dan beta juga mengalu-alukan banyak lagi usaha untuk merehabilitasikan tukun yang sudah mati di pulau ini," titah baginda ketika merasmikan majlis berkenaan.

Baginda turut menzahirkan keinginan untuk menyelam di lokasi tukun LRT itu yang dinamakan sebagai Tapak Selam Al-Sultan Abdullah.

"Beta sendiri akan cuba selam nanti sebab beta agak terpanggil selepas tengok video tadi dan ini akan kita buat satu lagi temu janji untuk berada di Pulau Tioman dalam masa terdekat, insya-Allah," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah turut menasihati pihak berwajib khususnya YASA dan Lembaga Pembangunan Tioman terus memantau gerabak LRT itu bagi memastikan ia sentiasa dalam keadaan selamat agar tiada kejadian tidak diingini berlaku kepada penyelam.

Pengurus Besar YASA Mohd Fakhrul Islam Juhali pula berkata usaha melabuhkan dua gerabak LRT itu melibatkan 60 penyelam diketuai Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Beliau berkata objektif utama program itu ialah memperkenal terumbu baharu yang dinamakan sebagai Tapak Selam Al-Sultan Abdullah.

"Tapak ini direncanakan dapat meningkatkan kelestarian biodiversiti marin dengan menyediakan kawasan pembiakan ikan dan hidupan marin lain.

"Kita juga berharap tapak selaman ini dapat meningkatkan ekonomi tempatan dengan menarik lebih ramai lagi pelancong ke Pulau Tioman," katanya.

Beliau berkata Pulau Tioman dipilih sebagai lokasi program itu kerana kekayaan persekitaran marin dan kepentingan strategiknya sebagai destinasi pelancongan utama di Pahang.

"Pulau ini merupakan pulau terbesar dalam kumpulan sembilan pulau yang membentuk Taman Laut Pulau Tioman.

"Antara aktiviti yang popular di pulau ini ialah snorkeling dan selam skuba kerana terumbu karangnya selain menjadi laluan pendakian yang membawa pelawat ke air terjun yang cukup menakjubkan," katanya. #sumber

Share:

Tular Isu PAJSK: Menteri Besar Pahang, Exco Pendidikan Negeri Perlu Main Peranan Sewajarnya

KUANTAN: Menteri Besar Pahang dan Exco Pendidikan negeri itu dimohon memainkan peranan sewajarnya berhubung isu yang tular di media sosial mengenai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) yang gagal mendapat tempat di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, kesukaran yang dihadapi oleh pelajar berkenaan dikatakan berpunca daripada sistem pelaporan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) bagi pelajar sekolah swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), di mana mereka difahamkan menerima markah “0” dalam sistem kemasukan ke IPTA. 

Bagaimanapun, katanya, tiada tindakan susulan yang diambil oleh dua pemimpin yang sepatutnya bersuara setelah isu tersebut tular.

“Apabila dinobatkan MTNP sebagai sekolah terbaik SPM, kita angkat kita julang tetapi apabila berlaku isu berbangkit yang melibatkan pelajar kita seperti tidak ambil cakna kepada mereka.

“Ingatlah pendidikan bukanlah isu yang patut dipolitikkan tetapi isu yang patut kita tangani bersama demi kebaikan anak bangsa kita, khususnya untuk mengangkat suara Islam, suara Melayu, dan perpaduan di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, polemik permasalahan itu bermula apabila pihak KPM telah menukar sistem pelaporan PAJSK ni daripada di muat naik di sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) ke sistem Sistem Pengurusan Identiti (iDME).

Susulan itu, katanya timbul persoalan kenapa Sekolah-sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM tidak diberikan ruang untuk mengakses sistem itu sebagaimana sekolah KPM walhal mereka juga berdaftar.

Beliau turut mengucapkan terima kasih Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor yang membawa suara dan rintihan pelajar, guru dan juga ibu bapa pelajar sekolah swasta dalam Malaysia ke Dewan Rakyat.

“Apabila diperhalusi jawapan daripada Menteri KPM, ia seolah-olah memberi jaminan tiada lagi isu berbangkit selepas ini.

“Terima kasih diucapkan atas jaminan YB Menteri. Diharapkan jawapan YB Menteri ini bukan hanya cakap-cakap politik tetapi ianya satu jawapan dan komitmen berterusan YB Menteri dan KPM untuk memastikan anak-anak pelajar sekolah swasta terus diberikan ruang yang sama dengan anak-anak pelajar sekolah KPM,” katanya. #sumber

Share:

Kes Bunuh: Perogol Bersiri Iaitu “Rambo Bentong” Membebel Hukuman Kekal Ke Tali Gantung

PUTRAJAYA: Perogol bersiri yang dikenali sebagai “Rambo Bentong” kekal ke tali gantung oleh Mahkamah Persekutuan di sini hari ini atas dua kesalahan membunuh pada tahun 2009 dan 2012 yang lalu.

Semakan hukuman hukuman mati yang pertama ialah atas sabitan kerana membunuh seorang gadis berusia 17 tahun yang mayatnya ditemukan dengan kesan tetakan di leher pada 2009.

Sementara semakan hukuman mati kedua ialah membunuh seorang kakitangan Jabatan Perhutanan Bentong pada 2012.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat selepas menolak permohonan Rabidin Satir, 53, selaku pemohon bagi semakan mengetepikan dua hukuman mati yang dijatuhkan ke atasnya.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nordin Hassan.

Sejurus keputusan dibuat, Rabidin yang dibawa ke mahkamah dengan berkerusi roda dilihat “membebel” dalam bahasa Inggeris namun tutur katanya tidak jelas sebelum dibawa kakitangan penjara masuk ke lokap mahkamah.

Terdahulu, bagi kes membunuh kakitangan Jabatan Perhutanan Bentong, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Yusaini Amer Abdul Karim membantah permohonan semakan Rabidin atas alasan kes itu dikategorikan sebagai `yang paling jarang di antara yang jarang berlaku’ yang mewajarkan hukuman mati dikekalkan.

Naratif pendakwaan menyatakan, pasangan suami isteri itu yang sedang tidur di ruang tamu dikejutkan dengan kehadiran lelaki bertopeng yang kemudian menghentak kepala kakitangan Jabatan Perhutanan Bentong itu berkali-kali dengan bahagian belakang pistol.

“Hentakan kepala itu menyebabkan tempurung kepala retak dan otaknya hancur manakala isteri mangsa yang sedang mengandung malah dirogol dua kali sebelum dirompak.

“Pendakwaan berpendirian trend kes seperti ini belum pernah berlaku yang mana suami dibunuh manakala isteri dirogol,” hujah Yusaini Amer.

Rabidin malah menggeledah rumah berkenaan sebelum bertanyakan sama ada pasangan itu menyimpan senjata api sebelum bertindak memukul lagi lelaki berkenaan beberapa kali.

Pada prosiding itu, peguam Muhammad Fairuz Ahmad Yusof memohon semakan dibenarkan atas alasan perlakuan anak guamnya tidak seganas mana berbanding perbuatan melibatkan seksaan dan kecederaan berganda.

Pada 16 Ogos 2018, Rabidin gagal dalam rayuannya untuk membatalkan hukuman mati kerana membunuh kakitangan Jabatan Perhutanan Bentong itu di Perumahan Jabatan Perhutanan di Jalan Tras, Bentong, Pahang, di antara pukul 3.50 pagi dan 4.30 pagi pada 3 November 2012.

Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan turut mengekalkan hukuman sama selepas menolak rayuannya.

Pada 2014, Rabidin dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Temerloh kerana membunuh seorang remaja perempuan di sebuah rumah di Kampung Ketari Bentong, Pahang pada 2009.

Rabidin juga dituduh merogol gadis itu tetapi Mahkamah Tinggi membebaskannya kerana tidak dapat dipastikan sama ada rogol dilakukan ketika mangsa masih hidup atau selepas kematiannya. #sumber

Share:

Sebanyak RM53.9 Juta Kerugian Kes Jenayah Komersial Di Pahang Dalam Tempoh Enam Bulan

KUANTAN: Jumlah kerugian kes jenayah komersial di Pahang menunjukkan peningkatan iaitu RM53.9 juta dengan 1,037 kertas siasatan dibuka dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, berbanding tempoh sama tahun lalu, jumlah kerugian itu merekodkan RM22.1 juta dengan 1,137 kertas siasatan dibuka.

Katanya, walaupun jumlah kertas siasatan dibuka menunjukkan penurunan tetapi jumlah kerugian pula menunjukkan peningkatan yang tinggi.

"Dari segi tangkapan, ia menunjukkan peningkatan iaitu 808 tangkapan dilaksanakan dalam tempoh enam bulan tahun ini berbanding 760 tangkapan dalam tempoh sama tahun lalu," katanya pada Perhimpunan Bulanan dan Lafaz Ikrar bagi Julai 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini hari ini.

Mengenai jumlah kemalangan jalan raya dalam tempoh enam bulan tahun ini, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 571 kes iaitu 12,365 kes berbanding 11,794 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Katanya, statistik kemalangan maut pula mencatatkan penurunan sebanyak lima kes iaitu 223 kes berbanding 228 kes tempoh sama tahun lalu.

"Pada masa sama, sebanyak 119,076 saman dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pahang atas pelbagai kesalahan lalu lintas dengan kompaun berjumlah RM2.5 juta," katanya. #sumber

Share:

UMNO Menolak Kerjasama Dengan PAS Selagi Hadi Awang Menjadi Tampuk Pimpinan Parti Itu

KUALA KANGSAR: UMNO menolak kerjasama dengan PAS selagi Tan Sri Abdul Hadi Awang menjadi tampuk pimpinan parti berkenaan, tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, ia berdasarkan pengalaman beliau berbincang bersama Abdul Hadi sebelum ini yang sentiasa mengubah pendirian selepas memperoleh persetujuan.

“Saya ingat lagi dalam Majlis Tertinggi UMNO, Perdana Menteri ketika itu yang mewakili kita berkata, UMNO mesti bekerjasama dengan PAS kalau tidak kita menang sembilan kerusi sahaja dan tidak boleh bentuk kerajaan.

“Saya bentang pada Majlis Tertinggi ketika itu di mana saya seorang sahaja dan berkata tidak boleh beri pada PAS kerana PAS ini membohong dari dahulu sampai sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kangsar 2024, di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Tambah Ahmad Zahid, beliau merupakan saksi hidup pembohongan yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Marang itu semasa mengadakan perbincangan sebelum ini.

“Ini saksi hidup bincang empat mata dengan Hadi Awang di mana depan kita setuju tetapi esok tukar tidak setuju, kemudian kita pujuk kata hendak tiga hari lepas tu jumpa lapan mata, Presiden dan Timbalan Presiden (PAS) bersama saya dengan timbalan.

“Setuju juga kemudian esok tukar lagi. Jangan percayalah selagi orang itu jadi Presiden jangan harap kita hendak bekerjasama dengan parti yang menunggang Islam,” katanya.

Ahmad Zahid pada tahun lalu menyifatkan Pas sebagai ‘gila talak’ apabila mengeluarkan kenyataan tidak menolak akan kembali bekerjasama dengan UMNO menerusi Perikatan Nasional (PN). #sumber

Share:

Zahid: Kekalahan Di Sungai Bakap Bukan Penamat Hadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Seterusnya

MELAKA: Kekalahan calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Pulau Pinang semalam bukanlah penamat kepada gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan khususnya UMNO untuk menghadapi PRK seterusnya.

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata parti-parti komponen berkenaan akan terus berusaha dan berazam membawa kemenangan kepada calon Kerajaan Perpaduan dalam PRK akan datang.

"Kita terima (kekalahan), itu keputusan rakyat ... ini bukan penghujung, jalan terakhir PRK bagi mana-mana calon dalam parti komponen Kerajaan Perpaduan," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kota Melaka di Dewan Komuniti Telok Mas di sini semalam.

Yang turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri merangkap Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka yang juga Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Perikatan Nasional (PN) mengekalkan status quo di Sungai Bakap selepas calonnya, Abidin Ismail menang dengan majoriti 4,267 undi setelah menewaskan calon PH, Dr Joohari Ariffin.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Sementara itu, dalam ucapannya, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mengingatkan ahli UMNO agar melakukan perubahan dalam memenangi hati pengundi.

"Kita harus ingat politik sekarang bukan politik pembangunan (semata-mata, malah) politik sekarang ialah politik isu dan sentimen (yang mesti kita juarai).

"Berapa orang dalam kalangan kita yang (berani) jawab dan pertahankan ketua kita bila dihentam? Kita hanya pandai tularkan (sesuatu isu) dengan kawan-kawan. Dalam situasi ini, kita harus bangkit dan sedar dari sekarang," katanya. #sumber

Share:

Mamat Exist Di Denda RM4,000 Atau Penjara Dua Tahun Selepas Mengaku Bersalah Masukkan Dadah

JOHOR BAHRU: Bekas vokalis Exist, Mamat didenda RM4,000 atau penjara dua tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas kesalahan memasukkan dadah ke dalam badan pada 2019.

Hakim Fatimah Zahari turut memerintahkan Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin, 47, menjalani tempoh pengawasan bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Bentong, Pahang selama dua tahun.

Berdasarkan pertuduhan pindaan yang dibacakan pada Isnin, Mamat didakwa mengambil dadah jenis Methamphetamine pada jam 2 pagi, 9 September 2019 di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara.

Mamat yang pernah popular dengan kumpulan rock 90-an itu menerusi lagu Untukmu Ibu juga mempunyai kesalahan berulang mengambil dadah pada tahun 2016 dan 2018.

Tuduhan sebelum ini dibuat di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu boleh dihukum di bawah Seksyen 39C (1) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Prosiding dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Bariah Jalil manakala Mamat diwakili peguam bela, Azlina Abdul Aziz.

Mamat kemudian membayar denda yang dikenakan itu. #sumber

Share:

Yayasan Pahang Eksport 18 Tan Nanas MD2 Keluarannya Ke Pasaran Emiriah Arab Bersatu (UAE)

KUANTAN: Yayasan Pahang (YP) mengeksport 18 tan nanas MD2 hasil keluaran anak syarikatnya, Yayasan Pahang Plantation Holdings Sdn Bhd (YPPH) ke pasaran Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pengarah Urusan YPPH, Datuk Indera Mahmud Mohd Nawawi berkata, ia adalah eksport pertama nanas hasil keluaran anak syarikat YP ke luar negara.

Menurutnya, pembangunan untuk projek tanaman nanas itu telah dimulakan pada November 2022 dan proses penanamannya bermula Februari tahun lalu.

"Projek ini merupakan percubaan pertama anak syarikat YP menanam pokok nanas MD2 secara komersil dalam kawasan pokok kelapa di Ladang Gambang di sini.

"Kami jangkakan seluas 314 hektar tanah akan digunakan untuk pelan pembangunan tanaman nanas ini sehingga 2026," katanya dalam satu kenyataan.

Majlis pelepasan kontena hasil pengeluaran nanas Ladang Gambang itu diadakan Jumaat lalu.

Mahmud yang juga Ketua Pegawai Eksekutif YP berkata, pihaknya merancang akan membekalkan sulur sendiri untuk penanaman di ladang selain dibekalkan untuk jualan.

"Tanaman nanas antara usaha YP dalam mempelbagaikan sumber pendapatan melalui kepelbagaian tanaman dengan pendapatan per hektar yang tinggi," katanya.

Beliau berkata, projek tanaman nanas itu merupakan inisiatif di bawah program pembangunan ke arah Pensijilan Global GAP daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) bagi membolehkan hasil dipasarkan ke luar negara.

"Proses pensijilan itu kini berada di fasa terakhir, menunggu pengauditan pihak luar.

"Kami juga merancang untuk mendapatkan Sijil Brand Reputation Compliance Global Standard (BRCGS) dan Rainforest Alliance Certification sekali gus membolehkan hasil nanas dieksport ke negara-negara Eropah pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, YPPH telah memperoleh Sijil Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT) daripada Jabatan Pertanian bagi pengesahan ketulenan benih MD2. #sumber

Share:

Hanya Sebanyak 16 Peratus Sahaja Rakyat Pahang Berpandangan Kewangan Perlu Di Rancang

KUANTAN: Hanya 16 peratus rakyat Pahang berpendapat bahawa kewangan perlu dirancang dengan berhemah. Timbalan Gabenor, Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Ahmad Zahid berkata, dapatan itu diperoleh hasil kaji selidik keupayaan dan rangkuman kewangan 2021.

Menurutnya, perspektif sebegini menyumbang kepada kurangnya penampan kewangan dan orang ramai mendapati sukar untuk menyediakan wang RM1,000 dalam situasi kecemasan.

"Keupayaan membuat keputusan kewangan dengan bijak dan mempunyai wang kecemasan dapat meningkatkan pendapatan serta simpanan secara beransur-ansur.

"Langkah-langkah seperti mengamalkan bajet bulanan, mengelak pembelian tidak perlu, berikhtiar mengurangkan hutang, menabung untuk kecemasan, memulakan pelaburan selamat dan berniaga secara sambilan mampu menyumbang ke arah ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Karnival Celik Kewangan di East Coast Mall, di sini pada Sabtu.

Adnan Zaylani memaklumkan inisiatif pendidikan kewangan secara terancang dilaksanakan oleh pihaknya sejak tahun 2000.

Jelasnya, bagaimanapun, pada peringkat awal, ia menjurus kepada kesedaran tentang produk dan perkhidmatan kewangan dan seterusnya memperkasakan pengurusan kewangan, melalui penubuhan BNMLINK dan Agensi Kredit dan Perkhidmatan Kaunseling ( AKPK).

Beliau menambah, penubuhan Jaringan Pendidikan Kewangan ( FEN) pada 2016, telah melonjakkan inisiatif pendidikan kewangan di seluruh negara melalui platform bersepadu yang melibatkan lapan agensi.

"FEN telah menggubal strategi literasi kewangan kebangsaan yang melakar inisiatif pendidikan kewangan secara lebih sistematik dan holistik.

"Kini penerapan mesej pendidikan kewangan telah dijalankan di semua peringkat sekolah sebagai sebahagian daripada kurikulum persekolahan kebangsaan secara lengkap, daripada peringkat prasekolah hingga sekolah menengah, hasil kerjasama erat bersama KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia)," katanya.

Dalam pada itu, Adnan Zaylani memberitahu FEN kini menumpukan usaha untuk meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan belia di seluruh negara.

Menurutnya, bagi tujuan ini, BNM telah melaksanakan kaji selidik keupayaan dan rangkuman kewangan setiap tiga tahun bagi menilai tahap keupayaan kewangan rakyat Malaysia, termasuk belia.

Jelasnya, kaji selidik tahun 2021 mendapati bahawa kegagalan membuat keputusan kewangan yang baik di usia muda, boleh mengakibatkan masalah kewangan jangka panjang, memandangkan komitmen kewangan yang semakin bertambah ketika meningkat dewasa.

Sehubungan dengan ini, suatu program pendidikan kewangan secara dalam talian, FEN PROAKTIF telah dibangunkan.

"Program ini menyasarkan pelajar tahun akhir institusi pendidikan tinggi, untuk menyediakan belia dengan ilmu pengurusan kewangan pada beberapa tahun pertama bekerja.

"Besarlah, harapan kami jika semua institusi pendidikan tinggi seluruh negara amnya, dan di Pahang khususnya, dapat menggalakkan pelajar-pelajar tahun akhir mereka menjalani program ini," jelasnya. #sumber

Share:

Kampung Chengal Lempong Dipilih Sebagai Kampung Angkat Madani Peringkat Kebangsaan 2024

KUANTAN: Kampung Chengal Lempong, di sini, dipilih sebagai Kampung Angkat Madani Peringkat Kebangsaan 2024.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, program Kampung Angkat Madani merupakan salah satu cara dilakukan kerajaan dalam menilai sejauh mana keberkesanan dasar yang diumumkan.

“Untuk mengukur kejayaan sesuatu dasar di ketengahkan kerajaan, perlu diukur dari akar umbi (peringkat kampung),” katanya ketika merasmikan Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani Peringkat Kebangsaan 2024 bertempat di Dewan Orang Ramai Kampung Chengal Lempong, di sini hari ini.

Dalam pada itu katanya, kerajaan tidak seharusnya memfokuskan pembangunan di kawasan bandar sahaja, sebaliknya peruntukkan juga perlu sampai ke peringkat kampung.

“Kita tidak boleh bangunkan hanya di kota, kita kena angkat peruntukkan sampai ke kampung supaya jangan ketinggalan. Dari sekecil masalah longkang sehinggalah kepada program pembangunan kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Anwar dalam pada itu mengingatkan kepada semua jemaah menteri dan pegawai kanan kerajaan untuk sentiasa turun padang dan mendengar sendiri masalah rakyat terutamanya yang berada di kampung.

“Jentera kerajaan memang ada tetapi kadang-kadang maklumat dari bawah tidak sampai. Kita kena dengar semua dari bawah dan turun sendiri, mudahan dapat selesaikan masalah dengan baik.

“Mudahan rakan pegawai kanan dapat ambil perkara ini dengan serius. Kita bukan minta turun setiap hari. Mungkin sebulan atau dua bulan sekali,” kata Anwar dalam ucapannya. #sumber

Share:

Pemandu Lori Maut Selepas Rempuh Van, Kereta Dan Kedai Kosong Di Bandar Lama Jerantut

JERANTUT: Seorang pemandu lori meninggal dunia setelah kenderaan dipandu hilang kawalan dan merempuh sebuah van dan kereta yang diparkir serta sebuah kedai kosong di bandar lama di sini hari ini.

Ketua Polis Jerantut, Superintendan Zukri Muhammad berkata, pemandu lori muatan tar itu disahkan meninggal dunia di lokasi nahas akibat kecederaan parah manakala pemandu van mengalami kecederaan ringan.

”Semasa kejadian kira-kira pukul 3 petang itu mangsa dari arah perjalanan dari persimpangan lampu isyarat Dato Bahaman menuju ke Jalan Bandar Lama.

”Apabila sampai di tempat kejadian mangsa telah gagal mengawal kenderaan dan telah melanggar sebuah van yang sedang bergerak dipandu seorang lelaki dan sebuah kereta yang di parkir dan juga sebuah buah kedai kosong,” katanya dalam kenyataan.

Zukri berkata, mayat mangsa dihantar ke hospital bagi proses bedah siasat dan pemandu van pula menerima rawatan lanjut di Hospital Jerantut.

Kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen  41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Pahang memaklumkan dalam insiden itu, pemandu lori tersepit akibat melanggar kedai manakala mangsa di dalam van cedera di bahagian kaki dan telah dikeluarkan orang awam.

Pihak bomba membuat kerja-kerja menyelamatkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat. #sumber

Share:

Permarkahan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) Ikut Ketetapan Kementerian Pendidikan Malaysia

KUANTAN: Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) menafikan dakwaan tidak mematuhi pelaksanaan dan pengumpulan markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) di pusat berkenaan.

Sebaliknya, ia menegaskan telah mematuhi semua garis panduan pelaksanaan dan pengumpulan markah seperti yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Ini termasuk menghantar markah kepada pihak KPM mengikut ketetapan masa dan kaedah sebagaimana arahan dalam surat-surat KPM yang dikeluarkan kepada MTNP, tegas Ketua Pegawai Eksekutif MTNP, Mohd Lafzul Muda.

“Kami ingin merujuk kepada hantaran tular bertajuk ‘Rezeki Tertangguh Berjemaah’ yang dipaparkan melalui akaun Facebook salah seorang penjaga pelajar yang telah tular berkaitan PAJSK.

“MTNP telah segera berhubung dengan pihak KPM, Kementerian Pendidikan Tinggi, asasi universiti- universiti serta badan-badan penaja dan telah mendapat kerjasama yang baik daripada pihak-pihak yang berkenaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Lafzul mengucapkan ribuan terima kasih atas keprihatinan dan kerjasama yang diberikan semua pihak terhadap perkara ini.

Dalam satu hantaran yang tular itu, seorang penjaga pelajar sekolah swasta ini mendakwa anaknya gagal mendapat pilihan pertama selepas keluar keputusan permohonan Unit Pusat Universiti (UPU) lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang diumumkan baru-baru ini.

Penjaga itu mendakwa, siasatan yang dilakukanya mendapati terdapat kesilapan markah PAJSK yang menyumbang 10 peratus daripada merit, sehingga menyebabkannya anaknya dan pelajar sekolah berkenaan yang dinobat sebagai sekolah paling cemerlang ketika peperiksaan SPM lalu tidak mendapat tempat pada pilihan pertama UPU. #sumber

Share:

Dr S Malar: Kes Zhi Jie Maut Dalam Gelanggang, Kenapa Tengok Saja...Tak Perlu Takut Buat CPR

KUALA LUMPUR: Walaupun tidak tahu cara atau tiada pengalaman melakukan prosedur resusitasi kardio-pulmonari (CPR), sesiapa saja perlu bertindak segera memberikan bantuan kecemasan itu jika berdepan dalam situasi yang boleh mengancam nyawa.

Pegawai perubatan dan pempengaruh media sosial, Dr S Malar Santhi, berkata sesiapa saja yang berdepan situasi cemas perlu menjalankan tanggungjawab untuk menyelamatkan nyawa terlebih dahulu dan tidak perlu takut untuk melakukan prosedur berkenaan.

Mengambil contoh kes pemain badminton remaja China, Zhang Zhi Jie yang meninggal dunia akibat serangan jantung ketika perlawanan di Kejohanan Badminton Remaja Asia di Yogyakarta, Ahad lalu, Dr Malar berkata, apa yang penting dalam situasi seperti itu adalah respon yang betul, tepat dan cepat.

Beliau berkata, perkara pertama yang perlu dilakukan sesiapa yang berdepan situasi berkenaan adalah memeriksa respon mangsa dan jika tiada sebarang respon, jerit segera meminta bantuan dan meminta peranti defibrillator luaran automatik (AED) dibawa ke lokasi kecemasan.

"Kemudian, anda sendiri perlu mulakan CPR. Jangan toleh kiri kanan depan belakang cari orang lain. Tidak kisah sama ada anda pernah belajar CPR, tidak pernah buat CPR, pernah belajar tapi sudah lupa atau takut, tolak tepi semua perasaan itu.

"Ambil kedua-dua tapak tangan dan letakkan dekat tengah-tengah dada mangsa, terus mulakan CPR dengan menghenjakkan bahu anda ke bawah dan berikan tekanan sekuat mungkin. Jangan takut dia (mangsa) sakit kerana orang itu tiada nadi pun, jangan takut patah tulang rusuknya.

"Anda hanya berikan tekanan CPR kepada mangsa dengan harapan jantung dia boleh mengepam kembali. Biasanya dalam dua ke tiga minit CPR dilakukan, anda akan penat dan pastikan ada orang di sekeliling anda yang boleh ganti membuat CPR ini sehingga bantuan profesional, seperti ambulans atau paramedik sampai," kata beliau melalui Facebooknya.

Dr Malar juga memaklumkan, sesiapa yang memberikan bantuan kecemasan, termasuk CPR dalam situasi yang mengancam nyawa, tidak boleh didakwa atau disaman walaupun mangsa mungkin mengalami kecederaan.

"Anda tidak boleh didakwa dan disaman, kononnya salah bagi CPR atau sampai patah tulang rusuk mangsa. Ada perlindungan undang-undang (untuk pemberi bantuan), jadi tidak perlu takut.

"Hanya takut kepada Pencipta yang soal anda satu hari nanti, kenapa tengok saja, tidak buat apa-apa dan tidak jalankan tanggungjawab.

"Ingat, mangsa itu, bila tiba ajalnya, dia akan pergi juga, tidak awal atau tidak lewat sesaat pun. Cuma kita yang dihadirkan di sebelah mangsa pada ketika itu yang diberi ujian, nak lihat sama ada kita tengok buat tidak tahu saja, berada dalam ketakutan atau kita jalankan tanggungjawab kita.

"Ya, kita semua memang diingatkan untuk berdamai dengan takdir dan menerima takdir tapi janganlah berserah kepada takdir sebelum berusaha dan buat apa-apa pun. Terus melopong berserah pada takdir. Bagi saya, itu salah," katanya.

Dalam insiden di Kejohanan Badminton Remaja Asia di Yogyakarta, kelmarin, Zhi Jie, 17, disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung ketika pertemuan antara China menentang Jepun dalam aksi Kumpulan D di GOR Among Raga.

Zhi Jie yang sedang berdepan Kazuma Kawano, rebah dalam keadaan tertiarap ketika perlawanan itu. Pasukan perubatan kejohanan kemudiannya memberikan bantuan kecemasan sebelum pemain itu dikejarkan ke hospital.

Bagaimanapun, Zhi Jie disahkan meninggal dunia pada jam 11.20 malam waktu tempatan.

Selepas rakaman video insiden itu tular di media sosial, orang ramai marah kerana mendakwa pasukan perubatan lambat bertindak dan kelihatan teragak-agak untuk memberikan bantuan kecemasan sejurus pemain itu rebah di dalam gelanggang.

Bagaimanapun, jurucakap Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI), Broto Happy mempertahankan tindakan pasukan perubatan dan penganjur, dan memaklumkan pasukan perubatan perlu menunggu kebenaran daripada pengadil sebelum boleh memasuki gelanggang. #sumber

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.