script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Laluan Jalan Batang Kali Ke Genting Di Buka Semula Bermula Jam 3 Petang Esok


KUALA LUMPUR: Laluan B66 Jalan Batang Kali menuju ke Genting yang ditutup susulan tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm hampir dua tahun lepas akan dibuka semula, esok.

JKR Hulu Selangor dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengguna jalan raya boleh melalui laluan berkenaan bermula 3 petang.

Kenyataan itu juga menyebut kerja turapan di laluan itu telah dijalankan pada 27 hingga 29 Mei lepas.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi pihak JKR Hulu Selangor di talian 03-60641046, 03-60641058, 03-60641058 dan 03-60641073.

Sebelum ini Jalan Batang Kali-Genting Highlands ditutup bagi membolehkan kerja-kerja membaiki cerun dan jalan di kawasan insiden tanah runtuh berkenaan.

Tragedi tanah runtuh pada 16 Dis 2022 itu mengorbankan 31 nyawa. #sumber

Share:

Insiden Bas Terbalik Di Genting Highlands, Lesen Syarikat Pelancongan Di Gantung Sementara

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menggantung sementara lesen syarikat pelancongan yang terlibat dalam insiden bas membawa pelancong China terbalik di Kilometer 16.5 Jalan Genting Highlands pada Sabtu.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, lesen operasi tersebut digantung sementara sehingga siasatan menyeluruh kejadian yang mengorbankan dua nyawa itu selesai.

Menurutnya, satu mesyuarat khas membabitkan kementeriannya bersama Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan diadakan pada 2 Julai ini bagi tujuan tersebut.

"Saya telah meminta siasatan sepenuhnya dijalankan dari segi syarikat pelancongan yang difahamkan melantik pihak ketiga.

"Saya juga menerima aduan daripada pelancong mengenai bas disediakan tidak sesuai digunakan apabila bas ditukar sebanyak tiga kali sepanjang enam hari lima malam bercuti.

"Ini membuktikan bas tidak diselenggara dengan baik, menghadapi masalah tiada pendingin hawa dan berbunyi," katanya selepas melawat lapan mangsa yang dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada Ahad.

Kesemua mangsa yang menerima rawatan berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani pemeriksaan lanjut sehingga dibenarkan keluar.

Turut hadir, Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

Katanya, pihaknya memohon maaf susulan insiden tersebut dan tidak teragak-agak untuk menarik lesen syarikat pelancongan itu jika didapati bersalah.

Ujarnya, setakat ini pemandu bas berkenaan telah ditahan reman bagi membantu siasatan.

"Keselamatan pelancong adalah keutamaan kami disebabkan itu kementerian sering mengingatkan syarikat pelancongan memberikan kerjasama melakukan langkah perlu bagi tujuan itu.

"Jangan ambil mudah nyawa pelancong semata-mata untuk mendapat untung dalam bisnes," katanya.

Pada masa sama katanya, JPJ digesa kuat kuasa pemantauan ketat terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perkhidmatan bas pelancongan bagi mengelak insiden sama berulang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar memaklumkan, pemandu bas berusia 32 tahun ditahan reman selama empat hari bermula Ahad bagi membantu siasatan.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan bas membawa 21 penumpang terdiri 18 pelancong China serta tiga warga tempatan termasuk pemandu bas, pembantu dan pemandu pelancong terbalik.

Bas terbabit terbabas melanggar tembok tengah pembahagi jalan sebelum terbalik.

Akibat kejadian, dua penumpang warga China, Wang Shuhong, 49, dan Zhang Ping, 58 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala 13 yang lain mengalami cedera.

Lapan mangsa menerima rawatan di HKL dan baki menerima rawatan di Hospital Bentong. #sumber

Share:

Kemalangan: Pemandu Lamborghini Maut Terbakar Di KM 57.1 Lebuhraya Karak Arah Timur

BENTONG: Seorang lelaki maut selepas kereta mewah Lamborghini yang dipandunya terbakar di KM 57.1 Lebuhraya Karak Arah Timur di sini pada Ahad.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada jam 9.06 pagi.

Menurutnya, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong bersama dua jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Terdapat kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Lamborghini yang telah terbabas dengan peraturan kebakaran kira-kira 100 peratus.

"Seorang lelaki dewasa iaitu pemandu tersepit di dalam kereta manakala satu perempuan dewasa iaitu penumpang kereta telah dikeluarkan dan dibawa ke hospital oleh orang awam," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, pihaknya menjalankan kerja-kerja pemadaman menggunakan dua aliran hos salur bantu mula air tangki pam jentera selain mengeluarkan mangsa.

Katanya, pemandu yang tersepit disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya. #sumber

Share:

Fuziah Salleh: Kerajaan Memberi Jaminan Tiada Kenaikan Harga Gula Di Pasaran Setakat Ini

NIBONG TEBAL: Kerajaan memberi jaminan bahawa tiada kenaikan harga gula di pasaran setakat ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh.

Beliau menegaskan setakat ini tiada sebarang keputusan dibuat di peringkat Kabinet untuk menaikkan harga gula, malah perkara itu juga sudah banyak kali diperjelas di Parlimen sebelum ini.

Fuziah menjelaskan bahawa spekulasi mengenai kenaikan harga gula itu timbul pada April lepas, susulan aduan daripada pihak industri yang memohon kerajaan untuk menaikkan harga gula selepas mendakwa mengalami kerugian sebanyak 88 sen bagi setiap kilogram gula yang dikeluarkan.

"Tetapi, apa yang kita buat adalah kerajaan beri insentif RM42 juta sebulan kepada syarikat-syarikat ini untuk menstabilkan harga bekalan.

"Ini kerana kita tidak mahu nanti mereka rugi dan selepas itu tidak lagi keluarkan gula.

"Jadi kita bagi insentif supaya mereka keluarkan juga gula biarpun dalam keadaan mereka mengalami kerugian," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Hari Terbuka MySubsidi Diesel SKDS 2.0 (Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi) Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata spekulasi tersebut ditimbulkan berikutan kerajaan pada masa itu tidak menetapkan berapa lama tempoh pemberian insentif berkenaan, namun ia masih diteruskan hingga ke hari ini.

April lepas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan kerajaan akan membuat keputusan berhubung mekanisme menstabilkan bekalan gula termasuk harga bahan pemanis itu pada suku kedua tahun ini.

Menteri berkenaan Datuk Armizan Mohd Ali berkata kerajaan sedang menilai mekanisme, antaranya melibatkan cadangan simpanan stok gula, pemberian subsidi atau menaikkan harga kawalan daripada RM2.85 sekilogram pada masa ini. #sumber

Share:

Akaun Media Sosial Rasmi Pejabat Sultan Pahang Hanya Di Bawah Nama ‘Kesultanan Pahang’

KUANTAN: Istana Pahang baru-baru ini memaklumkan akaun media sosial rasmi pejabat Sultan Pahang hanyalah di bawah nama Kesultanan Pahang.

Istana Pahang menerusi hantaran di Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube Kesultanan Pahang menyatakan bahawa pihaknya mengambil maklum atas beberapa aduan dan rungutan netizen mengenai kewujudan akaun media sosial menggunakan nama Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, sejak akhir-akhir ini.

“Dimaklumkan bahawa semua akaun berkenaan adalah palsu. Untuk makluman, pentadbiran ini hanya mempunyai akaun rasmi yang sah menggunakan nama Kesultanan Pahang di Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube, termasuk portal rasmi yang boleh dilayari di istanapahang.my,” menurut hantaran tersebut.

Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan kewujudan akaun-akaun berkenaan di platform Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube. #sumber


Share:

Pemandu Bas Persiaran Terbabit Kemalangan Maut Di Jalan Genting Highlands Di Tahan Polis

BENTONG: Polis hari ini menahan pemandu bas persiaran yang terbalik dalam kejadian kemalangan maut di Kilometer 16.5 Jalan Genting Highlands di sini.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, penahanan terhadap lelaki berusia 32 tahun itu dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut.

“Tahanan reman telah diperolehi selama empat hari bermula hari ini terhadap pemandu dalam kejadian ini,”katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian kemalangan semalam dua pelancong warganegara China iaitu Zhang Ping, 58, dan Wan Shuhong, 49, maut selepas bas dinaiki mereka terbabas dan melanggar tembok tengah pembahagi jalan di Kilometer 16.5 Jalan turun Genting Highlands.

Seramai 21 mangsa terlibat dalam kemalangan itu melibatkan 18 penumpang warganegara asing dan tiga warganegara tempatan yang terdiri daripada pemandu bas, pembantu dan seorang pemandu pelancong,.

Dalam pada itu Zaiham berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati pemandu bas pesiaran yang terbalik dalam kejadian kemalangan maut itu tidak mempunyai lesen memandu.

Selain itu katanya, pemandu itu juga didapati mempunyai 27 saman lampau yang melibatkan pelbagai jenis kesalahan termasuk tidak memiliki lesen memandu. #sumber

Share:

Persiden UMNO Umum BN Akan Berkerjasama Dengan PH Hadapi Pilihan Raya Umum Ke-16

MARAN: Barisan Nasional (BN) akan terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), kata Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, beliau berkata, BN dan PH akan masing-masing bertanding menggunakan lambang sendiri pada pilihan raya itu nanti.

"Insya-Allah, PRU akan datang kita menggunakan lambang BN. Ini bukan bererti kita lari daripada kesepakatan Kerajaan Perpaduan.

"Maksudnya, PH boleh bertanding menggunakan lambang PH, dan kita bertanding dengan lambang kita tetapi dari segi kerjasama, kita jalinkan.

"Asalkan kawasan yang kita bertanding itu tidak ditandingi mereka, dan kita tidak bertanding di kawasan yang mereka bertanding itu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Maran, Pekan Tajau, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya pula berkata, sejak parti berada dalam Kerajaan Perpaduan bersama PH, belum ada agenda Islam yang diketepikan.

"Saya yang bertanggungjawab menakhodai UMNO (dan) saya akan memastikan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan ini mengikut semua perkara yang termaktub dalam Perlembagaan, menjaga soal Islam, soal Melayu, tidak ada lebih dan tidak ada kurang, noktah. Itulah keyakinan diri kita," katanya.

Mengulas status Parti Progresif Penduduk (MyPPP) yang berasa diketepikan sehingga membuat keputusan tidak turun berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pula, Ahmad Zahid berkata, ia masih antara parti gabungan dalam 'Friends of BN.'

"Kita mengalu-alukan semua... setiap pemimpin parti dialu-alukan untuk mengambil bahagian dan menyumbang usaha. Sekarang ada 11 'Friends of BN' sebagai parti gabungan dalam BN, kita samakan semua. Mereka masih sebahagian daripada 'Friends of BN.'

"Parti komponen empat saja, iaitu UMNO, MCA, MIC dan PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah) sebab perlembagaan BN memaktubkan keputusan untuk menerima mana-mana parti, mesti konsensus 100 peratus... jika ada parti tidak bersetuju, maka kita tidak akan menerima," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan MyPPP membuat keputusan tidak turun berkempen pada PRK DUN Sungai Bakap meskipun sudah turun membantu BN pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu di Selangor.

Pemangku Presiden MyPPP, Datuk Loga Bala Mohan, dipetik berkata keputusan itu dibuat demi maruah parti berikutan pihaknya berasa diketepikan selepas bertungkus lumus membantu BN pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada Mei lalu. #sumber

Share:

Seorang Pelajar Perempuan Maut, Kereta Di Pandu Kakak Terbabas Melanggar Pokok Di Kuantan

KUANTAN: Seorang pelajar perempuan maut selepas kereta dinaiki terbabas melanggar pokok di Batu 11, Jalan Kuantan-Maran berhampiran Perumahan Seri Mahkota di sini pada awal pagi Sabtu.

Dalam nahas jam 3.30 pagi itu, mangsa, Siti Noorbaiti Mohd Yusoff, 20, beralamat dari Taman Alamanda, Bandar Baru Bukit Mentok, Kemaman disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pemandu kereta, Noor Faseha Mohd Yusoff, 25, pula dilaporkan cedera.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta jenis Proton Saga BLM dinaiki dua beradik itu dipercayai dalam.perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Kemaman.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar pokok di bahu jalan.

"Akibat kejadian, mangsa yang berada di kerusi penumpang hadapan mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, pemandu kereta yang cedera di hantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk menerima rawatan dan dirawat di zon kuning.

"Kemalangan meragut nyawa pelajar perempuan itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," jelasnya. #sumber

Share:

Kumpulan Baju Hitam Berhimpun Di Putrajaya Desak PM Anwar Tunaikan Lapan Tuntutan Mereka

PUTRAJAYA: Kira-kira 200 peserta berhimpun di kawasan letak kenderaan pekarangan Kompleks Seri Perdana di sini, menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan lapan tuntutan mereka.

Kumpulan berbaju hitam menerusi perhimpunan Demo Rakyat Lawan Anwar itu mendesak Perdana Menteri menurunkan kembali harga diesel dan tidak menaikkan harga petrol.

Mereka juga menuntut supaya kerajaan pimpinan Anwar mengembalikan bekalan beras putih tempatan dan membenarkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Selain itu, tuntutan lain yang disuarakan mereka ialah menurunkan kos sara hidup, membela nasib kakitangan kesihatan awam, peruntukan sama rata untuk wakil rakyat, menjamin hak kebebasan bersuara dan menghentikan dasar Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) serta menjarah aset negara.

Peserta perhimpunan itu juga membawa sepanduk tertera tuntutan yang diminta mereka selain menyanyi mengucapkan terima kasih kepada polis.

Perhimpunan itu bermula pada jam 4 petang dijangka selesai pada jam 7 petang.

Terdahulu, pekarangan Kompleks Seri Perdana di sini, dikawal ketat anggota dan pegawai polis susulan perhimpunan berkenaan.

Malah, laluan masuk ke kediaman rasmi Perdana Menteri serta kawasan sekitarnya dipasang penghadang selepas Ketua Polis Kuala Lumpur menyatakan perhimpunan berkenaan tidak mendapat kebenaran Perbadanan Putrajaya selaku pemilik tanah.

Media sebelum ini melaporkan perhimpunan dinamakan 'Demo Rakyat Lawan Anwar', tidak mendapat kebenaran Perbadanan Putrajaya (PPj) selaku pemilik lokasi berhimpun.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata polis sudah menasihatkan penganjur tidak meneruskan perhimpunan dijadualkan di tempat letak kereta awam berhadapan Kompleks Seri Perdana, pada jam 4 petang itu kerana tidak mendapat kebenaran pemilik tanah.

Bagaimanapun, penganjur perhimpunan itu akan tetap meneruskannya, meskipun pihak Perbadanan Putrajaya, tidak memberi keizinan untuk berhimpun.

Penganjur yang juga Ketua Penggerak Demi Negara, Aidil Yunus berkata, pihaknya merasakan mereka berhak untuk berhimpun dan tidak menyalahi peruntukan undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012. #sumber

Share:

Polis Bentong Sahkan Pemandu Bas Persiaran Yang Terbalik Di Genting Highland Tiada Lesen

KUANTAN: Polis mengesahkan pemandu bas persiaran terlibat kemalangan di Genting Highland tengahari tidak mempunyai lesen memandu.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, semakan lanjut terhadap pemandu berusia 32 tahun itu juga mendapati dia mempunyai 27 saman lampau atas pelbagai kesalahan trafik.

Dalam kenyataannya, beliau memberitahu, nahas berlaku ketika bas tersebut dalam perjalanan turun daripada pusat peranginan itu terbabas dan melanggar tembok tengah pembahagi jalan di lokasi terbabit.

“Maklumat awal polis mendapati seramai 21 mangsa terlibat termasuk pemandu bas itu. Seramai 18 penumpang warga asing terlibat bersama tiga warga tempatan dan kesemua mereka berjaya dibawa keluar dari bas,” katanya.

Zaiham memberitahu, seramai 13 mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), manakala enam yang lain dibawa ke Hospital Bentong untuk diberi rawatan lanjut.

Dalam nahas itu, katanya dua lelaki warganegara China yang dilaporkan terkorban iaitu Zhang Ping, 58 dan  Wang Shuhong, 49, telah dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat.

Sehubungan itu, Zaiham menyeru mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan. #sumber

Share:

Dua Maut, 19 Cedera, Bas Persiaran Terbabas Lalu Terbalik Dekat Genting Higlands Pagi Tadi


BENTONG: Dua penumpang maut manakala 19 lagi cedera selepas bas persiaran dinaiki terbabas lalu terbalik di Kilometer 16.5, jalan turun dari Genting Highlands,  pagi tadi.

Dua daripada mangsa dilapor tersepit di dalam bas namun disahkan meninggal dunia.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.43 pagi.

Sepasukan bomba dan penyelamat dari BBP Bentong, BBP Genting Highlands dan Unit Kebakaran Genting dikejarkan ke lokasi.

Sejurus tiba, didapati dua penumpang tersepit di dalam bas manakala 19 orang mangsa dibawa keluar dari bas.

Pemeriksaan mendapati bas persiaran tersebut membawa 11 penumpang lelaki dan tujuh wanita warga China.

Manakala tiga lagi mangsa adalah pemandu dan dua pemandu pelancong warga tempatan.

Mayat dua penumpang tersebut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Identiti mangsa belum dikenal pasti.P unca sebenar kejadian masih dalam siasatan. #sumber


Share:

Hari Terbuka MySubsidi Diesel 2.0 KPDN Pahang Dapat Sambutan Daripada Pengusaha Syarikat Pengangkutan

KUANTAN: Ratusan pengusaha syarikat pengangkutan tidak melepaskan peluang bersemuka dengan kakitangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Pahang sempena Hari Terbuka MySubsidi Diesel 2.0, di sini semalam.

Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin berkata, masih ramai yang mahu mendapatkan bantuan semakan permohonan dan khidmat nasihat berkaitan tatacara permohonan subsidi diesel sejak pengumuman pelaksanaan penyasaran subsidi dan pelarasan harga baharu diesel bermula pada 10 Jun lalu.

“Ada pelbagai soalan yang diajukan pengunjung hari ini yang kita cuba bantu. Contohnya, kenapa ada sesetengah permohonan bertindih, nombor pendaftaran kenderaan yang didaftar tersilap, dan sebagainya.

“Jadi, kita akan bantu dan memberi khidmat nasihat. Hari ini juga didapati hampir 100 orang yang baru mendaftar,” katanya kepada media ketika ditemui.

Salah seorang pengusaha, Ramesh A/L Doraraju, 39, memberitahu, dia hadir ke program tersebut setelah dimaklumkan tidak layak untuk membuat permohonan subsidi diesel secara atas talian.

Dia mempunyai empat buah lori bersaiz lima tan dan telah terlibat dalam sektor pengangkutan hasil pertanian sejak tujuh tahun lalu.

“Sebagai pengusaha kecil kenderaan lori, kategori lori saya ni tidak layak dapat subsidi. Jadi, saya nak tahu kenapa tak layak untuk dapat subsidi tu sebab kalau boleh kita nak buat rayuan.

“Tapi program ni memang baguslah untuk rakyat. Kita nak tahu akan datang bagaimana (pelaksanaan), sebab ni baru nak mula kan,” katanya.

Selain KPDN, turut terlibat dalam program hari ini adalah syarikat-syarikat minyak yang membantu menguruskan dan memberi penjelasan berkaitan permohonan kad fleet minyak.

Menurut Mageswaran a/l Mannarkrishnan, 44 yang mempunyai sebuah lori perdagangan, kehadiran wakil syarikat minyak pada program ini juga amat membantunya.

“Saya datang untuk buat ‘fleet card’ untuk lori saya. Sebelum ni buat atas talian, tapi tak lepas dan tak dapat penjelasan. Jadi saya datang sini buat permohonan dan lulus segera untuk buat ‘fleet card’. Saya cuma kena tunggu dalam 14 hari sebelum dapat kad tu,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, permohonan SKDS menunjukkan peningkatan kadar harian yang tinggi setelah pengumuman pelaksanaan penyasaran subsidi dan pelarasan harga baharu diesel.

Tambahnya, KPDN menjangkakan permohonan akan terus meningkat khususnya sehingga 30 Jun ini selaras dengan tarikh akhir pembayaran semula secara tunai kepada penerima SKDS yang masih belum menerima fleet card. #sumber

Share:

RISDA Kenal Pasti 2,000 Hektar Kebun Getah Terbiar Di Pahang Untuk Di Pulihkan Julai Tahun Ini

MARAN: Pihak Berkuasa Kemajuan Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Pahang mengenal pasti 2,000 hektar kebun getah terbiar milik pekebun kecil terbiar di negeri Pahang, untuk dipulihkan pada Julai tahun ini.

Pengarah RISDA Pahang, Muhamad Rizal Ahmad berkata, jumlah yang disasarkan itu adalah daripada keseluruhan 170,000 hektar kebun getah yang masih beroperasi di seluruh negeri itu.

"Setakat ini kita kenal pasti 2000 hektar yang kita cuba pulihkan. Dari segi kaedahnya, program getah terbiar kita bagi bantuan baja, kita juga bagi set alat torehan dan akhirnya memberi manfaat pembersihan kawasan kebun", katanya kepada pemberita selepas Program Pekebun Risda Pekebun kecil Makmur di Kampung Sungai Ling, Maran, Pahang.

Katanya, pelbagai faktor kebun getah terbiar dan tidak ditoreh, antaranya pekebun yang sudah berusia, meninggal dunia dan pemilik telah  berpindah ke kawasan lain.

RISDA Pahang sudah mengenal pasti kebun getah terbiar itu dan projek mengaktifkan semua pengeluarannya akan bermula Julai ini dengan kerjasama pemilik dan waris.

Menurutnya, pekebun menerima bantuan input pertanian seperti peralatan menoreh, baja dan sebagainya menerusi program getah matang itu.

Tambah beliau, pekebun getah yang tidak termasuk dalam senarai pemulihan kebun digalakkan menyertai program itu berikutan harga komoditi itu kini mencecah RM4.30 sekilogram.

RISDA Pahang bertekad usaha pemulihan kebun getah terbiar ini dapat dilaksanakan dengan cekap dan berterusan tanpa ada halangan untuk mengembalikan getah sebagai produk utama negara.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif dilaksanakan RISDA bagi memulihkan kebun getah terbiar itu sekali gus meningkat sosioekonomi rakyat di luar bandar. #sumber

Share:

Empat Mangsa Cedera Dalam Kemalangan Babitk Kenderaan JAKOA Di KM47.3 Lebuhraya KL-Karak

KUANTAN: Empat penumpang dalam kenderaan pacuan empat roda milik Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) cedera selepas terlibat dalam kemalangan dua kenderaan di  Kilometer 47.3 Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (KLK) tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, siasatan awal mendapati, MPV yang dipandu seorang lelaki warga asing di sebelah kiri jalan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Jeli, Kelantan telah bergesel dengan kenderaan JAKOA.

Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut, empat penumpang pacuan empat roda terdiri daripada kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dan tiga perempuan berusia 15 hingga 39 tahun mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Temerloh bagi menerima rawatan.

Manakala kedua-dua pemandu kenderaan yang terlibat tidak mengalami kecederaan.

Zaiham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Terdahulu, tular video rakaman kamera papan pemuka berdurasi 24 saat di media sosial memaparkan sebuah pacuan empat roda berpusing di jalan raya tersebut selepas bergesel dengan sebuah kenderaan lain. #sumber


Share:

CMK Nafi Beliau Telah Menyertai Parti Politik, Masih Begerak Bebas Sebagai Aktivis Masyarakat

CMK Nafi Beliau Telah Menyertai Parti Politik, Masih Begerak Bebas Sebagai Aktivis Masyarakat

KUANTAN: Aktivis masyarakat, Mohd Shukri Mohd Ramli hari ini menafikan dakwaan ramai pihak bahawa beliau telah kembali menyertai parti politik dalam meneruskan perjuangan rakyat yang didokongnya selama ini.

Menurutnya, memang sebelum ini dia ada mengeluarkan kenyataan untuk kembali aktif selepas lebih 13 tahun berehat dari dunia politik. Namun, keputusan tersebut ditangguhkan kerana beliau mahu fokuskan kepada isu membenteras lambakan premis dan penempatan warga asing yang diperjuangkan mutakhir ini.

"Ada yang kata saya telah menyertai UMNO. Malah ada juga mendakwa saya kembali bersama PKR. Semua itu tidak benar dan saya masih bergerak bebas sebagai aktivis masyarakat pada ini.

"Memang ada ura-ura saya nak kembali aktif, namun melihat kepada senario semasa mungkin ia tidak akan menjadi kenyataan.." katanya.

Difahamkan Shukri telah umum undur diri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 11 Januari 2011, selepas lebih 12 tahun berjuang ketika zaman 'Reformasi 98'. Beliau satu-satu bekas pemimpin PKR yang tinggalkan parti namun tidak menyertai lain-lain parti politik.

"Ketika saya buat keputusan pada 2011, memang sayza dah niat untuk menjadi aktivis bebas yang boleh menegur semua permasalahan rakyat tanpa ada sekatan. Sebab itu dua tiga kali saya bertanding bebas iaitu pada PRU-13 di DUN Semambu pada 2013, PRK Parlimen Rompin pada 2015 (tidak berjaya) dan PRK DUN Chini pada 2020.

"Memang pada PRU-15 saya mendapat tawaran daripada beberapa buah parti politk untuk bertanding menggunakan logo mereka, namun saya mengambil keputusan untuk berehat dan menjalinkan kerjasama dengan pemimpin kerajaan di Pahang. Sebab itu saya tak masuk calon pada PRU lalu," tambah beliau lagi.

Dalam pada itu, Shukri yang juga dikenali sebagai CMK @ Blogger Cucumatkilau  menerusi blog peribadinya https://cucumatkilau.blogspot.com berkata beliau tidak menolak kemungkinan akan kembali menyertai politik jika ada tawaran rasmi daripada mana-mana pihak.

Buat masa ini ini katanya dia akan menfokuskan kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang akan ditubuhkan dalam masa terdekat ini. 

"NGO saya lebih menfokuskan kepada perjuangan rakyat marhaen dalam pelbagai isu. Ia terbuka kepada semua individu yang menyokong perjuangan saya selama ini. Orang ramai dipelawa bersama NGO yang akan menjadi mata dan telinga kerajaan dalam menangani isu-isu rakyat di Pahang khasnya dan di Malaysia amnya," kata beliau lagi.

Buat masa ini Shukri aktif dilaman TikTok terutamanya dalam perjuangan isu warga asing (PATI) yang semakin bertimbun menjalankan perniagaan dan membina penempatan dalam negara ini. Boleh follow TikTok beliau di https://www.tiktok.com/@cmk_shukrieramly1. #pahangdaily

Share:

Gagal Hadir Prosiding, Empat Mahkamah Majistret Mengarahkan Waran Tangkap Terhadap Norjuma

KUALA LUMPUR: Empat Mahkamah Majistret di sini hari ini mengarahkan waran tangkap dikeluarkan terhadap bekas personaliti televisyen, Norjuma Habib Mohamed kerana gagal hadir pada prosiding sebutan kes.

Sebutan kes itu berkaitan lima pertuduhan mencederakan tiga individu dan melakukan khianat, tujuh tahun lalu.

Waran tangkap itu masing-masing dikeluarkan oleh Majistret Illi Marisqa Khalizan, Nurul Izzah Shaharuddin, Fatin Dayana Jalil dan Noor Elynna Hanim Abd Halim selepas Norjuma dan penjamin iaitu adiknya tidak muncul dalam kamar mahkamah walaupun nama dan kesnya disebut beberapa kali.

Ketika kesnya disebut di hadapan Illi Marisqan, Timbalan Pendakwa Raya Hamizah Hisan memohon waran tangkap selepas Norjuma tidak muncul selepas kesnya disebut sebanyak tiga kali.

"Sekarang sudah jam 11.21 pagi namun tertuduh, penjamin mahupun peguamnya tidak muncul dan saya memohon waran tangkap dikeluarkan," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 26, 29, 30 Julai serta 2 Ogos ini untuk sebutan waran tangkap.

Terdahulu, kelibat usahawan tudung berusia 44 tahun itu sempat dirakam oleh lensa kamera petugas media yang menunggunya seawal jam 8.30 pagi.

Norjuma dilihat hadir bersendirian memandu kereta berwarna hitam kira-kira jam 10.30 pagi, namun tidak memasuki petak parkir berhampiran kompleks mahkamah yang digunakan oleh orang awam.

Sebaliknya, usahawan selebriti itu terus meletakkan kenderaannya di tangga pintu utama kompleks menyebabkan pihak keselamatan mahkamah memintanya mengalihkan kenderaan ke tempat yang disediakan.

Norjuma kemudian berpatah balik ke keretanya sambil melambai tangan kepada petugas media sebelum dilihat beredar dari kompleks mahkamah.

Pada 25 April lalu, usahawan tudung itu mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan mencederakan tiga individu dan melakukan khianat.

Mengikut pertuduhan pertama, bekas personaliti televisyen itu didakwa menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Afiq Ismail, 34, di premis perniagaan di Menara Atlan, Jalan Ampang di sini pada jam 8.43 malam, 21 Februari 2017.

Mengikut pertuduhan kedua, dia didakwa menyebabkan kecederaan dengan menendang betis kaki kiri seorang pengawal keselamatan lelaki warga Nepal, Neupane Tika Ram di sebuah pusat tuisyen di Bukit Damansara di sini pada jam 3 petang, 29 Mac 2018 lalu.

Bagi pertuduhan ketiga, dia dituduh menyebabkan kecederaan dengan cara menampar pipi dan mencakar tangan Nur Solehah Rosli, 31, di sebuah kondominium di Wangsa Maju pada jam 10.30 pagi, 18 Oktober 2021.

Tiga pertuduhan ini dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda mencecah RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi dua lagi kes mengkhianat, wanita itu didakwa merosakkan palang keluar masuk kenderaan dan CCTV milik sebuah kondominium, dengan anggaran kerugian berjumlah RM4,700 di Taman U-Thant di sini, pada jam 7.44 dan 7.45 malam, 28 Julai 2023.

Kes dibuat Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua duanya, jika sabit kesalahan. #sumber

Share:

Sabrina Dakwa Tiga Pertuduhan Menduduki Tanah Kerajaan Tanpa Kebenaran Terhadapnya Berniat Jahat

KUANTAN: Presiden Persatuan Perlindungan Warisan Semula Jadi Malaysia (PEKA), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil menegaskan tiga pertuduhan terhadapnya yang didakwa menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran dibuat secara mala fide (niat jahat).

Aktivis alam sekitar itu berkata demikian dalam notis usulnya untuk menggugurkan tiga pertuduhan jenayah itu di Mahkamah Tinggi Temerloh dua hari lepas.

Pada 15 Mac 2022, Shariffa Sabrina dibicarakan di Mahkamah Sesyen Raub terhadap tiga pertuduhan kerana menduduki tanah kerajaan negeri tanpa kebenaran di atas tiga lot tanah di daerah itu. Kesalahan itu didakwa dilakukan pada Jun tahun sebelumnya.

Tanah terlibat didakwa dijadikan resort dan untuk aktiviti perniagaan oleh Tanah Aina Fareena Cafe & Restaurant, Tanah Aina Fahad Glamping Resort dan Tanah Aina Farrah Soraya Exclusive Eco Resort.

Shariffa Sabrina mendakwa pihak pendakwaan gagal mempertimbangkan bahawa mahkamah tinggi Temerloh telah membatalkan keputusan pejabat daerah dan tanah Raub (bertarikh 17 feb 2022) yang menolak permohonan Tanah Aina menduduki tanah sementara itu.

Aktivis alam sekitar berusia 62 tahun itu berkata pertuduhan itu cacat kerana pihak pendakwaan mengetahui status tanah berkaitan Tanah Aina, sekali gus melanggar Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara 1965 (KTN).

Shariffa Sabrina mendakwa responden (pihak pendakwaan) mempunyai pengetahuan bahawa permohonan dan kelulusan terdahulu bagi lesen pendudukan sementara adalah dipohon dan diluluskan di atas nama Tanah Aina Sdn Bhd dan bukan olehnya.

Dia menegaskan bahawa pertuduhan itu cacat kerana seksyen 428AA KTN jelas menyatakan bahawa sekiranya suatu kesalahan dilakukan oleh sesebuah syarikat, syarikat tersebut seharusnya dituduh dan bukannya pengarah syarikat sahaja.

"Tindakan Responden untuk memilih untuk memfailkan pertuduhan- pertuduhan tersebut terhadap Pemohon sahaja dan bukannya Tanah Aina Sdn Bhd jelas menunjukkan ‘mala fide’ Responden untuk memprejudiskan hak asasi Pemohon seperti yang diperuntukkan di bawah Fasal 5 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Menerusi notis usul yang dilihat Malaysiakini, dia memohon tiga pertuduhan jenayah itu digantung secara kekal dan sebagai alternatif untuk ia dibatalkan.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 425(1)(a) KTN yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun.

Shariffa Sabrina yang dibenarkan diikat jamin diwakili oleh peguam dari firma guaman Raj & Sach. #sumber

Share:

Zailah Yusof: Dewan Muslimat Sasar Untuk Tarik Anak Jemaah Dalam "Misi PAS Teraju Pahang"

TEMERLOH: Penglibatan anak muda khasnya dalam kalangan anak-anak ahli PAS perlu berada dalam jemaah sejajar dengan misi parti memerlukan ramai  teknokrat dan profesional pada masa depan.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, ia sebagai langkah strategik selain penglibatan golongan profesional dalam Dewan Muslimat yang menjadi penyumbang utama untuk merealisasikan "Misi PAS Teraju Pahang".

“Anak-anak kita yang profesional perlu bersama dengan kita supaya mereka ini akan mampu menjadi pelapis pemimpin yang berwibawa untuk meneruskan perjuangan kita yang tidak bertepi.

“Usrah dan tarbiah dalam PAS boleh membentuk mereka menjadi mukmin yang kuat dalam mengurus tadbir negara dengan baik,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut Siti Zailah, parti menuju ke arah usaha mentadbir negeri dan negara dan memerlukan ramai teknokrat dan tenaga profesional dan kepakaran dalam pelbagai bidang.

Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat PAS negeri, Salamiah Mohd Nor berkata, tarbiah Islamiah dapat membentuk seseorang menjadi mukmin yang beramal soleh dan bertaqwa kepada Allah.

”Seorang mukmin perlu juga memberi sumbangan kepada Islam, berjihad di jalan Allah tanpa sebarang bayaran. Inilah pengorbanan yang ikhlas sehinggalah pengorbanan tersebut Allah memberikan bantuan pertolongan kemenangan,” ujarnya.

Ahli Parlimen Temerloh itu berpendapat muslimat perlu berperanan menyebarluaskan aktiviti-aktiviti dan pencapaian prestasi yang baik dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen PAS di media sosial. #sumber

Share:

Datuk Putera Tun Abdul Mubin Shah Di Lantik Jadi Ketua Kontinjen SUKMA Pahang Ke Sarawak

KUANTAN: Datuk Tun Putera Abdul Mubin Shah Munir dilantik Ketua Kontinjen Sukan Malaysia (Sukma) Pahang ke Sukma Sarawak 2024 yang dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos depan.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal, berkata pelantikan itu dipersetujui sebulat suara pada Mesyuarat Lembaga Pengurus Majlis Sukan Pahang.

"Pemilihan Tun Putera Abdul Mubin Shah selepas mengambil kira kepakaran beliau dalam bidang sukan termasuk sebagai Presiden Persatuan Ragbi Negeri Pahang.

"Selain itu hubungan yang baik beliau dengan atlet sukan di negeri ini serta pegawai MSP serta masih aktif dalam sukan ragbi dan juga sukan lain.

"Berdasarkan pengalaman itu, saya mencadangkan kepada Lembaga Pengurus MSP dan sebulat suara bersetuju Tun Putera Abdul Mubin Shah dilantik sebagai Ketua Kontinjen Sukma Pahang," katanya.

Justeru, Fadzli berkata, segala persediaan sedang dilaksanakan untuk memastikan kontinjen Pahang mencapai sasaran lima kedudukan terbaik dengan pencapaian membawa pulang 40 pingat emas pada temasya sukan kali ini.

"Di Sukma Sarawak, Pahang menyenaraikan 603 atlet, #sumber

Share:

Jabatan Imigresen Pahang Hantar Pulang 72 PATI Warga Indonesia Ke Negara Asal Sabtu Lalu

KUANTAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang menghantar pulang 72 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ke negara asal pada Sabtu lalu.

JIM Pahang dalam satu kenyataan menerusi Facebook rasminya memaklumkan kesemua PATI yang dihantar pulang terdiri 56 lelaki, 14 wanita dan dua kanak-kanak perempuan.

Menurut kenyataan itu, proses penghantaran menggunakan jalan laut melalui Terminal Feri Berjaya Waterfront, Stulang Laut, Johor.

"Kesemua PATI yang dihantar pulang adalah tahanan dari Depot Imigresen Kemayan, Bera yang telah selesai menjalani hukuman atas pelbagai kesalahan termasuk di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, program pemindahan PATI dikendalikan Depot Imigresen Kemayan itu merupakan sebahagian dari aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan secara berterusan oleh JIM Negeri Pahang.

Terdahulu juga melalui hantaran di Facebooknya, JIM Pahang turut memaklumkan pihaknya menahan 18 PATI kerana disyaki masuk dan bekerja di negara ini secara haram hasil serbuan ke atas beberapa premis sekitar daerah ini, Rabu lalu.

Menurut kenyataan itu, sepanjang operasi Ops Sapu dan Ops Selera itu, seramai 53 individu diperiksa dan 18 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Tambah kenyataan itu, PATI yang ditahan berusia 22 hingga 51 tahun terdiri enam warga Myanmar, Bangladesh (5), Pakistan (4), Indonesia (1), Yamen (1) dan Syria (1).

"Serbuan dijalankan pasukan operasi dianggotai 16 pegawai itu dijalankan hasil maklumat awam tentang keberadaan PATI yang disyaki bekerja secara haram.

"Semua tahanan direman selama 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 di Depot Imigresen Kemayan untuk siasatan lanjut," kata kenyataan itu.

JIM Pahang dalam kenyataan itu turut memaklumkan pihaknya juga sedang mengesan pemilik premis terlibat bagi membantu siasatan.

"Orang ramai diminta tampil menyalurkan maklumat berkaitan keberadaan PATI di lokaliti masing-masing bagi membantu pihak berkuasa membanteras isu kebanjiran golongan itu di negeri ini.

"Tindakan perundangan yang tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap PATI dan mana-mana pihak yang menggaji serta memberi perlindungan kepada mereka," kata kenyataan itu. #sumber

Share:

Kereta 'Terlipat' Dua, Pemandu Wira Maut Akibat Tersepit Lepas Rempuh Pencawang Elektrik

PEKAN: Seorang lelaki maut selepas kenderaan jenis Proton Wira yang dipandu dipercayai terbabas sebelum merempuh sebuah tiang elektrik di Simpang Runchang, Chini, dekat sini pada Rabu.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chini dalam satu kenyataan berkata, panggilan kecemasan mengenai kejadian diterima pukul 12.53 tengah hari.

Bomba tiba di lokasi kejadian dan mendapati sebuah Proton Wira melanggar tiang pencawang elektrik dipercayai terbabas.

Saksi kejadian turut berkongsi rakaman di laman sosial dengan keadaan kereta terbabit dilihat hancur remuk akibat rempuhan tersebut.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat seorang lelaki dewasa Melayu telah tersepit di bahagian pemandu.

"Mangsa telah disahkan maut oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan anggota bomba bertindak mengeluarkan mayat dengan menggunakan peralatan khas," kata BBP Chini dalam kenyataan pada Rabu. #sumber

Share:

Sultan Pahang Berkenan Berangkat Untuk Merasmikan Pusat Alami Cytopeutics Di Cyberjaya

CYBERJAYA: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat merasmikan Pusat Alami Cytopeutics di sini pada Rabu.

Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera.

Pusat Alami Cytopeutics dibuka untuk menambah pengetahuan saintifik kepada orang ramai khususnya golongan muda dalam penyelidikan bidang perubatan.

Selain itu, ia bertujuan memberi inspirasi untuk berinovasi dalam bidang bioteknologi berasaskan sel dan gen terapi bagi mencari rawatan alternatif baharu untuk penyakit yang masih belum ada penawar.

Al-Sultan Abdullah dalam titah perasmian menzahirkan rasa kagum dan berharap pusat itu memberi impak besar kepada rakyat Malaysia dalam bidang bioteknologi agar kefahaman mengenainya dapat dijelaskan dan diperluas dengan lebih terperinci.

"Ini juga adalah satu usaha atau 'game changer' (pengubah keadaan) bagi mana-mana mereka yang berusia lebih 65 tahun ke atas untuk hidup lebih sihat," titah baginda.

Jangan untuk elit saja

Sultan Pahang turut berharap agar kejayaan yang bakal dicapai pada masa akan datang tidak meminggirkan kelompok marhaen.

"Bantulah mereka yang memerlukan khususnya golongan yang kurang berkemampuan dan ini sekali gus dapat membina kumpulan rakyat yang lebih sihat.

"Jangan semata-mata (rawatan) untuk kumpulan elit sahaja, jadikan ia sebagai sumber perubatan bagi semua pihak.

"Semoga terus maju dan dikenali hingga peringkat dunia seterusnya dapat melahirkan lebih ramai saintis dan pakar dalam bidang ini," titah baginda.

Sementara itu, sel stem mesenkimal tali pusat manusia daripada Cytopeutics atau hUC-MSC adalah yang pertama diiktiraf sebagai stem halal di dunia dan Cytopeutics juga merupakan kumpulan pertama di Asia yang telah memperoleh pelbagai paten Amerika Syarikat untuk rawatan sel stem mesenkimal. #sumber

Share:

Program MADANI Rakyat Zon Timur Bermula Pada 5 hingga 7 Julai Di Dataran Sayangi Kuantan

PUTRAJAYA: Program MADANI Rakyat 2024 bagi Zon Timur merangkumi Pahang, Terengganu dan Kelantan akan diadakan di Dataran Sayangi Kuantan, Pahang, selama tiga hari bermula 5 Julai ini.

Program MADANI Rakyat dianjurkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan kerajaan Pahang.

Sekretariat Program MADANI Rakyat dalam kenyataan hari memaklumkan program tersebut merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Disember tahun lepas.

"Program ini diteruskan ke peringkat negeri mengikut zon bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk bersama-sama memahami, melihat dan menilai dasar serta inisiatif baharu yang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI dalam usaha meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat," menurut kenyataan itu.

Sekretariat program itu memaklumkan Program MADANI Rakyat Zon Timur memberi tumpuan kepada aktiviti berkaitan kesejahteraan rakyat, agenda perpaduan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan karnival kerjaya, pelancongan, pertanian dan keterjaminan makanan, kesejahteraan luar bandar serta pameran dan perkhidmatan berhubung pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan kecerdasan buatan (AI).

Turut diberi tumpuan ialah pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh agensi kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri berkaitan.

Selain itu, Jualan MADANI yang menawarkan potongan harga dan tawaran istimewa serta pameran aset-aset kerajaan turut disediakan untuk pengunjung.

Menurut kenyataan itu program berkenaan turut melibatkan kolaborasi strategik syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan pihak swasta.

Program MADANI Rakyat merupakan wadah untuk masyarakat mendapatkan perkhidmatan secara langsung daripada kementerian dan agensi di peringkat kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri,di samping memberi peluang kepada masyarakat umum mengemukakan pandangan dan cadangan penambahbaikan mutu perkhidmatan kerajaan.

Program seperti ini juga dapat mewujudkan saluran komunikasi berterusan antara masyarakat dengan kerajaan, sekali gus memperkukuhkan hubungan dalam usaha membina negara yang lebih sejahtera selaras dengan agenda Malaysia MADANI.

Majlis perasmian Program MADANI Rakyat Zon Timur bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 6 Julai dengan dihadiri pemimpin tertinggi kerajaan Persekutuan dan negeri.

"Orang ramai dijemput untuk bersama-sama memeriahkan Program MADANI Rakyat Zon Timur pada 5 hingga 7 Julai ini bermula 9 pagi hingga 10 malam," menurut kenyataan itu. #sumber

Share:

55,000 Pengguna Di Kuantan Alami Gangguan Air Bermula Jam 9.00 Pagi Hingga 5.00 Petang Esok

KUANTAN: Kira-kira 55,000 pengguna air di daerah ini bakal terjejas susulan kerja-kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menjejaskan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Panching pada Selasa.

Pengurus Daerah Kuantan, Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Noor Izwan Bahudin berkata, gangguan itu dijadualkan berlaku kira-kira jam 9 pagi sehingga 5 petang pada hari berkenaan.

Menurutnya, kawasan terlibat ialah, Jalan Kuantan Bypass termasuk Permatang Badak, Kampung Pandan, Sungai Isap, Taman Bukit Rangin, Kampung Bukit Rangin, Kampung MPK, Kampung Chendering, Taman Desa Mesra dan kawasan sekitar.

"Seterusnya, Jalan Kuantan - Gambang termasuk Taman Sepakat, Kampung Batu Tiga, Tanah Putih, Kampung Razali Batu 3, Kampung Kurnia, Kampung Belukar, Kampung Sac, Kuipsas, Kampung Air Hitam, Sri Damai, Jaya Gading, Taman Guru, Taman Rasau Perdana, Kampung Teluk Mahang, Taman Tas, Taman Tas Ria, Pandan Damai dua, Pandan Jaya, Kampung Lubuk Puyu dan kawasan sekitar," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Turut terjejas kampung Seri Fajar, Kampung Mahkota, Taman Seriku, Taman Seri Mahkota Aman, Taman Mahkota Permai dan Kem Batu 10, Universiti Malaysia Pahang serta kawasan sekitar.

Selain itu, di Taman Inderapura, Taman Sri Damai Makmur, Taman Indera Sempurna, Inderapura Jaya, Perumahan Prima Penor Utara Jaya, PP1AM Indera Sempurna, Rumah Kanak - Kanak Hajah Kalsom dan Kampung Seri Melati juga mengalami gangguan.

Kawasan Kampung Batu Putih, Kampung Soi, Kampung Kempadang, Kampung Pahang dan Taman Berjaya Permai, Kampung Sepat, Kampung Pak Mahat, Bandar Putra, Tanjung Lumpur, Sungai Belat, Kampung Penor, Penjara Penor, Kampumg semangat, Ubai, Cheruk Paloh serta kawasan berhampiran.

Noor Izwan memaklumkan seluruh Felda Panching Timur, Panching Utara, Panching Selatan, Kampung Pasir Kemudi, Kampung Ah Tong dan sekitar kawasan sekitar mengalami gangguan. #sumber

Share:

Pelajar UiTM Jengka Maut Motosikal Langgar Kereta Keluar Simpang Depan Balora Mastika

MARAN: Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Jengka maut selepas motosikal jenis Yamaha R250 ditunggangnya melanggar sebuah kereta di simpang hadapan Balora Mustika Jengka di sini malam semalam.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata, kejadian kira-kira pukul 9.15 malam itu berlaku ketika mangsa, Ahmad Imran Aiman Md Mubin, 23, dalam perjalanan dari arah UiTM Kampus Jengka menghala ke bandar Jengka.

“Apabila sampai di tempat kejadian tiba-tiba sebuah kereta jenis Nissan Sylphy keluar dari simpang sebelah kanan sebelum dilanggar oleh motosikal ditunggang mangsa yang bergerak lurus.

“Akibat kejadian penunggang motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu dan penumpang kereta mengalami kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mohamad Zamri, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.

Dalam pada itu katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan giat dilakukan.

Katanya, siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah simpang tiga dengan sistem jalan dua lorong satu hala dan kawasan kejadian mempunyai lampu jalan. #sumber

Share:

Majlis Bandaraya Kuantan Sahkan 'Bonggol' Yang Di Tularkan Sejak Semalam Bukannya Di Kuantan

KUANTAN: Sususlan Tular satu hantaran di laman sosial memaparkan bonggol tinggi seakan tembok didakwa telah mengakibatkan kerosakan beberapa buah kereta di Kuantan, Pahang.

Hantaran dimuat naik pada Sabtu itu meraih kecaman pelbagai pihak yang meluahkan kemarahan terhadap binaan bonggol yang dikatakan tidak mematuhi spesifikasi sepatutnya.

Namun, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) mengesahkan situasi itu bukan berlaku di negeri terbabit.

Hasil semakan dijalankan mendapati, bonggol terbabit adalah di Terengganu.

Jelasnya, sekiranya bonggol seumpama itu di bawah selenggaraan MBK, tindakan memecahkan bonggol tersebut akan diambil namun jika bukan di bawah selenggaraan MBK, pihak MBK akan menyalurkan perkara terbabit kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), menurut laporan Kosmo.

Dalam pada itu, komen warganet rata-ratanya menggesa agar bonggol terbabit diperbaiki semula mengikut spesifikasi dan keselamatan sepatutnya.

"Tak ikut speksifikasi ni, JKR pun sarankan ketinggian sekitar 75mm je, kalau lebih boleh tercampak motosikal waktu malam," kata Dinas.

"Daripada niat asal nak kekang orang tunggang laju tapi ni dah jadi niat membunuh," ujar KingOfTheKing.

"Jangan buat gurau bonggol besar tembok macam ini, boleh meninggal orang dibuatnya kalau kereta melambung langgar bonggol tinggi, sepatutnya dibuat mendatar sikit," jelas NurDhizaul.

Namun, masih belum ada sebarang  kenyataan rasmi berhubung isu tersebut dan lokasi sebenar di Terengganu juga belum diketahui setakat ini.#sumber

Share:

PAS Pahang Buat Persiapan Awal, Adakan Jelajah PN Teraju Pahang Untuk Hadapi PRU-16

KUANTAN: PAS Pahang membuat persediaan awal untuk mentadbir kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang menerusi Jelajah Perikatan Nasional (PN) Teraju Pahang.

Pengarah Pilihan Raya PN Pahang, Hamdan Abdullah berkata, jelajah pertama dilakukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jenderak pada 26 Mei lalu dan diteruskan hingga tarikh PRU16 diumumkan.

Menurutnya, atas semangat demokrasi dan keperluan untuk menambah baik kualiti pengurusan pentadbiran kerajaan negeri, PAS Pahang sentiasa mempertingkatkan kekuatan parti dari pelbagai sudut sokongan dan dukungan.

"Hal ini termasuklah kekuatan profesionalisme dari pelbagai bidang kepakaran dan kemahiran pengurusan bagi persediaan untuk mentadbir kerajaan negeri pasca PRU16 akan datang.

"Keperluan PN untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri adalah suatu prioriti yang tinggi kerana kedudukan orang Melayu dan kekuatan ekonomi mereka tidak pernah bertambah maju di Pahang ini sepanjang UMNO/BN menguasai urus tadbir kerajaan.

"Kini, ia menjadi semakin mendesak kerana UMNO/BN telah mengkhianati slogan hidup Melayunya dengan bersekongkol bersama DAP bagi membentuk kerajaan, sedangkan PAS yang mempunyai sejumlah 15 kerusi DUN ditolak begitu sahaja demi meraih kuasa," katanya lagi.

Ujarnya, PAS Pahang dengan penuh iltizam yang tinggi akan menggembleng seluruh kekuatannya termasuk aspek profesionalisme.

Jelasnya, ia terdiri daripada sumber manusia yang mempunyai pelbagai kepakaran bakal memaksimakan sokongan daripada pihak massa dan seluruh peringkat jentera parti bagi bersiap sedia sebagai kerajaan negeri Pahang selepas PRU16.

Tambah beliau, Jabatan Pilihanraya PAS Pahang bersama PN Pahang telah bersiap siaga untuk memenangi sekurang-kurangnya 30 kerusi DUN dalam PRU16 akan datang demi menghasilkan satu urus tadbir yang lebih baik daripada UMNO-DAP sekarang ini terutamanya berkaitan urusan tanah, cukai tempatan, kebajikan dan perpaduan rakyat.

"BN yang dahulu dan kini UMNO-DAP akan sentiasa dihadapi oleh PAS di Pahang kerana matlamat perjuangan Islam yang syumul gagal ditunaikan oleh BN dahulu, apatah lagi kini yang semakin gagal di bawah UMNO-DAP.

"Berdasarkan penelitian kami, UMNO dilihat akan terus ditolak oleh penduduk tempatan akibat terus menzalimi rakyat apabila peruntukan kepada rakyat disekat, malahan bekerjasama pula dengan DAP dalam urus tadbir negeri yang majoriti Melayu Islam," tegasnya.

Ujarnya, masih belum terlambat untuk UMNO Pahang memikirkan segera berkenaan survival politik mereka dengan mengorak langkah laju ke hadapan untuk mengutamakan kepentingan rakyat keseluruhannya.

Jelasnya, ia boleh dilaksanakan dengan berlaku adil kepada semua Ahli Dewan Negeri yang dipilih secara demokrasi serta merombak persefahaman mereka bersama DAP.

"Gesaan ini dikhususkan kepada Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pahang.

"Sama ada beliau bersikap mengutamakan survival UMNO atau tetap berkeras dengan memperjudikan masa depan politik sempitnya, natijahnya akan diterjemahkan oleh rakyat Pahang pada PRU16, iaitu UMNO Pahang direhatkan dari terus mengurus tadbir negeri Pahang ini yang telah hampir 70 tahun di tangan UMNO.

"Sudah tiba masanya rakyat Pahang membuat anjakan paradigma dengan menukar kerajaan daripada UMNO-DAP kepada PAS-PN secara amalan demokrasi pilihanraya pada PRU16 akan datang," kata beliau lagi. #sumber

Share:

Projek Pembalakan Gagal, Syarikat Pembinaan Tuntut RM4.35 Juta Daripada Yayasan Pahang

KUANTAN: Sebuah syarikat pembinaan memfailkan satu kes ke atas Yayasan Pahang dan sebuah syarikat lain di Mahkamah Tinggi Temerloh dekat sini bagi menuntut RM4,358,000 kerana didakwa gagal memeterai satu projek pembalakan di Kuala Lipis.

Mengikut pernyataan  tuntutan bertarikh 24 Mei lalu, wang sebanyak RM4,358,000 telah dibayar oleh syarikat pembinaan tersebut kepada yayasan bagi pihak Kiara Sepakat Holdings Sdn. Bhd.

Peguam mewakili syarikat pembinaan tersebut, Muhammad Irfan Abdullah daripada Tetuan Irfan Aiman mengesahkan perkara berkenaan.

”Bayaran RM4,358,000 tersebut melibatkan keseluruhan bayaran penuh bagi fasa satu projek pembalakan tersebut namun permohonan Kiara Sepakat Holdings Sdn. Bhd. untuk mendapatkan kawasan pembalakan di Kuala Lipis tersebut telah ditolak oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.

”Selepas daripada itu, tiada kemajuan di dalam projek pembalakan tersebut yang menyebabkan syarikat pembinaan tersebut ingin mendapatkan kembali wang yang telah dibayar oleh mereka kepada Yayasan Pahang,” katanya.

Beliau berkata sebelum ini YP dan Kiara Sepakat telah diberikan tempoh selama tujuh hari untuk membuat bayaran tersebut kepada anak guam mereka tetapi tiada sebarang respons mahu pun bayaran diterima oleh anakguam mereka daripada Yayasan Pahang dan Kiara Sepakat.

“Bila tiada bayaran, arahan anak guam kami supaya memfailkan tuntutan terhadap Yayasan Pahang dan Kiara Sepakat di mahkamah,” tambahnya.

Difahamkan Yayasan Pahang diwakili Tetuan Rizal Hashim sebagai pihak defendan. #sumber

Share:

Pihak Berkuasa Negeri Tidak Pernah Lulus Permohonan Pengeluaran Hasil Tanaman Di Kampung Kawah

KUANTAN: Pihak Berkuasa Negeri tidak pernah memberi sebarang kelulusan ke atas permohonan pengeluaran hasil tanaman (tapping right) di tanah milik kerajaan di kawasan Kampung Kawah, Sungai Lembing di sini termasuk kepada Pertubuhan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (PPNP).

Menurut kenyataan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuantan, walaupun terdapat beberapa permohonan ‘tapping right’ di atas tanah tersebut namun ia masih lagi diproses di PDT Kuantan dan belum mendapat sebarang kelulusan daripada Pihak Berkuasa Negeri.

“Merujuk kepada kenyataan (di dalam media) “wujud dokumen urusan antara PPNP dengan kerajaan negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan” tidak bermaksud pihak PPNP boleh mengusaha tanah tersebut dan PPNP juga tertakluk kepada Kanun Tanah Negara bagi mendapatkan kelulusan daripada Pihak Berkuasa Negeri sebelum dapat mengusahakan mana-mana tanah.

“Ini bermaksud pihak PPNP telah melakukan pencerobohan tanah kerajaan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828) kerana menduduki tanah kerajaan tanpa sebarang kelulusan daripada Pihak Berkuasa Negeri,” kata kenyataan itu hari ini.

Sebelum itu, media melaporkan, dua individu daripada Pertubuhan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (PPNP) ditahan dalam satu operasi selepas disyaki meneroka secara haram tanah Kerajaan Negeri di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, PPNP dalam satu kenyataan di Sinar Harian mendakwa dalam operasi berkenaan wakil PPNP telah menunjukkan dokumen permohonan ‘tapping right’ yang dikeluarkan PDT Kuantan serta laporan polis untuk rujukan pihak berkuasa berkenaan urusan yang dijalankan, bukan melakukan pencerobohan seperti kenyataan yang dikeluarkan.

Sehubungan itu juga, PDT Kuantan menafikan aduan pihak PPNP berkenaan arahan mencabut, merobohkan dan memusnahkan segala binaan yang terdapat di dalam Kawasan tanah kerajaan berkenaan.

“Susulan daripada siasatan awal ini, PDT Kuantan telah mengeluarkan notis di bawah Seksyen 425, Kanun Tanah Negara (Akta 828) kerana menduduki tanah kerajaan secara tidak sah pada 7 Jun 2024. Notis tersebut antara lain mengarahkan supaya pihak PPNP untuk mencabut dan merobohkan segala binaan yang dibina oleh pihak PPNP. PDT Kuantan telah memberikan tempoh selama 14 hari dari tarikh notis tersebut kepada PPNP supaya merobohkan binaan yang dibina oleh pihak PPNP dan meninggalkan kawasan tersebut.

“Pada 20 Jun 2024, PDT Kuantan telah dimaklumkan bahawa seorang pegawai daripada PPNP bernama Ishak bin Ismail, telah membuat satu aduan polis pada 12 Jun 2024 di Balai Polis Panching, daerah Kuantan. Di dalam aduan tersebut ada dimaklumkan bahawa pihak PPNP telah mendapat arahan daripada PDT Kuantan supaya mencabut, merobohkan dan memusnahkan segala binaan yang terdapat di dalam kawasan tersebut.

“Sehubungan itu, PDT Kuantan dengan ini menafikan sekeras-kerasnya mengenai aduan yang dibuat oleh Ishak bin Ismail mengenai arahan di atas. Arahan yang dikeluarkan hanyalah untuk mencabut, merobohkan dan memusnahkan segala binaan yang dibina oleh pihak PPNP sahaja iaitu melalui notis tersebut. Laporan polis juga telah dibuat mengenai penafian ini bertarikh 20 Jun 2024,” menurut kenyataan berkenaan.

Menurut kenyataan tersebut, PDT Kuantan telah menerima satu aduan daripada Penghulu Mukim Ulu Kuantan pada 6 Jun 2024 mengenai pencerobohan tanah kerajaan yang telah dilakukan oleh pihak PPNP di Kampung Kawah, Sungai Lembing.

“Pasukan penguatkuasa PDT Kuantan telah menjalankan siasatan awal di tapak dan mendapati satu bangunan iaitu satu pondok pengawal keselamatan telah dibina di atas tanah kerajaan tanpa sebarang kelulusan daripada Pihak Berkuasa Negeri. Selain itu, terdapat juga binaan pagar palang besi yang bertujuan bagi mengawal penutupan lalu-lalang yang dipercayai dibina oleh pihak PPNP,” katanya. #sumber

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.