script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Panas: Peminat Marah PBNP Haramkan Elephant Army


 Jika benar perkara ini berlaku, PBNP tidak boleh melihat sebelah mata sebaliknya menilai peranan EA dalam membangkitkan semangat penyokong lain di dalam stadium. Pada saya, PBNP harus menghargai jasa EA yang tidak pernah luntur memberi sokongan kepada skuad Tok Gajah tanpa mengira di mana beraksi kerana semangat mereka tidak ada pada penyokong lain. Mereka sanggup berhujan demi memberi sokongan moral kepada anak buah Ketua Jurulatih Pahang, Dollah Salleh malah turut membakar semangat penyokong lain. Sehubungan itu, saya menyeru pihak PBNP menyelesaikan masalah yang timbul dengan berhemah dan kedua-dua belah pihak boleh berbincang demi kebaikan semua. #sumber
Share:

Anwar Gesa Pertemuan Pakatan Rakyat Dengan BN !!


PETALING JAYA - Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengusulkan supaya satu perbincangan diadakan di antara Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) bagi mencari titik penyelesaian isu-isu nasional. Beliau, dalam satu ucapan perutusan Hari Kemerdekaan memaklumkan parti itu sedia mengenepikan perbezaan yang wujud ‘demi kepentingan dan masa depan negara’. “Kami percaya adalah penting bagi Perdana Menteri untuk segera mengadakan pertemuan meja bulat di antara kerajaan BN dan PR bagi tujuan mencari penyelesaian isu-isu yang berbangkit,” kata Anwar di ibu pejabat PKR pada Jumaat. Menurutnya sambutan Hari Kemerdekaan mestilah mengambil kira perkara-perkara yang baik yang telah dilakukan dan bukannya dengan mengulangi kesilapan masa lampau. Jelas Anwar meskipun Pakatan Rakyat mendapat undi majoriti rakyat serta menentang keras keputusan PRU13, namun mereka bersedia mengadakan perbincangan tersebut . “Antara topik-topik yang akan dibincangkan ialah isu kaum dan agama yang mencetuskan ketegangan akhir-akhir ini, masalah ekonomi negara yang semakin merudum dan masalah jenayah yang semakin membimbangkan rakyat di seluruh negara,” kata ketua umum PKR itu. Tambahnya lagi, perbincangan tersebut akan menyentuh tata kelola pemerintahan yang bersih dan bebas dari unsur-unsur rasuah serta pembasmian rasuah. Sementara itu, Anwar menafikan perbincangan tersebut adalah bagi tujuan membentuk sebuah kerajaan perpaduan. #sumber
Share:

Shahaniza: Wanita Perlu Bijak Jaga Keselamatan Diri !


KUANTAN  - Kaum wanita di negeri ini diingatkan supaya lebih bijak menjaga keselamatan diri memandangkan golongan itu sering menjadi sasaran penjenayah. Pengerusi Jawatankuasa Wanita dan Masyarakat, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, mereka perlu mengelak daripada keluar bersendirian pada waktu tidak sepatutnya kerana cara itu boleh mengundang risiko pada diri sendiri. "Kadang-kadang kita lihat sesuatu jenayah itu berlaku berpunca daripada kita sendiri. Contohnya, kejadian jenayah boleh berlaku melalui kegilaan terhadap komunikasi dan menyalurkan informasi peribadi melalui laman sosial. "Kegilaan memuat naik lokasi di mana mereka berada melalui laman-laman sosial seperti Foursquare, Twitter dan Facebook akan mengundang penjenayah menjejaki mereka. Golongan ini check-in setiap minit. Di mana mereka pergi, di mana mereka berada, rumah ditinggalkan kosong, semua akan dimuat naik," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. Katanya, para pengguna laman sosial tersebut tidak menyedari bahawa penjenayah sentiasa memantau pergerakan mangsa dalam keadaan seperti ini. Menurutnya, wanita juga selalu ditipu lelaki kononnya pasangan mereka di alam siber. "Apa yang mengejutkan, yang tertipu ialah mereka yang berpelajaran. Oleh itu, saya menasihatkan mereka lebih berhati-hati dan bijak mengatur hidup untuk berfikir tentang keselamatan masing-masing," ujarnya. #sumber
Share:

Khazanah Ekosistem Pulau Tioman Akan Di Pelihara !!


ROMPIN - Khazanah ekosistem Pulau Tioman akan terus dipantau bagi memastikan pulau yang mempunyai pelbagai spesies hidupan marin dan batu karang di dasar laut itu terpelihara. Bagi mencapai matlamat itu, Jabatan Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang (JPKNP), Jabatan Taman Laut, Villagers Travel and Tours, para penyelam skuba dan pelbagai agensi kerajaan serta swasta bergabung tenaga membersihkan kawasan batu karang di beberapa kawasan sekitar Pulau Tioman daripada ancaman tapak sulaiman. Pengarah JPKNP, Idros Yahya berkata, usaha itu dijalankan secara bersepadu antara beberapa agensi kerajaan menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) melibatkan sukarelawan dan para pelancong. "Program ini akan dijadikan acara tahunan bagi memastikan kawasan daratan dan juga dasar laut Pulau Tioman sentiasa bersih supaya generasi akan datang dapat menikmati keindahan batu karang dan hidupan marin yang unik. "NBOS yang melibatkan para sukarelawan terdiri daripada para penyelam dan pelancong merupakan kerjasama baik dan patut diteruskan dalam usaha memelihara keindahan pulau ini," katanya. Beliau berkata demikian selepas melupuskan sebanyak 147 tapak sulaiman yang ditangkap kakitangan Jabatan Taman Laut dan penyelam berhampiran Taman Laut Kampung Tekek, di sini baru-baru ini. #sumber
Share:

Cara Qadha Puasa Di Tinggalkan Beberapa Tahun Lalu

Share:

Selamat Hari Kemerdekaan Dari Pahang Daily Online !!


Seorang suri rumah, Siti Zuraina Ariff menghiasi laman rumahnya dengan bendera-bendera Malaysia sempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 di Indera Mahkota, Kuantan semalam. Selamat Hari Kemerdekaan dari Pahang Daily Online. #sumber
Share:

Kes Altantuya Boleh Burukkan Malaysia Di Mata Dunia


TEMERLOH - Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menganggap pembebasan Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar daripada pertuduhan membunuh Altantuya Shaariibuu oleh Mahkamah Rayuan semalam sebagai episod malang dalam sejarah perundangan negara. Ketua DPPM Ustaz Nasrudin Hassan berkata, ini berikutan kes jenayah berprofil tinggi itu menjadi perhatian antarabangsa dan boleh menjadi bahan ketawa akibat kecacatan kes dan menimbulkan tanya. Katanya, serentak dengan itu DPPM melalui Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi (Juham) akan terus memantau kes ini termasuk menggalakkan keluarga si mati sendiri membawa kes pembunuhan tersebut ke mahkamah. “Ada dua kesan selepas keputusan kes ini iaitu pertama imej buruk terhadap Malaysia pada kaca mata antarabangsa kerana melibatkan warga Monggolia dan ada kaitan dengan Peranchis. “Kedua, andaian masyarakat iaitu jika jenayah berprofil tinggipun tertuduh yang sudah sabit kesalahan boleh dilepaskan hakim kerana penyiasatan dan pendakwaan banyak kecacatan, maka tidak mustahil jenayah akan terus berleluasa kerana penjenayah tak takut lagi,” katanya. Tambahnya andaian yang sedang diperkatakan secara sinis oleh warga siber pada ketika ini ialah ‘Altantuya masuk ke dalam hutan dan meletupkan dirinya sendiri dengan bom C4’ kerana tiada pembunuhnya dan tidak dapat dijejak orang yang mengarahkan pembunuhan tersebut. Ahli Parlimen Temerloh itu berkata demikian ketika ditemui di rumah terbuka ‘Eidulfitri Pusat Komuniti Parlimen Temerloh bau-baru. Kira-kira 8,000 penduduk daripada pelbagai bangsa hadir memeriahkan majlis anjuran PAS tersebut. #sumber
Share:

Penduduk Hairan Projek Dewan Di Henti Setahun Lalu !


JENGKA  - Penduduk tanah rancangan ini mula mempersoalkan tindakan pihak berkenaan yang memberhentikan kerja-kerja pembinaan Dewan Semai Bakti Jengka 17 yang sepatutnya siap Ogos tahun lalu. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kebajikan Rancangan (JKKR), Yusuf Arshad berkata, kerja-kerja pembinaan dihentikan sejak empat atau lima bulan yang lalu menyebabkan hasrat penduduk untuk menggunakan dewan berkenaan terbantut. “Pekerja yang membuat dewan itu datang jarang-jarang. Ada yang datang seorang atau dua, tapi tak buat apa-apa kerja pun. “Banyak lagi yang belum siap seperti pemasangan wayar elektrik, memasang tar di perkarangan dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian. Tambahnya, lebih mengecewakan apabila melihatkan dewan di tanah rancangan lain sudah membuat majlis perasmian dewan mereka selain sudah boleh digunakan untuk membuat sambutan Hari Raya. “Kami juga mahu membuat majlis besar di dewan ini, namun melihatkan perkembangan dewan yang sehingga kini seperti tiada pergerakan, kami mula berasa runsing. “Kami harap mereka yang bertanggungjawab menyempurnakan dewan tersebut dapat menjalankan tugas mereka, sekali gus menyiapkan dewan itu secepat mungkin,” katanya. Menurutnya, sebelum ini dia pernah tidak berpuas hati dengan pembinaan lantai dewan justeru meminta pihak bertanggungjawab membaikinya semula. “Kita tidak tahu apakah punca sebenar kelewatan menyiapkan dewan terbabit. Kita harap mereka yang bertanggungjawab ini kembali menyambung tugas mereka yang sepatutnya siap setahun yang lalu,” katanya. #sumber
Share:

Tiga Beranak Nyaris Maut, Rumah Terbakar Di Rompin !


ROMPIN - Tiga beranak nyaris maut apabila rumah mereka di Janglau, di sini, terbakar dalam kejadian jam 5 petang, kelmarin. Bagaimanapun tindakan pantas orang ramai berjaya menyelamatkan pasangan suami isteri warga emas itu, Hussin Lera, 93, dan Asmah Awang Ahmad, 68, serta anak lelaki mereka, Mohd Sabri Hussin, 40-an. Saksi kejadian berkata, api marak begitu cepat, namun keberanian beberapa pemuda masuk ke dalam rumah berjaya menyelamatkan semua mangsa daripada rentung. Seorang pekerja kontrak, Mohd Aznin Fadzli, 21, berkata, semasa kejadian dia berada di sebuah kedai berhampiran untuk mengisi minyak motosikal. “Tiba-tiba saya nampak orang berlari minta tolong kerana ada rumah terbakar. Tuan punya kedai kata, ada orang tua dalam rumah itu tidak mampu berjalan, jadi saya terus berlari ke sana untuk menyelamatkan mereka,” katanya. Mohd Aznin yang dalam perjalanan pulang bekerja dari Tanjung Gemok ke Sungai Puteri melecur sedikit di bahagian tangan semasa cuba menyelamatkan mangsa. “Masa saya masuk ke dalam rumah itu, saya nampak seorang makcik sedang duduk di ruang tamu dan saya terus dukung dia bawa keluar. “Kemudian saya masuk semula untuk bantu bawa pakcik yang tidak mampu berjalan itu keluar. Dia berat, jadi tidak boleh dukung seorang diri. Anaknya sebelum itu telah dibawa keluar oleh orang lain," katanya. Kesemua mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Tanjung Gemok untuk rawatan kerana masing-masing dikatakan mengalami lecur. Seorang penduduk, Rodziah Abdullah, 53, berkata, ketika kejadian dia sedang bermesyuarat di balai raya sebelum ternampak asap tebal, lalu menghubungi bomba dan polis.  #sumber
Share:

Ejen Jual Surat Khabar Di Ragut Pelanggan Di Pekan !!


PEKAN - Rutin pagi seorang ejen surat khabar dan majalah, di sini, bertukar detik cemas apabila nyaris diragut seorang lelaki yang menyamar sebagai pelanggan, awal pagi Selasa lalu. Ding Kai Kiw, 63, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6 pagi apabila seorang lelaki yang menunggang motosikal berhenti di tepi kedainya dan berpura-pura bertanya mengenai surat khabar. Menurutnya yang lebih mesra dipanggil Connie, lelaki berkenaan kemudian meletakkan motosikal di tepi kedainya selepas dimaklumkan lori yang menghantar surat khabar belum sampai. “Lelaki itu berusia lingkungan 20-an, berbadan agak gempal dan berketinggian sederhana. Dia pakai topi keledar dan beritahu saya sudah pergi ke terminal bas Pekan untuk beli surat khabar, tetapi tiada dan datang ke kedai saya sebelum ke tempat kerja. “Saya sangka dia adalah pelanggan saya, namun tidak dapat mengenal pasti wajahnya berikutan keadaan gelap awal pagi dan suami pula (Ha Kwan Meng, 65) waktu itu berada di dalam bilik air,” katanya kepada Sinar Harian. Connie berkata, lelaki itu kemudiannya cuba mengintai stor simpanan surat khabar dan majalah di tepi kedai sebelum kembali ke motosikalnya selepas dilarang masuk ke stor berkenaan. “Saya meneruskan kerja menyemak senarai langganan surat khabar dan majalah, manakala lelaki tersebut hanya berdiri di tepi motosikalnya dan memberitahu mahu menunggu surat khabar sampai.“Tidak lama kemudian, secara tiba-tiba beg pinggang berisi sedikit wang tunai dan kad pengenalan yang saya pakai direntap dengan kuat menyebabkan saya jatuh terduduk di atas batu kaki lima kerana cuba menarik semula beg saya itu,” katanya. Menurutnya, walaupun jatuh terlentang, lelaki tersebut masih cuba menarik begnya sebelum melarikan diri dengan motosikalnya apabila dia menjerit minta tolong. #sumber
Share:

Warga Emas Terkejut Barang Hilang RM1,700 Di Pulang


MARAN - Seorang warga emas tidak menyangka dompet yang berisi dokumen penting dan wang tunai berjumlah RM1,700 yang hilang Ahad lalu diperolehinya semula. Bapa kepada tiga anak yang menetap di Paka, Terengganu itu, Zainuddin Mohd Lani, 60, berkata, dompet yang hilang ketika dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Paka dikembalikan seorang peniaga jam berbangsa Cina di bandar ini. Menurutnya, selepas dua hari tinggal di rumah saudara bagi membantu urusan kenduri perkahwinan, dia sekeluarga singgah di Rehat dan Rawat (RnR) Temerloh untuk berehat dan makan, kira-kira jam 10.30 malam hari kejadian. “Mungkin sebaik memasuki kereta selepas ke tandas, dompet ini terjatuh di hentian rehat tersebut. “Saya hanya menyedari kehilangan dompet itu apabila sampai di rumah memandangkan makan minum dan bayaran tol dibayar anak saya. “Memang saya runsing dan hati tidak tenang sepanjang malam memikirkan di mana dompet itu tercicir selain wang tunai yang ada di dalamnya adalah untuk perbelanjaan bulan ini,” katanya. Zainuddin berkata, dua hari kemudian, dia dihubungi peniaga itu yang mendapatkan nombor telefon rumahnya berdasarkan alamat di kad pengenalan melalui talian direktori Telekom Malaysia. Menurutnya, khabar gembira yang diterima itu membuktikan masih ada insan yang jujur walaupun berlainan bangsa dan agama apabila sedia memulangkan beg dompet tersebut. Sementara itu, peniaga terbabit, Woon Pok Lum, 62, berkata, dia menjumpai dompet berkenaan di kawasan tempat letak kereta hentian RnR Temerloh pada jam 11.30 malam hari kejadian. “Saya faham, hati kita mesti susah dan tidak tenteram jika kehilangan dompet kerana ada dokumen peribadi dan lebih teruk kalau hilang wang yang banyak,” katanya. #sumber
Share:

Mak Nyah Juga Terlibat Perarakan Hari Kemerdekaan !


KUANTAN – Sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 mempunyai keunikan tersendiri pada perbarisan yang diadakan turut disertai 12 ormak nyah bagi mewakili Drug Intervention Community (DIC) Malaysia Pahang. Timbalan Presiden DIC Pahang, Abd Rahim Abd Hamid berkata, penyertaan itu sebagai satu usaha mengubah persepsi orang ramai kepada golongan tersebut sering dipandang serong dan dihina. Lebih malang katanya, ada yang menganggap golongan ini tidak patut ada dalam masyarakat dan bertindak memukul mereka sehingga cedera parah. "Sudah sampai masa kita mengubah persepsi terhadap golongan ini yang dianggap sampah masyarakat. “Kita yang dilahirkan normal perlu tampil membentuk mereka menjadi insan yang sempurna," katanya. Oleh itu kata Abd Rahim, pembabitan dalam perbarisan sempena kemerdekaan itu nanti sebagai platform untuk golongan mak nyah bergaul dengan masyarakat dan bukan berhubung antara mereka sahaja. Beliau berkata demikian ketika majlis raptai penuh perbarisan sempena Hari Kebangsaan ke-56 di Padang Majlis Perbandaran Kuantan 2, dekat sini, semalam. Katanya, dengan kerjasama yang diberikan terbukti mereka masih boleh dibimbing. “DIC yakin mereka masih lagi boleh diselamatkan dan diajak untuk kembali ke pangkal jalan," katanya.Dalam pada itu, katanya, sempena sambutan ini dapatlah mereka mengenal erti kemerdekaan dan rata-rata kelihatan bersemangat dan inginkan perubahan dalam kehidupan mereka. #sumber
Share:

Pemilihan UMNO, Saifuddin Pasti Bakal Jadi Mangsa !!


TEMERLOH - Gelora pemilihan UMNO tahun ini terus terasa bahangnya ke segenap peringkat. Di Pahang paling hangat diperkatakan ialah nasib dan masa depan politik bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah. Ini kerana beliau yang menyandang kerusi Timbalan Ketua UMNO Bahagian Temerloh, bakal bertembung dengan seorang ahli jawatankuasa UMNO  paling berpengaruh di sini iaitu Datuk Akbar VV Abu kali ini. Akbar, 51, seorang ahli perniagaan dan Naib Pengerusi Persatuan Bolasepak Pahang, sudah tentu tidak tampil bersendirian kerana beliau selama ini dilihat sebagai ‘orang kuat’ Ketua Bahagian UMNO  sendiri iaitu Datuk Mohamad Sharkar Shamsudin. Sharkar juga ialah Timbalan Pengerusi UMNO Negeri Pahang dan merupakan Exco Kerajaan Negeri. Sebelum ini sudah terdengar desas-desus mengatakan terdapat usaha ‘orang-orang’ Sharkar cuba menyekat Saifuddin daripada melangkah ke hieraki parti yang lebih tinggi. Saifuddin bertanding pertama kali pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dan menang sebagai Ahli Parlimen Temerloh. Bintangnya cerah apabila terus dilantik sebagai timbalan menteri. Kemudian menang pula jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, pada pemilihan 2009. Namun kekalahan Saifuddin pada PRU13 kepada calon PAS, Nasruddin Hassan sekali gus gagal mempertahankan kerusi Parlimen Temerloh, dilihat seolah-olah menjadi isyarat untuk melenyapkan kerjaya politik bekas Pengerusi Majlis Belia Malaysia (MBM) itu. Dari segi keperibadian, Saifuddin kelihatan amat disenangi penduduk Temerloh. Apatah lagi beliau juga mudah mesra dengan pemimpin Pakatan Rakyat setempat. Namun beberapa kenyataan Saifuddin ada kalanya dianggap kontroversi oleh UMNO  kerana dilihat senada dengan pembangkang. Kesempatan ini telah dieksplotasi oleh kalangan UMNO  Temerloh untuk memburukkan beliau. Kerana tidak mudah bagi orang UMNO  untuk menerima seseorang yang berfikiran terbuka. Baca selanjutnya di SINI
Share:

"Siti" Bantu Pindahkan Seekor Gajah Liar Di Telemong !


TELEMONG - Operasi memindahkan seekor gajah jantan liar yang ditangkap di hutan berhampiran Ladang Tuan dekat sini, lancar dengan bantuan dua gajah denak iaitu Kala dan Siti. Gajah jantan liar dengan anggaran berat 2.9 tan dan berusia 20 tahun itu dibawa keluar melalui jalan balak sejauh 1.5 kilometer dari tempatnya ditangkap ke kenderaan khas. Pengarah Perhilitan Negeri, Khairiah Mohd Shariff berkata, gajah itu berjaya ditangkap Isnin lalu llebih kurang jam 11 pagi.Katanya, susulan aduan penduduk, pihaknya turun padang ke kawasan itu dan berjaya menangkap gajah liar yang dipercayai sudah hampir dua tahun berkeliaran di situ serta memusnahkan tanaman penduduk.  “Walaupun berjaya menangkapnya, namun pihak kami terpaksa mengambil dua hari untuk membuat persediaan membawa keluar gajah itu termasuk membersihkan laluan bagi memudahkan pergerakan. “Pada hari ini (semalam) seramai 15 kakitangan Perhilitan dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (NECC) Kuala Gandah terlibat dalam operasi membawa keluar gajah liar itu bermula jam 9 pagi dan berakhir kira-kira 2 petang,” katanya. Turut turun padang ialah Ketua Unit Gajah Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Nasaruddin Othman ; Pengurus Ladang Tuan, S Puavan dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baru (JKKKB) Manchis, Lee Ah Kow. Khairiah berkata, sepanjang proses memindahkan gajah liar itu, pelbagai aspek perlu diambil perhatian bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini. Katanya, operasi memindahkan gajah itu merupakan kali kelima tahun ini dijalankan di negeri ini. #sumber
Share:

Warga Emas Terselamat, Keretanya Tiba-Tiba Terbakar !


KUANTAN - Seorang warga emas terselamat selepas berjaya melarikan diri apabila enjin kereta dipandunya berasap sebelum terbakar, petang kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, Kapten (B) Ahmad Abdullah, 67, dalam perjalanan balik ke rumahnya di Kampung Bukit Pelindung dengan memandu kereta jenis Perdana V6 Exclusive. Menurutnya, kereta terpakai dibelinya enam bulan lalu itu pernah rosak dipercayai berpunca daripada bateri. “Saya baru sahaja ambil kereta ini dari bengkel di Jalan Wong Ah Jang kerana dikatakan mengalami masalah bateri. Namun sebaik tiba di kawasan rumah, saya lihat asap keluar daripada bahagian enjin sebelum terbakar,” katanya ketika ditemui di sini. Ahmad berkata, sebaik melihat api makin marak, dia menjerit meminta tolong dan jirannya menghubungi bomba dan penyelamat. Bagaimanapun, dia bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun sedih dengan kejadian itu. Sementara itu, Pegawai Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Ubi, Nazaruddin Malek berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 4.56 petang dan tiba di tempat kejadian kira-kira 10 minit kemudian bersama 11 anggota. Menurutnya, api berjaya dikawal dalam masa kurang 10 minit. “Jumlah kerugian dianggarkan RM23,000 dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya. #sumber
Share:

Perubahan Aliran Trafik Di Kuantan Kini Semakin Baik !!


KUANTAN - Keadaan trafik lalu lintas di bandar ini nampak semakin baik dan lancar selepas lebih sebulan perubahan dilakukan oleh pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK). Kini, orang ramai dilihat mula nampak selesa dengan keadaan jalan, tidak seperti di awal perubahan tersebut. Tinjauan krew PDO di lokasi terpilih petang semalam mendapati keadaan kesesakan jalanraya juga nampak agak berkurangan. Banyak jalan-jalan sehala kini kembali diubah menjadi dua hala. Hanya beberapa jalan sahaja yang masih dikekalkan termasuk Jalan Tun Ismail dari persimpangan lampu isyarat Jalan Bukit Ubi berhampiran Hotel Green Leaf hingga ke persimpangan Jalan Beserah selepas Berjaya Megamall. Apapunm, keadaan jalan keihatan tenang dan lancar. Sementara itu jelas dapat dilihat rungutan dan kritikan daripada orang ramai kini kian berkurangan terutamanya di laman sembang sosial Facebook, Twitter dan sebagainya. Warga Kuantan kini mula sedar betapa perlunya perubahan jalanraya itu dilakukan. Berbagai tuduhan liar terhadap Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) juga dilihat semakin berkurangan. Apa yang jelas, perubahan jalanraya yang dilakukan itu adalah untuk keselesaan rakyat dan bukannya untuk mendera mereka seperti yangd laporkan oleh sesetengah pihak. Justeru, warga Kuantan digesa menghentikan kritikan panas mereka demi kesejahteraan semua pihak. Perubahan ada kalanya terpaksa diakukan di waktu puncak kerana ia boleh memudahkan pihak berkenaan memantau keperluan pada masa akan datang. Semua pihak harus bersabar.
Share:

Surau Kontroversi Di Sedili Besar Di Robohkan Pemilik !


KOTA TINGGI - Surau di sebuah resort di Sedili Besar yang digunakan sekumpulan penganut agama Buddha untuk ritual pada 10 Ogos lalu hingga mencetuskan kemarahan umat Islam, akhirnya dirobohkan oleh pengurusan resort berkenaan pada Rabu. Menurut salah seorang pekerja resort berkenaan, Mohd Kanang Abdullah, 29, diadiarahkan oleh pemilik resort tersebut supaya melakukan kerja-kerja meroboh surau berkenaan. "Kerja-kerja meroboh dimulakan pada pukul 9 pagi semalam dengan menggunakan sebuah jentolak. Kerja ini kita akan sambung esok," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini. Sementara itu, tinjauan mendapati hanya tinggal 20 peratus struktur binaan itu iaitu bahagian hadapannya yang belum dirobohkan. Sebelum ini Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) mengarahkan pihak pengurusan resort berkenaan supaya merobohkan surau tersebut. Arahan pada 20 Ogos dikeluarkan melalui notis itu memberikan tempoh 21 hari kepada pemilik resort untuk meroboh premis berkenaan. Jika gagal pemiliknya boleh dihadapkan ke mahkamah atau menanggung kos merobohkannya jika ia dilakukan oleh Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT). #sumber
Share:

Guna Langkah Bersepadu Tangani Gores Dan Menang


KUANTAN - Satu langkah bersepadu akan digunakan oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pahang dalam mengambil tindakan terhadap penganjur gores dan menang di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Imigresen Pahang dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Menurut beliau, langkah demikian diambil berikutan sikap penganjur yang berani memeras ugut masyarakat dalam mengaut keuntungan walaupun tiada tawaran hadiah lumayan disediakan. Lebih mengejutkan katanya, pihak terbabit menggunakan khidmat tenaga pekerja asing sebagai tarikan terbaharu dalam memujuk mangsa supaya menyertai peraduan tersebut. "Kerajaan negeri memandang berat terhadap tindakan yang dilakukan penganjur terbabit. Berdasarkan aduan diterima, ada mangsa diperangkap, diugut dan dikurung untuk menjelaskan bayaran tertentu sebelum mereka dibebaskan. "Lebih malang rata-rata mangsa membabitkan golongan peneroka dan pesara termasuk dari negeri jiran Kemaman, Terengganu apabila berkunjung ke bandar Kuantan," katanya dalam sidang akhbar di pejabat PPDNKK negeri di sini baru-baru ini.#sumber
Share:

Wujudkan Modal Insan Seimbang Di Peringkat Sekolah


JERANTUT  - Aktiviti luar bilik darjah seperti perkhemahan pasukan beruniform merupakan salah satu aktiviti yang digalakkan sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun menengah. Program tersebut bukan sahaja mampu membuka minda pelajar sekolah, malah turut dijadikan medium menangani stres ketika sesi pembelajaran di dalam bilik darjah. Dalam masa sama, cara itu merupakan salah satu aktiviti menyokong saranan Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahukan kegiatan kokurikulum melibatkan program luar bilik darjah diperluaskan. Sehubungan itu, seramai 67 pelajar dan murid menyertai Perkhemahan Pengakap Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran (PPKIBP) Peringkat Daerah di Sekolah Kebangsaan Felda Kota Gelanggi 2 di sini baru-baru ini. Perkhemahan yang berlangsung selama tiga hari itu disertai 16 pelajar sekolah menengah dan 51 murid sekolah rendah bersama 25 guru pengiring. Kem Komander perkhemahan, Mohd. Hafizal Teng Abdullah berkata, perkhemahan tersebut diadakan bertujuan menyahut seruan Kementerian Pendidikan bagi mewujudkan modal insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani melalui penyertaan dalam bidang kokurikulum. "Kita juga ingin memberi pendedahan dan pengalaman kepada ahli pengakap PPKIBP yang belum pernah terlibat dengan perkhemahan, di samping memupuk semangat kerjasama di dalam kumpulan. "Selain itu, kita mahu mereka berdikari dan mempunyai keyakinan diri seperti pelajar di arus perdana melalui aktiviti yang diadakan sepanjang perkemahan ini," katanya. #sumber
Share:

Hari Kemerdekaan: Tiga Pendaki Ketuai Bacaan Ikrar !!



KUANTAN - Tiga pendaki dari negeri ini yang mencatat sejarah menawan Gunung Everest awal tahun ini akan mengetuai bacaan ikrar dalam sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 peringkat negeri di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 1 di sini, Sabtu ini. Pengerusi Jawatankuasa sambutan, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, pemilihan ketiga-tiga pendaki tersebut yang merupakan anak peneroka Felda dibuat bagi menghargai jasa mereka mengharumkan nama negara dan Pahang. “Pemilihan Mohd. Nasuha Shamsudin, Muhammad Hafizuddin Ibrahim dan Myrza Fasha Md. Hamyrudin dilakukan kerana sumbangan mereka mengharumkan nama negara menawan puncak gunung tertinggi di dunia. “Kejayaan ketiga-tiga anak muda itu dapat dikongsi bersama rakyat negeri ini, selain menjadi penyuntik semangat kepada generasi muda lain untuk berusaha gigih mencapai kejayaan," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan raptai perbarisan dan persembahan di sini hari ini. Seramai 7,500 peserta menyertai sambutan itu dengan melibatkan 101 kontinjen dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenaan berangkat menghadiri sambutan tersebut. Beliau berkata, perbarisan kali ini turut menampilkan kelainan apabila sebanyak 112 imam dari seluruh negeri turut menyertainya dan lintas hormat oleh pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka menjadi daya penarik sambutan itu. Shafik Fauzan berkata, dua skrin gergasi disediakan bagi memudahkan pengunjung menyaksikan semua aktiviti sama ada perbarisan atau persembahan yang diadakan pada hari tersebut. “Satu persembahan pantomin turut diadakan yang pasti meninggalkan kesan kepada pengunjung tentang pengorbanan pasukan keselamatan dalam mempertahankan tanah air sesuai dengan tema sambutan tahun ini iaitu ‘Malaysiaku Berdaulat, Tanah Tumpahnya Darahku’," katanya. #sumber
Share:

154 Penuntut Yayasan Pahang Mesir Pulang Minggu Ini

KUANTAN  - Sebanyak 154 penuntut tajaan Yayasan Pahang (YP) yang menuntut di Mesir akan pulang ke tanah air minggu ini secara berperingkat berikutan pergolakan yang berlaku di negara tersebut. Pengurus Besarnya, Datuk Sa'ariah Saad berkata, 10 penuntut pula akan pulang minggu depan selepas selesai urusan pensijilan mereka yang akan memudahkan golongan itu untuk meneruskan pengajian di sini. Katanya, penuntut Pahang yang melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar boleh mengambil ujian tersebut di tanah air pada 3 hingga 5 September ini hasil rundingan Kementerian Pendidikan dengan pihak universiti di sana. "Penuntut di sana berada dalam keadaan baik, malah segala aktiviti yang dilakukan berjalan seperti biasa. "Keputusan kerajaan membawa pulang penuntut terbabit adalah tepat kerana melibatkan soal keselamatan dan kebajikan yang nyata membawa kelegaan kepada ibu bapa terbabit," katanya di sini hari ini. Menurutnya, seramai 763 penuntut Pahang melanjutkan pengajian di Mesir melibatkan penuntut tajaan YP, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan persendirian. #sumber
Share:

Kes Curi Kabel: TM Pahang Mendakwa Rugi RM2.8 Juta


KUANTAN - Telekom Malaysia Berhad (TM) Pahang mencatatkan kerugian berjumlah RM2.8 juta ringgit tahun ini akibat kecurian kabel yang berlaku di seluruh negeri ini. Pengurus Besar TM negeri, Md. Rasidin Kadak berkata, dari Januari hingga Julai lalu, sebanyak 669 kes kecurian dilaporkan berlaku yang menyaksikan peningkatan 200 peratus iaitu 288 kes dalam tempoh sama tahun lalu. Menurutnya, kerugian itu dicatatkan selepas mengira kos pemasangan dan penggantian kabel yang dicuri di negeri ini. "Pihak kami telah mengadakan kerjasama dengan polis, Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) bagi membendung masalah kecurian tu dan setakat ini berjaya membuat lapan tangkapan membabitkan 13 individu," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri TM di sini baru-baru ini. Dalam majlis itu beliau menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim, fakir miskin, warga emas dan ibu tunggal yang tinggal di daerah ini. Md. Rasidin berkata, selain itu pihaknya juga mengambil beberapa inisiatif bagi mengekang kes kecurian dengan memasang alat pengesan dan pemasangan kabel bawah tanah. Beliau memberitahu, Kuantan dan Temerloh mencatatkan bilangan kes kecurian tertinggi berbanding daerah lain dan secara keseluruhan Pahang merupakan antara lima negeri tertinggi berhubung kes tersebut. Dalam pada itu, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM80,000 bagi melaksanakan tanggungjawab sosial dengan RM50,000 diserahkan kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) dan selebihnya diberikan kepada golongan asnaf. "Tahun ini, TM Pahang menyampaikan sumbangan berjumlah RM200,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Orang Kaya Haji Ali, Lipis dan berharap dapat membantu meningkatkan tahap pendidikan mereka di situ," ujarnya. #sumber
Share:

Tanggungjawab Bersama Jaga Kebersihan Pulau Tioman


PULAU TIOMAN - Penduduk Pulau Tioman dan pelancong perlu mempunyai tanggungjawab bersama menjaga kebersihan pulau tersebut bagi mengelak daripada masalah penularan penyakit kencing tikus atau leptospirosis. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Datuk Johari Hussain berkata, penduduk tempatan dan pelancong yang bercuti ke pulau itu dinasihatkan tidak membuang sampah di merata tempat terutama sia makanan yang boleh mengundang kehadiran tikus. Menurutnya, penyakit itu boleh mengundang bahaya sehingga membawa maut kerana wabak tersebut merebak melalui aliran darah. ''Kebersihan di Pulau Tioman seperti di kawasan pantai dan air terjun bukan sahaja penting memastikan keselamatan kesihatan penduduk dan pelancong, tetapi memastikan imej pulau ini sebagai antara 10 pulau tercantik dapat dipelihara. ''Jika berlaku kematian akibat penyakit tersebut secara tidak langsung boleh menjejaskan industri pelancongan dan akhirnya merugikan penduduk yang bergantung kehidupan harian daripada sektor itu," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Pembasmian Tikus di Kampung Air Terjun Asah di sini baru-baru ini. Kempen tersebut disertai beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Pelancongan negeri, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Pulau Tioman, para penyelam yang menyerai program Merdeka Dive dan penduduk kampung. Beliau berkata, walaupun belum ada kematian yang dicatatkan tentang penyakit itu, tetapi para penduduk diminta sentiasa mengekalkan kebersihan demi kebaikan bersama. ''Tahun ini tiada kematian dilaporkan berlaku, namun pada tahun lalu terdapat satu kematian dicatatkan akibat terkena jangkitan tersebut di Rompin," katanya. #sumber
Share:

RM300,000 Lagi Bagi Projek Tambahan i-City Jerantut


JERANTUT  - Majlis Daerah Jerantut (MDJ) memperuntukkan sebanyak RM300,000 untuk projek tambahan di Taman Pesiaran I-City di bandar ini tahun ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Datuk Lau Lee berkata, projek itu akan menaik taraf beberapa kemudahan seperti wakaf, lorong pejalan kaki, buaian besar dan kawasan permainan kanak-kanak. "Projek ini sebahagian mercu tanda dan landskap baharu untuk menarik orang ramai yang singgah di bandar ini selari dengan aspirasi MDJ mewujudkan bandar selamat serta bersih di negeri ini," katanya di sini baru-baru ini. Katanya, pengunjung perlu menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah di merata-rata tempat dalam usaha mewujudkan suasana selesa untuk beriadah sekali gus sebagai tarikan baharu kepada pelancong luar. #sumber
Share:

Masum: Seramai 145 Orang Atlet UMP Bakal Berentap


KUANTAN - Seramai 145 atlet Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyertai Karnival Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia 2013 (Masum) yang sedang berlangsung sehingga Jumaat ini di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Selangor. Kejohanan kali ini menyaksikan universiti ini mengambil bahagian dalam 11 acara sukan iaitu petanque, badminton, taekwando, bola keranjang, sepak takraw, pencak silat, bola baling, bola jaring, bola tampar, karate-do dan futsal. Majlis penyerahan bendera universiti disempurnakan oleh Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim kepada wakil kontinjen lelaki, Zikrul Hakim Mohd. Zahid dan Nik Hafiza Azhar mewakili kontinjen wanita dalam majlis yang berlangsung di Dewan Tun Fatimah, Kompleks Pentadbiran UMP Gambang di sini baru-baru ini. Daing Nasir berkata, dengan semangat kesukanan yang tinggi beliau percaya UMP mampu bersaing dalam karnival tersebut di samping memelihara imej dan nama baik universiti itu. Menurutnya, menang atau kalah adalah adat pertandingan, namun diharapkan para atlet menyahut cabaran dengan menunjukkan kesungguhan sepanjang kejohanan tersebut. "Pihak pengurusan UMP sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan sukan di universiti melalui inisiatif yang digerakkan oleh Pusat Sukan UMP," katanya. Dalam pada itu Pegawai Kanan Belia dan Sukan UMP, Aznorizamin Ismail berkata, karnival tersebut untuk memupuk semangat setia kawan dan mengeratkan silaturahim antara penuntut universiti dari seluruh negara. Katanya, sukan itu menjadi platform yang dapat merealisasikan hasrat UMP melahirkan lebih ramai penuntut yang aktif dan berdaya saing. "Dengan gelaran baharu iaitu The U Elephant berbanding dahulu UMP Sharks, diharapkan dapat meningkatkan semangat para atlet UMP untuk membawa pulang kejayaan," ujarnya. #sumber
Share:

PSDC Melatih Seramai 1,500 Peserta Ikuti Skim Insep !


KUANTAN  - Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang (PSDC) telah melatih seramai 1,500 peserta yang mengikuti Skim Latihan Kemahiran Industri (Insep) sehingga Julai lalu. Pengarah Eksekutifnya, Khairur Rizal Ramli berkata, skim itu merupakan matlamat kerajaan dalam mendidik, melatih dan membangunkan modal insan dalam kalangan pelatih yang berjaya menamatkan pengajian. "Menerusi program itu, mereka mempelajari beberapa kemahiran tambahan sebagai pelengkap peribadi sebelum memasuki alam pekerjaan. "Antara aspek yang ditekankan adalah membina keyakinan diri, semangat kerja berpasukan, pembentukan suasana kerja kondusif, memahami budaya kerja organisasi, pekerja cemerlang dan kemahiran berkomunikasi serta kepimpinan," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Sijil Program Orientasi Minda Profesional Insep membabitkan 59 pelatih di sini baru-baru ini. Menurut Khairur Rizal, Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) memperuntukkan sebanyak RM50 juta untuk program bertujuan membantu menyediakan latihan kemahiran kepada para graduan yang terdiri daripada lulusan ijazah dan diploma. Katanya, program yang dikenali sebagai Skim Latihan Graduan di bawah Pembangunan Sumber Manusia tersebut mula diperkenalkan sejak 2002 sebelum diubah kepada Insep pada 2006. Beliau turut mengingatkan para pelatih meningkatkan kemahiran dan keupayaan diri bagi memastikan mendapat tempat di pasaran kerja dan menjadi rebutan majikan. "Mereka perlu berhenti daripada melakukan perkara remeh-temeh dan tidak berbaloi, tetapi memberi fokus masa terhadap aktiviti yang bermanfaat,'' katanya. #sumber
Share:

Benarkah Orang Baik Dalam UMNO Tak Bertahan Lama


Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man pernah berkata: "org baik2 dlm  UMNO ini takkan bertahan lama". Maksudnya, fitrah ahli2  UMNO  bukannya memilih pemimpin berdasarkan karisma, potensi atau ketokohan seseorang utk diangkat dlm kepimpinan, tetapi yg menjadi pilihan utama ialah yg mempunyai kedudukan, pengaruh dan wang... maaf cakaplah. Di Temerloh, nampaknya org sebaik Dato' Saifuddin Abdullah menjadi korban fitrah UMNO tadi. baru2 ini Saifuddin kalah dlm PRU di tangan Ustaz Nasrudin. Namun lama sebelum kekalahan Saifuddin itu, telah terdengar bahawa org2 Dato' Sharkar (Ketua Bahagian) juga tidak menggemari Saifuddin sehingga dikatakan wujud puak dlm  UMNO  Temerloh. Ada andaian mengatakan Sharkar sendiri yg mahu bertanding di Parlimen Temerloh dulu, namun takdirnya tidak demikian. Kini Dato' Akbar VV Aboo bangun menyatakan akan bertanding menentang Saifuddin bagi jawatan timbalan. Siapa Akbar? Sudah tentulah beliau org kanan Sharkar, atau proksi Sharkar utk menumpas seterusnya melenyapkan nama Saifuddin d Temerloh! Pendapat umum mengatakan Akbar akan menang mudah kerana beliau org Sharkar, beliau duduk di Temerloh iaitu berpengaruh di kalangan perwakilan Umno Cawangan dan mempunyai wang berbanding Saifuddin. Kenapa Sharkar memilih Akbar sebagai sekutunya? Adarahsia di sebaliknya. Akbar dikatakan mempunyai kaitan rapat dgn seseorang yg boleh 'merekomenkan' Sharkar utk melobi jawatan MB Pahang selepas PRU 14. Maknanya Sharkar menggunakan Akbar utk bakal MB, manakala Akbar mengggunakan Sharkar utk ke hairarki lebih tinggi. Maaf, itu andaian politik saya sahaja. Mungkin betul, mungkin tidak. Kita sama2 tunggu dan lihat nanti.. #sumber
Share:

Shabery: Kementerian Akan Mngkaji Tindakan P.Pinang


KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan mengkaji sama ada filem kontroversi, Tanda Putera boleh disekat daripada ditayangkan di semua pawagam di Pulau Pinang ataupun tidak. Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau akan melihat sama ada keputusan larangan itu adalah di bawah kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ataupun agensi lain. "Saya akan lihat apakah ini di bawah kuasa kerajaan tempatan (PBT). Mereka boleh melarang, misalnya lesen untuk panggung wayang di bawah kuasa kerajaan tempatan. "Tetapi adakah kuasa ini digunakan untuk mengharamkan sesuatu filem (daripada ditayangkan). "Ini suatu perkara yang baru perlu dilihat," katanya kepada pemberita pada majlis pelaksanaan tayangan promo, treler dan nyanyian lagu Negaraku sempena Hari Kemerdekaan negara ke-56 di pawagam Golden Screen Cinemas (GSC), Pavilion di sini, Rabu. Beliau mengulas mengenai tindakan kerajaan Negeri Pulau Pinang pada Rabu yang meminta semua pengusaha panggung wayang di negeri itu tidak menayangkan filem kontroversi, Tanda Putera arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba. Shabery berkata, sekatan terhadap filem kebiasaannya dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri khususnya filem-filem yang tidak sesuai, lucah, ganas atau pun menghantar mesej yang salah melalui Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM). Katanya, tidak pernah lagi sekatan filem dibuat oleh kerajaan negeri dengan mengharamkan sesuatu filem daripada ditayangkan di negeri tersebut. "Ini menggambarkan fikiran sempit mereka ingin memulakan budaya "banning" (sekatan) melebihi daripada tahap yang sepatutnya. "Kita akan lihat bahawa kalau ini berlaku, apakah suatu masa nanti banyak lagi perkara lain yang akan timbul daripada soal ini," katanya. Beliau menambah, sekatan tayangan filem hanya dilakukan sekiranya ia secara jelas bertentangan dengan prinsip-prinsip LPFM. "Ada banyak perkara yang perlu diberikan ruang untuk dikritik, dibahaskan kerana akhirnya penonton yang akan menilai sesuatu filem," katanya. #sumber
Share:

Blackout: "Setiausaha PKR Pahang" Di Dakwa Hari Ini !!


KUANTAN - Sebutan kes melibatkan Setiausaha PKR Negeri Pahang, Kamarzaman bin Mohamed Yunus di bawah Seksyen 9(1), Akta Perhimpunan Aman akan bermula di Mahkamah Seksyen 2, Kompleks Mahkamah Bandar Indera Mahkota dekat sini pagi ini. Beliau didakwa terbabit dalam penganjuran Himpunan Kebangkitan Rakyat #Blackout 505 Peringkat Negeri Pahang yang telah diadakan di Dataran Rakyat, Pejabat PKR Negeri Pahang, Jalan Beserah Kuantan pada 14 Mei yang lalu. Himpunan Kebangkita Rakyat #Blackout 505 yang telah diadakan itu ternyata mendapat sambutan yang di luar dugaan meskipun lokasi program telah diubah disaat-saat akhir. Lebih kurang 40 Ribu telah memenuhi ruang perkarangan Ibu Pejabat PKR Negeri Pahang pada malam itu yang dihadiri oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta beberapa pimpinan utama dari Pakatan Rakyat negeri Pahang yang lainnya. #sumber
Share:

Pemilihan: Saifuddin Di Cabar Dato' Akbar Di Temerloh !!


TEMERLOH - Kerusi Timbalan Ketua  UMNO Bahagian Temerloh akan menyaksikan pertembungan sengit apabila penyandangnya, Datuk Saifuddin Abdullah dicabar ahli jawatankuasa UMNO bahagian itu, Datuk Akbar VV Abu pada pemilihan kali ini. Akbar, 51, dikatakan membuat pengumuman bertanding jawatan itu semasa Persidangan  UMNO cawangan Taman Bahagia, minggu lalu. Pengumuman itu bakal menyaksikan pertembungan sengit antara dua tokoh parti peringkat bahagian selepas jawatan terbabit tidak dipertandingkan pada penggal pemilihan 2008. Saifuddin sebelum ini Timbalan Menteri Pengajian Tinggi tewas pada PRU13 kepada calon PAS, Nasruddin Hassan. Beberapa ketua  UMNO cawangan berkata, Akbar calon sesuai bertanding jawatan itu berdasarkan reputasi beliau yang sangat berpengaruh dalam kalangan perwakilan  UMNO. “Dia bukan sahaja dikenali orang Umno, malah pemimpin pertubuhan bukan kerajaan juga mengenalinya sebagai pemimpin yang menetap di bandar Temerloh dan kerap mendampingi rakyat. Populariti beliau boleh membantu parti ini untuk semakin kukuh. “Orang tua, orang muda semua kenal beliau sebagai pemimpin yang sentiasa berada di Temerloh dan membantu semua golongan, berdasarkan merit dan reputasi selama ini dia layak untuk bertanding jawatan itu,” menurut sumber berkenaan. Akbar ketika dihubungi kelmarin mengesahkan akan bertanding jawatan kedua tertinggi dalam Bahagian Temerloh itu selepas mendapat sokongan akar umbi. “Ya saya menawarkan diri untuk bertanding jawatan timbalan ketua dan harap sokongan rakan-rakan dalam mengembalikan kekuatan UMNO di Temerloh,” katanya ringkas. #sumber
Share:

BN Kekal Kemenangan Di Parlimen Cameron Highlands !


KUALA LUMPUR - Barisan Nasiona (BN) mengekalkan kemenangan di kerusi Parlimen Cameron Highlands selepas Mahkamah Pilihan Raya membatalkan petisyen yang difail calon DAP bagi membatalkan keputusan PRU13 kawasan berkenaan. Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid memutuskan petisyen M. Manogaran adalah cacat kerana gagal mematuhi Perintah 4(1)(b) dan 4(4) Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954. Beliau berkata pempetisyen juga gagal mengemukakan fakta yang mencukupi bagi mendedahkan kuasa tindakan. Hakim itu berkata Manogaran tidak menunjukkan bagaimana rasuah dikatakan begitu menjejaskan keputusan pilihan raya. Umi Kalthum memerintahkan Manogaran membayar RM40,000 sebagai kos kepada anggota Parlimen Cameron Highlands Datuk Seri G. Palanivel, yang dinamakan sebagai responden dalam petisyen itu. Palanivel menang dengan majoriti 462 undi dalam pertandingan lima penjuru. Calon lain ialah Mohd Shokri Mahmood (Berjasa), Kisho Kumar Kathirveloo (BEBAS) dan Alagu Thangarajoo (BEBAS). #sumber
Share:

Bapa Rayu Anak Kembali, Hilang Sejak 16 Ogos Lalu !!


KUALA LIPIS - Seorang bapa merayu agar anak perempuannya pulang ke pangkuan keluarga setelah dia menghilangkan diri sejak 16 Ogos lalu. Zaharuddin Mat Zain, 45, dari Padang Tengku berharap anaknya, Nur Hidayah, 18, pulang ke pangkuan keluarga berikutan terlalu rindu dengan anak sulungnya itu, selain gadis terbabit juga perlu mendaftar tingkatan enam. Menurutnya, dia tidak mengetahui punca anaknya keluar dari rumah kerana tiada sebarang perselisihan faham berlaku. “Saya dan keluarga tidak pernah bergaduh dengan dia (Nur Hidayah). Hubungan dengan enam adiknya juga baik. “Disebabkan itu, saya bingung setiap kali memikirkan mengenai tindakannya itu,” katanya, di sini, semalam. Zaharuddin berkata, pada pagi 16 Ogos lalu, Nur Hidayah memaklumkan kepada keluarga untuk ke bandar Lipis bagi membuat gambar dan beberapa urusan berkaitan pendaftaran tingkatan enam. Namun katanya, Nur Hidayah tidak pulang pada hari berkenaan dan hanya menghantar mesej dengan menggunakan nombor tidak dikenali yang menyatakan dia tidur di rumah kawan di Lipis. “Sejak menghilangkan diri, dia tidak pernah menghubungi kami. Kami cuba menghubunginya, tetapi tidak dapat. “Pelbagai usaha dilakukan untuk mencarinya termasuk membuat laporan polis kerana kami khuatir dengan keselamatannya, ditambah pula ibunya sering sakit akibat terlalu merinduinya,” katanya. Zaharuddin amat berharap sesiapa pernah terlihat Nur Hidayah agar menghubunginya secepat mungkin di talian 013-9956426. #sumber
Share:

Peneroka Rugi 75%, Buah Sawit Gagal Di Proses Segera


BERA - Peneroka dan pengusaha lori mendakwa mengalami kerugian hampir 75 peratus sepanjang minggu ini apabila hasil sawit tidak dapat diproses sebuah kilang di sini seperti biasa. Difahamkan, pihak kilang memerlukan antara 1,000 hingga 1,500 tan sawit sehari, namun lambakan hasil sawit menyebabkan pengusaha lori tidak dibenarkan masuk sehingga mendapat kebenaran. Seorang peneroka, Jumri Ijok, 59, berkata, keadaan itu berlarutan sejak minggu lalu sehingga pengusaha lori yang membawa muatan sawit, terpaksa beratur lebih satu kilometer dari pintu kilang sementara menunggu giliran. Menurutnya, semua hasil sawit dari tiga tanah rancangan dihantar ke kilang tersebut dan sudah pasti akan berlaku lebih banyak lambakan sawit jika masalah itu tidak ditangani. “Kalau semua lori kena beratur, peneroka juga kena beratur untuk mendapatkan duit hasil. “Kalau sebelum ini boleh dapat dua kali pendapatan dalam sehari, sekarang sekali pun belum tentu,” katanya. Peneroka dari Felda Mayam, Alias Idrus pula berkata, kilang hanya menerima hasil sawit bermula jam 8 pagi hingga 5 petang. Katanya, jika selepas jam 5 petang, pengusaha lori terpaksa meninggalkan lori masing-masing sehingga dibenarkan masuk keesokan harinya. “Kalau terpaksa tunggu hingga keesokan hari, buah dalam kebun tak dapat dipungut. Mungkin juga, hasil kami akan dicuri,” katanya. #sumber
Share:

Ahli Parlimen Jerantut: Tutup Sementara Premis Kotor !!


JERANTUT - Pemilik premis makanan yang tidak mengutamakan aspek kebersihan dikehendaki menghentikan perniagaan buat sementara waktu sehingga dibuktikan bersih, selamat dan bebas daripada serangga perosak terutama tikus. Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Daerah akan mengambil tindakan tegas dalam usaha mengekang penularan wabak kencing tikus atau Leptospirosis. Menurutnya, pemilik premis hanya boleh menjalankan semula operasi perniagaan sehingga mendapat kebenaran daripada dua agensi terbabit. “PBT perlu sentiasa pantau premis makanan di daerah ini dan memastikan mana-mana premis yang sudah mendapat pengiktirafan gred A supaya kekalkan tahap kebersihan kedai masing-masing,” katanya. Beliau berkata demikian pada pelancaran kempen kawalan tikus dan program gotong-royong perdana 1Malaysia di Dataran D’Kilau Court, di sini. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa kebersihan Majlis Daerah Jerantut (MDJ), Nordin Wahid dan Setiausaha MDJ, Wan Norizan Wan Badaruzzaman. Beliau berkata, statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 2011 menunjukkan 2,268 kes dilaporkan dengan 55 kematian, 2012 meningkat kepada 3,665 kes dengan 48 kematian dan sehingga 1 Jun lalu, 1,768 kes dengan 18 kematian. “Merujuk kepada statistik KKM, seramai 121 orang maut akibat wabak kencing tikus ini. Kita jangan hanya harapkan PBT dan KKM saja buat kerja kerana tugas menjaga kebersihan adalah tanggungjawab bersama. “Saya sokong usaha PBT yang menggalakkan orang ramai tangkap tikus itu kerana usaha ini dapat beri kesedaran kepada masyarakat supaya bekerjasama jaga kebersihan,” katanya. #sumber
Share:

Penduduk Kampung Chatin Rayu Baiki Jalan berlubang !


MENTAKAB - Penduduk Kampung Chatin Atas, di sini, merayu kerajaan menurap dan menaik taraf jalan di kampung berkenaan yang digunakan puluhan kenderaan setiap hari. Seorang penduduk, Zahid Simat, 50, berkata, jalan berlubang itu pada mulanya hanya laluan alternatif penduduk untuk keluar ke jalan utama di kawasan perindustrian Temerloh. Bagaimanapun katanya, kira-kira dua tahun lalu, jalan lama yang menjadi laluan utama penduduk telah dimajukan pemilik tanah dengan kawasan perumahan, menyebabkan jalan itu ditutup. “Sehingga hari ini kami tidak ada jalan perhubungan yang sempurna dalam kampung, jalan berlubang ini pula sepanjang hampir satu kilometer. “Sebelum pilihan raya umum lalu, kami ada terima peruntukan baiki jalan, tetapi tidak cukup untuk turap kawasan yang kami maksudkan. Akhirnya jalan ini masih berlubang dan kami terpaksa melaluinya setiap hari," katanya. Zahid berkata, keadaan jalan terbabit berbahaya kepada penunggang motosikal dan lebih menakutkan apabila berselisih kenderaan lain. Justeru dia berharap, kerajaan dapat salurkan peruntukan untuk turap semula jalan tersebut dan menaik taraf kawasan yang mudah dinaiki air. #sumber
Share:

Desak Najib Berundur: Perkasa Panggil Ketua Pemuda !


Sayap pemuda Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (Perkasa) mengejutkan ramai pihak apabila membuat gesaan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan ekoran gagal menguruskan negara dengan baik. Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi Ideris membuat kenyataan kontroversi itu dalam tulisan di blognya bertajuk "Sudah Cukup Segalanya Digadai, Hj Najib Wajar Meletakkan Jawatan." "Saya tidak tahu Wira Perkasa ada kuasa yang begitu besar untuk paksa perdana menteri meletak jawatan," kata Datuk Abdul Rahman Abu Bakar (foto) serta meluahkan rasa terkejut atas kenyataan Irwan itu. Menurut Timbalan Presiden Perkasa itu, beliau akan menemui Irwan dalam masa terdekat bagi mendapatkan penjelasan berhubung kenyataan itu. Kenyataan Irwan bagaimanapun tidak begitu mengejutkan kerana Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali sangat kritikal kepada strategi pilihan raya Najib, mengatakan baru-baru ini kumpulan itu tidak berpihak kepada mana-mana parti politik selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu. #sumber
Share:

Kakitangan Awam Maut Jatuh Motosikal Di Kuantan !!


KUANTAN - Seorang kakitangan awam dari Jabatan Insolvensi maut selepas terjatuh daripada motosikalnya yang terbabas di Jalan Tanah Putih, di sini, pagi kelmarin. Wan Mohd Khairi Wan Zakaria, 31, dari Kampung Teluk Mahang, dekat sini, yang menunggang bersendirian, cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, kemalangan kira-kira jam 8.50 pagi itu berlaku ketika mangsa dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja. Menurutnya, mangsa yang menunggang Modenass Kriss dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Gambang. “Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa gagal kawal motosikal lalu terbabas sebelum melanggar besi pengadang jalan. Mangsa yang tercampak ke atas jalan, mengalami cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,’ katanya. Mohamed Fauzi berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat sebelum jenazah dituntut keluarga. “Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku akibat motosikal hilang kawalan kerana ketikaitu, cuaca baik dan jalan lurus. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. #sumber
Share:

Ketua Pemuda Perkasa Desak Najib Letakkan Jawatan !


PETALING JAYA - Ketua Pemuda Perkasa, Irwan Fahmi Ideris mengejutkan negara apabila mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan. Menurut beliau, Najib masih lagi menggunakan kaedah lama yang mana masih meminggirkan kaum pribumi di negara ini dan mengagong agongkan kaum lain. “Peruntukan untuk sekolah jenis kebangsaan mendapat peruntukan jutaan ringgit, peruntukan sekolah-sekolah ini diberi dengan banyak sekali jika berbandingkan dengan sekolah pondok,” tulis beliau dalam blog peribadinya www.irwanfahmi.blogspot.com pada 25 Ogos lalu. Sehubungan dengan itu, Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Abdul Rahman Abu Bakar akan memanggil Irwan untuk mendapatkan penjelasan lanjut. Perkasa yang selama ini dianggap menyokong kerajaan mengambil sikap berkecuali pada pilihanraya umum lalu. Malah dalam pertemuan ahli majlis tertinggi Perkasa dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, Perkasa melahirkan banyak kekecewaan dengan dasar Najib yang merugikan orang Melayu. #sumber
Share:

Hi-Tea Bersama Anwar Di Indera Mahkota, 31 Ogos Ini


KUANTAN - Satu program minum petang anak muda dan profesional Pahang bersama Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diadakan di Bandar Indera Mahkota, Pahang, 31 Ogos ini. Program anjuran Anwar Ibrahim Club (AIC) bersama Ikatan Suara Muda Kuantan akan bermula jam 5.00 petang di Hotel Sri Manja, Indera Mahkota. Bayaran masuk sebanyak RM30 dikenakan kepada golongan profesional, manakala pelajar dan mahasiswa adalah secara percuma. Pendaftaran secara online boleh dibuat dengan melayari laman web inderamahkota.my/anakmuda Sebarang maklumat hubungi sekretariat penganjur di talian 016-9618237(Shah) atau 010-9020925 (Wong). #sumber
Share:

Ketahuilah Rahsia "Bebas Kanser" Primadona Sarimah


Program Sepetang bersama Dato Dr. Hajah Sarimah Ahmad Pengasas Primadona Worlwide Sdn Bhd pada 7 September 2013 ini jam 2.30 petang- 6.00 petang di Vistana Hotel Kuantan. Beliau adalah belas pesakit Kanser (stage empat) yang kini disahkan BEBAS KANSER sepenuhnya. Ketahui rahsianya, dapatkan tiket masuk untuk cabutan bertuah dengan En.Saharudin 016-9888567
Share:

Pendakwaan Fail Rayuan Keputusan Mahkamah Rayuan


PETALING JAYA - Kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu akan dirujuk ke Mahkamah Persekutuan selepas pasukan pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar daripada sabitan dan hukuman gantung kerana membunuh wanita tersebut. Peguam Cara Negara II, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah dalam satu mesej pesanan mengesahkan bahawa beliau memfailkan notis rayuan pada hari keputusan perbicaraan, Jumaat lalu. Beliau enggan mengulas lanjut dengan berkata ia boleh menimbulkan subjudis dalam rayuan itu. Ketika ditanya bahagian keputusan Mahkamah Rayuan yang akan dirayu oleh pasukan pendakwaan, beliau berkata:'Semua'. Azilah dan Sirul Azhar dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan selepas Hakim Tengku Maimun Tun Mat menyatakan hakim bicara tersilap arah kerana gagal memberi pertimbangan terhadap pembelaan alibi berhubung catatan dalam diari polis yang menyatakan Azilah tidak berada di tempat kejadian. Bagaimanapun, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata pihak pendakwaan tidak berpuas hati dengan keputusan itu kerana bukan arahan atau salah arah oleh mahkamah itu bukan kesalahan pendakwaan. Beliau juga tidak bersetuju Mahkamah Rayuan yang mendapati pihak pendakwaan gagal memanggil bekas DSP Musa Safri untuk memberi keterangan semasa perbicaraan telah memberi tamparan hebat terhadap kes itu. "Setakat berkenaan DSP Musa Hj Safri, kami menegaskan bahawa testimoni beliau tidak relevan sama sekali kerana naratif keseluruhan kes pendakwaan itu telah berlaku pada perbicaraan itu," katanya dalam satu kenyataan.#sumber
Share:

Waspada Komen Internet Berkaitan Dasar Kerajaan !!


TEMERLOH - Penjawat awam diminta berhati-hati dalam membuat sebarang komen berkaitan dasar kerajaan di laman sosial kerana boleh menjejaskan integriti serta nama baik perkhidmatan awam. Timbalan Ketua Setiausaha Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Borhan Dollah berkata, kemunculan laman sosial seperti Facebook dan Twitter digunakan segelintir golongan itu untuk membuat komen memburukkan jabatan atau agensi kerajaan. Menurutnya, JPM menerima aduan dan maklum balas mengenai pembabitan sebilangan mereka yang memberi komen negatif dan bertentangan dengan dasar kerajaan. “Selaku penjawat awam, mereka wajib memelihara integriti ketika menggunakan media sosial kerana apa diluahkan itu boleh dibaca di seluruh dunia. “Oleh itu, sebarang masalah atau apa juga rasa tidak puas hari perlu diselesaikan di peringkat jabatan dan tidak perlu ‘membuka pekung di dada’ untuk tatapan orang luar," katanya. Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia dalam majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Bahagian Pengurusan Hartanah JPM di Bangunan Gunasama Persekutuan Temerloh, di sini baru-baru ini. Yang turut hadir, Setiausaha Bahagian Pengurusan Hartanah JPM, Norazman Othman. Borhan berkata, golongan itu perlu menjaga nama baik jabatan serta agensi kerajaan dan mengikut peraturan yang ditetapkan di samping mengelak memberi komen negatif dalam laman sosial terbabit. #sumber
Share:

Misteri Bekalan Elektrik Terputus Akhirnya Terjawab !


JERANTUT - Kejadian bekalan elektrik terputus di lima kampung di Hulu Tembeling di sini, sejak Selasa lalu terjawab apabila sebatang pokok balak yang ditebang secara haram tumbang lalu menghempap kabel utama elektrik di Bukit Dedari, Kuala Tahan dekat sini. Keadaan itu menyebabkan lebih 5,000 penduduk terputus bekalan elektrik melibatkan Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Bantal, Kampung Gusai dan Kampung Mat Daling. Mereka kesal dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab menceroboh masuk hutan Bukit Dedari sehingga kerap kali mengundang risiko terputus bekalan elektrik berikutan pembalakan haram di situ. Pengurus Persona Village Resort Kuala Tahan, Roslan Abu Kassim, 40, berkata, perbuatan pihak terlibat menyebabkan ekosistem hutan, sungai dan kawasan tadahan air di hutan Bukit Dedari terjejas. "Apa yang saya kesalkan kegiatan pembalakan haram itu memberi impak landskap hutan bertukar menjadi gondol sehingga pokok ditebang menghempap kabel elektrik," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kuala Tahan di sini kelmarin. Penduduk Kampung Pagi, Mi Hamidi Nipah, 42, berkata, jika kegiatan itu tidak dibendung akan menjejaskan sektor pelancongan di sekitar Kuala Tahan. "Penduduk di sini berharap pihak berwajib lebih peka dan menguatkuasakan undang-undang supaya kegiatan itu wajar dihentikan dengan segera," katanya. Dalam pada itu, Pengurus Tenaga Nasional Berhad (TNB) Jerantut, Redzuan Zainal Abidin berkata, selepas menerima aduan penduduk, pihaknya segera ke lokasi kejadian untuk membaik pulih bekalan elektrik di situ. "Kita terpaksa mengambil masa membaiki kerosakan memandangkan kabel berkenaan terletak di kawasan hutan tebal," ujarnya. Katanya, penduduk di Hulu Tembeling sudah menerima semula bekalan elektrik sepenuhnya pada pukul 3.05 petang kelmarin.#sumber
Share:

Terminal Sentral Kini Jadi Mercu Tanda Baru Kuantan !

KUANTAN  - Terminal Sentral Kuantan di bandar Indera Mahkota di sini, merupakan salah satu lagi mercu tanda baharu kemajuan pesat bandar Kuantan. Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Dato' Zulkifli Yaacob (foto) berkata, sejak memulakan operasi awal bulan lalu terminal itu telah mendapat reaksi positif daripada orang ramai. Beliau berkata, ini kerana, jika dibandingkan dengan stesen bas lama Terminal Makmur di bandar Kuantan, terminal di Indera Mahkota memberi keselesaan yang lebih baik kepada pengguna. “Sejak memulakan operasi, kita memantau setiap hari bagi memastikan tiada masalah timbul. Saya sendiri ada bertanya kepada orang ramai dan mereka memberikan reaksi positif. “Ini kerana kemudahan disediakan di terminal baharu itu jauh lebih bagus daripada terminal lama dan apa yang penting memudahkan orang ramai untuk membeli tiket dan menaiki bas," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. Terminal bernilai RM438 juta itu menyediakan sebanyak 400 petak letak kereta, 170 ruang motosikal dan 40 untuk teksi, selain ruang tempat menunggu bas berhawa dingin untuk orang ramai. Terminal dua tingkat yang mula dibina pada Jun 2011 itu menyediakan 48 kaunter bas bagi menggantikan Terminal Makmur. Zulkifli berkata, ruang menunggu di terminal baharu itu juga memberi keselesaan kepada orang ramai yang tidak akan terdedah kepada asap rokok mahupun asap kenderaan. “Terminal ini turut mempunyai ciri-ciri keselamatan dengan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) selain kaunter-kaunter khas untuk MPK, JPJ dan juga agensi lain," katanya. 


Beliau berkata, pemilihan lokasi di Indera Mahkota juga membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar Kuantan terutama kawasan berdekatan Stadium Darul Makmur. Dalam pada itu, katanya, beliau telah berjumpa pemandu teksi yang nyata begitu gembira dengan rezeki diperoleh mereka sejak terminal baharu tersebut dibuka. Beliau berkata, pembinaan terminal tersebut merupakan transformasi pengangkutan awam bagi mencapai status negara maju dan keberkesanannya bolehkan rakyat di bandar serta luar bandar menikmati hidup lebih selesa. “Perkhidmatan pengangkutan awam yang berkesan dan selesa bantu tingkatkan indeks kesejahteraan hidup rakyat," katanya.  #sumber
Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.