script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Coretan Penuh Emosi Sergio Aguero Buat Pahang Bermula Dari Hari Pertama Sertai Skuad Tok Gajah Pada 2021

KUALA LUMPUR: Tonggak Sri Pahang, Sergio Aguero membuat coretan penuh emosi mengenai skuad Tok Gajah bermula dari hari pertama dia menyertai pasukan Pantai Timur itu pada 2021.

Coretan yang dibuat di laman Instagram miliknya itu turut mencetuskan persoalan mengenai masa depannya dengan dia menegaskan bahawa Pahang sentiasa berada di hati tidak kira ke mana perjalanan kariernya selepas ini.

Bagaimanapun, pada penghujung coretan panjang itu, Aguero menjelaskan bahawa ia bukanlah ucapan selamat tinggal.

Menerusi coretan berkenaan, pemain naturalisasi itu turut menzahirkan ucapan terima kasih yang istimewa kepada pemilik Sri Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

"Tengku mengangkat saya daripada kosong, percaya pada saya ketika hanya segelintir yang melakukannya dan melayan saya seperti anak sendiri.

"Saya akan sentiasa berhutang budi dan selamanya bersyukur atas segala yang Tengku lakukan termasuk sebagai pemain dan sebagai manusia," tulis Aguero.

Sri Pahang ketika ini masih belum pasti sama ada akan kekal atau tidak dalam Liga Super musim depan selepas terdapat laporan sebelum ini bahawa naib juara Piala Malaysia 2024-2025 itu akan menarik diri.

Sebelum ini, Tengku Abdul Rahman ketika ditanya sama ada Sri Pahang masih bersaing dalam Liga Super musim depan berkata: "Tahun depan saya minta undur diri."

Selain itu, Aguero turut berterima kasih kepada pengurusan Sri Pahang, pemain, jurulatih dan penyokong yang melayannya dengan baik seperti satu keluarga sejak menyertai skuad itu, lima tahun lalu.

Malah, pemain tengah menyerang berusia 31 tahun itu menjelaskan bahawa sukar untuknya ungkapkan dengan kata-kata apa makna Pahang dalam hidupnya.

"Lima tahun lalu, saya tiba di sini sebagai orang asing. Saya tidak tahu apa yang bakal saya hadapi dan yang saya ada hanyalah impian dan hati yang penuh harapan.

"Setiap pertarungan di padang, setiap detik kemenangan dan kekalahan, saya memakai jersi Pahang dengan kebanggaan kerana saya tahu saya sebahagian daripada sesuatu yang istimewa.

"Disebabkan Pahang, saya bukan sahaja berkembang sebagai pemain, tetapi juga sebagai seorang insan dan dengan restu anda, saya dapat memanggil Malaysia sebagai rumah saya dengan diberikan taraf kewarganegaraan.

"Penghormatan itu akan saya bawa bersama sepanjang hidup saya. Tidak kira ke mana bola sepak membawa saya selepas ini, Pahang akan sentiasa dalam hati saya.

"Ini bukan ucapan selamat tinggal. Ini adalah janji bahawa saya akan selamanya menjadi sebahagian daripada keluarga Pahang. Terima kasih Pahang, anda mengubah hidup saya," katanya. #BeritaHarian

Share:

Seorang Wanita Maut, Suami Dan Tiga Anaknya Cedera Selepas Terbabit Dalam Kemalangan Di Kuantan

KUANTAN: Seorang wanita maut manakala suami dan tiga anaknya cedera selepas kereta dinaiki lima sekeluarga itu terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran Taman Pertanian Jubli Perak pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, Khaltom Mohamad Danyan, 41, yang beralamat di Paka, Terengganu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad Kecemasan, Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Indera Mahkota, jam 10.20 malam hari sama.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suami mangsa, Mohd Balkini Sofian, 45, yang juga imam Masjid Jamek Paka, bersama dua anak mereka, Ahmad Luqmanul Hakim, 20, dan Ahmad Warash Tasyriq, 6, kini dirawat di zon kuning hospital berkenaan.

“Seorang lagi anak mangsa, Nur Ainul Mardhiah, 8, mengalami kecederaan parah dan dirawat di zon merah,” katanya.

Menurut beliau, pemandu lori jenis Hino berusia 30 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Siasatan awal mendapati keluarga itu dalam perjalanan pulang ke Paka selepas menjemput anak mereka, Ahmad Luqmanul Hakim dari Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS).

“Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta Proton Saga itu berhenti di bahu jalan untuk membeli jambu di gerai seberang jalan.

“Pasangan suami isteri itu sedang melintas jalan apabila lori dari arah sama dipercayai hilang kawalan dan merempuh mereka serta kenderaan yang berhenti di tepi jalan.

“Ketika kejadian, ketiga-tiga anak mereka berada di dalam kereta,” katanya.

Tambah beliau, semua mangsa telah dihantar ke pusat perubatan terdekat untuk rawatan, namun Khaltom tidak dapat diselamatkan.

“Hasil ujian air kencing mendapati pemandu lori positif dadah jenis Methamphetamine. Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. #SinarHarian

Tambah beliau, semua mangsa telah dihantar ke pusat perubatan terdekat untuk rawatan, namun Khaltom tidak dapat diselamatkan.

“Hasil ujian air kencing mendapati pemandu lori positif dadah jenis Methamphetamine. Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. #SinarHarian

Share:

Benar Kes Titah Adendum Di Bawa Ke Mahkamah Rayuan ,Peguam Negara Tak Percaya Kenyataan Istana Pahang?

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan mahkamah membenarkan kes Titah Adendum bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak dibawa ke Mahkamah Rayuan memperlihatkan hasrat sebenar kerajaan dalam isu berkenaan.

Beliau berkata, walaupun ia adalah hak mahkamah dan tidak boleh dipertikaikan, semua pihak menyatakan kejanggalan luar biasa terhadap keputusan rayuan oleh Peguam Negara, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, mengenai persoalan undang-undang berkaitan wujudnya Titah Adendum.

“Rayuan ini kelihatan pelik apabila Istana Pahang telahpun mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan kewujudan adendum tersebut. Tindakan ini seolah-olah membawa maksud bahawa Peguam Negara tidak mempercayai kenyataan daripada Istana Pahang itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, peliknya Titah Adendum yang mahu dipersoalkan kewujudannya telah jelas dikeluarkan oleh pihak istana, ditularkan di media sosial, dibaca oleh rakyat umum, dan tidak dinafikan oleh pihak Istana Pahang.

Ketua Pembangkang Dewan Negeri Pahang itu berkata, lebih malang bagi Najib kerana parti beliau sendiri hanya bermain wayang apabila tiada satu pun kenyataan daripada pimpinan utama UMNO berkaitan isu berkenaan.

“Kesungguhan mereka pada peringkat awal mempertahankan kewujudan Titah Adendum bekas presiden mereka itu kini hanya tinggal kenangan. Mungkin masing-masing sudah lupa dan selesa dengan kedudukan mereka dalam kerajaan ketika ini,” ujarnya.

Bekas Menteri Air dan Alam Sekitar itu berkata, harus diingat bahawa yang dipertikaikan di sini ialah berkenaan isu Titah Adendum, bukan mengenai hukuman dikenakan.

“Sudah lebih setahun Dato’ Sri Najib menanti untuk mengesahkan kewujudan Titah Adendum tersebut. Kini, beliau terpaksa menunggu lagi sehingga selesai perbicaraan bagi mengesahkan kewujudan adendum tersebut

“Itu belum lagi jika kita berbicara tentang pelaksanaan Titah Adendum tersebut. Tentunya ia akan memakan masa yang lebih lama,” jelasnya.

Beliau berkata, apapun, Najib tetap perlu menjalani hukuman penjara dengan baki hukuman yang telah ditetapkan, dengan persoalan sama ada beliau akan menjalani tahanan di rumah atau kekal dalam penjara.

Katanya, ketika ini terdapat dua persoalan besar yang perlu difikirkan, iaitu bagaimana jika Titah Adendum berlaku pada masa depan dan apakah sejarah ini akan berulang serta menjadi satu kes duluan di masa hadapan.

“Jika ia dibenarkan oleh mahkamah, bagaimanakah proses pelaksanaannya, memandangkan ia melibatkan kedudukan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang baharu?

“Bagaimana ia akan dilaksanakan, sedangkan YDPA yang baharu tidak terikat dengan arahan YDPA yang lama?” persoalnya.

Beliau berkata, persoalan sama ada kes itu hanya menjadi perbincangan akademik dan Najib perlu melalui proses baharu untuk memperoleh pengampunan semula juga perlu difikirkan.

Katanya, perjalanan kes itu masih panjang dan rakyat sedang memerhati bagaimana sistem kehakiman, Lembaga Pengampunan, serta YDPA sebagai Pengerusi Lembaga Pengampunan menjalankan fungsi masing-masing mengikut Perlembagaan.

“Saya pasti Dato’ Sri Najib kini semakin jelas melihat lakonan oleh pimpinan Umno yang dahulunya mencium tangan beliau, tetapi kini semakin menjauhkan diri daripadanya,” katanya. #HarakahDaily

Share:

Senarai Individu Terbabit Kes Ceroboh Tanah Di Raub Sedang Dikesan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya telah mengenal pasti senarai individu yang terbabit dalam kes pencerobohan tanah di Raub, Pahang.

Menurut beliau, pegawai penyiasat SPRM ketika ini giat mengesan individu itu termasuk pegawai kerajaan yang berkhidmat di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta pejabat daerah termasuk mereka yang sudah berpencen.

Beliau bagaimanapun memberitahu, tiada tangkapan dibuat setakat ini kerana proses siasatan yang dibuat perlu adil.

“Kita ada dalam senarai dan kalau lebih kurang 10 tahun sudah tentu pegawai berkenaan ada yang sudah berpencen dan sebagainya.

“Jadi ini menjadi satu cabaran juga kepada pegawai penyiasat saya untuk buat ‘tracing’ dan semak latar belakang siapa yang bertugas ketika itu, akan ambil masa sedikit terutama kepada mereka yang meneroka dan bagaimana mereka melakukannya.

“Keadilan dalam proses siasatan ini adalah penting,” katanya kepada media selepas merasmikan Southeast Asia Anti-Corruption Conference di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden Kesatuan Antirasuah Asia Tenggara (Sea Actions), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Persidangan yang juga Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Seri Mustafar Ali.

Minggu lalu, Azam memberitahu SPRM telah membuka semula kertas siasatan berhubung pencerobohan hutan simpan di Raub, Pahang yang mendapat perhatian masyarakat, baru-baru ini.

Beliau berkata, siasatan terdahulu yang dibuka pada tahun 2021 kini disambung semula dengan tumpuan khusus terhadap beberapa aspek.

Ini termasuk berkaitan tatakelola dan unsur rasuah yang berkemungkinan wujud membabitkan penerokaan haram yang masih berlaku sehingga kini.

Isu penerokaan tanah haram di Raub kembali menjadi tumpuan selepas laporan media dan aduan penduduk tempatan mendakwa wujud kegiatan pencerobohan dan pembalakan tanpa lesen di kawasan tanah kerajaan serta hutan simpan. #MalaysiaGazette

Share:

Wan Rosdy Terima Ijazah Kehormat PhD Dalam Bidang Ekonomi Islam Dan Perbankan Dari Universiti Yarmouk

KUANTAN: Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Ekonomi Islam dan Perbankan oleh Universiti Yarmouk, Jordan, semalam.

Anugerah itu disampaikan oleh Presiden Universiti Yarmouk Profesor Dr Islam Massad, sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan beliau dalam mengukuhkan kerjasama antara kerajaan negeri Pahang dan institusi pendidikan berkenaan.

Wan Rosdy berkata kerjasama antara Pahang dan Universiti Yarmouk telah bermula sejak 2001 melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kolej Yayasan Pahang (KYP) dan universiti berkenaan.

"Selepas 14 tahun, kerjasama ini diperkukuh lagi menerusi majlis menandatangani MoU Kursi Pahang yang berlangsung hari ini," katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.

Setakat ini, seramai 363 anak Pahang telah menamatkan pengajian di universiti itu, manakala 78 lagi masih melanjutkan pengajian.

Wan Rosdy percaya hubungan akademik antara kedua-dua pihak boleh diperluas ke bidang penyelidikan bersama, inovasi ekonomi Islam, teknologi hijau dan pembangunan lestari.

"Saya berharap lebih ramai anak Pahang akan mengambil peluang untuk melanjutkan pengajian di Universiti Yarmouk dan menyumbang kembali kepada pembangunan serta kemajuan negeri dan negara," katanya.

Beliau berkata kerjasama itu diharap dapat memperkukuh bidang penyelidikan dan pembangunan berteraskan nilai Islam dan prinsip Maqasid Syariah, sekali gus menjadikan Pahang sebagai sebuah negeri yang berjaya dan berdaya saing di peringkat nasional dan juga global. #AstroAwani

Share:

Pemain Sri Pahang FC Menaruh Harapan Agar Pasukan Itu Terus Kekal Bersaing Dalam Liga Super Musim Depan

KUALA LUMPUR: Barisan pemain Sri Pahang menaruh harapan tinggi supaya pasukan itu akan terus kekal bersaing dalam Liga Super musim depan.

Status mengenai penyertaan skuad Tok Gajah dalam saingan musim depan masih menjadi tanda tanya selepas wujud khabar angin bahawa naib juara Piala Malaysia 2024/25 itu bakal menarik diri.

Kapten Sri Pahang, Stefano Brundo menyifatkan pasukan itu memiliki penyokong yang hebat dan berharap pihak pengurusan dapat membuat keputusan terbaik untuk mengekalkan Tok Gajah dalam saingan Liga Super musim depan.

"Kami harap Sri Pahang akan kekal, ia bergantung kepada pihak pengurusan. Saya harap kami akan terus bersaing dan saya amat teruja dengan sokongan daripada peminat.

"Mereka membelanjakan wang untuk tiket dan kami amat menghargainya. Jadi kami bermain di atas padang demi mereka," katanya.

Penyerang Sri Pahang, Sergio Aguero turut senada dengan Brundo dengan dia menganggap skuad Tok Gajah sebagai antara pasukan besar yang menyerikan kancah bola sepak Malaysia.

Sementara itu, penjaga gol Sri Pahang, Zarif Irfan Hashimuddin menjelaskan bahawa setakat ini dia belum mengetahui mengenai status Sri Pahang sama ada akan kekal bersaing atau tidak untuk musim depan.

"Bagi musim depan, saya pun tak tahu macam mana, kita kena tunggu pihak pengurusan (maklumkan) dalam masa terdekat nanti," kata Zarif yang kontraknya bersama skuad itu masih berbaki setahun.

Meskipun bergelut dengan masalah prestasi dan menamatkan saingan Liga Super di kedudukan kelapan, Sri Pahang bagaimanapun mencipta kejutan melangkah ke final Piala Malaysia.

Malah, skuad kendalian Fandi Ahmad berjaya memberi tentangan sengit kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) sebelum terpaksa akur tewas 1-2 di pentas akhir. #BeritaHarian

Share:

Piala Malaysia: Pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad Kecewa Video Bantuan Pengadil (VAR) Gagal Main Peranan

KUANTAN: Pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad mengakui kesal dengan penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) yang dilihat tidak banyak membantu selepas pasukannya tewas 1-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi final Piala Malaysia kelmarin.

Menurut Fandi, tiada apa yang boleh dikatakan mengenai mutu pengadilan di atas padang, tetapi VAR sepatutnya boleh membantu memulihkan semula tempo perlawanan yang berintensiti tinggi melibatkan kedua-dua pasukan.

“Bagi saya, VAR satu kekecewaan kerana tiada siapa tahu apa yang berlaku, hanya orang di dalam (yang tahu), kami tidak boleh kata baik atau buruk, adil atau tidak.

“Saya rasa anda semua tahu, tetapi apa yang boleh kami katakan?” kata pengendali dari Singapura itu yang enggan mengulas mutu pengadilan secara terperinci pada sidang media selepas perlawanan kelmarin.

Pada perlawanan itu, beberapa insiden tidak memihak kepada Sri Pahang ketika pemain naturalisasi, Sergio Aguero dilayangkan dua kad kuning selain sepakan penalti dihadiahkan buat pasukan JDT pada awal babak kedua.

Namun, VAR dilihat turut membantu skuad Tok Gajah apabila membatalkan jaringan penyamaan yang dilakukan oleh penyerang JDT, Bergson da Silva yang berada dalam kedudukan ofsaid.

Mengulas lanjut, Fandi mengakui kejayaan pasukan ke pentas final Piala Malaysia kali ini adalah ‘bonus’ dengan menganggap aksi separuh akhir bertemu Sabah FC pada Februari lepas sebagai ujian sebenar.

“Pasukan sangat komited untuk perlawanan ini kerana sedar kita tidak konsisten dalam Liga Super. Banyak pelbagai perkara berlaku (di luar padang) dan sangat sukar untuk memotivasikan pemain, tetapi mereka berjuang untuk piala ini dan berjaya ke final.

“Secara peribadi, perlawanan separuh akhir menentang Sabah FC merupakan final sebenar dan aksi kali ini pula satu bonus,” katanya.

Pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, skuad Tok Gajah mencipta kejutan apabila meraih gol pembukaan hasil penyudah T. Saravanan sebelum JDT bangkit untuk melakar kemenangan hasil sepakan penalti Bergson dan rembatan Arif Aiman Hanapi.

Sementara itu, tonggak pertahanan Sri Pahang, Adam Nor Azlin mengakui terkilan apabila gagal membawa pulang trofi ke bumi Tok Gajah meskipun menganggap pencapaian pasukan musim ini masih membanggakan.

“Biarpun tewas kami rasa sampai ke final pun sudah satu kemenangan. Penyokong boleh nilai sendiri apa yang terjadi (Mengenai kontroversi pengadil), tetapi sebagai pemain kita kena fokus di atas padang dan nasib tidak bersama pasukan kali ini,” katanya. #Kosmo!

Share:

Polis Sedang Mengesan Dua Penunggang Motosikal Berkuasa Tinggi Kemalangan Di Lebuhraya Karak

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan dua daripada tiga penunggang motosikal berkuasa tinggi yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 43.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak arah timur, dekat Bentong, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata kejadian berkenaan dikesan selepas satu video berdurasi satu minit 20 saat tular di laman sosial pada jam 8 malam tadi.

"Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku jam 9.45 pagi tadi apabila motosikal terbabit hilang kawalan, tergelincir dan terbabas ke longkang di bahu kiri jalan.

"Seorang penunggang yang dapat dikesan memaklumkan cedera di kaki kanan, manakala dua lagi belum dapat dihubungi," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong sedang mengesan penunggang terbabit untuk tampil membantu siasatan.

"Pihak polis sudah membuka kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Zaiham turut memohon kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian itu untuk tampil membantu siasatan.

Pada masa sama, beliau memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pengguna jalan raya yang menjadikan laluan terbabit seperti litar lumba.

"Polis Bentong akan menjalankan operasi secara berterusan bagi memastikan lokasi dan laluan berkenaan tidak sesekali dijadikan seperti litar lumba oleh pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab," katanya. #BeritaHarian

Share:

Sultan Pahang Zahirkan Hasrat Tubuh Pusat Rujukan Jawi Pahang Sebagai Teras Pendidikan, Rujukan Dan Pemeliharaan Tulisan Itu

KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum menzahirkan hasrat untuk menubuhkan Pusat Rujukan Jawi Pahang sebagai teras pendidikan, rujukan dan pemeliharaan tulisan jawi.

Justeru, baginda mahu semua pihak berkaitan memberi komitmen padu dan bersepadu berkenaan hasrat itu kerana tulisan jawi adalah warisan besar bangsa Melayu dan simbol peradaban Islam yang perlu terus dipelihara.

"Saya ingin satu badan atau institusi khusus ditubuhkan di bawah Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dengan mandat melaksanakan kursus, latihan dan pertauliahan jawi secara rasmi.

"Agenda jawi ini tidak boleh dianggap sebagai sisipan atau pelengkap semata-mata, sebaliknya mesti dijadikan komponen penting dalam membina negeri yang bertamadun dan berindentiti," titah baginda menerusi hantaran di Facebook rasmi Kesultanan Pahang.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berkenan berangkat bercemar duli ke Mesyuarat MUIP kali ke-194 di Pekan, hari ini.

Turut berangkat Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah yang juga Timbalan Yang Dipertua MUIP.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi hantaran di Facebook, merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi kasih atas titah dan saranan Al-Sultan Abdullah berhubung penubuhan Pusat Rujukan Jawi Pahang.

"Sesungguhnya, saranan baginda amat bertepatan dengan usaha memperkasa warisan bangsa dan memperkukuh jati diri umat Islam di negeri ini.

"Patik menyambut baik hasrat murni ini dan akan memberi sokongan sepenuhnya bagi merealisasikan penubuhan Pusat Rujukan Jawi Pahang.

"Semoga dengan penubuhan pusat ini agenda memartabatkan tulisan Jawi diperkasa sebagai teras pendidikan, rujukan dan pemeliharaan tulisan jawi," katanya. #BeritaHarian

Share:

Sri Pahang FC Bakal Ikut Jejak Langkah Perak FC Tarik Diri Dari Saingan Liga Super Pada Musim Depan

KUALA LUMPUR: Naib juara Piala Malaysia musim 2024/25, Sri Pahang FC seolah-olah memberi bayangan akan mengikut jejak langkah Perak FC yang menarik diri dari saingan Liga Super musim depan.

Ini kerana pemiliknya, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah berkata, beliau meminta diri untuk mengundur diri daripada pasukan itu ketika ditanya sama ada Sri Pahang masih bersaing dalam Liga Super musim depan.

“Tahun depan saya minta undur diri,” katanya ketika ditemubual Astro Arena bersama Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.

Sebelum ini, terdapat dakwaan bahawa pasukan dari Pantai Timur itu tidak akan menyertai saingan Liga Super musim depan kerana isu kewangan.

Pada temu bual itu juga, Tengku Abdul Rahman turut berbangga dengan pencapaian  JDT di bawah pimpinan Tunku Ismail selama 12 tahun. JDT berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia selepas menewaskan Sri Pahang 2-1.

“Tahniah kepada JDT, Tunku Mahkota Ismail khasnya yang sudah membimbing JDT selama 12 tahun dari usia yang muda. Saya mengikuti perkembangan dan idea-idea Tunku Mahkota Ismail. Saya boleh nampak perubahan tempo, kualiti dan ini akan meningkatkan lagi pasukan kebangsaan,” kata Tengku Abdul Rahman. #MalaysiaGazette

Share:

Hubungan Kerjasama Antara Pahang - Jordan Diperkemas Bagi Manfaat Pelajar Dalam Hal Ehwal Akademik

KUANTAN: Hubungan kerjasama antara Pahang dan Jordan terus diperkemas bagi memanfaatkan kepada pelajar di negeri ini dalam hal ehwal akademik.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, delegasi kerajaan negeri berkunjung negara itu bermula hari ini dengan misi meningkatkan kerjasama antara dua buah negara.

”Saya memulakan tugasan rasmi ke Jordan bersama delegasi dari Pahang dengan mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pengajian Tinggi dan Kajian Saintifik Jordan, Prof. Dr. Azmi Mahmoud Mahafzah di pejabat beliau di Amman.

”Alhamdulillah, pelbagai perkara telah dibincangkan khususnya berkaitan peluang kerjasama dalam bidang pendidikan dua hala antara Negeri Pahang dan Jordan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Rosdy merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian pihak beliau menerima kunjungan tersebut.

”Insya-Allah, semoga pertemuan ini membuka lebih banyak ruang manfaat, khususnya dalam usaha menghantar lebih ramai anak-anak Pahang melanjutkan pengajian ke Jordan,” tambahnya.

Turut sama Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi Dan Pendidikan, Datuk Seri Mohd Soffi Abd. Razak dan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Lawatan kerja selama enam hari di negara Arab itu bermula bermula hari ini sehingga 2 Mei nanti.#MalaysiaGazette
Share:

Kegiatan Melombong Emas Secara Haram Di Kampung Temin Lipis Tumpas, Seorang Warga Asing Ditahan

LIPIS: Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) membongkar kegiatan melombong emas secara haram di Kampung Temin, di sini, kelmarin.

Susulan operasi dijalankan Skuad Elit UPNP kira-kira jam 2 petang itu, seorang lelaki warga Indonesia ditahan, manakala empat yang lain berjaya meloloskan diri dengan lari ke dalam hutan berhampiran.

Ketika serbuan, lima lelaki terbabit sedang melakukan aktiviti melombong di kawasan terbabit, dengan menggunakan peralatan seperti jengkaut, palong dan pam air.

Ketua UPNP, Saifullah Muhammad Ali, mengesahkan ketika serbuan lelaki warga asing yang ditahan itu dikesan sedang mencuci palong yang digunakan untuk menapis mineral disyaki emas.

"Empat rakannya yang turut dikesan di lokasi berjaya melarikan diri, sebelum pihak penguat kuasa menyita peralatan digunakan untuk melombong emas secara haram itu.

"Semakan dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang mendapati kegiatan melombong itu tidak mendapat kebenaran atau permit pihak berkuasa negeri," katanya.

Saifullah berkata, lelaki ditahan itu kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral 2001 Negeri Pahang kerana melombong tanpa kebenaran sah.#BeritaHarian

Share:

Piala Malaysia: Perlawanan Separuh Akhir 'Final' Sebenar Sri Pahang FC, Lawan JDT Malam Tadi Sekadar Bonus

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Sri Pahang FC Fandi Ahmad berkata perlawanan separuh akhir Piala Malaysia 2024/2025 menentang Sabah FC merupakan "final" sebenar buat mereka dalam banyak aspek.

Bekas penyerang Pahang dan Singapura itu berkata, anak buahnya meraikan kejayaan mara ke peringkat akhir kerana mereka percaya tuah mungkin tidak menyebelahi mereka pada perlawanan kemuncak itu.

Ironinya, dalam aksi berkenaan, skuad Tok Gajah tewas 1-2 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini malam tadi.

"Pasukan sangat komited untuk perlawanan ini kerana mereka tidak beraksi dengan baik dalam liga ... sepatutnya tahun ini kami berusaha untuk berada dalam kelompok tiga teratas, tetapi pelbagai perkara berlaku, sangat sukar untuk memotivasikan pemain, namun kami perlu berjuang untuk piala ini, mesti mara ke final.

"Sebenarnya, perlawanan separuh akhir menentang Sabah FC merupakan final kami, (perlawanan malam tadi) pula satu bonus. Selepas beraksi, semua meraikannya kerana kami berjaya ke peringkat akhir walaupun kejayaan (menjadi juara) tidak berpihak kepada kami," katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Mengulas mengenai penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) semasa perlawanan, Fandi meluahkan rasa kecewanya.

"Bagi saya, VAR satu kekecewaan kerana tiada siapa tahu apa yang berlaku, hanya orang di dalam (yang tahu), kami tidak boleh kata baik atau buruk, adil atau tidak. Saya rasa anda semua tahu, tetapi apa yang boleh kami katakan?" katanya yang enggan mengulas lanjut tentang kualiti pengadilan.

Perlawanan akhir berintensiti tinggi itu menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas dua kad merah dilayangkan pengadil Razlan Joffri Ali kepada penyerang Sri Pahang Sergio Aguero dan pertahanan JDT Park Jun Heong.

Sri Pahang, di bawah bimbingan Fandi, mengejutkan JDT apabila mendahului menerusi jaringan pemain sayap T. Saravanan pada minit ke-14.

Namun, berbekalkan pengalaman, JDT bangkit menyamakan kedudukan dengan sepakan penalti daripada penyerang prolifik Bergson Da Silva pada minit ke-54 sebelum Arif Aiman Mohd Hanapi menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-74.

Kemenangan itu melengkapkan kejayaan triple treble JDT, menjadikan mereka satu-satunya pasukan mencapai tahap itu selepas Kedah mencatatkan double treble pada musim 2007 dan 2008.

Untuk rekod, triple treble merujuk kepada pencapaian memenangi tiga kejuaraan utama gelaran bola sepak Malaysia, iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia dalam satu musim. #AstroAwani

Share:

Fandi Berpuas Hati Dengan Barisan Pemain, Mereka Beri Komitmen Beraksi Baik Tapi Kena Kad Merah

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Sri Pahang, Fandi Ahmad, berpuas hati dengan berisan pemain bersama staf kejurulatihan yang memberikan komitmen memuaskan dalam aksi final Piala Malaysia 2024/25 meskipun tewas 1-2 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT), malam tadi.

Dia turut berasakan kad merah yang dilayangkan kepada Sergio Aguero dalam separuh masa pertama merencatkan peluang yang dimiliki pasukan untuk menambah jaringan di Stadium Bukit Jalil.

Jaringan Sri Pahang hadir menerusi T. Saravanan, manakala JDT daripada sepakan penalti Bergson dan Arif Aiman Hanapi.

Untuk rekod, JDT berjaya menyamai pencapaian Selangor (1995-1997) dan Kuala Lumpur (1987-1989) dengan melakar hatrik kejuaraan Piala Malaysia dari 2022-2024/2025.

"Ini tujuan kami ke sini untuk inginkan kemenangan, pemain beri 200%. Kami rasa berputus asa dengan keadaan tadi, kami beraksi baik tetapi kena kad merah. Itu yang melemahkan peluang kita.

"Saya berterima kasih, mereka telah beri yang terbaik, mereka berjuang selepas berlatih beberapa minggu, kami mempersiapkan pasukan agar aksi akhir lebih menarik." katanya. #AstroAwani

Share:

JDT Dinobatkan Juara Unifi Piala Malaysia Selepas Sewaskan Sri Pahang FC 2-1 Di Stadium Nasional Bukit Jalil

KUALA LUMPUR: Magis Sri Pahang bertahan sekadar 45 minit. Johan 11 kali berturut-turut Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta'zim (JDT), menyapu bersih semua gelaran domestik untuk dua musim tanpa henti apabila dinobatkan juara Unifi Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam tadi.

Untuk rekod, ini adalah final kelima berturut-turut Harimau Selatan dalam kejohanan paling berprestij itu.

Lebih menarik, JDT berjaya menyamai pencapaian Selangor (1995-1997) dan Kuala Lumpur (1987-1989) dengan melakar hatrik kejuaraan Piala Malaysia dari 2022-2024/2025.

Tok Gajah gagal mengulangi pencapaian 2014 dan JDT berhasil membalas dendam atas kekalahan dahulu.

Seperti sedia maklum, kehilangan bintang, Kpah Sherman dan Manuel Hidalgo akibat penggantungan tidak menguntungkan kem Sri Pahang.

T. Saravanan terlebih dahulu meletakkan skuad kendalian Fandi Ahmad di hadapan menewaskan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, untuk kedudukan 1-0 melewati separuh masa pertama.

Namun, Sri Pahang terpaksa melupakan khidmat pemain Harimau Malaya, Sergio Aguero, apabila dilayangkan kad merah pada minit ke-34, membuatkan persembahan skuad berjersi kuning itu terencat dan harus menutup segala ruang.

Memasuki babak kedua, juara Piala FA itu mengatur pelbagai serangan demi membutirkan hasil.

Dan Peman Import Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2024/25, Bergson Da Silva, akhirnya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti selepas pertahanan, Azrif Nazrulhaq Badrul Hisham, mengasari Oscar Arribas.

Berselang 10 minit kemudian, pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali, tidak terburu-buru melayangkan kad merah kedua permainan tatkala terjahan keras pemain import, Park Jun-heong, mengakibatkan kecederaan kepada tonggak Sri Pahang.

Ia sekali gus, menyaksikan aksi kembali seimbang dengan 10 lawan 10.

Secara kasar, JDT banyak melepaskan peluang dan tersasar untuk mencari gol seterusnya.

Di sebalik usaha keras itu, Pemain Paling Bernilai (MVP) empat kali berturut-turut, Arif Aiman Hanapi, menjadi wira JDT dengan rembatannya di sudut kanan menembusi gawang Zarif Irfan Hashimuddin untuk kedudukan 2-1.

Asakan demi asakan cuba dihasilkan kedua-dua pasukan, namun kebuntuan menyelubungi serangan.

Tamat permainan, JDT sekali lagi diangkat sebagai juara. #AstroAwani

Share:

JDT Buru Penamat Gemilang Musim Di Final Piala Malaysia Esok, Tutup Kempen Dengan Penuh Bergaya

KUALA LUMPUR: Juara Liga Super dan Piala FA, Johor Darul Ta'zim (JDT), berazam menutup kempen musim ini dengan penuh bergaya apabila turun menentang Sri Pahang FC dalam aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Ketua jurulatih JDT Hector Bidoglio menyifatkan aksi final itu sebagai amat penting dan menuntut pasukannya mengekalkan rentak cemerlang yang ditampilkan sejak awal musim.

"Ia perlawanan sangat penting. Pemain telah bekerja keras sepanjang musim yang panjang ini dan berada pada tahap prestasi terbaik.

"Kami perlu kekalkan momentum ini kerana esok adalah perlawanan terakhir musim ini. Kami mahu akhiri musim dengan cara terbaik," kata jurulatih berusia 57 tahun dari Argentina itu dalam sidang media praperlawanan, hari ini.

Bidoglio mengakui berpuas hati dengan perkembangan pasukan, namun mengingatkan bahawa pentas final menuntut komitmen sepenuhnya daripada setiap pemain.

"Saya gembira mengikuti falsafah dan idea kelab serta visi pemilik JDT. Kami berada dalam fasa yang baik, tetapi ini adalah perlawanan akhir dan ia sentiasa sukar. Kami perlu berikan tumpuan sepenuhnya kerana Sri Pahang adalah pasukan yang berkualiti.

"Saya tidak suka bercakap tentang pihak lawan atau pemain mereka. Walaupun saya menganalisis kelebihan individu mereka, tumpuan saya hanya kepada pasukan sendiri," jelasnya.

Sementara itu, kapten pasukan Natxo Insa menyifatkan aksi menentang Sri Pahang sebagai cabaran berbeza dan menuntut Harimau Selatan kekal setia dengan identiti permainan mereka.

"Final adalah perlawanan berbeza. Sri Pahang mempunyai pengalaman dalam saingan ini dan mereka adalah antara pasukan besar negara.

"Kami sedar tanggungjawab yang dipikul untuk pertahankan nama JDT, rekod kelab dan gaya permainan kami. Kami sudah bermain cemerlang sepanjang musim, jadi kami mahu akhiri musim dengan rentak sama," kata pemain tengah berusia 38 tahun itu yang sudah merangkul empat kejuaraan Piala Malaysia bersama JDT sejak 2017, termasuk dua kali berturut-turut pada 2022 dan 2023.

Kali terakhir JDT dan Sri Pahang bertemu di pentas final Piala Malaysia ialah pada musim 2014, yang menyaksikan skuad Tok Gajah muncul juara menerusi penentuan penalti 5-3 selepas terikat 2-2.

Dalam saingan Liga Super musim ini, JDT mencatat dua kemenangan ke atas Sri Pahang 3-0 dan 3-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

JDT kini memburu sejarah untuk menjadi pasukan pertama memenangi 'triple-treble' selepas menjulang kejuaraan Liga Super dan Piala FA musim ini. #AstroAwani

Share:

Fandi Ahmad Mengakui Skuad Sri Pahang FC Boleh Cipta Keajaiban, Akan Beri Saingan Sengit Kepada JDT

KUANTAN: Ketua Jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad mengakui skuad bimbingannya adalah pasukan 'underdog' jika dibandingkan dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang memiliki pelbagai kelebihan dalam aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SBNJ) esok.

Bagaimanapun, Fandi berkata, skuad Tok Gajah masih berpeluang mencipta keajaiban menerusi kesungguhan dan keazaman tinggi pemain untuk membuktikan keupayaan mereka dalam memberi saingan sengit kepada pasukan Juara Liga Super itu.

"Apa yang kita ada hanyalah kesungguhan pasukan untuk bersatu, bekerja keras dan berdisiplin serta nekad untuk merebut kejayaan pada final kelak.

"Semangat dan motivasi seperti ini amat penting malah bagi saya kemaraan Sri Pahang musim ini sudah satu bonus kerana kita berjaya mengukir sejarah setelah 11 tahun tidak beraksi di pentas final," katanya ketika dihubungi Bernama.

Legenda Singapura berusia 62 tahun itu berkata perkara utama yang perlu dilakukan anak buahnya pada aksi itu nanti adalah mengelak daripada melakukan kesilapan pada babak awal permainan.

"Perkara kedua ialah pemain perlu membantu satu sama lain dan sentiasa berkomunikasi, jangan terlalu gopoh apabila memperoleh peluang serta jangan pula mensia-siakannya," katanya.

Beliau berkata, selain melakukan persiapan bagi mengharungi tempoh 90 minit perlawanan, pihaknya turut mengadakan latihan mengambil sepakan penalti dalam kalangan pemain jika perlawanan terpaksa diheret kepada penentuan itu.

"⁠Kita pastikan ada latihan sepakan penalti tetapi kita berusaha agar perlawanan berakhir 90 minit, insya-ALLAH menang kalah hanya ALLAH yang lebih mengetahui," katanya.

Untuk rekod, pasukan Sri Pahang pernah menewaskan JDT 5-3 menerusi penentuan penalti selepas seri 2-2 di pentas akhir Piala Malaysia 2014.

Skuad Harimau Selatan itu kini pula dalam misi mengekalkan kejuaraan buat kali kelima setelah meraih empat gelaran Piala Malaysia pada 2017, 2019, 2022 dan 2023. #SinarHarian

Share:

Hanya 11,777 Tiket Sri Pahang Terjual, Penyokong Skuad Tok Gajah Digalakkan Pakai Baju Berwarna Kuning

KUANTAN: Berbaki tiga hari menjelang aksi final Piala Malaysia Sabtu ini, sebanyak 11,777 daripada 33,600 tiket yang diperuntukkan kepada Sri Pahang sudah terjual setakat semalam.

Sumber Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) memaklumkan bahawa daripada jumlah itu, 8,511 tiket dijual secara dalam talian manakala 3,266 tiket pula dibeli secara pukal sejak jualannya bulan lalu.

"Dengan jualan 11,777 tiket setakat ini, sebanyak 21,823 tiket yang masih berbaki diharap dapat dijual berbaki tiga hari ini.

"Kelab sememangnya meminta penyokong Sri Pahang untuk hadir memberikan sokongan selepas kali terakhir skuad Tok Gajah menjulang Piala Malaysia pada 2014," kata sumber itu.

Sebelum ini, SPFC mengumumkan bahawa tiket hanya dijual secara dalam talian di tickethotline dan tiada jualan tiket fizikal.

Harga sudah termasuk caj tambahan dengan setiap transaksi terhad kepada empat keping tiket. Empat kategori tiket dijual iaitu RM54.59, RM75.19, RM157.59 dan RM209.09.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPFC, Datuk Mohammed Suffian Awang, berkata kelab itu percaya sokongan padu akan diberikan peminat skuad Tok Gajah pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

"Oleh itu, kelab menggalakkan peminat skuad Tok Gajah memakai baju berwarna kuning sebagai tanda sokongan dan warna yang sinonim buat pasukan kesayangan mereka.

"Bagaimanapun, terpulang kepada peminat sama ada mahu memakai baju dan seluar kuning sebagai suntikan semangat kepada pemain," kata Mohammed Suffian. #HarianMetro

Share:

Ketua Polis Pahang: Siasatan Ke atas Ahli Parlimen Raub, Pengerusi SAMKA Kini Dalam Peringkat Akhir

KUANTAN: Polis dalam fasa akhir siasatan membabitkan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dan Pengerusi Save Musang King Alliance (SAMKA), Wilson Chang berhubung dakwaan menghalang penjawat awam menjalankan tugas dalam operasi penguatkuasaan kebun durian di Raub pada 10 April lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata kertas siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) tidak lama lagi.

"Pada 14 April lalu, mereka ditahan di Ibu Pejabat Polis Raub untuk membantu siasatan berhubung dakwaan itu sebelum dibebaskan keesokannya.

"Kami juga turut menyoal siasat beberapa individu lain dalam kes terbabit.

"Siasatan masih berjalan dan dalam fasa akhir sebelum diserahkan kepada Pejabat DPP," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 15 April lalu, Yu Hui dan Wilson dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan bagi membantu siasatan kerana didakwa menghalang penjawat awam menjalankan tugas dalam operasi penguatkuasaan kebun durian di Raub.

Sebelum ini, operasi penguatkuasaan ke atas kebun durian di Raub mencetuskan pelbagai reaksi apabila pekebun didakwa tidak berpuas hati selepas tanaman mereka dimusnahkan.

Kerajaan Pahang pula menafikan melanggar perintah mahkamah apabila kira-kira 200 pokok durian Musang King ditebang dalam operasi di Sungai Klau, Raub pada 8 April lalu.

Operasi yang disertai polis dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) itu dijalankan di kawasan kebun yang diteroka tanpa kebenaran. #HarianMetro

Share:

Ceroboh Tanah Haram: Menteri Besar Beri Amaran Keras Semua Pihak Tidak Cabar Ketegasan Kerajaan Pahang

KUANTAN: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memberi amaran keras kepada semua pihak agar tidak mencabar ketegasan Kerajaan Negeri dalam menangani isu pencerobohan tanah haram.

Tegasnya Kerajaan Negeri Pahang akan mempertingkat usaha membanteras pencerobohan dengan lebih tegas menerusi kerjasama agensi penguatkuasaan dalam memantau, menguatkuasa dan mengambil tindakan undang-undang.

“Saya ingin tegaskan di sini, Kerajaan Negeri Pahang tidak akan sesekali berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menceroboh tanah milik kerajaan secara haram.

“Tindakan sedemikian bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mencabuli kedaulatan dan maruah pentadbiran negeri ini,” katanya.

Ujarnya pencerobohan tanah kerajaan adalah satu jenayah dan pihaknya akan menggunakan segala peruntukan undang-undang yang ada bagi memastikan setiap inci tanah yang diceroboh secara haram akan diambil kembali dan dipulihkan semula.

Jelasnya bermula pada tahun 2023, tindakan telah diambil untuk mendakwa penceroboh ke muka pengadilan, dan tidak lagi hanya mengenakan kompaun seperti sebelumnya.

“Kita tidak akan tunduk kepada mana-mana tekanan, ugutan atau helah daripada pihak yang tidak bertanggungjawab, sama ada individu mahu pun kumpulan.

“Kita akan pastikan bahawa tanah kerajaan dimanfaatkan untuk pembangunan negeri, demi kesejahteraan rakyat secara menyeluruh, bukan untuk kepentingan segelintir yang tamak dan tidak bertanggungjawab

Wan Rosdy berkata sebagaimana disebut oleh ADUN Lantikan, Mohd Fadzli Mohd Ramly, Selasa lalu, terdapat beberapa kes pencerobohan yang telah didakwa di mahkamah dan dikenakan denda melebihi RM100,000.

Jelas beliau, tindakan tersebut bukan untuk memalukan sesiapa tetapi sebagai peringatan dan pengajaran bahawa Kerajaan Negeri amat serius dalam menangani isu berkenaan secara menyeluruh. #MalaysiaGazette

Share:

Wan Rosdy: Kerajaan Pahang Rampas Atau Melucut Hak 1,082 Lot Tanah Kerana Pemilik Gagal Membayar Cukai

KUANTAN: Tindakan merampas atau melucut hak terhadap pemilik tanah yang gagal membayar cukai tanah di Pahang dilaksanakan mengikut prosedur ditetapkan.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata sebelum tindakan melucut hak dilaksanakan pemilik tanah akan diberikan notis, antaranya untuk membayar tunggakan terlebih dahulu.

Beliau berkata sehingga kini terdapat 1,082 hak milik tanah telah dilucut hak oleh pentadbir tanah di seluruh Pahang manakala jumlah kutipan hasil penalti yang dikutip sebanyak lebih RM1.4 juta.

"Tanah kalau tak bayar cukai pun kita rampas tetapi bagi notis dahalu, maknanya prosedur dan peraturan ditetapkan kita patuhi," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Mohd Fadzli Mohd Ramly (ADUN Lantikan) yang ingin tahu jumlah hak milik tanah yang telah dirampas dan tidak dikembalikan kerana gagal membayar cukai tanah dan jumlah penalti yang diperoleh kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, beliau berkata pemilik tanah boleh berunding dengan pentadbir tanah jika terdapat isu berbangkit kerana kerajaan negeri tidak sewenang-wenangnya akan membatalkan hak milik dan menyerahkannya kepada orang lain.#Malaysiakini

Share:

Azam Baki: Ceroboh Hutan Simpan Raub, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Buka Semula Kertas Siasatan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka semula kertas siasatan berhubung pencerobohan hutan simpan di Raub, Pahang yang mendapat perhatian masyarakat, baru-baru ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan terdahulu yang dibuka pada tahun 2021 kini disambung semula dengan tumpuan khusus terhadap beberapa aspek.

"Dulu kita pernah membuka kertas siasatan yang seumpamanya pada 2021, jadi kesinambungan daripada itu, berhubung dengan isu baharu ini saya telah mengarahkan SPRM Pahang untuk meneruskan siasatan dan kita juga melihat dua perkara, satu isu rasuah, bagaimana penerokaan haram itu boleh dilakukan dalam tempoh tempoh tertentu.

"Yang kedua isu berhubung dengan tatakelola yang diamalkan di pejabat pejabat tanah dan pejabat tanah galian. Jadi ini siasatan menyeluruh akan dijalankan oleh SPRM Pahang dalam hal ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah Ke-11 Tahun 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Isu penerokaan tanah haram di Raub kembali menjadi tumpuan selepas laporan media dan aduan penduduk tempatan mendakwa wujud kegiatan pencerobohan dan pembalakan tanpa lesen di kawasan tanah kerajaan serta hutan simpan.

Semalam, badan bukan kerajaan (NGO) memerangi rasuah, Malaysia Corruption Watch (MCW) mendakwa elemen kelalaian sistematik, pengabaian tanggungjawab atau perlindungan terancang oleh individu tertentu dalam kalangan pihak berkuasa adalah faktor kepada pencerobohan hutan simpan secara besar-besaran di Pahang.

Presidennya, Jais Abdul Karim, berkata MCW menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula atau memperluas kertas siasatan terhadap pelbagai pihak termasuk pegawai kerajaan negeri, wakil rakyat, agensi teknikal dan pihak berkuasa tempatan yang disyaki bersekongkol, melindungi atau membenarkan penerokaan haram berlaku dalam tempoh panjang. #AstroAwani

Share:

Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia Panggil Individu Muat Naik Kandungan Palsu Terhadap Kerajaan Pahang

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam percakapan seorang individu dipercayai memuat naik kandungan palsu berkaitan negeri Pahang di platform Facebook miliknya pada 19 April lalu.

MCMC dalam kenyataannya memaklumkan, kandungan tersebut dipercayai dijana melalui bantuan kecerdasan buatan (AI) dan ekoran itu, pelbagai spekulasi dan persepsi negatif timbul dalam kalangan orang awam, berkaitan pekebun haram di daerah Raub, Pahang.

“Sesi rakaman percakapan dan siasatan lanjut telah dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya semalam. Sebuah telefon bimbit serta satu kad sim telah disita bagi tujuan analisis forensik.

“Kes disiasat di bawah seksyen 233 Akta 588 dan jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, atau penjara maksimum sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali,” menurut MCMC hari ini.

MCMC tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati menyalahgunakan laman media sosial bagi tujuan penyebaran hantaran atau komentar palsu. #KOSMO!

Share:

Shukri Zakaria, Bekas Penerbit Rancangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Pahang Meninggal Dunia Di Madinah

KUANTAN: Bekas Penerbit Rancangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Pahang, Shukri Zakaria, 67 tahun, disahkan meninggal dunia jam 8.30 pagi tadi waktu tempatan di Madinah.

Allahyarham disahkan mengalami serangan jantung sehari sebelum dijadualkan pulang ke tanah air iaitu semalam.

Menurut anak Allahyarham, Suhaili Shukri, arwah bapanya selesai menunaikan umrah bersama lima lagi ahli keluarga termasuk isteri, Rohana Abdullah namun tiga ahli keluarga sudah berlepas pulang ke tanah air semalam.

Berita kehilangan allahyarham dimaklumkan ibu dan kakaknya, Shazwanis Shukri, selepas Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Al Zahra, Madinah.

Allahyarham akan dikebumikan di tanah perkuburan Al-Baqi, Madinah selepas waktu Zohor Madinah.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, lima anak dan tiga cucu.

Allahyarham pernah berkhidmat sebagai wartawan, pengulas sukan dan juruhebah di RTM Pahang. #BeritaRTM

Share:

Tujuh GLC Pahang Catat Keuntungan Berdasarkan Prestasi Kewangan Beraudit Pada Tahun 2023, Dua Lagi Rugi

KUANTAN: Tujuh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Pahang mencatatkan nilai keuntungan berdasarkan prestasi kewangan beraudit pada tahun 2023, manakala dua lagi syarikat induk merekodkan kerugian.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, menegaskan bahawa pihaknya akan sentiasa memantau prestasi dan hala tuju GLC bagi memastikan syarikat-syarikat tersebut terus menjadi penyumbang utama kepada hasil dan pembangunan ekonomi negeri.

“Tujuh syarikat kumpulan mencatatkan keuntungan, iaitu Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP), Kumpulan Yayasan Pahang, Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang, Kumpulan Pahang Corporation atau Pahang Corp, Kumpulan Perbadanan Setiausaha Kerajaan, Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands, dan Perbadanan Taman Negeri,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Cheka) pada sesi pertanyaan lisan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini.

Jelas beliau, dua GLC yang menanggung kerugian ialah Kumpulan Amanah Saham Pahang Berhad yang mengalami kerugian akibat prestasi lemah anak syarikat utamanya, Mentiga Corporation Berhad, dan Pengurusan Pasir Pahang Berhad yang mengalami kerugian disebabkan pembekuan Lesen Eksport (AP) oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

“Bagi syarikat yang merekodkan kerugian seperti Mentiga Corporation, kita telah meminta supaya syarikat berkenaan menyediakan pelan pemulihan dalam unjuran lima tahun untuk mereka bentuk semula dan merancang pemulihan perniagaan.

Manakala bagi Pengurusan Pasir Pahang Berhad, rayuan untuk mendapatkan lesen akan terus dimajukan kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya.#BeritaRTM

Share:

Seramai 302 Orang Pesara Kerajaan Di Negeri Pahang Rugi Lebih RM20 Juta Angkara Penipuan Dalam Talian

KUANTAN: Seramai 302 pesara kerajaan antara 5,658 individu menjadi mangsa penipuan secara dalam talian yang keseluruhannya berjumlah RM120 juta bagi tempoh tiga tahun sejak 2022 hingga 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang, berkata berdasarkan statistik Polis Pahang, pesara kerajaan yang menjadi mangsa penipuan itu meningkat setiap tahun.

Katanya, pada 2022, statistik merekodkan seramai 85 pesara kerajaan mengalami kerugian RM8.9 juta, diikuti 102 pesara dengan kerugian RM3.7 juta (2023) dan 115 pesara pula membabitkan kerugian RM8.9 juta pada tahun lalu.

"Bagi tempoh tiga tahun, sejumlah RM35 juta kerugian direkodkan pada 2022, diikuti RM46 juta (2023) dan RM39 juta (2024) yang membabitkan 5,658 mangsa termasuk 302 pesara kerajaan," katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Chon Siang berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Wong Tat Chee (Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan) yang ingin tahu jumlah pesara kerajaan yang mengalami kerugian penipuan secara dalam talian bagi tempoh tiga tahun sejak 2022.

Katanya, sebanyak 88 ceramah dianjurkan polis Pahang untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai.

"Dalam kes ini saya meminta masyarakat berhati-hati dan tidak tamak serta mengejar kekayaan dengan mudah," katanya menjawab soalan tambahan V Arumugam (BN-Sabai) yang mahu kerajaan mengambil langkah membendung kes terbabit.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Razali Kassim, berkata Pahang mempunyai 12 hospital di seluruh negeri itu.

Katanya, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini berstatus hospital negeri, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh (hospital pakar major) dan Hospital Kuala Lipis, Bentong dan Pekan (hospital pakar minor).

"Hospital Raub, Jengka, Jerantut, Bera, Rompin, Muadzam Shah dan Sultanah Hajah Kalsom dikategorikan hospital daerah tanpa pakar," katanya menjawab soalan Su Keong Siong (DAP-Ketari). #HarianMetro

Share:

Tidak Wajar Menyerang Menter Besar Pahang Hanya Kerana Mendakwa Tindakan MP Raub Bersifat Peribadi

KUANTAN: Tidak perlu salahkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kononnya menyokong DAP bila mengatakan tindakan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui yang menghalang penjawat awam menjalankan tugas ketika operasi penguatkuasaan kebun durian di Raub baru-baru ini adalah bersifat peribadi.

Demikian ditegaskan oleh aktivis masyarakat, Mohd Shukri Mohd Ramli susulan melihat Wan Rosdy diserang bertalu-talu oleh netizen gara-gara kenyataan tersebut.

Menurut Shukri, Menteri Besar Pahang itu berkata pendekatan yang diambil wakil rakyat DAP tersebut bukanlah mewakili pendirian parti secara keseluruhan.

Kenyataan yang dibuat di Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning telah mengundang kemarahan ramai pihak termasuklah penyokong BarisanNasional (BN) sendiri.

"Semua pihak harus faham bahawa Wan Rosdy adalah pemimpin yang bertanggungjawab membongkarkan isu pencerobohan haram tanah kerajaan di Raub itu sebenarnya.

"Jika tidak, semua pihak tidak tahu bahawa musang king yang mengharumkan nama Raub selama ini sebenarnya dari tanah haram yang diceroboh," kata Shukri.

Justeru, tidak mungkin beliau pula menyokong Ahli Parlimen Raub yang juga merupakan Penasihat Save Musang King Alliance (SAMKA) iaitu NGO yang memperjuangkan hak para penceroboh haram itu.

"Wan Rosdy berjuang habis-habisan menentang penceroboh haram di Pahang, sehingga terwujudnya pasukan elit dalam Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) bermula Oktober 2021 bagi membantu memperkasakan usaha membanteras kegiatan penerokaan tanah, pembalakan dan perlombongan haram yang menyebabkan kerugian ratusan juta ringgit," katanya.

Lantaran itu dakwa Shukri, tidak wajar ditimbulkan cerita kononnya Wan Rosdy pula tidak serius dan memberi berbagai alasan untuk membiarkan Ahli Parlimen Raub terus bertindak biadap dan kurang ajar berhadapan dengan tindakan penguatkuasaan yang dilakukan terhadap penceroboh.

"Saya melihat kesalahan pencerobohan haram sejak 40 tahun lalu itu tidak boleh diletakkan ke atas bahu Menteri Besar semata-mata. Malah, Tuanku Sultan Pahang sendiri dengan jelas menegur kealpaan dan kelalaian pihak pentadbir tanah dalam urusan ini sebenarnya," dakwa Shukri lagi.

"Orang lain berak atas jalan, orang lain pula yang perlu membasuh najisnya," tambah beliau. #PahangDaily

Share:

MB Pahang Berani Tangani Pencerobohan Tanah Haram, Ketirian Hasil Negeri Sesuatu Yang Membanggakan

KUANTAN: Tindakan berani Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam menangani isu pencerobohan tanah haram dan ketirisan hasil negeri adalah sesuatu yang membanggakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berkata, pendekatan tegas itu bukan sahaja selari dengan titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah malah turut membuktikan tindakan Pahang menjaga kedaulatan tanah dan hasil bumi negeri ini.

“Kita sebagai rakyat jelata amat bangga dengan keberanian luar biasa Menteri Besar Pahang yang telah bertindak tegas dan meluaskan usaha untuk mengatasi masalah pencerobohan ini.

"Bukan sekadar apa yang (sedang) berlaku di Raub itu, tetapi juga hampir seluruh Pahang dan ini merupakan satu tindakan yang cukup baik serta merupakan satu keuntamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini, pada Isnin.

Mustapa menambah,penubuhan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) pada 15 Oktober 2019 adalah merupakan bukti jelas kesungguhan Pahang mengatasi itu.

Jelasnya, semua usaha itu dilakukan selepas ADUN Jelai dilantik sebagai Menteri Besar pada 15 Mei 2018.

"Kita memang menyanjungi usaha ini dan nampak usaha menyamai atau menyambut titah perintah Tuanku.

“Jadi, saya percaya selepas ini kita tidak akan memandang ke belakang lagi, untuk tindakan penguatkuasaan seperti ini dijalankan secara konsisten dengan pendekatan yang telus berlandaskan undang-undang.


"Tidak kira siapa yang melakukan,besar, kecil, kaya, miskin tindakan ini mesti dinoktahkan,” tegasnya.

Dalam persidangan itu, Mustapa menyokong penuh hasrat Al-Sultan Abdullah untuk menoktahkan segala bentuk pencerobohan dan rompakan terhadap harta kerajaan Pahang yang dikatakan sebagai musuh nombor satu negeri Pahang.

“Setiap ahli dewan harus memikul amanah besar ini mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negra.

"Bukan sekadar tanggungjawab moral malah merupakan tunjang kepada kestabilan negara,” katanya lagi. #SinarHarian

Share:

Tuan Ibrahim Cadang Kerajaan Pahang Tambah Kemudahan Kepada Anggota Penguatkuasa Pantau Pencerobohan

KUANTAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut mencadangkan agar kerajaan Pahang menambah kemudahan kepada anggota penguat kuasa sama ada teknologi moden termasuk dron bagi memantau pencerobohan.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini pada Isnin.

Jelasnya, tanpa peralatan dan sokongan teknologi yang canggih ia agak sukar untuk pihak berkuasa bertindak.

"Saya menyokong penuh titah Sultan Pahang dan tindakan yang diambil (pencerobohan tanah) dan turut dukacita dalam kes ini kerana ada pihak yang membela mereka yang melanggar undang-undang," katanya.

Selain isu pencerobohan tanah secara haram, Tuan Ibrahim berkata, kerajaan Pahang perlu bertindak segera dalam menyelesaikan Tanah Rizab Melayu (TRM).

Ujarnya, walaupun Al-Sultan Abdullah menzahirkan kegembiraan berkenaan peningkatan keluasan TRM kerajaan tidak boleh selesa.

"Terdapat aduan berkenaan kes 'Ali Baba' apabila terdapat individu pihak asing yang menggunakan nama Melayu atau kaum asal bagi mengaburi kerajaan.

"Ini juga adalah pencerobohan haram, malah ia adalah pengkhianatan baik kepada mereka yang menggunakan atau membenarkan penggunaan nama," katanya. #SinarHarian

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.