KUANTAN: Kerajaan Pahang mengesahkan 40 Ketua Isi Rumah (KIR) di Pahang dikategorikan sebagai miskin tegar berdasarkan statistik sehingga 18 April lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata jumlah tertinggi KIR miskin tegar ialah masing-masing empat KIR di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Lumpur, Beserah dan Padang Tengku.
Justeru, katanya, dalam usaha menoktahkan miskin tegar, pemantauan dan penyaluran bantuan dilaksanakan melalui platform Mesyuarat Jawatankuasa Focus Group Kesejahteraan Rakyat pada peringkat negeri serta daerah.
"Jawatankuasa ini akan mengenal pasti dan mengesahkan KIR yang tergolong dalam kategori miskin tegar.
"Melalui jawatankuasa ini, jabatan dan agensi pemberi bantuan pada peringkat daerah akan bekerjasama melaksanakan siasatan serta lawatan ke rumah secara berkala berdasarkan senarai dalam sistem e-Kasih bagi membuat semakan dan mengesyorkan bantuan yang layak untuk golongan ini," katanya menjawab soalan Su Keong Siong (DAP-Ketari) yang ingin tahu jumlah miskin dan miskin tegar di Pahang pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat DUN Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini
Justeru, beliau berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Wilayah dan Desa (KKWD) berusaha membantu menoktahkan jumlah miskin tegar.
"Antara inisiatif adalah melalui Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) iaitu program pembasmian kemiskinan luar bandar dengan penyediaan bantuan bina baharu atau pembaikan rumah kepada golongan miskin dan miskin tegar untuk memiliki kediaman selamat dan selesa.
"Bagi kategori miskin pula, seramai 13,483 KIR direkodkan di Pahang," katanya. #BeritaHarian







Tiada ulasan:
Catat Ulasan