KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan mahkamah membenarkan kes Titah Adendum bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak dibawa ke Mahkamah Rayuan memperlihatkan hasrat sebenar kerajaan dalam isu berkenaan.
Beliau berkata, walaupun ia adalah hak mahkamah dan tidak boleh dipertikaikan, semua pihak menyatakan kejanggalan luar biasa terhadap keputusan rayuan oleh Peguam Negara, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, mengenai persoalan undang-undang berkaitan wujudnya Titah Adendum.
“Rayuan ini kelihatan pelik apabila Istana Pahang telahpun mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan kewujudan adendum tersebut. Tindakan ini seolah-olah membawa maksud bahawa Peguam Negara tidak mempercayai kenyataan daripada Istana Pahang itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, peliknya Titah Adendum yang mahu dipersoalkan kewujudannya telah jelas dikeluarkan oleh pihak istana, ditularkan di media sosial, dibaca oleh rakyat umum, dan tidak dinafikan oleh pihak Istana Pahang.
Ketua Pembangkang Dewan Negeri Pahang itu berkata, lebih malang bagi Najib kerana parti beliau sendiri hanya bermain wayang apabila tiada satu pun kenyataan daripada pimpinan utama UMNO berkaitan isu berkenaan.
“Kesungguhan mereka pada peringkat awal mempertahankan kewujudan Titah Adendum bekas presiden mereka itu kini hanya tinggal kenangan. Mungkin masing-masing sudah lupa dan selesa dengan kedudukan mereka dalam kerajaan ketika ini,” ujarnya.
Bekas Menteri Air dan Alam Sekitar itu berkata, harus diingat bahawa yang dipertikaikan di sini ialah berkenaan isu Titah Adendum, bukan mengenai hukuman dikenakan.
“Sudah lebih setahun Dato’ Sri Najib menanti untuk mengesahkan kewujudan Titah Adendum tersebut. Kini, beliau terpaksa menunggu lagi sehingga selesai perbicaraan bagi mengesahkan kewujudan adendum tersebut
“Itu belum lagi jika kita berbicara tentang pelaksanaan Titah Adendum tersebut. Tentunya ia akan memakan masa yang lebih lama,” jelasnya.
Beliau berkata, apapun, Najib tetap perlu menjalani hukuman penjara dengan baki hukuman yang telah ditetapkan, dengan persoalan sama ada beliau akan menjalani tahanan di rumah atau kekal dalam penjara.
Katanya, ketika ini terdapat dua persoalan besar yang perlu difikirkan, iaitu bagaimana jika Titah Adendum berlaku pada masa depan dan apakah sejarah ini akan berulang serta menjadi satu kes duluan di masa hadapan.
“Jika ia dibenarkan oleh mahkamah, bagaimanakah proses pelaksanaannya, memandangkan ia melibatkan kedudukan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang baharu?
“Bagaimana ia akan dilaksanakan, sedangkan YDPA yang baharu tidak terikat dengan arahan YDPA yang lama?” persoalnya.
Beliau berkata, persoalan sama ada kes itu hanya menjadi perbincangan akademik dan Najib perlu melalui proses baharu untuk memperoleh pengampunan semula juga perlu difikirkan.
Katanya, perjalanan kes itu masih panjang dan rakyat sedang memerhati bagaimana sistem kehakiman, Lembaga Pengampunan, serta YDPA sebagai Pengerusi Lembaga Pengampunan menjalankan fungsi masing-masing mengikut Perlembagaan.
“Saya pasti Dato’ Sri Najib kini semakin jelas melihat lakonan oleh pimpinan Umno yang dahulunya mencium tangan beliau, tetapi kini semakin menjauhkan diri daripadanya,” katanya. #HarakahDaily







Tiada ulasan:
Catat Ulasan