KUANTAN: Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah berharap skuad Tok Gajah bersiap sedia menggempur kubu Johor Darul Ta'zim (JDT) esok sekali gus mencipta kemenangan bagi memastikan mereka layak ke pusingan Akhir Piala FA.
Tengku Abdul Rahman berkata, para pemain perlu menunjukkan prestasi terbaik pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Darul Makmur itu dan berjaya mencipta kemenangan di tempat sendiri.
"Saya yakin para pemain dan jurulatih dapat buat yang terbaik. Saya juga telah arahkan mereka untuk bekerja keras dan akhirnya berjaya ke peringkat akhir.
"Saya harapkan nasib menyebelahi kita pada perlawanan itu," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Dan Pengundian Pesta Piala Sultan Ahmad Shah (SAS) Muda 2014 di sini kelmarin.
Sebanyak 58 pasukan terdiri daripada 1,200 pemain dari seluruh negeri akan berentap untuk merebut Piala SAS di Temerloh berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat ini.
Dalam pada itu,Tengku Abdul Rahman mengingatkan penonton khususnya penyokong Tok Gajah supaya menjaga kelakuan mereka ketika perlawanan tersebut.
"Kedua-dua penyokong perlu saling hormat menghormati antara satu sama lain. Kepada pasukan yang menang janganlah terlalu keterlaluan hingga menyentuh perasaan pasukan lawan," katanya.
Katanya, beliau mengharapkan peminat Tok Gajah terus kekal memberikan sokongan padu kepada pasukan terbabit dan pihaknya menghargai sokongan mereka yang semakin meningkat terhadap Pahang.
"Para penyokong Pahang supaya datang memenuhi stadium bagi memberi semangat kepada pasukan ini pada perlawanan itu," katanya. #sumber








Tiada ulasan:
Catat Ulasan