KUANTAN - Ahli Jawatankuasa Surau Lapang Sasar dekat sini memohon kerajaan negeri membesarkan lagi ruang solat surau yang kini dalam pembinaan bagi membolehkan lebih ramai jemaah mengimarahkan surau berkenaan.
Ketua Biro Belia Surau Lapang Sasar, Muhammad Danial berkata, surau itu kini tidak boleh menampung jemaah yang kebanyakannya terdiri dari kalangan belia yang bekerja di bandar.
Menurutnya, jemaah juga semakin bertambah terutama ketika solat Jumaat sehingga terpaksa melakukan solat di bahagian tangga selain ruang bawah khemah yang sudah dipenuhi.
“Kami mewakili belia memohon surau itu dibesarkan sehingga dapat menampung kira-kira 1,500 jemaah kerana mereka yang solat sudah bertambah dari semasa ke semasa terutama golongan muda,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, pembesaran surau itu adalah antara usaha meningkatkan lagi keakraban sesama Islam dan menggalakkan golongan belia di sekitar bandar berjemaah bersama di surau itu.
Justeru, katanya, pihak surau itu berharap kerajaan negeri boleh mengambil kira perkara itu bagi menambahkan keluasan surau itu kepada satu ruang lebih besar dan selesa untuk menampung jemaah.
Surau Lapang sasar yang baru dibina kira-kira 100 meter dari lokasi lama dijangka siap sepenuhnya sebelum Ramadan tahun ini bagi memudahkan orang ramai solat berjemaah dan melakukan aktiviti keagamaan.
Bangunan bernilai RM2 juta dan bertaraf masjid itu dilengkapi bilik imam, perpustakaan dan siaraya serta mampu memuatkan 1,000 jemaah.
Selain dilengkapi bilik pengurusan jenazah, ruang tambahan yang dibina ialah tempat menukar lampin bayi bagi membolehkan semua golongan selesa singgah dan beribadat di situ.
Surau yang berkonsep hitam putih itu juga bakal menjadi tempat persinggahan kerana berada di tengah bandar selain sebagai kawasan rehat sebelum warga kerja di sekitarnya menyambung tugas. #sumber






Tiada ulasan:
Catat Ulasan