KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang menerusi Belanjawan 2025 akan meneruskan pemberian insentif dan bantuan kepada rakyat untuk membantu meringankan beban mereka.
Bertemakan ‘Prestasi Dipertingkat, Kemakmuran Dipertahan’, ia menjadi teras utama kepada intipati keseluruhan Belanjawan Negeri Pahang tahun 2025.
Menteri Besarnya, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagi menyeragamkan bentuk bantuan dan inisiatif sebelum ini, Bantuan Prihatin Pahang dan Program Pahang Makmur dijenamakan sebagai Inisiatif Makmur Pahang atau I.M. Pahang.
“Ia mempunyai matlamat yang sama iaitu usaha kerajaan negeri dalam menyampaikan bantuan dan sumbangan kepada semua lapisan masyarakat daripada yang baru lahir sehinggalah ke peringkat warga emas.
“Bagi meneruskan agenda kebajikan rakyat negeri ini, kerajaan negeri bersetuju memperuntukkan RM50.54 juta pada tahun hadapan melibatkan empat kluster iaitu Kluster Pelajar, Kluster Agama, Kluster B40 dan Kluster Umum,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri di Wisma Sri Pahang di sini pada Jumaat.
Menurut Dato’ Sri Diraja, belanjawan itu menjadi platform untuk menentukan hala tuju dan perancangan pembangunan negeri yang bakal memberikan impak besar kepada kesejahteraan dan kemajuan untuk rakyat dan negeri. #SinarHarian







Tiada ulasan:
Catat Ulasan