KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menzahirkan ucapan tahniah kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin yang menerima Anugerah Biduan Negara 2024.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menzahirkan harapan agar gelaran yang diterima anak jati Kuala Lipis itu dapat menyuntik semangat beliau untuk terus melakar lebih banyak lagi kejayaan pada masa akan datang.
"Baginda berdua juga berharap pencapaian diperolehnya mampu menjadi dorongan untuk individu lain mencapai kejayaan maksimum dengan usaha yang bersungguh-sungguh," menurut catatan di Facebook Kesultanan Pahang.
November lalu, meletakkannya sebagai penerima ketiga anugerah berprestij itu selepas penerima pertama, Allahyarham Puan Sri Saloma pada 1978, dan Allahyarham Datuk Sharifah Aini pada 2006.
Mula menceburi industri seni pada 1995, Siti Nurhaliza sepanjang pembabitannya telah memenangi lebih 300 anugerah dari dalam dan luar negara, termasuk 42 anugerah pada Anugerah Industri Muzik, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (25), Anugerah Planet Muzik (28), MTV Asia Award (empat), selain pengiktirafan Malaysia Book Of Records sebanyak dua kali.
Selain itu, beliau juga telah merakamkan lebih 200 lagu menerusi 20 album, mengadakan lebih 60 konsert di dalam dan luar negara serta disenaraikan sebagai 500 Muslim Berpengaruh Dunia 10 tahun berturut-turut, di samping pernah mengadakan konsert solo di Royal Albert Hall London pada 2005. #BeritaHarian








Tiada ulasan:
Catat Ulasan