KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Razak memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan keseluruhan perbicaraan penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi batal dan tidak sah.
Beliau juga memohon mahkamah menimbangkan supaya diadakan perbicaraan semula.
Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata ia berikutan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mendengar perbicaraan dan mendapati beliau bersalah di atas tujuh pertuduhan, sengaja gagal mendedahkan peranannya dalam Maybank Investment melalui Bina Fikir Sdn Bhd berkaitan penubuhan SRC.
Beliau berkata, dengan mengetahui perkara itu disembunyikan daripada pihak pembelaan, Mohd Nazlan membuat dapatan dalam penghakimannya bahawa bekas Perdana Menteri itu mempunyai kawalan menyeluruh ke atas SRC.
"Dapatan itu mendapati Najib terbabit dalam penubuhan dan struktur tadbir urus SRC bagi menempatkan dirinya melalui pelbagai jawatan menteri yang disandangnya untuk mendapatkan kedudukan dominan yang menyeluruh dan tidak boleh dipertikaikan dalam SRC.
"Dapatan hakim itu dalam keputusannya adalah bertentangan dengan fakta yang diketahuinya," katanya pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur (KMKL) di sini hari ini, yang turut dihadiri Najib.
Susulan itu, Muhammad Shafee berkata, pihaknya memfailkan permohonan notis usul di Mahkamah Persekutuan hari ini bagi memasukkan keterangan baharu berhubung peranan Mohd Nazlan bagi membatalkan perbicaraan SRC.
Beliau berkata, beberapa dokumen dibawa kepada perhatian pihaknya yang mendedahkan Maybank Investment Bank Bhd adalah badan yang bertanggungjawab untuk mencadangkan penubuhan SRC International dan ia melalui bahagian penasihat strategik milik penuhnya, Bina Fikir Sdn Bhd yang ditugaskan membuat penyelidikan serta urusan nasihat.
Katanya, keterangan baharu yang ingin dikemukakan jika diambil secara kumulatif mengesahkan Mohd Nazlan selaku peguam dan setiausaha syarikat Maybank ketika itu mempunyai pengetahuan mengenai peranan Maybank Investment dalam menasihati berhubung penubuhan SRC.
"Mohd Nazlan melalui kedudukan dan fungsinya adalah bertanggungjawab secara keseluruhan dalam pengendalian semua perkara undang-undang dalam kumpulan Maybank merangkumi Maybank Investment dan Bina Fikir Sdn Bhd.
"Pembabitan Maybank melalui Maybank Investment dan Bina Fikir dalam penubuhan SRC tidak pernah dibangkitkan pihak pendakwaan pada bila-bila masa ketika perbicaraan SRC dan tiada saksi daripada Maybank, Maybank Investment dan Bina Fikir dipanggil atau ditawarkan.
"Dalam apa juga keadaan, hakim itu sudah tentu mempunyai pengetahuan sebenar mengenai urusan nasihat berkaitan SRC berdasarkan jawatannya itu," katanya.
Dalam permohonan notis usul itu, Najib turut memohon perintah dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Mahkamah Persekutuan yang akan mendengar rayuan Najib, menetapkan prosiding rayuan akhir itu selama 10 hari bermula 15 hingga 26 Ogos ini.
Pada 28 Julai 2020, Mohd Nazlan mendapati Najib bersalah terhadap tiga tuduhan pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan salah guna kedudukan dana SRC berjumlah RM42 juta dan memerintahkannya dipenjara 12 tahun serta didenda RM210 juta.
Pada 8 Disember tahun lalu, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, sebulat suara menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman berkenaan. #sumber







Tiada ulasan:
Catat Ulasan