script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Panas: Ramai Kecewa Tulisan Fitnah Dr.Mashitah Ibrahim Dalam Akhbar Sinar Harian Sabtu Lalu !!

Ramai yang terkejut bila membaca tulisan Dr Mashitan Ibrahim (foto) di akhbar Sinar Harian, Sabtu lalu (3 Mac). Apa tidaknya, bekas pendakwa bebas itu dilihat sudah semakin pandai untuk membuat cerita fitnah dan memburuk-burukkan orang lain demi mengipas tuannya. Ia mungkin kerana beliau tidak mahu namanya tertinggal sebagai calon pada pilihanraya umum akan datang agaknya. Kenyataan Ustazah Mashitah yang cukup popular dengan "Seminar Belaian Kasih" itu dulu, kini sudah terlalu jauh terpesong. Ternyata beliau mula selesa dan serasi dengan jalan yang dipilihnya sekarang. Mashitah bukan lagi seorang Ustazah yang pernah kita kenali dulu. Beliau sudah mula melihat dunia adalah segalanya selepas dilantik ke dalam kabinet UMNO Barisan Nasional satu ketika dulu. Selesa dengan profolionya sebagai Timbalan Menteri yang menjaga hal ehwal agama, Mashitah kini dilihat berjaya meyakinkan pentadbiran kerajaan BN untuk terus mengekalkan beliau diposisi itu. Lantaran itulah, kita tidak hairan Mashitah semakin berani cuba mengulas isu skandal seks dan krisis politik Pakatan Rakyat seperti yang disiarkan oleh akhbar berkenaan baru-baru ini. Beliau mengulas dan mengulangi (ulangtayang), cerita seks yang direka dan diolah oleh puak-puak UMNO selama ini. Cerita yang dipopularkan oleh para blogger UMNO itu telah diulas dengan hanya menggunakan akal fikiran semata-mata oleh Mashitah. Antara isu terbabit ialah yang melibatkan kes Dr.Badrulamin Bahron yang dikatakan terlibat dengan skandalnya di Kuantan baru-baru ini. Di samping itu, dia turut mengulas tentang skandal seks yang melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Turut disentuh berkaitan kes khalwat Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu biar pun pemimpin terbabit disahkan tidak bersalah oleh mahkamah ketika itu. Paling mengejutkan, Mashitah turut mengambil laporan blogger UMNO berkaitan isu ADUN Selising (PAS) dikatakan berzina dengan isteri orang dalam gerabak keretapi. Tidak cukup dengan itu, beliau juga menfitnah Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang dikatakan pernal skandal dengan anak dara sunti berumur 10 tahun. Itulah antara cerita fitnah seks yang ditulis oleh Mashitah dalam akhbar terbabit.

[Bahagian paling sesat dalam tulisan Mashitah ialah pada penutupnya. Beliau dengan bangganya menyeru rakyat jelata supaya tidak seharusnya terpengaruh dengan gelaran ustaz atau lebai hatta tuan guru daripada kalangan pemimpin parti pembangkang. Malah katanya mereka juga tidak perlu terpegun dengan jubah yang labuh, serban yang tinggi atau janggut yang panjang yang dipakai oleh pemimpin terbabit. Kenyataan Mashitah ini seolah-olah beliau cuba untuk menghina sunnah Nabi Muhammad SAW sebenarnya. Beliau jelas sudah lupa siapakah dirinya sekarang. Mashitah perlu kembali ke jalan kebenaran jika tidak mahu dirinya tersesat buat selamannya. Sia-sia sahaja segala ilmu agama yang ada padanya, bila tergamak meletakkan diri beliau setaraf dengan ahli UMNO "kedai kopi" dengan mengambil cerita fitnah yang ditulis oleh blogger pro kerajaan untuk di sebar kepada umum. Maka itulah, kita tidak hairan bila Mashitah boleh mencukur keningnya untuk kelihatan anggun dan jelita, seperti foto dibawah ini. Sesungguhnya beliau kini sudah jauh berubah sebenarnya].

Share:

Bongkar: Pondok "Skim Rondaan Sukarela", Yang Akan Di Rasmi MB Rupanya Berharga RM75,000 !

KUANTAN, 5 Mac - Hari ini, Menteri Besar Pahang Dato' Sri Adnan Yaakob dijangka akan hadir merasmikan pondok Skim Rondaan Sukarela (SRS) di Taman Yew Hong, Indera Mahkota dekat sini. Difahamkan, pondok terbabit akan menjadi pusat operasi SRS di kawasan terbabit. Bangunan berkenaan telah pun siap dibina sejak beberapa bulan lalu. Namun, kini banyak persoalan yang timbul terhadap projek ini. Apa tidaknya, PDO mendapat maklumat pondok terbabit yang harganya sekitar RM5,000 hingga RM10,000 itu telah dibina dengan harga yang lebih tinggi iaitu mencecah RM75,000. Maklumat telah disalurkan oleh beberapa orang ahli SRS dan KRT (Kawasan Rukun Tetangga) taman berkenaan. "Kami hairan, kenapa harga pondok tersebut boleh mencecah ke angka RM75,000?. Sedangkan ia hanya digunakan untuk kegiataan SRS sahaja. Adalah lebih elok, peruntukan sebanyak itu diberika kepada KRT untuk jalankan berbagai aktiviti kemasyarakatan membabitkan penduduk setempat. Saya syak pasti ada orang dalam yang makan besar dengan projek ini", kata salah seorang daripada mereka. Tinjauan kami ke lokasi petang semalam mendapati, pondok terbabit suidah tersergam indah di taman berkenaan dan menunggu masa untuk dirasmikan oleh MB Pahang. Melihat kepada reka bentuk bangunan pondok itu, ternyata harganya amatlah tidak munasabah sekali. Namun, PDO akan mendapatkan maklumat lanjut untuk menyiasat isu ini. Jika benar dakwaan tersebut maka sahlah ada pihak yang kaut untung dengan projek ini. Namun, apakah mereka itu dari kalangan pemimpin pembangkang?. Sudah pasti tidak, kerana ia merupakan projek kerajaan UMNO BN. Maka, siapakah mereka yang terlibat itu agaknya?.


Inilah bangunan pondok SRS yang akan dirasmikan Menteri Besar Pahang

Percayakah, bangunan pondok sebegini harganya mencecah RM75,000

[PDO akan menyiasat lebih lanjut perkara ini dan jika benar terdapat unsur-unsur penyelewengan dalam projek berkenaan maka tindakan susulan akan dibuat. Kita tidak mahu rakyat ditipu dengan satu projek yang menguntungkan orang-orang tertentu dalam UMNO. Jika dulu, mungkin mudah untuk mereka tipu rakyat. Tapi sekarang, "mata-mata gelap" berada di mana-mana untuk menghantar maklumat. Malah, dalam SRS dan KRT sendiri pun ada maklumat yang akan terlepas keluar sebenarnya. Apa yang penting, biar rakyat tahu inilah cara mereka mengagih-agihkan kekayaan negara. Jika mereka yang dibawah pun sudah "makan besar" sebegini, maka apatah lagi mereka yang berada di atas. Di harap MB Pahang bertanya dulu kos pondok SRS terbabit sebelum merasmikannya hari ini. Pembongkaran harus dilakukan demi menyedarkan rakyat agar tidak tertipu selamanya].
Share:

Panas: Penduduk Kecewa, Gara-Gara MB Datang Penganjur Dirikan Khemah Di Atas Jalan Utama !

KUANTAN, 4 Mac - Para penduduk di sekitar kawasan Taman Yew Hong, Indera Mahkota dekat sini kecewa dengan tindakan pihak penganjur majlis perasmian pondok Skim Rondaan Sukarela (SRS) membina khemah-khemah (kanopi) di atas jalan utama di taman terbabit. Ini menyebabkan mereka dan termasuk juga orang ramai yang lalu di situ menghadapi kesulitan melalui jalan tersebut. Difahamkan, majlis perasmian program itu akan disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Adnan Yaakob hari ini. Kerja-kerja pemasangan khemar terbabit telah dijalankan sejak semalam. Orang ramai dilencongkan ke jalan lain ketika kerja-kerja tersebut dilakukan dan kemungkinan besar mulai hari ini mereka tidak dibenarkan lagi melalui jalan itu hingga program selesai. Persoalannya yang timbul, kenapa ia dibuat di atas jalanraya?. Sedangkan padang awam hanya terletak beberapa meter saja dari lokasi berkenaan. "Kenapa begitu bodoh dan menyusahkan orang ramai?. Kenapa tidak dibuat atas padang yang lebih selesa dan tak ganggu lalu lintas. Bukankah MB boleh berjalan melintas jalan untuk rasmikan pondok SRS itu. Lagi pun jaraknya tidaklah terlalu jauh. Kenapa perlu tutup jalan?. Adakah MB terlalu manja hingga terpaksa buat khemah untuk perasmian pondok terbabit begitu dekat dengan lokasi tersebut. Nak mengampu pun tengok tempatlah...", kata seorang penduduk yang ditemui. Dia kecewa kerana pihak penganjur begitu "pendek akal" dengan menutup jalan sedangkan ada padang yang cukup luas berdepan dengan lokasi itu.


Bukti, khemah (kanopi) telah dibina di atas jalan utama taman terbabit
[Tinjaun krew PDO ke lokasi berkenaan mendapati sememangnya tidak wajar khemah terbabit dibina betul-betul atas jalan utama. Sedangkan ia adalah laluan masuk penduduk ke Taman Pasdec Makmur bersebelahan. Akibat penutupan jalan itu, maka orang ramai terpaksa berpusing jauh dalam keadaan bersesak-sesak untuk ke kediaman mereka. Tindakan penganjur yang "tidak cerdik" itu menyebabkan sebahagian besar penduduk marah dan kecewa. Mungkin mereka mahu mengampu MB Pahang dengan membina khemah dengan jarak yang begitu dekat dengan pondok SRS yang mahu dirasmikan itu. Namun, sepatutnya pihak terbabit sedar bahawa perbuatan itu jelas menyusahkan orang ramai dan tidak masuk dek akal. Sepatutnya mereka bertanya terlebih dahulu dan bawa berbincang sebelum melaksanak kerja-kerja berkaitan. Apa yang berlaku ini tidak lebih untuk mengampu MB Pahang demi kepentingan peribadi pihak-pihak tertentu sebenarnya. Senario ini amatlah mendukacitakan !!].
Share:

Lynas: Kerajaan BN Akan Berhadapan Himpunan Hijau 3.0 Andai Tuntutan Rakyat Tidak Di Endah !

KUALA LUMPUR, 3 Mac - Parti PAS dan juga pelbagai NGO menuntut supaya bahan sisa dari kilang Lynas di Gebeng di bawa keluar dari negara ini. Ini kerana, sisa itu mempunyai bahan radioaktif yang bakal kekal di bumi Malaysia jutaan tahun dan memudharatkan penduduknya di masa depan. "Jika tuntutan ini tidak dihiraukan, kita tidak menolak Himpunan Hijau 3.0 dianjurkan," kata Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS, Zulkefli Mohd Omar (foto). Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak(foto) mengumumkan, sisa dari kilang Lynas di Gebeng akan dibuang di tempat lain yang akan dikenalpasti kemudian. Ia bertujuan untuk menghilangkan kerisauan penduduk tempatan walaupun pihak kerajaan yakin ia selamat. Anggota Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong dalam komennya mencadangkan kepada Najib agar mengumumkan saja tempat baru sisa itu adalah dalam kawasan parlimennya iaitu Pekan. Hujjah Najib kononnya sisa ini tidak bahaya juga ditolak oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berdasarkan apa yang berlaku kepada kilang ARE yang terletak di Bukit Merah, Ipoh sebelum ini. Kerajaan terpaksa membuang semua tanah seluruh tapak kilang dan kawasan sekitarnya di Bukit Merah dan di simpan dalam tong dan seterusnya di masukkan ke dalam sebuah bukit di Perak. Persoalannya, sampai berapa lama 80,000 unit tong drum 200L dan kawasan takungan itu akan selamat dan tidak pecah atau rosak akibat perubahan cuaca dan jenis tanah di kawasan itu. Sedangkan, separuh hayat kepada bahan radioaktif yang dihasilkan dari Thorium itu akan berumur ribuan tahun kalau tidak jutaan tahun pun.
Rakyat turun berbondong-bondong ke Himpunan Hijau 2.0 untuk beri
sokongan terhadap bantahan kilang memproses rare earth Lynas

Menurut laporan sebuah akhbar Cina, Menteri Kesihatan telah mencapai kata sepakat dengan Menteri Perindustrian Antarabangsa agar sisa ini dihantar balik ke Australia atau sekurang-kurangnya luar dari Kuantan. Namun, Australia telah membuat keputusan tidak akan menerima sisa itu balik ke negara mereka. Dalam kes kilang ARE Bukit Merah yang dimiliki syarikat Jepun, Mitshubishi, tuntutan juga dibuat agar sisa yang memenuhi sebuah bukit itu dibawa balik ke Jepun. "Membenarkan Lynas membuang sisa kilang ini di Malaysia adalah satu subsidi besar buat syarikat Australia itu," kata Presiden CAP, S M Mohamad Idris. Jangkaan pendapatan yang mungkin diperolehi dari kilang ini adalah sebanyak RM30 juta untuk lima tahun. "Namun, kesan kepada ekonomi, sosial, alam sekitar dan kos kesihatan kepada pekerja, masyarakat sekitar, tanah, air, lautan dan jenerasi akan datang dijangka berjumlah sehingga RM150 juta," katanya.

[Perdana Menteri tidak wajar keluarkan kenyataan yang sekadar untuk menyedapkan hati beliau sahaja, sedangkan majoriti rakyat kini berada dalam ketakutan gara-gara mereka akan berhadapan dengan risiko projek itu nanti. Najib mungkin seronok kerana beliau tidak tinggal di kawasan yang bakal terdedah kepada risiko itu. Tapi, apakah beliau sedar ratusan ribu rakyat Kuantan terpaksa menghadapinya. Oleh itu, kita cadangkan agar tempat pilihan untuk membuang sisa tersebut ialah di kawasan parlimen beliau sendiri iaitu Pekan. Apakah beliau setuju agaknya. Bercakap memang semudah itu, namun pernahkah beliau terfikir slogan "rakyat didahulukan" itu bermakna membela rakyat. Kenapa dalam kes Lynas, syarikat dari Australia itu yang dibela?. Apakah Si Najib sedar!].

Share:

Panas: Skuad Risik, Jangan Hanya Siasat Sampah Tapi Pantau Gerai MPK Di Monopoli Warga Asing!

KUANTAN, 3 Mac - Media perdana hari ini melaporkan Majlis Perbandran Kuantan (MPK) menubuhkan "Skuad Risik Tangani Isu Buang Sampah". Kenyataan itu dibuat oleh Yang Dipertuanya, Datuk Zulkifli Yaakob (foto). Menurut beliau skuad risik bagi menangani perbuatan membuang sampah di tapak-tapak sampah haram di sekitar bandar ini. Perbuatan membuang sampah di tapak haram itu mendatangkan pelbagai masalah kepada penduduk dan kesejahteraan bandar tersebut. "Bagi memudahkan tindakan itu dibuat, MPK akan meletakkan skuad risik untuk memantau keadaan di lokasi yang telah dikenal pasti. "Ini kerana selepas tapak tersebut dibersihkan, pihak yang tidak bertanggungjawab itu akan membuang sampah di lokasi yang sama," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPK di sini semalam. Beliau berkata, tindakan tegas juga akan dikenakan ke atas pihak yang tidak bertanggungjwab membuang sampah di tapak sampah haram di bandar ini. Tindakan MPK ini amatlah baik untuk rakyat, namun dalam masa yang sama mereka juga perlu menyiasat mana-mana gerai MPK yang kini disewakan oleh pemiliknya kepada peniaga warga asing terutamanya dari Thailand dan Bangladesh. Banyak gerai itu yang pada asalnya dikhaskan kepada warganegara Malaysia, tetapi kini yang berniaga adalah warga asing terbabit. Sedangkan, ketika temuduga gerai pegawai MPK begitu tegas soal kewarganegaraan malah terbawa-bawa kepada kenegerian apabila berkata hanya mereka yang menggunakan Kad Pengenalanan (IC) "O6" (rakyat Pahang) yang layak memohon. Namun, anehnya gerai-gerai terbabit kini jatuh ke tangan asing hingga menyebabkan ramai peniaga tempatan terpaksa gulung tikar. Apabila diajukan soalan kepada MPK, mereka menjawab dengan mudah "tidak tahu atau sebagainya". Walhal, di belakang Ibu Pejabat MPK sendiri terdapat sebuah gerai (Restoran Sungai Kita) yang disewakan kepada warga asing (Thailand). Justeru, selaras dengan tindakan MPK menubuhkan "Skuad Risik", maka eloklah mereka juga merisik sama fenomena yang berlaku ini. Ia sudah lama dan difahamkan kebenaran itu turut melibatkan campur tangan para pegawai MPK sendiri yang dipercayai "makan duit luar". Skuad Risik MPK sila siasat segera !.


Bukti, salah satu lokasi dimana dua buah gerai milik MPK telah disewakan
kepada kepada warga Thailand di Indera Mahkota 2 (Yew Hong)
KLIK SINI

[Fenomena yang berlaku ini memang sudah lama sebenarnya. Cuma ramai pihak MPK mungkin tidak menubuhkan "Skuad Risik" untuk memantaunya. Tapi, lebih memalukan pegawai MPK sendiri boleh dikatakan setiap hari makan di gerai MPK yang dimilik oleh warga asing di Sungai Kita (belakang Ibu Pejabat MPK sendiri). Namun, kenapa mereka butakan mata melihat semua ini. Sebab ramai pegawai yang makan untung dengan memberikan gerai terbabit kepada proksi mereka, yang menyewakan gerai itu kepada warga asing dengan harga yang tinggi. Walhal mereka hanya membayar MPK sekitar RM200 hingga RM300 sahaja sebulan. Selebihnya, untung masuk poket masing-masing. PDO akan menyiasar dan bongkarkan isu ini dengan lebih eksklusif lagi jika MPK tidak menarik balik mana-mana gerai yang disewakan oleh pemohon yang berjaya dalam temuduga, kepada warga asing. Peniaga tempata harus didahulukan. Dalam kes di Taman Yew Hong Indera Mahkota lebih memalukan, apabila ada peniaga Melayu yang sudah 14 tahun memohon tapi tidak berjaya sebaliknya orang Thailand yang berniaga disitu. Khabarnya gerai MPK terbabit diberikan kepada orang kuat UMNO dan KRT taman itu. Maka, MPK sila arahkan Skuad Risik menyiasat segera. Jangan hanya nampak sampah sahaja, sebaliknya isu yang lebih besar dipejamkan mata serta dipekakkan telinga oleh mereka].
Share:

Ribut Melanda Kg.Ubai Kuantan Petang Semalam


Warga emas, Ajar Dollah,74 bersama anaknya, Maharom Napis,55 dan cucu,
Noraishah Jamil,8 melihat keadaan bumbung rumah mereka yang musnah

Share:

Sukan: Bolasepak, Pahang Belasah MP Muar 5-1 !

TEMERLOH, 3 Mac - Pasukan Pahang berpesta gol apabila menundukkan Majlis Perbandaran Muar (MP Muar) dalam saingan Liga Perdana dengan keputusan 5-1 dekat sini malam tadi. Kemenangan Pahang itu juga membolehkan mereka mengutip 15 mata untuk berada di tangga kedua di belakang Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Keputusan lain, Perlis seri 3-3 menentang Johor, MBJB tewas 2-3 kepada NS Betaria manakala Sime Darby dan Pos Malaysia sekadar terikat 1-1. Sementara itu dalam saingan Liga Super hanya berlangsung satu perlawanan melibatkan T-Team menentang Sarawak yang berkesudahan kelab dari Terengganu itu menang 1-0.

Share:

Bantah Lynas: PKR 'Kecam AELB' Cuba Kelirukan Peratusan Survey Untuk Perdaya Rakyat Malaysia

KUANTAN, 2 Mac - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa bahawa AELB cuba mengelirukan dan memperdayakan rakyat Malaysia dengan mengumumkan bahawa 97% daripada maklum balas yang diterima tidak membantah projek pembinaan kilang Lynas, tetapi cuma 3% masyarakat yang membantah. Ahli Jawatan Kuasa PKR Pahang Lee Chean Chung (foto) berkata, dalam borang maklum balas yang dikutip balik, majoritinya mencatatkan bahawa Lesen Operasi Sementara (TOL) tidak harus diluluskan sebelum tapak simpanan kekal (Permanent Depository Facility, PDF) dikenalpasti. “Namun pihak AELB telah mentafsir borang-borang tersebut sebagai rakyat tidak membantah projek pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi Lynas. Ini adalah amat tidak bertanggungjawab. Malahan, daripada 1,122 borang yang dihantar, tiada satu pun yang memberi sokongan kepada projek Lynas. Padahal, 100% masyarakat membantah keras dalam isu ini!”, katanya. Beliau juga merasa amat kesal atas tuduhan yang dibuat oleh AELB di mana orang awam tidak meneliti Laporan Pengurusan Sisa Radioaktif Jangka Masa Panjang yang disediakan. Padahal, AELB telah menetapkan pelbagai syarat yang ketat dan tidak munasabah seperti had masa untuk menghabiskan 300 muka surat dalam masa sejam dan laporan hanya boleh dibaca secara bergilir-gilir di tempat tertentu sahaja supaya rakyat gagal membaca laporan tersebut.“Juga berkemungkinan besar bahawa Ahli Jawatanjuasa Penasihat tidak sedar bahawa NGO seperti Save Malaysia Stop Lynas dan Gabungan Hentikan Lynas telah bekerjasama mencatat setiap patah perkataan daripada laporan tersebut secara tulisan tangan, dan laporan tersebut telah dimuatnaikkan di atas internet. Tuduhan bahawa rakyat tidak membaca laporan tersebut adalah tidak benar", katanya.

[Sokongan yang diberi oleh masyarakat seluruh negara dalam Himpunan Hijau 2.0 hari Ahad yang lepas merupakan bukti kukuh rakyat tidak mahu kilang Lynas. Pada hari tersebut, lebih daripada 15,000 orang individu dari seluruh negara telah menghadirkan diri. Resolusi Himpunan Hijau yang pertama menyeru supaya “Loji Nadir Bumi Lynas Dibatalkan Segera” dan sokongan terhadap resolusi ini telah diberi tanpa mengira bangsa dan agama. Dengan ini, PKR menyeru supaya pihak berkuasa seperti AELB berhenti memperdayakan rakyat. Sebelum ini, AELB telah meluluskan Lesen Operasi Sementara secara tergesa-gesa pada 1hb Feb sebelum Tapak Simpanan Kekal dikenalpasti tanpa mempedulikan bantahan rakyat. Bagaimanakah rakyat dapat mempercayai AELB yang sekarang cuba memutarbelitkan maklum balas rakyat untuk penuhi kepentingan Lynas?].
Share:

Bongkar: "Blogger UMNO Fitnah", Gambar Ketika Tangkapan Di Sahkan Bukanlah Dr.Badrul Amin !

Susulan kes kontroversi "khalwat" yang dikatakan melibatkan tokoh agama yang juga pimpinan tertinggi PKR, Ustaz Dr.Badrul Amin Bahron (foto) Ahad lalu maka berbagai-bagai persepsi dan versi cerita telah diwar-warkan. Malah di Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sendiri pun kini berbagai persoalan dan kenyataan pro dan kontra dalam isu ini. Apa yang ingin PDO huraikan di sini ialah persoalan tentang bagaimana begitu cepat blog-blog pro UMNO boleh menghidu kejadian itu, sedangkan pihak JAIP membuat operasi sekitar jam 4.00 pagi. Seolah-olah memang sudah ada usaha untuk meletopkan isu ini sebelum Himpunan Hijau 2.0 berjalan pada keesokkan harinya. Malah, PDO juga hairan bagaimana mereka boleh menyiarkan gambar-gambar yang kononnya dirakamkan di dalam bilik semasa kejadian?. JAIP harus memantau perkara ini, bagaimana bukti dan bahan-bahan kes boleh terlepas kepada blogger-blogger terbabit. Kes ini sama juga dengan isu video seks Anwar sebelum ini. "Trio Datuk T" kata mereka ada VCD tulen dan ia diserahkan kepada pihak polis Bukit Aman semasa siasatan. Anehnya, dalam masa yang sama video panas berkenaan tersiar di internet dan kemudian hilang selepas ia dihebahkan. Maknanya, barang kes begitu mudah jatuh ke tangan blogger-blogger terbabit. Soalnya, jika kes yang berlaku itu benar atau sahih maka tidak mungkin ada pihak luar yang boleh begitu cepat datang ke lokasi dan mengambil gambar-gambar berkenaan. Inilah yang memusykilkan kita. Malah, penyiaran gambar yang paling sensasi telah dilakukan dalam blog "Khazanah Minda Politik Melayu" . Blog terbabit begitu rakus dan berbangga kononnya mereka berjaya menyiarkan gambar Dr.Badrul Amin dan pasangannya ketika ditangkap. Cuba lihat foto dibawah seperti yang disiarkan di laman blog terbabit atas tajuk "Bukti Bergambar: Ketika Badrul Amin Di Tangkap". Krew PDO cuba menyiasat apakah benar gambar yang disiarkan ini atau setidak-tidaknya 99.9% tulen, agar rakyat boleh menilainya. Namun, sesuatu yang memalukan telah berjaya kami bongkarkan. Sebenarnya gambar-gambar yang disebarkan itu bukanlah gambar Ustaz Badrul Amin dan pasangannya seperti yang diperkatakan itu.


Bukti, keratan artikel yang disiarkan di blog beliau itu

Ini pula kekeliruan gambar berkenaan yang telah kami kesan selepas itu

Rasionalnya, bilik kejadian bukanlah bilik Dr.Badrul Amin, maka kenapa gambar lelaki dalam gambar memegang beg hitam. Bukankah dia bermalam di situ bersama isterinya dan ini bermakna beg beliau berada dalam bilik mereka. Kenapa pula boleh ada di tempat lain?. Keduanya, ada kelibat wanita bertudung hitam di belakang (anak panah). Bagaimana pula wanita itu boleh ada dalam bilik?, sedangkan semasa tangkapan dikhabarkan hanya wanita (isteri pengadu) yang ada disitu dan yang lain semuanya lelaki. Malah lebih memusykilkan, ketika penguatkuasa JAIP tiba, Dr.Badrul Amin berada di dalam bilik berkenaan sambil dikawal oleh beberapa orang lelaki (dipercayai rakan suami wanita terbabit). Maka, macam mana pula gambar yang disiarkan ini menunjukkan mereka berdua berada dalam bilik dan keluar bersama dengan menutup kepalda dengan tuala putih. Dan yang terakhirnya, bagaiamana pula tangan Dr.Badrul Amin boleh bergari?. Sedangkan ketika ditahan beliau tidak digari pun. Malah ia disahkan oleh beberapa orang saksi yang berada di tempat kejadian. Maka , kenapa gambar itu menceritakan sebaliknya?. Ini jelas menunjukkan pihak berkenaan mempunyai muslihat tertentu untuk memalukan tertuduh, sedangkan isu tersebut tidak timbul sebenarnya. Maka, kenapa mereka cipta fitnah ini?.

[PDO bukanlah hendak mendahulu mahkamah dalam hal ini. Namun, apa yang mengarut dan tidak betul perlulah didedahkan bagi memberi keadilan kepada semua pihak. Malah, tindakan menyiarkan gambar palsu ini juga menjejaskan nama Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sebenarnya. Justerru, pihak berkenaan juga perlulah mengambil tindakan saman terhadap blogger dan portal-portal yang menyiarkan gambar-gambar ini. Soal tangkapan atau siasatan JAIP itu adalah hal lain, Namun apa yang kami pertikaikan kenapa gambar ini dikatakan Dr.Badrul Amin?. Apakah mereka lupa ketika operasi Dr.Badrul Amin bersendirian di dalam bilik sedangkan pasangannya dan anak beliau berada di luar bilik. Makanya, tidak perlulah mereka cerita yang mengarut dan menyebabkan rakyat keliru dengan fakta sebenar kes ini. Apapun, biarlah pihak JAIP menyiasat dan mengambil tindakan susulan atas apa yang berlaku. Andai bersalah, sila dakwa Ustaz Badrul Amin, tapi jika tidak maka bersihkanlah namanya. Jangan biarkan jabatan agama juga terpalit dengan fitnah melampau ini].
Share:

Dato' Fauzi Terkejut Sikap JAIP, Walhal Timbalan Pengarah Jabatan Itu Yang Buat Tuduhan Melulu

KUANTAN, 2 Mac - Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Dato' Fauzi Abd Rahman (foto) terkejut dengan kenyataan Timbalan Pengarah, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Datuk Mohd Ghazali Abdul Aziz yang tiba-tiba mahu menyaman Ustaz Dr.Badrul Amin yang disiarkan oleh PDO hari ini. Menurut beliau, Timbalan Pengarah itu sepatutnya sedar dengan apa yang berlaku adalah berpunca daripada kenyataan dari mulutnya sendiri. "Saya hairan, dia (Datuk Mohd Ghazali) yang memulakannya, kini bila orang lain bersuara dia pula melenting dan nak saman. Kenapa perlu saman Ustaz Badrul Amin dan pihak lain termasuk PKR sendiri?. Bukankah, ketika isu ini terbongkar dia dengan sewenangnya telah mengeluarkan kenyataan bahawa seorang pemimpin PKR telah ditangkap khalwat oleh JAIP. Maksudnya dia menuduh pemimpin terbabit (Dr.Badrul Amin) ditangkap khalwat. Berita itu disiarkan secara eksklusif di media arus perdana hingga memalukan pihak terbabit. Dia yang cakap kepada media ... sedangkan ketika JAIP buat operasi dia berseorangan dalam bilik. Mana bukti dia berkhalwat?. Kenapa beliau tuduh dia ditangkap khalwat?. Sekarang dia pula mahu saman pihak yang dituduh Sepatunya dia umum JAIP ada buat operasi dan siasatan masih dijalankan... Tak perlu kata di tangkap khalwat sebab belum terbukti lagi", kata Dato' Fauzi. Menurut beliau lagi, kes yang berlaku adalah kepada Ustaz Badrul Amin maka jika tokoh agama itu bersalah dalam hal ini, JAIP perlu mendakwa dia di mahkamah. "Tidak perlu menghalang tertuduh membela diri, sebab JAIP yang tuduh di ditangkap khalwat. Dr.Badrul ada hak untuk pertahankan diri beliau dari kaca mata masyarakat", katanya.


Dato' Fauzi bersama para wartawan dalam PC ringkasnya awal pagi tadi

[Nampaknya isu Ustaz Dr.Badrul Amin kini semakin panas, walau pun timbul beberapa persoalan dan kemusykilan yang amat mencurigakan. Namun, hakikatnya tidak semua yang tahu apa yang telah berlaku dalam kes ini. Anehnya, ada blog-blog pro kerajaan UMNO BN yang tergamak mengeluarkan artikel dan gambar-gambar yang langsung tidak ada kaitan dengan kes ini sebenarnya. Mereka paparkan gambar kononnya Ustaz Badrul Amin digari ketika ditangkap oleh pihak JAIP. Malah banyak kecelaruan yang telah dilakukan yang kesemuanya mengundang fitnah semata-mata. Justertu itulah kami di PDO bersikap adil kepada semua pihak untuk menyatakan pendapat dan kenyataan mereka dalam isu ini. Bagi kami, jika benar Ustaz Badrul Amin bersalah, maka dakwalah ia mengikut undang-undang yang telah ditetapkan. Namun, jika dia tidak bersalah maka lepaskanlah ia. Usahlah menimbulkan konflik yang tidak bersudahan seperti ini dan akhirnya akan menimbulkan masalah lain pula].
Share:

Panas: Timbalan Pengarah JAIP Akan Memfailkan Tindakan Saman Terhadap Ustaz Dr.Badrul Amin!

KUANTAN, 2 Mac - Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) hari ini mendakwa Timbalan Pengarahnya, Datuk Mohd Ghazali Abdul Aziz (foto) kemungkinan besar akan menfailkan tindakan saman terhadap Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR, Ustaz Dr.Badrul Amin Bahron bahawa jabatan itu (JAIP) terlibat dengan konspirasi untuk mengaibkan beliau. Tindakan tersebut terpaksa diambil selepas mendapat nasihat daripada beberapa pihak sejak kes ini menjadi kontroversi baru-baru ini. Tindakan saman juga boleh diambil terhadap tokoh agama itu, atas tuduhan mensabotaj JAIP dan menghina sultan. Ia berikutan tindakan Dr.Badrul Amin mutakhir ini yang jelas telah mendahului siasatan, sedangkan JAIP hanya menjalankan tugas berdasarkan peruntukan dalam enakmen dan perkara itu telah mendapat perkenan oleh Sultan Pahang sendiri. Menurut kenyataan itu lagi Timbalan Pengarah JAIP sedang membuat pertimbangan untuk menyaman Dr.Badrul Amin dan kesemua mereka yang terlibat memalukan nama jabatan terbabit. Sebelum ini PDO ada melaporkan bahawa PKR akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Timbalan Pengarah JAIP berhubung kenyataannya yang dilihat meragukan dan ada usaha terancang pihak-pihak tertentu yang sengaja ingin menjatuhkan nama baik Dr.Badrul dan juga parti itu (Parti Keadilan Rakyat). Tambahan pula kes itu berlaku sehari menjelang Himpunan Hijau 2.0 pada 26 Feb lalu.

[Sesuatu yang sungguh mengejutkan melihat perkembangan terbaru kes ini. Pihak JAIP berhak mempertahankan agensi terbabit memandangkan begitu banyak dakwaan dan tohmahan yang mereka terima sejak kes ini dihebohkan. Apapun, semua pihak kini keliru dengan perkembangan kes ini. Berbagai-bagai versi dan persepsi yang diwar-warkan oleh berbagai pihak menyebabkan ia semakin panas dan cukup mendebarkan. Apa yang pasti, sama ada ia berlaku atau pun tidak maka biarlah pihak yang berkenaan menyelesaikannya dengan sebaik mungkin. Tindakan pihak yang tertuduh mengeluarkan kenyataan demi kenyataan pasti akan mengundang lebih banyak persoalan. Maka itu, eloklah kesemua pihak mengambil sikap berlapang dada dalam hal ini. Jika, tidak bersalah maka sudah pasti tiada masalah yang akan timbul. Namun, jika ada masalah sudah pasti ia akan lebih merumitkan nanti. Justeru, berhati-hatilah buat kenyataan. Jangan sampai orang melihat kita cuba sembunyikan sesuatu].
Share:

Panas: Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Dakwa Gani Patail Perguna SPRM!

KUALA LUMPUR, 2 Mac - Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuf (foto) mendakwa Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail telah mempergunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga menyebabkan beliau dan pegawainya didakwa di mahkamah. Dakwaan itu dibuat Ramli ketika menyampaikan ucapan dalam satu majlis sambutan hari lahirnya malam tadi. Katanya, kesemua dakwaan yang dihadapinya itu bermula apabila pasukannya ditugaskan untuk mengambil tindakan ke atas seorang anggota sindiket yang dihantar ke Jeli, Kelantan untuk menjalani perintah tahanan terhad. Lelaki didakwa terlibat dalam jenayah terancang, termasuk dalam kegiatan 'Along', loteri haram, pelacuran dan juga pengedaran dadah, kata Ramli. "Maklumat ini telah diberikan oleh timbalan menteri dalam negeri pada waktu itu (Datuk Johari Baharom) dan perkara itu dianggap "rahsia tertinggi" dan kes yang amat sulit. "Kemudian, saya diberitahu untuk melaporkan kepada beliau secara terus selepas fail tersebut (siasatan) dilengkapkan," katanya dalam ucapan tersebut. "Saya mengarahkan pegawai saya untuk (membuka) kes ke atas anggota sindiket itu, yang kemudiannya diserahkan kepada Timbalan Nenteri berkenaan untuk tindakan di bawah perintah RR (tahanan terhad). "Bagaimanapun selepas nasihat Peguam Negara, anggota sindiket berkenaan kemudiannya dibebaskan, tanpa syarat," kata Ramli. "Sebaliknya, pegawai saya didakwa kerana mengambil kenyataan palsu dan rekaan yang melibatkan ketua polis negara pada waktu itu (Tan Sri Musa Hassan). "Pada masa itulah AG Gani Patail memanggil fail kes asal itu, yang diklasifikasikan sebagai sangat sulit, dan menyerahkan kepada SPRM untuk ganggu saksi," kata Ramli lagi.

[Dakwaan Ramli Yusoff ini sebenarnya tidak mengejutkan rakyat Malaysia, kerana Gani Patail jugalah yang dikatakan terbabit dengan isu "Lebam Mata" Anwar bersama Musa Hassan dulu. Semua ini masih segar dalam ingatan rakyat. Lantaran itu mereka tidak hairan jika beliau terlibat dalam mempergunakan agensi lain untuk kepentingan peribadi pemimpin tertentu. Amalan guaman dan kehakiman di negara kita sudah lama tercemar bilamana individu yang terpalit dengan kerja-kerja jijik seperti ini akhirnya dianggat ke kedudukan selesa seperti sekarang. Akhirnya mereka akan laksanakan tugas seperti apa yang ditelah ditetapkan oleh majikannya iaitu kerajaan sekarang. Rakyat dianggap sebagai pengacau kepada penguasa zalim untuk terus berkuasa. Senario inilah yang menyebabkan kemarahan rakyat itu makin membuak-buak yang akhirnya mahu melakukan perubahan. Inilah yang amat ditakuti mereka sekarang].
Share:

ABIM: Himpunan Hijau 2.0, Bukti Kerajaan Perlu Dengar Suara Rintihan Rakyat Dalam Isu Lynas !!

KUALA LUMPUR, 2 Mac - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang serius perhimpunan membantah pembinaan Kilang Lynas di Gebeng, Kuantan baru-baru ini. Presidennya, Amidi Abd Rahman (foto) berkata, ABIM menilai perhimpunan itu sebagai manifestasi rakyat secara mutlak membantah keputusan untuk meneruskan projek itu. “Ironinya, keadaan ini berlaku di sebalik pelbagai penjelasan yang telah dikemukakan daripada pihak berwajib yang menafikan implikasi negatif ekoran pembinaan kilang tersebut terhadap alam sekitar,” ujar beliau. Katanya, kelestarian alam sekitar merupakan esensi penting dalam membentuk kehidupan yang positif. Justeru, beliau berkata kebimbangan serta kekhuatiran para penduduk sekitar kilang Lynas di Gebeng perlu diambil kira serta ditangani secara positif dan terbuka. Menurutnya, ia tidak seharusnya dibakulsampahkan tanpa sebarang perhatian serta tindakan yang sewajarnya. Ini, ujarnya memandangkan amalan demokrasi amat meraikan perbezaan pendapat sebagai mekanisme check and balance bagi mendapatkan impak yang terbaik. Katanya lagi, kelestarian alam sekitar perlu diletakkan pada tempat yang sewajarnya bukan perkiraan untung semata. “Sedarlah, kita sedang meminjam alam sekitar ini dari generasi masa hadapan,” ujarnya lagi. Dalam konteks Himpunan Hijau 2.0, katanya menanggap sebarang pandangan serta kemusykilan yang dikemukakan oleh rakyat adalah tanda mereka mempunyai keprihatinan yang mendalam terhadap perkembangan semasa dalam isu berkaitan. “Kita tidak mahu rakyat sekali lagi menjadi mangsa kegagalan teknologi menjunjung kelestarian alam sekitar sepertimana yang pernah berlaku di Chernobyl, Bukit Merah serta Fukushima,” katanya. Beliau menambah, rakyat telah dijanjikan dengan pelbagai jaminan terhadap pemeliharaan alam sekitar tapi persekitaran kita semakin merosot secara relatifnya. Katanya lagi, pencemaran sungai yang merupakan sumber air tawar utama negara juga semakin parah dan begitu halnya dengan kualiti udara. Justeru, ujarnya ABIM tuntut agar projek itu ditangguhkan serta satu pungutan suara rakyat dijalankan.

[Soalnya sekarang, kerajaan yang ada bukan lagi mahu mendahulukan rakyat dalam isu ini. Mereka lebih melihat keuntungan peribadi berupa komisyen yang bakal diterima dengan membawa masuk kilang ini ke Malaysia. Tanpa mahu memikirkan masa depan dan risiko yang bakal ditanggung oleh rakyat, maka berbagai janji-janji kosong terus diberikan untuk mengaburi mata mereka. Sebaliknya, rakyat akan terpaksa menanggung risiko anda berlaku apa jua kejadian yang tidak diingini pada masa akan datang. Inilah yang ditakuti oleh mereka sejak sekian lama. Kehidupan ini sungguh bermakna dan apakah ertinya jika keselesaan itu dicemari oleh mereka-mereka yang rakus untuk mengaut keuntungan sementara. Syabas dan tahniah diucapkan kepada ABIM kerana memahami kehendak rakyat dalam isu ini. Semoga kerajaan lebih prihatin semua ini].

Share:

LTDL: "Tiada Notis Tutup Jalan", Ramai Peniaga Serta Pengguna Jalan Raya Di Kuantan Kecewa !!

KUANTAN, 1 Mac - Gara-gara Kejohanan Lumba Basikal "Le Tour De Langkawi" peringkat ke-7 yang diadakan di sini petang tadi, maka ramai para peniaga sekitar Jalan Mahkota merungut dan kecewa akibat perniagaan mereka merudum. Ia berikutan tindakan pihak polis dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) menutup jalan terbabit bermula dari persimpangan Komplek Teruntum hingga ke Pejabat Pos. Susulan penutupan jalan tersebut, berlaku kesesakan apabila pengguna jalan raya yang ingin melalui Jalan Mahkota dari arah Jalan Tanah Putih terpaksa melalui Jalan Penjara untuk ke pusat bandar. Manakala itu, mereka yang datang dari arah Jalan Wong Ah Jang ke Jalan Penjara yang ingin melalui Jalan Mahkota pula terpaksa membelok ke arah Jalan Tanah Putih melalui Taman Esplanade di hadapan Hospital Tg.Ampuan Afzan (HTAA) dan melalui Jalan Wong Ah Jang semula untuk ke pusat bandar. "Saya kecewa, sepatutnya notis awal penutupan jalan ini dimaklumkan terlebih dahulu. Mereka baut kerja secara tiba-tiba dan menyusahkan kami. Saya terpaksa berpusing semula ke Jalan Tanah Putih ke Wong Ah Jang untuk ke pusat bandar. Mereka tutup jalan di depan Komplek Teruntum. Sedangkan sepatutnya mereka tutup jalan berhampiran Kuantan Parade dan Bangunan Perkeso supaya kami boleh melalu Jalan Hj.Abd Rahman di depan Kuantan Parade dan masuk ke jalan belakang Courts Mammoth untuk melalui Jalan Bukit Ubi ke pusat bandar. Ini menyusahkan kami yang tidak tahu menahu tentang penutupan jalan terbabit", kata seorang pemandu teksi yang ditemui.


Jalan Mahkota ditutup untuk dijadikan tapak penamat LTDL petang tadi

Peserta tiba ke garisan penamat selepas bertolak dari Bentong petang tadi

Kerja-kerja mengemas jalan sedang dilakukan oleh pihak yang berkenaan

[Sementara itu, sebahagian besar peniaga yang berniaga di sepanjang Jalan Mahkota juga meluahkan rasa kecewa susulan kegagalan pihak berkuasa terutamanya Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) memaklumkan penutupan jalan tersebut lebih awal. Ini kerana mereka hanya dimaklumkan di saat-saat akhir dan penutupan telah dibuat sejak jam 10.00 pagi, sedangkan pelumba tiba ke situ sekitar jam 3.00 petang. Ia merugikan mereka yang tidak dapat berniaga seperti biasa. Bayangkan mereka terpaksa menunggu lama untuk beroprasi seperti biasa. Malah ada yang berkata, lebih bagus Himpunan Hijau 2.0 bila perniagaan mereka begutu laris dan mendapat sambutan menggalakkan akibat kehadiran ramai orang. Le Tour De Langkawi sebabkan kantung mereka merudum. Ini amat mengecewakan sebahagian besar daripada mereka yang ditemui].
Share:

Panas: Kempen Anti Lynas Bergema Di Kejohanan Lumba Basikal LTDL, Dekat Kuantan Petang Tadi!

KUANTAN, 1 Mac - Kejohanan Lumba Basikal Le Tour De Langkawi 2012 hari ini telah masuk peringkat ke-7. Laluan Bentong ke Kuantan adalah antara laluan paling jauh iaitu 205.8 kilometer. Laluan peringkat ini telah melalui beberapa daerah iaitu bermula di Bentong, Mentakab, Bukit Genting Maran Gambang dan berakhir di sini. Para pelumba tiba di garisan penamat mengikut jadual rasmi ialah pada jam 2.35 petang tadi. Namun, apa yang menarik untuk PDO kongsikan di sini ialah kemeriahan kejohanan terbabit sedikit panas dengan kehadiran beberapa orang anak muda yang memakai baju kuning Stop Lynas Coalitation, Save Malaysia Stop Lynas dan Himpunan Hijau 2.0. Mereka yang diketuai oleh Ketua Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Pahang, Kamarul Hatta Ali (foto) telah berjalan sambil mempromosikan "Bantahan Lynas" kepada orang ramai yang berada di tapak penamat kejohanan terbabit iaitu berhampiran kawasan letak kereta Padang MPK1. Kehadiran Hatta dan rakan-rakannya iaitu sedikit menjadi tumpuan, tambahan pula Himpunan Hijau 2.0 baru saja berakhir Ahad lalu. Menurut Hatta, kehadiran mereka amat tidak disenangi oleh pihak penganjur. "Kami diekori oleh beberapa orang anggota polis Cawangan Khas (SB). Namun, mereka tidak menahan kami dan hanya sekadar memantau pergerakan. Saya sempat bersalaman dengan pihak terbabit termasuk beberapa orang petugas yang berada di situ. Walau pun kehadiran kami tidak disenangi, namun ada juga para pelumba dan petugas yang menyokong kami dan melaungkan Stop Lynas", kata Hatta Ali.


Hatta bergaya bersama para petugas Kejohanan Le Tour De Langkawi itu

Hatta bersama rakan-rakannya, sempat juga kibarkan bendera PKR tadi

Sempat bergambardan mendapat sokongan dari kontingen Terengganu

Para peserta tiba di garisan penamat LTDL dari arah Bentong ke Kuantan

Minum di sebuah restoran yang berdekatan selepas tamat acara terbabit
[Sebelum beredar, Khabarnya Hatta juga sempat bergambar kenangan dengan para petugas dan peserta yang mengambil bahagian dalam kejohanan terbabit. Apapaun, keberanian Hatta dan rakan-rakannya untuk hadir pada program yang gah seperti itu amatlah mengejutkan ramai pihak sebenarnya. Secara tidak langsung ia berjaya mempromosikan kempen bantah Lynas yang sedang diperjuangkan oleh seluruh rakyat Kuantan sekarang ini. Hatta juga sempat mengibarkan bendera Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika berada di lokasi terbabit. Semoga dengan ini ia dapat menyedarkan orang ramai bahawa rakyat Kuantan sememangnya tidak mahu Lynas terus berada di negeri ini. Kempen akan diteruskan di mana-mana bagi membuktikan kesungguhan rakyat untuk memastikan masa depan anak cucu serta generasi akan datang tidak terancam oleh Lynas].
Share:

Ceramah PAS Di Panching Selatan Selamat ,Tiada Lagi Gangguan Dan Juga Provokasi Oleh UMNO !!

KUANTAN, 1 Mac - Walau pun ura-ura provokasi akan dilakukan oleh UMNO pada ceramah umum PAS di Felda Panching Selatan dekat sini tersebar, namun program yang dihadiri oleh Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman (foto) itu akhirnya berjalan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini. Walau pun kehadiran penonton tidak begitu membanggakan, mungkin dek kerana ramai yang takut akan berlaku kekecohan dan pergaduhan seperti dalam ceramah PKR di Felda Lepar Hilir 1 baru-baru ini, namun program itu tetap tidak menghampakan. Mazlan Aliman berjaya menghibakan hati para penonton yang sebahagian besarnya adalah terdiri dari kalangan peneroka Felda dengan isu panas berkaitan tindakan Felda Global Venture Holdings (FGVH) yang mahu menggunakan saham Koperasi Permodalan Felda (KPF) untuk menyenaraikan anak syarikat Felda terbabit ke Bursa Malaysia April ini. Mazlan banyak mengunggap semula sejarah awal pembukaan tanah-tanah rancangan Felda hinggalah sekarang. Beliau menyelar tindakan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Najib Tun Razak yang khianat kepada amanah ayahandanya yang mengilhamkan penubuhan Felda dulu. "Tun Razak menubuhkan Felda untuk meningkatkan tahap sosio ekonomi orang-orang Melayu, tetapi anaknya Najib dilihat cuba untuk mengadaikan agensi itu dengan menyenaraikan ia ke Bursa Malaysia. Peneroka Felda perlu bangkit memepertahankan hak mereka dan tidak mudah mengalah dengan durian runtuh yang dihulurkan oleh Felda sekarang ini. Jangan dek kerana imbuhan tersebut maka akhirnya kita merana buat selamanya. Berhari-hatilah dan jangan tetripu dengan usaha Felda untuk memaksa peneroka", kata Mazlan. Mazlan turut menasihatkan para peneroka agar memikirkan masa depan mereka sebelum mengambil apa-apa tindakan yang mencurigakan. Beliau juga berharap para peneroka dapat melakukan perubahan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini nanti, untuk memastikan BN tumbang, jika mahu agensi Felda berjaya diselamatkan.







[Secara keseluruhan situasi di lokasi ceramah malam tadi amat baik. Malah terdapat juga sebuah kereta peronda polis memantau keadaan dibantu oleh beberapa orang anggota Cawangan Khas (SB). Sementara itu pihak penganjur juga turut dibantu oleh Unit Amal, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan lain-lain pihak yang berkenaan. Mujurlah keadaan terkawal dan tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini malam tadi. Jika tidak, sudah pasti nama UMNO Paya Besar akan lebih buruk dan keji di sisi rakyat. Mereka melihat UMNO pencipta keganasan, hingga sanggup menggempur ceramah-ceramah pembangkang semata-mata mahu menghalang rakyat mendengar dan seterusnya menyokong pihak terbabit. Harapan kita, program ceramah selepas ini nanti akan berjalan dalam keadaan aman dan tenteram tanpa gangguan serta provokasi lagi].
Share:

Panas: Seorang Pekerja Kilang Kertas MNI Yang Di Bantah "Penduduk Temerloh", Meninggal Dunia !

TEMERLOH, 1 Mac - Beberapa tahun lalu, ketika Kerajaan Negeri Pahang beriya-iya untuk membawa masuk kilang kertas Malaysian Newsprint Industries (MNI) ke Kawasan Perindustrian Temerloh dekat sini, ramai rakyat yang membantahnya. Ini kerana mereka gusar tindakan kilang terbabit mengalirkan bahan kimia buangan ke Sungai Pahang yang boleh menyebabkan risiko kesihatan kepada penduduk sekitar. Bantahan penduduk ketika itu langsung tidak diendahkan oleh pihak kerajaan. Apa yang penting ialah membawa masuk pelaburan demi keuntungan. Akhirnya berbagai laporan diterima tentang masalah hidupan air tawar di sepanjang sungai sekitar Temerloh. Namun, dek kerana ia tidak dihebahkan maka kes itu dianggap terpencil. Namun, tiba-tiba semalam PDO dikejutkan dengan berita seorang pekerja kilang terbabit meninggal dunia akibat masalah kesihatan yang dihadapi gara-gara terdedah kepada bahan kimia berbahaya dari kilang terbabit. Rata-rata pekerja kilang itu kini gusar dengan tahap kesihatan mereka selepas kejadian menimpa salah seorang rakan mereka iaitu Arwah Omarruddin Mohd Baki (foto bawah). Beliau meninggal dunia selepas disahkan mengidap penyakit barah tulang yang dipercayai akibat terdedah kepada keracunan bahan kimia terbabit. Arwah meninggal dunia pada 27 Februari lalu, selepas sekian lama menderita penyakit terbabit. Malah difahamkan, kini ada empat orang lagi pekerja kilang terbabit mengalami simptom yang sama seperti arwah. Perkara ini akan disiasat sepenuhnya, dan pihak kami menggesa Pemantauan dan ciri-ciri keselamatan kilang terbabit hendaklah dipertingkatkan supaya tidak ada lagi kes keracunan kimia secara terbuka terjadi. MNI perlu fikirkan juga soal kesihatan dan buakan sekadang mengejar kepentingan keuntungan duniawi semata-mata.

Inilah dia pintu masuk ke kilang kertas MNI yang dibantah rakyat dulu

Arwah Omarruddin saat terlantar di rumahnya di Kg.Punjung Lanchang

[Dengan perkembangan terbaru ini, maka tidak syak lagi apa yang dijanjikan oleh kerajaan dan pakar-pakar berkaitan tahap keselamatan kilang terbabit beberapa tahun yang lalu, kini menjadi kenyataan. Malah, para pekerja MNI kini mula dibelenggu dengan perasaan takut untuk berhadapan dengan risiko yang bakal mereka hadapi. Jika dulu, kerajaan persetankan bantahan rakyat maka kini segalanya menjadi kenyataan. Risiko keselamatan dan kesihatan sudah mula menghantui penduduk dan pekerja kilang terbabit. Inilah juga yang terjadi kepada para penduduk di Bukit Koman, Raub yang menentang penggunaan racun Cyanide di Australian Raub Gold Mining Sdn Bhd dan juga warga Kuantan yang menentang pembinaan kilang memproses rare earth Lynas Corporation sekarang ini. Apakah kerajaan sedar semua ini?. Maka itu, berpijakah di bumi yang nyata bahawa jangan biarkan rakyat hidup dalam risiko. Maka, wajarlah rakyat terus bangkit menentang kilang terbabit itu sebenarnya!].
Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.