script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Kerajaan Negeri Mahu Penyelesaian Jangka panjang Berasaskan Kajian Menyeluruh Tangani Isu Sungai Pahang Yang Semakin Cetek

MARAN: Kerajaan Negeri Pahang mahu masalah Sungai Pahang yang semakin cetek di beberapa lokasi termasuk Kampung Pesagi di sini terus ditangani melalui penyelesaian jangka panjang berasaskan kajian menyeluruh.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keadaan sungai yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu itu perlu dikenal pasti pasti punca serta kaedah penyelesaian paling berkesan.

Menurutnya, kerajaan negeri kini sedang mendapatkan laporan lengkap daripada pihak berkaitan sebelum sebarang keputusan mengenai tindakan susulan dibuat.

“Sekarang ini saya minta laporan daripada pihak daerah dan saya akan bawa kepada Exco untuk kita kaji, teliti dan perhalusi bagi tindakan selanjutnya.

“Bagi jangka pendek mungkin kita boleh ambil tindakan, jangka sederhana pun kita lihat tetapi kita mahu penyelesaian jangka panjang.

“Untuk jangka panjang, kita perlu mendapatkan laporan yang lengkap,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Siap Penggantian Paip Daerah Maran di Loji Rawatan Air Chenor hari ini.

Menurut Wan Rosdy,  isu air di negeri ini telah berjaya diselesaikan 90 peratus melibatkan empat daerah iaitu Raub, Lipis, Cameron Highlands dan Kuantan dan sasaran terusnya daerah Maran.

Kerajaan negeri memandang serius isu berkenaan kerana keadaan sungai yang semakin cetek bukan sahaja melibatkan aspek alam sekitar malah boleh memberi kesan kepada aktiviti ekonomi dan kehidupan penduduk yang bergantung kepada Sungai Pahang.

Katanya, sebarang intervensi perlu dilaksanakan berdasarkan penilaian teknikal yang lengkap supaya tindakan yang diambil tidak hanya menyelesaikan masalah untuk tempoh singkat.

Masalah Sungai Pahang yang semakin cetek di beberapa kawasan turut menimbulkan kebimbangan penduduk khususnya berkaitan kelancaran aktiviti ekonomi dan penggunaan sungai yang menjadi antara nadi penting masyarakat di sepanjang lembangan berkenaan.

Kerajaan negeri dijangka meneliti laporan daripada pihak daerah dan agensi berkaitan sebelum menentukan bentuk intervensi yang sesuai bagi menangani isu berkenaan secara lebih menyeluruh.

Pendekatan itu dilihat penting bagi memastikan sebarang kerja berkaitan sungai dilaksanakan secara terancang, mengambil kira keadaan hidrologi serta kepentingan penduduk dan aktiviti ekonomi di sepanjang Sungai Pahang.

Sementara itu, Kampung Awah di sini bakal menjadi salah satu nod penghantaran strategik negara menerusi pembangunan National Grid Backbone 500kV sekali gus memperkukuh kedudukan Pahang dalam ekosistem tenaga masa depan Malaysia.

Wan Rosdy berkata, projek itu mampu meningkatkan kapasiti dan kebolehpercayaan grid selain membuka ruang kepada Pahang menarik pelaburan hijau serta industri berteknologi tinggi

“Sebagai salah satu nod penghantaran strategik, projek ini akan memperkukuh kesalinghubungan Pahang dengan Grid Nasional dan meningkatkan kesiapsiagaan negeri untuk menyokong industri baharu, pelaburan bernilai tinggi serta pembangunan tenaga boleh baharu.

“Projek  TNB iaitu 500 kilowatt yang di mana ibunya di Kampung Awah, Maran. merupakan jantung untuk talian negeri melibatkan projek RM350 juta untuk tower sahaja,” katanya.

Projek yang menghubungkan koridor Paka-Kampung Awah-Bahau South-Kulai East itu akan meningkatkan pemindahan tenaga antara wilayah serta membolehkan integrasi sumber penjanaan sedia ada dan baharu.

Apabila siap pada 2030, National Grid Backbone 500kV sepanjang kira-kira 500 kilometer itu akan menjadi talian penghantaran 500kV terpanjang pernah dibangunkan di Malaysia.

Infrastruktur berkenaan turut dijangka menyokong pertumbuhan industri berasaskan AI, pusat data, infrastruktur digital dan pelaburan hijau selain mempercepat pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) .#MalaysiaGazette

Share:

Negeri Pahang Disasarkan Mencapai Status Negeri Maju Dalam Tempoh Lima Tahun Akan Datang, Selari Dengan Pembangunan Seimbang

KUANTAN: Beberapa hari lalu, sebuah akhbar tempatan memetik kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, bahawa negeri itu disasarkan mencapai status negeri maju dalam tempoh lima tahun akan datang.

Sasaran tersebut dilihat selari dengan perkembangan pesat dalam pelbagai sektor ekonomi dan sosioekonomi.

Pahang juga mencatatkan pencapaian memberangsangkan apabila berjaya mengutip hasil negeri melebihi RM1 bilion selama empat tahun berturut-turut. 

Dengan jumlah penduduk sekitar 1.7 juta orang, peningkatan berkenaan menunjukkan kedudukan kewangan negeri semakin kukuh berbanding hasil sekitar RM800 juta hingga RM900 juta sebelum ini.

Namun, status negeri maju tidak wajar diukur berdasarkan hasil kerajaan semata-mata. Kemajuan perlu merangkumi pendapatan rakyat, pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan, jaringan pengangkutan, pendidikan, kesihatan, perindustrian, pertanian serta kualiti hidup masyarakat.

Antara keutamaan ialah memperluas jaringan jalan raya dan perkhidmatan kereta api. Pahang kini mempunyai Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), Lingkaran Tengah Utama (LTU) serta Lebuhraya Kuantan-Segamat. Projek Perkhidmatan Rel Pantai Timur (ECRL)  yang dijangka beroperasi pada 2027 pula bakal menghubungkan beberapa daerah dengan rangkaian pengangkutan yang lebih moden.

Bagaimanapun, beberapa kawasan seperti Jerantut, Bera, Pekan dan Rompin masih memerlukan hubungan pengangkutan yang lebih baik. Kerajaan negeri wajar meneliti pembinaan atau penaiktarafan laluan yang menghubungkan kawasan berkenaan dengan rangkaian lebuh raya sedia ada.

Perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB)  dari Jerantut ke Mentakab juga boleh dipertingkat melalui penambahan kekerapan perjalanan serta kajian terhadap landasan berkembar. Hubungan ini penting bagi memudahkan penumpang menyambung perjalanan menggunakan ECRL di Mentakab.

Pada masa sama, pembangunan ekonomi perlu diagihkan secara lebih seimbang antara daerah. Penubuhan zon industri berskala sederhana boleh membuka peluang pekerjaan, manakala sektor pertanian perlu diperkasa melalui teknologi dan pendekatan mampan.

Tanah terbiar milik individu yang sesuai juga boleh dipertimbangkan untuk pembangunan bercampur, tertakluk kepada perancangan guna tanah. Langkah ini berpotensi menghidupkan kegiatan ekonomi setempat serta menambah hasil negeri.

Akhirnya, Pahang hanya benar-benar boleh dianggap maju apabila manfaat pembangunan dapat dirasai rakyat di seluruh daerah. 

Kemajuan bukan sekadar angka hasil atau jumlah pelaburan, tetapi kemampuan menyediakan kehidupan yang lebih baik, peluang ekonomi yang luas dan kemudahan asas yang berkualiti kepada seluruh rakyat. #UtusanMalaysia 

Share:

Kerajaan Negeri Mahu Satu Laporan Lengkap Disediakan Pihak Berkaitan Isu Sungai Pahang Di Pesagi Yang Kering Sejak Beberapa Tahun Lalu

MARAN: Kerajaan negeri mahu satu laporan lengkap disediakan pihak berkaitan isu Sungai Pahang di Pesagi, di sini yang kering sejak beberapa tahun lalu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, laporan lengkap perlu disediakan bagi menyediakan langkah jangka pendek dan panjang dalam mengatasi isu tersebut.

“Sekarang saya minta laporan daripada daerah dan saya akan bawa dalam mesyuarat exco, kita kaji, teliti dan perhalusi untuk tindakan selanjutnya.

“Untuk jangka panjang kita perlu dapat laporan yang lengkap untuk kita kemukakan kepada pihak atasan,”katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Tapak Projek Pencawang Masuk Utama (PMU) Kampung Awah di Maran, hari ini.

Baru-baru ini Kosmo! melaporkan, Sungai Pahang di Pesagi di sini semakin kering sehingga boleh dilalui oleh pejalan kaki dan penunggang motosikal, malah terdapat kawasan yang sudah ditumbuhi rumput.

Kawasan yang dahulunya terkenal dengan lubuk ikan kerana dasar yang dalam dan berarus deras itu berubah menjadi kering-kontang dan membentuk daratan berpasir.

Jika tiga tahun lalu kawasan kering itu hanya sepanjang tiga kilometer, namun kini telah mencecah kira-kira enam kilometer.

Menurut Wan Rosdy, dalam mesyuarat exco yang dijadual Rabu ini, kerajaan negeri akan turut membincangkan isu ini bagi mencari penyelesaian jangka pendek dan panjang.

Ditanya mengenai satu-satunya kaedah yang dilihat signifikan iaitu dengan melakukan pengorekan pasir beliau berkata perkara itu telah dipanjangkan kepada kerajaan Persekutuan termasuk mendapatkan kelulusan.

“Kita telah panjangkan kepada pihak Persekutuan, harap Persekutuan membuat keputusan yang menguntungkan kerajaan negeri,” ujarnya. #KOSMO!

Share:

Lima Ahli Kumpulan Geng Lakino Garuda, Termasuk Empat Warga Asing Mengaku Tidak Bersalah Pertuduhan Mencuri Kabel Di Pahang Jun Lalu

KUANTAN: Lima ahli kumpulan Geng Lakino Garuda termasuk empat warga asing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini, atas pertuduhan memiliki harta curi berupa tujuh gulung kabel di negeri ini Jun lalu.

Warga tempatan, Teo Soon Wei, 36, bersama empat warga Indonesia iaitu Roy Padri, 26; Sare Tamanto, 35; Larino, 41; dan Supono, 56, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan itu secara bersama dengan tidak jujur memiliki harta curi berupa tujuh gulung kabel. Kesalahan itu didakwa dilakukan di semak tepi pagar kawasan projek solar di negeri ini kira-kira jam 4.30 petang, 28 Jun.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Najmi Zaki Amer Suhaimi mencadangkan jaminan RM7,000 kepada Teo dan tiada jaminan kepada empat warga asing itu berikutan tidak memiliki sebarang dokumen sah untuk tinggal di Malaysia.

Semua warga asing terbabit diwakili peguam Azrul Hakimi Ramli manakala Soon Wei diwakili peguam Tok Hong Chen. Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM4,500 kepada Teo dan menetapkan 1 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Di mahkamah sama, empat warga asing berkenaan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan masuk ke Malaysia tanpa sebarang pas atau permit yang dikeluarkan secara sah.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah menetapkan tarikh sama untuk serahan dokumen. #Berita Harian

Share:

Kakanda Sultan Pahang, Tengku Puteri Seri Kemala Tengku Datuk Seri Aishah Almarhum Sultan Ahmad Shah Selamat Dimakamkan di Makam Diraja Pekan

PEKAN: Kakanda Sultan Pahang, Tengku Puteri Seri Kemala Tengku Datuk Seri Aishah Almarhum Sultan Ahmad Shah selamat dimakamkan di Makam Diraja di sini pada Khamis.

Istiadat pemakaman Tengku Datuk Seri Aishah yang mangkat pada usia 69 tahun disempurnakan kira-kira jam 3.30 petang.

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat menghadiri istiadat pemakaman yang berlangsung dengan penuh penghormatan itu.

Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut berangkat.

Hadir sama bagi memberi penghormatan terakhir Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selain barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Terdahulu jenazah Almarhumah dimandikan dan disolatkan di Masjid Khalid bin Al-Walid, Jalan padang Tembak, Kuala Lumpur sebelum dibawa pulang dari Pangkalan Udara,Subang.

Sejurus tiba di Pangkalan Udara Kuantan, jenazah kemudian dibawa ke Masjid Sultan Ahmad 1 di sini dan tiba pada jam 1.25 tengah hari untuk disolatkan sekali lagi selepas solat Zohor.

Selepas solat, jenazah dibawa ke makam berkenaan yang terletak di sebelah masjid berkenaan untuk dimakamkan dengan penuh istiadat.

Mufti Pahang, Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim menyempurnakan bacaan Yasin diikuti tahlil dan doa selamat.

Sultan Pahang dan Tunku Azizah berkenan menyiram air serta menabur bunga ke atas makam Almarhumah.

Dilaporkan Tengku Datuk Seri Aishah mangkat pada 9.15 malam semalam di sebuah hospital di ibu negara. #SinarHarian

Share:

Kedudukan Kewangan Pahang Tunjuk Prestasi Kukuh, Hasil Negeri Mencecah RM921.72 Juta, RM173.93 Juta Salur Ke Inisiatif Makmur (IM)

KUANTAN: Kedudukan kewangan Pahang terus menunjukkan prestasi kukuh apabila hasil negeri kini mencecah RM921.72 juta, bersamaan 72.03 peratus daripada sasaran RM1.279 bilion bagi tahun ini setakat 26 Ogos lalu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, prestasi itu turut disokong pertumbuhan ekonomi negeri yang semakin memberangsangkan apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pahang meningkat kepada RM71 bilion pada 2025, berbanding RM68.8 bilion pada tahun sebelumnya.

Tambahnya, kekuatan kewangan negeri turut diterjemahkan secara langsung kepada rakyat menerusi pelaksanaan Inisiatif Makmur (IM) Pahang, dengan peruntukan keseluruhan RM173.93 juta sejak 2024 hingga tahun ini.

“Prestasi ekonomi dan sosial serta kedudukan kewangan yang kukuh membolehkan Kerajaan Negeri terus menyalurkan manfaat secara langsung kepada rakyat di pelbagai lapisan masyarakat melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah Inisiatif Makmur Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Chini, Datuk Mohd Sharim Md Zain pada Sidang Dewan Negeri Pahang, di sini, hari ini.

Menurut Wan Rosdy, daripada keseluruhan peruntukan IM Pahang itu, RM38.80 juta disalurkan pada 2024, diikuti RM50.54 juta pada 2025 dan meningkat kepada RM84.59 juta tahun ini.

Dalam perkembangan sama, Wan Rosdy berkata, Pahang turut merekodkan RM11.47 bilion pelaburan komited sehingga Ogos tahun ini, bersamaan 70.85 peratus daripada sasaran RM16.2 bilion.

Katanya, pelaburan yang telah direalisasikan pula berjumlah RM1.044 bilion, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap keupayaan ekonomi negeri.

Jelasnya, prestasi itu turut disokong pertumbuhan ekonomi apabila KDNK Pahang meningkat lebih RM2 bilion dalam tempoh setahun.

Wan Rosdy berkata, agenda `Pahang 1st’ turut memberi impak kepada pembangunan modal insan apabila negeri itu muncul negeri kedua terbaik di Malaysia bagi keputusan SPM 2025, dengan Gred Purata Negeri (GPN) 4.08 berbanding Gred Purata Kebangsaan 4.42.

Kata beliau, sebanyak 96.52 peratus calon atau 16,822 calon layak menerima sijil, manakala 671 calon memperoleh keputusan semua A.

Lebih membanggakan, ujarnya, Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP) dinobatkan sebagai sekolah terbaik SPM peringkat kebangsaan dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 0.60, manakala Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) mencatatkan GPS 1.06.

“Pahang turut mencatatkan PNGK tertinggi negeri bagi STPM 2025, iaitu 3.09,” katanya.‘

Dalam aspek kesejahteraan rakyat, Wan Rosdy berkata, kemiskinan tegar berjaya dinoktahkan, manakala kadar kemiskinan berjaya dikurangkan sebanyak 30 peratus setakat pertengahan tahun ini.

Katanya, kadar pengangguran Pahang pada suku kedua 2026 hanya 2.0 peratus, lebih rendah berbanding kadar nasional 3.0 peratus.

“Lebih 300,000 rakyat menerima manfaat bantuan Kerajaan Negeri,” katanya.

Kerajaan negeri turut menyediakan 2,000 unit Rumah Rakyat Pahang (RRP) percuma untuk golongan miskin tegar, selain rumah mampu milik bersubsidi tinggi menerusi PR1MA Pahang dan Rumah Makmur Pahang.

Wan Rosdy berkata, pencapaian itu menunjukkan pertumbuhan ekonomi negeri bukan sekadar angka di atas kertas, sebaliknya diterjemahkan melalui pelbagai manfaat yang dapat dirasai rakyat.

Dalam pada itu, Pahang turut muncul negeri dengan tahap perpaduan tertinggi di Malaysia berdasarkan Indeks Perpaduan Malaysia dengan skor 0.817.

Dua bandar di Pahang, iaitu Lipis dan Raub, turut dinobatkan antara 10 Bandar Paling Bahagia di Malaysia bagi tahun 2026.

“Kita mahu prestasi ekonomi yang kukuh ini terus diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat, pembangunan modal insan dan peluang ekonomi yang lebih luas untuk seluruh rakyat Pahang,” katanya. #MalysiaGazette

Share:

ADUN Bersatu Sokong Kerajaan Pahang Bukan Kerana Peruntukan Tetapi Kerjasama Pastikan Pembangunan, Kebajikan Rakyat Diutamakan

 

KUANTAN: Sokongan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bukan atas faktor peruntukan, sebaliknya berlandaskan komitmen untuk bekerjasama dalam memastikan pembangunan dan kebajikan rakyat terus diberi keutamaan.

‎Wan Rosdy berkata, beliau menghargai sokongan ADUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin dan ADUN Lepar, Mohd. Yazid Mohd. Yunus terhadap kerajaan negeri serta menyifatkannya sebagai perkembangan yang menunjukkan kepentingan rakyat mengatasi perbezaan politik.

‎“Saya ucapkan terima kasih kepada mereka kerana memberi sokongan kepada kerajaan negeri dan kepada saya. Ini menunjukkan bahawa kita memang bekerja untuk rakyat Pahang. Politik ini kita letak perkara yang nombor dua, nombor tiga, nombor empat. Yang penting rakyat Pahang,” katanya selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di sini hari ini.


‎Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa terbuka bekerjasama dengan mana-mana pihak demi kepentingan rakyat dan mengalu-alukan sekiranya lebih ramai wakil rakyat mahu memberikan sokongan kepada pentadbiran negeri.

‎“Kalau boleh ada ramai lagi nak sokong, lagi bagus. Kita mengalu-alukan,” katanya.

‎Sementara itu, Jasri berkata, sokongan berkenaan dibuat secara ikhlas dan kedua-dua ADUN tersebut komited bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam menyokong dasar serta program yang dilaksanakan demi kepentingan rakyat.

‎“Kita sudah declare sokongan kepada Menteri Besar Pahang. Kita committed bekerjasama dalam menyokong dasar-dasar dan program-program kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui selepas persidangan itu.

‎Menurut Jasri, kerjasama itu terutama bagi memastikan pembangunan, kebajikan dan kesejahteraan masyarakat di DUN Kuala Sentul dan Lepar terus diberi perhatian.

‎Beliau berkata, pendirian berkenaan turut mendapat restu Biro Politik Bersatu yang dipengerusikan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas perkara berkenaan dibincangkan di peringkat Pusat.

‎Jasri berkata, beliau dan Yazid turut mempunyai memorandum persefahaman (MoU) dengan Menteri Besar Pahang, namun kandungan perjanjian berkenaan tidak didedahkan kepada umum.

‎Ditanya kemungkinan kerjasama itu diteruskan pada pilihan raya akan datang, Jasri berkata, perkara tersebut belum diputuskan kerana fokus mereka ketika ini adalah menjalankan amanah sehingga DUN dibubarkan, sambil tidak menolak sebarang kemungkinan pada masa depan. #UtusanMalaysia

Share:

Jenazah Kakanda Sultan Pahang, Tengku Puteri Seri Kemala Tengku Datuk Seri Aishah Dibawa Ke Makam Diraja Pahang Di Pekan

KUALA LUMPUR: Jenazah kakanda Sultan Pahang, Tengku Puteri Seri Kemala Tengku Datuk Seri Aishah Almarhum Sultan Ahmad Shah, dibawa keluar dari Masjid Khalid Bin Al-Walid, Jalan Padang Tembak, di sini, pada 10.30 pagi ini selepas dimandikan dan disolatkan.

Jenazah Almarhumah dibawa ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang untuk diterbangkan ke Pangkalan TUDM Kuantan dan seterusnya dibawa ke Makam Diraja Pahang di Pekan untuk dimakamkan dengan penuh penghormatan dan istiadat.

Terdahulu, solat jenazah Almarhumah diimamkan oleh Ketua Pengarah Kerohanian Islam Markas Angkatan Tentera Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Mohd Rashidi Bujai.

Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat ke masjid berkenaan bagi memberi penghormatan terakhir kepada Almarhumah dan difahamkan, baginda turut berkenan membantu menyempurnakan jenazah Almarhumah sebelum disolatkan.

Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud dan kakanda Almarhumah, Tengku Puteri Seri Teja Datuk Seri Tengku Muhaini Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah turut berkenan hadir memberi penghormatan terakhir.

Turut hadir, bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Affendi Buang serta kerabat dan ahli keluarga.

Dilaporkan, Tengku Datuk Seri Aishah mangkat pada 9.15 malam tadi di sebuah hospital di Kuala Lumpur. #AstroAwani

Share:

Kakanda Sultan Pahang, Tengku Puteri Seri Kemala Tengku Datuk Seri Aishah Mangkat Pada Jam 9.15 Malam Tadi Di Kuala Lumpur

KUANTAN: Kakanda Sultan Pahang, Tengku Puteri Seri Kemala Tengku Datuk Seri Aishah Almarhum Sultan Ahmad Shah mangkat pada 9.15 malam tadi di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya berkata, jenazah Almarhumah akan dibawa ke Makam Diraja Pahang, Pekan, hari ini untuk dimakamkan dengan penuh penghormatan dan istiadat.

Beliau berkata, kemangkatan Almarhumah merupakan satu kehilangan besar kepada Kerabat Diraja Pahang, khususnya kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Almarhumah, mengampuni segala dosa dan kesalahan, menerima segala amal ibadah serta kebajikan yang telah dilakukan sepanjang hayat, serta menempatkan roh Almarhumah dalam kalangan para solihin serta di syurga-Nya.

“Sama-sama kita doakan roh Almarhumah akan bersama orang-orang yang solehah,” katanya menerusi kenyataan media malam tadi. #AstroAwani

Share:

Dua ADUN Bersatu Di Pahang Pilih Kestabilan Politik, Sokong Wan Rosdy Sehngga Pilihan Raya Umum Ke-16 Akan Datang

 

KUANTAN:  Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu mengambil pendirian menyokong kepimpinan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

‎ADUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin dan ADUN Lepar, Mohd Yazid Mohd Yunus menerusi kenyataan bersama memaklumkan, keputusan tersebut dibuat demi menjamin kestabilan politik serta memelihara kebajikan rakyat di kawasan diwakili.

‎“Pendirian ini telah dipersetujui oleh pucuk pimpinan parti Bersatu dengan mengambil kira keperluan untuk menjamin kestabilan politik di negeri Pahang dan memelihara kebajikan rakyat di kedua-dua DUN yang kami wakili.

‎“Dengan muafakat yang telah dicapai bersama Menteri Besar Pahang, kami percaya bahawa pembangunan dan kesejahteraan rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sentul dan DUN Lepar akan diberikan tumpuan oleh Kerajaan Negeri Pahang,” katanya pada Rabu.

‎Mereka turut menegaskan komitmen untuk terus menggalas amanah secara bertanggungjawab menerusi kerjasama rapat bersama pentadbiran negeri.

‎“Kami akan terus melaksanakan amanah sebagai wakil rakyat yang bertanggung jawab dengan sebaik-baiknya dan memberikan kerjasama kepada pentadbiran negeri demi memastikan pembangunan, kebajikan dan kepentingan rakyat Pahang terus terpelihara.

‎“Kami percaya bahawa dalam keadaan politik yang dinamik, kepentingan rakyat, kestabilan negeri dan kelangsungan pentadbiran yang baik hendaklah sentiasa menjadi keutamaan,” jelasnya.

‎Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang mempunyai 42 kerusi dan pentadbiran kerajaan negeri dibentuk menerusi gabungan Barisan Nasional yang memiliki 17 kerusi iaitu UMNO 16 dan satu MIC 1 manakala Pakatan Harapan dengan 8 kerusi.

‎Perikatan Nasional pula menguasai 17 kerusi menerusi PAS(15 (15 kerusi) dan Bersatu (2 kerusi).

‎“Kami percaya bahawa dalam keadaan politik yang dinamik, kepentingan rakyat, kestabilan negeri dan kelangsungan pentadbiran yang baik hendaklah sentiasa menjadi keutamaan,” jelasnya.

‎Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang mempunyai 42 kerusi dan pentadbiran kerajaan negeri dibentuk menerusi gabungan Barisan Nasional yang memiliki 17 kerusi iaitu UMNO 16 dan satu MIC 1 manakala Pakatan Harapan dengan 8 kerusi.

‎Perikatan Nasional pula menguasai 17 kerusi menerusi PAS(15 kerusi) dan Bersatu (2 kerusi). #SinarHarian

Share:

Sungai Pahang Di Pe­sagi Maran Tumbuh Rumput, Kini Makin Kering Sehingga Boleh Dilalui Pejalan Kaki Dan Penunggang Motosikal

MARAN: Sungai Pahang di Pe­sagi di sini, semakin kering sehingga boleh dilalui oleh pejalan kaki dan penunggang motosikal, malah terdapat kawasan yang sudah di­tumbuhi rumput.

Kawasan yang dahulunya terkenal dengan lubuk ikan ke­rana dasar yang dalam dan berarus deras itu berubah menjadi kering-kontang dan membentuk daratan berpasir.

Jika tiga tahun lalu kawasan kering itu hanya sepanjang tiga kilometer, namun kini telah mencecah enam kilometer.

Seorang penduduk, Ahmad Tarmizi Yusuf, 56, berkata, kea­daan itu bukan hanya berlaku pada musim kemarau, sebalik­nya berlangsung sepanjang tahun di cabang sungai berhampiran jalan Kampung Pesagi.

“Memang sudah berubah kalau dulu ini adalah sungai tetapi ia sudah menjadi ‘padang pasir’, kalau ada hujan pun hanya ada air di kawasan alur sahaja dan menjadi seakan kubang (lopak) sahaja.

“Tidak tahu apa puncanya dan keadaan ini sebenarnya menyukarkan kami yang terpaksa berjalan jauh di atas ­pasir untuk ke bot yang diletakkan di cabang sungai bersebelahan.

“Dengan keadaan panas terik seperti ini pasir sungai terlalu panas sehingga kaki hampir melecur berjalan di atasnya,” katanya ketika ditemui di Kampung Pesagi di sini baru-baru ini.

Ahmad Tarmizi berkata, pada masa ini terdapat pam pasir yang beroperasi di cabang sungai bersebelahan menyebabkan sungai tersebut masih dipenuhi air.

Justeru dia berharap agar ke­rajaan dapat mengambil tindakan segera termasuk mengorek dan memindahkan pasir di su­ngai berkenaan.

Sementara itu, penternak ikan sangkar, Khairul Nizam Omar, 43, berkata, keadaan sungai yang kering menyebabkan dia terpaksa berhadapan dengan kerugian sebelum ini.

Menurutnya, meskipun ka­wa­san sangkarnya merupakan yang paling dalam di situ, namun keadaan air yang ­kering dan permukaan cetek menye­bab­kan penternakan ikan patin tidak dapat dilakukan.

Justeru katanya, dia terpaksa memindahkan kesemua 60 sangkar ikan miliknya ke kawasan lain yang lebih jauh daripada ­rumahnya di Kampung Pesagi di sini.

“Sejak tiga tahun ini kawasan ini seakan tidak berubah dan menjadi padang pasir, jadi kami harap keadaan ini dapat dipulihkan semula,” ujarnya. #KOSMO

Share:

Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang Hentikan Serta-Merta Program Dan Aktiviti Libatkan Haiwan Berbisa Serta Merta Buat Masa Ini

 

KUANTAN: Semua program dan aktiviti demonstrasi atau pertunjukan membabitkan haiwan berbisa dikendalikan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang dihentikan serta-merta buat masa ini.

‎Pengarahnya, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, keputusan itu susulan kejadian seorang anggota meninggal dunia selepas dipatuk ular di Temerloh pada Ahad lalu.

‎Menurutnya, keputusan menghentikan demonstrasi berkenaan bagi memastikan aspek keselamatan anggota sentiasa diberi keutamaan, terutama dalam aktiviti yang melibatkan haiwan berbisa.

‎Allahyarham Sarjan (PA) Muhamad Muazam Shah Kamardin, 39, meninggal dunia kira-kira jam 1.50 pagi Ahad lalu ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh selepas lebih 14 jam bertarung nyawa akibat dipatuk ular tedung selar.

‎Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 pagi pada Sabtu itu, mangsa dipatuk pada jari tangan kanan ketika melakukan demonstrasi pengendalian reptilia sempena sebuah program di Temerloh.

‎Che Adam bagaimanapun berkata, operasi APM bagi menangani kes membabitkan haiwan berbisa masih diteruskan seperti biasa.

‎Operasi menangani haiwan berbisa masih beroperasi dan masih menggunakan prosedur operasi.standard (SOP) yang sedang berkuat kuasa," katanya.

‎Bagaimanapun menurutnya, anggota yang ditugaskan dalam operasi berkenaan sentiasa diingatkan supaya lebih berhati-hati dan melaksanakan setiap tindakan mengikut prosedur operasi ditetapkan. #SinarHarian

Share:

Sarjan Pertahanan Awam (PA) Muazam Shah Sempat Cakap 'Aku Dah Terkena Ni' Selepas Dia Dipatuk Ular Ketika Latihan Demontrasi Di Taman Temerloh Jaya


TEMERLOH:  “Aku dah terkena ni.” Itu kata-kata terakhir Sarjan Pertahanan Awam (PA) Muhamad Muazam Shah Kamardin kepada anggota pasukannya selepas dipatuk tedung selar ketika melakukan latihan demonstrasi pengendalian reptilia di Dewan Taman Temerloh Jaya di sini pada Sabtu.

‎Kakaknya, Siti Aisyah Kamardin, 43, berkata, selepas memaklumkan mengenai patukan itu, arwah sempat menyimpan ular berkenaan ke dalam kotak sebelum pergi membasuh tangan.

‎“Namun, arwah kemudian rebah di situ sebelum anggota pasukannya membawanya ke hospital,” katanya ketika ditemui pada Ahad.

‎Menurut Siti Aisyah, kejadian itu merupakan kali ketiga adiknya dipatuk ular, manakala dua kejadian terdahulu membabitkan reptilia berbeza.

‎“Sudah tiga kali adik kena patuk ular. Yang sebelum ini, saya ingat kira-kira tiga tahun lepas. Masa itu, arwah koma sekejap sebelum mengalami serangan jantung.

‎“Alhamdulillah, masa itu masih boleh bertahan, cuma selepas kejadian arwah tidak boleh buat kerja berat dan buat kerja perlahan-lahan macam biasa saja,” katanya.

‎Berkongsi mengenai minat adiknya terhadap reptilia, Siti Aisyah berkata, Muhamad Muazam sudah lama meminati ular dan membela beberapa jenis reptilia di rumah termasuk tedung selar, python dan sawa.

‎Katanya, reptilia berkenaan sering dibawa ketika melakukan demonstrasi bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), namun dia tidak mengetahui secara terperinci bagaimana ular tersebut diperoleh.

‎“Saya tak pasti tentang ular itu, kena tanya adik angkat arwah. Tapi memang arwah yang pilih, kalau ada pertunjukan atau persembahan, memang dia akan bawa yang itu,” katanya.

‎Menurutnya, sepanjang seminggu sebelum kejadian, arwah juga banyak menghabiskan masa mengendalikan ular di rumah termasuk memandikan dan bermain dengannya.

‎Allahyarham Muhamad Muazam Shah
‎Allahyarham Muhamad Muazam Shah
‎“Saya tengok dia macam biasa saja, tak sangka pula kejadian itu berlaku,” katanya.

‎Mengimbas kejadian, Siti Aisyah berkata, dia menerima panggilan daripada adik angkat arwah yang memaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 12 tengah malam sebelum bergegas ke hospital.

‎Dalam kejadian itu, Muhamad Muazam Shah yang juga anggota APM Daerah Temerloh dilaporkan dipatuk ular ketika mengendalikan reptilia berkenaan sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh untuk menerima rawatan.

‎Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 1.50 pagi Sabtu di HoSHAS selepas lebih 14 jam bertarung nyawa.

‎Jenazah disolatkan di Masjid Kampung Bukit Kelulut sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Bukit Kelulut, Temerloh. #SinarHarian

Share:

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Meninggal Dunia Dipatuk Ular Ketika Demonstrasi Di Dewan Taman Temerloh Jaya


TEMERLOH: Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Temerloh yang dipatuk ular ketika melakukan demonstrasi pengendalian reptilia, semalam, disahkan meninggal dunia awal pagi ini.

Sarjan Pertahanan Awam (PA) Muhamad Muazam Shah Kamardin, 39, menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.50 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh.

Pengarah APM Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata jenazah Allahyarham akan diuruskan dan disolatkan di Masjid Kampung Bukit Kelulut sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Bukit Kelulut, pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 pagi semalam, Muhamad Muazam Shah dipatuk ular tedung selar pada bahagian kuku jari tengah tangan kanan ketika melakukan demonstrasi pengendalian ular di Dewan Taman Temerloh Jaya.

Ketika kejadian, APM Daerah Temerloh dijemput menyertai Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat dengan mengadakan demonstrasi pengendalian ular kepada peserta program berkenaan.

Che Adam berkata, selepas dipatuk, anggota terbabit keluar dari dewan untuk mencuci tangannya sebelum tiba-tiba pitam di luar dewan.

Mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan HoSHAS untuk mendapatkan rawatan lanjut dan ditempatkan di Zon Merah di bawah pemantauan doktor.

Keadaannya terus dipantau sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 1.50 pagi hari ini. #BuletinTV3 

Share:

Lokasi Jalan Dan Selekoh Berisiko Tinggi Di Pahang Akan Dinilai Semula Daripada Aspek Reka Bentuk, Keperluan Penambahbaikan

TEMERLOH: Lokasi jalan dan selekoh yang berisiko tinggi kemalangan di Pahang akan dinilai semula daripada aspek reka bentuk serta keperluan penambahbaikan bagi meningkatkan ke­selamatan pengguna.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, setiap lokasi kemalangan perlu diteliti berdasarkan punca sebenar kejadian terlebih dahulu sebelum tindakan penambahbaikan jalan diputuskan.

Beliau berkata, penilaian itu penting bagi menentukan sama ada kemalangan berpunca daripada keadaan atau reka bentuk jalan seperti selekoh berbahaya, atau faktor kecuaian pemandu.

“Kita kena tengok faktor kemalangan, apakah kerana jalan atau selekoh itu bahaya ataupun kerana kecuaian pemandu.

“Kalau selekoh itu dikenal pasti berkaitan dengan reka bentuk jalan, bahagian berkaitan akan buat siasatan dan penilaian terlebih dahulu,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Mengulas kemalangan di laluan Bera-Temerloh membabitkan lori tangki-Perodua Bezza yang menyebabkan dua beranak maut baru-baru ini, Razali berkata, pihaknya perlu meneliti laporan dan faktor kejadian sebelum menentukan sama ada terdapat keperluan melakukan perubahan terhadap jalan berkenaan.

“Daripada rakaman dashcam, kita nampak beberapa faktor seperti lori dipandu laju, kea­daan hujan dan selekoh tetapi kita kena tengok keseluruhan keadaan ketika kemalangan berlaku,” katanya.

Menurutnya, walaupun se­suatu selekoh dilihat tajam, penilaian menyeluruh perlu dibuat kerana kemalangan tidak semestinya berlaku setiap masa di lokasi berkenaan.

Dalam perkembangan berkai­tan, Razali berkata Projek Pe­lebaran Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) yang bermula Mac lalu dijangka siap pada 2030 dengan kos RM2.1 bilion.

Katanya, projek sepanjang 45.3 kilometer dari Plaza Tol Gombak hingga Persimpangan Mempaga, Bentong itu penting bagi meningkatkan kapasiti laluan utama menghubungkan Lembah Klang dengan Pantai Timur.

“Lebuhraya KLK kini merekodkan purata lebih 135,000 kenderaan sehari berbanding kira-kira 41,000 kenderaan sehari pada 1997, iaitu peningkatan lebih tiga kali ganda,” katanya.

Projek itu membabitkan pe­lebaran jajaran Gombak hingga Genting Sempah daripada tiga kepada empat lorong serta naik taraf laluan selepas Genting Sempah hingga Bentong.

Ia turut merangkumi pembinaan terowong baharu sepanjang 999 meter di Genting Sempah yang bakal beroperasi bersama dua terowong sedia ada. #UtusanMalaysia

Share:

Polis Pahang Tingkatkan Rondaan Susulan Dua Kes Rompakan Kedai Emas Yang Telah Berlaku Dalam Minggu Ini

 

KUANTAN: Polis meningkatkan kekerapan rondaan susulan dua kes rompakan kedai emas yang berlaku dalam minggu ini di Pahang.

Pemangku Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob berkata tumpuan diberikan di kedai menjual barang berharga berkenaan yang berada di kawasan rumah kedai, tepi jalan selain premis yang tidak mempunyai pengawal keselamatan.

"Ketua Polis Daerah telah diarahkan supaya mengadakan rondaan di kawasan terbabit dengan lebih kerap sebagai langkah pencegahan," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata pihaknya mendapati kebanyakan kedai emas yang mempunyai operasi lebih kecil, dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) yang tidak berfungsi atau sekadar dummy yang dilihat menyukarkan pihak polis mendapatkan rakaman yang boleh membantu siasatan sekiranya berlaku kejadian jenayah.

Semalam, sejumlah barang kemas yang dianggarkan berjumlah RM500,000 dilarikan empat suspek bersenjatakan parang dan objek menyerupai senapang patah (pump gun) di sebuah kedai emas di Taman Pandan Damai, di sini.

Sebelum ini, sebanyak 81 barang kemas pelbagai jenis seberat 2.5 kilogram bernilai RM1.74 juta dilarikan tiga lelaki bersenjatakan kapak dan kuku kambing dari sebuah kedai emas di pusat beli-belah Sky Avenue, Genting Highlands, Bentong pada 17 Ogos.

Sementara itu, Azry Akmar berkata siasatan awal mendapati dua kes rompakan berkenaan tidak mempunyai kaitan dan melibatkan suspek berbeza.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan pihak polis masih lagi memburu mereka yang terlibat dalam kes terbabit," katanya. #HarianMetro 


Share:

Guru Wanita, Anak Lelaki Maut Selepas MPV Dinaiki Tiga Sekeluarga Terbabas Di Kilometer 149, Jalan Kuantan-Seremban Malam Tadi


ROMPIN: Seorang guru wanita dan anak lelakinya maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki tiga sekeluarga terbabas di Kilometer 149, Jalan Kuantan-Seremban, dekat Kampung Bukit Serok, Muadzam Shah, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, suami mangsa yang juga pemandu MPV berkenaan parah.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi, berkata ketika kejadian, tiga sekeluarga terbabit dalam perjalanan dari Seremban, Negeri Sembilan ke Felda Keratong 1, Muadzam Shah.

“Hasil siasatan mendapati MPV terbabit dipercayai terlanggar kayu di atas jalan menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan sebelum terbabas ke gaung di kanan jalan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Sharif Shai berkata, dalam kemalangan itu, Kartine Ngatenan, 46, guru di sebuah sekolah di Seremban, dan anaknya, Muhammad Akif Mohd Azmi, 6, tersepit dalam kenderaan dan maut di tempat kejadian.

Pemandu MPV, Mohd Azmi Mohahir, 47, pula parah dan dirawat di Hospital Muadzam Shah.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan itu pada jam 9.56 malam.

Katanya, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah bergegas ke lokasi sejurus menerima laporan dan tiba pada jam 10.35 malam.

“Ketika tiba di lokasi, didapati guru terbabit tersepit di tempat duduk penumpang hadapan MPV berkenaan, manakala anaknya di tempat duduk penumpang belakang.

“Bomba terpaksa memotong MPV itu menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mayat dua beranak terbabit,” katanya.

Mayat dua beranak itu dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. #BuletinTV3

Share:

Sultan Pahang Berkenan Membantu Mangsa Yang Kemalangan Di Lebuh Raya Pan Borneo, Jalan Bau-Lundu Sarawak Petang Semalam


KUALA LUMPUR: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan membantu mangsa kemalangan di Lebuh Raya Pan Borneo berhampiran Kampung Stungkor, Jalan Bau-Lundu, Sarawak, petang semalam.

Insiden berlaku kira-kira jam 3.30 petang ketika baginda sedang memandu sendiri kenderaan dalam perjalanan dari Lundu ke Kuching selepas berkenan merasmikan Masjid Al-Sultan Abdullah di Telok Melano, Sarawak.

Menurut hantaran dalam Facebook Kesultanan Pahang, setiba di lokasi kejadian, didapati berlaku kemalangan membabitkan sepasang suami isteri yang menunggang sebuah motosikal dengan sebuah kereta dipandu seorang wanita tempatan.

Al-Sultan Abdullah segera menitahkan ambulans yang bersama konvoi baginda, agar membantu kedua-dua mangsa yang agak parah serta membawa mereka ke Hospital Lundu untuk rawatan lanjut.

Baginda juga turun melihat dan bertanya sendiri situasi mangsa, selain membantu menenangkan mereka, sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Kuching. #BuletinTV3 

Share:

Nizar Razak: Rakyat Pahang Antara Paling Bahagia, Peningkatan Nilai Ekonomi Disasar RM100 BIlion Menjelang 2030


SHAH ALAM: Rakyat Pahang bukan sahaja menikmati tahap kebahagiaan yang tinggi, malah negeri itu turut berusaha memperkukuh ekonomi dengan menyasarkan peningkatan nilai ekonomi kepada RM100 bilion menjelang 2030.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib berkata, Pahang berada pada kedudukan nombor satu dari segi indeks kebahagiaan.

Beliau berkata, aspek kebahagiaan rakyat itu merupakan antara perkara positif yang dimiliki Pahang selain keadaan jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin yang rendah.

"Dari segi indeks kebahagiaan kita nombor satu. Dan kita ada ukuran ekonomi, dia panggil 'Gini Coefficient'. Dia mengukur jurang antara miskin dan kaya.

"Di Pahang, kita punya 'Gini Coeffecient' paling rendah, bermakna jurang orang kaya dengan miskin itu paling rendah antara negeri-negeri lain, " katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Town Hall Rakyat yang dihoskan pelakon popular, Fikry Ibrahim di Dewan Karangkraf di sini pada Jumaat.

Mohamad Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya berkata, keadaan itu merupakan antara perkembangan positif yang dicapai Pahang dari aspek kesejahteraan rakyat.

Katanya, terdapat pandangan yang menganggap rakyat Pahang mudah berpuas hati atau reda dengan keadaan sedia ada.

"Tak tahu. Mudah puas hati, kita reda. Mungkin bantuan yang diberikan oleh kerajaan tepat pada sasaran hingga jurang tidak berapa tinggi," ujarnya lagi.

Mohamad Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya berkata, keadaan itu merupakan antara perkembangan positif yang dicapai Pahang dari aspek kesejahteraan rakyat.

Katanya, terdapat pandangan yang menganggap rakyat Pahang mudah berpuas hati atau reda dengan keadaan sedia ada.

"Tak tahu. Mudah puas hati, kita reda. Mungkin bantuan yang diberikan oleh kerajaan tepat pada sasaran hingga jurang tidak berapa tinggi," ujarnya lagi.

Mohamad Nizar menambah, Pahang juga menjuarai Indeks Perpaduan di Malaysia, sekali gus kehidupan masyarakat harmoni di negeri tersebut.

Bagaimanapun, katanya, keadaan berkenaan tidak bermakna kerajaan negeri boleh berpuas hati sebaliknya usaha meningkatkan taraf ekonomi dan pendapatan rakyat perlu terus diperkasakan.

Menurut Mohamad Nizar, antara sasaran utama menerusi Pelan Tindakan Ekonomi Negeri Pahang sehingga 2030 adalah meningkatkan nilai ekonomi negeri daripada RM71 bilion kepada RM100 bilion.

Menurutnya, kerajaan negeri turut menyasarkan peningkatan gaji median Pahang daripada RM2,300 ketika ini kepada RM3,300.

Kita nak tingkatkan gaji median negeri Pahang. Sekarang ini gaji median, gaji pertengahan keluarga Pahang adalah RM2,300.

"Kita nak lonjakkan ke RM3,300, sama paras dengan Kuala Lumpur ataupun negeri-negeri yang lebih maju dalam aspek ini," tambahnya.

Menurutnya, ketika ini hanya sekitar 21 peratus tenaga kerja di Pahang boleh disifatkan sebagai berkemahiran tinggi.

Justeru, beliau berkata, angka itu perlu ditingkatkan bagi memastikan negeri berupaya menyediakan tenaga kerja yang bersesuaian dengan keperluan ekonomi dan pelaburan pada masa depan. #SinarHarian

Share:

Tiga Kes Rompakan Kedai Emas Dilaporkan Berlaku Dalam Masa Lima Hari, Terbaharu Kejadian Di Taman Pandan Perdana Kuantan


PETALING JAYA: Tiga kes rompakan kedai emas dilaporkan berlaku dalam masa lima hari dengan kejadian terbaharu berlaku di Taman Pandan Perdana, Kuantan semalam.

Sebelum ini, dua buah kedai emas di Genting Highlands, Pahang dan Klang, Selangor menjadi sasaran kumpulan penjenayah pada Isnin lalu dan semalam.

Kejadian jenayah itu turut mencetuskan kebimbangan orang ramai selepas video mengenainya dikongsikan di media sosial, dengan rata-rata pengguna melahirkan rasa takut berikutan kejadian berlaku pada waktu siang.

Menerusi hantaran di aplikasi Threads, pengguna stymnisya memaklumkan, kejadian rompakan terbaharu hari ini berlaku di sebuah kedai emas di Taman Pandan Perdana Kuantan

“Katanya kes di kedai emas  Kuantan, Allahu takutnya. Orang awam tak boleh nak buat apa sebab penyamun bawa parang. Takutlah,” kongsinya.

Seorang lagi pengguna, nrainnanajihah_, turut meluahkan kebimbangan dengan kejadian jenayah yang berlaku di Kuantan.

“Takutlah Kuantan sekarang ini. Siang hari lagi korang (penjenayah) buat kerja! Semoga cepat kena cekup!” katanya.

Sementara itu, pengguna s.nrfhina pula memberitahu, kejadian jenayah tersebut menyebabkan orang ramai berasa bimbang untuk berkunjung ke kawasan berkenaan.

“Takutnya rasa nak pergi, dah lah selalu beli barang di situ. Fuh, siang-siang hari berani buat kerja macam itu. Semoga dipermudahkan segala urusan tuan kedai,” katanya. #KOSMO!

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.