KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memfailkan representasi baharu bagi menggugurkan pertuduhan menyebut perkataan menghasut semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, susulan beliau diterima menghadap oleh Istana Pahang, minggu lalu.
Peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili bekas Perdana Menteri memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, representasi itu akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) esok selepas meneliti warkah yang diterima daripada pihak istana, semalam.
Menurut beliau, Ahli Parlimen Pagoh itu yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diterima menghadap Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 26 Oktober lalu.
Amer Hamzah berkata, ekoran perkembangan positif itu, pihaknya akan mengemukakan representasi baharu kepada AGC bagi memohon pertuduhan terhadap anak guamnya digugurkan.
“Tanpa memperincikan secara lanjut, kami ingin memaklumkan kepada mahkamah bahawa terdapat perkembangan baharu berhubung kes ini susulan anak guam kami diterima menghadap pihak istana pada 26 Oktober lalu.
“Semalam, kami menerima satu warkah daripada istana dan berdasarkan perkembangan itu, kami ingin mengemukakan representasi baharu kepada Peguam Negara.
“Kami memohon supaya mahkamah memberikan sedikit masa bagi membolehkan pihak Peguam Negara dan pendakwaan mempertimbangkan representasi berkenaan,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi yang mengetuai pasukan pendakwaan, tidak membantah perkara itu.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin menetapkan 3 Disember ini bagi pemakluman perkembangan representasi berkenaan.
Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk hari pertama perbicaraan, namun tarikh-tarikh yang telah ditetapkan pada 3, 4, 5, 11, 12, dan 13 November ini, dilapangkan.
Pada 27 Ogos 2024, Muhyiddin, 79, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Gua Musang atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut semasa kempen PRK DUN Nenggiri.
Mengikut pertuduhan, Muhyiddin yang ketika itu Pengerusi Perikatan Nasional (PN) didakwa menyebut perkataan menghasut di kawasan lapang berhampiran Dewan Semai Bakti Felda Perasu, Gua Musang, Kelantan antara jam 10.30 malam dan 11.50 malam, 14 Ogos 2024.
Kenyataan menghasut itu berkenaan dakwaan beliau tidak dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong (ketika itu) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri walaupun dikatakan mempunyai sokongan 115 daripada 222 Ahli Parlimen pada masa itu.
Presiden Bersatu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama, memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pada 27 November 2024, Mahkamah Tinggi Kota Bharu membenarkan permohonan Muhyiddin untuk memindahkan perbicaraan kes yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Gua Musang ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. #MalaysiaGazette







Tiada ulasan:
Catat Ulasan