
TEMERLOH – Sebuah lori tanpa muatan merempuh tembok pagar pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Temerloh dekat Jalan Tengku Ismail di sini, pagi semalam mengakibatkan kerugian kira-kira RM25,000.
Saksi kejadian yang juga pekerja di situ berkata, kejadian berlaku jam 10.20 pagi ketika dia dalam pejabat apabila secara tiba-tiba sebuah lori meluru masuk dan merempuh tembok.
Menurutnya, lori dipandu seorang lelaki India itu dipercayai hilang kawalan hingga merempuh tembok pagar pejabat mengakibatkan pemandunya patah tangan.
“Terkejut apabila dengar bunyi rempuhan dan seterusnya kepulan debu memenuhi perkarangan pejabat.
“Apabila keluar pejabat, kelihatan pemandu lori jatuh atas jalan dengan keadaan tulang tangan tersembul keluar dari daging,” katanya.
Pengurus Besar PPK Temerloh, Zakaria Alias berkata, lori terbabit turut merempuh berpuluh guni baja tanaman milik Kedai Peladang PPK Temerloh yang diletakkan di hadapan pejabat itu.
“Keseluruhan kos yang terpaksa ditanggung PPK sebahagian besarnya adalah akibat kerosakan pada tembok pagar dengan anggaran kira-kira RM20,000 manakala kos kerosakan barangan pertanian dan lain-lain bernilai RM5,000,” katanya.
Zakaria berkata, kejadian itu adalah yang pertama kali berlaku sejak beliau bertugas di situ kira-kira dua tahun lalu. Katanya, laporan polis dibuat tengah hari semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Abdul Aziz Salleh mengesahkan kejadian tersebut dan menyatakan punca kejadian masih dalam siasatan. #sumber

KUALA SENTUL - Generasi kedua Felda yang tinggal di tanah rancangan dalam Dun Kuala Sentul akan diberi peluang mendapat rumah Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) bagi meneruskan usaha ibu bapa mereka dalam perladangan dan pertanian.
Adun Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, Felda bersetuju membina hampir 200 unit rumah itu di dua tanah rancangan tahun ini.
Menurutnya, Felda Jengka 1, dan Jengka 2 terpilih manakala dua projek lagi di kawasan Jengka 6 dan Felda Tajau yang dianggap sebagai projek perintis PGBF.
“Projek ini merupakan satu usaha berterusan kerajaan melalui Felda bagi menyediakan tempat tinggal lebih selesa kepada anak peneroka yang tinggal dalam tanah rancangan.
“Kesemua projek tersebut kini difahamkan dalam pemilihan kontraktor dilantik Felda dengan setiap unit rumah akan dijual pada harga lebih rendah berbanding pasaran.
“Pembinaan akan dibuat mengikut fasa kerana membabitkan kos tinggi dan hanya ditawarkan kepada kontraktor berwibawa sahaja bagi melaksanakan projek berkenaan,” katanya.
Shahaniza berkata, PGBF merupakan satu usaha berterusan kerajaan melalui Felda bagi menyediakan tempat tinggal lebih selesa kepada anak peneroka yang tinggal dalam tanah rancangan.
Menurutnya, Kerajaan Negeri sentiasa memberi kerjasama baik kepada pihak Felda bagi melaksanakan projek berkenaan.
“Kita sedia maklum bahawa penempatan Felda tidak dibuka lagi namun bilangan penduduk bertambah kerana ada anak Felda yang bekerja dan membina kehidupan di sini.
“Hanya mereka yang menetap dan bekerja di tanah rancangan itu sahaja diberi keutamaan kerana golongan ini membantu meneruskan pembangunan Felda,” katanya. #sumber

PEKAN – Kenyataan yang dikeluarkan Ketua Wira Perkasa Malaysia, Irwan Fahmi Idris di blog rasminya mendatang kemarahan pemimpin Umno di peringkat cawangan dan bahagian.
Ketua Pemuda Umno cawangan Jalan Rompin Lama, Fadhlul Hisham Ismail berkata, tajuk salah satu topik blog yang berbunyi 'Sudah cukup segalanya digadai, Hj Najib wajar meletakkan jawapan' amat tidak wajar.
Menurutnya, kenyataan Irwan itu bersifat tuduhan yang tidak rasional di mana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak pernah gagal menaikkan taraf kehidupan orang Melayu.
“Saya menyelar kenyataan dangkal yang dikeluarkan Irwan dan saya percaya ia dilakukan untuk mempromosikan diri sendiri sekali gus meraih perhatian daripada orang ramai.
“Tahukah dia bahawa kenyataannya itu hanya akan membangkitkan sentimen ahli-ahli Perkasa seterusnya hilang keyakinan kepada Perkasa sendiri,” katanya, semalam.
Fadhlul berkata, Irwan seharusnya mencerminkan diri sendiri dan memperbaiki Perkasa dahulu kerana secara umumnya semua mengetahui bahawa Presiden Perkasa, Ibrahim Ali sendiri gagal meraih sokongan dan kepercayaan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.
“Seharusnya Irwan membuat kajian dan berfikir secara rasional sebelum membuat sebarang kenyataan berdasar emosi yang akhirnya menjerat dan membuka pekung dada sendiri.
“Kenyataan yang kita keluarkan akan mempamerkan tahap pemikiran dan kualiti diri kita, malah apa yang diluahkan hanya akan memburukkan keadaan dan tidak menyumbang sebarang faedah kepada semua pihak,” katanya. #sumber

JENGKA - Penduduk tanah rancangan ini menuntut agar kerja-kerja pembinaan rumah generasi kedua yang sepatutnya dijalankan April lalu dilakukan segera memandangkan tanah seluas 84 hektar telah diperuntukkan untuk tujuan itu.
Difahamkan, kerja-kerja pembinaan sepatutnya sudah dijalankan kini memandangkan ia dijangka siap November nanti.
Sehubungan itu, mereka memohon Adun Pulau Tawar, Datuk Ahmad Shukri Ismail dan Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris mengambil tindakan tegas bagi menyegerakan kerja-kerja pembinaan rumah generasi kedua.
Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Kebajikan Kampung (JKKK), Md Jali Jamil berkata, penduduk khususnya generasi kedua melahirkan rasa kesal atas kelewatan terbabit.“Mereka tertanya-tanya bila kerja-kerja pembinaan ini sepatutnya dimulakan sedangkan tanah seluas 84 hektar telah ada,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya lagi, Pengurus Felda Jengka 9, Nik Sin Nik Ya sebelum ini pernah mengumumkan kepada peneroka bahawa projek perumahan generasi kedua bermula April dan akan siap pada November nanti.
“Ahli parlimen juga ketika sebelum pilihan raya yang lalu pernah menyuarakan bahawa projek perumahan generasi kedua ini akan diambil perhatian di mana dianggarkan sebanyak 360 unit rumah akan dibina.
“Pada mesyuarat bersama jawatankuasa pada Jumaat lalu, perkara ini turut dibangkitkan dalam minit mesyuarat, namun kami dimaklumkan bahawa Felda kini sedang mengalami masalah kekurangan kontraktor untuk menguruskan projek perumahan terbabit,” katanya. Sementara itu, Setiausaha JKKK, Aziz Khalid pula berkata, diharap dengan campur tangan ahli politik dalam perkara ini dapat menyegerakan lagi kerja-kerja pembinaan rumah generasi kedua terbabit.
Nik Sin dalam pada itu memberitahu bahawa beberapa tanah rancangan yang lain juga turut mengalami masalah yang sama. #sumber

KUALA LUMPUR - Harga runcit bahan petroleum Malaysia masih paling murah berbanding negara-negara jiran meskipun selepas kenaikan harga yang diumumkan semalam, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.
Beliau berkata harga diesel di Thailand ialah RM3.06 seliter dan petrol RON95 RM4.74; diikuti Singapura (RM4.32 dan RM5.56); Indonesia (RM3.43 dan RM3.05); dan Filipina (RM4.32 dan RM5.44 (RON93)).
Harga diesel dan petrol RON95 tempatan pula masing-masing di bawah paras RM3 seliter iaitu hanya RM2.00 dan RM2.10 seliter, kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut memetik kajian yang dijalankan oleh Bloomberg bertajuk 'Highest and Cheapest Gas Prices by Countries' (Harga Bahan Api Tertinggi dan Terendah Mengikut Negara) yang menyatakan Malaysia berada pada kedudukan kelapan selepas Venezuela, Arab Saudi, Kuwait, Mesir, Emiriyah Arab Bersatu, Iran dan Nigeria, dalam menawarkan harga terendah.
Kajian yang dijalankan pada Februari 2013 itu turut melihat Malaysia berada di hadapan berbanding Mexico, Amerika Syarikat, Rusia, Indonesia, Pakistan dan Thailand.
Ahmad berkata rasionalisasi harga minyak petrol RON95 dan diesel perlu dilaksanakan ketika ini agar subsidi kerajaan lebih adil dan terarah khususnya untuk penduduk berpendapatan sederhana dan rendah yang akan mendapat lebih banyak manfaat.
"Segalanya ini adalah kerana komitmen kerajaan untuk terus membantu rakyat dan dengan pelarasan subsidi ini, kita ingin memberi tumpuan kepada subsidi terarah khususnya untuk rakyat berpendapatan rendah dan sederhana dengan kenaikan bantuan BR1M," katanya.
"Jangan terpedaya dengan hasutan politik yang mengambil kesempatan daripada isu ini sedangkan langkah kerajaan ini lebih adil dan baik demi untuk kebajikan rakyat."
#sumber

Pengerusi bersama BERSIH Datuk S Ambiga mempersoal tindakan polis menahan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said pada lewat tengah malam semalam semata-mata untuk disoal siasat polis.
Polis boleh memilih masa lain untuk menyoal siasat tokoh sastera itu, katanya yang menyifatkannya tindakan tersebut sebagai satu "gangguan".
"Tergamak mereka buat begitu kepada seorang individu yang sangat dihormati.
"Perlukah ke rumah beliau pada jam 12.30 malam semata-mata untuk menahannya bagi soal siasat dan membebaskannya dua jam kemudian?," soal Ambiga.
"Ia satu bentuk gangguan, dan sama sekali tidak perlu..polis tahu yang mereka tidak perlu mengganggu beliau dengan cara demikian hanya kerana perkara yang sebegitu sifatnya," kata beliau .
Bekas pengerusi Majlis Peguam itu juga menggesa Ketua Polis Negara memohon maaf kepada A Samad Said kerana menuduhnya menyorok daripada ditangkap.
A Samad Said yang lebih mesra sebagai Pak Samad yang juga merupakan pengerusi bersama BERSIH menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan yang beliau berada di rumah semalaman kelmarin dan tiada mana-manaa anggota polis hadir ke rumahnya. #sumber

ROMPIN - Demi mempertahankan nyawa dan maruah ibu serta adik perempuannya, seorang lelaki nekad bertempur dengan dua daripada lima penyamun yang memasuki rumah mereka di FELDA Keratong 5, Muadzam Shah, di sini, hingga cedera parah terkena 11 tetakan di tangan hingga menampakkan tulang, kaki dan perut, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, Mohd Arsyad Othman, 26, parah terkena 11 tetakan ketika melawan dengan penyamun bertopeng dipercayai warga asing bersenjatakan dua parang dan tiga kayu.
Difahamkan, ketika Arsyad bertarung dengan dua lelaki terbabit, tiga lagi penyamun mengepung ibu dan adiknya sambil mengawal keadaan.
Melihatkan Mohd Arsyad ditetak berkali-kali, ibunya, Zaharah Bakar, 57, melaungkan ‘Allahuakbar’ kerana tidak mampu berbuat apa-apa apabila dikepung tiga penjenayah bersama anaknya, Nor Adibah, 23.
Menceritakan detik cemas itu, Mohd Arsyad berkata, dengan kudrat yang ada dia cuba melawan penyamun terbabit kerana bimbang akan mengapa-apakan ibu dan adik perempuannya. “Saya yang ketika itu tidur di ruang tamu tersedar apabila mereka memukul belakang saya dengan kayu.
“Selepas itu, saya lihat lima penyamun berada dalam rumah dengan tiga daripada mereka sudah mengepung ibu dan adik,” katanya yang kini stabil selepas mendapatkan rawatan di Hospital Muadzam Shah (HMS) di sini.
Mohd Arsyad berkata, seorang penyamun terbabit cuba menetaknya di kepala, namun dia sempat menahan dengan tangan sebelum mencapai sebatang besi dan terus berlawan.
“Tanpa mempedulikan kesakitan, saya melawan walaupun penyamun itu melibas parang berulang kali sehingga mengenai beberapa bahagian badan,” katanya yang bekerja kampung.
“Ketika itu saya hanya terfikir keselamatan ibu dan adik perempuan walaupun nyawa saya jadi taruhan,” katanya yang bekerja kampung. #sumber

JERANTUT - Penduduk Kuala Tahan, di sini, menggesa pihak berkenaan supaya memantau kumpulan gajah liar yang sering masuk ke kawasan perkampungan mereka sejak akhir-akhir ini.
Terbaru, kehadiran gajah liar di Kampung Padang, Kuala Tahan itu menyebabkan penduduk dibuai ketakutan kerana mamalia liar itu semakin berani menghampiri kediaman mereka.
Seorang penduduk, Khairul Nizam Mohamad, 14, berkata, dia pernah melihat kelibat gajah setinggi hampir lima meter berhampiran rumahnya baru-baru ini.
“Ada satu malam sekumpulan gajah liar muncul berhampiran rumah dan kami dapat melihat kelibatnya dengan jelas menerusi cahaya lampu di luar rumah.
“Kami hanya berdiam diri dan sembunyi di dalam rumah kerana bimbang gajah tersebut naik minyak dan menyerang rumah kami,” katanya.
Khairul Nizam berkata, selain memusnahkan beberapa pokok di sekitar rumahnya, pernah berlaku kejadian haiwan menghampiri rumahnya dan cuba menolaknya.
Menurutnya, mereka sekeluarga kini sentiasa dalam ketakutan dan tidak dapat tidur lena kerana bimbang ancaman gajah liar yang muncul hampir setiap hari.
Seorang petani, Mohamad Azmi Sani, 49, berkata, kumpulan gajah liar kerap muncul di kampung tersebut sejak tiga bulan lalu untuk mencari makanan.
“Kumpulan gajah ini tinggal di hutan seberang Sungai Tembeling dan haiwan itu menyeberangi sungai untuk mencari makanan di kebun milik penduduk kampung.
“Banyak kebun buah-buahan seperti langsat, pisang dan durian milik penduduk kampung telah dirosakkan oleh gajah berkenaan. Kami telah membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di sini dan mereka sering membuat pemantauan bagi menjaga keselamatan penduduk.
“Kami harap Perhilitan dapat menangkap dan mengalihkan gajah liar ini ke tempat lain agar kami dapat menjalani kehidupan dengan lebih selesa dan selamat,” katanya. #sumber

JERANTUT - Tak tahu apa punca apabila pelajar asrama sebuah sekolah kebangsaan di daerah ini dijangkiti penyakit kulit sehingga menyebabkan ada di kalangan mereka terpaksa di bawa pulang keluarga masing-masing.
Lebih malang lagi, ahli keluarga yang lain turut dijangkiti selepas pelajar tersebut dibawa pulang dan ada yang dinasihatkan doktor supaya berjumpa dengan pakar kulit.
Suri rumah yang mahu dikenali sebagai Siti, 36, berkata, dia terpaksa membawa pulang anak lelakinya yang tinggal di asrama tersebut selepas mengadu menghidapi penyakit kulit dan gatal-gatal seluruh badan.
“Penyakit kulit itu boleh berjangkit kepada sesiapa sahaja. Selepas anak saya pulang, kami sekeluarga di rumah turut dijangkiti penyakit yang sama.
“Bukan kami sahaja, malah kebanyakan keluarga yang mana anak mereka tinggal di asrama dan dibawa pulang turut menghidapi penyakit kulit yang sama,” katanya.
Siti berkata, penyakit kulit itu menyebabkan badan menjadi gatal di seluruh badan dan tidak tangan tidak akan berhenti menggaru di seluruh badan.
Menurutnya, kerana tidak tahan dia bersama keluarganya pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan.
“Walaupun sudah pergi ke klinik dan mendapatkan ubat gatal, disuntik dan diberikan antibiotik namun penyakit kulit itu tidak hilang. Kini badan kami bukan sahaja dipenuhi dengan kudis malah berparut kerana kesan digaru.
“Anak saya itu tidak dapat ke sekolah selama sebulan kerana tidak tahan gatal di seluruh badan. Kami juga membuat rawatan tradisional namun ia juga tidak berkesan,” katanya. ehubungan itu, dia menggesa menggesa Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) serta Jabatan Kesihatan Daerah membuat tinjauan dan mencari punca jangkitan kulit yang dihadapi pelajar asrama berkenaan.
" Mereka perlu siasat sama ada penyakit kulit yang dihadapi pelajar asrama itu berpunca daripada tilam di asrama ataupun air. #sumber

KUANTAN - Kelekaan terhadap hiburan tanpa batasan antara faktor yang boleh melemahkan minda Melayu.
Yang Dipertua Pertubuhan Perkasa Pahang, Datuk Dr Abd Wahid Manap berkata, hiburan boleh meracuni minda terutama generasi muda sehingga mereka hanyut dan lupa hala tuju untuk mengangkat martabat diri, agama dan bangsa.
Menurutnya, berhibur tidak salah namun jika meletakkan hiburan itu sebagai ‘jiwa’ ia sesuatu yang merosakkan.
“Hari ini ada yang menangis bila peserta program realiti berkonsepkan hiburan diminati terkeluar namun mereka tidak pernah menitiskan air mata melihat anak bangsa ‘tertewas’ akibat dadah, gejala sosial, lumba haram dan sebagainya.
“Sepatutnya kita menyelami dan mencari jawapan kepada masalah sosial yang membelenggu jiwa anak muda Melayu hari ini yang semakin membimbangkan dan bukan hanyut dengan hiburan melalaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Tahunan Perkasa Pahang Kali Ke-3 di sini, semalam.
Abd Wahid berkata, banyak lagi perkara yang merosakkan orang Melayu, justeru semua pihak termasuk kerajaan perlu meneliti secara mendalam berhubung masalah ini.
“Kita akan terus meneliti perkara yang jelas meracuni minda Melayu dan jika perlu, desakan akan dibuat kepada kerajaan supaya mengambil tindakan sewajarnya.
“Jiwa yang lemah dan terbelenggu menyebabkan Melayu terus ketinggalan dan terpinggir di tanah air sendiri,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Abd Wahid berkata, Perkasa Pahang tetap dengan keputusan menyokong dan memberi kepercayaan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.Menurutnya, dasar dan pendekatan Perdana Menteri dalam mentadbir, mengurus dan memacu negara ke arah kecemerlangan berjaya membawa keharmonian serta kestabilan negara tanpa meminggirkan kepentingan Islam, bangsa Melayu dan institusi raja-raja seperti yang termaktub dalam perlembagaan. #sumber

KUANTAN - Akibat degil dan tidak mengendahkan amaran pihak berkuasa agama negeri, gudang milik sebuah syarikat yang memiliki rangkaian pasaraya di negeri ini di serbu Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), semalam.
Penolong Pengarah Unit Pengurusan Halal JAIP, Noridzuan Abdul Manan berkata, serbuan dilakukan lapan Pegawai penguatkuasa JAIP dan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Negeri di Jalan Setali, Kuantan.
“Pihak pengurusannya berdegil dan tidak mahu mengikut peraturan ditetapkan dengan menggunakan tanda halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau yang diiktiraf penguasa agama tempatan,” katanya di sini, semalam.
Katanya, dalam serbuan itu, Jaip dan PPDNKK merampas barang dan produk makanan yang bukan sahaja tidak mempunyai tanda Halal diiktiraf malah menggunakan logo dan tanda Halal buatan sendiri,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, syarikat terbabit kini berdepan tindakan undang-undang di Bawah Akta Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang membawa denda sehingga lima ratus ribu ringgit.
Noridzuan berkata, dalam serbuan sama, beberapa produk makanan yang melanggar APD 2011 disita untuk tindakan lanjut.
“Semua pemilik industri di negeri ini sudah diingatkan supaya tidak sewenang-wenangnya memperihalkan apa-apa produk makanan atau barang gunaan sebagai halal, melainkan diperakukan sebagai halal oleh pihak berkuasa berwibawa.
“Pihak berkuasa juga menetapkan tanda halal hanya boleh menggunakan logo Halal Malaysia dan yang diiktiraf sahaja,” katanya. #sumber

KUALA LUMPUR - Datuk A. Samad Said ditahan polis awal pagi ini bagi membantu siasatan insiden mengibar bendera alternatif pada malam sambutan ulang tahun kemerdekaan Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika dihubungi Bernama, mengesahkan penahanan Sasterawan Negara itu.
"Kita tahan beliau di rumahnya di Bangsar Utama pada kira-kira 12.25 tengah malam dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi membantu siasatan. Kita akan siasat mengikut Akta Hasutan 1948," katanya.
Media sebelum ini melaporkan polis meminta sasterawan itu menyerah diri bagi siasatan lanjut berhubung kes mengibar bendera berkenaan di Dataran Medeka di sini.
Dalam insiden itu, A. Samad dikatakan sedang mendeklamasikan sajak berhampiran bendera merah putih dengan 12 bintang kuning disusun tiga baris dalam empat jalur yang kemudiannya dirampas seorang lelaki.
Kelmarin aktivis politik, Hishamuddin Rais dan aktivis mahasiswa, Adam Adli Abdul Halim ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden sama, #sumber

KUANTAN - Sekumpulan mat rempit lari lintang-pukang meninggalkan motosikal masing-masing bagi mengelak ditangkap selepas ‘litar’ mereka di Jalan Kuantan-Gambang dekat Sungai Isap di sini digempur polis, awal pagi kelmarin.
Dalam operasi kira-kira jam 12 tengah malam hingga 6 pagi itu, segelintir penunggang pula cuba bertindak berani meloloskan diri dengan menunggang secara melawan arus.
Bagaimanapun cubaan mereka gagal apabila ramai yang berjaya ditahan selepas pihak polis bertindak mengepung kawasan tersebut.
Hasil operasi banteras mat rempit selama enam jam itu, seramai 257 remaja berusia 16 hingga 30 tahun termasuk seorang Orang Kurang Upaya (OKU) berjaya ditahan.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam/Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, Asisten Superintendan Ahmad Nazri Zainal yang mengetuai operasi itu berkata, dalam operasi itu, 203 kenderaan diperiksa dan 31 daripadanya disita.
Menurutnya, sebanyak 109 saman dikeluarkan terhadap pemandu dan penunggang atas pelbagai kesalahan trafik.
“Saman yang dikeluarkan melibatkan kesalahan ubah suai kenderaan tidak mengikut spesifikasi, tidak mempunyai lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan ganggu lalu lintas.
“Hasil ujian air kencing yang dijalankan mendapati dua daripada mereka berusia 16 dan 21 tahun didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Beliau berkata, seorang penunggang OKU berusia 23 tahun turut ditahan kerana merempit selain tidak memiliki lesen memandu.
Ahmad Nazri berkata, kumpulan mat rempit itu dikatakan sering berkumpul sebelum merancang mengadakan lumba haram di lokasi tersebut pada setiap malam minggu.
"Kebanyakan yang ditahan memberikan alasan lapuk termasuk hanya ‘meronda’ selain berjumpa kawan di jalan berkenaan.
“Walau apa pun alasan mereka, setiap penunggang yang melakukan kesalahan tetap berdepan tindakan,” katanya. #sumber
TEMERLOH – Penduduk sekitar Kampung Kuala Sanggang, gempar apabila lima kubur di tanah perkuburan Kampung Belanka digali pihak tidak bertanggungjawab.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Sanggang, Maazi Rahmat Maharam Abdullah berkata, dua kali kejadian sama berlaku iaitu pada malam Jumaat seminggu sebelum Aidilfitri dan malam Jumaat minggu lepas.
Menurutnya, dalam kejadian pertama, sebanyak lima kubur digali sedalam kira-kira satu meter di bahagian kepala dan di kiri kanan membabitkan kubur empat perempuan dan satu lelaki.
“Kejadian berlaku pada malam Nuzul Quran dan disedari waris mangsa keesokan paginya manakala kejadian kedua pula pada malam Jumaat minggu lepas apabila tiga daripada lima kubur terbabit digali lagi dan dikambus semula,” katanya.
Katanya, penduduk bimbang berlaku kegiatan khurafat di kawasan kubur terbabit memandangkan cara gali adalah sama iaitu di bahagian kepala dan kiri serta kanan kubur.
“Kami tidak tahu si pelaku menjuruskan kepada kubur siapa, apa yang kami bimbang si pelaku melakukan perkara khurafat,” katanya.
Maazi berkata, dalam kejadian pertama dan kedua, pihak berkuasa agama menghantar beberapa pegawai ke lokasi kejadian untuk siasatan.
“Diharap mereka meneliti tujuan sebenar si pelaku berbuat demikian sama ada dia mengambil atau meninggalkan sesuatu di kubur terbabit,” katanya.
Dalam pada itu, usaha untuk mendapatkan komen daripada waris mangsa kejadian tidak berhasil berikutan kesemua mereka enggan mendedahkan identiti keluarga.
Bagaimanapun, seorang daripada ahli keluarga terbabit mahu pihak berkuasa agama menjalankan siasatan segera bagi mengenal pasti si pelaku dan tujuan dia berbuat demikian sekali gus mengelak kejadian daripada berulang.
Kadi Temerloh, Badarudin Ahmad Bustami ketika dihubungi mengesahkan kejadian berdasarkan laporan pegawainya dan penduduk kampung.
“Kes gali kubur ini jarang berlaku, bagaimanapun dipercayai si pelaku dalam kejadian itu mengamalkan ajaran sesat.
"Kami akan siasat perkara ini hingga ke akar umbi,” katanya. #sumber

Pada 16 Ogos 2006 yang lalu, ketika Tun Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri Malaysia menggantikan Tun Mahathir Mohamad, beliau ada melancarkan kenderaan guna teknologi air ganti minyak. Penghasilan teknologi itu selaras dengan usaha kerajaan untuk mengurangkan pengantungan ke atas minyak sebagai sumber tenaga. Namun, selepas sekian lama kini rakyat mula tertanya-tanya apakah kenderaan yang dihasilkan itu praktikal untuk digunakan oleh rakyat Malaysia. Susulan kenaikan harga minyak diesel dan petrol RON95 sebanyak 20 sen seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak malam tadi maka kini ramai pihak yang mula berkira-kira untuk mendapatkan kenderaan tersebut sebagai alternatif. Namun, mereka juga musykil benarkah kenderaan itu wujud atau sekadar janji kosong semata-mata untuk mengaburi mata rakyat?. Oleh itu, pihak berkenaan digesa memaklumkan perkembangan ini kepada rakyat agar mereka boleh mencari jalan untuk tujuan tersebut, jika minyak naik pada masa-masa yang akan datang. Kenaikan harga minyak yang diumumkan oleh Najib malam tadi sungguh mengejutkan ramai pihak kerana sebelum ini beliau telah berjanji tiada kenaikan harga minyak selepas Pilihanraya Umum Ke-13 yang lalu sebenarnya. Bukti kenyataan beliau sila baca DI SINI.

KUALA LUMPUR - Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mendesak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) membuat penjelasan berhubung tiga daripada 49 kumpulan kongsi gelap yang diumumkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) merupakan pertubuhan yang sah.
Jelasnya lagi, tindakan tersebut turut membuktikan ROS tidak membuat penilaian dan penyelidikan yang sewajarnya dalam memberi kelulusan pendaftaran sesebuah pertubuhan.
"Kenyataan tersebut amat mengejutkan, bagaimana sebuah pertubuhan kongsi gelap itu boleh diberikan kelulusan pendaftarannya.
"Jelas sekali ROS tidak melakukan penyelidikan mahupun kajian dengan teliti apabila ada pertubuhan baru yang ingin mendaftar, kita mahu Ketua Pengarah ROS tampil memberi penjelasan atau insiden tersebut," jelasnya kepada Harakahdaily.
Dalam pada itu, Salahuddin turut melahirkan kehairanan apabila permohonan Pakatan Rakyat yang hampir masuk tahun kelima tidak diberikan kelulusan pendaftaran.
"Bermacam-macam alasan diberikan terhadap permohonan itu, tetapi untuk pertubuhan kongsi gelap begitu mudah kelulusan diberikan.
“Apakah motis di sebaliknya?" soal beliau.
Katanya, permohonan Pakatan Rakyat untuk didaftar sebagai sebuah parti adalah diizinkan oleh Perlembagaan Persekutuan bagi menyuburkan proses demokrasi negara dan jelas bukannya untuk menimbulkan huru hara di negara ini.
ROS dalam satu kenyataannya hari ini mengesahkan tiga daripada 49 kumpulan kongsi gelap merupakan pertubuhan yang sah dan pernah berdaftar dengan ROS.
Bagaimanapun Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Rahman Othman enggan mengumumkan nama kumpulan tersebut. #sumber
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan diesel dan minyak petrol RON95 naik 20sen seliter mulai tengah malam ini.
Najib mengumumkan perkara itu dalam sidang media di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya sebentar tadi. Menurutnya, ini salah satu langkah rasionalisasi subsidi oleh kerajaan,
Sehubungan itu, RON95 akan berharga RM2.10 seliter manakala diesel pula RM2.00 seliter
Petunjuk Nabi Muhammad SAW tentang perang akhir zaman telah nyata.....saksikan video ini tentang perang akhir zaman yang disabdakan oleh Nabi kita. Sumber

KUALA LUMPUR - Penduduk Ampang dekat sini terpaksa mengambil air bukit bagi menjalankan aktiviti harian mereka berikutan gangguan bekalan air yang berlaku sejak awal pagi semalam.
Air yang diambil dari sumber mata air bukit di Taman Tun Abdul Razak (TAR) itu didakwa menjadi satu-satunya sumber untuk mendapatkan air bersih sementara menunggu bantuan dari Syarikat Bekalan Air Selangor Bhd. (Syabas).
Tinjauan yang dibuat Mingguan Malaysia hari ini di sekitar Taman Ampang Jaya, Taman Rasmi, Taman Bukit Indah dan Kampung Melayu Ampang mendapati rata-rata penduduk berulang-alik ke kawasan Taman TAR untuk mendapatkan bekalan air tersebut.
Seorang suri rumah, Azmah Ahmad, 40 berkata, dia dan suami telah berulang-alik sebanyak tiga kali untuk mendapatkan bekalan air bukit.
"Saya terpaksa mendapatkan bekalan air yang banyak kerana mempunyai empat anak yang masih bersekolah dan seorang menuntut di kolej.
"Gangguan bekalan air ini benar-benar memberi bebanan kepada kami sekeluarga. Selain terpaksa makan dan minum di luar, saya juga tidak dapat mencuci pakaian kotor," katanya.Dalam nada sama, Shaharudin Arshad, 30, berkata, oleh kerana gangguan bekalan air, perniagaan mencuci keretanya terjejas teruk.
"Perniagaan seperti ini memerlukan air yang banyak, disebabkan itu, kami buat keputusan untuk ambil air bukit ini untuk dibawa ke pusat cuci kereta.
"Tapi kalau masalah ini berterusan, perniagaan kami boleh gulung tikar. Mana tahan nak mengangkut air setiap hari," katanya.#sumber
SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan gerakan memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) secara besar-besaran yang bermula hari ini bukanlah satu operasi yang bermusim.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebaliknya mengingatkan semua pihak bahawa operasi tersebut akan tetap diteruskan bagi memastikan negara bersih daripada PATI.
"Kita akan tangkap, dakwa mereka sebelum dihantar pulang ke negara asal oleh kedutaan masing-masing," katanya ketika ditemui pada majlis Ramah Mesra dan Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Kelab Anak Rantau Bagan Datoh (Kerabad) di sini malam tadi. #sumber

KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan untuk tidak menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kerana ia akan memudaratkan kesejahteraan 12.5 juta pekerja di negara ini.
Presidennya Khalid Atan berkata kepada Bernama, maklum balas diterima daripada organisasi mesra buruh di Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara lain menunjukkan golongan pekerja akan menjadi mangsa kepada perbadanan besar kerana ia mengutamakan keuntungan pemegang saham.
Beliau berkata perjanjian itu juga meminggirkan banyak konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai hak pekerja dan dengan itu akan mendedahkan pekerja di Malaysia kepada eksploitasi.
Katanya turut menjadi kebimbangan ialah kos penjagaan kesihatan di Malaysia yang kini telahpun meningkat 10 peratus setiap tahun dan akan semakin meningkat ekoran harga ubat yang mahal, sekali gus semakin membebankan pekerja khususnya dalam sektor swasta.
Khalid berkata perjanjian itu juga akan membenarkan firma AS menggaji pekerja asing dan dengan itu memberi tekanan kepada kadar upah dan menjejaskan matlamat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Menurutnya, perjanjian itu juga akan memberi hak kepada syarikat AS untuk menyaman kerajaan menerusi penyelesaian pertikaian pelabur.
Khalid berharap kerajaan akan memberi pertimbangan serius kepada nasib pekerja dan kesejahteraan negara secara menyeluruh sebelum menandatangani perjanjian itu kerana perbadanan besar akan "mengutamakan" kepentingan mereka.#sumber

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak merobohkan kuil di Jalan P. Ramlee di sini sebaliknya mereka cuba mengalihkan beberapa patung di dalam kuil itu ke kawasan sementara bagi membolehkan kerja membaik pulih jalan di kawasan kuil itu dilakukan.
Justeru, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad menafikan laporan sebuah portal yang melaporkan DBKL cuba merobohkan kuil berusia 101 tahun itu.
"DBKL cuma nak alihkan patung di kuil itu, bukan nak robohkan. Kalau dah siap (kerja membaik pulih), patung itu akan diletak semula di tempatnya," katanya dalam satu kenyataan.
Zainuddin mengulas penahanan lapan lelaki termasuk Ketua Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan, T. Mohan kira-kira 11 pagi tadi kerana dipercayai cuba menghalang kerja-kerja DBKL itu.
Kesemua mereka diambil keterangan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan petang tadi.
"Kita percaya ini adalah salah faham antara kumpulan lelaki itu dan DBKL.
Mereka mungkin menyangka DBKL hendak merobohkan kuil tersebut," jelasnya. #sumber

SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim memberi jaminan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diberi ruang di Parlimen bagi berbincang soal masalah negara seperti yang dicadangkannya, kelmarin.
Menurut Shahidan, Parlimen merupakan tempat terbaik untuk berbincang soal perpaduan.
"Saya sebagai menteri yang menjaga Parlimen akan memastikan Anwar mendapat ruang untuk membawa perkara ini ke Parlimen.
"Saya cadangkan supaya Anwar bawa hal ini ke Parlimen untuk dibincangkan kerana Parlimen adalah tempat yang baik untuk bincang soal perpaduan," katanya. "Sudah pasti untuk tujuan yang baik ini, dia akan mendapat sokongan.
"Jika Anwar benar-benar ikhlas dan tidak ada niat yang lain daripada itu, dia hendaklah bawa hal ini ke Parlimen," tambahnya lagi.
Anwar sebelum ini mencadangkan supaya diadakan pertemuan di antara pihak kerajaan dan pembangkang bagi membincangkan masalah negara yang harus ditangani.
Menurut Anwar, pertemuan itu perlu diadakan bagi menyelamatkan negara di samping menyeru melupakan kesalahan masing-masing sempena hari kemerdekaan negara.
"Malah soal perpaduan ini sudah disebut Datuk Seri Najib semasa kemenangan PRU lalu.
"Sekarang Anwar menawarkan diri tapi tak apa. Sebab ia perkara baik," ujar Shahidan. #sumber

PUTRAJAYA - Dakwaan penyelewengan berhubung pembukaan sebuah akaun mencurigakan merupakan suatu tindakan tidak berasas, kata Ketua Wanita UMNO Bahagian Baling, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim.
Beliau berkata, dakwaan itu ternyata tidak betul kerana perkara tersebut sebenarnya tidak berlaku.
"Perkara ini sebenarnya telah timbul dua tahun lalu dan siasatan telah pun dijalankan terhadap pertuduhan itu.
"Tetapi tuduhan ini tidak berasas dan tiada bukti. Kalau betul, sudah lama saya diambil tindakan oleh pihak berkuasa," katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan isu pembukaan sebuah akaun bank mencurigakan dua tahun lepas oleh bekas Setiausaha Wanita UMNO Bahagian Baling sesi 2008/2012, Norhashiah Ibrahim.
Norhashiah mendakwa namanya digunakan sebagai salah seorang daripada tiga penama untuk membuka akaun bank tersebut.
Pada masa sama, Mashitah berkata, dakwaan tidak berasas itu merupakan salah usaha taktik kotor daripada pihak tertentu untuk menjatuhkan kerjaya politiknya.
"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku menjelang pemilihan parti Oktober ini kerana tindakan tersebut menunjukkan wujudnya persaingan tidak sihat.
"Kita kalau mahu bertanding, gunakanlah cara bersih, kenapa mahu memburukkan orang lain?," katanya.
Tambahnya, beliau tidak gentar dengan usaha tersebut kerana dalam hal seperti itu, seseorang ahli politik perlu bertindak sebagai pejuang.
#sumber

PUTRAJAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu segera menyelesaikan kes penyelewengan melibatkan Ketua Wanita UMNO Bahagian Baling, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berhubung pembukaan sebuah akaun bank yang mencurigakan pada 2010.
Bekas Setiausaha Wanita UMNO Bahagian Baling, Norhashiah Ibrahim berkata, sehingga kini belum ada sebarang tindakan yang diambil terhadap bekas Ahli Parlimen itu biarpun sudah hampir tiga tahun berlalu.
Beliau mendakwa, namanya telah digunakan sebagai salah seorang daripada tiga penama untuk membuka akaun bank tersebut.
"Dalam hal ini, saya percaya nama saya digunakan tanpa pengetahuan dan tandatangan saya dipalsukan.
"Perkara ini hanya saya sedari setelah mendapat panggilan pihak bank berhubung urusan pengeluaran cek bernilai RM40,000 sekitar Oktober 2010," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Norhashiah berkata, beliau percaya akaun tersebut telah dibuka atas namanya dan digunakan tanpa sebarang pengetahuan.
Tambahnya, beliau tidak pernah memberi sebarang persetujuan kepada mana-mana pihak untuk berbuat demikian.
"Sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkuasa berhubung isu tersebut.
"Biarpun pada 2011 saya sendiri dipanggil SPRM untuk disoal siasat berhubung kewujudan akaun tersebut," katanya.
Sementara itu, jelasnya, kenyataan yang dibuatnya itu adalah untuk mendesak tindakan segera diambil berhubung kes tersebut.
"Pada masa sama, tindakan ini dibuat untuk menjaga nama parti dan rakyat Baling khasnya.
"Ini kerana kita tidak mahu berlaku sebarang unsur penyelewengan dan penipuan yang akhirnya akan mendatangkan persepsi negatif daripada rakyat," katanya. #sumber

KUANTAN - Sebanyak 257 lelaki berusia 16 hingga 30 tahun termasuk seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) ditahan dalam operasi membanteras kegiatan lumba haram dan merempit di Jalan Kuantan-Gambang, di sini.
Semua yang ditahan dalam operasi bermula 12 malam tadi hingga 6 pagi ini dipercayai sering berkumpul di situ pada setiap malam minggu sebelum mengadakan lumba haram dan merempit.
Dalam 'Ops Rempit' selama enam jam itu, terdapat beberapa penunggang motosikal bertindak melarikan diri dengan meninggalkan motosikal masing-masing bagi mengelak daripada ditahan polis.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam/Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, ASP Ahmad Nazri Zainal yang mengetuai operasi itu berkata dua daripada yang ditahan itu berusia 16 dan 21 tahun didapati positif dadah jenis methamphetamine dan pil kuda.
"Sementara seorang OKU, 23, turut ditahan kerana tidak memiliki lesen selain turut merempit," katanya di sini, Ahad.
Menurutnya, sebanyak 109 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik dan 31 motosikal disita. #sumber
Majlis Jamuan Raya Anak Perantau Pahang, yang disertai oleh Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man serta lain2 pemimpin PAS telah telah diadakan di Rumah Exco Selangor hari ini. #sumber

MARAN - Masyarakat perlu mengukuhkan budaya menjaga kebersihan premis dan persekitaran sebagai satu gaya hidup bagi menangani pembiakan tikus serta nyamuk yang membawa mudarat kepada masyarakat.
Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abd. Muttalib berkata, keprihatinan menjaga kebersihan seperti di rumah dan premis perniagaan dapat mengatasi penularan wabak penyakit tersebut.
Menurutnya, rakyat khususnya di daerah ini tentu mengingati kejadian yang berlaku di kawasan perkelahan Lubuk Yu beberapa tahun lalu sehingga beberapa nyawa terkorban akibat penyakit kencing tikus.
"Ini membuktikan spesies tikus boleh membiak di mana-mana sahaja berikutan tahap kebersihan di lokasi terbabit sangat rendah iaitu banyak sisa-sisa makanan, kotor, sampah-sarap dan sebagainya.
"Sejak tragedi di Lubuk Yu, wabak penyakit tersebut semakin dikenali masyarakat dan banyak dilaporkan sejak kebelakangan ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam kempen kawalan tikus peringkat daerah di Pasar Borong Bandar Tun Abdul Razak Jengka di sini baru-baru ini.
Ismail yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, kempen seperti itu yang membabitkan masyarakat akan meningkatkan kesedaran mereka tentang ancaman kesihatan yang dibawa tikus.
"Banyak faktor mengapa makhluk perosak itu membiak seperti sikap sambil lewa masyarakat yang tidak menjaga kebersihan dengan sempurna," ujarnya.
Beliau berharap, mereka perlu komited memastikan tahap kebersihan tidak kira di rumah, premis perniagaan, gerai atau restoran perlu dijaga dengan memastikan peralatan seperti sudu, garpu, pinggan serta cawan dicuci sempurna.
#sumber

TEMERLOH - Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) akan menjalankan operasi mengutip bayaran cukai taksiran mulai esok yang kini tertunggak sebanyak RM7.1 juta terhadap pemilik premis yang masih berdegil dan enggan menjelaskannya.
Yang Dipertuanya, Datuk Zainal Abidin berkata, antara langkah diambil adalah menyita premis pemilik yang terus berdegil dan enggan menjelaskan tunggakan walaupun beberapa kali MPT bertolak ansur serta memberi peluang kepada mereka membayarnya.
Katanya, MPT tidak akan berkompromi sebaliknya menghantar notis kepada pemilik premis terbabit yang gagal membayar tunggakan sebelum ini.
"Kami akan mulakan operasi lebih tegas termasuk menyita premis yang didapati gagal membayar cukai taksiran kepada MPT.
"Kami terpaksa mengambil tindakan tegas kerana sebelum ini mereka telah beberapa kali diberi peluang menjelaskan cukai tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, tindakan berkenaan dilihat adil kerana masih ramai pemilik premis lain yang membayar cukai taksiran.
"Kita akan mulakan tindakan menyita premis terbabit di bawah peruntukan yang disediakan iaitu Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 172)," katanya.
Zainal berkata, pemilik premis perlu tahu tanggungjawab masing-masing kerana jika gagal membayar cukai taksiran pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak akan mempunyai dana yang cukup untuk membangunkan kawasan pentadbirannya.
Beliau berharap mereka yang masih belum membayar cukai taksiran supaya berbuat demikian dengan segera bagi mengelakkan harta disita.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Zainal berkata, kempen menangkap tikus yang bermula 24 Ogos lalu akan tamat hari ini.
"Orang ramai yang berjaya menangkap tikus boleh menebus wang RM5 bagi setiap ekor yang ditangkap di kaunter disediakan MPT sekitar bandar Temerloh," katanya. #sumber

KUANTAN - Kesedaran mencegah jenayah perlu diterapkan di peringkat sekolah rendah supaya generasi muda dapat memahami tentang bahaya jika terlibat dalam kegiatan tidak sihat itu.
Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) negeri, Datuk Seri Johny Ch'ng Ewe Gee berkata, pendedahan itu mampu mengelak mereka terjebak dalam kegiatan tidak berfaedah, sekali gus melahirkan modal insan berguna dalam pembangunan negara.
"Murid perlu didedahkan dengan pencegahan jenayah kerana mampu membawa satu kesedaran, sekali gus menjauhkan diri daripada gejala yang boleh memudaratkan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri dan seminar motivasi melibatkan 300 pelajar dari lima sekolah menengah di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir Naib Pengerusi MCPF Pahang, Datuk Seri Dr. Erwan Mohd. Tahir dan Komander Briged Tenggara, Datuk Azizan Abu Taat .
Beliau berharap mereka turut bekerjasama dengan membantu polis membanteras jenayah, selain memupuk semangat kejiranan di tempat tinggal mereka.
Dalam pada itu, Ewe Gee berkata, seminar tersebut merupakan kali kedua dianjurkan pihaknya iaitu sebelum ini pernah mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar sekolah menengah sekitar daerah ini.
Pada kali ini jelasnya, seorang penuntut orang kurang upaya (OKU) yang mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan di Universiti Malaya (UM), Faiq Adnan dijemput untuk menyampaikan ceramah kepada pelajar terbabit.
Katanya, pemilihan Faiq dibuat kerana dia mampu membuktikan bahawa kecacatan padanya tidak menghalang untuk melanjutkan pengajian ke universiti.
"Selain memberi ceramah kesedaran, kehadiran penuntut itu mampu menaikkan semangat kepada pelajar sekolah supaya mempunyai keazaman dan cita-cita untuk ke menara gading," ujarnya.
#sumber

KUANTAN - Para penuntut Universiti Kolej Shahputra (UCSA) menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 negara dengan mengambil inisiatif menghasilkan Jalur Gemilang terbesar di negeri ini.
Inisiatif menghasilkan Jalur Gemilang berukuran 20 meter lebar dan panjang 9.7 meter tersebut dilakukan oleh penuntut semester lima Diploma Komunikasi Massa dan Media.
Menurut ketua projek, Mohd. Syazwan Mohd. Samsuddin, sebelum ini penuntut UCSA pernah membuat bendera yang sama tetapi berukuran 18.4 meter lebar dengan lapan meter panjang.
Katanya, inisiatif kali kedua itu akan menyaksikan mereka cuba menghasilkan Jalur Gemilang terbesar di Pahang.
"Idea tersebut timbul apabila kami melayari laman web iaitu perkara tersebut pernah dilakukan di tempat lain.
"Bermula dari situ kami mencadangkan supaya usaha membuat Jalur Gemilang ini dilakukan. Sebagai penuntut, kami berbangga kerana dapat menyuntik semangat patriotisme di kalangan warga UCSA di sini," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Dalam pada itu, Pegawai Pemasaran UCSA, Mohd. Tarmimi Mohd. Zulkifli berkata, program itu mendapat sumbangan beberapa syarikat swasta dan telekomunikasi serta kutipan derma dalam kalangan penuntut sendiri.
Katanya, sebanyak 200 penuntut UCSA terlibat dalam projek itu selain turut disertai 80 murid sekolah rendah.
"Lebih membanggakan para penuntut terbabit akan membawa Jalur Gemilang terbesar itu dalam perarakan Hari Kemerdekaan di Padang MPK 1 pada 31 Ogos" ujarnya.
#sumber

TEMERLOH - Selepas lima tahun menyepi, bekas Naib Ketua Pemuda UMNO ahagian Temerloh, Nor Azmi Mat Ludin (foto) membuat kejutan apabila menawarkan diri untuk merebut jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Temerloh.
Nor Azmi, 51, mengesahkan keputusan untuk bertanding bagi memastikan UMNO Bahagian Temerloh kembali kukuh di bawah kepimpinan ketuanya, Dato' Mohd Sharkar Shamsudin.
Beliau berkata, dalam senario politik sekarang, ini adalah masa terbaik buatnya bertanding merebut jawatan nombor dua itu.
Menurutnya, keputusan yang dibuat juga berasaskan sokongan yang diberikan rakan-rakan dan juga tinjauan dibuat sebelum ini.
“Saya yakin banyak cawangan akan bagi sokongan kerana hubungan saya dengan mereka selama ini berterusan.
“Biarlah perwakilan yang menentukan siapa yang terbaik dalam kalangan kami bertiga,” katanya.
Sebelum ini Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Temerloh, Datuk Akbar VV Abu mengumumkan untuk bertanding jawatan sama yang kini disandang bekas Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah.
Nor Azmi yang kini ahli perniagaan sepenuh masa adalah Ketua UMNO Cawangan Mempateh, Lanchang dan beliau pernah memegang jawatan naib ketua Pemuda bahagian pada era 90-an.
Pada masa sama, Nor Azmi juga memegang jawatankuasa UMNO bahagian sehingga 2004 sebelum menawarkan diri bertanding Naib Ketua UMNO Bahagian Temerloh pada 2008 tetapi tewas kepada Mohamad Anuar Mohd Yunus.
Pengumuman itu bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru bagi kerusi timbalan ketua bahagian antara Nor Azmi, Akbar dan Saifuddin.
Beberapa sumber dalam UMNO Temerloh menganggap keputusan Nor Azmi bertanding akan membangkitkan semangat juang ahli-ahli UMNO terutama penyokongnya yang selama ini hanya membisu. #sumber

MARAN - Majlis Belia Daerah (MBD) Maran menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap penyebaran maklumat palsu melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan laman sosial berkenaan tindakan penjenayah merancang membalas dendam terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Timbalan Pengerusi MBD Maran, Mohd Radzuan Mat Amin (foto), berkata, edaran maklumat palsu seperti itu akan mewujudkan perasaan tidak selamat di kalangan rakyat sekali gus dikhuatiri akan menjejaskan keharmonian negara.
Menurutnya, rakyat terutama generasi muda yang menerima maklumat tersebut dinasihati agar tidak mempercayai dan menyebarkan ia kepada orang lain.
“Terdapat juga khabar palsu yang memperlekehkan usaha polis membanteras jenayah dan ini dilihat satu tindakan tidak bertanggungjawab untuk menghakis kepercayaan orang ramai terhadap pasukan keselamatan.
“Maka pihak berkuasa perlu menyiasat dan mengambil tindakan bagi menghalang perbuatan ini.
“MBD turut menyokong kenyataan tegas Ketua Polis Negara bahawa pihak polis akan terus melaksanakan tugas menjaga keselamatan negara walaupun dibidas pelbagai pihak,” katanya. #sumber

TEMERLOH - Polis Temerloh merampas dua laras senapang buatan sendiri dari seorang lelaki berusia 47 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Lubuk Wong, Kuala Krau petang semalam.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, hasil pemeriksaan di rumah yang tidak bernombor pada jam 3.30 petang itu, polis turut merampas 151 butir peluru Bore 12 pelbagai jenama dan satu plastik mercun bola daripada lelaki tersebut.
Menurutnya, turut ditahan seorang wanita warga Indonesia berusia 36 tahun dan berasal dari Lombok Timur yang dipercayai bekerja sebagai orang gaji di rumah tersebut.
“Suspek mendakwa kedua-dua laras senapang tersebut digunakan untuk memburu dan dia kini disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata tanpa lesen.
“Bagi kesalahan memiliki peluru pula suspek disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan-bahan Hakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
“Selain itu polis juga merampas 303 botol minuman keras pelbagai jenama dan disiasat mengikut Seksyen 32 akta Eksesais 1976 kerana tidak memiliki lesen menjual minuman keras,” katanya.
Abdul Aziz berkata, hasil pemeriksaan air kencing terhadap suspek dan wanita Indonesia itu mendapati kedua-duanya negatif dan bebas daripada pengambil dadah.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, manakala wanita terbabit tidak ada sebarang rekod jenayah.
“Jika disabitkan kesalahan suspek boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya. #sumber

BENTONG – Hujan lebat menyebabkan beberapa rumah penduduk di kawasan rendah di Felda Lurah Bilut dekat sini ditenggelami air dalam kejadian petang kelmarin.
Turut terjejas ialah jalan utama masuk ke kawasan itu berikutan berlaku runtuhan jalan hingga menyebabkan ia terpaksa ditutup sementara waktu untuk kerja pembaikan.
Adun Bilut, Chow Yui Hui berkata, hujan lebat bermula lebih kurang jam 3.30 petang itu mengakibatkan paras anak sungai di kawasan itu naik lalu melimpah ke kawasan rendah.
Katanya, pihaknya sudah memaklumkan kepada pihak berwajib termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Felda berhubung perkara itu.
“Bukan sahaja sungai di kawasan ini perlu dibersihkan dan seterusnya didalamkan namun jalan utama juga perlu ditinggikan parasnya.
“Memandangkan perkara ini melibatkan keselamatan dan keselesaan penduduk, diharap peruntukan segera dapat disalurkan bagi tujuan berkenaan,” katanya.
Yui Hui berkata, mangsa banjir kilat juga sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu untuk tindakan seterusnya.
Beliau berkata, kerja pembersihan segera turut dijalankan bagi memastikan longkang dan sungai yang ada dapat mengalirkan air dengan lancar.
“Memandangkan keadaan cuaca tidak menentu buat masa ini, penduduk yang tinggal di kawasan rendah dinasihatkan untuk berjaga-jaga,” katanya. #sumber

JERANTUT - Penduduk di daerah ini diminta menjimatkan penggunaan air kerana Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) Jerantut terpaksa memberhentikan operasi tugas buat sementara waktu berikutan tahap pencemaran air sungai yang dikatakan boleh membahayakan kesihatan pengguna.
Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada pengguna yang mengatakan terputus bekalan air di banyak kawasan dalam Parlimen ini.
Menurutnya, berikutan daripada aduan itu pihaknya menghubungi Paip Jerantut bagi mendapatkan maklumbalas mengenai permasalahan yang berlaku.
“Saya dibawa melawat sendiri oleh Paip ke Loji Pemprosesan Air milik Paip di Kampung Batu Embun. Saya memang terkejut melihat kualiti air sungai yang bukan sahaja keruh malah dalam keadaan yang dikatakan tidak selamat untuk disalurkan kepada pengguna.
“Saya difahamkan sungai ini tercemar berikutan daripada pencemaran alam semulajadi yang terletak berhampiran sungai .
"Apabila hujan lebat, kotoran akan masuk ke dalam sungai dan ini menyebabkan air sungai menjadi keruh dan berkelodak,” katanya kepada pemberita yang turut dibawa melawat ke loji pemprosesan itu," katanya.
Ahmad Nazlan berkata, pihaknya juga difahamkan, pihak Paip Jerantut perlu memberhentikan operasi tugas mereka buat sementara waktu disebabkan kekeruhan air mentah berada di tahap tidak boleh diproses iaitu dengan bacaan Nephelometic (NTU) mencecah 1000.
Menurutnya, pada jam lapan malam kelmarin pula, bacaan NTU mencecah 4100 iaitu rekod bacaan kekeruhan air mentah paling tinggi di sungai Pahang. “Saya mengesa supaya kementerian yang bertanggungjawab segera menyiasat punca pencemaran ini boleh berlaku dan mengambil tindakan setegas-tegasnya agar pengguna dapat menikmati bekalan air yang lebih selamat.#sumber

KUANTAN - Selepas tapak sampah haram di Taman Feamount dibersihkan Alam Flora, Perbadanan Pengurusan Sistem Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) pula mengambil langkah memasang tanda amaran di kawasan terbabit.
Pegawai Penguatkuasa PPSPPA Cawangan Kuantan, Mohd Mokhlis Misran berkata, pihaknya sedia maklum masalah itu, malah sudah berulang kali melakukan pembersihan di kawasan terbabit.
Bagaimanapun katanya, sikap sesetengah pihak yang menjadikan kawasan lapang di situ sebagai tapak pembuangan sampah menyebabkan masalah sama berulang.
“Kita bukan sahaja terima aduan, tetapi juga membersihkan kawasan itu lebih tiga kali tahun ini.
“Namun selepas dibersihkan, orang ramai masih membuang sampah di sini walaupun sudah ada tong sampah disediakan di setiap rumah penduduk,” katanya, di sini, kelmarin.
Beliau berkata, pihaknya pernah meletakkan tong sampah di kawasan itu, namun berlaku vandalisme.
Justeru katanya, pihaknya memasang papan tanda amaran selepas Alam Flora melakukan kerja pembersihan sebagai peringatan kepada orang ramai.
“Kita pasang tanda amaran dan akan pantau situasi semasa secara lebih kerap.
“Keadaan ini sudah lama berlaku. Sukar mengubah mentaliti masyarakat agar buang sampah di dalam tong sampah dan bukannya di kawasan lapang,” katanya.
Mohd Mokhlis berkata, PPSPPA berharap orang ramai akan lebih bertanggungjawab dalam pengurusan sampah.
Semalam, Alam Flora turun padang membersihkan kawasan tersebut yang ditimbuni sampah sehingga menimbulkan bau busuk yang menyebabkan pekedai berdekatan tidak berpuas hati. #sumber

JENGKA - Beberapa kedai di sepanjang jalan utama tanah rancangan Jengka 13 tidak dapat beroperasi berikutan kawasan hadapan premis lecak sekiranya hujan, manakala jika cuaca panas, habuk pula memenuhi ruang udara.
Peniaga, Zulkifli Talib, 42, berkata, dia terpaksa menutup kedai runcitnya selama dua hari berikutan masalah tersebut.
Menurutnya, ia berpunca apabila pihak berkenaan menambak tanah di bahu jalan menggunakan tanah merah.
“Mereka meletakkan tanah bagi mengurangkan ketinggian bahu jalan yang mendap, namun saya merasakan tanah yang digunakan tidak sesuai," katanya kepada Sinar Harian.
Zulkifli berkata, sebelum ini sudah beberapa kali bahu jalan di situ ditambak dengan tanah, tetapi tidak sampai menjejaskan kedai mereka.
“Sebelum ini tidak pernah lagi mereka menambak bahu jalan di hadapan kedai saya kerana kedai saya ini sudah diletakkan batu lada.
"Entah mengapa kali ini mereka letakkan pula tanah di hadapan kedai saya,” katanya.
Menurutnya, kedai yang paling teruk terjejas ialah kedai makan kerana pengunjung tidak dapat berhenti untuk menjamu selera akibat lecak, manakala ketika cuaca panas, debu pula memasuki kawasan kedai.
Katanya, lebih memburukkan keadaan, kenderaan yang menggunakan jalan itu bukanlah kenderaan biasa, tetapi lori-lori besar.
"Faham sahajalah kalau lori besar yang lalu, sudah pasti berdebu dan kotoran melekat di kedai kami, malah berbahaya kepada pengguna jalan ini kerana lecak di bahu jalan boleh menyebabkan kereta tergelincir,” katanya.
Zulkifli berkata, dia sudah menghubungi pihak bertanggungjawab dan difahamkan pihak terbabit akan menangani masalah itu.
"Saya harap perkara ini tidak berulang lagi pada masa hadapan. Memang bagus mereka tambak bahu jalan, tapi biarlah dengan bahan yang sesuai. Lebih baik jika ia diturap atau ditambak guna batu lada,” katanya. #sumber

MARAN - Lima sekeluarga terselamat selepas kenderaan dinaiki merempuh sebuah kedai makan di laluan Maran-Kuantan dekat Kampung Bintang, di sini, kira-kira jam 6.30 petang kelmarin.
Menurut seorang saksi, Mohd Sallehuddin Ahmad, 36, berkata, dia yang bersendirian menikmati minum petang di kedai itu terkejut apabila kenderaan dinaiki lima beranak itu secara tiba-tiba merempuh kedai berkenaan.
Katanya, sebelum rempuhan itu, sebuah motosikal dari arah sama menghala ke Kuantan dipercayai melanggar bahagian belakang kereta tersebut.
“Keadaan itu menyebabkan pemandu kereta terbabit yang ingin memasuki kawasan letak kereta untuk berhenti di kedai ini terkejut lalu tertekan pedal minyak.
“Saya dan beberapa pelanggan lain segera membantu mengeluarkan kesemua mangsa termasuk tiga anak mereka yang masih kecil.
“Penunggang motosikal yang melanggar belakang kereta tersebut cedera ringan sebelum dibawa ke klinik kesihatan berdekatan, “katanya.
Sementara itu, wanita yang berada di tempat duduk penumpang bahagian depan kereta terbabit berkata suaminya terkejut sebaik belakang kereta mereka dilanggar secara tiba-tiba.
Menurutnya, mereka sekeluarga dari Felda Bukit Tajau dan mahu ke kedai berkenaan untuk menjamu selera dan perlanggaran berlaku ketika kenderaan mereka perlahan memasuki kawasan letak kereta.
“Saya sendiri terkejut dan panik apabila kereta kami bergerak laju ke arah meja dan kerusi sebelum merempuh dinding kedai.
“Namun saya bersyukur kami semua tidak mengalami kecederaan malah tiada pelanggan terlibat,” katanya. #sumber

Pertama kali dalam sejarah di Pahang, kesemua ADUN pembangkang telah dijemput secara rasmi untuk bersama meraikan kemeriahan Sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 Di Kuantan semalam. Tahniah kepada Kerajaan Negeri Pahang atas usaha dan pendekatan baru dengan memberi ruang yang terbuka kepada wakil rakyat pembangkang untuk bersama dalam program ini, walau pun berbeza idealogi politik masing-masing. Semoga perubahan ini dapat dikekalkan demi menjamin keharmonian kamu dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya. Kelihatan ADUn pembangkdang dari PAS, PKR dan DAP bergaya dengan baju rasmi wakil rakyat pada sambutan itu. Kelihatan dalam gambar YB Ustaz Rosli Abdul Jabar (ADUN Tg.Lumpur), YB Syed Hamid Syed Mohamad (ADUN Semantan), YB Andan Rabu (ADUN Beserah), YB Leong Ngah Ngah (ADUN Tanah Rata), YB Chong Siew Om (ADUN Teras), YB Lee Chean Chung (ADUN Semambu), YB Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (ADUN Mentakab), YB Sim Chong Siang (ADUN Teruntum), YB Leong Yu Man (ADUN Triang), YB D.Kamache (ADUN Sabai), YB Lee Chin Cjin (ADUN Ketari) dan YB Chow Yu Hui (ADUN Bilut). #sumber