KUANTAN - Pihak berkuasa diminta mengambil tindakan tegas terhadap penganjur Midtown Esplanade dekat sini berikutan tindakan mereka melanggar syarat dan peraturan hiburan yang telah ditetapkan. Demikian ditegaskan oleh Penyelaras NGO Angkatan Pembela Rakyat (Angkara) Mohd Shukri Mohd Ramli (foto) didalam posting terbaru diblognya hari ini. Menurut Shukri, Penganjuran Mid Town Esplanade oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), berjaya meningkatkan sumber ekonomi usahawan terutamanya orang Melayu. Aktiviti yang dijalankan setiap hari Jumaat hingga Ahad itu telah berjaya menarik perhatian para pelancong dari dalam dan luar negara.
Namun katanya, mutakhir ini banyak rungutan daripada orang ramai terhadap aktiviti tersebut telah dilaporkan. Antaranya ialah aktiviti hiburan (karaoke) yang melanggar syarat dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (Majlis Perbandaran Kuantan).
"Pihak penganjur dipercayai telah membiarkan aktiviti hiburan sehingga melewati tempoh yang dibenarkan. Malah pemantauan pihak kami mendapati aktiviti tersebut berlarutan sehingga ke jam 1.15 pagi tadi (2 Mei 2014). Tindakan ini jelas bercanggah dengan syarat permit hiburan yang menghadkan semua aktiviti dihentikan menjelang jam 12.00 tengah malam", kata kenyataannya.
Menurut Shukri tambah menyedihkan, lokasi tersebut juga terletak berhampiran sebuah tanah perkuburan Islam (lama) di kawasan itu. "Kami juga mengecam pihak penganjur yang meneruskan aktiviti hiburan walau pun malam tadi ialah malam Jumaat (2 Mei), bertembung pula dengan acara berunsur Islamik yang sedang diadakan di perkarangan Masjid Sultan Hj.Ahmad Shah sekarang ini. Soalnya, kenapa pihak penganjur tidak cakna perkara ini dan membiarkan aktiviti tersebut diadakan pada malam Jumaat yang penuh dengan keberkatan ini. Justeru, kami tidak teragak-agak akan membuat laporan polis jika aktiviti tersebut masih diteruskan. Isu ini juga akan dibawa kepada pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) untuk diambil tindakan sewajarnya. Semoga semua pihak dapat menghormati privacy orang lain (pesakit), jangan hanya berseronok dengan hiburan hingga terlupa tanggungjawab sosial yang lainnya. Kami menggesa pihak berkuasa segera memantau perkara ini demi menjaga keharmonian semua pihak. Tambahan pula acara hiburan itu diadakan secara terbuka dikawasan terbabit. Apa guna kita ada peraturan jika syarat yang tidak dipatuhi ditutup sebelah mata.", kata kenyataan diblognya itu. #sumber


















