script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

25 Exco "Pemuda Dan Muslimat" PAS Johor Sertai Amanah !


JOHOR BARU: Seramai 25 anggota Exco Pemuda dan Muslimat PAS Johor termasuk ketua kedua-dua sayap parti itu mengumumkan peletakan jawatan dalam parti bagi menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).
Semalam, Pengerusi Gerakan Harapan Baru (HB) Mohamad Sabu mengumumkan 'Amanah' akan digunakan sebagai nama rasmi wadah politik HB.
Pengerusi HB Johor Aminolhuda Hassan berkata, peletakan jawatan beramai-ramai ahli PAS Johor bagi menyertai parti baru ini bukan kerana dipaksa, tetapi kerana ia (parti baru) lebih menepati hala tuju yang diingini.
Ketua Dewan Pemuda PAS Johor Mohd Faizul Mohd Salleh dan Ketua Dewan Muslimat Pas negeri Norhayati Bachok antara mereka yang meletakkan jawatan.
"Kita mahu lebih fokus kepada isu rakyat, maknanya pendekatan kita lebih mendekati masalah rakyat dan bukan permasalahan dalaman.
"Kita menggunakan pendekatan parti baru iaitu Amanah, Inklusif dan Peduli," kata Aminolhuda ketika mengumumkan perkara itu, di sini, Selasa.
Beliau yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Negeri, berkata pihaknya menyasarkan seramai 5,000 keanggotaan baru menjelang pelancaran parti itu peringkat negeri 11 September ini.
Pada 24 Ogos lalu, seramai 91 ahli jawatankuasa (AJK) PAS Kawasan Gelang Patah meletakkan jawatan masing-masing.
Semalam, Mat Sabu, bekas timbalan presiden PAS berkata, HB telah mengambilalih Parti Pekerja-pekerja Malaysia yang dijenamakan semula sebagai Amanah.#sumber
Share:

Penganjur Bersih Bakal Terima Bil Pembersihan RM65,000


SERDANG: Penganjur Bersih 4 bakal berdepan tamparan hebat apabila menerima bil pembersihan sebanyak RM65,000 pada minggu ini, kata Datuk Abdul Rahman Dahlan.
"Saya menggesa Maria Chin (Abdullah) untuk tidak membelanjakan kesemua RM1.5 juta yang mereka kutip untuk perhimpunan tersebut," katanya pada majlis pelancaran program pengasingan sisa pepejal di Taman Ekspo Pertanian Malaysia di sini, Selasa.
Beliau berkata bil tersebut bagaimanapun tidak termasuk tuntutan bagi kerosakan harta benda dibawah selian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
"Kami akan serahkan kepada DBKL untuk menghantar bil tersebut kepada Bersih," katanya.
Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata beliau bersyukur kerana tiada sebarang insiden keganasan berlaku semasa perhimpunan tersebut.
"Saya mengucapkan tahniah kepada pihak polis dan Timbalan Perdana Menteri kerana berjaya mengawal perhimpunan tersebut," katanya. #sumber
Share:

Suhaizan Umum "Letak Jawatan" Yang DiPertua PAS Kulai !


PETALING JAYA: Kurang 24 jam selepas 10 wakil rakyat PAS bertindak meninggalkan parti tersebut, kini bekas Ketua Pemudanya, Suhaizan Kaiat (foto) pula mengumumkan peletakan jawatan dalam parti Islam itu.
Suhaizan berkata, peletakan jawatan Yang Dipertua PAS Pulai itu dibuat kerana beliau sudah menganggotai Parti Amanah Negara atau singkatannya Amanah Negara.
Turut bersama mengumumkan peletakan jawatan dalam PAS adalah Ketua Pemuda PAS Pulai, Mohd Syafiq Abdul Aziz dan Ketua Muslimatnya, Fatimah Mohd Ali.
"Kami telah dan akan menganggotai Parti Amanah Negara atau singkatannya Amanah Negara yang telah diumumkan oleh Pengerusinya, Mohammad Sabu di Kuala Lumpur pada Isnin.
"Kami berterima kasih atas kepercayaan yang telah diberikan oleh ahli-ahli PAS Pulai selama ini. Perbezaan pendekatan untuk meletakan agama, bangsa dan negara ditempatnya tidak boleh memisahkan ikatan persaudaraan yang telah lama terbina. Marilah sama-sama kita uruskan perbezaan ini dengan hikmah bijaksana," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Pada Isnin, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu yang juga bekas Timbalan Presiden PAS mengumumkan Amanah digunakan sebagai nama rasmi wadah politik Harapan Baharu (HB). 
Mat Sabu berkata, HB telah mengambil alih dan akan menjenamakan semula parti politik sedia ada iaitu Parti Pekerja-pekerja Malaysia sebagai Amanah.
Jelas beliau, butiran mengenainya akan diserah kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) secepat mungkin bagi mendapatkan kelulusan.
Sementara itu, Suhaizan berkata, tumpuan Amanah selepas ini adalah untuk terus memperkukuhkan parti dengan memfokuskan isu rakyat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bersama dengan Pakatan Rakyat 2.0 yang akan ditubuhkan selepas ini.
"Program-program penerangan dan kebajikan rakyat akan dilaksanakan. Kami berharap rakyat dapat bersama kami membina harapan baharu Malaysia," katanya.
Terdahulu, 10 wakil rakyat yang gugur keahlian PAS secara automatik ialah Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Dr Hatta Ramli (Kuala Kerai), Khalid Samad (Shah Alam) dan Mohamed Hanipa Maidin (Sepang).

Selain itu, lima Adun yang meninggalkan PAS ialah Datuk Mohammad Nizar Jamaluddin (Changkat Jering), Aminolhuda Hassan (Parit Yaani), Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi (Pengkalan Kundot), Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib).#sumber
Share:

Pengurus Kilang Terkejut, Rumah Di Lempar "Bom Tangan" !


MENTAKAB: Seorang Pengurus Kilang Kayu terkejut apabila kediamannya di Taman Rimba Jaya di sini dilempar sebutir bom tangan mengakibatkan tingkap kaca bilik tidur utama di tingkat atas pecah dalam kejadian jam 8.10 pagi semalam.

Kejadian bagaimanapun tidak mengakibatkan kecederaan terhadap empat penghuni rumah tersebut yang sedang berada di dalam rumah.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah negeri Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, polis menerima laporan pagi semalam daripada seorang perempuan Cina yang mendakwa rumahnya dilontar sebutir bom tangan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati terdapat kesan cermin kaca pecah pada pintu kaca bilik utama dan terdapat pin bom tangan yang telah digunakan dalam kejadian tersebut yang dijumpai  di luar pintu pagar rumah terbabit.

“Mangsa adalah seorang pengurus kilang papan yang baharu sebulan tinggal di kediaman yang baharu siap itu.

“Polis telah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam kawasan perumahan terbabit dan mendapati sebuah kereta Honda EG dipercayai dinaiki suspek utama dalam kejadian itu.

“Polis sedang mengenal pasti suspek dan segala butiran lanjut yang diterima daripada pengadu akan disiasat,” katanya.

Raja Shahrom berkata, polis belum dapat mengenal pasti motif kejadian dan menolak untuk membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian sehingga siasatan selesai.

Beliau berkata, polis juga sedang menunggu unit bom dari Cheras untuk membantu siasatan kejadian terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan. #sumber
Share:

Warga Emas Maut Di Hempap Pokok, Selepas Majlis Tahlil !


ROMPIN: “Sebaik pulang dari majlis tahlil di rumah jiran, ayah sempat pulang ke rumah menukar baju T putih untuk ke pantai melihat keadaan sampannya, namun agak pelik kerana ayah termenung seketika di luar rumah sebelum mengambil keputusan untuk meneruskan hasratnya meskipun ketika itu keadaan cuaca buruk”.

Demikian luah Yusri Usof@Yusof, 39, anak kepada warga emas yang maut dihempap pokok pinang ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Janglau, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa, Usof@Yusof Bakar, 69, yang cedera parah di kepala dihempap pokok pinang yang tumbang semasa angin kencang dan ribut ketika dia sedang menunggang motosikal untuk pulang ke rumahnya disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Rompin untuk menerima rawatan.

“Saya dimaklumkan penduduk kampung menemui ayah yang terbaring dalam parit manakala motosikalnya berada di atas jalan kerana dihempap pokok pinang sebelum mereka mengejarkannya ke hospital, namun sebaik tiba di hospital dia disahkan meninggal dunia.

“Lokasi ayah ditimpa kemalangan itu tidak jauh dari rumah iaitu kira-kira 500 meter sahaja namun dalam keadaan cuaca buruk tersebut tiada seorang pun ahli keluarga yang sedar kejadian yang menimpa arwah sehingga kami diberitahu penduduk kampung,” katanya.

Walaupun terkejut dengan kejadian yang menimpa bapanya, Yusri, anak bongsu daripada empat beradik itu bagaimanapun reda dengan ketentuan tersebut.

Sementara itu, seorang penduduk, Rosli Harun, 45, berkata, selain kejadian menimpa mangsa, sebuah kediaman penduduk yang dalam pembinaan tercabut keseluruhan bumbung berhampiran lokasi kejadian yang meragut nyawa Usof@Yusof #sumber
Share:

Dua Rakan "Mati Lemas", Ketika Memancing Dekat Loji Air !


ROMPIN: Kegembiraan dua rakan menghabiskan cuti hujung minggu dengan memancing di Loji Air Selendang, Empangan Anak, di sini, berakhir tragedi apabila kedua-dua mereka ditemui mati lemas, semalam.

Mayat Husmirol Che Hushin, 33, dari Jalan Tiong, Felda Selendang 1, ditemui pada jam 4.46 petang semalam tidak jauh dari lokasi dilaporkan hilang manakala mayat rakannya Hasyanur Amir Mohd Hade, 21, ditemui pada jam 6.47 petang.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Anuar Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.33 pagi itu, dua rakan terbabit dipercayai terjatuh ketika sedang memancing.

“Bomba menerima maklumat berhubung kejadian segera menghantar anggota ke lokasi untuk menggerakkan operasi mencari dan menyelamat sebelum mayat salah seorang mangsa berjaya ditemuipada jam 4.46 petang.

Usaha mencari dan menyelamat mangsa kedua diteruskan dan ditemui pada jam 6.47 petang oleh Pasukan Penyelam Di Air Kuantan,”  ketika dihubungi di sini, semalam.

Anuar berkata,  mayat kedua-dua rakan itu kemudiannya di bawa ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing.

Sementara itu. Pemangku Ketua Polis daerah, Asisten Superintendan Zainul Mujahidin Mat Yudin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian. #sumber
Share:

Syed Mokhtar Bukan Penulis 'Artikel Viral' Di Media Sosial !


KUALA LUMPUR: Hartawan korporat dan Pengerusi Yayasan Albukhary, Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary, bukan penulis artikel bertajuk 'Luahan Hati Tan Sri Syed Mokhtar Bukhary Berkenaan Najib Razak' yang pertama kali muncul pada Sabtu lalu.
Yayasan Albukhary dalam kenyataan di sini, Selasa berkata, artikel itu telah memperdaya orang ramai untuk berfikir atau mempercayai bahawa Syed Mokhtar yang telah menulisnya.
Ia mendakwa artikel ini telah mendapat perhatian dan telah diterbitkan semula dalam laman sosial dan turut disebarkan menerusi aplikasi khidmat mesej WhatsApp.
"Kami tidak akan membiarkan perbuatan menyamar sebagai Tan Sri Syed Mokhtar, termasuk menggunakan nama beliau secara salah di sisi undang-undang atau tanpa kebenaran.
"Untuk mengelak kesangsian atau kekeliruan, laman web Yayasan Albukhary kekal menjadi satu-satunya wadah awam rasmi bagi Syed Mokhtar," katanya dan menurutnya, yayasan mendoakan kejayaan dan pertumbuhan berterusan bagi Malaysia.
Dua hari lepas, artikel bertajuk 'Luahan Hati Tan Sri Syed Mokhtar Bukhary Berkenaan Najib Razak' menjadi viral dalam laman sosial termasuk aplikasi WhatsApp. #sumber
Share:

PAS Rasa Kesal Peserta Bersih 4.0 Pijak Gambar Pemimpin


BACHOK: PAS melahirkan rasa kesal terhadap tindakan peserta perhimpunan haram Bersih 4 yang didakwa memijak gambar Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, perkara berkenaan tidak seharusnya berlaku kerana tindakan itu dilihat telah menghina Abdul Hadi.
"Kalau betul benda itu berlaku, bukan edit (disunting) maka memang tak sepatutnya berlaku. Gambar siapa-siapapun, terlebih lagi pemimpin tak sepatutnya kita hina, itu pendirian kitalah.
"Bukan setakat pemimpin PAS, mana-mana pemimpin pun. Kita sendiri pun tak pernah pijak gambar pemimpin (lain) walaupun kita berlawan dengan Umno atau siapa (pemimpin parti) pun," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2015 di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bachok di sini.

Mohd Amar mengulas tindakan peserta Bersih 4 yang menjadi viral di media sosial selepas didakwa memijak gambar Abdul Hadi dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sementara itu, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata penyertaan peserta Melayu dalam perhimpunan Bersih kali ini berkurangan apabila PAS tidak terlibat secara aktif berbanding beberapa siri perhimpunan itu sebelum ini.
"Tapi pendirian PAS, kita tak arah dan tidak larang (anggota parti untuk sertai Bersih 4). Mereka (anggota parti) yang pergi atas (kapasiti) individu, bukan atas (arahan) parti," katanya.
PAS menarik diri daripada menyertai perhimpunan berkenaan selepas memutuskan hubungan dengan rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang, DAP, pada muktamar tahunan parti itu baru-baru ini. #sumber
Share:

Mat Sabu: PAS Hilang 'Sepuluh' Wakil Rakyatnya Serentak !


KUALA LUMPUR: PAS kehilangan 10 wakil rakyat serentak selepas lima Ahli Parlimen dan lima Ahli Dewan Undangan (Adun) parti Islam itu menyertai parti politik baharu yang ditubuhkan Gerakan Harapan Baru (GHB).
Bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata keahlian 10 wakil rakyat itu gugur secara automatik apabila mereka dilantik menganggotai jawatankuasa parti baharu yang akan dikenali sebagai Parti Amanah Negara.
"Tak perlu keluar (PAS), keahlian dalam parti lama mereka gugur secara automatik," katanya pada sidang media di sini, Isnin.
Sepuluh yang gugur keahlian PAS secara automatik ialah Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Dr Hatta Ramli (Kuala Kerai), Khalid Samad (Shah Alam) dan Mohamed Hanipa Maidin (Sepang).
Selain itu, lima Adun yang meninggalkan PAS ialah Datuk Mohammad Nizar Jamaluddin (Changkat Jering), Aminolhuda Hassan (Parit Yaani), Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi (Pengkalan Kundot), Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib).

Kesemua wakil rakyat ini mempunyai jawatan di dalam Parti Amanah Negara.

Selain itu dua lagi Ahli Parlimen PAS iaitu Datuk Kamaruddin Jaafar (Tumpat) dan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (Kuala Terengganu) dijangka akan meninggalkan PAS dalam masa terdekat menjelang pelancaran rasmi Parti Amanah Negara pada 16 September depan. #sumber
Share:

Idris Harun: Tindakan Ke Atas Mahathir, Keruhkan Keadaan


MELAKA: Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron percaya situasi politik negara akan menjadi keruh sekiranya tindakan dikenakan ke atas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana menyertai perhimpunan Bersih 4.

Idris berkata pada masa ini ruang perbincangan serta peluang negarawan itu 'kembali ke pangkal jalan' luas terbuka dan khuatir tindakan itu mungkin menutup  segala jalan untuk menjernihkan situasi politik di negara ini.

Beliau juga percaya ada pihak yang tidak bertanggungjawab mendorong atau mempengaruhi Tun Dr Mahathir dengan memberikan maklumat tidak tepat berasaskan emosi serta persepsi, sehingga beliau menyertai perhimpunan itu.




"Beliau (Dr Mahathir) melakukan sesuatu di luar kebiasaan (apabila menyertai Bersih 4) yang saya percaya ada pihak tidak bertanggungjawab di sebaliknya," katanya kepada pemberita selepas mengadiri Perarakan Hari Kebangsaan 2015 Peringkat Negeri Melaka di Bandar Hilir di sini, Isnin.

Idris berkata kerajaan negeri mengecam sekeras-kerasnya tindakan segelintir pihak yang menganjurkan perhimpunan Bersih 4 di sekitar Bandaraya Melaka sejak Sabtu lepas.

"Mereka ingin merosakkan sambutan Hari Kebangsaan dengan menunjukkan kepada masyarakat antarabangsa tema Sehati Sejiwa tidak berlaku di negara ini, saya tegaskan mereka (penganjur Bersih 4) gagal kerana kita rakyat Malaysia bersatu menyambut kemerdekaan negara hari ini dengan meriah dan gembira," katanya. #sumber
Share:

Pahang Sedia 30,000 Unit Rumah PR1MA Di 70 Buah Lokasi


KUANTAN: Rakyat Negeri Pahang yang berpendapatan rendah dan ingin memiliki kediaman sendiri boleh menarik nafas lega apabila kerajaan negeri kini menyediakan sebanyak 30,000 unit rumah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang di 70 lokasi strategik seluruh negeri.
 
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (foto) berkata, rumah tersebut yang ditawarkan pada harga RM150,000 memberi alternatif kepada rakyat Pahang dalam suasana harga pasaran rumah yang begitu tinggi di negara ini.
 
"Setakat ini terdapat dua projek PR1MA Pahang yang telah siap iaitu di Gambang, Kuantan dan Triang, Bera manakala projek selebihnya masih berada pada pelbagai peringkat pembangunan termasuk peringkat meratakan tanah dan pembersihan kawasan.
 
"Buat masa ini, jumlah pemohon yang berdaftar dengan kami untuk memiliki rumah PR1MA Pahang ialah sebanyak 20,000 orang sedangkan bilangan unit rumah PR1MA Pahang yang telah diluluskan untuk pembinaan oleh kerajaan negeri berjumlah 30,000 unit," katanya.
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pelaksanaan Pengasingan Sisa Pepejal di Punca Peringkat Negeri dan Kempen Pengumpulan Satu Juta Botol bertemakan 'Satu Juta Botol Satu Impian' di Kompleks Dagangan Indera Mahkota di sini hari ini.
 
Turut hadir, Pengarah SW Corp Negeri Pahang, Datuk Mohd. Nor Afandi Abd Aziz.
 
Wan Rosdy dalam pada itu juga meminta rakyat negeri ini tidak perlu bimbang dengan isu harga rumah mahal memandangkan masih terdapat projek perumahan selain PR1MA yang menyediakan rumah mampu milik yang dibangunkan agensi lain.
 
PR1MA Pahang menawarkan rumah teres setingkat pada harga mampu milik dan selesa dengan keluasan 1,000 kaki persegi kepada golongan sasaran iaitu mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah sebanyak RM5,000 ke bawah sebulan.
 
Pahang juga merupakan antara negeri yang menguatkuasakan arahan untuk mewajibkan semua unit kediaman mengasingkan sisa pepejal bermula semalam selain Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kedah, Perlis, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. #sumber
Share:

Kos Memiliki 'Lesen Motosikal' RM299 Mulai 15 September


PUTRAJAYA: Mulai 15 September ini, orang ramai boleh memiliki lesen motosikal pada kos lebih rendah iaitu RM299 berbanding harga semasa RM350 melalui program MyLesen, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata program MyLesen diperkenalkan bagi menggalakkan orang muda yang tidak memiliki lesen motosikal, mendapatkan lesen masing-masing.
"Ramai pemuda-pemudi yang menunggang motosikal tanpa lesen. Ini amat bahaya. Daripada 10 penunggang motosikal, kami mendapati tiga (tanpa lesen).
"Menunggang motosikal tanpa lesen tidak boleh diterima. Jadi kita seru mereka cepat-cepat ambil lesen dan program MyLesen bertujuan membantu mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis Kembara Kasih Merdeka 2015 anjuran Skuad Muda 1JPJ di sini Isnin.

Liow berkata program MyLesen akan dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama sekolah memandu yang mengambil bahagian dalam program berkenaan.
Mengulas mengenai langkah untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, beliau berkata Kementerian Pengangkutan, JPJ, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sedang dalam proses mengkaji semula Sistem Kesalahan Jalan Raya (Kejara), Sistem Penalti Mata dan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).
Berdasarkan kajian yang sedang dijalankan ke atas ketiga-tiga sistem berkenaan berkemungkinan dapat dilaksanakan secara teratur awal tahun depan, kata Liow.
Namun bagi AES, beliau berkata kajian perlu dibuat secara terperinci supaya rakyat dapat mengetahui faedahnya. #sumber
Share:

Gerakan Harapan Baru, Umum Tubuh Parti Amanah Negara


KUALA LUMPUR: Gerakan Harapan Baru (GHB) mengumumkan pengambilalihan sebuah parti politik sedia ada yang dikenali sebagai Parti Pekerja-Pekerja Malaysia.

Pengerusi GHB merangkap Presiden baharu Parti Pekerja-Pekerja Malaysia, Mohamad Sabu bagaimanapun berkata parti tersebut akan dijenamakan semula dan bakal dikenali sebagai 'Parti Amanah Negara'.

Katanya, nama baharu dan Perlembagaan parti yang diterajuinya itu akan dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) dalam masa terdekat.

"Pelancaran parti ini akan dibuat pada tanggal keramat 16 September ini," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

"Dengan permulaan ini, ia sekali gus menampilkan sebuah lagi parti politik Islam di tanah air," katanya pada sidang media di sini semalam.




Untuk rekod Parti Pekerja-Pekerja Malaysia ditubuhkan pada 1978 namun gagal memenangi sebarang kerusi yang ditandinginya.


Menurut bekas Timbalan Presiden PAS itu, pemilihan nama Parti Amanah Negara (Amanah) dibuat selepas RoS menolak permohonan penggunakan nama Parti Progresif Islam (PPI).

Pada sidang media sama, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu turut mengumumkan jawatankuasa Amanah iaitu bekas Naib Presiden PAS, Ahmad Awang sebagai Penasihat Umum, bekas Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub sebagai Timbalan Pengerusi, Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa sebagai Naib Pengerusi, ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Ahmad sebagai Ketua Wanita, dan Mohd Sany Hamzan sebagai Ketua Pemuda.

Selain itu, turut dilantik dalam jawatankuasa Amanah ialah Mohd Anuar Mohd Tahir sebagai Setiausaha Agung, Asmuwi Awi sebagai Bendahari Agung dan bekas Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat sebagai Setiausaha Organisasi.

Mat Sabu berkata, pihaknya menjangkakan seramai 35,000 anggota akan didaftarkan menjelang pelancaran rasmi parti itu pada September depan. #sumber
Share:

Terima Kasih Bersih 4.0, Kerana Tonjolkan Demokrasi Sihat


KUALA LUMPUR: Perhimpunan Bersih 4 telah menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia mengamalkan demokrasi yang sihat, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada penganjur perhimpunan itu, beliau berkata, kini seluruh dunia mengenali Malaysia.
"Dari segi pelancongan dan pandangan luar negara, ia bagus sebab menunjukkan demokrasi sihat negara kita.
"Ia ditayang di CNN, Aljazeera, BBC, satu dunia tahu, jadi saya mengucapkan terima kasih pada Bersih kerana mereka iklankan demokrasi sihat di Malaysia," katanya pada sidang media di ibu negara, Selasa.
Malahan, secara sinis, Ahli Parlimen Padang Rengas itu menyarankan perhimpunan yang mendapat liputan media antarabangsa itu diadakan setiap tahun.
Ditanya mengenai penampilan Tun Dr Mahathir Mohamad pada perhimpunan itu, Nazri berkata, bekas Perdana Menteri itu hanya melaksanakan hak demokrasi beliau.
"Beliau telah berubah. Sebelum ini beliau demonstrasi buka budaya kita tetapi sekarang beliau sudah tua, baru disedari ia adalah satu budaya baru dan mahu menyertainya," katanya. #sumber
Share:

Gara-Gara Kritik Presiden, UMNO Lucutkan Keahlian Anina !


PETALING JAYA: UMNO melucutkan keahlian Anina Saaduddin yang sebelum ini bertindak memfailkan saman terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Anina adalah ahli Pergerakan Wanita UMNO cawangan Padang Matsirat, Langkawi di Kedah.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang kini berada di Amerika Syarikat mengesahkan perkara ini.
Pada hari sama, surat pelucutan keahlian Ainina menjadi viral di media sosial, tetapi timbul kemusykilan terhadap kesahihan surat itu apabila ia bertarikh 2 September 2015, lewat sehari daripada tarikh dia dipecat iaitu pada 1 September.
Surat itu menunjukkan ia ditandatangani oleh Tengku Adnan dengan cop 'diterima' pada tarikh 1 September.
"Adalah dimaklumkan bahawa Ibu Pejabat UMNO memutuskan bahawa keahlian Saudari dalam parti telah gugur dengan sendirinya berkuat kuasa serta-merta di bawah Fasal 20.7 Perlembagaan Umno oleh kerana tindakan Saudari membawa perkara parti ke mahkamah," menurut surat tersebut.
Anina, mula menjadi perhatian apabila dengan lantang mengkritik Najib yang juga Presiden UMNO ketika berucap dalam mesyuarat perwakilan Wanita UMNO Bahagian Langkawi baru-baru ini.

Kemudian, pada 28 Ogos, dia memfailkan saman di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menuntut Najib menjelaskan secara terperinci derma politik RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau.
Terdahulu, Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pergerakan itu akan mencadangan supaya keahlian Anina digugurkan ekoran kenyataan kerasnya terhadap Najib.
“Kita akan rujuk (isu berkenaan) dan bawa ke mesyuarat exco. Terpulang kepada jawatankuasa (untuk membuat keputusan),” katanya dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur selepas mempengerusikan mesyuarat pergerakan itu pada petang Selasa. #sumber
Share:

Lelaki Mengaku Ada Sakit Jiwa Elak Di Dakwa Pukul Wanita


KUANTAN: “Saya mengalami masalah sakit jiwa, saya nak cari peguam, saya nak ikat jamin,” kata seorang lelaki yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan memukul seorang wanita di halaman sebuah rumah di Taman Tas dekat sini.

Tertuduh, Teoh Ak Huat, 42, beberapa kali memberitahu mahkamah dia mahu mencari peguam dan memohon ikat jamin selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Peniaga stoking jalanan yang beralamat di Taman Tas itu dituduh melakukan serangan ke atas seorang peniaga warga emas dengan menggunakan sebatang kayu dan sebatang besi dengan niat melakukan kesalahan.

Jika sabit kesalahan, lelaki berkenaan berdepan dengan hukuman di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan iaitu penjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Tertuduh menghadapi dua pertuduhan iaitu menyerang pengadu dan melakukan pencerobohan jenayah dengan niat untuk melakukan kesalahan.

Majistret, Noor Aisah Mohamed memerintahkan pengadu membayar ikat jamin sebanyak RM2,000 untuk setiap pertuduhan dengan seorang penjamin. #sumber
Share:

Bapa Pukul Anak Dan Isteri Di Hukum Penjara Lima Bulan !


KUALA LUMPUR: Perbuatan seorang bapa memukul anak lelaki dan isterinya sehingga cedera dibalas dengan hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, Selasa.
Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan menjatuhkan hukuman itu ke atas P. Gnasean, 51, seorang pemandu lori, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap anaknya berusia tujuh tahun dengan memukul kanak-kanak itu menggunakan batang penyapu.
Gnasean juga mengaku bersalah atas pertuduhan kedua iaitu mencederakan  isterinya, R. Santhi, 47, menggunakan besi aluminium langsir. 
Dia dijatuhi hukuman penjara lima bulan bagi setiap pertuduhan, bagaimanapun hanya perlu menjalani hukuman penjara lima bulan selepas Majistret mengarahkan hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh ditangkap, 25 Ogos lepas. 
Gnasean didakwa melakukan kesalahan itu di Kuil Om Sri Muniswaran Alayam, Bt 6 1/2 Jalan Ipoh, Sentul di sini, kira-kira 9 malam, 23 Ogos lepas, mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.
Mengikut fakta kes, tertuduh memukul anaknya menggunakan batang penyapu selepas berlaku perselisihan faham antara mereka dan isterinya yang cuba meleraikan keadaan pula dipukul menggunakan besi aluminium langsir sehingga cedera di bahagian anggota badan. 
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa memohon hukuman setimpal supaya dapat memberi pengajaran kepada tertuduh.
Ketika rayuan, Gnasean yang tidak diwakili peguam memohon agar tidak dikenakan hukuman penjara dan denda yang rendah atas alasan perlu menanggung isteri dan enam orang anak dan dia juga berjanji tidak akan mengulangi perbuatan sama.
"Saya mohon maaf, saya menyesal. Saya tidak sedar semasa melakukan kesalahan itu," kata Gnasean di dalam kandang tertuduh.
Di mahkamah berasingan, dua suri rumah, Rosni Sapie, 33, dan Junaida Melal, 28, masing-masing dijatuhi hukuman penjara dua hari dan denda RM500 selepas mengaku bersalah mencuri barangan bayi dan pakaian wanita bernilai RM273.80 di pasaraya Aeon di Taman Maluri, Cheras di sini, kira-kira 5.52 petang, semalam.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda. 
Majistret Mohd Rehan Mohd Aris memerintahkan mereka menjalani hukuman dari tarikh mereka ditangkap pada 31 Ogos lepas, dan sekiranya gagal membayar denda, mereka boleh dipenjara 14 hari. 
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kekerapan kes curi di dalam pasar raya tersebut. #sumber
Share:

Lembaga Pengampunan: Hakim Mahkamah Tinggi Tarik Diri


KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Asmabi Mohamad  (foto) menarik diri daripada mendengar permohonan kebenaran semakan kehakiman  Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencabar keputusan Lembaga Pengampunan yang menolak petisyennya bagi sabitan meliwat.
Asmabi membuat keputusan itu dalam kamarnya selepas mendengar hujahan peguam Latheefa Koya dan Shahid Adli Kamarudin, mewakili Anwar, isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dua anak perempuan mereka, Nurul Izzah dan Nurul Nuha.
Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan bertindak bagi pihak Lembaga Pengampunan, Peguam Negara dan kerajaan Malaysia.
Latheefa ketika ditemui pemberita berkata Asmabi membenarkan permohonan Anwar supaya beliau menarik diri atas alasan wujud "bahaya berat sebelah" sekiranya beliau mendengar permohonan Anwar bagi semakan kehakiman.
Beliau turut berkata pihak pembelaan turut berhujah Asmabi juga peguam kanan persekutuan yang mewakili kerajaan dalam saman difailkan Anwar terhadap Perdana Menteri ketika itu berhubung pemecatannya daripada Kabinet pada 1998.
"Kes itu akan didengar di hadapan hakim lain. Bagaimanapun tarikh sebutan kes berkenaan akan ditetapkan kemudian," kata Latheefa.
Pada 24 Jun lepas, Anwar, Wan Azizah dan dua anak mereka memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman untuk membatalkan keputusan lembaga itu pada 16 Mac dan agar lembaga itu menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya memberi pengampunan dan membebaskan Anwar.
Mereka juga memohon perintah mandamus agar lembaga itu mengadakan semula mesyuaratnya dan menimbang semua perkara berhubung petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja.
Dalam afidavit untuk menyokong permohonannya, Anwar, mendakwa keputusan lembaga itu melanggar peraturan keadilan hak asasi dan oleh itu, adalah tidak sah.
Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh setelah Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pada 2008.
Dalam pada itu, Latheefa berkata Asmabi turut menarik diri daripada mendengar saman pemula yang difailkan Anwar terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan dua lagi kerana tidak membenarkannya mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh pada 7 Mei lepas.
"Oleh itu, kes berkenaan yang dijadualkan untuk pendengaran esok di hadapan Asmabi turut dilapangkan," katanya. #sumber
Share:

PAS Kawasan Bera, Rai Hari Kemerdekaan Secara Islamik


MENGKARAK: Julung kalinya, Pas Kawasan Bera akan mengadakan Sambutan Kemerdekaan Peringkat Kawasan Bera bermula 29 Ogos ini supaya sambutan ini diraikan dengan cara yang betul iaitu kembali kepada Islam.

Yang Dipertua, Ir Musaniff Abd Rahman berkata, pelbagai acara dan aktiviti yang akan dilaksanakan termasuk pertandingan kelab motor, persembahan anak-anak Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti), wacana kemerdekaan, tahlil serta solat hajat serta sukaneka.

Menurutnya, semua aktiviti ini melibatkan seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, kaum dan umur supaya mereka dapat mendalami cara sebenar menyambut kemerdekaan mengikut cara yang betul tanpa sebarang pembaziran.

“Kita dijajah sejak dari tahun 1511 hingga 1957, iaitu selama 446 tahun. Pejuang Tanah Melayu berjuang berhabis-habisan demi negara, bangsa dan agama kerana amarahnya kepada penjajah-penjajah ini.

“Semasa zaman penjajahan, banyak perkara yang dihalang menyebabkan pejuang-pejuang ini berusaha untuk membebaskan negara dari cengkaman mereka. Namun, sayang sekali apabila negara mencapai kemerdekaan, sambutan yang diraikan mirip ala-ala penjajah dengan percikan bunga api dan konsert sehingga menyebabkan pembaziran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Markaz Darul Ikhwan yang turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua, Shahrul Mohamad dan Setiausaha, Mohd Yusof Che Din.

Musaniff berkata, selain itu, pihaknya juga sedang berusaha menjejaki pejuang-pejuang tanahair yang berada di daerah ini sebagai menghargai jasa mereka membantu memerdekakan negara dari terus dijajah.

“Kita sudah ada senarai pendek calon tokoh-tokoh itu, tetapi masih diteliti sebaik mungkin kerana tidak mahu tokoh pejuang yang dipilih itu memiliki latar belakang berfahaman komunisme.

“Sekurang-kurangnya, apabila sejarah mengenai pejuang ini dapat diketahui, pihak berkuasa tempatan turut dapat memberikan pengiktirafan kepada mereka. Jika di daerah lain, ada nama jalan dinamakan sempena nama pejuang Tanah Melayu, tetapi di sini belum ada lagi,” katanya.

Beliau berkata, pihak berwajib seharusnya mengkaji sejarah di Bera ini walaupun ia merupakan daerah yang baharu, namun semestinya ia memiliki sejarah yang boleh dikongsi dengan generasi akan datang. #sumber
Share:

Generasi Muda Di Harap "Tidak Luntur" Semangat Patriotik


KUANTAN: Generasi muda perlu menghayati sejarah serta perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan dahulu sebagai pedoman kehidupan akan datang.

Penyelaras Seminar Tokoh Sejarah Pahang, Abdul Mutalib Awang berkata, remaja kini kurang penghayatan terhadap sejarah menjadikan mereka bukan sahaja cetek sejarah tetapi tidak mengetahui apa hak-hak mereka.

Menurutnya, keengganan mengetahui sejarah atau perjalanan masyarakat terdahulu menyebabkan generasi muda sekarang ini mudah terpengaruh dengan anasir tidak baik.

“Sejarah adalah satu cerita yang membawa kita mengenal asal usul, sekali gus menjadikan kita semua sedar siapa kita dan apa hak-hak kita di muka bumi ini.

“Menjadi pejuang sejarah bukan mudah kerana apa yang kita mula lihat hari ini lebih kepada pemberontakan yang membawa kesan negatif,” katanya.

Melalui seminar yang diadakan ini, golongan muda sekitar daerah ini diberi pendedahan mengenai sejarah Imam Perang Indera Mahkota yang berjasa semasa perang saudara di Raub dan Perang Selangor.

Semasa pemerintahan Inggeris, Imam Perang Indera Mahkota atau nama sebenarnya Abdul Halim @Che Endut Jaafar merupakan orang besar Raja-Raja yang banyak berjasa kepada kepimpinan negeri ini.

“Melalui majlis ilmu seumpama ini, kita hanya memberitahu mereka (pelajar) perihal sejarah. Selepas itu terpulang kepada mereka untuk membuat kajian sendiri dengan menganalisis tokoh-tokoh yang mereka baru kenali ini.

“Secara tidak langsung, ia dapat menjadikan rasa ingin tahu dan semangat patriotik di dalam diri mereka tercetus dengan sendirinya,” katanya sempena Majlis Seminar Sejarah Pahang di Wisma Belia di sini.

Hadir merasmikan Majlis, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin.

Mohd Sharkar berkata, setiap individu lebih-lebih lagi golongan muda untuk mengkaji sejarah yang menceritakan perihal latar belakang mereka dahulu.

“Program ini tidak hanya dilaksanakan pada bulan kemerdekaan semata-mata, malah aktiviti secara berterusan membolehkan mereka belajar dan terus belajar.

“Walau bagaimanapun, ini adalah satu permulaan yang terbaik, saya harap mereka akan terus belajar sejarah lebih mendalam dan terperinci daripada buku teks di sekolah,” katanya. #sumber
Share:

Individu Pijak Foto PM, Hadi Digesa Tampil Bantu Siasatan


KUALA LUMPUR: Polis menggesa dua individu dipercayai peserta perhimpunan Bersih 4 tampil bagi membantu siasatan berhubung insiden gambar Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dipijak.

Menurut kenyataan di laman Facebook PAS, gambar yang menunjukkan Abdul Hadi dan Najib sedang berdakap itu dibuat menggunakan teknik super-impose dan ia adalah 'fitnah dan berniat hajat'.

Ketua Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Mohamad Noor Mohamad, yang diiringi tiga ahli PAS membuat laporan berhubung gambar itu di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi pada Selasa supaya pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Datuk Zainuddin Ahmad berkata kedua-dua individu itu diminta datang ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi segera bagi membantu siasatan.

Beliau mengesahkan bahawa kes itu sedang disiasat oleh Bukit Aman di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana niat hendak menyebabkan ketakutan atau mendatangkan khianat awam.

Terdahulu pada Selasa, Mohamad Noor menyifatkan tindakan memijak gambar itu sebagai tidak rasional dan provokatif dan menuntut permohonan maaf daripada penganjur Bersih 4 dan individu yang terlibat.




"Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negara demokrasi.

"Ia boleh menghasut kemarahan, mengancam ketenteraman awam dan melanggar privasi individu," katanya kepada pemberita.

Mohamad Noor berkata pilihan terbaik adalah supaya pihak penganjur dan individu yang terlibat tampil ke hadapan dan meminta maaf.

"Jika mereka minta maaf, saya fikir perkara ini sudah selesai. Minta maaf dan semua orang akan berasa senang.

"Kita bimbang jika mereka tidak mengambil apa-apa tindakan, ia boleh menyebabkan rasa tidak puas hati dan kebencian di kalangan rakyat," katanya. #sumber
Share:

Bersih: Tujuh Individu Di Minta Tampil Di Bukit Aman Esok !


KUALA LUMPUR: Pengerusi Bersih 4 (Bersih) Maria Chin Abdullah dan enam lagi individu yang dikaitkan dengan perhimpunan itu diminta tampil bagi membantu siasatan di Bukit Aman sebelum 10.30 pagi, Rabu.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad, enam lagi adalah Timbalan Pengerusi Bersih Sarajun Huda, Bendahari Bersih Masjaliza Hamzah, Ahli Jawatankuasa Bersih Farhana Halim dan Fadiah Nadwa, Ahli Sekretariat Bersih Mandeep Singh dan aktivis pelajar Adam Adli.
"Mereka perlu memberi penjelasan berhubung perhimpunan itu dan akan disoal siasat oleh pegawai Unit Siasatan Khas Bukit Aman," katanya ketika dihubungi Bernama Selasa.
Katanya setakat ini tiada sebarang waran tangkap dikeluarkan kepada tujuh individu berkenaan.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai siasatan berkenaan dan hanya menekankan kehadiran kesemua individu itu diperlukan untuk memudahkan siasatan tersebut.
Dalam perkembangan sama, Zainuddin berkata Unit Siasatan Terkelas Bukit Aman sedang menyiasat kes berkaitan dua wanita yang memijak gambar Perdana Menteri pada perhimpunan itu.
"Dua individu berkenaan diminta datang segera ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk membantu siasatan," katanya.
Pada Sabtu dan Ahad lepas, perhimpunan Bersih 4 selama dua hari yang diisytiharkan haram oleh polis diadakan, yang antara lain menuntut pilihan raya yang bersih dan adil serta sebuah kerajaan yang bersih. 
Sebelum ini, polis meminta penganjur Bersih 4 mengubah lokasi perhimpunan yang dirancang di ibu kota termasuk di Dataran Merdeka dan Padang Merbok, berikutan lokasi berkenaan dianggap tidak sesuai.
Perhimpunan Bersih 4.0 diadakan serentak di Kuala Lumpur, Kuching (Sarawak) dan Kota Kinabalu (Sabah). #sumber
Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.