script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

"20 Tahun", Penduduk Kampung Alor Batu Di Hantui Masalah Lalat !


KUANTAN: Kira-kira 1,200 penduduk Kampung Alor Batu, Jabor di sini dihantui masalah lalat sehingga menjejaskan aktiviti seharian selama hampir 20 tahun yang didakwa berpunca daripada ladang ternakan ayam berdekatan kampung itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung itu Mohd Rosli Yusop berkata rumah dan kedai makan di kampung itu sentiasa dihurungi lalat pada jumlah yang banyak yang sungguh menjijikkan dan menjejaskan kesihatan.

"Keadaan bertambah buruk setiap kali ayam dibawa keluar dari reban untuk dijual kerana ketika itu reban akan dicuci dan disembur racun. Ia menyebabkan serangga itu lari ke arah kampung.

"Pelbagai cara telah dilakukan oleh penduduk bagi mengatasinya termasuk memanggil Jabatan Kesihatan untuk memberi khidmat nasihat, pemeriksaan dan bantuan ubatan membasmi lalat namun ia tetap menemui jalan buntu," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Mohd Rosli berkata beliau percaya masalah berkenaan akan berterusan jika pengusaha tidak beralih kepada kaedah penternakan di dalam reban tertutup.

"Pengusaha  masih menggunakan kaedah lama iaitu menternak dalam reban terbuka. Ini berbeza dengan kaedah terkini di mana ayam diternak dalam reban tertutup dan ia pastinya menghalang sebarang pembiakan serangga termasuk lalat, Kami terpaksa hidup dalam keadaan amat tidak selesa," katanya.

Pemilik warung, Saroddin Sidek, 46, berkata pendapatan beliau dan peniaga makanan lain di kawasan itu amat terjejas kerana pelanggan jijik dengan situasi premis yang sentiasa dihurungi lalat.

"Siapalah yang ingin menjamu selera jika melihat terdapat ribuan lalat menghurung kedai kami, makanan dan minuman jika dihidangkan pula terpaksa ditutup bagi mengelakkan dimasuki serangga itu. Sudah pelbagai ubat saya gunakan bagi menghapuskannya tetapi ia tetap datang tanpa apa-apa kesan," katanya.

Seorang daripada penduduk, Rahmah Ali, 38, berkata aktiviti seharian mereka terganggu rentetan masalah berkenaan yang tiada kesudahan.

"Bayangkan apabila ada kenduri kendara di sini, pasti tetamu yang hadir terutama orang luar berasa tidak selesa. Sedikit sebanyak mereka risau mendapat penyakit apabila menikmati juadah disediakan berikutan terdapat begitu banyak lalat," katanya. #sumber

Share:

UMNO Kuantan "Hulur Bantuan" Persekolahan Kepada 250 Murid !


KUANTAN: UMNO Bahagian Kuantan meneruskan tradisi membantu golongan yang memerlukan bantuan menerusi program Jom kembali Ke Sekolah bagi meringankan beban ibu bapa menyediakan kelengkapan persekolahan.
Program anjuran Pergerakan Wanita UMNO Kuantan itu melibatkan 250 murid dan pelajar dari sekitar Parlimen ini yang dibawa membeli sepasang pakaian sera­gam, beg, stoking serta kasut sekolah di Pusat Pakaian Hari Hari di sini hari ini.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO Kuantan, Datuk Zaiton Mat berkata, para penerima bantuan itu terdiri daripada anak yatim dan keluarga miskin yang mana pemilihan mereka dibuat mengikut cawangan-cawangan UMNO di dalam bahagian tersebut.
“Program ini dijayakan dengan kerjasama rakan penaja daripada syarikat swasta. Ia adalah antara usaha kami bagi memastikan murid dan pelajar daripada golongan kurang berkemampuan dapat memasuki musim baharu sekolah dengan lebih ceria.
“Diharapkan sumbangan ini dapat membantu mengurangkan beban golongan memerlukan dalam membuat persediaan untuk membolehkan anak-anak mereka meneruskan sesi persekolahan 2018 dengan kelengkapan persekolahan mencukupi,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.
Yang hadir sama Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat.
Zaiton berharap inisiatif murni itu dapat diperluas dan dilaksanakan secara berterusan dengan menarik penglibatan pelbagai pihak supaya prihatin dengan nasib murid dan pelajar yang kurang berkemampuan untuk membuat persedia­an bagi sesi persekolahan baharu.
Sementara itu, Wan Adnan berkata, program pemberian bantuan yang dijalankan oleh UMNO Bahagian Kuantan menerusi kerjasama sayap-sayap parti berkenaan diadakan secara berterusan demi memberi keselesaan dan kesejahteraan kepada rakyat. #sumber

Share:

Ridzuan: PAS Hanyalah Berangan, Untuk Mentadbir Negeri Pahang !


TEMERLOH: Angan-angan Pas kononnya untuk mentadbir Pahang dengan pentadbiran yang lebih baik sebenarnya hanyalah retorik semata-mata.

Ketua Penerangan UMNO Temerloh, Datuk Ridzuan Hazimin Ramli (foto) berkata, pertamanya Pas sendiri tidak pernah bertanding kerusi yang secukupnya untuk membentuk kerajaan di negeri Pahang.

Menurutnya yang keduanya, rekod daripada segi prestasi dan pentadbiran negeri Pahang kini jauh mengatasi Kelantan.  

“Program-program bantu rakyat begitu semarak di Pahang seperti bantuan diberikan Yayasan Pahang dalam bidang pendidikan berjumlah lebih RM 1 bilion serta bantuan mangsa-mangsa ribut, rumah terbakar dan banjir diberikan secara konsisten di bawah kerajaan BN sekarang.

“Pengalaman UMNO/BN memerintah disertakan dengan iltizam terus membantu rakyat menjadi teras kepada keberkesanan program-program bantu rakyat yang dilaksanakan,” katanya mengulas kenyataan PAS semalam.

Ridzuan berkata, hutang yang terpaksa dibuat kepada kerajaan pusat adalah kerana pengorbanan negeri Pahang yang terpaksa mengurangkan kawasan pembangunan bagi memenuhi rizab hutan negara.  

Beliau berkata, Pahang adalah pembekal oksigen dan karbon dioksida terbesar di semenanjung Malaysia.

Semalam Pesuruhjaya Pas Pahang Rosli Abd Jabar bersama kepimpinan Pas negeri mendakwa mampu menjadi pentadbir kerajaan negeri yang lebih baik jika diberi peluang memerintah Pahang.

Menurutnya, Pas Pahang bersedia menerajui kerajaan negeri ini selepas PRU14 jika diberi mandat dengan memperkenalkan sistem pentadbiran lebih baik berlandaskan lslam.

Rosli berkata, antara isu menjadi keutamaan Pas dalam pentadbiran negeri ialah penyelesaian hutang kerajaan negeri yang mana dikatakan tertinggi di Malaysia.

“Pas juga akan mengkaji operasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya ia memberi keuntungan maksima kepada kerajaan negeri,” katanya. #sumber
Share:

PAS Serang Balik PPBM, Nafi Hadi Mahukan Kabinet ‘Melayu Sahaja’ !

PETALING JAYA: PAS menafikan yang Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan hanya pemimpin Melayu dan beragama Islam yang boleh menjadi anggota jemaah kabinet di Malaysia.
Sebaliknya Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata artikel Hadi diputar belit pihak media sehingga mendapat kritikan hebat beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan parti komponen Barisan Nasional (BN).
“Tiada satu ayat pun di dalam kenyataan Presiden PAS yang mahu kabinet Melayu sahaja atau ‘all-Malay cabinet’. Olahan tajuk sensasi ini jauh daripada maksud sebenar ulasan Presiden PAS,” kata Tuan Ibrahim.
Menurutnya, apa yang dimaksudkan Hadi ialah Melayu-Islam perlu memimpin di dalam konteks politik Malaysia, sementara bukan Islam diterima untuk memerintah bersama di dalam bidang-bidang kepakaran dan pengurusan.
“Islam meletakkan mestilah ketua negara dan anggota kabinetnya yang beraqidah Islam daripada bangsa yang paling berpengaruh. Tetapi pada masa sama, Islam memberi hak yang lebih banyak kepada penganut bukan Islam dalam aspek politik, ekonomi dan lain-lain urusan kehidupan,” katanya menerusi kenyataan.
Tuan Ibrahim berkata pendirian Hadi tidak berbeza dengan dasar yang selama ini diutarakan parti PH seperti PKR dan DAP, yang menjamin perdana menteri dari kalangan Islam.
“Mengapa Pakatan Harapan bermain politik kaum di dalam susunan jawatan mereka untuk dilihat ia dipimpin oleh orang Melayu sedangkan yang mempunyai kerusi parlimen terbesar, DAP?,” soalnya.
Beliau turut mencabar pemimpin PH dan BN untuk menyatakan pendirian mereka sama ada mereka tidak bersetuju negara diterajui pemimpin Islam.
“Ini adalah dasar yang diterima oleh PPBM, DAP, PKR, Amanah dan juga BN. Apakah mereka yang menuduh presiden PAS rasis tidak bersetuju bahawa yang perlu memimpin Malaysia ialah dari kalangan penganut Islam? Jika ya, sila nyatakan pendirian ini secara terbuka,” katanya, memberikan respon kepada seorang pemimpin PPBM yang menyifatkan kenyataan Hadi sebagai “rasis”.
Tuan Ibrahim berkata PPBM sendiri tidak membuka keahliannya kepada semua kaum.
Dalam artikel Hadi yang diterbitkan portal rasmi parti Islam itu, Harakahdaily Jumaat lalu, beliau berkata pemimpin bukan Islam di bawah kerajaan Islam masih boleh menganggotai kabinet, tetapi bukan dalam membuat dasar.
“Dalam aspek politik, Islam tegas mewajibkan kepimpinan utama yang menjaga dasar dan konsepnya daripada penganut Islam dan menerima bukan Islam dalam aspek kepakaran dan pengurusan, bukannya perkara dasar dan konsep. Maka, Islam menerima kedudukan bukan Islam melalui pilihan raya atau konsep kerajaan teknokrat,” tulis Hadi.
Tuan Ibrahim berkata kritikan terhadap Hadi tidak lebih daripada “politik murahan” memfitnah Presiden PAS itu. #sumber
Share:

Ikatan Pengundi Berbilang Kaum, Fuziah "Yakin Kekal" Di Kuantan !

KUANTAN: Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yakin pengundi akan terus menyokongnya selagi beliau bertanding di kerusi itu.
Fuziah mendakwa ikatan yang terjalin dengan pengundi di Kuantan melampaui parti politik dan lebih kepada peribadi, apabila beliau mula memenangai kerusi itu pada 2008.
“Saya sudah berusaha. Saya turun padang dan saya boleh rasa ada hubungan peribadi antara saya dan pengundi sekarang. Ia bukan lagi mengenai parti.”
Beliau mendakwa hakikat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Kuantan terbahagi antara Barisan Nasional (BN) dan pembangkang menunjukkan wujud kepelbagaian pendapat politik di kalangan pengundi.
“Mereka akan undi saya di Parlimen, tetapi di peringkat negeri, parti politik masih memainkan peranan.”
Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lalu, calon PKR, Sim Chon Siang memenangi kerusi DUN Teruntum, wakil PAS, Rosli Abdul Jabar memenagi kerusi DUN Tanjung Lumpur dan calon BN, Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif menang di kerusi DUN Inderapura.
Fuziah bertanding di kerusi Parlimen sejak PRU 1999, tetapi hanya berjaya menewaskan calon BN buat pertama kali pada 2008.
Pada 2008, Fuziah melawan calon MCA, Datuk Fu Ah Kiow buat kali ke-2 dan berjaya meraih majoriti tipis dengan mendapat 52% undi. BN bagaimanapun memenangi 3 kerusi DUN di bawah Parlimen Kuantan pada PRU sama.
Pada 2004, Fuziah kalah kepada Fu yang berjaya mendapat 63% undi. Fu adalah Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri ketika itu.
“Ketika itu, saya tidak dikenali, tetapi Umno sudah biasa dengan orang Melayu dan apabila seorang calon Melayu menentang MCA, orang Melayu yang menyokong Umno merasakan mereka suka mengundi calon Melayu berbanding Cina dan itu sebabnya saya menang, walaupun pembangkang kalah di 3 kerusi DUN.”
Pada 2013, UMNO “meminjam” kerusi itu daripada MCA bagi memanfaatkan peningkatan pengundi Melayu, tetapi Fuziah berjaya menewaskan calon Umno, Datuk Mohamed Suffian Awang dengan majoriti tipis 54% undi.
Suffian adalah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuantan dan setiausaha politik kepada Pengerusi BN dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Fuziah mendakwa ia disebabkan selepas kemenangan pertamanya, beliau memastikan berusaha sedaya upaya untuk membuktikan kepada rakyat mereka membuat pilihan tepat memilihnya sebagai ahli Parlimen.
“Saya sedar saya menang bukan kerana kekuatan parti kami, ia bukan kerana sebab itu. Ia disebabkan retorik perkauman UMNO yang memakan diri mereka.
“Jadi, bermula dari hari pertama, saya menjadikannya matlamat peribadi untuk bekerja keras dan membuktikan saya boleh menjadi suara rakyat dan memperjuangkan hak mereka dan membawa masalah mereka ke Parlimen.
“Dalam masa 5 tahun penggal pertama saya, mereka nampak saya bekerja keras untuk mereka dan saya berjaya menyelesaikan lebih 6,000 kes yang dibawa kepada perhatian saya di kawasan saya.”
Kuantan ialah kawasan majoriti Melayu dengan 78.5% ialah pengundi Melayu, Cina 17.9%, India 3.3% dan kaum lain 0.3%, menurut bancian penduduk pada 2010.
Fuziah lahir di Johor pada 1959, tetapi dibesarkan di Pahang dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Perempuan Methodist di Kuantan. #sumber

Share:

Beruang Cuba Lintas LPT2 Mati Di Langgar 'Penunggang Motosikal' !


DUNGUN: Seekor beruang mati dilanggar oleh sebuah motosikal ketika cuba menyeberangi jalan di kilometer 347.5 Lebuh Raya Pantai Timur Dua ( LPT2) berhamprian susur keluar Plaza Tol Dungun petang semalam.


Beruang jantan jenis spesis beruang matahari  atau nama saintifiknya ( Helarctos Malayanus ) itu dianggarkan seberat 100 kilogram.
 Ketua Polis Daerah, Superintenden Ahmad Zailani Yaakub ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian yang berlaku kira-kira 6.50 petang itu.
Menurut beliau,  haiwan terbabit dikatakan datang dari Hutan Simpan Rasau untuk pergi ke hutan berhampiran.
Tambah beliau, sebuah motosikal  yang ditunggang oleh Ahmad Hafizzudin Zulkifli yang datang dari arah Bukit Besi menuju ke Kemaman tidak sempat mengelak sebelum melanggar haiwan tersebut.
"Haiwan itu dikatakan keluar secara tiba- tiba dari hutan tersebut semasa motosikal itu menghampiri lokasi kejadian menyebabkan penunggang tidak sempat mengelak.
 "Ahmad Hafizuddin tercampak beberapa meter ke bahu jalan dan mengalami kecederaan di muka dan mulut manakala motosikalnya juga mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan " katanya.
Katanya, sepasukan pasukan perubatan dari Hospital Dungun tiba di lokasi kejadian sejurus menerima panggilan dan memberikan rawatan awal kepada penunggang motosikal tersebut sebelum dikejarkan ke hospital. #sumber

Share:

Mustaffar: "RM5 Juta" Untuk Atasi Masalah Air Di Kampung Alor Batu


KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang telah memohon peruntukan sebanyak RM5 juta daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bagi mengatasi masalah bekalan air di Kampung Alor Batu, Jabor di sini yang berpunca daripada tangki air pecah.
Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mustaffar Kamal Abdul Hamid berkata, dengan peruntukan itu, tangki air tersebut boleh dibina kembali selain penggantian paip-paip usang di sekitar kawasan berkenaan.
"Kita telah membuat permohonan kepada KKLW bulan lepas bagi mendapatkan peruntukan untuk menyelesaikan masalah bekalan air yang dihadapi oleh penduduk kampung ini sejak empat tahun lalu.
"Peruntukan RM5 juta yang dicadangkan, kita boleh membina tangki air yang baharu dan mengganti paip usang supaya penduduk dapat menikmati kemudahan air tanpa sebarang gangguan lagi," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sumbangan Beg Sekolah kepada 20 kanak-kanak di sini hari ini.
Mustaffar berkata, beliau berharap para penduduk dapat bersabar kerana masalah itu akan diselesaikan secepat mungkin apabila peruntukan berkenaan telah diterima.
"Punca masalah tekanan air rendah sehingga ia tidak dapat disalurkan ke rumah penduduk di kampung ini ialah tangki air yang pecah.
"Kita akan menyegerakan proses pembinaannya apabila ada peruntukan dan saya percaya masalah ini tidak akan berulang lagi," katanya. #sumber
Share:

Isu Tanah Felda ‘Straightforward’, Tidak Perlu Untuk Tubuhkan RCI !

PETALING JAYA: PAS berkata isu pindah milik tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, tidak memerlukan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyelesaikan masalah itu kerana kes bersifat “straightforward” atau jelas dan mudah.
Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan berkata langkah yang perlu diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah mengkaji dan meneliti kronologi yang berlaku sehingga pindah milik berlaku kepada syarikat swasta terlibat.
“Antara yang perlu dikaji adalah keputusan Lembaga Pengarah Felda, perjanjian berkaitan antara Felda dengan syarikat berkenaan, transaksi pindah milik tanah kepada syarikat dan kepatuhan obligasi pihak-pihak sebagaimana perjanjian,” katanya dalam kenyataan media.
Jumaat lalu, polis mengumumkan penubuhan pasukan khas pada 13 Disember lalu untuk menyiasat kes kehilangan hak Felda ke atas tanahnya di Jalan Semarak dan akan memanggil bekas pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad bagi membantu siasatan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan, iaitu penipuan serta pemalsuan dokumen.
PAS merujuk kepada kes transaksi tanah Felda bernilai RM270 juta di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, yang dilaporkan berlaku tanpa Felda menerima sebarang wang daripada syarikat yang membeli tanah itu.
Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad “terpegun” pindah milik tanah institusi kerajaan boleh dilakukan begitu mudah. Beliau mula menyedari perkara itu pada akhir Januari.
Takiyuddin berkata PAS juga berharap siasatan terperinci akan dapat membongkar skandal lain yang melibatkan Felda dan anak-anak syarikatnya yang lain.
“Dengan ini, Felda sebagai institusi amanah dapat dibersihkan daripada unsur kepentingan peribadi ataupun kelompok tertentu,” katanya. #sumber
Share:

Mazlan: "Isu Tanah Felda", Najib Perlu Bertanggungjawab Lantik Isa !

PETALING JAYA: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) mahu Perdana Menteri memikul tanggungjawab sepenuhnya ke atas kehilangan tanah milik Felda di Jalan Semarak.
Presiden ANAK, Mazlan Aliman berkata, pemindahan hak milik tanah di Jalan Semarak itu berlaku ketika Tan Sri Isa Samad yang dilantik Datuk Seri Najib Razak mengetuai Felda.
“Saya yakin kemungkinan Isa akan ditahan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan. Di sebalik tanggapan kita mengenai Isa, Najib tidak boleh melepaskan diri. Beliaulah yang melantik Isa, meskipun dibantah banyak pihak.
“Konsep ‘pertanggungjawaban bersama’ dengan erti kata lain, tidak harus Isa sahaja yang dipersalahkan. Maaf Najib, anda bertanggungjawab atas malapetaka besar yang melanda Felda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Isa dilantik sebagai pengerusi Felda mulai 1 Januari 2011 hingga Januari 2017; pengerusi FGV mulai 1 Januari 2011 hingga 19 Jun lalu serta pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 sehingga 2017.
Jumaat lalu, polis mengumumkan penubuhan pasukan khas pada 13 Disember lalu untuk menyiasat kes Felda kehilangan hak ke atas tanahnya di Jalan Semarak dan akan memanggil Isa bagi membantu siasatan itu.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan, iaitu penipuan serta pemalsuan dokumen.
Berita Harian sebelum ini melaporkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik bernilai RM270 juta itu, susulan urusan pindah milik tanah yang mencurigakan pada 2015.
Mengulas lanjut, Mazlan berkata, selain Najib, beliau yakin Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim juga tahu perancangan pembangunan tanah di Jalan Semarak.
“Sebahagian ahli lembaga pengarah Felda ketika ini adalah orang yang sama terlibat ‘menganugerahkan’ tanah di Jalan Semarak untuk dimajukan.
“Dakwaan penipuan dan pecah amanah yang dikaitkan dengan tanah di Jalan Semarak boleh dielakkan, sekiranya Razali, ahli lembaga pengarah Felda menghalangnya dari awal.”
Beliau turut simpati dengan nasib Pengerusi Felda sekarang, Tan Sri Shahrir Samad yang terpaksa menyelesaikan masalah ditinggalkan pimimpin dahulu. #sumber
Share:

Rosli Abd Jabar: PAS Sedia Tadbir Pahang, Dengan "Sistem Islamik"


TEMERLOH: PAS Pahang bersedia meneraju kerajaan negeri ini dengan memperkenalkan sistem pentadbiran yang lebih baik berlandaskan lslam jika diberi mandat pada PRU14 nanti.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abd Jabar berkata, antara isu yang akan menjadi keutamaan PAS dalam pentadbiran negeri ialah penyelesaian ‘hutang’ kerajaan negeri yang mana dikatakan tertinggi di Malaysia.

Menurutnya, selain itu, isu pengurusan alam sekitar serta penerokaan hasil baharu dengan memanfaatkan sumber sedia ada dan mengurangkan kebergantungan atau berhutang kepada kerajaan persekutuan.

"Pas juga akan mengkaji operasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya ia memberi keuntungan maksima kepada kerajaan negeri.

Sekiranya diberi mandat, pengurusan kewangaan kerajaan negeri akan mengutamakan perbelanjaan ‘berhemah tetapi tidak kedekut dengan menjadikan pentadbiran Kelantan sebagai salah satu contoh mengurus tadbir kerajaan negeri yang baik.

"Kami juga berpendapat, kerajaan UMNO/BN terlalu lama berkuasa, ia perlu diganti dengan kerajaaan baharu yang segar kerana para pemimpin Umno dilihat semakin kehilangan idea dan lemah sehingga menyebabkan kerajaan negeri tidak mampu bersaing dengan kerajaan negeri yang dikuasai oleh pembangkang," katanya  hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Perhubungan PAS Pahang di Kompleks al-Makmur Kerdau, di sini hari sebentar tadi.

Turut hadir Pengerusi Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang yang juga ADUN Beserah, Andansura Rabu; Setiausaha PAS Pahang, Roslan Zainal.

Rosli berkata, antara cadangan pengukuhan hasil negeri ialah penyusunan semula struktur kutipan premium pembalakan dan perlombongan bagi memberi pulangan maksimum kepada kerajaaan negeri.

"Ini jelas apabila hutang kerajaan negeri meningkat setiap tahun dan terkini sudah melebihi RM3 bilion, hasil negeri cuma berlegar dari sumber tradisi, iaitu pembalakan, 

perlombongan, air dan cukai tanah malah tiada usaha dan kreativiti dalam meneroka sumber pendapatan baharu sedangkan Pahang adalah sebuah negeri yang sangat subur.

Rosli berkata, PAS juga akan memperkukuh industri eko-pelancongan dengan memanfaatkan keindahan alam dengan flora dan fauna, hutan serta gunung sungai dan pantai yang indah.

Katanya, bidang pertanian akan dinaiktaraf menjadi bidang keusahawanan dengan membangunkan tanah-tanah terbiar bagi mempertingkat pengeluaran hasil dan membuka peluang keusahawanan kepada anak negeri Pahang.

"Pas mempunyai ramai tokoh berwibawa, berlatar belakangkan agama dan profesional yang bertaqwa mampu menggalas tugas sebagai Menteri Besar Pahang sekiranya diberi kepercayaan menerajui Pahang.

Rosli berkata, sementara itu seramai lebih 12,000 petugas jentera pilihan raya Pas Pahang akan berkampung di Kompleks al-Makmur di sini pada program Fastaqim 2.3, 20 Januari depan. #sumber
Share:

Isu "Tukar Hak Milik" Tanah Felda, Polis Di Jangka Panggil Isa Samad !


GEORGETOWN: Polis tidak menolak kemungkinan memanggil bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad bagi membantu siasatan berhubung isu pertukaran hak milik tanah FELDA di Jalan Semarak, di Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Nor Rashid Ibrahim, berkata satu pasukan khas sudah diwujudkan bagi menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan.

Katanya, pasukan itu kini dalam proses mengumpulkan bukti sebelum beberapa saksi dipanggil bagi memberi keterangan dalam tempoh terdekat.

"Kita akan menunggu arahan selanjutnya sama ada akan memanggil beliau (Mohd Isa) untuk diambil keterangan atau sebaliknya.

"Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 421 Kanun Keseksaan atas kesalahan tipu dan pemalsuan dokumen," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Kayuhan Basikal Solidariti PDRM 2017 di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, di sini, awal pagi tadi.

Yang turut hadir, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Chuah Chee Lye.

BH kelmarin melaporkan FELDA berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, di ibu kota, yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi membangunkannya.

Mohd Isa adalah Pengerusi FELDA dari 2011 hingga Januari 2017; Pengerusi FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Januari 2011 hingga 19 Jun lalu dan Pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 hingga 2017. #sumber
Share:

Pengumuman SPRM, GERAM Gesa "Kesilapan Berulang" Di Elakkan !


KUANTAN: NGO Gerakan Rakyat Hentikan Pencemaran Bauksit (GERAM) mendakwa pengumuman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menarik semula penyitaan 10 juta tan stockpile bauksit di Kuantan bakal menghantui semula penduduk jika tidak ada langkah-langkah kawalan berkesan diambil.

"Sepanjang tempoh moratorium ini kehidupan penduduk sekitar amat selesa sekali selepas melalui tempoh yang penuh dengan kesengsaraan akibat daripada sikap haloba para peniaga bauksit"

"Tiada lagi persekitaran yang kotor, berdebu serta gangguan jalanraya yang menakutkan. Suasana ini bakal berubah sekiranya kerajaan tidak bersungguh-sungguh untuk menyediakan satu mekanisme berkesan bagi mengawal kegiatan perlombongan dan pengangkutan sekiranya aktiviti bauksit diteruskan", kata kenyataan media yang diedarkan semalam.

"Dicadangkan supaya kerajaan negeri dan agensi-agensi yang terlibat duduk berbincang bersama-sama dengan wakil penduduk dan pengusaha bauksit bagi mencari jalan menang-menang supaya segala kelemahan yang ada di masa lalu dapat diatasi dengan baik".

"Selagi tiada sebarang penambahbaikan dan pengenalan SOP yang baharu diperkenalkan, adalah disarankan semua aktiviti berkaitan bauksit tidak diteruskan".

Sementara itu pihak SPRM dituntut untuk mengumumkan samada terdapat unsur rasuah dalam aktivit bauksit sebelum ini dan tindakan mendakwa mereka yang terlibat perlu disegerakan.

Cadangan supaya satu aku janji dibuat oleh semua yang terlibat dengan aktiviti bauksit dibimbangi hanya merupakan satu janji kosong serta tidak mampu mengekang sebarang unsur rasuah daripada berlaku dimasa akan datang, kata kenyataan itu lagi. #pdonews
Share:

Lelaki Mengaku Punyai Gelaran "'Datuk" Bengang Kena Saman !


KUALA LUMPUR: Geram kerana disaman, seorang lelaki yang mengaku mempunyai gelaran 'Datuk' cuba mempertikai saman yang diterimanya dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, lelaki berusia 33 tahun berkenaan dikatakan cuba menggertak polis yang menyamannya dengan mengatakan dia mempunyai gelaran 'Datuk' dan mendakwa dia adalah penerima kurniaan darjah dari sebuah negeri.

Bagaimanapun, polis yang menjalankan semakan awal dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati lelaki berusia 33 tahun berasal dari Bentong, Pahang itu tidak mempunyai sebarang gelaran 'Datuk' seperti didakwa selain ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Superintendan Ahmad Adnan Basri, berkata anggota polis trafik yang sedang mengadakan Ops Motosikal di laluan berkenaan pada mulanya ternampak sebuah kereta Honda Accord dipandu dalam keadaan mencurigakan.

"Selepas anggota kita jalankan pemeriksaan, satu saman dikeluarkan ke atasnya atas kesalahan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.

"Semasa proses mengeluarkan saman, pemandu berasa tidak puas hati dan mengatakan dirinya seorang 'Datuk' untuk mempertikai saman berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, pemeriksaan lanjut pada tubuh badannya mendapati tidak menemui sebarang barang yang salah namun pemandu terbabit kelihatan berada dalam keadaan khayal.

"Lelaki itu sendiri mengaku mengambil bahan terlarang disyaki dadah.

"Justeru, kita diserahkan dia kepada Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk ujian saringan air kencing sebelum didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine," kata beliau.

Menurutnya, suspek ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Merbahaya kerana memasukkan dadah ke dalam tubuh badan sendiri dan polis masih menyiasat status 'Datuk' lelaki terbabit. #sumber
Share:

Penganalisis: PH 'Sukar' Di Pekan, Tapi Ada Cara Ulangi Kejutan ’99 !

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) dicadangkan melihat kerusi Pekan yang diwakili Perdana Menteri secara strategik, bukannya cuba merampas kerusi itu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Wong Chin Huat dari Penang Institute berkata keputusan PRU pada 1999, yang menyaksikan Datuk Seri Najib Razak hampir dikalahkan, amat sukar diulangi kali ini.
Ia kerana kerusi itu mengalami pertumbuhan pengundi yang ketara, kira-kira 54,000 pengundi sejak 18 tahun dulu, termasuk melalui penyempadanan semula.
“Jelas, pengundi terpilih dipindahkan untuk mengukuhkan tempat Najib, jadi anda tidak boleh menggunakan keputusan PRU 1999 sebagai asas,” katanya.
Sebelum ini, seorang pemimpin PKR Pahang, Lee Chean Chung mengakui sukar untuk pembangkang memenangi kerusi Pekan tetapi yakin ia bukan sesuatu yang mustahil.
Lee, yang juga Adun Semambu, berkata keyakinan itu kerana pembangkang pernah hampir mengalahkan Najib pada PRU 1999.
Pada 1999, di kemuncak krisis politik susulan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon PAS Ramli Mohamed kalah tipis kepada Najib yang ketika itu menyandang jawatan sebagai Menteri Pendidikan.
Najib menang dengan majoriti hanya 241 undi.
Berdasarkan sejarah itu, Lee yakin ia sesuatu yang boleh diulangi.
Alih perhatian
Wong berkata walaupun kerusi Pekan kelihatan suram bagi PH, ia masih mempersembahkan peluang unik bagi gabungan itu untuk menyakiti lawannya dalam PRU akan datang.
“PH mesti menghantar seseorang ke sana untuk mengalih perhatian Najib. PPBM juga sesuai kerana ia dilihat sebagai cubaan proksi bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Najib.”
Beliau berkata calon yang baik untuk usaha itu mestilah seorang yang muda, bersemangat dan berani.
“Jika calon dinamik ditempatkan, Najib perlu menghabiskan masa di Pekan untuk mengelakkan kekalahan yang tidak disengajakan. Ini menghalang beliau daripada berkempen ke seluruh negara sepanjang masa.
“Memandangkan tiada siapa yang menjangkakan Najib benar-benar kalah, calon PH yang kalah dengan berkongsi undian hebat sudah pun menjadi kemenangan moral.” #sumber
Share:

Shahrir Akui Transaksi Tanah Ada Berlaku, Tapi Tak Terima Satu Sen Pun !

KUALA LUMPUR: Felda hari ini mengakui transaksi tanah milik agensi itu di Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang melibatkan 4 bidang tanah memang berlaku dan dianggarkan jumlah keseluruhannya bernilai RM270 juta.
Bagaimanapun, Pengerusi Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata walaupun transaksi telah berlaku tetapi Felda tidak menerima sebarang wang daripada syarikat yang membeli tanah itu.
“Duit tak ada. RM 1 sen pun tidak bayar. Tiada rekod wang dimasukkan atau dibayar dalam transaksi itu.
“Walaupun dengar dalam surat jual beli tanah itu berjuta-juta tetapi Felda tidak terima wang itu,” katanya pada sidang media mengenai isu pindah milik tanah Felda itu di Menara Felda.
Berita Harian hari ini mendedahkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik itu apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.
Menurut akhbar itu, sumber memberitahu pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkan tanah itu.
Felda dipengerusikan Tan Sri Isa Samad sehingga Januari lalu. Beliau merupakan pengerusi FIC sejak syarikat itu ditubuhkan pada 2 Julai 2013 sehingga kini
Menurut carian BH di Jabatan Tanah dan Galian, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sebuah lot tanah seluas 16 hektar menempatkan ibu pejabat lama Felda, Anjung Felda dan Wisma Felda, kini ditukar nama kepada syarikat lain yang ada kaitan dengan pemaju utama itu pada 21 Julai 2016.
Shahrir, yang dilantik menjadi pengerusi Felda 6 Januari lalu, berkata beliau hanya menyedari pertukaran hak milik tanah Felda itu pada akhir Januari tahun ini.
Kerana khuatir terdapat penipuan dalam perjanjian tanah itu, Shahrir mengumumkan Felda, atas nasihat perdana menteri, akan melantik audit luar untuk melakukan siasatan ke atas transaksi itu.
“Selain itu, Felda juga akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan sivil di mahkamah terhadap syarikat itu. Felda juga telah membuat laporan polis pada 12 Disember lalu apabila mengesyaki ada berlakunya unsur penipuan,” tambahnya.
Dalam pada itu, Shahrir berkata Felda juga akan mendaftarkan 4 bidang tanah yang sudah ditukar hak milik itu sebagai “kaveat persendirian” di Jabatan Tanah Wilayah Persekutuan.
“Kita sudah kaveat tanah itu pada 14 April. Kita tunggu siasatan dalaman oleh audit luar yang dijangka akan dimulakan pada Januari depan,” katanya.
Kaveat persendirian adalah kaveat yang dimasukkan oleh individu atau badan yang mempunyai kepentingan ke atas pemilikan hartanah bagi menyekat atau menghalang sebarang urus niaga harta itu, termasuk dipindah milik dan hanya boleh ditarik balik menerusi perintah mahkamah.
Shahrir berkata Felda akan berusaha mendapatkan balik hak milik tanah itu dan sebarang rundingan masih boleh dilakukan dengan syarikat terlibat jika mahu memulangkan tanah itu.
“Kita tidak berminat sebarang duit tetapi kita mahu tanah,” katanya. #sumber
Share:

Tiga Beradik Maut, Kemalangan Di Jalan Pekan-Kuantan Jam 5.45 Pagi Tadi


KUANTAN: Perjalanan tiga adik-beradik selepas menghantar ibu bapa mengerjakan umrah berakhir tragedi, apabila ketiga-tiganya maut dalam kemalangan, di Kampung Batu Putih di sini, awal pagi tadi.

Mangsa dikenali Wan Nor Afifah Wan Mohd Kamaruzzaman, 28, Wan Nor Athirah, 27, dan Wan Mohd Mahathir, 14.

Mangsa cedera dalam kemalangan itu pula ibu saudara mereka, Salma Ibrahim serta anaknya, Nurul Aliyani Zawawi yang dirawat di Unit Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Ibu saudara mereka yang hanya mahu dikenali sebagai mama, berkata kelima-limanya dalam perjalanan pulang dari Melaka, ke rumah mereka di Kampung Padang Lalang Binjai, Kemaman, Terengganu.

Khamis lalu, katanya, mereka menghantar ibu bapa serta adik perempuan mereka ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan terus ke Melaka untuk melawat saudara.

"Saya mendapat tahu mengenai kejadian ini, kira-kira jam 7 pagi selepas dihubungi oleh Nurul Aliyani yang dapat keluar daripada kenderaan mereka yang termasuk ke longkang besar di tepi jalan. Dia beritahu kejadian berlaku kira-kira jam 5.45 pagi.

"Dia beritahu saya, tiga adik beradik itu sudah meninggal dunia dan dia hanya dapat keluar selepas dua jam bergenang dalam air. Ibunya (Salma) dapat dikeluarkan tidak berapa lama selepas itu.

"Luluh hati saya sebaik mendengar berita itu. Tidak tahu macam mana hendak beritahu ibu bapa mereka yang sedang mengerjakan umrah," katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik HTAA di sini, pagi tadi.

Mengikut maklumat awal diterima daripada ahli keluarga, ibu bapa kepada mangsa dikenali Wan Kamaruzzaman dan Rosnani Ibrahaim manakala adik perempuan dikenali, Wan Nor Aqilah yang sedang mengerjakan umrah.

Sementara itu, jurucakap Bilik Gerakan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan ketika dihubungi mengesahkan kejadian. #sumber


Share:

Tun Mahathir Mohamad Sanggup Ketepikan Perbezaan Politik Demi Palestin


PUTRAJAYA: Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad (Dr Mahathir) hadir pada Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis di Masjid Putra di sini pada Jumaat.

Mantan pemimpin negara itu tiba dengan pengikutnya sekitar pukul 12.30 tengah hari.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Dr Mahathir membuat keputusan untuk hadir ke perhimpunan itu kira-kira sejam sebelum ketibaan beliau.

"Kami amat terkejut kerana ia keputusan di saat-saat akhir," katanya.

Tambah Syed Saddiq, kemunculan Dr Mahathir itu adalah untuk menunjukkan sokongan beliau terhadap rakyat Palestin dan sanggup mengenepikan perbezaan pegangan politik.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut tiba di masjid itu pada pukul 12.30 tengah hari.

Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak berselisih dengan Ahmad Zahid.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak pula ditetapkan tiba pada pukul 2 petang.

Barisan Nasional menganjurkan perhimpunan itu sebagai solidariti menentang keputusan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu negara Israel. #sumber

Share:

SPRM Tarik Balik Penyitaan Lebih "10 Juta Tan Bauksit" Di Pahang !


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menarik balik penyitaan simpanan stok bauksit yang dianggarkan lebih 10 juta tan di negeri Pahang menerusi satu mekanisme yang dipersetujui Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan kerajaan negeri.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasinya, Datuk Seri Azam Baki dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini berkata, mekanisme baharu itu dilihat satu cara bagi mengekang kegiatan perlombongan haram bauksit serta pencemaran alam sekitar.

“Arahan ini bagi membolehkan pengusaha mengeluarkan simpanan stok itu dalam tempoh morotarium yang masih berkuat kuasa. Perlu diingatkan, penarikan balik arahan penyitaan ini tidak bermakna perlombongan baharu dibenarkan di negeri tersebut.


“Pihak kementerian dan kerajaan negeri telah menetapkan peraturan-peraturan yang perlu diakuri oleh pengusaha-pengusaha bauksit bagi menjamin pengeluaran stok simpanan bauksit dibuat secara teratur,” katanya di sini hari ini.
Memperincikan mekanisme itu, Azam menjelaskan, semua pengusaha bauksit perlu menandatangani satu aku janji sebelum permohonan kelulusan permit (AP) untuk mereka mengeluarkan stok simpanan diluluskan oleh kementerian.
Menurutnya, antara aku janji tersebut juga adalah bahawa mereka tidak akan terlibat dalam perbuatan rasuah dan salah guna kuasa.
“SPRM akan bekerjasama de­ngan kementerian dan kerajaan negeri bagi memantau pemindahan stok simpanan bauksit yang diluluskan selain memastikan tiada perlombo­ngan bauksit baharu di kawasan yang tidak dibenarkan oleh ke­rajaan negeri setakat ini.
“Sekiranya ada pi­hak didapati terlibat dalam perlombongan bauksit secara tidak sah, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka mengikut Akta SPRM 2009 dan Kanun Keseksaan.
Tambah Azam, SPRM meminta kerjasama orang ramai bagi membekalkan maklumat sekiranya ada aktiviti perlombongan bauksit secara haram agar tindakan sewajarnya diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. #sumber

Share:

Anak Pegawai Pelancongan Perak "Ada Saham" Syarikat Di Kaitkan IMAMS

PETALING JAYA: Anak kepada seorang penasihat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan merupakan salah seorang pemegang saham dalam sebuah syarikat yang diberi kontrak menguruskan Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) yang dibatalkan minggu lalu, menurut carian rekod syarikat.
Md Mahathir Md Salleh Huddin, 28, anak kepada Md Salleh Huddin Abu Hanifah, disenaraikan sebagai pemegang saham dalam OPG Global Group Sdn Bhd, syarikat yang diberikan kontrak menguruskan IMAMS, yang mengundang reaksi marah dari pelbagai pihak sehingga memaksa Putrajaya membatalkannya.
Menurut direktori rasmi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Salleh merupakan penasihat kepada menteri, Datuk Seri Nazri Aziz di samping penasihat Destination Perak Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).
Ketika dihubungi, Salleh menafikan penglibatan anaknya menjurus kepada kronisme.
Salleh juga menafikan beliah “pegawai khas” Nazri seperti terkandung dalam mesej di media sosial hari ini.
“Saya bukan pegawai (Datuk Seri Nazri Aziz). Saya sebenarnya jaga pelancongan Perak, saya sebagai penasihat, saya tidak terima sebarang gaji, saya tidak ada kaitan,” katanya.
“Saya tidak ambil gaji dari kementerian, satu sen pun saya tidak ambil. Saya hanya ‘freelance’,” katanya.
Mengenai anaknya yang dikaitkan dengan IMAMS, Salleh berkata beliau tidak ada kaitan dengan urusan itu.
“Apa yang hendak ditipukan? Dia meniaga lama dah, bukannya baru,” katanya.
“Itu syarikat anak saya, tidak ada kena-mengena dengan saya,” katanya.
Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati Mahathir adalah pemegang saham kedua dalam OPG Global, di samping Sofia Akzan Amir Selamat Amir.

Bagaimanapun, nama “Salleh Huddin Abu Hanifah” tertera di laman web OPG Global sebagai “pengerusi eksekutif” syarikat itu.
IMAMS dirancang sebagai akses rasmi tunggal permohonan visa umrah untuk diproses kedutaan Arab Saudi, dan diwujudkan bagi membanteras aktiviti penipuan pakej umrah.
Sistem yang sepatutnya dilaksanakan ke atas agensi pelancongan umrah itu bagaimanapun dibatalkan sehari selepas pelancarannya pada 15 Disember lalu, susulan bantahan pelbagai pihak.
Di bawah sistem itu, jemaah perlu membayar tambahan RM90.10 yang merangkumi cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak RM5.10, insurans (RM40) dan caj sistem yang digunakan IMAMS (RM45). #sumber
Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.