script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

'Hina Sultan': Aktivis Gesa Mahfuz Mohon Maaf, Usah Berdolak Dalih !


KUANTAN: Tindakan Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar, mengaitkan nama Sultan Pahang dalam ceramah beliau baru-baru ini jelas sekali merupakan tindakan biadap yang tidak sewajarnya dilakukan oleh pemimpin politik.

Demikian ditegaskan oleh aktivis sosial yang juga Penyelaras NGO Angkatan Pembela Rakyat (Angkara), Mohd Shukri Mohd Ramli kepada PDO. Menurut beliau, atas apa jua alasan tindakan Mahfuz jelas sekali sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

"Walau pun Mahfuz nafi beliau menghina Sultan Pahang, namun bila saya dengar dan ulang beberapa kali video ceramahnya itu.. ternyata kesilapan Mahfuz ialah mengaitkan usia Tuanku Sultan Pahang dengan Tun Mahathir. Beliau malah seolah-olah memperli kononnya Sultan Pahang yang sudah berusia masih lagi pegang kuasa", kata Shukri.

Mahfuz gagal membezakan, politik dengan institusi istana serta memahami undang-undang tubuh Negeri Pahang dalam mengeluarkan kenyataan, katanya.

Biarpun Mahfuz mendakwa beliau hanya membangkitkan isu ekoran daripada pemimpin UMNO mempersoalkan usia Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak melayakkan dia menjadi Perdana Menteri, namun apa yang dilakukan itu jelas sekali memperli.

"Mahfuz tidak perlu untuk berdolak-dalih, kerana jelas saya melihat kenyataan beliau itu kononnya Tun Mahathir walau pun sudah tua.. layak jadi PM sebab usia Sultan Pahang sebegitu pun masih kekal sebagai Sultan", dakwa Shukri lagi.

Justeru, beliau meminta pihak berkuasa menyiasat kes ini dibawah Akta Hasutan kerana keceluparan pemimpin politik seperti Mahfuz mengusik institusi istana untuk jadi bahan jenaka beliau dalam ceramah tersebut.

"Sebagai rakyat Pahang yang kasihkan raja kami, maka Mahfuz perlu mohon maaf. Usah berdolak dalih..Tindakan beliau jelas mengguris perasaan kami. Dahlah, Sultan Pahang sedang gering sekarng ini....", tambah Shukri.

Sementara itu, beliau juga menggesa pihak berkuasa menyiasat pihak manakah yang  menyebarkan video Sultan Pahang yang menjadi viral itu. Tidak wajar "video sulit" seperti itu boleh terlepas kepada umum, yang akhirnya menjadi bahan jenaka kepada orang politik seperti Mahfuz katanya. #pahangdaily
Share:

Mahfuz Nafi Hina Serta Perlekeh Sultan Pahang Dalam Ceramah !

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar hari ini menafikan beliau menghina dan memperlekehkan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar dalam ceramah politiknya.
Mahfuz menyeru pengkritik mengamati ucapannya yang ditularkan baru-baru ini kerana ucapannya itu untuk mematahkan hujah Umno yang bertegas seseorang yang berusia tidak layak memimpin.
“Saya hanya membangkitkan isu ekoran daripada pemimpin Umno mempersoalkan usia Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak melayakkan dia menjadi perdana menteri,” katanya ketika dihubungi FMT.
Dr Mahathir kini berusia 93 tahun dan diangkat Pakatan Harapan sebagai calon perdana menteri mereka untuk pilihan raya umum ke-14.
“Saya hanya memberikan pandngan bahawa usia bukan penghalang seseorang menjadi pemimpin, dengan mengambil contoh Sultan Pahang. Tuanku dalam keadaan yang uzur tapi masih mampu menjadi sultan,” katanya.
Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini kesal dengan tindakan Mahfuz yang didakwa menghina dan memperlekehkan Sultan Pahang, selepas satu klip video ceramahnya tular di media sosial.
Semalam, Gabungan Anak Daerah-daerah Pahang membuat laporan polis terhdap Mahfuz.
Dalam ceramah tersebut, Mahfuz antara lain membandingkan Dr Mahathir, yang pernah menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003, kepada Sultan Ahmad Shah, 87, yang memerintah Pahang sejak 1974.
Mahfuz menegaskan melalui perbandingan itu, beliau menyeru rakyat tidak terlalu menekankan usia seseorang tetapi memanfaatkan keupayaan akal fikiran dan ilmu kepimpinan seorang pemimpin seperti Dr Mahathir dan Sultan Pahang.
“Saya minta maaf kalau itu yang menimbulkan kemurkaan Pemangku Raja Pahang,” katanya.
Ditanya mengenai laporan polis terhadapnya, Mahfuz menghormati hak mereka membuat laporan polis.
“Kebanyakan mereka yang membuat laporan polis itu saya percaya didalangi oleh kepentingan politik Umno. Itu yang saya katakan Pemuda UMNO itu walaupun muda tapi ‘nyanyuk’. Mereka tak dapat nak menilai apa yang saya ucapkan,” katanya. #sumber
Share:

Tiga Rumah "Musnah Terbakar" Di Sungai Isap Dua, Mangsa Selamat !


KUANTAN: “Na cepat.. Na cepat.. rumah kita terbakar,” jerit Baharuddin Sulaiman, 57, sebaik sahaja melihat rumahnya terbakar di Perkampungan Sungai Isap 2 di sini, petang, semalam.

Menurutnya, dia menjerit memanggil nama isterinya, Wan Nor Azlina Wan Hamid, 54, kerana terkejut rumahnya terbakar dalam kejadian tersebut.

“Saya tergamam lihat api sedang marak sebaik saja isteri minta saya tengok kepulan asap itu dari kawasan rumah.

“Masa tu saya dan isteri sedang berniaga di gerai kira-kira 200 meter dari rumah. Saya ingat orang bakar tayar.. rupanya rumah saya yang terbakar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Perkampungan Sungai Isap 2 di sini, semalam.

Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah mencemar duli melawat mangsa terlibat dan meluang masa kira-kira setengah jam melawat, beramah mesra serta menyampaikan sumbangan kepada mangsa terlibat.

Ternyata keprihatinan Tunku Azizah mengubat kesedihan dan terharu dengan kesudian melawat mereka.

Katanya, dia tidak sempat menyelamatkan sebarang dokumen penting kerana api merebak dengan cepat.

“Pada awalnya saya cuba menarik meja di luar rumah untuk alihkan tetapi akhirnya lengan saya di sambar api.

“Saya tak berani untuk bertindak, sebaliknya hanya mampu berputih mata dan melihat saja rumah itu musnah sebelum bomba tiba,” katanya.

Ditanya mengenai jumlah kerugian, Baharuddin berkata, dia masih belum mengetahui jumlah sebenar kerugian dan memerlukan masa untuk menilai semula.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana kesemuanya selamat meskipun sudah kehilangan harta benda.

Bau hangit datang dari bilik anak

Siti Rohana Wan Ahmad, 41, berkata, sewaktu kejadian dia sedang menonton televisyen (TV) bersama anaknya berusia lima tahun.

“Masa sedang tengok TV tu saya terhidu bau hangit.. lepas tu saya segera  periksa bilik anak saya dan terkejut melihat api sedang marak dari tilam itu.

“Saya segera meminta tolong dari jiran sebelah untuk padamkan api.. tapi malangnya tak berjaya, malah api terus marak dan percikan api dari tilam itu mengenai tangan saya.

“Seterusnya saya dan anak-anak segera bergegas keluar menyelamatkan diri dan langsung tak dapat selamatkan barang-barang berharga,” katanya. Rohana memberitahu, perkara ini akan dimaklumkan kepada tuan rumah dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Isap, Abdul Mubin Abdul Rahim,berkata, semua mangsa terlibat akan ditempatkan di inap desa di Perkampungan Sungai Isap 2 di sini.

Susulan daripada itu, katanya lagi, mungkin semua  mangsa akan ditempatkan di Flat Pak Mahad sekiranya mereka tiada saudara mara terdekat.

Jelasnya, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat ada memberi barang pendahuluan keperluan kepada mangsa terlibat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Ashrul Riezal Asbar berkata, tiga rumah musnah tanpa meragut sebarang nyawa dalam kebakaran kira-kira  jam 4.30 petang di perkampingan Sungai Isap 2 di sini.

Menurutnya, tiga jentera bomba bersama 31 anggota dan enam pegawai bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja panggilan kecemasan diterima pada jam 4.40 petang.

“Apabila tiba dilokasi kami dapati api telah membakar keseluruhan dua daripada rumah berkenaan yang gagal diselamatkan dengan kemusnahan 100 peratus.

“Manakala api yang merebak ke sebuah rumah lagi dapat dikawal dan hanya berjaya menyelamatkan separuh sahaja rumah berkenaan,” katanya dengan menambah angin kencang menyebabkan kebakaran yang bermula dari rumah tengah telah menyambar dengan pantas ke kediaman sebelah.

Berdasarkan siasatan awal katanya punca kejadian dipercayai berpunca daripada kejadian litar pintas namun siasatan lanjut masih dijalankan dan jumlah kerugian masih belum dapat ditafsirkan.

Katanya, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada  jam 5.40 petang itu tidak meragut sebarang nyawa selepas kesemua penghuni berjaya menyelamatkan diri. #sumber
Share:

Nizam: Konvensyen Pakatan Harapan Pahang Pada 27 Januari Ini


KUANTAN: Pakatan Harapan Pahang akan mengadakan konvensyennya pada 27 Januari ini, bagi memperkuatkan dan memantapkan kesatuan gabungan parti itu.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri, Ahmad Nizam Hamid berkata, ia juga diadakan bagi merangka gerak kerja dengan misi untuk 'menurunkan' Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan menumbangkan Umno serta BN pada PRU 14.

Menurutnya, gagasan Pakatan Harapan masih berteraskan reformasi dan sudah pasti pihaknya berusaha untuk menawan parti Umno dan BN.

"Atas alasan itu kita anjurkan konvensyen dan ia pasti diisi dengan perbahasan rakyat dengan pelbagai perbincangan dasar, perbahasan pemimpin serta polisi.

"Pihak sekretariat konvensyen ini sudah menerima pengesahan kehadiran daripada beberapa pemimpin Pakatan Harapan iaitu, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Sallehuddin Ayub (Parti Amanah).

"Buat masa ini, pihak kita masih menunggu pengesahan daripada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed untuk hadir sama pada konvensyen tersebut atau sebaliknya ," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media di Pejabat Adun Semambu di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman dan Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR negeri, Kamarzaman Mohamed Yunus.

Konvensyen itu akan diadakan di Restoran Mun Ching, Jalan Air Putih, di sini pada jam 8.30 pagi hingga 4 petang.

Dalam pada itu, Ahmad Nizam berkata, konvensyen akan dihadiri 600 orang anggota daripada keempat-empat parti Pakatan Harapan iaitu PKR, DAP, Parti Bersatu dan Amanah,

Jelasnya, selain anggota parti, rakyat di negeri ini boleh turut serta dalam konvensyen tersebut bagi menyokong usahanya Pakatan harapan untuk merealisasikan mimpi memartabatkan kuasa rakyat. #sumber
Share:

Tengku Abdullah: "Kalau Ikutkan Hati, Nak Tarik Semua Gelaran" !


KUANTAN: Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah melahirkan rasa dukacita terhadap tindakan beberapa individu termasuk golongan artis yang dianugerahkan dengan darjah kebesaran Pahang terlibat dengan perbuatan yang melanggar undang-undang.

Titah baginda, semua penerima gelaran Datuk Seri dan Datuk dari Pahang sepatutnya sudah maklum akan syarat serta etika yang harus dipatuhi dalam pemakaian gelaran itu.
 
"Semua individu yang mendapat (gelaran) Datuk, telah tersurat dan tersirat dalam etika untuk (layak) memakai gelaran ini.

"Kalau hendak diikutkan hati, nak tarik semua (anugerah kebesaran negeri). Saya dukacita kalau terdapat individu yang digelar Datuk berkelakuan seperti ini," titah baginda

Baginda bertitah demikian selepas berangkat melawat mangsa kebakaran tiga buah rumah di Taman Sungai Isap Dua di sini yang hangus dijilat api dalam kejadian petang semalam.

Sebelum ini, pelakon terkenal dan penerbit filem, Datuk Farid Kamil Zahari didakwa atas empat pertuduhan iaitu menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu tugas penjawat awam, Khamis lalu.

Farid Kamil telah menerima anugerah Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) di Istana Abu Bakar, Pekan pada 16 Disember tahun lalu yang membawa gelaran Datuk.

Tengku Abdullah bertitah, jika berlaku perlanggaran etika pemakaian darjah kebesaran itu, baginda menggesa supaya jawatankuasa yang berkenaan dapat mengambil tindakan sewajarnya.

Baginda juga tidak mahu menghukum mana-mana pihak bergelar Datuk sekiranya individu terbabit melakukan kesalahan.

"Kalau (mereka) sudah sedar dan pulangkan sendiri (darjah kebesaran) itu lebih bersopan. Kita bukan hendak menghukum mana-mana pihak tetapi mereka sendiri tersilap langkah," titah baginda. #sumber
Share:

Ceramah Hina Sultan Pahang, Lagi "Laporan Polis" Terhadap Mahfuz !


PEKAN: Semakin banyak gesaan yang menuntut pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang didakwa memperlekeh dan menghina Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah sebagai bahan jenaka dalam ceramah politiknya.

Terbaharu, tujuh lagi laporan polis dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini termasuk oleh UMNO Bahagian Pekan, parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di daerah ini.


Setiausaha UMNO Bahagian Pekan, Datuk Ahmad Azmey Abu Talib yang mewakili UMNO Bahagian itu berkata, laporan berkenaan dibuat supaya tindakan segera dapat diambil terhadap Mahfuz sekali gus memberi pengajaran kepada orang ramai untuk tidak membabitkan institusi diraja dengan politik.


“Sebagai rakyat Pahang, kami berasa terhina dan tersinggung. Tindakan seperti ini perlu dikenakan tindakan,” katanya selepas membuat laporan polis berkenaan dengan diiringi kira-kira 200 penduduk di daerah ini.


Sebelum ini, video berdurasi 6.38 minit memaparkan ceramah politik Mahfuz bersama Pakatan Harapan diketuai DAP yang antara isi kandungannya membandingkan antara Sultan Pahang dengan calon Perdana Menteri sementara pakatan itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad  tular di laman media sosial.


Susulan itu, perkara tersebut mencetuskan kemarahan banyak pihak yang membuat laporan polis menggesa Mahfuz disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 serta membuat permohonan maaf. #sumber

Share:

Banjir Pahang Bertambah Buruk, 9810 Mangsa Kini Di Pindahkan !


KUANTAN: Keadaan banjir di Pahang bertambah buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan kini meningkat kepada 9,810 orang sehingga pukul 9 malam ini, yang ditempatkan di 55 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 8,800 orang petang tadi.

Menurut Portal Infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kuantan terus mencatatkan pertambahan mangsa yang dipindahkan dengan 7,797 orang di 31 PPS berbanding hanya 7,162 orang petang tadi.

"Di Dewan Orang Ramai Seri Damai terdapat seramai 156 mangsa dipindahkan di situ, Dewan Wawasan Jabatan Perairan dan Saliran, Kemunting (108), Balai Raya Kampung Paya Bungor (24), Sekolah Kebangsaan (SK) Fakeh Abdul Samad (280), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gudang Rasau (312) dan SMK Sungai Lembing (empat orang).

“SK Kampung Padang pula menempatkan 73 mangsa, SMK Pandan (921), Balai Raya Kampung Pahang (69), Dewan Orang Ramai Jaya Gading (98), Balai Raya Kampung Tiram (243), SMK Paya Besar (641),  SRJK (C) Chung Ching (540), SMK Tg Panglima Perang Tg Muhammad (26) dan SK Kempadang (67).

“Seramai 635 orang dipindahkan di Wisma Belia, Balai Raya Pasir Kemudi (dua), Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah (592), Dewan Serbaguna Panching (17), Kuarters Polis Alor Akar (40) dan Balai Raya Kampung Sungai Soi (29),” menurut portal itu.

Seramai 31 mangsa banjir turut ditempatkan di Dewan Melati Penjara Penor, 1,094 orang ditempatkan di SMK Tanah Putih, 659 orang di Dewan Sukpa, Indera Mahkota, 89 orang di SBP Integrasi Kuantan, dua mangsa di Sekolah Kebangsaan Beserah, 551 mangsa di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), 31 orang di SK Sungai Ular, 233 orang di SK Cherating, 181 orang di Dewan Maksak dan 49 orang pula di SK Sungai Talam.

Dalam pada itu, bilangan mangsa banjir yang dipindahkan di Rompin mencatatkan penurunan dengan 653 orang ditempatkan di sembilan PPS  berbanding 714 orang petang tadi.

Mereka ditempatkan di Dewan Orang Ramai Telok Gading (15), Pusat Pemindahan Banjir Kampung Setajam (178), Dewan Serbaguna Desa Wawasan Kampung Pianggu (72), SMK Pontian Jaya (82).

Di Balai Raya Kampung Sepayang pula terdapat seramai 52 orang, SK Sarang Tiong (161),  Balai Raya Kampung Mikang (lapan), Dewan Orang Ramai Leban Chondong (25) dan Balai Raya Rekoh (60).

Di Pekan, jumlah PPS yang dibuka turut meningkat kepada tujuh pusat pemindahan dengan menempatkan 1,251 mangsa berbanding hanya lima PPS pada waktu petang.

Mangsa ditempatkan di SK Merchong Jaya (528), Balai Raya Kampung Menchupu (65), Sekolah Sinar Mutiara, Sungai Miang (423), SK Temai (lima) dan PPS Kampung Pulau Manis (lima), SK Permatang Keledang (223) manakala Balai Raya Kampung Tebat (dua).

Di Jerantut, 26 mangsa banjir ditempatkan di Dewan Serbaguna Jerantut Feri, Balai Raya Kampung Besul (lapan) dan Sekolah Kebangsaan Teh (20) .

Sementara itu, di Lipis lima mangsa ditempatkan di Balai Raya Kampung Tanjung Bungor, Balai Raya Lentang (empat) dan Dewan Bukit Kota (10).

Di Bera terdapat dua PPS yang menempatkan 21 orang di SK Charuk Puting dan 15 orang di SK Kuala Triang. #sumber
Share:

Remaja Lelaki 17 Tahun Mangsa Lemas Kedua, Banjir Di Pahang !


KUANTAN: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun menjadi mangsa banjir kedua di negeri ini selepas ditemui lemas akibat  terjatuh ke dalam air di Kampung Tiram di sini tengah malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu,  Muhammad Al Asyraf  Mohamed Al Asadi dari Permatang Badak di sini dipercayai terjatuh  selepas diserang sawan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri  Rosli Abdul Rahman berkata, mangsa difahamkan ke rumah kawannya di Kampung Tiram  dan terjatuh dalam air banjir di hadapan rumah itu ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

"Kejadian  disedari  orang ramai  sejam kemudian sebelum pihak bomba  tiba di lokasi untuk mengeluarkan mangsa.. Mangsa didapati meninggal dunia akibat lemas," katanya kepada media selepas Majlis  Serah Terima Tugas di Ibu Pejabat Kontinjen Pahang, hari ini.

Dalam pada itu, Rosli mengingatkan orang ramai terutama penduduk di kawasan banjir supaya berhati-hati bagi mengelak insiden tidak diingini berlaku.

Beliau berkata, orang ramai boleh mendapatkan info terkini mengenai situasi banjir dengan menghubungi Bilik Gerakan Banjir IPK dan Ibu Pejabat Polis Daerah.

Jenazah mangsa dibawa ke Melaka untuk dikebumikan. #sumber
Share:

Orang Ramai Terkejut, Buih Putih Kunjungi Pantai Teluk Cempedak !


KUANTAN: Pengunjung Pantai Teluk Cempedak di sini hari ini, dikejutkan dengan kehadiran buih putih di persisiran pantai yang berlaku selama sejam, bermula pukul 12 tengah hari tadi.

Zarul Ikhwan Sidek, 29, berkata beliau pada mulanya melihat sebahagian kawasan bersimen di pantai itu mengandungi buih, namun tidak begitu mengendahkannya kerana beranggapan ada budak bermain buih  berhampiran.

"Bagaimanapun, saya merasakan buih semakin banyak. Semakin hampir ke pantai, baru saya perasan buih itu sebenarnya dibawa angin dan kawasan yang terlibat adalah di sepanjang pantai," katanya kepada Bernama semasa ditemui di pantai itu, hari ini.

Zarul Ikhwan berkata beliau dan beberapa rakan turut merakam gambar buih tersebut.

Sementara itu, peniaga Awi Ahmad, 60, berkata ini merupakan kali pertama beliau melihat kejadian tersebut sejak membuka kedai cenderamata di pantai berkenaan dua tahun lepas.

Namun, beliau pernah mendengar mengenai kejadian serupa berlaku di Pantai Balok dan Pantai Batu Hitam, yang terletak berhampiran Pantai Teluk Cempedak.

Katanya, semasa kejadian, beliau baru hendak memulakan perniagaan dan menyedari keadaan agak kecoh berbanding kebiasaan, memandangkan pantai itu tidak begitu dikunjungi pada waktu tengah hari.

"Saya lihat sekeliling dan ada yang menunjuk ke arah pantai...saya lihat ada yang memegang dan mencium buih itu, tapi saya tidak berani (berbuat demikian) kerana bimbang jika ia mengandungi bahan kimia," katanya.

Seorang lagi peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Liew, 50, berkata beliau tidak begitu mengambil berat mengenai buih itu kerana berpandangan ia mungkin berlaku disebabkan sisa yang ditinggalkan mereka yang bermain belon sabun di situ.


Katanya, buih itu kelihatan begitu serupa dengan buih yang dihasilkan semasa mencuci pakaian dan mempunyai sedikit bau wangi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang Rosli Zul semasa dihubungi berkata kejadian buih di pantai sekitar Kuantan pernah berlaku sebelum ini, dengan kali terakhir dilaporkan di Pantai Balok pada awal Februari 2017.

Beliau berkata untuk kejadian hari ini, masih terlalu awal untuk menentukan punca kejadian, kerana pegawainya baru sahaja diarahkan untuk mengambil sampel dan mendapatkan kenyataan mereka yang menyaksikan kejadian itu.

"Bagaimanapun, jika berdasarkan pengalaman lalu di Pantai Balok, ia dipercayai berpunca apabila ada individu membuang sisa basuhan yang mempunyai busa sabun dalam kuantiti banyak terus ke laut.

"Kita percaya ia dilakukan oleh mereka yang terlibat dalam aktiviti pembungkusan cecair pencuci kerana sampel buih yang diperoleh berbau wangi. Kejadian ini juga fenomena sementara sahaja," katanya.

Rosli menambah pihaknya juga tidak menerima aduan mengenai masalah kesihatan atau gatal daripada mereka yang memegang buih sabun di Pantai Balok pada masa itu, menyebabkan mereka berpendapat buih itu tidak mendatangkan bahaya. #sumber
Share:

Pemangku Raja Pahang Berkenan Lawat "Mangsa Banjir" Di Rompin


KUALA ROMPIN: Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota ​Tengku ​Abdullah Sultan Ahmad Shah ​berkenan ​melawat mangsa banjir di daerah ini, hari ini .

Turut berangkat Tengku Puan Pahang, Tunku  Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Baginda melawat mangsa banjir di Balai Raya Kampung Sepayang dan menyerahkan sumbangan.

​Setakat jam 12 tengahari tadi, seramai 633 mangsa daripada 168 keluarga ​di daerah Rompin berada di sembilan pusat pemindahan sementara. #sumber
Share:

JKR Pahang Perjelaskan Kelewatan Baiki "Jambatan Gantung" Pamah Aur


KUANTAN: Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang hari ini memberi penjelasan berhubung kelewatan kerja membaiki jambatan gantung Pamah Aur di Lipis, antaranya ia memerlukan tempoh tertentu atas faktor prosedur dan penilaian aspek teknikal.

Menurut sumber JKR, langkah untuk membaiki jambatan itu sebenarnya telah mula dilakukan pada tahun lepas.

“Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selaku Adun Jelai telah membuat permohonan peruntukan untuk membaiki jambatan itu pada 1 Jun 2017 dan kelulusan daripada Tabung Kumpuan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara diperoleh pada 20 Oktober 2017.

“Pada 21 Disember lalu, surat tawaran dikemukakan kepada kontaktor yang berjaya memperolehinya dan kerja dijadual bermula pada 8 Januari ini dan dijangka siap dalam tempoh 10 minggu,” katanya semasa dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rakaman seorang pelajar ketakutan untuk menyeberangi jambatan gantung Pamah Aur yang rosak dengan dibantu bapanya yang tular di laman sosial sehingga menimbulkan pelbagai reaksi netizen.

Pada petang semalam, bapa terbabit tampil memohon maaf dan menjelaskan tindakannya memuat naik rakaman itu di laman sosial supaya jambatan tersebut diganti dengan yang baharu, namun disalah erti oleh orang ramai.

Sumber JKR itu menjelaskan tempoh agak lama dari tarikh permohonan hingga tarikh kelulusan adalah bertujuan untuk mendapatkan gambaran sebenar kerosakan yang berlaku supaya proses membaiki dan kosnya dapat diketahui dengan terperinci.

“Apabila sebut harga dikeluarkan, antara 2 ke 3 minggu diperlukan untuk kontraktor berminat mengemukakan harga tawaran mereka untuk penilaian JKR. Proses menilai juga akan mengambil masa kira-kira seminggu kerana JKR perlu mencari kontraktor yang menawarkan kerja terbaik,” katanya.

Beliau menjelaskan permilihan tarikh 8 Januari untuk memulakan kerja adalah mengambil kira musim tengkujuh yang lazim melanda Pahang pada hujung tahun dan berikutan kini banjir melanda agak lewat, JKR akan memastikan kerja itu dilaksanakan sebaik sahaja keadaan mengizinkan.

Beliau juga menjelaskan jambatan itu sebenarnya pernah dibaiki beberapa kali iaitu pada 2015 dan 2017 ekoran kerosakan disebabkan banjir.

Menurutnya, terdapat jalan alternatif kerana Kampung Pamah Aur mempunyai laluan darat untuk ke bandar Kuala Lipis, dan masih ada pihak yang menyediakan kemudahan bot di laluan yang dinaiki air pada musim banjir ini. #sumber

Share:

Bilangan Mangsa Banjir Di Negeri Pahang Meningkat "4,870" Orang !


KUANTAN: Bilangan mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 4,870 mangsa daripada 1,337 keluarga sehingga jam 6.15 petang tadi.

Semua mangsa di lima daerah terlibat, Kuantan, Rompin, Pekan, Maran  dan Jerantut kini ditempatkan di 38 pusat pemindahan.

Berdasarkan laporan Info Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),  Kuantan mencatatkan bilangan mangsa tertinggi 3,931 orang daripada 1,093 keluarga yang kini ditempatkan di 24 pusat pemindahan.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding bilangan yang dicatatkan pada jam 12 tengahari iaitu 2,007 mangsa daripada 576 keluarga dan  14 pusat pemindahan dibuka.

Antara pusat pemindahan yang dibuka di daerah ini termasuk di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Besar (641 mangsa), Wisma Belia (635 mangsa)SJKC Chung Ching (527 mangsa), SMK Pandan (402 mangsa)  Sekolah Kebangsaan (SK) Fakeh Abdul Samad (267 mangsa), (SMK) Gudang Rasau ( 263 mangsa), Dewan Orang ramai Jaya Gading (199 mangsa),SMK Pandan (504 mangsa) dan Dewan Orang Ramai Seri Damai (156 mangsa).

“Manakala di daerah  Rompin, bilangan mangsa turut meningkat kepada 644 berbanding  633 mangsa sebelum ini melibatkan 171 keluarga dengan sembilan pusat pemindahan antaranya Balai Raya Kampung Setajam (178 mangsa), SK Sarang Tiong, Kuala Rompin (159 mangsa) dan SMK Pontian Jaya (82 mangsa)

“Turut terjejas beberapa kawasan di daerah Pekan apabila bilangan mangsa turut meningkat daripada 70 mangsa dari 17 keluarga yang dicatatkan pada jam 12 tengahari kepada 204 mangsa  dari 52 keluarga terjejas,”katanya.

Semua mangsa dari empat buah kampung yang terjejas di Pekan itu kini ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Merchong Jaya, Nenasi.

Sebuah lagi pusat pemindahan di buka di Jerantut menjadi dua pusat setakat ini iaitu di Dewan Serbaguna Jerantut Feri dan Balai raya Kampung Besul menempatkan 19 mangsa    daripada lima keluarga.

Sementara itu, Surau Kampung Bintang dan pusat pemindahan Kampung baru Sungai Chedong menjadi antara pusat pemindahan terawal  dibuka di daerah Maran apabila 72 mangsa dari 16 keluarga di daerah itu terpaksa dipindahkan akibat banjir. #sumber
Share:

Rosdy: Jambatan Gantung Pamah Aur Di Bina Semula Minggu Depan


JERANTUT: Isu jambatan gantung uzur di Kampung Pamah Aur dekat Lipis, yang viral sejak pagi tadi, dianggap selesai susulan penjelasan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Wan Rosdy yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran Pahang, berkata permohonan kerja baik pulih jambatan itu sudah diluluskan Jabatan Kerja Raya (JKR) pada 21 Disember lalu.

"Saya terkejut mendapat tahu mengenai rakaman klip video itu. Saya sudah berjumpa dengan individu dalam klip video iaitu Abdul Jalil Sulaiman dan beliau berpuas hati selepas mendengar penjelasan yang diberikan.

"Beliau juga meminta maaf dengan kejadian itu. Saya harap, jika ada penduduk kawasan berkenaan yang tidak berpuas hati atau mempunyai sebarang persoalan berhubung masalah di kawasan mereka, tolong datang bertemu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau penghulu atau berjumpa dengan saya sendiri," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Beliau turut berkongsi dokumen kelulusan permohonan projek baik pulih jambatan gantung terbabit melalui aplikasi WhatsApp.

Berdasarkan surat kelulusan itu, peruntukan sebanyak RM462,414,40 sudah diluluskan JKR untuk kerja baik pulih yang dijadualkan akan dimulakan pada Isnin depan.

Wan Rosdy turut memaklumkan pihak JKKK juga menyediakan bot untuk memudahkan penduduk menyeberangi sungai berkenaan.

"Saya anggap isu ini adalah salah faham antara keluarga itu dengan pihak kami... saya harap perkara ini tidak diperbesarkan... anggaplah ia sudah selesai," katanya.

Dalam klip video berdurasi satu minit dua puluh tiga saat (1:23) itu, seorang bapa bersama anaknya dilihat sedang menyeberangi sungai menggunakan jambatan gantung yang uzur untuk menghantar anaknya ke sekolah.

Difahamkan, klip video itu dirakam isteri kepada lelaki berkenaan dan mendapat perhatian daripada netizen.

Selain kecaman terhadap Kerajaan Negeri yang dilihat gagal menyediakan infrastruktur sempurna kepada penduduk, ada juga netizen mengecam tindakan ibu bapa berkenaan yang dilihat membahayakan nyawa anak sendiri. #sumber
Share:

Kes "Viral Video" Meniti Jambatan Gantung Rosak, Bapa Minta Maaf


KUALA LIPIS: Seorang bapa yang kisahnya membawa anak meniti sebuah jambatan gantung rosak di Kampung Pamah Aur, dekat sini baru-baru ini, tampil memohon maaf.

Abdul Jalil Sulaiman berkata, beliau tidak menyangka tindakannya itu menjadi viral sehingga dikongsi ratusan ribu netizen.

Katanya, selepas kejadian itu, beliau didatangi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang memaklumkan perbuatannya itu membahayakan keselamatan nyawa dirinya dan anak.

“YB (Yang Berhomat) ada memaklumkan kepada saya, sebenarnya ada jalan alternatif untuk ke sekolah itu yang dalam pembinaan, tetapi terhenti seketika kepada musim tengkujuh.

“Sehubungan itu juga, saya memohon maaf dengan kejadian itu termasuk memviralkan pasal jambatan gantung berkenaan,” katanya hari ini.

Sementara itu, menurut Wan Rosdy, berlaku salah faham dalam kejadian itu, yang mana selain jalan alternatif dalam masih dalam pembinaan, pihaknya melalui Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) ada menyediakan bot untuk mengangkut murid ke sekolah.

“Sebenarnya perkara ini salah faham. Apapun saya ucapkan terima kasih kerana kita dapat berbincang secara keluarga dengan Abdul Jalil dan saya menasihatkannya, dalam apa keadaan sekalipun, mereka perlu utamakan keselamatan.

“Kita ada jalan alternatif, tapi disebabkan sekarang ini musim banjir, jalan itu tidak boleh dilalui dan kita juga ada menyediakan bot JKKKP sebagai pilihan ibu bapa hantar anak ke sekolah,” katanya. #sumber
Share:

Terpaksa Guna Jambatan Gantung Rosak Hantar Anaknya Ke Sekolah !


KUALA LIPIS: Hari pertama persekolahan jauh berbeza buat seorang murid pra sekolah Sekolah Batu Yon, Bukit Betong di sini apabila terpaksa menyeberang jambatan gantung yang telah rosak.

Lutfil Hadi Abdul Jalil, 5, dibantu oleh bapanya Abdul Jalil Sulaiman, 41,  terpaksa menggunakan jambatan rosak itu di Kampung Pamah Aur, Bukit Kota pagi tadi ekoran jalan darat di kampung tersebut dinaiki air serta tidak boleh dilalui oleh kenderaan ringan.

Video Lutfil Hadi menyeberang jambatan rosak yang merentangi Sungai Tanum sambil dibantu bapanya tular di laman sosial Facebook  pagi tadi dan telah ditonton oleh lebih 780, 000 penonton hingga jam 1.15 tengah hari hari ini.

Ibu Lutfil Hadi, Siti Zaharah Othman, 33, berkata, anak ke empatnya begitu bersemangat untuk ke sekolah walaupun  tahu bahaya untuk menyeberang jambatan berkenaan.

Menurutnya, walaupun ada laluan alternatif lain untuk ke sekolah namun ia mengambil masa 45 minit perjalanan dengan melalui jalan Aur Gading - Padang Tengku.

"Jambatan gantung ni telah rosak sejak setahun yang lalu akibat banjir namun hingga kini masih belum dibaik pulih.

"Penduduk kampung guna laluan ini sebab lebih dekat dan boleh jimatkan masa ,"katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, hari ini.

Siti Zaharah berkata, adalah diharapkan agar pihak berkaitan mengambil tindakan segera membaik pulih jambatan itu bagi memudahkan penduduk selain memberi keselesaan kepada pelajar sekolah untuk berulang alik.

Rakaman video berdurasi dua minit itu  dibuat oleh Siti Zaharah telah  mengundang rasa takut dan simpati netizen yang menyaksikan situasi cemas Lutfil Hadi memegang tangan Abdul Jalil serta besi penghadang jambatan tersebut untuk menyeberang Sungai Tanum dengan arus air sungai deras.

Rata-rata netizen juga meminta pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera dengan membina jambatan  baharu.


Sementara itu, Exco Perumahan dan Perbandaran negeri merangkap Adun Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerja-kerja membaik pulih jambatan tersebut akan bermula pada 8 Januari ini.

Menurutnya, sejumlah RM462,000 telah diperuntukkan untuk membaik pulih jambatan berkenaan dan dijangka siap 18 Mac.

"Timbul sikit salah faham apabila tular kisah murid dan bapa berkenaan menggunakan jambatan rosak untuk ke sekolah sedangkan pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Kota ada menyediakan perkhidmatan bot untuk menyeberang.

"Saya harap mereka yang berkenaan  mendapatkan maklumat sahih tentang status jambatan terbabit dan kita sedaya upaya menyediakan kemudahan asas terbaik untuk rakyat,"katanya. #sumber
Share:

Nurul Izzah: 'Tumpaskan BN' Serta Menang Pilihan Raya Fokus Utama


KUALA LUMPUR: Menang pilihan raya untuk memastikan suara rakyat didengar dan diwakili dalam pembentukan dasar adalah fokus utama KEADILAN sekarang, kata Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar.
Menurutnya, semua parti dalam Pakatan Harapan kini turut memberikan perhatian terhadap perkara yang sama.
“Fokus penting sekarang adalah menang pilihan raya. Tiada keperluan untuk mengutamakan penamaan (calon) perdana menteri.
“Barisan Nasional menyerang kami dalam isu ini, mahu calon (perdana menteri) diumumkan.
“Tetapi fokus kita adalah memuktamadkan kerusi bagi memastikan kita merampas kuasa untuk mewakili rakyat dan melaksanakan perubahan,” katanya, lapor The Malaysian Insight.
Nurul Izzah berkata senarai akhir pembahagian kerusi yang akan ditandingi Harapan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
“Saya pemimpin yang komited kepada Pakatan Harapan. Saya memang mahu kita putuskan semuanya secara tertutup.”
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut menafikan desas desus yang KEADILAN membantah pencalonan Pengerusi Parti Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri Harapan.
“Setakat yang saya tahu, kami masih tak sahkan apa-apa cadangan (calon perdana menteri) sudah dibuat,” katanya. #sumber
Share:

Shamsul: Felda Telah Di Khianati Oleh Sang Tetamu Yang Mencuri !


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu memberi jaminan bahawa skandal terbaru yang membelenggu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan disiasat dengan telus tanpa campur tangan politik.


Naib Presiden KEADILAN, Shamsul Iskandar Mad Akin membuat seruan itu kerana badan berkanun tersebut yang sepatutnya membela nasib peneroka-peneroka kini terus menjadi mangsa kepada personaliti yang dilantik secara politik untuk menguruskannya sebelum ini.
“Justeru, saya ingin menegaskan di sini bahawa tiada jalan penyelesaian bagi kes kehilangan tanah Felda selain pendakwaan dikenakan terhadap dalang dan perancang utama.
“Najib Razak perlu memberikan jaminan tiada campur tangan politik akan berlaku demi memastikan pendakwaan akhirnya akan dikenakan kepada dalang di sebalik kehilangan tanah Felda tersebut,” kata Shamsul dalam kenyataan.
Media sebelum ini melaporkan Felda bakal kehilangan hak milik tanah bernilai RM270 juta di Jalan Semarak akibat urusniaga pada 2015 yang didakwa “meragukan”.
Penilai bebas menganggarkan harga pasaran tanah tersebut sekarang bernilai RM1 bilion.
Tanah itu sedang dimajukan sebagai sebahagian daripada projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) melibatkan tujuh menara – termasuk sebuah menara Felda, bangunan 68 tingkat merangkumi 59 tingkat ruang pejabat dan tempat pendaratan helikopter.
Dalam kenyataan yang sama, Shamsul menyifatkan Felda seperti seorang tuan rumah yang dikhianati tetamunya.
“Kehilangan tanah Felda di Jalan Semarak ini merupakan rompakan yang berlaku di depan mata.
“Malang buat Felda kerana orang yang dijemput sebagai tetamu masuk ke dalam rumahnya dengan memberikan segala kepercayaan kepada tetamunya akhirnya membiarkan rumahnya tergadai akibat dicuri oleh tetamunya,” kata Ahli Parlimen Bukit Katil itu.
Skandal terbaru Felda ini didedahkan media sewaktu skandal pembelian hotel oleh entiti itu belum pun lagi diselesaikan.
Seperti skandal sebelum ini, skandal terbaru ini berlaku sewaktu Felda dikepalai Tan Sri Isa Samad, bekas naib presiden Umno yang terpaksa melepaskan jawatan di dalam parti selepas disabitkan kes politik wang semasa pemilihan parti.
Isa adalah pengerusi Felda dari 2011 hingga Januari 2017 selain merupakan bekas pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dan bekas Pengerusi Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC). #sumber
Share:

Kejayaan PPBM Tembusi Kawasan Felda, Berikan Harapan Pada PKR !

KUANTAN: Timbalan Pengarah Operasi pilihan raya PKR Pahang yakin akan kemampuan Pakatan Harapan meraih sokongan pengundi di penempatan Felda di negeri ini.
Lee Chean Hung memberi 2 sebab mengapa beliau yakin: keanggotaan PPBM dalam PH dan ketidakpuasan dalam kalangan warga Felda atas kemiskinan mereka.
Beliau berkata PPBM menunjukkan mereka mampu menembusi estet Felda.
Beliau mendakwa pemerhatiannya mengesahkan keyakinan ramai pemerhati bahawa PPBM mampu membina pengaruh di beberapa kawasan Felda yang tidak dapat ditembusi parti pembangkang sebelum ini.
Mengenai ketidakpuasan di penempatan, beliau berkata sebab utama ialah kekurangan pekerjaan dan peluang, terutamanya untuk generasi ketiga warga Felda.
“Oleh kerana itu, jenayah menular di banyak penempatan Felda di Pahang,” tambahnya.
Bagaimanapun, Roslan Md Isa, Pengerusi Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsan yang berkaitan PAS, memberi gambaran berbeza.
Beliau bersetuju kesetiaan warga Felda kepada BN mungkin tidak sekuat dahulu, tetapi tidak bermakna mereka akan mengundi PPBM.
“Insya Allah, mereka tidak lagi akan bersama UMNO dan BN, dan mereka juga tidak akan bersama pasukan Dr Mahathir Mohamad,” katanya merujuk kepada pengerusi PPBM.
Roslan akui penceramah PPBM mampu menarik hadirin yang ramai di estet-estet Felda, tetapi sebahagian besarnya kerana perasaan ingin tahu warga Felda.
Beliau berkata PPBM sebagai sebuah parti baharu tidak mempunyai jaringan akar umbi yang kuat.
Beliau mendakwa masalah Felda berakar semasa pentadbiran Dr Mahathir dan mendakwa warga Felda generasi kedua menyedari perkara itu.
“PPBM boleh kata apa sahaja yang mereka mahu sekarang ini,” katanya. “Hakikatnya kita akan tahu pada hari pengundian nanti.”
Dua belas daripada 14 kawasan Parlimen Pahang menempatkan penempatan Felda.
Hanya 2 kawasan yang tidak ada penempatan Felda iaitu Kuantan dan Indera Mahkota, di mana kedua-duanya dimenangi PKR pada pilihan raya umum lepas.
Baru-baru ini, Ketua Amanah Jempol Abdul Rahman Ramli, mengatakan dirinya mewakili warga Felda, mendakwa pengurusan Felda “gagal” mentadbir estet-estetnya.
Rahman menyertai penyerahan memorandum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa agensi itu menyiasat bagaimana hak milik tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur dilaporkan diambil alih oleh pihak swasta. #sumber
Share:

Tun Mahathir Sahkan Beliau Akan Tanding Pilihan Raya Umum Ke-14

SHAH ALAM: Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 akan datang.
Menurut Dr Mahathir, beliau kemungkinan akan bertanding di kerusi Parlimen Langkawi, Kubang Pasu atau Putrajaya.
“Mereka memberitahu saya bahawa saya berpeluang untuk menang di Langkawi, Kubang Pasu dan Putrajaya. Jadi, bersedialah,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC) di tepian mesyuarat agung PPBM pertama hari ini.
Dr Mahathir juga tidak mempunyai sebarang masalah untuk dilantik perdana menteri sementara. Beliau pernah menjadi Perdana Menteri dari 1981 sehingga 2003.
“Semua Perdana Menteri adalah sementara, semua diberikan masa selama 5 tahun, kadang-kala kurang sikit. Tetapi kalau mati, susah sikit,” katanya.
Dr Mahathir turut menepis kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan yang menganggap pelantikan Perdana Menteri “sementara” sebagai amalan tidak sihat dan tidak berperlembagaan.
“Siapa peduli PAS?” kata Dr Mahathir menjawab soalan pemberita.
Pada masa sama Dr Mahathir menjelaskan tindakan memohon maaf atas segala kesilapan dan kelakuannya sejak menyertai politik adalah adat orang Melayu.
“Kerana kita tidak tahu yang mana kita salah. Itu adat. Sebagai orang Melayu kita perlu rendah diri.
“Kemungkinan perkara yang kita lakukan itu salah pada pandangan orang, itu sahaja. Saya minta maaf sejak dari berkecimpung dalam politik sejak 1945,” katanya. #sumber
Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.