script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Pelan Integriti Nasional Malaysia Baharu, Pulihkan Indeks Persepsi Rasuah


KUALA LUMPUR: Sebuah pelan integriti nasional perlu digubal bagi memulihkan Malaysia daripada ‘negara kleptokrasi global’ kepada negara yang berintegriti dalam tempoh 10 tahun cadang tokoh veteran DAP, Lim Kit Siang.
Menurutnya pelaksanaan cadangan tersebut bertujuan untuk memastikan kedudukan prestasi Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bertambah baik bagi tahun-tahun akan datang.
“Di bawah kepemimpinan Barisan Nasional (BN), negara terjebak dalam pelbagai skandal rasuah dan salah guna kuasa.
“Pada tahun 2017,  CPI Malaysia berada di kedudukan terburuknya dalam tempoh 23 tahun, jatuh ke tangga 62 daripada 180 negara,” katanya dalam kenyataan.
Keadaan itu ujarnya merupakan antara faktor menyebabkan BN yang telah memerintah sejak 61 tahun akhirnya tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Bagi mencapai hasrat untuk mewujudkan pelan tersebut, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata ia perlu bentang, dibahaskan dan diterima pakai oleh Parlimen.
Beliau pada masa yang sama menambah, bagi memperbaiki kedudukan negara, skandal 1MDB dan skandal-skandal rasuah yang lain haruslah disiasat.
“Yang terpenting, kita mesti memperkenalkan pembaharuan struktur dan institusi serta perubahan minda dalam seluruh masyarakat supaya kita mempunyai toleransi sifar terhadap rasuah,” katanya lagi. #sumber
Share:

Asyraf Wajdi Dusuki Umum Akan Bertanding Ketua Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menawarkan diri untuk bertanding sebagai Ketua Pemuda UMNO.

Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, membuat keputusan itu selepas mengambil kira lima agenda perubahan.

"Lima agenda utama harus difokuskan untuk memaknakan perubahan ini, iaitu pengkaderan (pembentukan karakter), pentarbiyahan, pemantapan ilmu, pengukuhan jati diri, dan pemerkasaan rohani.


"Berpandukan lima agenda inilah, dengan penuh rasa keinsafan, amanah dan tanggungjawab saya menawarkan diri sebagai calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya hari ini.

Ujarnya, ujian yang melanda UMNO kini merupakan satu isyarat Allah agar setiap pendokong parti benar-benar menjiwai makna perjuangan sejati.

"Sekiranya perjuangan untuk mengejar pangkat dan kebendaan, hakikatnya pangkat dan kebendaan sudah tiada. Yang tinggal hari ini hanyalah sisa-sisa perjuangan yang menagih kesetiaan dan keikhlasan setiap warga untuk melakukan perubahan dalam parti," katanya lagi.

Ujar beliau, perubahan dalam UMNO harus bermula dengan pembangunan generasi muda sebagai pewaris perjuangan.

"Pemuda perlu disuntik dengan idealisme, roh dan semangat pengorbanan berteraskan prinsip Islam sejati, sebagaimana perjuangan UMNO sejak awal penubuhannya," ujar beliau. 

Majlis Tertinggi UMNO sebelum ini menetapkan tarikh persidangan tahunan Cawangan UMNO dan Pergerakan Wanita, Pemuda serta Puteri UMNO dimulakan pada 19 Mei 2018  sehingga 10 Jun 2018.

Mesyuarat UMNO di peringkat bahagian pula ditetapkan pada 30 Jun 2018 dan kesemua persidangan ini dijalankan secara serentak dengan pemilihan parti di semua peringkat. #sumber


Share:

Dua Orang Fasilitator Maut Akibat Terlibat 'Kemalangan' Di Kelantan


MACHANG: Dua fasilitator yang dalam perjalanan untuk menyampaikan ceramah di Pejabat Pendidikan Daerah Tanah Merah maut dalam satu kemalangan melibatkan sebuah lori dan sebuah kereta di Kilometer 43 Jalan Kuala Krai-Kota Bharu di sini pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 8.45 pagi itu, mangsa, Eddie Mustakim Busu, 37, dan Nor Hasmini Ismail, 32, cedera parah dan maut di tempat kejadian.


Sementara itu, seorang lagi mangsa, Zulhairi Salamat, 25, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan menerima rawatan di Hospital Machang.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Dzulkifli Abdul Ghani ketika dihubungi memaklumkan semasa kejadian, kereta jenis Perodua Viva yang dinaiki mangsa dari arah Kuala Krai menghala Kota Bharu itu dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu.

Katanya, mangsa yang maut merupakan penumpang hadapan dan belakang kereta manakala pemandunya pula mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. #sumber
Share:

ASLI: Penangguhan Janji Pakatan Harapan Lindungi Integriti Bajet


KUALA LUMPUR: Penangguhan pelaksanaan lima janji-janji manifesto Pakatan Harapan (PH) akan melindungi integriti defisit bajet dan mengawalnya kepada sasaran 2.8 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Pengerusi Pusat Kajian Dasar Awam Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) Tan Sri Ramon Navaratnam berkata bajet perlu dilaksanakan secara pragmatik bagi mencerminkan realiti semasa ekonomi dan kewangan yang termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan berkadar sifar yang mengurangkan hasil bajet.

"Pengurusan hutang akan semakin bertambah baik dengan penangguhan lima janji-janji ini.

"Anggaran hutang RM1 trilion kini akan lebih mudah diuruskan mengikut standard kewangan antarabangsa, termasuk Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa," katanya kepada Bernama.

Pada Khamis, kerajaan Pakatan Harapan memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan lima inisiatif yang terkandung dalam manifesto pilihan raya '10 janji dalam tempoh 100 hari' sehingga keadaan kewangan negara pulih. #sumber
Share:

Seluruh Rakyat Malaysia Menanti "Janji 100 Hari", Pakatan Harapan


LEBIH dua minggu Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berlalu dan tumpuan rakyat masih terarah kepada komitmen Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji dalam tempoh 100 hari seperti termeterai dalam manifesto 'Membina Negara, Memenuhi Harapan' dibentangkan mereka.
Janji atau tawaran 100 hari PH pasti dinanti-nantikan rakyat, antaranya mahu mewujudkan suruhanjaya dan jawatankuasa untuk menyiasat dan menangani isu menimbulkan kontroversi.
Antara isu paling kontroversi ialah 1Malaysia Development Berhad (1MDB), manakala isu yang dekat dengan rakyat ialah menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta mengurangkan kos sara hidup menerusi pelbagai inisiatif peduli rakyat.
Selain itu, janji mengembalikan status Sabah dan Sarawak berteraskan Perjanjian Malaysia 1963, menstabilkan harga minyak dan memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar, menyamaratakan gaji minimum seluruh negara dan seterusnya memulakan proses meningkatkan gaji minimum.
PH juga menyenaraikan penghapusan hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka FELDA dan memperkenalkan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah.
Tumpuan juga terarah kepada janji penangguhan pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada semua peminjam bergaji kurang RM4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam.
Skim Peduli Sihat
Dari aspek kebajikan pula, kerajaan bertekad memperkenalkan Skim Peduli Sihat dengan memberi RM500 pembiayaan untuk rawatan asas di klinik swasta berdaftar untuk golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40).
Itu sebahagian janji manifesto PH untuk menghadapi PRU-14 lalu dan pastinya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan jemaah menterinya bekerja keras merealisasikan janji berkenaan.
Namun kelmarin, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan kerajaan PH memutuskan untuk menangguhkan sementara beberapa inisiatif 'Janji 100 hari' sehingga keadaan kewangan negara bertambah baik.
Antara inisiatif akan ditangguhkan ialah subsidi petrol bersasar bagi kereta bawah 1300cc dan motosikal bawah 125cc, skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah, peningkatan gaji minimum, penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN untuk peminjam bergaji kurang RM4,000 sebulan dan Skim Peduli Sihat.
"Jika keadaan kewangan negara bertambah baik dalam tempoh 100 hari, kita akan laksanakan tetapi jika tidak, kita akan tunggu sehingga ia baik," kata Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP.
Kerajaan PH mengekalkan harga petrol RON95 dan diesel pada harga semasa, masing-masing RM2.20 dan RM2.18 seliter, manakala harga RON97 akan ditetap berdasarkan harga pasaran dan disemak secara mingguan setiap Khamis bermula 7 Jun ini.
Bagi cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang akan menggantikan GST, Rang Undang-undang Cukai Jualan 2018 dan Rang Undang-undang Cukai Perkhidmatan 2018 akan dibentangkan di Dewan Rakyat sebaik selesai Perbahasan Titah Ucapan Diraja pada sidang Parlimen akan datang.
Pembangkang pantau janji
UMNO yang kini menjadi pembangkang, memainkan peranan memantau semua janji disenaraikan parti lawan. Baru-baru ini, Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membidas komitmen Kerajaan PH yang diibaratkan seperti tempe kerana tidak konsisten dalam memberikan fakta.
Isu ini tentu akan terus dimainkan di media sosial, apatah lagi kerajaan PH mengamalkan pendekatan terbuka dan tidak mengongkong media.
Ini terbukti menerusi pengumuman Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo bahawa Akta Antiberita Tidak Benar diwartakan pada April lalu, akan dibentangkan di Parlimen bulan depan untuk dimansuhkan.
Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah, ketika sesi Bicara Pasca PRU-14 di Persada Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM ), Bangi pula memberi jaminan kerajaan PH diterajui Dr Mahathir komited melaksanakan janji 100 harinya.
"Menteri terbabit akan mencari mekanisme terbaik melaksanakan apa juga dasar yang terkandung dalam manifesto 100 hari kerajaan PH. Insya-Allah ia pasti dlaksanakan," kata Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota.
Dalam PRU-14, PH diketuai Dr Mahathir menumbangkan BN yang berkuasa selama enam dekad. Dr Mahathir, 92, juga mencipta sejarah menjadi Perdana Menteri paling tua di dunia, selain mengetuai pentadbiran Malaysia buat kali kedua selepas kali pertama pada 1981 hingga 2003.
Sementara itu, EXCO Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan pada program sama, menekankan aspek 'euforia' atau keseronokan keterlaluan meraikan kejayaan menumbangkan BN sepatutnya tidak menjadikan Kerajaan PH lupa janji 100 hari kepada rakyat.
Katanya, masyarakat sama ada penyokong PH atau BN sentiasa menilai dan memerhati apa juga tindakan dilakukan kerajaan baharu, sama ada menunaikan janji atau sebaliknya.
BN pula, katanya akan menjalankan peranan sebagai pembangkang menerusi prinsip 'check and balance' (semak dan imbang) untuk memastikan apa juga dasar dilaksanakan, mengambil kira kepentingan rakyat dan negara. #sumber
Share:

Hutang Negara, Najib Tegur Guan Eng Berikan Angka Mengelirukan


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak membidas kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang didakwa terus memberikan angka tidak tepat berkaitan hutang negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kos projek mega Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR).
Bekas Perdana Menteri itu berkata, Guan Eng wajar memberikan angka yang tepat kerana pasaran kewangan amat bergantung kepadanya dalam membuat keputusan selain bagi mengelak rakyat keliru.
Beliau mendakwa sejak minggu lalu, Menteri Kewangan itu berterusan memetik pelbagai angka tidak tepat dan berbaur politik.

Awalnya, beliau mengejutkan pasaran saham dengan menyatakan hutang negara berjumlah RM1 trilion tanpa memberikan penjelasan. Hanya selepas dipersoal pelbagai pihak termasuk saya, dia akhirnya memberi penjelasan bahawa hutang rasmi negara kekal RM686.8 bilion atau 50.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
"Angka 50.8 peratus ini juga paling rendah dalam tempoh 10 tahun ini dan jauh lebih rendah daripada 103.4 peratus yang dicapai pada masa lalu di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Akibat kenyataan yang tidak sepatutnya itu, membawa kepada kejatuhan bursa saham minggu ini, selama 18 hari berturut-turut aliran keluar modal asing," katanya dalam catatan terbaru di Facebook rasminya, hari ini.
Najib berkata Guan Eng juga bertegas bahawa projek HSR antara Malaysia-Singapura yang kini dibatalkan membabitkan kos RM110 bilion walaupun kerajaan Singapura dan Malaysia sebelum ini menganggarkan kos maksimumnya RM72 bilon termasuk kos pengambilan tanah.
"Beliau (Guan Eng) mendakwa peningkatan angka RM110 bilion ini termasuk kos kadar faedah. Bagaimana dia boleh memberikan angka tidak jelas ini sedangkan tender antarabangsa ini memerlukan pihak terbabit mengemukakan cadangan pakej kewangan hanya ditutup pada Disember 2018.
"Dalam perbincangan sebelum ini, semua pihak yang mengambil bahagian dalam projek ini pada awalnya menyatakan mereka boleh mencadangkan pakej kewangan dengan faedah rendah, malah tanpa faedah seperti ditawarkan kepada India," katanya.
Najib berkata, Kementerian Kewangan juga terus mengabaikan permintaan pelbagai pihak supaya mendedahkan kajian kebolehlaksanaan dan ekonomi untuk projek HSR.
"Demi ketelusan, laporan ini harus didedahkan kepada orang ramai untuk menentukan sama ada kepentingan terbaik Malaysia tercapai dengan membatalkan projek berkenaan," katanya.
Najib juga berkata semalam Guan Eng mendakwa hutang semasa 1MDB adalah RM50 bilion termasuk faedah, yang jauh lebih tinggi daripada RM30 bilion dan RM38 bilion diyatakan minggu lalu.
"Menteri Kewangan sepatutnya menjelaskan hutang ini disokong oleh aset yang boleh bernilai sehingga RM30 bilion atau AS$3.5 bilion (RM14 bilion) daripada hutang ini dijamin oleh kerajaan asing. Ia juga tertakluk perundingan sebagai sebahagian daripada perjanjian penyelesaian," katanya.
Menurut Najib, kerajaan Pakatan Harapan juga sepatutnya memastikan pelan rasionalisasi 1MDB diteruskan selain asetnya perlu ditingkatkan dan dicairkan untuk melunaskan hutang berbanding menjadikannya modal politik.
Katanya, beberapa bulan lalu Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) melaporkan di bawah kerajaan BN, Malaysia mampu mencapai negara berpendapatan tinggi dalam masa tiga tahun.
"PH perlu memastikan sasaran ini dicapai. Pilihan raya sudah berakhir. Fokus sepatutnya adalah untuk melindungi pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan dan kestabilan kewangan negara, bukannya bermain politik untuk memberi alasan tidak menyampaikan manifesto PH dalam tempoh dijanjikan," katanya. #sumber
Share:

Kes "SRC International", Rosmah Akan "Di Soal SPRM" Pada Selasa


PETALING JAYA: Datin Seri Rosmah Mansor, isteri kepada bekas Perdana Menteri, akan disoal oleh penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada Selasa.

Sesi itu sebahagian daripada siasatan ke atas SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB, dan aliran wang sebanyak RM42 juta yang melalui satu akaun bank atas nama suaminya, Datuk Seri Najib Razak, pada 2012.

“Ya, dia diminta untuk ke ibu pejabat di Putrajaya pada 11.00 pagi Selasa,” kata sumber.

Najib disoal SPRM mengenai SRC International 2 minggu lalu. Dia kemudian disoal lagi oleh SPRM selama 7 jam 2 hari kemudian.

Najib pada 2016 menafikan sebarang salahlaku dan menafikan duit dimasukkan ke akaun banknya.

SRC International sekarang diletakkan secara terus bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan), yang turut memiliki 1MDB, syarikat cetusan idea Najib semasa menjadi perdana menteri dan menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB. #sumber
Share:

Rani Kulup Lapor Polis Terhadap 'Ugutan Bunuh' Tun Dr Mahathir


KUALA LUMPUR: Tujuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis menggesa tindakan diambil terhadap individu dipercayai membuat ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di laman sosial Facebook (FB).

Laporan polis tersebut dibuat wakil NGO diketuai Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi tengah hari tadi.

Rani berkata perbuatan pemilik akaun FB menggunakan nama “Ayahanda Fadzley Mohd Yusof” itu jelas menggambarkan perbuatan tidak bertanggungjawab yang mengaitkan persatuan NGO dalam ugutan itu.

NGO lain ialah Kesatuan Melayu Nasional, Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (Irimm), Akhlak Rahsia Cekal (ARC), Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (PERMAS), Refomis dan Kipidap.

“Semalam, dalam satu kenyataan di FB, sekumpulan netizen tersebut mengugut mahu menembak Tun (Dr Mahathir), selain menyatakan hampir 2,000 ahli persatuan NGO seperti Persatuan Ayahanda akan berhimpun di Dataran Merdeka sebagai satu protes menentang kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Saya mewakili NGO lain ingin menegaskan kami tidak terbabit seperti dakwaan individu itu. Kami menyokong sepenuhnya kerajaan semasa kerana negara kita merupakan negara berdemokrasi dan setiap keputusan adalah pilihan rakyat sendiri, jadi hormati keputusan itu,” katanya.

Rani berkata pihaknya berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat perkara itu dan mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit, bagi membendung gejala yang boleh menjejaskan keharmonian negara ini. #sumber
Share:

Muhyiddin: Malaysia Akan Minta Bantuan Indonesia "Buru" Jamal Yunos !


KAJANG: Polis Malaysia akan bekerjasama dengan polis Indonesia untuk memburu Ketua UMNO Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos yang dikatakan sekarang berada di negara jiran itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri dalam negeri itu juga menolak rayuan meminta perlindungan daripada Jamal.

“Nak berlindung apa? Dia tahu dia buat salah, lepas itu dia lari. Apa pun kalau ada apa-apa kesalahan yang beliau lakukan, saya serah kepada pihak berkuasa.


“Jika dia bersalah, biar dia diambil tindakan dan dihukum dengan undang-undang sesuai,” katanya sewaktu ditemui di program bersama Jabatan Penjara Malaysia hari ini.

Semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata pihaknya akan memohon waran tangkap dan mengesan Jamal.

Fadzil berkata, Jamal masih mempunyai baki 6 kes yang disiasat selain 3 kes yang sudah dituduh terhadapnya di Hospital Ampang Putri pada 25 Mei lalu.

Jamal dalam rakaman video berdurasi selama lebih 7 minit memohon perlindungan dari Muhyiddin supaya tidak dizalimi.

Jamal berkata, antara sebab beliau gagal tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang Jaya kerana bimbangkan keselamatan dirinya.

“Saya bimbang daripada semalam hinggalah malam tadi rumah saya dipecah, diserbu polis, kediaman ibu saya dan rakan-rakan. Ini yang membimbangkan saya untuk hadir hari ini ke IPD Ampang,” kata Jamal.

Sementara itu, Muhyiddin berkata kementerian akan melakukan semakan ke atas status penduduk tetap penceramah kontroversi, Zakir Naik.

“Saya belum lagi diberi maklumat terkini tentang perkara itu,” katanya ringkas. #sumber
Share:

Universiti Malaysia Pahang (UMP) "Teruskan" Program Latihan ECRL


KUALA LUMPUR: Program Latihan Kemahiran Industri Laluan Rel Pantai Timur (PLKI-ECRL) yang dilancarkan tahun lalu, masih diteruskan walaupun terdapat cadangan kerajaan akan mengkaji semula pelaksanaan projek pembinaan landasan itu.

Pengarah Akademi Industri Rel Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr Fadzil Mat Yahaya berkata, setakat ini, pengambilan pelatih bagi pengajian lepasan diploma dan ijazah serta sijil kemahiran turut diteruskan mengikut jadual ditetapkan.

Menurutnya, sejak dilaksanakan tahun lepas, pihaknya menjalankan 2 sesi pengambilan untuk pemegang ijazah dan diploma serta sijil yang membabitkan 400 pelatih.

“Malah, seramai 49 orang turut diserap bekerja dengan Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan China Communication Construction Company Ltd (CCCC) yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan projek ECRL itu.

“Seramai 130 orang dijangka melapor diri bekerja bulan ini dengan pengambilan berikutnya pada awal Julai yang melibatkan 80 penuntut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

UMP menyasarkan pengambilan 700 pelatih tahun ini.

Program PLKI-ECRL diwujudkan dengan matlamat melatih 3,600 tenaga mahir merangkumi peningkatan kemahiran sedia ada dan baharu berkaitan bidang rel dan teknologi kereta api.

UMP dilantik sebagai universiti Fokal bagi program latihan 3 bulan dengan silibus pengajian dirangka bersama universiti itu dengan pihak MRL dan CCCC.

“Pemegang diploma dan ijazah yang mengikuti program latihan ini memiliki kelebihan berbanding penuntut lain. Ini disebabkan mereka mempunyai kemahiran khusus dalam bidang rel dan teknologi kereta api yang tidak diajar di mana-mana institusi pengajian tinggi di negara ini, selain aspek komunikasi dan operasi.

“Pelatih sijil kemahiran pula mendapat ‘bonus’ sewaktu program itu apabila turut dilatih mengendalikan jentera berat. Kemahiran sedemikian amat berharga dalam mana-mana bidang pembinaan.”

Siswazah bidang kejuteraan awam Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL) Mohd Johanfaqar Mohd Zain, 26, berpendapat amat merugikan jika kerajaan membuat keputusan menghentikan projek ECRL yang disifatkannya “lubuk peluang pekerjaan” untuk rakyat Malaysia, terutama siswazah sepertinya.

“Ramai rakan saya yang masih menganggur. Oleh itu, dengan adanya projek berskala besar seperti ini, ia memberi harapan untuk kami, khususnya siswazah serta anak-anak tempatan untuk mendapat kerja.

“Amat sayang jika projek ini dihentikan kerana rakyat di Pantai Timur sendiri turut mengharapkan satu projek kemudahan awam yang dapat memacu ekonomi wilayah itu setanding pertumbuhan ekonomi di Pantai Barat.”

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dapat mencari jalan terbaik mengurangkan kos pembinaan ECRL daripada membatalkannya.

Pandangan beliau turut dikongsi siswazah UMP, Nurul Haziqah Jabar, 24, yang kini bertugas di Tapak Seksyen 4 (Dungun) dan menyifatkan projek itu sebagai medium melahirkan lebih ramai tenaga mahir tempatan dalam bidang rel dan teknologi kereta api.

“Sepanjang tempoh menjalani latihan kerja ini, kami mendapat banyak pendedahan dalam bidang rel dan teknologi yang tidak diajar di mana-mana universiti tempatan kerana ini adalah teknologi baharu dari China.

“Oleh itu, rugi jika projek ini dibatalkan. Namun saya yakin kerajaan juga bijak membuat pertimbangan sewajarnya untuk rakyat,” katanya. #sumber
Share:

Mahkamah Keluar Waran Tangkap 'Jamal Yunos' Kerana Larikan Diri !


PETALING JAYA: Polis hari ini mendapat waran tangkap terhadap Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos atas kesalahan melarikan diri daripada tahanan sah minggu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, waran tangkap itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Ampang selepas polis memberi masa secukupnya kepada Jamal untuk menyerah diri di balai polis bagi membantu siasatan beberapa kes.

“Pihak polis telahpun memohon untuk mendapatkan waran tangkap terhadap beliau atas kesalahan di bawah Seksyen 244 Kanun Keseksaan, iaitu melarikan diri daripada tahanan sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fuzi turut meminta orang ramai menyalurkan sebarang maklumat mengenai Jamal di balai polis berdekatan.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia untuk memburu Jamal yang dikatakan melarikan diri ke negara jiran itu.

Beliau turut menolak rayuan Jamal meminta perlindungan daripada polis.

Rabu lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat berkata, polis masih menyiasat baki 6 kes berkaitan Jamal, selain pendakwaan 3 kes lain yang dibuat di Hospital Pakar Ampang Puteri, 25 Mei lalu.

Dalam satu rakaman video lebih 7 minit, Jamal memohon Muhyiddin memberi perlindungan kepadanya.

Katanya, antara sebab beliau gagal tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya kerana bimbang dengan keselamatan dirinya. #sumber
Share:

Nurul Izzah Nafi Letakkan Jawatan Untuk Beri Laluan Kepada Anwar !


KUALA LUMPUR: Nurul Izzah Anwar menafikan laporan sebuah portal kononnya beliau akan meletak jawatan ahli Parlimen Permatang Pauh untuk membolehkan pilihan raya kecil diadakan bagi memberi laluan kepada bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bertanding di kawasan itu.

Nurul Izzah, yang merupakan Naib Presiden PKR berkata laporan itu berita palsu dan ia tidak sedikit pun menggangu tugasnya sebagai wakil rakyat sejak dipilih pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas.

“Satu berita palsu yang sangat jelas dan nyata. Jangan dilayan berita palsu ini. Jika ayah saya kembali ke dunia politik, beliau pasti akan menganjurkan sidang akhbar sendiri untuk umumkan perkara tersebut.

“Saya ada tugas untuk rakyat Permatang Pauh. Hari ini saya berbincang mengenai program banteras gejala dadah. Esok sampai Ahad saya akan ke sana untuk program pasca banjir dan urusan berkaitan rumah pam,” katanya ketika ditemui Bernama sewaktu menjadi tetamu program “The Nation” terbitan Bernama News Channel hari ini.

Sebuah portal hari ini, kononnya memetik sumber dalaman PKR, mendakwa Nurul Izzah akan mengundur diri bagi membolehkan Anwar bertanding dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh dan pilihan raya kecil diadakan selepas Aidilfitri. (http://suara.tv/01/06/2018/anwar-bakal-bertanding-selepas-aidilfitri-kata-sumber-pkr/#)

Pada PRU14, Nurul Izzah mengekalkan penguasaan PKR di Parlimen Permatang Pauh sejak 1998 apabila menang dengan majoriti 15,668 undi selepas memperoleh 35,534 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Zaidi Mohd Said (19,866 undi) dan Afnan Hamimi Taib Azamudden daripada PAS (14,428 undi).

Pada 16 Mei lepas, Anwar, juga ketua umum PKR, diberikan pembebasan serta-merta selepas mendapat perkenan pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Ketua Umum PKR itu menjalani hukuman penjara 5 tahun selepas disabitkan dengan kesalahan meliwat. #sumber
Share:

Tengku Abdullah Perkenan Lantik Dua Lagi "Exco" Kerajaan Pahang


BATU PAPAN: Kerajaan Negeri Pahang akan melantik dua lagi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) selepas Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail jawatan itu daripada empat portfolio yang dipegangnya pada masa ini.

Pelantikan tambahan Exco itu akan menjadikan seramai 10 Exco di negeri ini selaras dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenaan melantik dua lagi exco di negeri dalam tempoh terdekat.

“Setelah mendengar hujah dan nasihat Menteri Besar (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) kita akan adakan upacara angkat sumpah dalam masa terdekat ini.

“Hendak tahu siapa... kena tanya menteri besar,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa dan Pengurniaan Sumbangan di Masjid Kampung Batu Papan di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Sementara itu, Wan Rosdy memberitahu, pihaknya akan memaklumkan dua calon berkenaan dalam tempoh terdekat.

“Pemangku Raja sudah berkenan dan, jadi harap dapat bersabar insya-ALLAH mungkin dalam minggu ini atau selepas ini.

“Bila ada pelantikan baharu saya akan lepaskan dua portfolio sebab sekarang saya ada empat portfolio. Jadi saya akan lebih fokus untuk  memberi perkhidmatan yang lebih efisien kepada negeri,” katanya.

Kerajaan negeri kini dibarisi lapan exco dan Wan Rosdy memegang empat portfolio iaitu Jawatankuasa Perancangan, Kewangan, Tanah dan Sumber Asli; Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian dan Ekonomi; Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli dan Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perladangan dan Bioteknologi.

Difahamkan dua Adun yang disebut-sebut bakal dilantik sebagai exco baharu ialah Adun Benta yang juga bekas Exco Kemudahan Asas dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abdul Razak dan Adun Batu Talam, Datuk Abdul Aziz Mat Kiram. #sumber
Share:

Bekas ADUN BN Dan Calon Bebas DUN Mentakab Umum Sertai PKR


TEMERLOH: Bekas calon Bebas DUN Mentakab, Datuk Chuah Boon Seong antara mereka yang menyerahkan borang keahlian PKR secara rasmi, kelmarin.

Boon Seong sudah menyatakan keputusannya menyertai parti tersebut sebelum ini, dan antara 115 individu yang menyerahkan borang keahlian.

Pada majlis sama turut menyaksikan penubuhan lima ranting PKR di bawah Cabang Temerloh iaitu Taman Bukit Bendera, Taman Bukit Bendera  Intan, Pusat Bandar Mentakab, Kawasan Perindustrian Mentakab dan kawasan Starmall.

Menurutnya, tindakan beliau menyertai parti tersebut kerana situasi politik yang melanda di negara ini.

Menyifatkan parti itu lebih sesuai dengan merangkumi semua kaum, beliau yang turut dilantik Ketua Ranting Taman Bukit Bendera Intan akan terus berjuang membela kepentingan rakyat.

“Saya dan rakan-rakan seperjuangan lain memilih PKR kerana lebih sesuai dengan hala tuju serta membabitkan semua kaum,” katanya dalam majlis di sebuah restoran di Taman Rimba Mentakab.

Hadir sama Ketua Angkatan Muda PKR Pahang Wong Chun Yuan.

Sebelum ini, Boon Seong bertanding atas tiket Bebas pada PRU14 lalu dan bertindak keluar parti MCA sejak Ogos tahun lalu.

Adun Semambu, Lee Chean Chung menjadi wakil penerimaan borang keahlian tersebut dalam majlis itu. #sumber
Share:

Kutipan Tabung Harapan Malaysia Cecah 'RM18.6 Juta', Setakat Jam 3 Petang Tadi


KUALA LUMPUR: Tabung Harapan Malaysia (THM) berjaya mengumpulkan sebanyak RM18.6 juta setakat 3 petang ini sejak ia dilancarkan pada Rabu.

Jumlah kutipan tersebut diumumkan melalui laman twitter Kementerian Kewangan hari ini.

THM dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas ramai pihak menyuarakan hasrat mereka untuk membantu kerajaan mengurangkan hutang negara yang berjumlah RM1 trilion.

Susulan itu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan rakyat yang ingin menyumbang kepada THM boleh menyalurkan sumbangan mereka menerusi akaun Maybank 5660-1062-6452.

Jumlah kutipan tabung tersebut akan dikemaskini pada 3 petang setiap hari melalui laman web Kementerian Kewangan. #sumber
Share:

Tun Mahathir: Kesetiaan Pegawai Kerajaan Yang Terbabit Politik Di Persoal


PETALING JAYA: Kerajaan sangsi terhadap kesetiaan pegawai kerajaan yang didapati mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, termasuk secara terbuka berkempen untuk Barisan Nasional (BN).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata sebagai penjawat awam, mereka tidak seharusnya terbabit dalam sebarang kempen parti politik.

"Salah satu masalah pentadbiran yang kita hadapi sekarang, ramai pegawai kerajaan dengan sukarela atau tidak, ambil bahagian dalam PRU-14, berkempen untuk BN.

"Kita berasa sangsi tentang kesetiaan sama ada mereka masih pegang pada kesetiaan kepada kerajaan baharu.

"Ini mengganggu pentadbiran kerajaan kerana kita mahu mentadbir ikut cara kita dan manifesto kita untuk laksana janji kita," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Menara Yayasan Selangor, di sini, sebentar tadi.

Dr Mahathir berkata, kerajaan tidak mahu menghukum secara sambil lewa kerana itu bukan caranya, namun mengakui ada dalam kalangan mereka terlalu taksub dengan agenda kerajaan terdahulu.

"Ada segelintir penjawat awam yang memakai baju warna biru untuk berkempen," katanya. #sumber
Share:

Mukhriz: Isu 'Perlantikan' Speaker DUN Akan Selesai Tidak Lama Lagi


PETALING JAYA: Pakatan Harapan Kedah yakin soal pelantikan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dapat di selesaikan secepat mungkin memandangkan pakatan itu kini sedang berunding dengan pihak pembangkang di negeri itu kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Beliau berkata sidang pertama DUN dirancang untuk diadakan pada 1 Julai.

"Sekarang kita dalam peringkat memujuk (pihak pembangkang) dan pujukan kami itu diterima baik oleh sesetengah pihak."

"Kita merancang untuk mengadakan persidangan pertama DUN pada 1 Julai. Jadi sebelum itu kita perlu menyelesaikan beberapa perkara dan saya rasa segala-galanya berjalan lancar. Saya tidak bimbang sangat tentang perkara itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di sini hari ini.

Kerajaan negeri belum membuat keputusan mengenai jawatan Speaker DUN kerana ia memerlukan konsensus semua pihak yang terbabit.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14, Pakatan Harapan menang 18 daripada 36 kerusi DUN Kedah , PAS (15) dan BN (3). #sumber
Share:

Tun Mahathir: Baru Tiga Minggu, Kerajaan Bukan Tidak Konsisten


PETALING JAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak seharusnya dipanggil tidak konsisten kerana hanya baru tiga minggu ia mentadbir negara sejak memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu.

Dr Mahathir, yang juga merupakan pengerusi gabungan Pakatan Harapan berkata demikian semasa ditanya kemungkinan kerajaan baharu itu dilihat sebagai tidak konsisten oleh pelabur asing berikutan beberapa keputusan utama yang diambilnya baru-baru ini.

"Anda tidak boleh menilai kami sebagai tidak konsisten. Kami mahu menjadi konsisten dan mahu menjadi negara yang mesra perniagaan (bagi pelabur).

"Tidak kiralah mereka dari negara manapun, sama ada orang tempatan atau orang luar, mereka akan tetap dilayan sama. Jika mereka ada masalah, kerajaan ini akan membantu mereka," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata sebarang keputusan yang diambil oleh kerajaan baharu, termasuk berkaitan dengan peluang pelaburan asing dan domestik, akan dibuat mengikut undang-undang sedia ada.

Sementara itu, Perdana Menteri juga berkata kesilapan yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini mengenai kontrak atau perjanjian perniagaan akan dibetulkan oleh kerajaan sekarang sebelum meneruskannya.

"Kesilapan oleh kerajaan sebelum ini perlu diperbetulkan, kita tidak boleh terus dengan kesilapan itu. Ia akan diperbetulkan tetapi kami akan mengikut kontrak atau perjanjian yang diberikan (oleh kerajaan lepas).

"Hanya kalau ada suatu yang tidak betul dengan kontrak itu, kami akan mengambil tindakan," katanya. #sumber

Share:

Dedah Laporan Audit 1MDB, Rafizi Terselamat Dari Hukuman Penjara


PUTRAJAYA: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli, dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM10,000 oleh Mahkamah Rayuan di sini, atas kesalahan mendedahkan kandungan Laporan Pengauditan 1MDB.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmadi Asnawi membuat keputusan itu selepas mengetepikan hukuman 18 bulan penjara yang dikenakan terhadapnya atas kesalahan itu sebelum ini.

"Kami bersetuju dengan hujah pihak perayu (Rafizi) dan mengetepikan hukuman penjara sebelum ini yang dikenakan Mahkamah Sesyen serta dan Mahkamah Tinggi dan digantikan dengan bon berkelakuan baik untuk dua tahun dengan cagaran RM10,000 serta seorang penjamin," katanya.

Terdahulu, peguam Ahmad Nizam Hamid yang mewakili Mohd Rafizi berhujah bahawa apa yang dilakukan oleh perayu bukan untuk kepentingan diri sendiri, sebaliknya untuk rakyat.

"Dokumen itu kini sudah tidak diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia. Pendedahan dokumen itu juga tidak membabitkan keselamatan atau rahsia negara.

"Terdapat saman sivil berkaitan pendedahan ini oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera terhadap perayu, bagaimanapun ia sudah ditarik balik. Anak guam kami patut diberi peluang," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Pengiran Mahmud, berhujah bahawa pihaknya tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap permohonan itu.

"Hukuman penjara 18 bulan itu sudah tidak sesuai dengan keadaan semasa memandangkan dokumen itu bukan lagi di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

"Memang ada berlaku kesalahan ketika itu, bagaimanapun ia tidak mendatangkan sebarang musibah kepada negara," katanya.

Turut bersidang bersama Ahmadi ialah Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan Datuk Kamardin Hashim.

Pada 14 November 2016, Hakim Mahkamah Sesyen, Zulqarnain Hassan, mengenakan hukuman penjara 18 bulan terhadap dua pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Rafizi didakwa memiliki tanpa kebenaran satu halaman muka surat 98 mengenai Laporan Pengauditan 1MDB yang menjadi kesalahan di bawah OSA.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di lobi bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini pada jam 3 petang 24 Mac lalu mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) OSAdan boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mendedahkan kandungan laporan itu dalam sidang media di tempat dan masa sama, 28 Mac lalu, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iv) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi mengekalkan hukuman penjara 18 bulan yang dikenakan bagi pertuduhan pertama dan melepaskan serta membebaskan Rafizi daripada pertuduhan kedua. #sumber
Share:

Apandi Ali Menarik Balik Rayuan Prosiding Komital Terhadap Lim Guan Eng


PUTRAJAYA: Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali hari ini menarik balik rayuan mengenai prosiding komital terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang didakwa mengeluarkan kenyataan-kenyataan berkaitan kes rasuahnya yang masih dalam perbicaraan.

Peguam Kanan Persekutuan Maisarah Juhari memberitahu panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, yang dipengerusikan Datuk Abdul Rahman Sebli, bahawa Pejabat Peguam Negara yang mewakili perayu (Mohamed Apandi) telah memfailkan notis pemberhentian mengenai rayuan itu semalam dan telah menyerahkannya kepada peguam-peguam responden (Lim) pada hari yang sama.

"Kami tidak meminta sebarang perintah berhubung kos," kata Maisarah.

Lim yang kini Menteri Kewangan diwakili peguam Mervyn Lai.

Hakim Abdul Rahman yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Zaleha Yusof dan Datuk Yaacob Md Sam kemudian membatalkan rayuan itu tanpa sebarang perintah berhubung kos. #sumber
Share:

Tuan Ibrahim: "Gabungan Kuat", Anggota UMNO Di Pelawa Sertai PAS


ALOR SETAR:PAS mempelawa anggota UMNO agar menyertai parti itu untuk membentuk gabungan yang kuat selepas parti berteraskan bangsa Melayu itu tewas besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu sentiasa membuka pintu kepada anggota UMNO untuk berbuat demikian kerana pada masa sama tidak mungkin parti itu akan membentuk kerjasama dengan UMNO.

"Saya sudah lama ajak mereka (UMNO) masuk PAS. Bila mereka sudah hilang kuasa pada PRU lalu, saya rasa sudah tiba masanya untuk mereka sertai PAS, bukan PAS yang akan sertai UMNO."

"Apa yang berlaku pada PRU lepas adalah kerana rakyat tolak Barisan Nasional (BN), jadi atas sebab itu kita buka pintu kepada BN dan UMNO untuk sertai PAS," katanya ketika ditemui selepas Majlis Himpunan Kesyukuran Pasca PRU14 di Kompleks PAS Kedah di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Anggota Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bahawa UMNO dan PAS perlu bergabung dan membentuk kerjasama yang dapat memberikan cabaran kepada Pakatan Harapan (PH) dan dalam masa sama menjaga kepentingan Melayu.

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim menyatakan kesediaan PAS sekiranya dijemput untuk berada dalam jawatankuasa yang akan ditubuhkan kerajaan bagi melihat dan mengkaji semula peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). #sumber
Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.