BANDAR SERI BEGAWAN - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melahirkan rasa terkejut dengan pembebasan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng daripada tuduhan rasuah berkaitan pembelian sebuah lot tanah dan banglo semalam.
Mahkamah Tinggi membuat keputusan untuk melepas dan membebaskan Guan Eng semalam susulan permohonan oleh Timbalan pendakwaraya Datuk Masri Mohd Daud melalui representasi dikemukakan pihak pembelaan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menggugurkan tuduhan tersebut.
Semasa dirujuk mengenai kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini yang menyuarakan rasa terkejut dengan keputusan itu, Dr Mahathir berkata: “mereka berhak terkejut, saya pun terkejut juga”.
Beliau berkata demikian dalam satu persidangan media di Istana Qashr Munee di penghujung lawatan rasmi dua hari beliau ke Brunei.
Pada 30 Jun 2016 Menteri Kewangan yang merupakan bekas Ketua menteri Pulau Pinang itu mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah yang membabitkan penukaran status tanah daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan dan pembelian Lot tanah serta sebuah banglo di Jalan Pinhom, Pulau Pinang, dibawah nilai pasaran.
Sementara itu merujuk kepada lawatan dua harinya ke sini Dr Mahathir berkata apa yang penting adalah untuk menyatakan kepada Brunei bahawa polisi negara terhadap Brunei tidak berubah, kekal ingin menjadi negara yang bersahabat baik dengan Brunei.
Katanya sambutan yang diterimanya sepanjang lawatan amat menggalakkan, dan beliau merasa amat gembira dengan layanan baik yang diberikan, malah merasa amat berbangga apabila Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah sendiri memandu ‘buggy’ untuk membawa beliau bersiar-siar.
Sultan Brunei merupakan pemimpin negara luar pertama yang mengunjungi Dr Mahathir hanya beberapa hari selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, dan kini Dr Mahathir berkata adalah masa untuk beliau membalasnya dengan kunjungan ini.
Dr Mahathir berkata antara yang dibincangkan secara ringkas dalam pertemuan dengan Sultan Hassanal Bolkiah termasuk isu berkaitan dengan Lebuhraya Pan Borneo, kerjasama berkaitan pengeluaran minyak dalam blok yang dipersetujui dua negara sebelum ini, dan berkaitan Limbang.
Terdahulu pada sebelah pagi Perdana Menteri bersama Sultan Hassanal Bolkiah bersiar-siar di Taman Mahkota Jubli Emas di sini dengan menaiki buggy yang dipandu oleh Sultan sendiri, dan seterusnya ke Horizon Restaurant untuk bersarapan.
Selepas kembali ke penginapannya, Perdana Menteri dan isteri menghadap Sultan Brunei di Istana Nurul Iman sebelum mengadakan pertemuan empat mata dengan baginda, dan seterusnya menghadiri majlis santapan tengah hari.
Pada sebelah petangnya Perdana Menteri memberikan syarahan umum di Universiti Brunei Darussalam dan menjawab pelbagai soalan yang dikemukakkan oleh ramai ahli akademik di universiti berkenaan, sebelum beransur ke Istana Qashr Munee.
Perdana Menteri dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali bersama rombongannya yang turut disertai oleh Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berlepas dari lapangan Terbang Antarabangsa Bandar Seri Begawan lewat petang ini. #sumber
KUALA LUMPUR - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Husam Musa hari ini mengangkat sumpah sebagai Anggota Dewan Negara.
Beliau mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri S.A. Vigneswaran.
Husam yang dipilih oleh kerajaan Persekutuan sepatutnya mengangkat sumpah minggu lepas tetapi ditunda kerana menunaikan haji.
Isnin lepas, seramai 12 orang mengangkat sumpah sebagai Anggota Dewan Negara antaranya Pengerusi Tetap Kongres Nasional PKR Ismail Yusop, Anggota Jawatankuasa DAP Perak, Nga Hock Cheh, Setiausaha DAP Pulau Pinang, Lim Hui Ying dan bekas Anggota Parlimen Balik Pulau PKR, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff.
Sementara itu, Vigneswaran turut berpesan kepada senator baharu yang dilantik agar melaksanakan proses demokrasi berlandaskan sifat keperibadian tinggi dengan pemikiran terbuka serta rasional. #sumber
KUANTAN - Bapa murid tahfiz yang dicucuh api serta diugut dipotong kemaluannya oleh seorang guru tahfiz wanita mengakui dimaklumkan mengenai insiden itu oleh pengusaha tahfiz tersebut sebelum klip video mengenainya tular.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang Zulkhari Zainol Abidin berkata perkara tersebut didedahkan dalam temu bual di antara Pegawai Pelindung JKM dan bapa kandung serta kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun terbabit.
“Dalam pertemuan itu, bapa kepada kanak-kanak terbabit memaklumkan telah menghantar anaknya ke pusat tahfiz berkenaan bermula Julai lalu.
“Beliau juga ada dimaklumkan oleh pengusaha tahfiz yang mesra dengan panggilan ummi dan walid berkaitan cubaan menggunting kemaluan, menyalakan api serta merotan kanak-kanak di tapak tangan dan kaki,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zulkhairi berkata bapa kanak-kanak itu bagaimanapun tidak marah dengan tindakan pengusaha terbabit sekiranya niat hanya untuk mendidik selagi tidak mencederakan atau memudaratkan kanak-kanak tersebut.
Katanya, bapa kanak-kanak itu juga berpuas hati dengan ilmu yang diajar oleh pusat tahfiz tersebut yang dilihat telah membantu anaknya bersolat sendiri, mengambil wuduk dengan cara yang betul selain sihat tubuh badan.
Menurutnya, JKM akan membuat seliaan dan pemantauan kes berkenaan selain turut memantau kanak-kanak lain yang berada di pusat tahfiz tersebut.
Sabtu lepas, polis telah menahan dua guru tahfiz pusat berkenaan selepas menerima laporan daripada bapa kanak-kanak terbabit selepas tular di media sosial mengenai tindakan mencucuh api dan mengugut untuk memotong kemaluan anak lelakinya yang berusia lapan tahun.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Noor Yusof Ali berkata, kedua-duanya yang berusia 43 dan 42 tahun serta dipanggil ummi dan walid tersebut ditahan 10 malam Sabtu di Kampung Selamat di sini.
Menurut Mohd Noor, klip video berdurasi satu minit 19 saat itu memaparkan guru tersebut menarik kemaluan anak pengadu sebelum diancam untuk dipotong dengan sebilah gunting pemotong rumput serta dicucuh pemetik api.
Malah, dua lagi klip video masing-masing berdurasi 25 saat dan 56 saat, turut memaparkan mangsa dipukul dengan rotan oleh guru wanita dan lelaki tersebut kerana didakwa mencuri makanan. #sumber
SHAH ALAM - Kerajaan perlu beri penjelasan kepada rakyat berhubung pembebasan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng daripada pertuduhan rasuah berkaitan pembelian sebuah banglo di bawah nilai pasaran oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.
Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hasan berkata, ini kerana pembebasan itu menimbulkan persoalan kemungkinan Peguam Negara, Tommy Thomas menggunakan kuasa penuhnya untuk menarik semula dakwaan berkenaan.
Katanya, ia susulan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilaporkan terkejut dengan keputusan mahkamah membebaskan Guan Eng.
"Apa yang memeranjatkan kita bagaimana ianya boleh berlaku di luar daripada pengetahuan SPRM sebab selama ini SPRM yang telah mengambil perjalanan siasatan tersebut.
"Jadi saya kira ini adalah kemungkinan AG (Peguam Negara) menggunakan sepenuh kuasanya untuk menarik balik dakwaan tersebut," katanya kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas berhubung keputusan pembebasan berkenaan.
Guan Eng bersama ahli perniagaan, Phang Li Koon dibebaskan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah banglo di bawah nilai pasaran.
Susulan itu, SPRM menerusi satu kenyataan, terkejut dengan keputusan mahmakah itu dan sekali lagi menegaskan bahawa keputusan menarik balik kes tersebut telah dibuat oleh Pejabat Peguam Negara dan bukannya suruhanjaya itu.
Selain itu, Nasrudin berkata, kerajaan juga perlu menjawab persoalan kenapa perbicaraan kes berkenaan tidak diteruskan.
"Betul AG ada kuasa menarik balik, tetapi beliau tarik balik (kes)? Kenapa tidak diteruskan perbicaraan itu. Itu yang perlu pihak kerajaan beri penjelasan kepada rakyat kenapa dakwaan itu ditarik balik," katanya.
Beliau berkata, walaupun Guan Eng dibebaskan, namun bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu gagal dibersihkan melalui proses perbicaraan yang adil di mahkamah dan ia menjejaskan proses 'rule of law' yang selama ini diperjuangkan PH.
"Ertinya Guan Eng bukan menang kes rasuah di mahkamah, tetapi kerana kes itu ditarik balik. Jadi (ia) tidak melalui proses perbicaraan yang sepatutnya," katanya. #sumber
KUANTAN - Seorang anggota tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan wang bukan miliknya berjumlah RM36,113.32 sejak Mac lalu.
Tertuduh, Hafizan Mohd. Nawawi, 30, berpangkat Koperal membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya dihadapan Majistret Nor Azizah Aling.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang berkerja sebagai Pembantu Automotif di Kem Batu 10 di sini dengan curangnya telah menyalahgunakan harta iaitu wang berjumlah RM36,113.32 kepunyaan seorang anggota polis, Mazlan Mohamed Yunus yang telah ditunaikan dan digunakan.
Kesalahan ini dilakukan di mesin juru wang automatik Maybank dalam stesen minyak Petronas Jaya Gading di sini pada 28 Mac hingga 22 April lalu antara pukul 1 pagi hingga 11.45 malam.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih dari lima tahun dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.
Kes disebut semula di Mahakamah pada 5 Oktober depan. #sumber
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang membebaskan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian banglo.
"SPRM amat terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada Isnin yang membebaskan Guan Eng daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot banglo dan tuduhan bersubahat dihadapi ahli perniagaan, Phang Li Koon selepas pihak pendakwaan menarik balik kes itu.
"SPRM ingin menegaskan bahawa keputusan menarik balik kes tersebut telah diputuskan oleh Pejabat Peguam Negara dan bukannya daripada SPRM," demikian menurut kenyataan itu.
Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail melepaskan dan membebaskan Lim, 58, dan Phang, 46, berikutan permohonan peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Lim, dan Datuk V.Sithambaram serta Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Phang, supaya anak guam mereka dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan itu.
Hadhariah berkata beliau tidak bersetuju dengan permohonan pihak pendakwaan supaya pertuduhan itu ditarik balik dan kedua-dua tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).
“Pertuduhan tidak boleh dibiarkan tergantung terhadap tertuduh selama tempoh yang tidak terbatas. Perlu ada penamat dalam kes ini. Saya tidak dapat bersetuju dengan pihak pendakwaan. kami tidak mengendalikan kes secara bersiri. Mesti ada noktah, tiada koma, koma, terutamanya dalam kes jenayah," katanya.
Sebelum beliau menyampaikan keputusan, Hadhariah berkata setakat ini, pihak pendakwaan telah memanggil 25 saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes berkenaan pada Mac lepas dan kini dalam bulan September, pihak pendakwaan memohon supaya kes itu DNAA. #sumber
KUALA LUMPUR: Tindakan Peguam Negara, Tommy Thomas menggugurkan kes pertuduhan rasuah membabitkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng disifatkan sebagai tidak masuk akal.
Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata keputusan itu menggambarkan seolah-olah Peguam Negara lantikan kerajaan menyalahgunakan kuasa budi bicara serta memberi layanan istimewa dan pilih kasih kepada pemimpin Pakatan Harapan (PH).
“Pada 26 Mac lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Rashid Daud dalam ucapan pembukaan di Mahkamah Tinggi Malaya, George Town menyatakan pihaknya akan membuktikan Guan Eng sebagai penjawat awam, membeli rumah daripada Phang Li Koon dengan harga yang diketahuinya di bawah nilai harga pasaran.
“Ketika pembelian ini dibuat, Guan Eng membenarkan permohonan syarikat Li Koon untuk mengubah status tanah pertanian kepada tanah perumahan.
“Justeru, bagaimana sekarang Jabatan Peguam Negara boleh menyatakan bahawa tiada apa-apa kes terhadap kedua-dua mereka dan menarik balik pertuduhan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini melepas dan membebaskan Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot tanah dan banglo serta Li Koon yang juga ahli perniagaan, daripada dakwaan bersubahat.
Ia berikutan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud, melalui representasi dikemukakan pihak pembelaan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menggugurkan tuduhan berkenaan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan, menzahirkan rasa terkejut dengan keputusan itu, selain menegaskan keputusan menarik balik kes berkenaan diputuskan Pejabat Peguam Negara.
Azalina yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO merangkap Ketua Unit Undang-Undang parti, berkata persepsi terhadap badan perundangan negara tercalar dengan keputusan itu dan kerajaan perlu mengambil tanggungjawab penuh kerana prinsip kedaulatan undang-undang semakin terhakis.
Beliau yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, menggesa Tommy memberi penjelasan dan tidak bersembunyi di sebalik kuasa yang diperuntukkan mengikut Perkara 145(3), atau meletak jawatan dengan segera supaya tidak terus menjejaskan kredibiliti Jabatan Peguam Negara.
“Peguam Negara perlu menjelaskan perkara ini kerana persepsi buruk yang ditimbulkan ini adalah sesuatu yang bahaya dan mengancam doktrin pengasingan kuasa di Malaysia dan menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap sistem pentadbiran negara.
“Perkara ini yang saya bangkitkan beberapa kali di Parlimen sebelum ini supaya kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya diasingkan bagi mengelakkan campur tangan mana-mana pihak yang dikhuatiri akan terus berlaku dan menjadi lebih parah.
“Saya juga menggesa Majlis Peguam membuat satu mesyuarat tergempar dan menyatakan pendirian mereka dalam perkara ini,” katanya. #sumber
IPOH - Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menegaskan keputusannya bertanding jawatan Timbalan Presiden parti bukan bersifat menjaga kepentingan peribadi sebaliknya bagi memastikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat menjadi Perdana Menteri.
Beliau mengakui ada pihak berasa tidak selesa dan memperlekehkan tindakan yang dilakukannya khususnya berhubung perkara tersebut.
"Pelbagai usaha dilakukan termasuk mengecam dan menyatakan bahawa Anwar terlalu gopoh, tamak dan tidak perlu untuk merebut jawatan itu kerana masanya sudah berlalu dan sebagainya.
"Kita kena terima hakikat kalau parti tak sedia dan tidak sederap sama, memang ada pihak yang tidak selesa beliau menjadi Perdana Menteri yang kelapan," katanya ketika berucap pada Program Debat Reformasi 20 Tahun di sini, malam tadi.
Program berkenaan turut dihadiri sebahagian pimpinan Reformasi 20 Tahun dan 500 penyokong PKR daripada pelbagai cabang seluruh negeri.
Selain itu, Rafizi berkata tindakannya bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR juga bertujuan mengekang perbalahan dan perpecahan yang berlaku dalam parti sejak Anwar dipenjarakan pada 2015.
"Ada perbezaan pendapat besar yang berlaku dalam PKR...ada yang merasainya, yang di bawah (anggota parti) ada kata PKR pecah, bergaduh berebut kuasa. Ini semua adalah lanjutan dari perbezaan pendapat seawal 2015 apabila Anwar dimasukkan ke penjara sebenarnya," katanya.
Dalam perkembangan sama, Rafizi berkata wujud dua kem dalam PKR membabitkan pihaknya dan kumpulan yang diketuai Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata visi yang dibawa kumpulannya menjurus ke arah reformasi secara total manakala di pihak Mohamed Azmin, penumpuan mereka sebelum ini lebih terarah kepada mengekalkan kuasa politik di Selangor.
"Itu pandangan yang masing-masing ada fakta dan hujah yang jelas. Saudara Azmin ada tanggungjawab dia, dia nak pertahankan Selangor, mungkin pada ketika itu untuk kekal jadi menteri besar.
"Saya, Saifuddin Nasution, Nurul Izzah dan lain-lain, kita ada tanggungjawb sebagai pimpinan pusat kita kena jaga (seluruh negara)," katanya. #sumber
BANDAR SERI BEGAWAN - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau akan menyerahkan jawatannya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim mengikut persetujuan yang dicapai dalam Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
Katanya, beliau akur dengan persetujuan bahawa beliau akan menjadi Perdana Menteri sementara untuk tempoh yang disebut adalah dua tahun.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan pada sesi perjumpaan dengan rakyat Malaysia sempena lawatan kerja dua hari beliau ke Brunei Darussalam, di sebuah hotel di sini malam ini.
Mengenai kebimbangan sekiranya sejarah akan berulang apabila beliau (Dr Mahathir) tersilap memilih penggantinya untuk menerajui negara, Dr Mahathir berkata sekiranya rakyat tidak berpuas hati dengan penggantinya, maka rakyat boleh membuat pendirian pada pilihan raya umum.
Menurut, sebelum ini banyak usaha dilakukan seperti demonstrasi, failkan usul tidak percaya, laporan polis serta deklarasi rakyat menolak kepimpinan kerajaan namun semuanya itu tidak berjaya sehingga ketetapan dibuat rakyat dalam pilihan raya umum.
Beliau seterusnya menafikan tohmahan yang sering dilemparkan terhadapnya, kononnya beliau adalah ‘Ultra Melayu’ kerana menurutnya gelaran itu, sama seperti label Mahafiraun, Mahazalim dan sebagainya semata-mata diberikan oleh musuh politik.
Katanya, beliau mengutamakan negara supaya tidak wujud jurang perbezaan begitu ketara antara penduduk pelbagai kaum sehingga boleh mengundang permusuhan dan rusuhan.
Justeru, katanya, PH sedang berusaha membela nasib dan menyatupadukan rakyat tanpa mengira kaum.
Bagaimanapun, katanya, isu perkauman akan tetap wujud dalam sesebuah negara berbilang kaum dan bangsa namun usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan baharu tidak akan menjurus kepada ketegangan atau permusuhan dalam negara.
Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak akan tetap dilaksanakan namun ia akan mengambil sedikit masa untuk menyiapkannya memandangkan komitmen kewangan lain yang perlu dilaksanakan terlebih dahulu.
Selain projek pembangunan, Perdana Menteri berkata jentera kerajaan juga ketika ini perlu diperbaiki kerana banyak kerosakan dalam pentadbiran negara berlaku sebelum ini.
Justeru, beliau menyeru rakyat supaya bersabar untuk melihat hasil pembaharuan yang sedang diusahakan oleh kerajaan baharu PH.
Menjawab soalan hadirin mengenai harapannya sebelum berundur, Dr Mahathir berkata beliau mahu mengembalikan zaman kegemilangan Malaysia yang pernah digelar Harimau Asia dan menjadi kebanggaan rakyat.
“Saya mahu sebuah kerajaan yang demokratik dan bukan kleptokratik,” katanya.
Katanya, beliau ingin melihat wujudnya ‘rule of law’ (kedaulatan undang-undang) bagi melindungi rakyat serta menjadi sebuah negara maju sebagaimana yang menjadi sasaran dalam Wawasan 2020 sebelum ini. #sumber
PETALING JAYA - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan dakwaan kononnya calon Timbalan Presiden parti itu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak konsisten dalam menyatakan kesetiaannya kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, hanyalah persepsi semata-mata.
Dr Wan Azizah berkata kemungkinan persepsi itu sengaja ditimbulkan bagi menghangatkan suasana pemilihan PKR yang bakal berlangsung bermula 14 Sept ini.
"Saya kira itu hanya persepsi, persepsi itu banyak orang boleh keluarkan dalam rangka persaingan dalam parti, tetapi apa yang kita mahu persaingan itu biarlah persaingan sihat.
“Oleh itu, kita teruskan dengan siapa yang kita akan pilih, dan memilih itu perlu bersandarkan amalan demokrasi,” katanya kepada pemberita selepas majlis minum petang bersama penduduk PPR Lembah Subang disini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Pengelola Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Razeef Rakimin hari ini yang mendakwa Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi tidak konsisten dalam menyatakan kesetiaan kepada Anwar.
Dakwaan itu dibuat berikutan Mohamed Azmin selaku gagal menyatakan pendirian serta sokongannya kepada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.
Dalam pemilihan PKR tahun ini, seramai 800,000 anggota PKR dijangka akan mengundi pada pemilihan parti itu yang dijadualkan berlangsung dari 14 Sept hingga 13 Okt depan.
Jawatan timbalan presiden parti itu bakal menyaksikan pertembungan sengit antara penyandangnya Mohamed Azmin dengan bekas Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli.
Anwar sebelum ini menang tanpa bertanding bagi kerusi Presiden PKR selepas tempoh pencalonan bagi jawatan itu ditutup pada 5 Ogos lepas. #sumber
IPOH - Sayap Wanita PKR perlu mencontohi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai model kepimpinan dalam meneraju kepimpinan parti pada masa akan datang.
Naib Presidennya, Fuziah Salleh berkata kepimpinan Dr Wan Azizah, yang menggalas tugas sebagai pemimpin nombor dua negara, dilihat sebagai seorang yang tegas dan berani dalam membuat sesuatu keputusan.
"Beliau (Dr Wan Azizah) seorang yang sangat lembut tetapi tegas serta bijaksana dalam mengambil sesuatu tindakan, jadi inilah model kepimpinan wanita yang kita hendak contohi.
"Ini kerana sejak 10 tahun yang lepas, apa yang saya perhatikan kita tidak nampak Wanita PKR mempunyai kebijaksanaan dalam memainkan peranan untuk memperkasakan parti, ramai yang hanya tahu menjadi pak turut semata-mata," katanya.
Fuziah, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata demikian kepada pemberita selepas Program Dialog bersama Pimpinan Wanita Keadilan di sini yang turut dihadiri calon Timbalan Ketua Wanita PKR, Rodziah Ismail, yang merupakan exco kerajaan negeri Selangor. #sumber
KUALA LUMPUR: Pemimpin UMNO mempersoal tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat mendiamkan diri berhubung isu pelantikan Petron sebagai syarikat pembekal bahan bakar api rasmi kenderaan kerajaan.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkata tokoh itu seolah-olah melindungi salah guna kuasa yang dilakukan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Jadi kita beranggapan, hari ini semua salah laku dan rasuah yang dilakukan Dr Mahathir dilindungi oleh Anwar kerana beliau takut jawatan perdana menteri beliau akan hilang.
“Anwar tidak lagi berani untuk membela nasib rakyat yang dianiaya oleh perdana menteri hari ini,” katanya sewaktu ditemui di Majlis Riadah Merdeka 1Malaysia.
Turut hadir ialah Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datik Seri Rosmah Mansor yang hadir ke Taman Botani Perdana bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan.
Beliau dan isteri meluangkan masa selama 2 jam bersama pengunjung dan peminat sambil menjamu selera dan sesi bergambar.
Terdahulu, dilaporkan Kementerian Kewangan melantik syarikat minyak Petron sebagai pembekal bahan api untuk kegunaan kenderaan kerajaan, memetik memorandum yang tersebar di media sosial.
Bagaimanapun kementerian itu mempertahankan keputusan itu memaklumkan Petron bukanlah pembekal tunggal minyak petrol dan diesel kenderaan kerajaan Persekutuan.
“Perlu ditegaskan, Petronas dan Shell masih lagi merupakan pembekal minyak petrol dan diesel semenjak 1997 untuk kegunaan kenderaan kerajaan,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Lokman mendakwa Kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagai “gila korup” selepas membiarkan pelantikan itu diluluskan.
“Tak kan lah mereka tak tahu, Mirzan tu anak Dr Mahathir? Jadi keseluruhan barisan Kabinet ini gila korup lah.”
Tambahnya, kini rakyat Malaysia tidak boleh berbuat apa-apa tindakan dan hanya boleh menerima semua penipuan dan salah guna kuasa yang dilakukan kerajaan PH.
“Kalau Anwar berani, dia akan bangkit ‘pukul’ kerajaan hari ini, kalau dia berani lah. Saya rasa dia tak berani.
“Jadi rakyat Malaysia kena bangkit membantah kerajaan hari ini dan lawan juga Anwar yang menyokong barisan korup kerajaan PH,” katanya. #sumber
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengkritik pelantikan Petron sebagai pembekal bahan api rasmi bagi kenderaan kerajaan, mengatakan keputusan itu boleh menimbulkan konflik moral terutama berhubung pemilikan syarikat tersebut.
Beliau mempersoalkan, mengapa kerajaan tidak menggunakan perkhidmatan Petroleum Nasional Berhad (Petronas) sebagai pembekal minyak petrol dan diesel kenderaan kerajaan.
“Petronas ini milik negara, milik rakyat Malaysia dan Petronas merupakan sebuah syarikat yang sudah pun menjadi kebanggaan negara Malaysia.
“Dan sudah tentu timbul persoalan tentang pemilik Petron yang boleh menjadi konflik dari segi keputusannya, dari segi moral,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Riadah Merdeka 1Malaysia, hari ini.
Semalam, Kementerian Kewangan mengesahkan syarikat tersebut sebagai pembekal bahan api rasmi bagi kenderaan kerajaan.
Dalam perkembangan lain, Najib enggan mengulas berhubung tahanan reman bekas ketua pengarah Organisasi Perisikian Luar Malaysia (MEIO) bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa dan dana kerajaan.
“Itu adalah siasatan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), saya tidak boleh berikan komen. Biarlah siasatan dijalankan terlebih dahulu. #sumber
KUALA LUMPUR: Berikutan pengumuman pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berkuatkuasa hari ini, rata-rata pembeli di Selangor menyifatkan mereka telah bersedia menerima pelaksanaan cukai itu yang bakal menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Tinjauan Bernama di beberapa pasar raya dan pusat membeli belah di sini, pada Jumaat mendapati, kebanyakan golongan pengguna dan pembeli berbelanja seperti biasa selain dilihat tidak terburu-buru membeli barangan dalam kuantiti banyak bagi menghadapi kenaikan harga yang dijangka berlaku selepas pelaksanaan SST.
Penjawat awam, Azurun Salamon, 34 tahun, berkata pelaksanaan SST tersebut bukan suatu perkara asing kerana ia pernah dilaksanakan sebelum 2014.
"Sebelum ini SST pun telah diguna pakai sebelum GST diperkenalkan pada April 2014, jadi apabila cukai itu diperkenalkan semula, ia bukan satu perkara yang mengejutkan.
"Cuma apa yang diharapkan dengan pengenalan cukai SST 2018 ini, harga barang sedikit murah tidak sepertimana harga barang semasa pelaksanaan GST, " katanya.
Beliau turut menyifatkan pengenalan SST itu sebagai kayu pengukur ke atas perbezaan harga barangan yang sememangnya dinantikan rakyat.
"Sudah pasti rakyat tidak mahu terbeban dengan kenaikan harga barangan yang mendadak apabila SST dilaksanakan...dari sinilah campur tangan kerajaan diperlukan, sekiranya berlaku juga (kenaikan harga barang) kemungkinan kuasa beli pengguna itu akan menurun," katanya.
Bagi Harun Akmal, 41 tahun, beliau menolak untuk berbelanja dalam kuantiti besar semata-mata untuk simpanan stok barang, sebelum SST dilaksanakan.
Katanya, walaupun masih belum pasti keberkesanan SST dan kesannya kepada rakyat, beliau juga berharap pengenalan cukai itu tidak akan memberi bebanan kepada pengguna.
"Bagi saya, tidak perlu membeli barang dalam kuantiti banyak semata-mata mahu dapatkan harga murah ketika GST masih berada pada kadar kosong dan sebelum SST dikuat kuasa Sabtu.
"Hari ini saya datang ke pasar raya pun beli barang seperti mana rutin saya sebelum ini, saya sememangnya akan berbelanja dua kali dalam sebulan untuk beli barang basah dan barang makanan.
"Kalau kita nak elak dikenakan cukai ini pun tidak boleh sebab kalau bukan hari ini, hari-hari seterusnya juga pasti kita akan berbelanja," kata pekerja syarikat binaan itu.
Penuntut kolej swasta N. Khishali, 23 tahun, turut mempunyai pandangan senada dan mengharapkan agensi berkaitan bertindak tegas dalam mengawal sebarang kenaikan harga barangan.
Beliau berkata langkah itu perlu supaya peniaga tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barang yang akhirnya akan memberi kesan kepada pengguna.
"Untuk tahun pertama pengenalan SST 2018, agensi berkaitan seperti KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) diharap dapat melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membendung kenaikan harga barangan yang tidak munasabah.
"Kita sebagai penguna dan pembeli tidak mahu jadi mangsa apabila ada peniaga yang cuba ambil kesempatan di atas pelaksanaan cukai ini," katanya.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan SST berkuatkuasa 1 Sept, susulan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Jualan 2018 dan RUU Perkhidmatan 2018 telah diluluskan Parlimen pada 20 Ogos lepas. #sumber
100 hari berlalu selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan di Putrajaya – Saya bukan Perdana Menteri, Malaysia tidak menjadi Negara Kristian dan institusi Raja-raja Melayu tidak dimansuhkan.
Minggu ini menandakan 100 hari Pakatan Harapan mentadbir negara – minggu di mana pasukan media memberi tumpuan sama ada Kerajaan Pakatan Harapan di Putrajaya sudah berjaya menunai janji dan mencapai matlamatnya, sedang masa terlalu suntuk untuk melaksanakan perubahan yang dilihat bermakna.
Namun, dalam tumpuan yang diberikan pasukan media kepada 100 hari pentadbiran Pakatan Harapan, ada tiga perkara mereka terlepas pandang – iaitu saya bukan Perdana Menteri, Malaysia tidak menjadi Negara Kristian dan institusi Raja-raja Melayu tidak dimansuhkan, seperti yang didakyah sebelum ini oleh pemimpin dan cybertrooper Umno/BN menjelang Pilihan Raya Umun ke-14 (PRU14)
Ini adalah mainan politik perkauman, agama, ketakutan, kebencian dan penipuan yang menular dalam kempen tidak bertanggungjawab pemimpin dan cybertrooper Umno/BN menjelang PRU14 pada 9 Mei 2018.
Adakah tindakan tidak bertanggungjawab seumpama ini telah berakhir pasca PRU14?
Sudah tentu tidak.
Saya masih menanti penjelasan daripada Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa atas ucapan berbaur perkauman, mengapi-apikan dan provokatif semasa Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis berlangsung. Ucapan bertajuk “Realiti Kerajaan Pro-DAP” selama 1 minit 58 saat itu tular di aplikasi media sosial Whatsapp. Malah, bekas timbalan menteri Umno, Tajuddin Rahman dalam ucapannya pada PRK sama menuduh DAP kononnya mempunyai agenda tersembunyi untuk menjadikan Malaysia negara kristian dan mahu menghapuskan institusi Raja-raja Melayu, sekali gus menubuhkan republik.
Politik ketakutan, kebencian dan penipuan pasca PRU14 menjadi bertambah parah apabila turut dikaitkan dengan politik ekstremis perkauman dan agama.
Baru-baru ini, saya ditunjukkan satu mesej Whatsapp yang tular di media sosial mengenai kononnya saya adalah seorang komunis, selain memfitnah bahawa saya menjejakkan kaki ke Malaysia dari China pada usia 16 tahun.
Politik ketakutan, kebencian, penipuan berbaur jahat dan toksik, digabungkan pula dengan politik ekstrimis perkauman dan agama telah gagal membuahkan hasil yang diinginkan oleh Umno/BN pada PRU lepas. Rakyat Malaysia tidak mengira kaum, agama atau wilayah telah menunjukkan kebijaksanaan dan kepintaran mereka yang tidak harus diperkecilkan – kerana jika tidak, masakan akan berlaku perubahan tampuk kuasa di peringkat Kerajaan Persekutuan di Putrajaya dan enam negeri kecuali Pulau Pinang dan Selangor.
Pihak yang mengamalkan politik perkauman, agama, kebencian, ketakutan dan penipuan tetap akan kalah, namun kejahatan dan ketoksikan mereka tidak harus dipandang enteng, justeru raykat Malaysia harus terus tanpa jemu mendedahkan pekung politik oportunis dan penyangak yang mahu memusnahkan kerajaan Pakatan Harapan dalam tempoh dua tahun atau sekurang-kurangnya sebelum PRU15 untuk mengangkat semula Umno/BN ke Putrajaya, dengan apa cara sekalipun!. #sumber
Berikutan pembatalan projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), pihak kerajaan digesa memberi perhatian kepada kebajikan pekerja tempatan yang kehilangan sumber pendapatan dan menjalankan langkah-langkah mitigasi terhadap kawasan pembinaan yang bakal ditinggalkan.
Baru-baru ini Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan pembatalan projek ECRL. Perkara ini tidaklah mengejutkan kerana, Pakatan Harapan memang berjanji dalam Manifesto PRU14 untuk menyemak semula projek-projek mega yang melibatkan berbillion dana kerajaan dan juga pinjaman antarabangsa.
Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa projek ECRL dapat memberi kebaikan kepada pertumbuhan ekonomi kawasan Bentong, tindakan pembatalan disokong berdasarkan kos projek yang terlampau tinggi dan beban kewangan semasa Kerajaan yang tinggi.
Pihak Kerajaan perlu sedar bahawa pembatalan projek ini secara langsung telah memberi kesan kepada hampir 2,000 pekerja yang hilang sumber pendapatan. Amatlah dikesali apabila dianggarkan lebih 1,000 orang pekerja terdiri daripada warga Malaysia dan anak tempatan Bentong sendiri.
Pihak kerajaan perlu memberi perhatian yang khusus kepada kebajikan pekerja tempatan yang terkesan daripada pembatalan projek ini termasuklah memastikan mereka diberi pampasan kewangan yang sewajarnya dan bantuan untuk mendapatkan pekerjaan yang baru.
Kerja-kerja pembinaan projek ECRL di kawasan Genting dan Bentong dikatakan telah mencapai kemajuan antara 13 dan 14 peratus setakat ini. Terdapat kawasan hutan yang sudah ditebang, tanah yang sudah diterangkan dan bukit yang sudah dikorek untuk pembinaan rel dan terowong. Jika tapak-tapak pembinaan ini ditinggalkan begitu sahaja sejurus pemberhentian projek, ia akan membawa kesan yang buruk kepada alam sekitar dan boleh mengakibatkan bencana alam pada masa hadapan.
Pihak Kerajaan perlu memastikan bahawa pihak kontraktor atau mana-mana pihak berwajib melakukan langkah-langkah mitigasi dan pemulihan terhadap tapak-tapak pembinaan yang akan ditinggalkan dengan secepat mungkin. Tapak-tapak pembinaan yang ada sekarang berada di kawasan-kawasan kritikal bagi alam semulajadi kawasan Bentong. Amatlah dikhuatiri sekiranya sebarang bencana berlaku terutamanya ketika fasa monsun Pantai Timur yang akan tiba kelak.
Pihak Kerajaan perlu peka bahawa selepas pembatalan dan pemberhentian projek pembinaan yang besar seperti ECRL, ada juga langkah-langkah penting yang perlu dilakukan terutamanya yang melibatkan kesan ekonomi, sosial dan alam sekitar. #sumber
KUANTAN- Gerakan Rakyat Hentikan Pencemaran Bauksit (Geram) menggesa kementerian berkaitan dan kerajaan negeri mengambil langkah segera terhadap kawalan pencemaran di Terminal Laut Dalam, Pelabuhan Kuantan di sini.
Pengerusinya, Ali Akbar Othman berkata, langkah itu bagi memastikan kejadian pencemaran akibat aktiviti mengendalikan bauksit yang berlaku dua tahun lalu tidak berulang.
Menurutnya, pembukaan Terminal Laut Dalam yang dinaik taraf itu diharapkan dapat menyumbang kepada peningkatan perkhidmatan Konsortium Pelabuhan Kuantan (KPC) kepada pelanggannya.
"Namun kami juga berharap segala langkah kawalan pencemaran segera diwujudkan bagi mengelak sebarang tumpahan atau perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.
"Geram amat berharap pihak berkaitan memandang serius perkara ini dalam proses perbincangan lanjut berhubung operasi industri bauksit selepas ini," katanya.
Beliau berkata, pihak KPC dan semua pengendali yang beroperasi di kawasan Pelabuhan Kuantan mesti mematuhi piawaian yang ditetapkan serta prosedur dalaman dengan mengambil kira semua aspek keselamatan dan alam sekitar. #sumber
KUALA LUMPUR – Peneroka Felda mendesak kerajaan menyiasat dan mendakwa ‘perompak’ wang Felda seperti yang dijalankan ke atas penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO Felda, Mazlan Aliman turut menggesa supaya 10 janji utama yang sepatutnya dilaksanakan dalam tempoh 100 hari, dalam konteks Felda iaitu mansuhkan hutang tidak wajar dan dipaksakan ke atas peneroka dimuktamadkan.
“Jika isu 1MDB disiasat dan didakwa mereka yang terlibat, kenapa tidak kepada ' perompak ' wang Felda?
“10 janji dalam tempoh 100 hari dalam konteks Felda iaitu memansuhkan hutang tidak wajar dan dipaksakan terhadap peneroka wajar diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Mazlan yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menuntut agar kelompok peneroka menerima penyata interim tiga bulan bermula tebang hingga hari ini, penyata untung rugi daripada Felda Technoplant (FTP) dari mula tebang hingga ke hari ini, laporan perbelanjaan tahunan dan bulanan daripada Felda Technoplant Sdn Bhd (FTP) dan penyata hutang peneroka daripada Felda.
“Jika ia dapat diselesaikan, disusuli lain -lain kos seperti pembajaan, jalan pertanian atau kos yang dianggap tidak wajar, maka pemansuhan 50 peratus hutang bersama kadar faedah 6.25 peratus, boleh dimuktamadkan.
“Ayuh, perbaharui iltizam kita demi selamatkan Felda. Kongsi idea dan kepakaran membangunkan semula Felda. Tingkatkan turun ke lapangan, dengari rintihan rakyat; jangan dibiar derita peneroka berpanjangan,” ujarnya.
Beliau menyatakan warga Felda menyokong pembentangan kertas putih mengenai Felda di Parlimen pada sesi akan datang.
“Namun, Penubuhan Suruhanjaya DiRaja (RCI) seperti dalam manifesto PH harus direalisasikan.
“Rakyat ingin tahu bagaimana kebobrokan Felda yang mengakibatkan kehilangan berbilion ringgit wang peneroka. Pendedahan melalui RCI harus diketahui umum dan heret mereka yang dituduh ke muka pengadilan,” tegasnya.
Namun menurutnya, cabaran terbesar adalah membina semula Felda daripada kerosakan yang dahsyat antaranya, hutang Felda berjumlah RM8.05 bilion, bayaran sara hidup dengan kos RM37 juta setiap bulan kepada 31 ribu peneroka yang terlibat dengan tanam semula sering terlewat dan menjejaskan kehidupan harian mereka.
“Kedudukan kewangan tabung Felda seperti tabung tanam semula, insuran ladang dan lain lain, yang kritikal dan menjejaskan pembangunan kebun peneroka.
“Perumahan Generasi Baharu Felda yang terbengkalai dan mengecewakan harapan pemohon yang menanti begitu lama rumah impian mereka,” jelasnya.
Ahli Majlis Tertinggi Amanah itu juga berharap, sambutan kemerdekaan tahun ini, membawa harapan dan sinar baru buat warga Felda. #sumber
KUALA LUMPUR: Peguam terkemuka Datuk Sulaiman Abdullah dilantik mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan jenayah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dijadualkan bermula 12 Feb 2019, kata Peguam Negara Tommy Thomas.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Thomas juga mengumumkan pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, yang juga seorang peguam terkenal sebagai Timbalan Pendakwa Raya untuk mengendalikan keseluruhan proses pendakwaan berhubung urusan 1Malaysia Develoment Berhad (1MDB).
"Dengan pelantikan dua individu terkemuka dalam Majlis Peguam ini, komitmen kami untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab terhadap kleptokrasi terbesar dalam sejarah dunia dengan amat serius dan sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat Malaysia, sesungguhnya memang tidak boleh diragukan lagi,” katanya.
Thomas berkata Sulaiman merupakan salah seorang peguam terkemuka negara yang berpengalaman luas dalam undang-undang jenayah, termasuklah jenayah kolar putih.
”Kemahirannya tiada tolok bandingnya, dan kebijaksanaannya tiada saingannya. Datuk Sulaiman berintegrti tinggi, dan sesungguhnya merupakan seorang peguam yang berperinsip. Datuk Sulaiman telah bermurah hati bersetuju melepaskan kesemua yuran guaman dan berbesar hati untuk memberikan khidmat bakti beliau atas dasar ‘pro bono'.
Thomas berkata selepas berkhidmat selama hampir tiga bulan dan mengalami sendiri tuntutan tugas sebagai Peguam Negara dan Pendakwa Raya, beserta dengan tuntutan-tuntutan yang pelbagai dan berbilang selaku pegawai undang-undang utama dalam pentadbiran yang semakin berubah, beliau sedar beliau tidak boleh mengabungkan kesemua komitmen yang berat ini dan dalam masa yang sama membuat persediaan untuk mengendalikan perbicaraan Najib selama tujuh minggu yang ditetapkan 12 Feb 2019 dan berakhir 29 Mac 2019.
Menurutnya, perbicaraan yang penting dan rumit seperti ini memerlukan perhatian sepenuhnya masa dari kaunsel utama, bukan hanya semasa tempoh perbicaraan, seterusnya diikuti dengan penyediaan hujahan bertulis yang terperinci selepas perbicaraan.
“Malangnya, tuntutan perkara-perkara yang segera dan mendesak ini tidak memberikan masa yang mencukupi untuk saya menumpukan sepenuhnya perhatian ke atas pendakwaan ini. Oleh itu dengan menggunakan budi bicara saya di bawah Seksyen 379 Kanun Tatacara jenayah (KTJ) saya telah melantik Datuk Haji Sulaiman Abdullah untuk mengetuai pihak pendakwaan dalam PP lawan Najib Razak,” katanya.
Mengenai perkara 1MDB, Thomas berkata sememangnya diketahui umum bahawa Kertas-Kertas Siasatan (IP) berhubung pelbagai penipuan berkaitan hal-hal 1MDB masih belum dikemukakan kepada Jabatan ini oleh SPRM dan pihak polis, kecuali satu IP berkatian Jho Low, yang telah membawa kepada pendakwaan dan pengeluaran waran tangkap terhadapnya dan bapanya minggu lepas.
Katanya, selepas IP diterima daripada agensi-agensi siasatan, jabatan ini perlu mengkajinya, menyediakan kertas-kertas dakwaan dan mendakwa mereka yang tertuduh menerusi perbicaraan.
“Untuk menerajui keseluruhan proses ini, sukacita saya mengumumkan pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwaraya di bawah Skesyen 376(3) KTJ.
"Datuk Seri Ram mantan Hakim Mahkamah Persekutuan telah kembali aktif mengamalkan bidang kepeguaman.Beliau berpengalaman luas dalam hal-hal perundangan jenayah.
"Tidak diragui personaliti dan azam beliau yang kuat akan mempertingkatkan lagi siasatan dan pendakwaan dalam kesemua hal berhubung dengan skandal 1MDB. Datuk Seri Ram juga telah melepaskan yuran guamannya dan akan bertindak atas dasar ‘pro bono', katanya.
Thomas dilantik sebagai Peguam Negara pada 4 Jun, telah membuat penampilan pertamanya di mahkamah pada 4 Julai untuk mengetuai pasukan pendakwa dalam kes Najib yang telah didakwa dengan tiga tuduhan pecah amanah jenayah dan satu tuduhan penyalahgunaan kuasa.
Ketika Najib didakwa buat kali kedua pada 8 Ogos atas tiga tuduhan pengubahan wang haram, pasukan pendakwaan diketuai oleh Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria yang merupakan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan Jabatan Peguam Negara.
Kes Najib telah ditetapkan pada 4 Oktober untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali. #sumber
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan hubungan baik antara beliau dengan bekas Ahli Parlimen Rompin, Allahyarham Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis membolehkan arwah mengumpul kekayaan dianggarkan berjumlah RM2.1 bilion.
Dalam catatan di laman Facebook miliknya, Najib mendakwa, arwah sudah dikenali sebagai seorang ahli perniagaan yang berjaya dan kaya ketika beliau mula memegang jawatan sebagai perdana menteri.
Menurutnya, kekayaan dimiliki arwah bertitik-tolak selepas beliau membuka syarikat kejuruteraan pada tahun 1984 dan dua tahun kemudian membeli syarikat EPE Power yang kemudiannya disenaraikan dalam Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) pada tahun 1990an.
“Ketika inilah, Allahyarham memperolehi kekayaannya dan berupaya untuk membuat pelaburan dalam projek lain yang menghasilkan pendapatan kepadanya.
“Saya melihat ramai bertanya mengenai harta peninggalan Allahyarham Tan Sri Dr Jamaludin Jarjis yang dianggarkan berjumlah RM2.1 bilion. Ada juga yang menuduh bahawa hubungan Allahyarham dengan saya ialah punca kekayaan Allahyarham.
“Agak sedih pelbagai tuduhan dilempar kepada Allahyarham yang tidak dapat menjawab segala tohmahan serkap jarang tanpa usul periksa,” katanya.
Tambah Najib, syarikat dimiliki arwah turut dianugerahkan projek penjana elektrik bebas (IPP) di Sabah pada tahun 1990an di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa projek penswastaan lain.
Dalam pada itu, Najib menganggap bekas Pengerusi Tenaga Nasional itu sebagai seorang yang berpelajaran tinggi dan peniaga Melayu yang berjaya di Malaysia.
“Walaupun arwah ada hubungan yang baik dengan saya, beliau tidak pernah meminta apa-apa projek dari saya.
“Dia telah meninggal di bawah keadaan yang begitu tragis dan kita tidak patut bersangka buruk kepada beliau dengan pelbagai tuduhan yang tidak berasas,” ujarnya.. #sumber
KUANTAN - Kira-kira 10,000 pengunjung dari seluruh negeri ini membanjiri sekitar Jalan Mahkota di sini bagi menyaksikan perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2018 peringkat negeri Pahang hari ini.
Program membabitkan seramai 4,313 peserta daripada 86 kontijen itu merangkumi 68 kontijen berjalan kaki dan 18 kontijen berkenderaan.
Seawal pukul 7 pagi orang awam dilihat mula membanjiri lokasi perbarisan bagi menantikan perarakan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta badan korporat.
Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli berangkat menyempurnakan majlis.
Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. #sumber