script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Azan Pertahan Jawatan Ketua Cabang PKR Kuala Terengganu !


KUALA TERENGGANU - Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terenggganu, Azan Ismail berjaya mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Kuala Terengganu dalam pemilihan kepimpinan baharu parti itu hari ini.
Azan yang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar menewaskan dua pencabarnya dengan meraih sebanyak 180 undi manakala Mohd. Al-Faizal Amjed (99 undi) dan Md. Shuhaimi Ismail (14 undi).
Keputusan tersebut dianggap muktamad berdasarkan kesediaan ketiga-tiga mereka menurunkan tandatangan masing-masing di dewan pemilihan di Dewan Seri Budi, Jalan Sultan Omar di sini sebentar tadi. #sumber
Share:

Anak Sulung Pelakon Terkenal Bob Lokman Meninggal Dunia !



KUALA LUMPUR - Anak sulung pelakon terkenal, Bob Lokman iaitu Mohamad Adam, disahkan telah meninggal dunia pada pukul 1 pagi tadi selepas pengsan di rumahnya di Sungai Buloh.

Berita sedih berkenaan dikongsi Bob atau nama sebenarnya Mohd. Hakim Lokman, 54, menerusi laman Facebook miliknya.

“Memaklumkan bahawa anak sulung saya, Mohd. Adam baru sahaja kembali ke rahmatullah,” tulisnya.

Difahamkan sebelum ini Adam yang berusia 25 tahun pernah mempunyai sejarah ketumbuhan dalam otak.

Bagaimanapun, ketumbuhan berkenaan sudah dibuang ketika berusia 8 tahun. Penyakitnya itu juga membuatkan dia kerap pengsan.

Jenazah akan disolatkan di Masjid Al-Hikmah, Kuang, dan dijangka kebumi selepas solat Jumaat di Tanah Perkuburan Islam Batu 20, Kuang, Sungai Buloh. #sumber
Share:

DS Vida Di Beri Masa Tujuh Hari Mohon Maaf Secara Terbuka !


KUALA LUMPUR - Penyanyi Aishah memberi tempoh selama tujuh hari bermula hari ini kepada pengusaha kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida untuk membuat permohonan maaf secara terbuka berkenaan isu tuntutan hadiah rantai berlian palsu yang ditawarkan semasa menjuarai pertandingan Gegar Vaganza pada musim lepas.

Aishah atau nama penuhnya, Wan Aishah Wan Ariffin, 53, juga telah menghantar surat tuntutan menerusi peguamnya yang meminta Vida seutas rantai berlian asli dengan nilai setara RM80,000.

“Kami telah menghantar satu surat tuntutan bertarikh 4 Oktober untuk tindakan terkini DSV yang menuntut seutas rantai berlian asli dengan nilai setara RM80,000 seperti yang dihebohkannya.

“Kami juga mahukan permohonan maaf secara terbuka kepada Aishah menerusi liputan meluas media atas representasi salah yang telah dibuat berkenaan rantai tersebut,” kata peguam Mohamad Izwan Azmi dalam sidang akhbar di sini sebentar tadi.

Dalam pada itu, Aishah berkata, tujuan tindakannya itu adalah untuk memberi pengajaran kepada pihak penaja agar tidak sesuka hati menjanjikan hadiah kepada artis.

“Saya benar-benar terkejut ketika mendapat tahu rantai berlian itu palsu. Saya tidak sangka ada orang sanggup membuat perkara seperti ini. Saya juga sudah mendapatkan laporan gemolikal, terbukti rantai berlian itu palsu.

“Sebagai artis, saya rasa tercabar. Jika saya tidak bersuara, selepas ini pasti hal yang sama akan berlaku lagi. Saya harap badan penyiaran lain juga akan lebih berhati-hati dengan isu penajaan hadiah selepas ini,” ujar Aishah.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Janji Manismu turut menganggap tindakan Datuk Alif Syukri menjemput dirinya ke konsert Gegar Vaganza 5 pada hari Ahad ini adalah tidak logik.

Menurut Aishah, pentas berkenaan tidak sesuai untuk menyelesaikan masalah antara dirinya dan DSV.

“Saya rasa tidak logik jika mereka menjemput saya untuk menyelesaikan masalah. Berapa minit masa yang mereka akan berikan kepada saya?

“Pada saya, pentas Pentas Gegar Vaganza tidak sesuai untuk selesaikan masalah ini,” katanya. #sumber
Share:

Dua Beranak Melecur, Mesin Pengering Dobi Meletup Di Klang !


KLANG - Seorang bapa dan anak perempuannya melecur masing-masing 57 dan 37 peratus selepas mesin pengering pakaian sebuah kedai dobi di Jalan Johan Setia meletup dalam satu kejadian kira-kira pukul 9 pagi tadi.

Lelaki berkenaan yang berusia 43 tahun dan anaknya berumur 14 tahun yang melecur pada beberapa bahagian badan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, berdasarkan laporan pengadu iaitu isteri mangsa, dia bersama suaminya dan dua anak mereka telah pergi ke kedai dobi berkenaan untuk mengeringkan pakaian.

"Semasa pengadu bersama anak kecil di dalam kereta, tiba-tiba berlaku letupan di mesin pengering tersebut dan menyebabkan suami dan anak perempuannya melecur pada tubuh badan.

"Pengadu telah meminta bantuan orang ramai membantu mengangkat suami dan anaknya ke dalam kereta sebelum memandu terus ke HTAR," katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Shamsul Amar berkata, siasatan awal mendapati, letupan berlaku setelah suami pengadu menekan butang “START” mesin pengering, yang secara tiba-tiba meletup dan menyebabkan suami dan anak pengadu mengalami kebakaran pada tubuh badan. 

Katanya, kedua-dua mangsa berada dalam keadaan stabil dan dirawat di HTAR di sini.

Menurutnya, pegawai bomba mengesahkan punca kejadian adalah akibat masalah teknikal pada mesin pengering yang menyebabkan api menyambar bahagian belakang yang menempatkan tong gas.

"Siasatan mendapati tiada unsur khianat dalam kes ini," ujarnya. #sumber
Share:

Keputusan Isu Hapus Tol Di Ketahui Dua Atau Tiga Bulan Lagi !


KUALA LUMPUR - Keputusan berhubung isu penghapusan kutipan tol lebuh raya hanya akan diketahui dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, ketika ini pihaknya sudah menerima beberapa cadangan daripada syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat dan akan menilai semua cadangan berkenaan sebelum membuat sebarang keputusan.

"Masa sekarang kita masih berunding, mencari satu jalan yang saling memanfaatkan  kepada pihak  berkepentingan dan kerajaan baharu. Apa yang nanti diputuskan cara baiknya yang diterima semua pihak berkepentingan. Saya percaya itu akan dilaksanakan. 

"Saya difahamkan semua pemegang berkepentingan bersikap positif  (ekonomi) terhadap kedudukan kita sekarang. Justeru itu mereka sangat memaham, kita harap akan ada persefahaman dan kesimpulan bersama serta persetujuan bersama yang terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penghargaan Man-Hours Without Lost-Time Injury (LTI) bagi projek-projek lebuh raya dalam pembinaan, di Susur Lebuh Raya Bandar Mahkota Cheras.

Katanya, antara cadangan yang diberikan syarikat konsesi termasuklah pemberian rebat, memanjangkan tempoh konsesi lebuh raya dan pemberian diskaun. #sumber
Share:

Enam Anggota Bomba Lemas Ketika Buat Operasi Menyelamat


PUCHONG - Tragedi menimpa enam anggota bomba apabila mereka mati lemas ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat seorang mangsa yang dilaporkan hilang di Tasik Putra Perdana dekat sini hari ini.

Kejadian dipercayai berlaku pada pukul 6 petang semasa kesemua yang merupakan anggota daripada unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) melakukan selaman di lokasi kejadian.


Jurucakap Bomba Selangor berkata, pihaknya sebelum itu menerima panggilan berhubung kejadian lemas seorang remaja lelaki berusia 17 tahun pada pukul 5.30 petang sebelum menghantar pasukan di lokasi kejadian.

Katanya, pasukan yang terlibat ialah anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya, BBP Shah Alam dan BBP Perlabuhan Klang.

“Enam anggota berkenaan terlibat dalam operasi pencarian mangsa sebelum mereka turut lemas.

“Kesemua mereka berjaya dinaikkan ke permukaan dan diberikan bantuan kecemasan termasuk bantuan pernafasan, namun mereka disahkan telah meninggal dunia,” kata jurucakap berkenaan dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Mayat kesemua anggota bomba yang lemas itu telah dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat.

“Empat yang lemas adalah dari PPDA Pelabuhan Klang iaitu Mohd. Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omar Baki, 25, dan Yahya Ali, 24.

“Dua lagi mangsa dari PPDA Shah Alam iaitu Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, dan Adnan Othman, 33,

Difahamkan, sehingga pukul 11 malam tadi, mangsa lelaki yang lemas masih belum ditemui. #sumber
Share:

Gubah Wang Haram, SPRM Sahkan Menahan Rosmah Mansor !


PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menahan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berhubung siasatan pengubahan wang haram setelah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.

“Penahanan tersebut dibuat pada jam 3.20 petang di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya hari ini,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan petang ini.

Susulan itu, Rosmah akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Rosmah akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada pukul 8 pagi esok untuk berhadapan dengan pertuduhan tersebut. #sumber
Share:

Pemilik Van & Maahad Tahfiz Fail Rayuan Bayaran RM4.3 Juta


KOTA BHARU - CT-One Corporation Sdn. Bhd. dan Maahad Tahfiz Al-Hashimi hari ini memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Kota Bharu yang memerintahkan kedua-duanya dan satu pihak lagi membayar sejumlah RM4,334,507 kepada bekas pelajarnya yang terbabit dalam kemalangan van pada Jun tahun lepas.

Notis rayuan bagi membatalkan atau mengurangkan jumlah bayaran itu difailkan oleh pengasas maahad tahfiz berkenaan Datuk Adnan Hashim menerusi Tetuan Tengku Azlina, Azlan Shah (amp) Azman di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Pada 23 September lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Nazri Ismail memutuskan CT-One Corporation Sdn Bhd, Maahad Tahfiz Al-Hashimi dan pemandu van Muhammad Hamzi Mohammad Husham, 25, bertanggungjawab secara vikarius terhadap kecederaan dialami bekas pelajar itu yang menyebabkannya hilang upaya akibat kemalangan itu.

Sehubungan itu, mereka diperintah membayar  RM4,334,507  kepada Muhammad Faiz Hafizuddin selaku defendan pertama dan ibunya Jahsuriawany Mustapha, 46,  selaku defendan kedua.



Kos itu membabitkan ganti rugi terhadap Muhammad Faiz Hafizuddin yang cedera kepala dan retak saraf tunjang sehingga menyebabkan mangsa lumpuh seumur hidup serta bagi pembelian lampin pakai buang, tiub makanan, beg kencing, katil, tilam dan jururawat persendirian. #sumber
Share:

Rosmah Di Tahan SPRM, Bakal Di Dakwa Di Mahkamah Esok !


PUTRAJAYA - Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ditahan pada pukul 3.20 petang selepas hadir untuk memberi keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.

Menurut sumber, beliau akan dihadapkan ke mahkamah esok berhubung kes SRC International Sdn. Bhd. iaitu bekas subsidiari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selain kes penggubahan wang haram.

Terdahulu, Rosmah dilihat hadir pada pukul 10.42 pagi dengan menaiki kereta jenis Proton Perdana pada pukul 10.45 pagi, beliau dilihat memakai baju kurung dan berselendang berwarna hijau muda.

Barisan peguam Rosmah yang diketuai, Datuk K. Kumaraendran pula tiba lebih awal iaitu pada pukul 10 pagi.

Ini adalah kali ketiga Rosmah dipanggil  untuk memberi keterangan, kali terakhir Rosmah hadir ke ibu pejabat SPRM bagi memberi keterangan ialah pada 26 September lalu dan disoal siasat hampir 13 jam.

Kali pertama Rosmah dipanggil memberi keterangan kepada SPRM ialah pada 5 Jun lalu dan disoal siasat lebih lima jam.

Sebelum ini, media melaporkan Rosmah mungkin berdepan sehingga 20 pertuduhan jenayah yang kebanyakannya membabitkan penggubahan wang haram. #sumber
Share:

Enam Calon Ketua Cabang PKR Pahang Menang Tanpa Tanding


KUANTAN - Pengerusi PKR Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman hari ini, mengesahkan enam daripada 14 calon ketua cabang menang tanpa bertanding pada pemilihan parti bagi penggal 2018-2021. 

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti mereka kerana ia hanya akan diumumkan secara rasmi selepas tamat proses pemilihan peringkat negeri yang akan diadakan pada Sabtu ini. 

"Ada di antara mereka yang merupakan muka baharu. Kemenangan enam calon itu juga menunjukkan mereka mendapat kepercayaan daripada anggota parti untuk mewakili suara mereka ke peringkat tertinggi. 

"Pada Sabtu ini, lapan lagi calon ketua cabang masing-masing berdepan dengan pertandingan satu lawan satu," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

Fauzi menambah ketua cabang yang menang tanpa bertanding ialah Kuantan, Indera Mahkota, Pekan, Kuala Krau, Rompin dan Cameron Highlands. 

Beliau juga menambah pada pemilihan kali ini, seramai 15,000 anggota parti di negeri ini akan menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih pimpinan parti.#sumber
Share:

Gurauan Mencemaskan, Budak Terkunci Dalam Mesin Basuh !


HULU SELANGOR – Gurauan seorang lelaki memasukkan anak saudaranya ke dalam mesin basuh di sebuah dobi layan diri di Bukit Sentosa di sini semalam mencetuskan panik selama kira-kira 20 minit apabila mesin tersebut terkunci dengan budak lelaki itu terperangkap di dalam mesin basuh tersebut.
Kejadian pada pukul 12.30 malam tersebut menyebabkan beberapa pekerja restoran berhampiran membantu menyelamatkan mangsa yang terkunci di dalam mesin basuh bermuatan 15 kilogram (kg).
Budak itu berjaya diselamatkan selepas mesin basuh tersebut dipecahkan oleh beberapa individu menggunakan pelbagai peralatan termasuk tukul besi.
Kanak-kanak itu tidak cedera dan kelihatan ‘biasa’ walaupun terperangkap kira-kira 20 minit akibat gurauan bapa saudaranya. #sumber
Share:

Hilang Pelaburan, Peluang Kerja Jika Lynas Malaysia Di Tutup !


KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi kehilangan pelaburan dan pekerjaan dalam kalangan rakyat tempatan, jika operasi Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas Malaysia) dihentikan.

Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Urusan Lynas Corporation Ltd, Amanda Lacaze, berkata sejak memulakan operasi di Malaysia pada 2012, keseluruhan pelaburan modal yang diperuntukkan bagi operasi di Lynas Malaysia berjumlah hampir RM3 bilion.

"Kami juga menyediakan peruntukan pelaburan kira-kira RM500 juta setahun bagi operasi tempatan," katanya pada sidang media Lynas Malaysia, di sini, hari ini.

Beliau berkata, syarikat memang menyediakan peruntukan untuk terus mengukuhkan operasi di Malaysia dan mengharapkan ia dapat berjalan dengan baik.

"Malah, pada tahun ini kami memperuntukkan sebanyak RM66 juta bagi melaksanakan projek seterusnya bagi meningkatkan lagi operasi kami serta membolehkan syarikat meningkatkan pengeluaran.

"Kami juga telah berbincang dengan beberapa pihak tertentu mengenai operasi hiliran kami dan saya turut mempromosikan Malaysia sebagai negara berpotensi dan hebat untuk aktiviti hiliran ketika menghadiri persidangan pelaburan di Hong Kong, kira-kira tiga minggu lalu.

"Kami juga sebelum ini mengadakan beberapa siri perbincangan mengenai projek hiliran, tetapi kini terpaksa ditangguhkan," katanya.

Mengulas lanjut, Lacaze berkata, pihaknya memberi jaminan akan memberikan keutamaan kepada pekerja, kakitangan, kontraktor dan pembekalnya meskipun berdepan isu semakan semula operasi syarikat itu di negara ini.

"Setakat ini, 97 peratus daripada 650 tenaga kerja di Lynas Malaysia terdiri daripada rakyat tempatan.
"Kami tidak mempunyai tenaga kerja di kalangan ekspatriat atau pekerja kontrak dari negara Asia.
"Malah, 70 peratus daripada pengurusan syarikat di sini juga adalah rakyat Malaysia. 

Selain itu, kami juga memiliki sejumlah pembekal tempatan yang terdiri daripada pembekal utama syarikat," katanya yang turut menambah syarikat berkeupayaan untuk mengambil sebarang usaha bagi memindahkan operasi syarikat tetapi ia memerlukan masa, usaha dan kewangan.

Tambahnya, Lynas Malaysia juga tidak terfikir untuk menghentikan operasinya di Malaysia kerana syarikat itu beroperasi mengikut perundangan dan mempunyai lesen yang sah.

Lynas Malaysia kini berdepan dengan isu penilaian semula operasi berikutan syarikat berkenaan menghasilkan bahan nadir bumi berkualiti tinggi di Kuantan, di bawah syarat pelesenan ketat sejak September 2014.

Bagaimanapun, mengikut Dewan Perniagaan Malaysia Australia (MABC) kredibiliti menyemak semula operasi Lynas Malaysia, termasuk komposisi pasukan penilai dan terma rujukan adalah kritikal untuk memastikan ia tidak menjejaskan reputasi Malaysia sebagai destinasi pelaburan terbuka dan stabil.

Mengulas mengenai semakan semula operasi Lynas Malaysia, Lacaze berkata, pihaknya memohon ia dilaksanakan secara objektif, telus dan saintifik serta adil terhadap syarikat itu.

Katanya, Lynas Malaysia sedia bekerjasama dengan kerajaan berhubung semakan semula ini, namun berharap mereka dilayan secara adil seperti syarikat lain di negara ini.

Sehingga hari ini, katanya, Lynas Malaysia belum dimaklumkan mengenai keanggotaan jawatankuasa dan skop semakan semula atau terma rujukan bagi jawatankuasa berkenaan.

"Kami menjalankan operasi loji yang selamat kepada pekerja dan alam sekitar, menggajikan ramai kakitangan tempatan serta melatih dan membayar mereka dengan baik, selain menerima sokongan daripada komuniti.

"Kami bukan isu dalam pilihan raya, dan kami bukan manifesto kerajaan. Saya tak tahu apakah motivasi kumpulan yang menentang kami," katanya.

Lacaze turut menegaskan aspek keselamatan amat dititikberatkan pihaknya dan semakan dalam lingkungan 20 kilometer daripada loji Lynas sejak enam tahun lalu mendapati tiada perubahan kadar radiasi.

"Juruterbang komersial atau krew penerbangan lebih terdedah kepada radiasi sehingga tujuh kali ganda setahun, berbanding pekerja kami yang bekerja secara langsung dengan bahan radioaktif," katanya. #sumber
Share:

Dua Buah Kereta Hangus Terbakar Di Hadapan HTAA Kuantan


KUANTAN - Dua buah kereta hangus terbakar semasa kejadian di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini pukul 12.42 tengah hari tadi.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Mohd. Sani Harul berkata, kejadian tersebut mengakibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi terbakar 100 peratus.
Ujar beliau lagi, sebuah lagi kereta jenis Proton Saga yang diletak di hadapan Perodua Myvi tersebut turut mengalami kebakaran lima peratus semasa kejadian itu.
"Kereta berkenaan diletak di kawasan parkir berhampiran HTAA. Tiada kecederaan dilaporkan kerana pemilik kedua-dua kereta tidak berada di dalam kenderaan semasa kejadian," ujar beliau.
Difahamkan, Perodua Myvi berkenaan merupakan milik seorang kakitangan yang bertugas di hospital tersebut. #sumber
Share:

Ibu Tiga Anak Ditemui Mati Dikelar Di Rumah Di Seremban Jaya


SEREMBAN - Seorang wanita ditemui mati dikelar pada leher di ruang tamu rumahnya di Taman Seremban Jaya, Fasa 10 di sini petang tadi.

Mangsa yang dikenali sebagai K. Gunawathy, 39, yang bekerja secara sambilan membuat kek di rumah ditemui tertiarap berhampiran tangga oleh anaknya pada kira-kira pukul 1.30 petang.

Kakak kandung mangsa, K. Chandran Vathani, 43, berkata, berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di rumah jiran, kelihatan seorang lelaki memberhentikan motosikal jenis Honda Wave lalu masuk ke rumah mangsa.

"Saya difahamkan berlaku pergelutan di dalam rumah. Lelaki terbabit tergamak mengelar leher adik saya menggunakan pisau sehingga mati.

"Lelaki terbabit turut melarikan seunit telefon bimbit dan sebuah beg dipercayai mengandungi wang tunai RM500," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Sementara itu, abang kandung mangsa, K. Deva, 42, berkata, ketika kejadian, suami mangsa tiada di rumah kerana bekerja di sebuah kilang di Senawang, manakala tiga anak lelaki mereka berusia 14, 13 dan 9 tahun berada di sekolah.

Ceritanya lagi, sebelum kejadian, isterinya bersama Chandran dan mangsa bersarapan pagi di sebuah restoran di bandar Seremban. Ketika itu, Chandran memberi RM500 kepada mangsa dan dia memasukkan wang tersebut ke dalam beg yang dilarikan penjenayah.

Tambahnya, pihak polis yang tiba di lokasi kemudian menghantar mayat Gunawathy ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh ketika dihubungi mengesahkan polis menerima laporan berhubung kejadian samun dan bunuh itu dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. #sumber
Share:

Adik Lelaki Lokman Noor Adam Di Tahan Bawah Akta Hasutan !


SHAH ALAM - Adik kepada Presiden Pemantau Malaysia Baharu (PMB), Datuk Lokman Noor Adam ditahan reman empat hari di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan bermula hari ini.

Ketua Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Fadzil Ahmat ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut bersabit perbuatan yang dilakukan adik Lokman.

"Benar kita menahannya pagi ini, dia direman empat hari bermula hari ini dan polis menyiasat kes ini di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan," katanya.

Terdahulu berita mengenai penahanan itu dikongsi Lokman Noor di dalam laman sosial Instagram miliknya yang mendedahkan adiknya ditahan sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Daerah (IPD) Shah Alam, kira-kira pukul 3 pagi dirumahnya di Bukit Subang di sini.

"Adik saya direman empat hari di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan di IPD Shah Alam. Sebelum pilihan raya, Akta Hasutan mahu dihapuskan, kini ia menjadi senjata utama mereka, tidak cukup saya, adik saya pula jadi mangsa," kata Lokman dipetik menerusi Instagramnya.

Lokman Noor mendakwa adiknya ditahan kerana telah menularkan status bergambar milik individu lain yang didakwa mengandungi gambar menghina Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di laman sosial Facebook. 

"Saya bersetuju adik saya tidak sepatutnya mengongsikan 'posting' kenalan Facebook beliau yang mengandungi gambar seorang budak menghalakan punggung ke arah wajah Mahathir yang muncul di kaca televisyen.

"Saya mengutuk tindakan individu itu (kenalan adiknya) sama seperti saya mengutuk penyokong Bersih melakukan perkara sama terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dahulu.

"Sungguhpun begitu, tidak pula kita dengar penyokong Bersih tersebut ditahan pada pukul 3 pagi dibawah Akta Hasutan, kenapa ya?" Soalnya.

Pada masa yang sama, beliau turut melahirkan rasa hairan apabila dua laporan polis yang dibuat di balai sama berkenaan penghinaan dua pemimpin Pakatan Harapan iaitu Datuk Abdul Kadir Jasin dan Hishammuddin Rais terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V sehingga kini tiada sebarang pendakwaan. #sumber
Share:

Tun Mahathir Kecewa Najib Tidak Seperti Bapanya, Tun Razak !


LONDON - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui kecewa dengan Datuk Seri Najib Tun Razak kerana tidak memiliki ciri seperti bapanya Tun Abdul Razak Hussein, yang merupakan individu yang beliau sanjungi.

Dr Mahathir berkata Tun Abdul Razak adalah orang yang begitu prihatin dengan nasib orang kampung termasuk memperkenalkan pembangunan kawasan luar bandar namun anaknya tidak sedemikan.

Menurutnya, Najib tiba-tiba memberitahunya mengenai ‘cash is king’.

"Bila kita kata 'cash is king' bermakna dengan duit kita boleh buat apa sahaja. Bila tak ada duit, curi duitlah," katanya kepada media Malaysia sebelum mengakhiri lawatan kerja siri kedua ke United Kingdom pada Isnin.

Beliau turut kecewa dengan kerosakan jentera kerajaan yang berlaku pada pentadbiran Najib apabila terdapat pegawai-pegawai kerajaan yang berkempen semasa pilihan raya.

Dr Mahathir berkata ketika beliau menjadi perdana menteri pertama kali pada tahun 1981, tiada masalah berlaku dengan jentera kerajaan.

"Tiada masalah, cuma nak buat keputusan berkenaan perkara ini, perkara itu dan perkara ini. Jentera kerajaan berjalan dengan baik," katanya mengenai pengalaman ketika mula menjadi perdana menteri pada 1981 sehingga 2003.

Dalam pada itu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memenangi kerusi Parlimen Port Dickson dalam pilihan raya kecil kerusi berkenaan pada 13 Okt ini kerana bilangan calon yang ramai bertanding akan memecahkan pengundi.

Kerusi itu akan melibatkan pertandingan tujuh penjuru termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abd Samad dan bekas pembantu peribadi Anwar, Saiful Bukhari Azlan sebagai pencabar Anwar.

Ditanya mengenai cara pengosongan kerusi berkenaan, Dr Mahathir berkata ia tidak menyalahi undang-undang walaupun ada yang mempertikaikan dari sudut moral.

"Undang-undang membenarkan wakil rakyat letak jawatan dan beri jalan pada pihak lain," katanya.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 Sept lepas untuk memberi laluan kepada Anwar, yang baru-baru ini menang tanpa bertanding sebagai Presiden PKR bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Dr Mahathir berkata kemenangan Anwar akan membolehkannya menjadi Anggota Parlimen.

"Dia bertanding untuk memenuhi kerusi yang kosong. Bila menang dia jadi Anggota Parlimen," katanya. #sumber
Share:

Penganggur Bunuh Teman Wanitanya Di Jatuhi Hukuman Mati !


IPOH - Seorang penganggur dijatuhi hukuman mati oleh Mahakamah Tinggi di sini hari ini selepas dia didapati bersalah membunuh seorang remaja wanita yang juga merupakan teman wanitanya di sebuah rumah di Kampung Batu Besi, Ladang Sengat, Simpang Pulai di sini dua tahun lalu. 

Hakim Datuk Hashim Hamzah membuat keputusan tersebut terhadap N. Sanderasegaran, 30, selepas meneliti semua hujah pihak pendakwaan dan pembelaan serta keterangan daripada saksi-saksi yang dipanggil kedua-dua pihak.


Ketika membacakan alasan penghakiman, Hashim memberitahu bahawa tertuduh sengaja mereka-reka cerita dengan mengatakan dia dan mangsa dirompak sekumpulan lelaki ketika kejadian tersebut. 

"Bagaimanapun, ironinya mangsa mengalami 37 kesan kecederaan namun tertuduh hanya mengalami luka kecil di tangan. Jika benar kejadian tersebut berlaku, tertuduh juga akan turut mengalami kecederaan lebih kurang sama. 

"Analisis melalui ujian makmal yang dilakukan juga mendapati hanya dua asid deoksiribonukleik (DNA) iaitu mangsa dan tertuduh dijumpai di badan mangsa serta tiada DNA ketiga yang menunjukkan kehadiran pihak lain," katanya. 

Menurutnya, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan di akhir kes pembelaan. 

"Oleh itu, mahkamah mendapati kamu disabit kesalahan atas pertuduhan membunuh dan tiada hukuman lain terhadap kamu melainkan gantung sehingga mati," katanya. 

Tertuduh hanya menunduk ke lantai ketika hukuman terhadapnya dibacakan. 

Mengikut pertuduhan, Sanderasegaran didakwa melakukan pembunuhan terhadap S. Durga Devi, 17, di sebuah rumah di Kampung Batu Besi, Ladang Sengat, Simpang Pulai kira-kira jam 11 malam 27 Februari hingga 6 pagi 28 Februari 2016.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Irwan Suainbon manakala tertuduh diwakili peguam bela, Ranjit Singh.  

Seramai 12 saksi pendakwaan dipanggil memberikan keterangan manakala pihak pembelaan mengemukakan tiga saksi termasuk tertuduh. #sumber
Share:

Anggota Bomba Terkandas Dalam Kebakaran Hutan Di Pekan !


KUANTAN - Enam anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan tiga kakitangan Jabatan Perhutanan Pahang terkandas semasa menyertai operasi memadamkan kebakaran di Hutan Simpan Pekan, sejak semalam.

Pengarah JPBM Pahang, Nor Hisham Mohammad berkata mereka dipercayai terkandas di kawasan hutan ekoran keletihan selepas berjalan kaki selama lima jam bagi mencari jalan alternatif untuk ke lokasi kejadian, memandangkan kawasan itu tidak boleh dilalui kenderaan.

"Kami juga mendapat maklumat dua daripada mereka mengalami masalah kekejangan. Ini menyebabkan pasukan itu membuat keputusan untuk ‘rehat’ sementara berhampiran lokasi kejadian.

"Setakat ini, kami masih boleh berhubung dengan mereka, cuma kedudukannya secara tepat masih tidak diketahui. Kami juga menghantar pasukan untuk mencari dan menghantar bekalan makanan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.  

Nor Hisham turut berada di lokasi kejadian bersama-sama Pengarah Perhutanan Pahang Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin.

Katanya setakat hari ini, kawasan yang terlibat dalam kebakaran mencecah seluas 120 hektar, berbanding 80 hektar pada Sabtu lepas.

Beliau berkata usaha memadamkan kebakaran melibatkan 21 anggota dan dibantu 15 kakitangan Jabatan Perhutanan.

"Setakat ini, kita dapat melimpahkan air ke permukaan kawasan yang belum terbakar menggunakan air daripada terusan balak di sini. Operasi itu bermula semalam dan pagi ini, kita dapati air sudah naik ke permukaan.

"Kita tidak dapat membawa jentera ke kawasan kejadian kerana lokasinya yang tidak mempunyai jalan selain keadaan berpaya," katanya. #sumber
Share:

Istana Pahang Nafikan Berita Kemangkatan Sultan Ahmad Shah


PEKAN: Istana Pahang menafikan berita mengenai kemangkatan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, yang tersebar hari ini.

Menurut sumber, Sultan Ahmad Shah berada dalam keadaan sihat dan sedang berada di ibu negara.

“Tuanku berada dalam keadaan sihat... saya menafikan berita (kemangkatan) yang tersebar itu,” katanya.

Difahamkan, baginda kini sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, sejak empat hari lalu.

Sultan Ahmad Shah bakal menyambut Ulang Tahun Keputeraan yang ke-88 pada 24 Oktober ini. #sumber
Share:

Kubur Jenazah CEO Cradle Fund Di Gali Semula Isnin Depan !


PETALING JAYA - Kubur jenazah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn. Bhd., Allahyarham Nazrin Hassan yang meninggal dunia dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Damansara, Jun lalu akan digali semula Isnin depan.

Menurut kenyataan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Se­nior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, permohonan itu dibuat pegawai penyiasat kes tersebut di dalam kamar Majistret Nor Ariffin Hisham.

"Mahkaman telah mengeluarkan perintah untuk mengali semula bagi tujuan bedah siasat kali kedua yang akan dilaksanakan pada Isnin depan," katanya.

Fadzil memberitahu, pihak polis telah menerima laporan dibuat oleh abang Nazrin yang tidak berpuas hati atas laporan bedah siasat dikeluarkan pihak patologi Hospital Kuala Lumpur.

"Pihak polis menerima laporan itu pada 24 September lalu. Ekoran daripada laporan berkenaan, pihak polis telah berbincang dengan Pengarah Pendakwaan Negeri untuk menjalankan prosedur dibawah Seksyen 336 Kanun Tatacara Jenayah iaitu untuk mengalikan dan mengadakan bedah siasat mayat kali kedua," katanya.

Terdahulu, beberapa ahli keluarga Nazrin tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya kira-kira pukul 9.40 pagi sebelum keluar kira-kira 40 minit kemudian.

Bagaimanapun, pihak media tidak mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pengawai penyiasat bagi mengetahui maklumat lanjut behubung kes berkenaan.

Pada 4 September lalu, isteri kepada Nazrin, Samirah Muzaffar, 43, dan bekas suaminya, Nizam Mydin Bacha Mydiin, 43, ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes tersebut.

Sementara itu, pada 9 September lalu, turut ditahan reman dua anak tiri Nazrin yang berusia 14 dan 16 tahun.

Bagaimanapun, kesemua suspek dibebaskan selepas tamat reman.

Kosmo! Online baru-baru ini melaporkan sebuah telefon bimbit yang diletak sama ada di atas katil atau sisi katil meletup semasa dicas mungkin menjadi punca kebakaran di bilik tidur yang mengorbankan Nazrin.

Nazrin terperangkap dalam kebakaran di bilik tidur rumah teres dua tingkat di Mutiara Damansara dan berkemungkinan meninggal dunia akibat terhidu asap. Tubuh mangsa turut melecur.

Bagaimanapun, isteri dan empat anak mangsa yang berada di tingkat bawah sempat menyelamatkan diri.  #sumber
Share:

Kanak-Kanak Mati, Gara-Gara Pengasuh Sumbat Cili Ke Mulut !


SEREMBAN – Seorang pengasuh yang memasukkan cili ke dalam mulut seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun enam bulan sehingga menyebabkan mangsa mati pada Jun lalu dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Hakim Datuk Abu Bakar Jais menjatuhkan hukuman tersebut selepas Asmarani Ghazali, 39, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan ke atasnya mengikut Seksyen 31(5)(b) Akta Kanak-Kanak 2001.

Tertuduh yang mempunyai tiga anak didakwa menganiaya Muhammad Afif Kamarol Azli dengan cara memasukkan sebiji cili hijau ke dalam mulut mangsa sehingga menyebabkan kanak-kanak itu mati dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan TTJ 3/1B, Taman Tuanku Jaafar, Sungai Gadut di sini antara pukul 9.30 pagi hingga pukul 10 pagi, 13 Jun lalu.

Pertuduhan pilihan terhadap wanita itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala Seksyen 31 (5) (b) Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. #sumber
Share:

Lelaki Bakar Muka Peniaga Online Di Arau Perlis, Di Tahan Polis


KANGAR - Seorang lelaki berusia 32 tahun ditahan polis di Kampung Banat, Arau dekat sini kira-kira pukul 12 tengah malam hari ini bagi membantu siasatan kes peniaga cedera dibakar dimuka pada 9 September lalu.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, suspek itu ditahan di rumahnya.

"Siasatan awal mendapati, suspek yang bekerja sebagai mekanik itu mempunyai rekod jenayah lampau seperti mencuri kenderaan, khianat dan pecah rumah.

"Selain itu, suspek mempunyai rekod penagihan dadah," katanya ditemui pemberita di Mess Pegawai Kanan PDRM di sini sebentar tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Ahad bagi membantu siasatan.

Kosmo! Online pada 9 September lalu melaporkan, seorang lelaki berusia 30 tahun mengalami kecederaan serius di bahagian muka apabila dipukul dan dibakar dalam kejadian di tapak pasar malam di Jejawi, Arau dekat sini.

Nanda berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 30 tahun itu telah dipukul dibahagian muka dalam kejadian pukul 4.45 petang.

"Mangsa berniaga secara dalam talian dan menetap di Kuala Perlis," katanya.

Mangsa kini sedang mendapat rawatan lanjut di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

Difahamkan, berlaku pergaduhan antara mangsa dengan seorang suspek yang menyembur minyak petrol di mukanya sebelum menyalakan api menggunakan pemetik api. #sumber
Share:

Warga Emas Meninggal Dunia Jatuh Longkang Ketika Turun Bas


KUANTAN: Seorang warga emas berusia dalam 80 tahun dipercayai meninggal dunia akibat terjatuh ke dalam longkang selepas turun dari bas RapidKuantan hari ini.



Kejadian berlaku berhampiran pasaraya Niwana Beserah dekat sini. Difahamkan, kejadian berpunca akibat bas yang berhenti ditepi longkang. Kejadian telah tular di dalam group FB Warga Kuantan dan mendapat komen yang panas dari kalangan netizen. 



Ramai yang menyalahkan pemandu bas kerana memberhentikan kenderaa itu berhampiran dengan longkang. Namun tidak kurang juga mengganggap kejadian itu adalah satu tragedi yang diluar jangkaan. 


Kejadian ini sungguh memeranjatkan ramai pihak kerana memang banyak hentian bas dalam kawasan bandar Kuantan yang lokasinya tidak sesuai. Ada yang dekat tepi longkang dan ada yang betul-betul berhampiran pembahagi jalan, kawasan selekoh dan banyak kawasan merbahaya sebenarnya.

Justeru, pihak RapidKuantan digesa mengkaji semula kawasan hentian berbahaya yang sering menimbulkan masalah kepada orang ramai. Keselamatan pengguna perlulah diutamakan. #PDO

Share:

Jenazah Wan Amizan Di Bawa Pulang Dari Sri Lanka Hari Ini


JERANTUT - Jenazah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Seri Wan Amizan Wan Abdul Razak akan dibawa pulang ke tanah air hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Nazri Ngah berkata, jenazah Allahyarham Wan Amizan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 5.05 petang ini.

"Jenazahnya akan dibawa ke kampung halamannya di Felda Jengka 12, Maran untuk dikebumikan," katanya hari ini.

Menurutnya, UMNO Bahagian Jerantut akan membantu keluarganya untuk urusan membawa pulang jenazah.

Wan Amizan meninggal dunia di Colombo, Sri Lanka ketika menerima rawatan penyakit buah pinggang di sana petang semalam. #sumber
Share:

PM: Kurang Dana, Malaysia Utamakan Selesai Hutang Negara


LONDON - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa kerajaan mengalami masalah kekurangan dana kerana ia dibebani dengan hutang negara melebihi RM1.0 trilion yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.

Katanya sebahagian besar daripada wang kerajaan akan digunakan untuk membayar hutang.

"Inilah keutamaan kita kini, iaitu untuk menyelesaikan masalah hutang ini," katanya dengan menambah kegagalan berbuat demikian boleh membawa kepada risiko negara menjadi bankrap.

Dalam perjumpaan beliau dengan rakyat Malaysia yang bermastautin di United Kingdom pada satu jamuan minum lewat petang Ahad, Dr Mahathir mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia dan masyarakat Malaysia di luar negara kerana dengan sukarela telah menyumbang kepada Tabung Harapan Negara untuk membantu mengurangkan beban hutang negara.

"Mereka secara sukarela telah bertindak mengumpul dana untuk membantu kerajaan. Sudah tentulah jumlahnya tidak banyak, (tetapi) sikap yang ditunjukkan mereka itu adalah amat dialu-alukan iaitu semangat kesetiaan rakyat kepada negara," katanya.

Menjawab pertanyaan hadirin mengenai pembelian senjata, Dr Mahathir menegaskan bahawa kerajaan memperuntukkan belanjawan yang lebih besar untuk bidang pendidikan berbanding pertahanan walaupun terdapat keperluan mendesak untuk membeli persenjataan baharu.

"Kita masih boleh bertahan walaupun menggunakan pesawat-pesawat yang ketinggalan zaman. Kita akan membelanjakan lebih banyak wang untuk perbelanjaan pendidikan," kata beliau.

Dr Mahathir berkata Malaysia akan menghantar lebih ramai pelajar ke luar negara selain memanggil pulang rakyatnya yang berkemahiran tinggi di luar negara sebaik sahaja kedudukan kewangan negara pulih.

Sambil menyambut baik siswazah dan rakyat yang berkemahiran tinggi di luar negara pulang untuk berkhidmat di tanah air, Dr Mahathir namun mendedahkan bahawa bilangan pekerjaan yang boleh ditawarkan kepada mereka di Malaysia adalah tidak mencukupi buat masa ini.

Beliau berkata usaha kerajaan untuk menarik lebih banyak pelaburan ke negara ini supaya lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan tetapi ia belum bermula lagi.

Dr Mahathir turut mengalu-alukan syarikat-syarikat Malaysia yang beroperasi di luar negara untuk kembali ke tanah air dan beroperasi di Malaysia.

Katanya Kementerian Pembangunan Usahawan akan membantu para pengusaha bermodal kecil mengenal pasti peluang-peluang perniagaan baharu yang boleh dijalankan oleh mereka.

Katanya Malaysia berupaya untuk berkembang dengan pantas di bawah sebuah kerajaan yang mesra rakyat. #sumber
Share:

ZahidL Usaha Untuk Haramkan UMNO Tindakan Tak Demokrat


KUALA LUMPUR - Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebarang usaha untuk mengharamkan atau membubarkan parti tersebut adalah tindakan yang tidak demokratik.

Hal ini kerana, katanya Malaysia merupakan sebuah negara yang demokratik, justeru segala perbezaan ideologi dan pegangan politik harus dihormati semua pihak

“Kami ketahui bahawa akaun kami akan dibekukan, mungkin akan dirampas. Dan beberapa usaha lagi akan dilakukan terhadap kami kepimpinan atasan dan kepimpinan lain,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan penangguhan pada Perhimpunan Agung UMNO 2018, di sini hari ini.

Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata beliau menyedari pelbagai khabar angin disebarkan kononnya terdapat beberapa individu dalam UMNO akan disiasat dan dikenakan tuduhan.

Katanya kepimpinan UMNO reda dan terbuka sekiranya sebarang tindakan diambil atas tujuan melaksanakan ‘rule of law’ dan bukannya berdasarkan ‘rule by law’. 

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata pihaknya telah menyerahkan kepada pasukan peguam untuk ‘mengheret’ dan melakukan tuntutan mengikut aspek perundangan terhadap bekas wakil rakyat daripada UMNO itu yang melompat parti dan menjadi wakil rakyat bebas.

Ketika ditanya siapa yang menerajui pasukan peguam tersebut, beliau sekadar berkata “Kita tunggu sehingga perkara itu dibawa ke mahkamah,” katanya. #sumber
Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.