KUALA LUMPUR - Bank Negara akan menyediakan dana RM1 bilion untuk membiayai pembelian rumah pertama bagi golongan berpendapatan bulanan tidak lebih RM2,300, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Beliau berkata, dana tersebut akan disediakan bermula 1 Januari tahun depan untuk pembelian rumah mampu milik berharga sehingga RM150,000.
"Dana ini tersedia di Ambank, CIMB Bank, Maybank, RHB bank dan Bank Simpanan Nasional melalui kadar pembiayaan terkurang serendah 3.5 peratus.
"Ini akan mengurangkan jumlah bayaran ansuran bulanan pembiayaan oleh peminjam untuk memiliki rumah dan seterusnya lebih mudah mendapat pembiayaan," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2019 yang bertemakan 'Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera' di Dewan Rakyat hari ini.
Guan Engn berkata, dana itu disediakan untuk tempoh dua tahun atau sehingga peruntukan habis. #sumber
KUALA LUMPUR - Kerajaan akan melancarkan Program Khas Pengakuan Sukarela untuk memberi peluang kepada pembayar cukai mengisytiharkan secara sukarela sebarang pendapatan yang tidak dilaporkan bagi tujuan cukai.
Ini termasuklah akaun pesisir pantai, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
"Dengan menyertai Program Khas Pengakuan Sukarela ini, sekiranya pelaporan pendapatan dibuat mulai esok sehingga 31 Mac 2019, pembayar cukai akan hanya dikenakan penalti sebanyak 10 peratus ke atas cukai yang perlu dibayar," katanya sewaktu membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat hari ini.
Guan Eng berkata, sekiranya pelaporan dibuat dari 1 April sehingga 30 Jun 2019, penalti sebanyak 15 peratus akan dikenakan.
Menurutnya, selepas program itu tamat pada 30 Jun 2019, kadar penalti yang dikenakan adalah antara 80 peratus sehingga 300 peratus seperti mana yang diperuntukkan dalam undang-undang sedia ada.
"Dengan kerajaan yang bersih dan telus, rakyat akan bersedia untuk membayar cukai kerana mereka tahu bahawa pemimpin dan kerajaan tidak menipu dan merompak wang rakyat," katanya. #sumber
KUALA LUMPUR - Kerajaan akan meneruskan Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada rakyat golongan B40 dengan penambahbaikan terhadap pemberian bantuan secara lebih bersasar dan bergantung kepada saiz isi rumah mulai Januari 2019.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat hari ini berkata, di bawah program itu, isi rumah berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah akan menerima bantuan berjumlah RM1,000 dan isi rumah berpendapatan bulanan dari RM2,001 hingga RM3,000 akan menerima bantuan RM750.
BSH sebanyak RM500 juga akan diberikan kepada isi rumah berpendapatan dari RM3,001 hingga RM4,000, katanya.
Sebagai penambahbaikan, beliau berkata kerajaan juga akan memperkenalkan kadar tambahan BSH sebanyak RM120 untuk setiap anak berumur 18 tahun ke bawah terhad kepada empat anak, kecuali anak kurang upaya yang tidak dihadkan umur mereka.
"Sebagai contoh, sekiranya isi rumah berpendapatan bulanan RM2,000 ke bawah dan mempunyai empat anak, maka jumlah BSH yang akan diterimah sebanyak RM1,480. Ini lebih banyak daripada jumlah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sedia ada sebanyak RM1,200," katanya. #sumber
KUALA LUMPUR - Perkhidmatan yang diimport akan dikenakan Cukai Perkhidmatan mulai 1 Januari, 2019, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Keputusan itu adalah untuk memastikan supaya penyedia perkhidmatan tempatan seperti perkhidmatan arkitek, reka bentuk grafik, teknologi maklumat dan reka bentuk kejuruteraan mendapat persaingan yang adil, katanya sewaktu membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat hari ini.
Guan Eng berkata, bagi perkhidmatan atas talian yang diimport oleh pengguna, penyedia perkhidmatan asing dikehendaki untuk berdaftar dengan Kastam di Raja Malaysia.
Kerajaan akan mengenakan dan meremit cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan berkaitan, termasuk perisian, muzik, video atau sebarang pengiklanan digital, berkuatkuasa 1 Januari 2020.
"Langkah percukaian ini akan mengimbangkan persaingan antara peruncit kedai dan kedai atas talian terutamanya kedai atas talian yang dimiliki oleh syarikat luar negeri," katanya. #sumber
KUALA LUMPUR - Belanjawan 2019 yang pertama bagi kerajaan diterajui Pakatan Harapan (PH), mengetengahkan pelaksanaan langkah tegas dari segi percukaian, rancangan bagi konsolidasi fiskal seterusnya serta insentif wajar bagi membolehkan kemajuan perniagaan dalam usaha mengembalikan kekukuhan ekonomi Malaysia.
Merujuk aspek percukaian, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan beberapa cadangan termasuk memperkenalkan duti eksais bermula 1 April 2019 pada kadar 40 sen seliter bagi dua kategori minuman bergula dikilangkan dalam bentuk pembungkusan sedia diminum.
Ini membabitkan minuman dengan nilai ambang kandungan gula iaitu air minuman mengandungi gula tambahan atau bahan pemanis lain mengandungi gula melebihi 5 gram bagi setiap 100 milimeter dan jus buah-buahan dan sayur-sayuran dengan gula melebihi 12 gram bagi setiap 100 mililiter.
Selain itu, beliau turut mengumumkan Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT), kenaikan cukai, fi dan levi ke atas sektor perjudian dan memperkenalkan cukai perkhidmatan bagi perkhidmatan yang diimport dan perkhidmatan atas talian yang diimport.
"Langkah percukaian (ke atas perkhidmatan diimport) ini akan mengimbangkan persaingan antara peruncit kedai dan kedai atas talian, terutamanya kedai atas talian yang dimiliki oleh syarikat luar negara," kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2019 yang bertemakan, "Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera," di sini hari ini.
Menjelaskan selanjutnya, Guan Eng berkata, bagi syarikat, individu bukan warganegara dan bukan pemastautin tetap, kadar CKHT dinaikkan kepada 10 peratus daripada 5 peratus.
Bagi individu warganegara dan penduduk tetap, kadar CKHT dinaikkan kepada 5 peratus berbanding sifar peratus.
Selain itu, cukai, fi dan levi yang tidak dinaikkan sejak 2005 turut dipinda seperti duti kasino yang akan dinaikkan kepada RM150 juta daripada RM120 juta manakala duti kasino akan dinaikkan kepada 35 peratus ke atas pendapatan kasar.
Menurut Guan Eng, kerajaan juga melancarkan Program Khas Pengakuan Sukarela untuk memberi peluang kepada pembayar cukai mengisytiharkan secara sukarela sebarang pendapatan yang tidak dilaporkan bagi tujuan cukai, termasuk akaun pesisir pantai. #sumber
KUALA LUMPUR - Kerajaan akan meningkatkan kadar subsidi bil elektrik isi rumah daripada RM20 dan ke bawah kepada RM40 dan ke bawah, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Bagaimanapun, katanya selaras dengan dengan hasrat kerajaan melaksanakan subsidi bersasar, penyaluran subsidi itu hanya dikhususkan kepada golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar dengan program e-Kasih.
"Dengan demikian, kerajaan mampu meningkatkan kadar subsidi kepada RM40 sebulan dan memanfaatkan 185,000 akaun. Peruntukan sebanyak RM80 juta disediakan," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat hari ini.
Guan Eng berkata, kerajaan juga akan memberikan subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter kepada pihak yang memiliki sebuah kereta sahaja yang berkapasiti enjin 1,500cc dan ke bawah serta motosikal berkapasiti enjin 125cc dan ke bawah.
Semasa membentangkan belanjawan yang bertemakan 'Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera', Guan Eng berkata, subsidi itu terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta dan 40 liter bagi motosikal. #sumber
KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memperkenalkan sistem kredit untuk potongan cukai jualan mulai 1 Januari 2019, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
"Ini untuk mengurangkan beban pengilang kecil berdaftar yang membeli input pembuatan daripada pengimport dan bukannya daripada pengilang yang berdaftar," katanya sewaktu membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat hari ini.
Guan Eng turut berkata, sistem kredit itu juga mampu mengelak percukaian berganda dan menurunkan kos perniagaan. #sumber
KUALA LUMPUR - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mengambil alih pentadbiran Putrajaya selepas memenangi Pilihan Raya Ke-14 pada Mei 2018 yakin dengan keupayaannya untuk mentransfomasikan negara ke arah Malaysia Baharu berteraskan prinsip keadilan, tabdir urus yang baik, integriti dan kedaulatan undang-undang.
Kerajaan baharu akan melakukan melakukan beberapa perubahan dasar, strategi dan cara pelaksanaan untuk memenuhi harapan rakyat, membina semula serta mengembalikan kegemilangan negara, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam laporan Tinjauan Ekonomi 2019 yang pertama di bawah kerajan PH.
Laporan dengan 142 muka surat itu dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Mahathir, 93, berkata, bagi mencapai status negara maju dan inklusif, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif pembaharuan untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Sehubungan ini, katanya, kerajaan menggalakkan kerjasama untuk mewujudkan negara keusahawanan serta menggalakkan kerjasama dalam kalangan 4P iaitu rakyat, profesional, sektor swasta dan awam untuk meneraju pelbagai inisiatif pembangunan negara.
Perdana Menteri berkata, untuk meneraju pelbagai inisiatif pembangunan negara Kementerian Kewangan juga akan mempercepatkan pelaksanaan sistem bajet asas sifar, merasionalisasi program bantuan, menambah baik proses perolehan serta memperluas asas hasil.
Menyentuh mengenai hasrat Malaysia untuk memperteguhkan semula kedudukan negara di peringkat antarabangsa, Mahathir berkata, negara akan terus memperkukuh hubungan perdagangan dengan rakan dagang utama dan negara yang berpotensi menjadi rakan dagang melalui penyediaan persekitaran perniagaan yang mesra dan bersesuaian dengan prinsip kawasan aman, bebas dan Berkecuali (ZOPFAN).
"Dengan mendukung prinsip kemakmuran jiran, kita akan terus memberi penekanan kepada menjalinkan kerjasama anggota ASEAN dan blok perdagangan serantau yang lain.
"Di samping itu, tumpuan lebih utama juga akan diberikan bagi memperkukuh hubungan dua hala dengan China dan Jepun seiring dengan Dasar Pandang Ke Timur," katanya.
Sementara itu, dalam meneruskan objektif yang terkandung dalam Wawasan 2020, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memastikan ekonomi Malaysia terus berada di landasan pertumbuhan mampan dengan menyediakan persekitaran yang selesa dan menggalakkan untuk memakmurkan pelabur dan perniagaan.
"Justeru, industri perlu memanfaatkan peluang ini dengan menerima pakai teknologi maju bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing," katanya.
Menurutnya, kerajaan juga menyedari betapa pentingnya peranan generasi muda dalam memacu pertumbuhan masa hadapan.
Selaras dengan era Industri 4.0, usaha juga akan diambil untuk membolehkan generasi ini menjadi tenaga kerja berkemahiran tinggi dan mahir digital.
"Kami percaya inilah amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kami. Kerajaan yakin, dengan kerjasama dan sokongan erat daripada rakyat, amanah ini pasti dapat dilaksana dengan jaya dan tercapailah harapan kita untuk membina Malaysia Baharu yang bermaruah dan berintegriti," katanya.
Mahathir menegaskan sokongan majoriti rakyat yang menentukan kejayaan PH dalam pilihan raya umum ke-14 lepas adalah satu pencapaian yang akan terukir dalam sejarah negara, yang seterusnya menandakan pertukaran pertama parti pemerintah sejak negara mencapai kemerdekaan 61 tahun lalu. #sumber
KUALA LUMPUR - Sektor kerajaan dianggarkan mencatat defisit keseluruhan lebih tinggi sebanyak RM51.9 bilion iaitu 3.6 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2018 setelah mengambil kira semua pindahan dan pinjaman bersih di antara setiap unit kerajaan am.
Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2019 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan hari ini, di bawah peruntukan undang-undang, unit selain kerajaan Persekutuan hanya boleh meminjam daripada atau dengan kelulusan kerajaan Persekutuan.
"Pendedahan terhadap risiko kredit kerajaan am terkawal di peringkat kerajaan Persekutuan. Justeru, defisit akan dibiayai melalui rizab terkumpul dan pinjaman kerajaan Persekutuan," menurut laporan itu.
Hasil disatukan bagi syarikat awam bukan kewangan (SABK) pada 2018 dianggarkan mencatat sedikit kenaikan iaitu 1.9 peratus kepada RM376 bilion.
"Pertumbuhan itu disumbangkan terutamanya oleh sektor utiliti dan telekomunikasi berikutan permintaan utiliti yang lebih tinggi dan asas pelanggan yang lebih luas," kata laporan tersebut.
Sementara itu, hasil disatukan bagi kerajaan negeri pada 2018 diunjur RM20.6 bilion terdiri daripada RM16 bilion atau 77.7 peratus hasil janaan negeri manakala selebihnya pemberian daripada kerajaan Persekutuan.
Jumlah perbelanjaan disatukan bagi kerajaan negeri dijangka meningkat 21.3 peratus kepada RM23.5 bilion, manakala perbelanjaan mengurus dijangka bertambah 16.3 peratus kepada RM11.4 bilion terutamanya disebabkan emolumen serta perkhidmatan dan bekalan yang lebih tinggi.
Kedudukan kewangan disatukan bagi sektor awam yang bertujuan menggangarkan saiz sektor itu, kesan ke atas ekonomi secara makro dan mengenal pasti sumber risiko fiskal, dijangka mencatat lebihan semasa yang lebih rendah.
"Lebihan semasa lebih rendah iaitu RM68.6 bilion, disebabkan unjuran perbelanjaan mengurus kerajaan Persekutuan yang lebih tinggi dan anggaran lebihan semasa SABK yang rendah," kata laporan tersebut. #sumber
KUALA LUMPUR - Kerajaan baharu Pakatan Harapan berusaha keras meningkatkan kesejahteraan ekonomi rakyat, memulihkan kekuatan fiskal dan melaksanakan pelbagai pembaharuan institusi bagi menambah baik ketelusan dan akauntabiliti yang penting kepada Malaysia untuk bangkit kembali sebagai 'Harimau Asia'.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, perubahan struktur seumpama itu akan memastikan pertumbuhan mampan, kestabilan pasaran modal dan sektor kewangan dan juga akan mentransformasikan Malaysia daripada kleptokrasi global kepada demokrasi yang berasaskan peraturan.
Beliau berkata, hanya kerajaan yang berasaskan peraturan menumpukan kepada pembaharuan institusi, pertumbuhan ekonomi mampan dan kesejahteraan ekonomi rakyat boleh menyediakan kejelasan, kepastian dan keyakinan, yang diperlukan bagi persekitaran perniagaan yang kondusif yang boleh memupuk keyakinan dalam kalangan orang ramai dan pelabur.
"(Terutamanya) objektif meningkatkan kesejahteraan ekonomi rakyat hanya akan bermakna jika kuasa beli rakyat dapat ditingkatkan dan beban kos sara hidup dapat dibendung," katanya dalam laporan Tinjauan Ekonomi 2019 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan disini hari ini.
Inisiatif utama berpaksikan rakyat yang telah diambil bagi mencapai matlamat tersebut adalah melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar pada Jun higgga Ogos 2018 dan kemudiannya dimansuhkan pada September 1 sebelum digantikan dengan dengan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) yang kurang membebankan.
"Walaupun hasil kerajaan Persekutuan akan berkurangan sebanyak RM17 billion pada 2018, namun langkah tersebut telah membantu mengurangkan beban cukai, mengawal kenaikan harga serta meningkatkan kuasa beli rakyat.
"Bagi mengoptimumkan perbelanjaan dan sumber awam, Kerajaan telah menyusun semula semua kementerian dan agensi. Pentadbiran Kerajaan juga akan ditadbir berdasarkan kepada prinsip kecekapan, akauntabiliti, dan ketelusan bagi melindungi kepentingan negara dan memastikan masa depan sektor awam bebas daripada penyalahgunaan kuasa dan rasuah," katanya.
Menurut Guan Eng, Inisiatif ini serta pelbagai pembaharuan institusi seperti pengasingan peranan antara Perdana Menteri dan Menteri Kewangan akan memulihkan semula keyakinan orang ramai terhadap kerajaan.
Pada peringkat global, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjur Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global berkembang 3.7 peratus pada 2018 dan 2019 meskipun berhadapan pelbagai cabaran akibat daripada perang perdagangan, harga komoditi yang turun naik, ketidaktentuan pasaran kewangan dan ketegangan geopolitik.
Beliau berkata, walaupun berhadapan dengan situasi perang perdagangan, Malaysia perlu meletakkan negara sebagai destinasi pelaburan yang selamat bagi syarikat asing seiring dengan pendirian ASEAN sebagai kawasan aman, bebas dan berkecuali.
"Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang 4.9 peratus pada 2019 dengan pertumbuhan dipacu oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan. Pertumbuhan ini adalah lebih tinggi berbanding jangkaan 4.8 peratus pada 2018," kata Guan Eng.
Malaysia, katanya, akan terus mengamalkan dasar perdagangan dan pelaburan terbuka bagi mengalakkan pertumbuhan ekonomi yang berkualiti tinggi, menarik pelaburan strategik, mewujudkan pekerjaan mahir di samping meraih peluang daripada Revolusi Perindustrian 4.0 (Industri 4.0). #sumber
KUALA LUMPUR - Bekas kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim disahkan meninggalkan kelab bola sepak juara Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas beraksi enam musim bersama pasukan itu.
Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan Safiq, yang menyertai kelab itu pada 2013 dari Selangor, sebagai seorang daripada pemain terbaiknya kerana membantu skuad Harimau Selatan mencapai kejayaan dalam liga domestik dan antarabangsa.
“Pada pandangan ikhlas saya, beliau merupakan pemain paling berjaya dalam kelab bola sepak JDT dan membantu Harimau Selatan mencapai matlamat kami.
Pemain paling berjaya, kapten terbaik dalam sejarah JDT dan pemain bola sepak terbaik yang bukan sahaja memberi sumbangan kepada JDT tetapi juga kelab seperti Selangor dan skuad kebangsaan,” titah Tunku Ismail, Tengku Mahkota Johor dalam catatan terbaharu baginda dalam laman Facebook JDT – Johor Southern Tigers.
Tunku Ismail bertitah pintu di Johor sentiasa terbuka untuk pemain kelahiran Selangor itu kembali bersama kelab pada masa hadapan.
Safiq memenangi pelbagai trofi dengan JDT termasuk menjulang lima kejuaraan Liga Super berturut-turut sejak 2014, Piala AFC 2015, Piala FA 2016 dan Piala Malaysia 2017.
Beliau bersama skuad negara juga menjuarai Piala AFF 2010 dan meraih pingat emas bersama skuad Bawah 23 dalam Sukan SEA 2009 di Laos. #sumber
JAKARTA - Operasi pencarian bangkai dan sebahagian lagi kotak hitam pesawat Lion Air yang terhempas Isnin lepas memasuki hari kelima hari ini dengan Presiden Indonesia Joko Widodo turut meninjau pusat utama operasi itu di Tanjung Priok, dekat sini, hari ini.
Ketua Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas), Muhamad Syaugi berkata, fokus operasi hari ini itu adalah bertumpu di koordinat yang ditemui alat "perakam data penerbangan (FDR)" semalam.
Pada jam 10.05 pagi semalam, pihak berkuasa Indonesia menemui FDR di kedalaman 30 meter, iaitu 500 meter dari koordinat pesawat itu dilaporkan terhempas di perairan Tanjung Karawang.
Kotak hitam pesawat itu mengandungi FDR (yang merekodkan percakapan di dalam pesawat) dan "Perakam Suara Kokpit (CVR) yang merekodkan percakapan juruterbang dan pembantu juruterbang di kokpit.
Setakat pukul 5 petang ini, CVR itu masih belum ditemui, katanya dalam satu kenyataan di sini.
Memetik laporan agensi berita Indonesia Antara, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi yang meninjau pusat operasi pencarian itu pada 4 petang ini itu telah diberikan taklimat terkini daripada semua agensi berkaitan yang terbabit dalam operasi berkenaan.
"Seramai 859 petugas pasukan mencari terdiri daripada Basarnas, polis, tentera dan agensi berkaitan telah bertungkus lumus siang dan malam dalam operasi pencarian itu, saya ingin menyampaikan ucapan terima kasih kepada semuanya," kata Jokowi.
Muhamad Syaugi berkata setakat hari ini, sebanyak 65 kantung jenazah atau bungkusan yang mengandungi cebisan dan anggota badan yang tidak sempurna itu telah dihantar ke Rumah Sakit Polis Indonesia (Polri) untuk proses identifikasi.
Penerbangan JT610 itu membawa 181 penumpang dan lapan anak kapal itu terhempas selepas berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta pada 6.20 pagi Isnin di koordinat S 5 49.052 E 10706.628. #sumber
KUALA LUMPUR: Hari ini akan mencatat sejarah apabila bajet persekutuan pertama dibentangkan di Parlimen oleh sebuah kerajaan baharu sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.
Bajet 2019 oleh kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan itu akan dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada jam 4 petang.
Walaupun harapan rakyat tinggi, ia boleh menjadi satu daripada bajet yang paling sukar di tengah-tengah dakwaan penyelewengan, perbelanjaan diragui serta hutang tinggi yang ditinggalkan kerajaan Barisan Nasional, menjadikan lembaran imbangan fiskal hampir tidak dapat diperbaiki.
Baru-baru ini Lim berkata, bajet 2019 akan menjadi bajet yang sukar kerana kerajaan perlu mengurangkan hutang negara berjumlah RM1 trilion untuk membawa ekonomi kembali ke landasan yang betul secara fiskal dalam masa tiga tahun.
"Ini bermakna kerajaan baharu perlu melaksanakan tugas amat berat untuk memperkukuh kedudukan kewangannya dan pada masa yang sama mengemudi ekonomi keluar daripada kelembapan pada tahun-tahun akan datang," kata Kenanga Investment Bank dalam satu Nota Penyelidikan.
Peruntukan Bajet 2019 berdasarkan purata harga minyak mentah AS$70 setong, walaupun penanda aras minyak mentah Brent mendekati AS$80 setong pada masa ini.
Berita baiknya ialah kerajaan bertekad untuk memperbaiki kerosakan yang ditinggalkan pentadbiran terdahulu tanpa mengetepikan kesejateraan rakyat.
Setakat ini, beberapa petunjuk menunjukkan kemungkinan cukai baharu diperkenalkan.
Spekulasi tersebar mengenai pengenalan cukai harta pusaka, cukai keuntungan modal serta cukai baharu ke atas soda dan e-dagang.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, cukai baharu terbabit tidak akan membebankan rakyat dan pendapatan itu akan digunakan untuk rakyat serta mengurangkan beban membayar balik hutang negara.
Beliau berkata, pendapatan tersebut akan diguna untuk menyelenggara operasi kerajaan bagi memastikan kesinambungan agenda pembangunan, menutup jurang pembangunan bandar-luar bandar serta menyelesaikan hutang kerajaan.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga telah memberi jaminan yang bajet itu akan meletakkan Malaysia pada kedudukan lebih kukuh serta menjamin kemakmuran rakyat dan generasi akan datang.
Selain daripada dasar-dasar baharu dan langkah-langkah yang 'sukar', adalah menarik untuk melihat bagaimana kerajaan akan menangani kekurangan pendapatan akibat pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Pendapatan kerajaan untuk 2018 akan merosot kepada RM21 bilion berikutan pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan pada 1 September 2018 bagi menggantikan GST.
Kesannya adalah kekurangan RM17 bilion dalam pendapatan kerajaan tahun ini.
Kerajaan baharu jelas perlu melakukan lebih banyak perkara dengan sumber terhad dan ia perlu melakukannya dengan segala kuasa dan keupayaannya. #sumber
JAKARTA - Seorang juruterbang Lion Air yang menerbangkan pesawat Boeing 737 itu sehari sebelum ia terhempas meminta untuk kembali ke Bali kerana masalah teknikal.
Perkara itu disahkan pegawai lapangan terbang Bali Nusa Tenggara, Herson kepada Reuters.
Menurut Herson, selepas membuat permohonan tersebut, juruterbang memaklumkan menara kawalan bahawa pesawat tersebut terbang normal dan tidak akan kembali ke lapangan terbang tersebut.
Juruterbang membuat permintaan untuk berpatah balik beberapa minit selepas berlepas tetapi berjaya menangani masalah teknikal itu dan tetap meneruskan penerbangan ke Jakarta.
Pesawat yang sama terhempas semasa penerbangan beberapa jam kemudian, menggorbankan 189 penumpang.
Anggota Tentera Laut mengangkat sebahagian serpihan pesawat yang ditemui.
Pesawat dari Denpasar, Bali menuju ke Jakarta itu selamat mendarat kira-kira pukul 10.55 malam Ahad.
Pesawat yang sama berlepas dari Jakarta pada pukul 6.20 pagi Isnin menuju ke Kepulauan Bangka sebelum terhempas di perairan Karawang kira-kira 13 minit kemudian.
Sebelum terhempas juruterbang sempat membuat permintaan untuk kembali ke Jakarta.
Seorang jurucakap Lion Air enggan mengulas lanjut mengenai masalah teknikal yang dialami pesawat dari Denpasar, Bali menuju ke Jakarta malam Ahad lalu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lion Air, Edward Sirait, masalah teknikal itu sudah diselesaikan mengikut prosedur. #sumber
Xi1x6e.99
TUMPAT - Suspek yang melarikan kerusi plastik sebuah kedai makan di Wakaf Bharu dekat sini bertindak memulangkan kembali kerusi yang dicuri berserta nota meminta maaf selepas gambarnya yang dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) diviralkan.
Sebanyak 28 biji kerusi bernilai lebih RM300 itu telah diletakkan di sebelah kedai tersebut dengan sehelai nota ringkas bertulis 'kita dah hantar balik, tolong tarik report dan tarik balik gambar diviralkan, saya mohon maaf banyak-banyak'.
Pemilik kedai makan FA Nasi Air, Ali Senik, 54, berkata, dia menyedari kerusi itu telah dikembalikan kira-kira pukul 8 pagi tadi tidak sampai 24 jam selepas suspek tersebut mencurinya pada semalam.
"Saya terkejut melihat kerusi yang dicuri pagi semalam telah dikembalikan semula selepas gambar dan video suspek diviralkan di laman sosial facebook.
"Gambar suspek telah dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) dan terus diviralkan agar dapat memberitahu kepada pemilik-pemilik kedai lain supaya berhati-hati dengan kegiatan mencuri itu," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tambahnya, dia lega selepas suspek memulangkan kerusinya kembali dan dia tidak akan mengambil tindakan terhadap suspek berkenaan ekoran dia memulangkan kembali dan meminta maaf.
Kosmo! semalam melaporkan kegiatan curi kerusi plastik di kedai-kedai makan sekitar Kota Bharu dan Tumpat semakin berleluasa sejak tiga hari lalu sehingga mengakibatkan kerugian kepada pemilik kedai.
Dalam kejadian terbaru, pemilik kedai makan FA Nasi Air di Wakaf Bharu di sini kerugian lebih RM300 apabila sebanyak 28 biji kerusi plastiknya dicuri kira-kira pukul 9 pagi semalam.
Sementara itu, dalam kejadian pada Isnin lalu, satu rakaman video memaparkan gelagat dua lelaki menunggang motosikal sedang mencuri kerusi plastik viral di laman sosial facebook.
Difahamkan, kejadian tersebut berlaku di sebuah kedai makan di Jalan Long Yunus, Kota Bharu.
Kejadian sama turut menimpa sebuah kedai makan di Jalan Guchil Bayam, Kota Bharu dekat sini semalam apabila sebanyak 60 kerusi plastik premis tersebut dilarikan suspek. #sumber
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin bersedia diambil tindakan susulan penularan gambar yang mendakwa beliau menyalah guna kenderaan rasmi kerajaan untuk ke pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Batu Pahat, Johor baru-baru ini.
"Saya tiada masalah, lagipun saya sudah biasa mendapat surat amaran...saya berkata bahawa prinsip dalam politik kita tidak boleh menyalahgunakan aset kerajaan," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Shamsul Iskandar berkata terserah kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) untuk mengambil tindakan, namun beliau menjelaskan bukan disengajakan.
Mengulas lanjut, Timbalan Menteri Industri Utama itu berkata ketika kejadian, beliau baharu sahaja pulang daripada tugasan rasmi dan dijemput oleh pemandu di lapangan terbang.
"Agak sukar untuk saya pulang ke rumah untuk tukar kereta lain jadi saya terus pergi ke tempat pemilihan PKR dari lapangan terbang," katanya. #sumber
SONGKLA - Polis Thailand menahan 15 anggota sindiket penipuan 'Macau Scam' termasuk 10 lelaki warga Malaysia dalam operasi bersepadu di pekan Danok, yang terletak berhampiran sempadan Malaysia -Thailand.
Sepuluh warga Malaysia dan lima tempatan itu ditahan dalam serbuan pihak berkuasa terhadap lima lokasi di pekan Danok pada Rabu lepas.
"Kebanyakan mangsa sindiket itu adalah warga China, Taiwan dan Malaysia dengan jumlah penipuan dianggarkan mencecah 5 juta Baht (RM657,000) sebulan," kata Pemangku Ketua Polis Imigresen Thailand, Mejer Jeneral Surachet Hakpal di sini hari ini.
Sindiket melakukan penipuan dengan mengiklankan usaha membina kuil dan rumah-rumah ibadat dalam Facebook serta mempelawa mangsa 'menderma' sejumlah wang ke akaun tertentu yang diwujudkan bagi tujuan derma itu, katanya.
Surachet berkata, sindiket itu diketuai seorang lelaki warga Malaysia dikenali sebagai 'Ah Khun'.
Dalam operasi itu, polis merampas 51 telefon bimbit, komputer, puluhan buku akaun bank dan kad ATM serta wang tunai 41,500 Baht (RM5,400) dan RM31,000. #sumber
GEORGE TOWN - Kes saman bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terhadap New Straits Times Press (M) Bhd. (NSTP) berhubung penyiaran artikel berkenaan campur tangan dalam pelantikan mufti selesai selepas NSTP mengemukakan permohonan maaf kepadanya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Peguam Simon Murali yang mewakili Guan Eng turut menyebut bagi pihak peguam defendan dan membacakan pernyataan maaf itu di dalam mahkamah di hadapan Hakim Datuk Rosilah Yop.
Permohonan maaf itu berbunyi: "Kami merujuk kepada artikel yang diterbitkan dalam edisi New Straits Times pada 5 Februari 2017 bertajuk, Political Intervention was real, says Pas dan dengan nota editorial yang tertera, Guan Eng had hand ini non-renewal of Mufti's contract.
"Artikel itu mengandungi kenyataan memfitnah Guan Eng, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dan sekarang adalah Menteri Kewangan Kerajaan Persekutuan Malaysia.
"Kami dengan ini secara tulus ikhlas memohon maaf tanpa syarat kepada Guan Eng bagi penerbitan artikel tersebut dan menyatakan penyesalan kami yang mendalam atas apa jua kesusahan dan penderitaan yang mungkin diakibatkan kepada beliau," katanya. #sumber
KUALA LUMPUR - Usaha membawa balik jet peribadi milik ahli perniagaan yang sedang dicari Low Taek Jho, atau Jho Low, hanya akan dilakukan sekiranya ia berbaloi, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beberapa media sebelum ini melaporkan Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat memberi kebenaran kepada penjualan Bombardier Global 5000 jet bernilai AS$35 juta (RM146.2 juta) yang berada dibawah jagaan pihak berkuasa Singapura sejak 2017.
"Jika berbaloi, barulah kita bawa ia balik," katanya kepada pemberita semasa ditanya berhubung perkara itu ketika ditemui dalam satu majlis rasmi di sini hari ini.
"Kita tidak tahu sekiranya ia berbaloi atau tidak. Pesawat itu tidak boleh terbang sekarang," katanya dengan merujuk kepada pesawat yang kini diletakkan di Lapangan Terbang Seletar di Singapura.
Sementara itu semasa menjawab soalan sekiranya bekas pegawai PetroSaudi International Ltd Xavier Justo akan dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan yang berkaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Mahathir berkata perkara itu seharusnya diserahkan kepada pendakwaraya sekiranya mereka memutuskan dia mempunyai bukti yang relevan untuk dikongsi. #
sumber
KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo hari ini menolak cadangan supaya perbicaraan kes mahkamah melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak disiarkan secara langsung.
Beliau menegaskan perbicaraan itu tidak akan disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Menurutnya, kedua-dua entiti media itu mempunyai siaran yang terhad dengan pelbagai liputan berita dan program yang perlu disiarkan di saluran masing-masing.
"RTM mempunyai saluran terhad, begitu juga Bernama. Kami mempunyai banyak perkara lain untuk dibuat liputan berita di negara ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Gobind Singh mengambil perhatian liputan berita kes mahkamah akan dilakukan seperti biasa oleh dua entiti berita itu sama sepertimana dengan kes mahkamah yang lain.
"Bagi pihak kami, berita (tentang perbicaraan itu) akan dibuat liputan sepertimana yang sentiasa dilakukan dengan kes-kes mahkamah yang lain," katanya.
Gobind Singh mengulas laporan berhubung cadangan untuk menyiarkan secara langsung kes perbicaraan bekas Perdana Menteri itu. #sumber
ALOR SETAR - UMNO Kedah memberi tempoh 48 jam kepada Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk A. Kadir Jasin untuk memohon ampun kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan institusi diraja negeri ini berhubung tulisan di laman blognya mengenai istiadat pertabalan Sultan Kedah ke-29.
Ketua Penerangannya, Datuk Suraya Yaacob (foto) berkata, UMNO Kedah akan membuat laporan polis di atas keceluparan dirinya sekiranya Penasihat Media dan Komunikasi di Pejabat Perdana Menteri itu tidak memohon ampun dalam tempoh tersebut.
Menurutnya, pihaknya kesal dan kecewa dengan tulisan bertajuk 'Kadir Jasin: Rakyat perlu tahu peruntukan belanja buat raja' yang dipetik daripada portal Malaysiakini dan menjadi viral di media sosial baru-baru ini.
Katanya, Sultan Sallehuddin merupakan payung negeri yang berdaulat dan amat disayangi rakyat Kedah dan UMNO Kedah tidak boleh menerima tindakan Kadir yang disifatkan sebagai biadab itu.
"Penulisan Kadir yang mengulas mengenai istiadat pertabalan Sultan Kedah ke-29, Sultan Sallehuddin pada 22 Oktober lalu dimulakan dengan baik. Namun beliau (Kadir) tiba-tiba mengungkap soal 'berpanjangan usia di bilik lembaga' dan 'pelihara konglomerat niaga baginda' telah menimbulkan tanda tanya yang mencurigakan.
"Beliau turut menulis 'raja kita selamat dalam bilik lembaga, atas padang bola, dalam arena politik negara atau mencari bijih dan balak dalam hutan belantara' seolah-olah memomokkan institusi kesultanan diraja Kedah dengan unsur negatif berkenaan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Suraya yang juga Ketua UMNO Bahagian Pendang berkata, tindakan itu menimbulkan persoalan mengenai motif sebenar di sebalik tulisan tersebut.
"Beliau juga dilihat sengaja 'menjolok' di perenggan akhir tulisan itu kononnya segala perbelanjaan raja-raja Melayu di negara ini perlu didedahkan kepada rakyat menerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Gesaan tersebut menggambarkan kebiadaban beliau yang cenderung menghasut ke arah penderhakaan," katanya.
Menurutnya, tindakan itu telah memalukan seluruh rakyat negeri ini dan tidak wajar dijadikan tauladan. #sumber
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul menggesa pihak polis menyiasat tokoh wartawan Datuk A. Kadir Jasin di bawah Akta Hasutan 1948 berhubung artikel yang didakwa mencetuskan prasangka buruk terhadap Sultan Kedah, Al Aminur Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.
Beliau berkata, artikel berkenaan dibuat menerusi blog A. Kadir yang tersiar pada Selasa lepas.
"Kalau kita perhatikan tulisan yang terpapar dalam blog beliau dengan jelas beliau memaparkan gambar Tuanku Sultan Kedah selain turut menceritakan bagaimana pada awalnya beliau seolah-olah memuji Tuanku Sultan Kedah namun diakhirnya wujud kata-kata berunsurkan fitnah.
"Bagi saya ia tidak wajar dikeluarkan oleh seorang wartawan senior malah dilantik menjadi Penasihat Khas Media dan Komunikasi Perdana Menteri," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Sementara itu, mengulas mengenai cadangan pemansuhan Akta Hasutan yang bakal dilaksanakan kerajaan, beliau berkata, tindakan tetap perlu diambil sebelum pemansuhan akta itu berkuat kuasa.
"Memang kerajaan Pakatan Harapan (PH) janji akan mansuhkan tetapi isunya sekarang sebelum ia dimansuhkan harus lihat kembali bahawa kenyataan itu bukan sahaja di bawah Akta Hasutan tetapi turut melibatkan akta-akta lain kerana ini adalah masalah serius," katanya. #sumber
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan seorang suspek lelaki warga Britain, Paul Geoffrey Stadlen, 39, yang dicari disyaki terlibat dengan skandal kes berprofil tinggi 1Malaysia DeveIopment Berhad (1MDB).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull berkata, Stadlen dicari kerana dia dipercayai merupakan salah seorang suspek yang terlibat dengan siasatan 1MDB yang kini sedang dijalankan.
“Pihak kami mencari Stadlen disebabkan dia adalah salah seorang individu yang terlibat dengan 1MDB.
“Namun begitu, kami tidak boleh mendedahkan sama ada siasatan terhadap Paul (Stadlen) mempunyai kaitan dengan mana-mana siasatan yang sedang dijalankan sekarang,“ katanya kepada pemberita pada sidang akhbar ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) di Dewan Perdana Mestika, Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di sini hari ini.
SPRM dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya sedang mengesan Stadlen yang juga bekas pegawai kanan syarikat Apco Malaysia bagi membantu siasatan 1MDB. #sumber
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengantung tugas 7 pegawai dan anggotanya berhubung dakwaan seorang pelabur kehilangan wang tunai berjumlah RM7.9 juta, pada 8 September lepas.
Wang itu didakwa hilang selepas unit kondominium pelabur itu di Jalan U-Thant, digeledah sepasukan polis Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL).
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pengantungan itu dilakukan setelah siasatan dilakukan.
“Berdasarkan siasatan itu, polis juga melengkapkan serta sudah menyerah kertas siasatan berhubung perkara itu kepada pihak pendakwa raya.
“Kita tunggu tindakan selanjutnya berdasarkan arahan mereka (pendakwa raya),” katanya kepada pemberita selepas hadir pada Seminar Pemantapan Integriti: Bebas Rasuah Warga PDRM, hari ini.
Pada 27 September lepas, media melaporkan semasa kejadian, pengadu lelaki berusia 50 tahun berada di Jakarta, Indonesia. Pelabur itu mendakwa dia yang pulang semula ke kondominium itu mendapati duit RM7.9 juta miliknya serta beberapa rangkai kunci kereta mewah hilang.
Difahamkan, pengadu mendakwa wang tunai berjumlah RM7.9 juta yang hilang melibatkan duit yang diletakkan dalam sebuah kereta jenis BMW berjumlah RM2 juta, duit dalam bilik tidur (RM3.9 juta) dan wang dalam peti besi (RM2 juta).
Antara dikatakan terlibat termasuk seorang pegawai wanita berpangkat Asisten Komisioner (ACP), masing-masing seorang Superintenden dan Inspektor, manakala 11 lagi anggota lain-lain pangkat. #sumber
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Barisan Nasional Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz membidas Pemuda UMNO kerana menyeru presiden mereka, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercuti, tindakan yang diumpamakan seperti makan sesama sendiri.
Beliau menggesa Pemuda mencontohi Pakatan Harapan yang terus setia kepada pemimpin walaupun berdepan pendakwaan di mahkamah.
“Saya tidak faham Pemuda UMNO ini. Apabila presiden kena dakwa cepat sangat, macam cannibalism, makan sesama sendiri.
“Tengok macam kes Lim Guan Eng walaupun didakwa dan hadapi perbicaraan, ahli parti tidak suruh letak jawatan atau berehat.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim masuk penjara masih ketua umum. Inilah kesetiaan. Apa sekalipun berlaku mereka tetap setia,” katanya pada pemberita di Parlimen.
Nazri berkata Zahid tidak perlu berehat atau meletak jawatan kerana dia tidak memegang apa-apa jawatan penjawat awam.
Beliau seterusnya menerangkan langkah-langkah yang sepatutnya diambil Pemuda UMNO.
“Dia pegang jawatan yang dipilih perwakilan. Jadi kalau nak suruh dia ‘turun’, patut dapatkan pandangan akar,” katanya.
“Mungkin perlu dimulakan usul peringkat bahagian. Usul minta dia berehat. Setakat mendesak jadi tidak ada apalah,” katanya.
Beliau juga menegaskan sayap UMNO mempunyai hak bersuara dan pandangan mereka perlu diraikan.
Pemuda UMNO sebelum ini berkata Zahid perlu bercuti sementara menunggu keputusan perbicaraan rasuahnya.
Ketua Pemuda Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata bercuti akan membolehkan Zahid tumpu kepada perbicaraan rasuah akan datang. #sumber
KUANTAN - Sebuah lori dalam perjalanan menghala ke Kuala Lumpur yang membawa muatan daging babi terbabas di atas Jambatan Temerloh di kilometer 128.9 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), menyebabkan muatannya bertaburan di atas lebuh raya dalam kejadian 11.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Zundin Mohmod berkata, kejadian itu dipercayai berlaku apabila tayar belakang lori tersebut pecah sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang sebelah kiri jalan.
"Ekoran itu, sebahagian besar muatan daging babi yang dibawa lori berkenaan bertaburan di atas jalan.
"Bagaimanapun pemandu lori itu yang berusia, 64 tahun hanya mengalami kecederaan kaki kiri serta kepala dan telah dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, ANIH Berhad dalam satu kenyataan menyatakan bahawa kemalangan itu menyebabkan pihaknya menutup satu lorong di jambatan berkenaan.
"Bagaimanapun lorong itu dibuka seperti biasa selepas kerja-kerja pembersihan selesai dilakukan pada pada 1.45 petang tadi," kata kenyataan tersebut. #sumber
JAKARTA - Kotak hitam pesawat Lion Air yang terhempas Isnin lepas dilaporkan ditemui di perairan Tanjung Karawang pagi ini.
Menurut siaran langsung sebuah televisyen tempatan, TV One yang mengikuti operasi pencarian itu, kotak hitam dan sebahagian bangkai pesawat itu ditemui pasukan penyelam tentera Indonesia, kira-kira pukul 10.30 pagi ini.
Setakat pukul 11 pagi waktu Indonesia barat, belum terdapat makluman rasmi berkenaan penemuan itu oleh pihak berkuasa Indonesia.
Mengikut laporan televisyen berkenaan, kotak hitam itu dibawa ke Kapal KM Baruna Jaya 1.
Ketua Kesiapsagaan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas), Muhamad Syaugi sebelum ini berkata, empat kapal yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu yang memiliki teknologi sonar telah mengesan isyarat ping di koordinat sama di perairan Tanjung Karawang.
Fokus pencarian pesawat Lion Air yang terhempas Isnin lepas, hari ini bertumpu di satu koordinat yang dikesan isyarat pingdari kotak hitam pesawat itu.
Penerbangan JT610 itu membawa 181 penumpang dan lapan anak kapal, terhempas selepas berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta pada pukul 6.20 pagi Isnin di koordinat S 5 49.052 E 107 06.628. #sumber