script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Polis Siasat Pelawak Pukul Pengawal Keselamatan Di Nilai !


NILAI - Seorang pelawak tanah air disiasat polis kerana disyaki memukul seorang lelaki warga emas berusia 68 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di taman perumahan Acacia Park Desa Jati di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, pelawak tersebut dipercayai menumbuk muka pengawal keselamatan itu sebanyak tiga kali sebelum menendang mangsa kerana ditegur tidak membuat catitan dalam buku pelawat sebelum memasuki kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, kes itu disiasat dibawah Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan dan polis telah meminta pelawak berkenaan untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai hari ini.

"Mangsa mendakwa semasa dia sedang bertugas di Pos Pengawal Acacia Park Desa Jati melihat sebuah kenderaan jenis Proton Perdana memasuki kawasan itu tanpa memberhentikan kenderaan dan menulis butiran diri dalam buku pelawat.

"Pengawal keselamatan itu kemudian menegur pemandu kereta tersebut semasa kenderaan itu mahu meninggalkan kawasan Acacia Park Desa Jati lalu berlaku pertengkaran," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini. 

Mohd. Nor Marzukee berkata, pengawal keselamatan itu mendakwa pemandu kereta itu menumbuk mukanya sebanyak tiga kali sebelum menendang pinggangnya dan membaling batu ke arahnya.

Menurut beliau, artis berkenaan belum ditahan, namun siasatan sedang dijalankan berdasarkan maklumat saksi yang berada di tempat kejadian serta rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).

Jelasnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyebabkan kecederaan dengan sengaja dan Seksyen 427 kanun yang sama atas kesalahan khianat merosakkan harta benda awam. #sumber



Share:

Pemain Golf Profesional Negara Meninggal Dunia Di China


KUALA LUMPUR - Pemain golf profesional negara, Arie Irawan Ahmad dilaporkan meninggal dunia dalam bilik hotel penginapannya atas sebab semula jadi. Allahyarham berusia 28 tahun.

Persatuan Golf Profesional Malaysia (PGAM) dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata hari ini, laporan rasmi koroner belum selesai.

Arie Irawan, 28, berada di China untuk menyertai Kejohanan Sanya, acara kedua dalam Siri jelajah PGA-China 2019. Kami semua turut sama-sama berdukacita. #sumber
Share:

Dr Hatta: PH Komited Melahirkan 200,000 Usahawan Baharu


DUNGUN - Kementerian Pembangunan Usahawan yakin mampu melahirkan 200,000 usahawan baharu dalam tempoh penggal pertama pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), kata Timbalan Menterinya, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli.

Katanya, sasaran itu akan dapat dipenuhi memandangkan terdapat sambutan menggalakkan dan dalam tempoh hampir setahun, 24,000 usahawan baharu telah didaftarkan.

"Setakat ini, semua usahawan baharu itu telah berdaftar dengan agensi di bawah kementerian seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional), SME Corporation Malaysia dan ada yang mengikuti Program 'Professional Training And Education For Growing Entrepreneurs' (Protege) yang dijenamakan semula daripada Skim Latihan 1Malaysia (SL1M). #sumber
Share:

Kerajaan PH Komited Bantu Pekebun Di Cameron Highlands


IPOH - Kerajaan Pakatan Harapan komited untuk membantu para pekebun di Cameron Highlands yang berdepan dengan arahan pembersihan dan perobohan kebun mereka oleh kerajaan negeri Pahang, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. 

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highland bagaimanapun berkata pelbagai aspek perlu diambil kira dalam usaha untuk memastikan situasi menang-menang. 

"Kita akan lakukan apa sahaja demi kepentingan rakyat. "Kita ambil kira langkah dan tindakan adalah untuk kepentingan rakyat. 

"Kita hendak tolong pekebun-pekebun ini tapi mesti tahu ini penerokaan (kebun) bagaimana Adakah ia menjaga alam sekitar, merbahaya yang boleh menyebabkan tanah runtuh...ini mesti diambil kira," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Jubli Emas 50 Tahun Politeknik Malaysia di Politeknik Ungku Omar di sini. Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching. 

Timbalan Perdana Menteri ditanya mengenai tindakan kerajaan negeri Pahang membersihkan dan merobohkan 11 kebun milik pekebun kecil di Kuala Terla, Cameron Higlands pada Februari lepas bagi fasa pertama, manakala penguatkuasaan sama ke atas 50 lagi kebun dijadual pada bulan ini. 

Pekebun berkenaan dalam satu bantahan ada 31 Mac lalu mendakwa, selain memberikan notis yang singkat, tindakan kerajaan negeri itu menyebabkan mereka hilang punca pendapatan dan pada masa sama terpaksa menanggung bayaran balik pinjaman institusi kewangan.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menjelaskan kerajaan negeri perlu bertegas dalam isu pekebun kecil Kuala Terla untuk menjamin kesinambungan bekalan air terawat bagi keperluan kira-kira 70 peratus penduduk Cameron Highlands. #sumber
Share:

Mufti Pahang: Jangan Hanya Salahkan Bekas Ahli Lembaga TH



KUANTAN - Kerajaan tidak seharusnya menyalahkan sepenuhnya bekas pengurusan tertinggi lembaga Tabung Haji (TH) berhubung salah guna kuasa yang didakwa melakukan penyelewengan.


Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, akibat daripada tuduhan itu menyebabkan umat Islam di negara ini sudah mula tidak mempercayai sebuah institusi kewangan Islam yang kukuh sebelum ini.

Menurutnya, kerajaan seharusnya melakukan penyiasatan terlebih dahulu sebelum melakukan tuduhan bahawa kesemua bekas ahli lembaga TH terlibat dalam salah guna kuasa.


"Salah urus tadbir ini saya tidak setuju kerana kita tidak nampak penyelewengan yang nyata dan ahli-ahli lembaga yang dipilih merupakan orang yang bagus yang telah diberi kepercayaan oleh kerajaan terdahulu.

"Kegagalan TH bukan kerana kegagalan pengurusan tetapi adalah susut nilai (kewangan) dan untung rugi dalam perniagaan itu adalah perkara biasa.


"Kita ambil contoh seperti kerugian kelapa sawit, adakah kegagalan kelapa sawit ini berpunca dari ahli lembaga? Tidak tetapi dunia yang tidak mahu membeli minyak sawit, itulah yang sepatutnya kita fahami apa yang terjadi dalam TH," katanya.

TH pada Jumaat mengumumkan kadar hibah 1.25 peratus yang disifatkan terendah dalam sejarah lembaga itu.

Berikutan itu, pelbagai reaksi timbul yang antara lain mempersoalkan kadar itu dan juga kenyataan menteri yang didakwa hanya menyalahkan kerajaan terdahulu semata-mata. #sumber


Share:

Lima Cedera, Ambulans Terbalik Di Rempuh SUV Di Kuantan !


KUANTAN 6 April - Sebuah ambulans Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) terbalik selepas dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV), Honda HR-V di Jalan Sultan Abdullah dekat persimpangan lampu isyarat dan jejambat berhampiran Kolej Universiti Widad di sini hari ini.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, ambulans dinaiki dua pembantu perubatan dan pemandu dalam perjalanan membawa seorang pesakit yang merupakan mangsa kemalangan di Petronas Sungai Lembing menuju ke HTAA.


Dalam kemalangan itu, ambulans berkenaan dikatakan berpusing sekali sebelum terbalik di jalan berhadapan Kolej Universiti Widad.

Mangsa kejadian yang merupakan Pembantu Perubatan HTAA, Zulkaham Abdul Wahab berkata, ambulans dinaiki mereka dirempuh pada bahagian tengah oleh SUV itu dan berpusing sekali sebelum terbalik.

“Orang ramai kemudian datang membantu dengan membuka pintu ambulans dan membawa semua mangsa keluar ke tepi jalan termasuk pesakit kemalangan, “ katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Difahamkan, pemandu Honda HR-V yang merupakan seorang wanita dan anaknya tidak mengalami kecederaan dan dihantar menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk rawatan.

Tiada kemalangan jiwa berlaku dan bantuan penyelamat tiba selepas 10 minit kejadian.

Berikutan kejadian itu kawalan lalu lintas dikawal oleh Pasukan Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan. #sumber
Share:

Peneroka Diperdaya RM64,770 Gara-Gara Mahu 'Pinjam Wang'


KUANTAN - Seorang peneroka kerugian RM64,770 selepas berhasrat mahu membuat pinjaman wang kepada seorang lelaki yang baru dikenalinya dalam satu majlis perjumpaan, sejak tiga tahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusuf berkata mangsa yang berusia 67 tahun mendakwa telah bertemu dengan suspek yang difahamkan orang penting dalam majlis itu untuk meminjam wang RM200,000 bagi dijadikan modal perniagaan.

"Mangsa mendakwa telah membuat bayaran tunai RM1,000 kepada suspek pada awal tahun 2016 sebagai bayaran proses permulaan pinjaman yang kemudiannya dituruti dengan pelbagai bayaran lain yang dimasukkan ke dalam pelbagai akaun berbeza. #sumber
Share:

Tiada Kuasa 'Larang Merokok' Dalam Kenderaan Persendirian !


KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk melarang perbuatan merokok di dalam kenderaan persendirian, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye.

Beliau berkata, kenderaan persendirian adalah ruang peribadi seseorang dan ia tidak boleh diganggu.

"Merokok dalam kereta itu kawasan persendirian, kita tidak boleh ganggulah melainkan kalau perokok (merokok) dalam kenderaan awam kerana ia berada di bawah peraturan sedia ada dan ia memang kawasan larangan merokok.

"Kalau ibu bapa yang memandu dan dalam kereta ada kanak-kanak sepatutnya (mereka) tidak merokok. Mereka (ibu bapa) patut jaga anak supaya tidak merokok. Kalau dia pandu seorang, itu hak dia untuk dia merokok atau tidak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Menanam Pokok Let's Go Green anjuran Yayasan Paru-paru Malaysia (LFM) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod dan Pengerusi LFM, Datuk Dr. Zainudin Md Zain. #sumber
Share:

Pembantu Warung Gagal Kebumi Bayi Akibat Kesempitan Wang


KUALA LUMPUR - Seorang pembantu warung tidak dapat menyempurnakan pengebumian bayi lelakinya yang meninggal dunia sejurus dilahirkan di sebuah hospital malam tadi hanya kerana tiada wang untuk membayar kos pengebumian sebanyak RM300 dipinta pengurusan jenazah sebuah surau.

Isteri kepada lelaki berkenaan dipercayai terjatuh di tandas dan menyebabkan bayi berusia lima bulan yang dikandungnya gugur.

Kisah menyayat hati itu dikongsi seorang aktivis gerakan Amal Team, Mohd Zulhairi Zainol, 34, atau lebih dikenali sebagai Hery menerusi akaun laman sosial Facebook miliknya.

Zulhairi menerusi hantaran di Facebooknya berkata, dia menerima panggilan daripada wakil sebuah hospital hari ini menyatakan ada sepasang suami isteri menghadapi masalah tidak cukup wang untuk mengebumikan mayat bayi lelakinya.

“Selepas mendapat panggilan daripada pihak hospital, saya bertemu dengan bapanya yang memberitahu dia cuba mengebumikan jenazah bayi lelakinya di tempat asalnya namun pihak pengurusan meminta bayaran RM300 sedangkan dia hanya mempunyai RM150 pada masa itu.

“Saya sebak dan sedih apabila mendengar kisahnya itu sedangkan urusan yang sepatutnya didahulukan adalah urusan pengebumian dan bukan urusan kewangan,” katanya.

Mohd Zulhairi berkata, dia kemudian mengambil jenazah bayi itu sebelum memandikan, mengkafankan dan mengebumikannya di sebuah tanah perkuburan.

“Sepanjang itu, hanya RM20 sahaja yang saya keluarkan bagi proses menggali dan mengebumikan mayat bayi lelaki berkenaan.

“Saya tersentuh melihat keadaan pasangan berkenaan yang tidak mampu mengebumikan jenazah anak mereka dan sudah menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk membantu,” ujarnya.

Mereka yang ingin membantu operasi gerakan Amal Team boleh melayari akaun FB, Mohd Zulhairi Zainol. #sumber
Share:

Pelajar Tahun Empat Maut Di Rempuh Van Sekolah Di Naiki !


HULU SELANGOR - Seorang murid perempuan tahun empat maut selepas dirempuh van sekolah yang baharu sahaja menurunkannya di kawasan Apartment Seri Teluki, Bukit Sentosa di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Lim Bak Phai berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 petang selepas pemandu van tersebut selesai menghantar murid berkenaan ke kawasan tersebut.

"Kejadian berlaku apabila pemandu van berkenaan, seorang wanita berusia 56 tahun tidak menyedari murid perempuan berusia 10 tahun itu melintas di hadapan van dipandunya selepas diturunkan di lokaso tersebut.

"Pemandu van tersebut tersebut hanya menyedari apa yang berlaku selepas terlihat murid berkenaan terbaring di sebelah kiri van melalui cermin sisi van itu," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Bak Phai, murid berkenaan meninggal dunia di lokasi kejadian susulan kemalangan tersebut dan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat. 

"Tiada sebarang kerosakan dialami van tersebut dan pemandu wanita itu telah ditahan untuk siasatan selanjutnya. 

"Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," tegas beliau. #sumber
Share:

Anwar Seru Anggota Parti Supaya Tidak Melupakan Sejarah !


SEREMBAN - Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap pendukung perjuangan parti itu supaya tidak melupakan sejarah bagi memastikan perkara yang sama tidak diulangi.

Sambil memetik ungkapan novelis dan ahli falsafah George Santayana, beliau turut berharap peristiwa sejarah terdahulu dapat menguatkan penyokong parti itu.

“Keangkuhan dan kebobrokan berjaya dihentikan. Ungkapan novelis dan filasuf George Santayana bahawa 'mereka yang melupakan sejarah, akan cenderung mengulanginya'. #sumber
Share:

Kerajaan Negeri Pahang Naikkan Cukai Balak Mulai 1 Jun 2018


LIPIS - Kerajaan negeri Pahang menaikkan cukai balak berkuatkuasa 1 Jun tahun 2018, selepas lebih 31 tahun tidak berbuat demikian.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kenaikan itu dilakukan dalam kadar yang munasabah dan lebih rendah berbanding cukai balak dikenakan negeri lain seperti Kelantan, Terengganu dan Perak.

“Perak, Terengganu dan Kelantan telah naik tiga hingga empat kali, tetapi royalti balak kita tidak naik sejak 31 tahun dan Alhamdulillah pertengahan tahun lepas sahaja kita dapat RM100 juta dan dijangka tahun ini kita jangka mampu memperoleh RM200 juta. #sumber
Share:

Operasi "Perlombongan Bauksit" Tidak Jauh Dari Kilang Lynas !


KUANTAN - Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) hari ini menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya kilangnya di Gebeng di sini terletak jauh daripada tapak operasi perlombongan bauksitnya.

Pengurus Besar Keselamatan, Peraturan dan Pematuhan Lynas Prof Dr Ismail Bahari berkata sebelum pelaksanaan moratarium, operasi perlombongan bauksit dilaksanakan berhampiran dengan kawasan kilangnya.

"Malah, dua ruang perlombongan bauksit yang digunakan sebelum ini terletak dalam jarak sekitar 1km dari kilang Lynas Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. #sumber
Share:

Datuk Dr Noraini Ahmad Akan Di Lantik Pengerusi PAC Baharu


KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Parit Sulong daripada Barisan Nasional (BN) Datuk Dr. Noraini Ahmad dijangka dipilih sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen pada sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Cadangan pemilihan itu disenaraikan di tempat ke sembilan dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) Dewan Rakyat yang dikeluarkan hari ini.

Aturan mesyuarat itu menyebut Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad akan membuat cadangan itu bagi menggantikan Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee yang merupakan Pengerusi PAC sebelum ini.

Isu mengenai Pengerusi PAC Parlimen menjadi hangat apabila Ronald yang sebelum ini Ahli UMNO Sabah, bertindak keluar daripada parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), satu daripada komponen Pakatan Harapan (PH), bersama enam lagi wakil rakyat UMNO Sabah tahun lalu.

Ronald yang mempertahankan kerusi Parlimen Beluran sejak lima penggal atas tiket UMNO, dipilih sebagai Pengerusi PAC Parlimen buat pertama kali daripada blok pembangkang, berikutan janji manifesto PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang menetapkan Pengerusi PAC Parlimen mesti dipilih dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang.

Ketika ditanya pemberita di lobi parlimen hari ini mengenai cadangan penggantian itu, Mahathir berkata: "Kita telah berjanji anggota pembangkang (dilantik) sebagai Pengerusi PAC, tetapi apabila Kiandee tinggalkan Umno, kita tidak ada calon, jadi dia teruskan pada waktu itu."Kini kita sudah ada calon, kita kena tanya pada calon itu juga, sama ada beliau bersedia untuk mengambil tugas tersebut," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PAC Wong Kah Woh yang mengesahkan perkara itu berkata, ia merupakan satu agenda dalam aturan mesyuarat, dan sekiranya aturan itu tidak berubah sehingga akhir sidang Parlimen, ia dijangka dibentang pada hari terakhir persidangan.

Juga sama ada agenda ini akan dibawa ke depan bergantung pada Parlimen, tambahnya.

Noraini ketika ditemui pemberita untuk mengulas perkara ini dengan ringkas berkata : "Tunggu sehingga usul dibawa ke Dewan Rakyat".  #sumber
Share:

50 Buah Syarikat Lombong Gagal Perbaharui Lesen Di Lipis !



KUANTAN – Sebanyak 50 syarikat perlombongan gagal memperbaharui lesen mencari gali bijih emas dan besi yang diusahakan dalam kawasan hutan simpan kekal di tanah kerajaan di daerah Lipis.


Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri (JPNP), Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, sikap cuai dan ambil mudah untuk tidak memperbaharui lesen antara yang dikesan dalam operasi lombong 4.0 di daerah itu yang diadakan sejak dua hari lalu.

Menurutnya, syarikat perlombongan yang beroperasi tanpa lesen boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 dan akta pihak berkuasa lain.


“Pengusaha perlu memperbaharui lesen melombong sebelum tamat tempoh kuat kuasa, bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang. Jika tiada lesen sah, kita tidak akan berkompromi dengan syarikat dan individu yang terbabit dengan aktiviti perlombongan dalam hutan simpan kekal di negeri ini secara haram tanpa memiliki permit atau lesen.

“Tindakan tegas menanti pihak terbabit, selain dikenakan denda peralatan dan jentera mereka turut akan dirampas. Lesen mencari gali bijih emas dan besi hanya dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) sementara permit penggunaan hutan simpan bagi membabitkan jentera dan pekerja dikeluarkan jabatan perhutanan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

JPNP mengadakan operasi lombong 4.0 di daerah Lipis dan program empat hari itu disertai lebih 180 anggota pelbagai agensi kerajaan.

Selain kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang turut sama menyertai operasi berkenaan PTG, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Mineral Dan Geosains (JMG), Pejabat Daerah Dan Tanah Lipis, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Badan Kawal Selia Air (BKSA), Jabatan Imigresen dan Ibu Pejabat Perhutanan Semenanjung Malaysia.

Mengulas lanjut mengenai operasi itu, Mohd Hizamri berkata, dalam operasi tersebut pihaknya telah melakukan pemeriksaan terhadap lebih 55 lombong yang berada dalam kawasan hutan simpan kekal dan tanah kerajaan seluas 60,000 hektar di daerah itu.

Jelasnya, selain gagal memperbaharui lesen cari gali bijih besi dan emas terdapat beberapa kesalahan lain dilakukan.

Bagaimanapun, pihaknya akan terus mengadakan ops lombong setiap tahun bagi memastikan semua syarikat perlombongan di negeri ini mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan kerajaan terutama membabitkan permit atau lesen.

Selain itu, pihaknya berjaya menahan tujuh pekerja warga asing yang berada dalam kawasan lombong tanpa permit.

“Mereka diserahkan kepada jabatan imigresen untuk tindakan selanjutnya, palung yang dibina secara haram turut dirobohkan,” katanya. #sumber
Share:

Enam Nelayan Vietnam Di Tahan Ceroboh Perairan Malaysia !


KUANTAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan enam nelayan warga Vietnam termasuk seorang tekong kerana menangkap ikan secara haram kira-kira 68 batu nautika Tenggara dari Kuantan petang semalam.

Pengarah Maritim Pahang Laksamana Muda Maritim Datuk Zulkarnain Mohd Omar berkata bot nelayan itu dikesan oleh oleh pasukan Maritim Malaysia ketika sedang melakukan rondaan di kawasan berkenaan pada kira-kira pukul 5.00 petang, sebelum bertindak menahan bot itu untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan kita dapati kesemua awak-awak bot yang berumur antara 24 dan 54 tahun itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah selain tidak mempunyai lesen untuk menangkap ikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.#sumber
Share:

Kapal Equanimity Di Jual Kepada Genting Harga "RM514 Juta" !


KUALA LUMPUR - Kapal mewah Equanimity milik ahli perniagaan Jho Low akhirnya telah dijual kepada Genting Malaysia Bhd. (Genting) atau syarikat tujuan khas (SPV) milik syarikat itu dengan harga AS$126 juta (RM514 juta).

Dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh Peguam Negara, Tommy Thomas di sini hari ini, penjualan kapal itu telah mendapat kelulusan dari Mahkamah Admiralti di sini bagi menerima tawaran syarikat itu untuk membeli Equanimity mengikut terma-terma dan syarat-syarat Syerif.

Harga jualan sebanyak AS$126 juta itu akan dibayar oleh Genting dan bayaran itu akan diterima pada penghujung April 2019.

"Jumlah AS$126 juta (RM514 juta) ini ialah tawaran terbaik yang diterima dalam tempoh lima bulan, semenjak Oktober tahun lalu apabila Equanimity mula diumumkan untuk jualan.

“Sebelum ini banyak tawaran yang diterima dan Genting telah menawarkan harga tertinggi yang pada hari ini telah diluluskan oleh Mahkamah untuk diterima,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, tawaran daripada Genting yang telah dirunding secara terus dengan kerajaan Malaysia, sekaligus membawa penjimatan sebanyak AS$4.4 juta (RM17.9 juta).

Menurutnya lagi, meskipun nilai harga pasaran kapal tersebut oleh syarikat jurunilai bebas yang berpangkalan di United Kingdom, Winterbothams adalah AS$130 juta (RM530 juta) tidak dicapai, tetapi kerajaan Malaysia telah memperoleh pulangan bersih lebih baik seperti yang dijangkakan.

Penjualan kapal mewah itu berjaya dicapai apabila sebahagian besarnya, dibantu melalui kepakaran dan kemahiran Kumpulan Perundangan yang mewakili kerajaan Malaysia.

"Kumpulan Perundangan ini telah menjalankan tugas mereka dengan baik apabila bergerak dan bertemu sendiri dengan pembeli berpotensi di Hong Kong dan London termasuk menanggung sendiri kos-kos perjalanan dalam memastikan penjualan kapal ini. Usaha ini juga turut dibantu Syerif mahkamah dan kesediaan Hakim Admiralti," ujar kenyataan itu lagi. #sumber
Share:

Istana Pahang Telah Tarik Balik Gelaran 'Datuk Seri' Gnanaraja


KUANTAN - Istana Pahang telah menarik balik kurniaan darjah kebesaran Sultan Ahmad Shah Yang Amat Di Mulia Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran 'Datuk Seri' daripada ahli perniagaan G Gnanaraja berkuat kuasa 13 Mac lepas. 

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Sallehuddin Ishak yang dihubungi Bernama hari ini.

Menurut surat bertarikh 13 Mac itu, Gnanaraja yang dianugerahi pingat berkenaan pada 19 Mac 2014 di Istana Pahang, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur tidak dibenar menggunakan gelaran tersebut berkuat kuasa dari tarikh sama.

Lelaki berkenaan turut diminta mengembalikan darjah kebesaran yang diterima itu ke Bahagian Istiadat dan Pengurusan Majlis Rasmi, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.

Gnanaraja yang merupakan Pengarah Urusan sebuah syarikat, hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan menipu pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. #sumber
Share:

AG: Pihak Pendakwaan Akan Membuktikan Kes Terhadap Najib


KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan akan membuktikan Datuk Seri Najib Tun Razak telah menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk mendapatkan bagi dirinya suapan sebanyak RM42 juta.

Dalam pernyataan pembukaan, Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, pendakwaan akan membuktikan bahawa Najib terlibat secara langsung dalam keputusan pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman berjumlah RM4 bilion yang diterima oleh SRC International Sdn. Bhd .daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

"Oleh itu, adalah menjadi tugas dan keistimewaan saya untuk memulakan perbicaraan di mahkamah terhadap bekas seorang perdana menteri yang selama hampir sedekad, menduduki jawatan yang paling berkuasa di negara ini dan mempunyai hampir kuasa mutlak.

"Keistimewaan seperti itu memikul tanggungjawab yang besar, yang pejabat saya berhasrat untuk melaksanakannya bagi membuktikan bahawa tertuduh bersalah atas tujuh pertuduhan yang dihadapinya seperti yang telah dibacakan di hadapan Yang Arif.

"Tertuduh sepanjang tempoh menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri yang kesalahan itu dilakukan juga serentak ketika memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan, dengan itu menggabungkan kuasa politik maksimum dan mengawal kewangan negara," katanya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Tommy berkata, selaku memegang jawatan Perdana Menteri dan sebagai pegawai awam tertinggi yang dipilih dan ketua kerajaan, rakyat meletakkan kepercayaan tertinggi kepada tertuduh.

Dalam keadaan sedemikian, undang-undang itu memperuntukkan standard penjagaan bagi tertuduh melaksanakan tugas dan kewajipannya sebagai pemegang amanah perjawatan awam, katanya.

"Tidak cukup dengan memegang  jawatan sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, tertuduh juga dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan Penasihat Emeritus dalam anak syarikatnya, SRC International Sdn. Bhd., " kata beliau.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan di sini dan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 10 Februari 2015.

Najib yang merupakan Perdana Menteri Malaysia keenam, adalah Perdana Menteri pertama berada dalami kandang tertuduh selepas dia diheret ke mahkamah. #sumber
Share:

Lelaki Mengamuk Gagal Keluar Duit ATM Di Tembak Oleh Polis


KLANG - Gara-gara tidak berpuas hati kerana gagal mengeluarkan wang daripada sebuah bank, seorang lelaki di bawah pengaruh dadah telah mengamuk dan menyerang dua anggota polis dalam satu kejadian di hadapan sebuah bank di sini tadi. 

Bagaimanapun, tindakan lelaki berasal dari Sabah itu akhirnya membawa padah apabila pihak polis telah melepaskan dua das tembakan yang telah mengenai perut suspek dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan awal mendapati suspek terlebih dahulu telah ke bank tersebut bagi mengeluarkan sejumlah wang daripada mesin pengeluaran wang automatik (ATM) pukul 12.30 tengah hari.

Katanya, bagaimanapun suspek dikatakan mengamuk selepas gagal mengeluarkan sebarang wang dari mesin ATM itu sebelum beredar.

"Pengawal keselamatan bank memaklumkan kepada anggota polis bahawa suspek akan kembali ke bank pukul 2 petang selain akan mengamuk sekali lagi sekiranya gagal mengeluarkan wang lagi.

"Kira-kira pukul 2 petang pengawal keselamatan telah menghubungi anggota Unit Rodaan Bermotosikal (URB) dan memaklumkan suspek berada di bank, "katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Shamsul Amar memberitahu, anggotanya kemudian menghala semula ke bank berkenaan dan mendapati suspek berada di hadapan bank dalam keadaan marah dan memegang pisau.

Ujar beliau, seorang anggota polis cuba menenangkan suspek namun suspek bertindak agresif mengejar anggota polis berkenaan dan cuba menikam dengan pisau.

"Bagi mempertahankan diri dua anggota yang berada di lokasi kejadian telah melepaskan empat das tembakan dan dua daripadanya mengenai perut suspek.

"Kita turut merampas sebilah pisau satu peket mengandungi serbuk putih dipercayai dadah dalam beg pinggang suspek" katanya. 

Jelas Shamsul Amar, suspek yang cedera itu kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut.

"Hasil siasatan awal turut mendapati wang yang cuba dikeluarkan oleh suspek didapati belum memasuki akaun simpanannya.

"Semakan rekod mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau dan ketika kejadian suspek dibawah berada di bawah pengaruh dadah,"katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. #sumber
Share:

Kemalangan: Quraitun Belum Tahu Ibu Bapa Meninggal Dunia !


TEMERLOH - Anak pasangan Musa Abdullah, 31, dan Norsuraya Mohd Noor, 30, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 101, Jalan Lama Kuantan-Kuala Lumpur, dekat Kampung Semat, Batu 14,  pada Ahad lalu masih belum mengetahui ibu bapanya, datuk dan neneknya serta adik lelakinya meninggal dunia dalam kemalangan itu.

Menurut ibu saudaranya Nor Syuhada Mohd Noor, 29, meskipun keadaan anak saudaranya itu Nur Quraitun Ain Musa, 5, telah sedar, namun mereka sekeluarga masih tidak sampai hati untuk memaklumkan tentang keadaan yang berlaku memandangkan kesihatannya belum mengizinkan.

"Dia (Nur Quraitun) masih belum tahu keadaan sebenar, biarlah keadaannya benar-benar pulih baru kami sepakat untuk memaklumkan kepadanya.

"Semasa dimasukkan ke wad pada malam pertama (hari Ahad), dia ada meracau-racau memanggil ibunya mungkin kerana terkejut dengan kemalangan yang berlaku, malah sehingga sehingga kini selalu juga dia memanggil ibunya jika kesakitan," katanya ketika ditemui Bernama di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di sini hari ini.

Selain itu, katanya, anak saudaranya itu masih trauma dan takut apabila menerima kehadiran pelawat dan akan menjerit memanggil ibunya. #sumber
Share:

Piala FA: Pasukan Jerantut Mara.Belasah Johor Bahru 3-0 !


MARAN - Pasukan Jerantut mara ke pusingan ketiga Piala FA 2019 setelah membelasah Johor Bahru 3-0 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka malam ini.

Jerantut yang beraksi di laman sendiri serta diperkuatkan dengan dua tenaga import iaitu Berete Mamadou dari Guinea dan Idisi Ovie (Nigeria) ternyata sukar digugat. 


Tuan rumah menguasai hampir keseluruhan separuh masa pertama dengan pelbagai gerakan menarik yang direncanakan ke arah kubu lawan. 

Mamadou hampir meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-29 namun rembatannya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol lawan. 

Sorakan lebih 2,000 penyokong tuan rumah bergema apabila Muhamad Nor Hafiz Sulaiman meledakkan gol pertama seminit kemudian. 

Hafiz hampir menghadiahkan gol kedua untuk pasukannya seminit selepas babak kedua bersambung namun rembatan kencangnya terkena tiang gol. 

Peluang keemasan pelawat hadir pada minit ke-63 namun tendangannya tepat ke dakapan penjaga gol tuan rumah, Muhamad Rozlan Arbae. 

Jerantut yang dilihat semakin bertenaga memburu jaringan berjaya menhasilkan gol kedua apabila Muhammad Hariz Irffan Mohd Nazri merembat masuk hantaran Nor Hafiz pada minit ke-71.

Tuan rumah terus berpesta gol apabila pemain tengahnya Shazlan Zaidin merembat masuk gol ketiga pada minit ke-89. #sumber
Share:

Al-Sultan Abdullah Tokoh Inspirasi Bola Sepak Malaysia, Asia !


KUALA LUMPUR - Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa menyifatkan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai tokoh yang memberi inspirasi terhadap kemajuan bola sepak di Malaysia dan Asia.

Shaikh Salman juga secara peribadi menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas sumbangan dan komitmen cemerlang baginda terhadap pembangunan bola sepak sejak beberapa dekad lalu.

"Baginda mencurahkan khidmat menerusi pelbagai kapasiti dalam bola sepak, dan banyak pihak termasuk saya akan merasakan ketiadaan peranan dan sokongan baginda.

"Kita akan sentiasa menghargai usaha baginda yang tidak mengenal penat lelah terhadap pembangunan pentadbiran profesional dan usaha mempromosi sukan berkenaan," kata Shaikh Salman dalam kenyataan dikeluarkan pada laman sesawang AFC; www.the-afc.com today.

Shaikh Salman juga menzahirkan ucapan tahniah kepada Sultan Abdullah dalam melaksanakan tugas baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan menyatakan keyakinan Malaysia dan rakyat negara ini akan terus membangun dan maju di bawah pemerintahan baginda.

Terdahulu, Shaikh Salman menghadap Sultan Abdullah di Istana Negara, hari ini.

Sultan Abdullah terkenal dengan minat yang mendalam dan kepimpinan baginda dalam bola sepak dan memegang beberapa jawatan dalam AFC, termasuk Timbalan Presiden dan juga jawatan lain seperti Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Piala Asia AFC 2015 dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan AFC.

Baginda yang juga bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dari 2014 hingga 2017, turut  mempengerusikan Pasukan Petugas Khas Tadbir Urus AFC baru-baru ini. #sumber
Share:

Salahuddin Ayub Tak Akan Campur Pegawai Kena Siasat SPRM


KUALA LUMPUR - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub menegaskan tidak akan campur tangan dalam siasatan SPRM berhubung penahanan setiausaha politiknya hari ini.

Salahuddin Ayub berkata, beliau telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut dan akan membiarkan undang-undang Malaysia menjalankan tanggunggjawab tersebut.

"Beliau (setiausaha politik) juga seperti rakyat Malaysia lain yang tertakhluk kepada undang-undang.

"Justeru, saya berpegang teguh kepada prinsip keluhuran undang-undang dan yakin serta percaya pihak SPRM akan menyiasat kes ini dengan adil dan bebas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, media hari ini melaporkan seorang setiausaha politik ditahan kerana disyaki menerima suapan berbentuk seutas jam tangan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM28,000. #sumber
Share:

SPRM Tahan Setiausaha Politik Terima Jam Tangan RM28,000


PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang setiausaha politik kerana disyaki menerima suapan berbentuk seutas jam tangan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM28,000.

Menurut sumber, lelaki berusia 47 tahun tersebut ditahan kira-kira pukul 5 petang tadi di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan.

"Siasatan awal mendapati lelaki terbabit dipercayai menerima jam tangan mewah itu sebagai dorongan membolehkan sebuah syarikat pembangunan mendapatkan projek-projek di bawah kelolaan sebuah kementerian," katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek esok di Mahkamah Majistret Putajaya. #sumber
Share:

Bauksit: Penglibatan Badan Bebas Membantu Penguatkuasaan



KUANTAN - Penglibatan badan bebas melalui penubuhan badan pemantau yang diiktiraf kerajaan perlu bagi membantu dalam aspek penguatkuasaan undang-undang berkaitan bauksit dan alam sekitar.


Pengerusi Gerakan Rakyat Hentikan Pencemaran Bauksit (Geram), Ali Akbar Othman berkata, matlamat utamanya sebagai pasukan sokongan kepada agensi kerajaan yang berdepan masalah kekurangan anggota penguatkuasa serta sebagai salah satu cara melibatkan orang awam secara langsung dalam perihal penjagaan kelestarian alam sekitar.

Menurutnya, peranannya pasukan itu mungkin seperti anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan peranannya perlu diperakui kerajaan melalui peruntukan kuasa yang bersesuaian untuk menangani isu-isu berkaitan alam sekitar.


“Pasukan ini berperanan sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dalam melaporkan perlanggaran had operasi atau permit, memberi maklumat kepada agensi penguatkuasa serta menyertai pemeriksaan atau operasi ke atas salah laku yang di laporkan berkaitan alam sekitar.

“Keanggotaannya perlu melibatkan wakil badan bukan kerajaan (NGO ) yang mewakili kepentingan penduduk dalam isu setempat,” katanya.




Isu alam sekitar akibat aktiviti bauksit yang pernah berlaku pada 2014 hingga 2016 masih menghantui penduduk.

Ali Akbar berkata, pada masa sama, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dan kerajaan negeri disaran agar membentangkan langkah utama yang akan di ambil dalam penambahbaikan Prosedur Operasi Standard (SOP) perlombongan dan pengeksportan bauksit kepada awam melalui semua saluran media utama.

“Ia juga perlu lebih terbuka kepada kritikan dan cadangan penambahbaikan atau pengubahsuaian jika perlu bagi memastikan kesilapan yang berlaku sebelum ini tidak berulang,” katanya.

Beliau berkata, cadangan dikemukakan itu bagi mengelak isu-isu alam sekitar menjadi semakin kritikal dan meruncing selepas aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit diteruskan.

“Kita bimbang, jika isu ini tidak ditangani dengan sebaiknya, Pahang akan terseret dalam ‘lingkungan kebinasaan’ akibat sikap tamak dan haloba sesetangah pihak.

“Kenyataan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar yang mengisytiharkan tempoh moratorium bauksit berakhir hari ini sudah pasti menghantui penduduk Kuantan.

“Mereka bimbang kemungkinan krisis pencemaran alam akibat aktiviti ini seperti yang berlaku pada 2014 hingga 2016 lalu berulang kembali,” katanya.

Menurutnya, justeru kerajaan mesti menjelaskan peruntukkan undang-undang yang akan diguna pakai dan agensi mana yang akan bertanggungjawab termasuk dalam aspek perlanggaran undang-undang jalan raya, pencemaran alam sekitar dan pelombong haram.

Sesi Pendengaran Awam SOP perlombongan bauksit akan diadakan pada 14 April ini di Dewan Jubli Perak, Sultan haji Ahmad Shah di sini.

Justeru orang ramai terutama warga daerah ini perlu mengambil kesempatan menghadiri sesi pendengaran awam berhubung penetapan SOP itu bagi membolehkan mereka membangkitkan pelbagai persoalan dan mendapat maklum balas terus menerusi sesi pendengaran yang dianjurkan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) itu. #sumber


Share:

Pasukan Pemantau Lynas Kaji Instrumen Penghantaran Sisa !


KUALA LUMPUR - Pasukan petugas yang memantau pengeluaran sisa radioaktif Lynas Advance Material Plant sedang mengenal pasti instrumen antarabangsa berhubung proses penghantaran keluar sisa ke Australia, kata Timbalan Menteri Tenaga, Sains Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Isnaraissah Munirah Majilis.

Beliau berkata instrumen ini akan mengambil kira semua aspek perundangan, keselamatan bagi menjamin keselamatan orang awan dan alam sekitar.

“Menteri Mestecc telah tulis surat kepada rakan sejawatnya di Australia pada 26 Februari untuk maklumkan mengenai kerjasama dalam memudah cara pengeluaran 'water leached purification residue' (WLP) dari Malaysia ke Australia,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini. #sumber
Share:

Anak Dakwa Ibu Terlalu Gembira Sebelum Terlibat Kemalangan


KUANTAN - Anak tiri kepada Hashimah Ismail, 66, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 101 Jalan Lama Kuantan-Kuala Lumpur petang tadi, tidak menyangka sikap ibunya yang terlalu gembira semasa majlis kenduri perkahwinan di Hulu Langat semalam, merupakan petanda bahawa dia akan meninggalkan mereka sekeluarga selamanya.

Menurut Zaili Mohd Noor, 51, ibu tirinya dilihat ‘gembira luar biasa’ dan ketawa sehingga mengalir air mata menyebabkan dia terdetik di dalam hati ada sesuatu yang kurang elok akan berlaku selepas itu.

“Ayah saya, adik perempuan dan suaminya nampak biasa sahaja, semasa majlis perkahwinan anak kedua saya itu, cuma mak sahaja nampak gembira sangat, semasa itu saya teringat orang tua-tua kata, kalau banyak sangat ketawa, nanti menangis,” katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik Hospital Jengka di sini malam ini. #sumber
Share:

SOP Bauksit: Penduduk Harap Mimpi Buruk Tak Berulang Lagi


KUANTAN - Susulan penambahbaikan yang diusahakan kerajaan dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) perlombongan dan pengeksportan bauksit, rata-rata penduduk sekitar Kampung Selamat yang terletak sekitar 6km dari Pelabuhan Kuantan berharap agar bahana pencemaran sekitar yang pernah dialami kawasan itu, tidak berulang kembali.

Rata-rata kalangan mereka masih belum dapat melupakan pengalaman 'bergelumang' dengan habuk merah dan deruan lori bauksit yang menjadi 'halwa telinga' sepanjang hari.

Seorang penduduk Rosdi Mustafa, 42, mendakwa aktiviti pengangkutan bauksit di kawasan berkenaan sebelum ini menyebabkan anaknya Putri Nurmia Qaisara, 7, mengalami masalah pernafasan sehingga pernah mengalami jangkitan kuman pada paru-paru, dipercayai akibat debu dibawa lori bauksit. #sumber
Share:

10 Keping Gambar Perkahwinan Sultan Muhammad V Tersebar


KUALA LUMPUR - Sebanyak 10 keping gambar perkahwinan yang memaparkan imej bekas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V kembali tersebar di platform media sosial, Instagram selepas ia dimuat naik oleh seorang jurugambar Rusia, Maxkoliberdin semalam.

Gambar perkahwinan itu antara lain turut me­maparkan Sultan Muhammad V yang mengenakan sepasang baju Melayu berwarna biru sedang memotong kek bersama bekas Ratu Cantik Rusia, Oksana Voevodina.

Selain gambar memotong kek, jurugambar Rusia itu turut memuat naik beberapa keping gambar lain antaranya memaparkan aksi berpegangan tangan antara Sultan Muhammad V dan Voevodina selain potret bekas Yang di-Pertuan Agong itu sendiri.

Sebelum ini, portal be­rita berpusat di United Kingdom, Daily Mail melaporkan Voevodina telah memeluk agama Islam pada awal tahun lalu sebelum melangsungkan perkahwinan dengan Sultan Muhammad V pada 22 November lalu.


Voevodina yang menggunakan nama Islam Rihana pernah merangkul gelaran Miss Moscow pada tahun 2015 selain turut bekerja sebagai model peragaan di China dan Thailand.

Pada 29 November lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan beliau tidak menerima sebarang pengesahan rasmi daripada mana-mana pihak berhubung perkahwinan Sultan Muhammad V.

Dalam pada itu, pada 6 Januari lalu, Sultan Muhammad V telah meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong sekali gus menjadi sultan pertama yang berbuat demikian ketika memegang jawatan tertinggi negara itu.

Sehingga kini, tiada kenyataan rasmi berhubung perkahwinan Sultan Muhammad V dikeluarkan oleh mana-mana pihak istana dan ia masih menjadi teka-teki sehingga ke hari ini. #sumber
Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.