script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Isu Air Di Jengka 6 Dan 7, PAIP Di Gesa Siasat Unsur Sabotaj !


MARAN - Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) diminta menyiasat ada unsur sabotaj terhadap isu air yang acap kali melanda penduduk Felda Jengka 6 dan Jengka 7 setiap kali musim perayaan Hari Raya Aidil Fitri.

Demikian ditegaskan oleh Penyelaras NGO Angkatan Pembela Rakyat (Angkara), Mohd Shukri Mohd Ramli kepada PDO hari ini. Beliau yang juga merupakan anak peneroka Felda Jengka 7 berkata, sudah terlalu lama rakyat menahan sabar dengan situasi ini. Katanya, mana mungkin setiap kali hari raya menjelang tiba maka isu air terus melanda kawasan ini. 

Malah katanya, Felda Jengka 7 lebih parah lagi kerana isu ini sudah berlarutan sejak lebih 40 tahun yang lalu. 

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu air yang menyaksikan lebih 3,000 penduduk di kawasan terbabit terpaksa berhariraya dalam keadaan sengsara dan derita baru-baru ini.

"Saya mengesyaki ada unsur sabotaj oleh pihak-pihak tertentu kerana sumber dari loji yang sama di Jengka 4 yang menyalurkan air ke Felda Jengka 3-7 itu terjejas teruk setiap kali musim perayaan sahaja. Selepas itu ia kembali normal seperti biasa", kata Shukri.



Menurutnya, aneh benar bila sumber yang sama tapi hanya Jengka 6 dan Jengka 7 sahaja yang terjejas secara kritikal. Sebaliknya bagi Jengka 3, Jengka 4 dan Jengka 5 senarionya berbeza sama sekali. Malah difahamkan, air begitu laju seperti air bomba kata beberapa orang saksi yang beliau hubungi.

"Bila penduduk buat aduan, PAIP Maran kata tekanan rendah. Setiap kali aduan dibuat  itulah jawapannya. Namun, anehnya tiga lagi kampung  yang menggunakan air dari loji yang sama tekanan terlalu tinggi?. Apakah maknanya semua ini?". tambah  beliau.

Beliau mengesyaki ada unsur sabotaj kerana, sebelum ini Felda Jengka 6 tidak bermasalah seperti di Jengka 7 kerana ia terletak dalam DUN Hulu Jempul (termasuk dalam kawasan loji). Namun sejak 10 tahun yang lalu, penduduk Felda Jengka 6 mengalami nasib yang sama selepas kawasan itu berpindah ke DUN Chenor, sama dengan Felda Jengka 7.

"Apakah PAIP Maran sedar semua ini?. Loji Air Jengka 4 terletak dalam DUN Kuala Sentul dan semua kawasan lain iaitu Jengka 3, Jengka 4 dan Jengka 5 yang terletak dalam DUN terbabit tidak terjejas dengan isu air yang kritikal baru-baru ini", dakwa beliau.

Kami tidak teragak-agak untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat perkara ini. Jika benar tangki ini tidak berfungsi dan ada yang cuba diselindungkan oleh PAIP Maran, maka semua mereka akan diheret ke muka pengadilan. Ini kerana, gara-gara menyembunyikan kebenaran akhirnya warga Jengka 7 terus dibelenggu oleh masalah air yang tidak berkesudahan sejak lebih 40 tahun lalu.


Jika ini siatuasinya, sudah pasti ada unsur sabotaj yang berlaku dengan kerjasama daripada pihak yang  tidak bertanggungjawab.  Tambahnya lagi, loji air di Jengka 4 diuruskan oleh manusia dan beliau mengesyaki ada perbuatan khianat dalam hal ini.

"Mungkin ada pihak yang mahu masalah air di kawasan mereka tidak berlaku pada hari raya kali ini, lantaran itu mengarahkan penjaga pam untuk mengawal pergerakan air agar kawasan tertentu laju dan kawasan lain biarkan. Jika ada rungutan, mereka boleh hantar air dengan lori kepada penduduk yang terjejas. Ini perbuatan khianat dan memperjudikan nasib rakyat terutamanya penduduk Felda Jengka 6 dan Jengka 7 !!", kaata Shukri lagi.

Beliau tidak teragak-agak akan membongkarkan perkara ini dengan lebih detail lagi sekiranya ada saksi-saksi yang tampil memberikan maklumat. Buat masa ini katanya sudah ada saksi dan orang dalam yang memberikan kerjasama. 


"Bukti sukar untuk dikumpul kerana perkara ini boleh dilakukan dengan arahan WhatsApp atau SMS semata-mata. Sebab itu jawapan tekanan air rendah dan pam tidak mencukupi amatlah tidak logik. Jika pam tak cukup kenapa tak tambah pam?. Bukankah saluran paip itu sendiri sudah di "upgrade" dan sepatutnya isu air ini sudah tidak berlaku terutamanya ketika musim perayaan" 

"Ia menganiaya anak-anak perantauan yang balik ke kampung halaman untuk berhariraya bersama keluarga masing-masing.. Jika benar dakwaan sabotaj ini, ia memang tidak adil sebab ada sikap pilih kasih, double standard dan pilih bulu dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat", jelas beliau lagi. #PDO
Share:

Jabatan Kesihatan Pahang Ambil Langkah Bagi Atasi Jangkitan


KUANTAN - Jabatan Kesihatan Pahang mengambil langkah kawalan dan pencegahan di beberapa daerah yang bersebelahan dengan Gua Musang ekoran kejadian kluster jangkitan saluran pernafasan dalam kalangan Orang Asli yang berlaku di Kuala Koh.

Pengarahnya Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata setakat ini, semua klinik kesihatan dan hospital di Jerantut, Lipis dan Cameron Highlands diletakkan dalam keadaan siap siaga dan semakan notifikasi dibuat bagi semua kes berkaitan jangkitan saluran pernafasan.

"Pengesanan kes di kawasan penempatan Orang Asli daripada suku Batek telah dimulakan di Jerantut dan Lipis. Setakat hari pertama aktiviti pengesanan kes, belum ada kluster jangkitan saluran pernafasan ditemui.

"Secara keseluruhan, situasi penyakit berjangkit adalah terkawal dan pegawai kesihatan daerah Jerantut dan Lipis sentiasa memantau trend kejadian kes," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Sha'ari berkata nasihat secara individu dan pendidikan kesihatan secara berkumpulan juga diberikan kepada penduduk Orang Asli sebagai langkah mengelakkan penularan jangkitan melalui udara dan sentuhan.

Beliau juga memaklumkan jabatan itu akan terus bekerjasama dengan jabatan dan agensi lain yang terlibat dalam memantau perkembangan kes terlibat. #sumber
Share:

Pemimpin, Ahli PAS Perlul Patuh kepada Keputusan Berjemaah


KUANTAN - Kepemimpinan dan ahli Pas dinasihatkan supaya patuh kepada keputusan yang dibuat secara berjemaah menjelang pemilihan parti itu sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-65 di sini hujung bulan ini.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, berada dalam parti bermakna kepemimpinan dan ahlinya perlu mengamalkan konsep berjemaah yang lebih besar dan mencabar.

“Kalau solat berjemaah kita mesti ikut imam. Kalau imam silap kita boleh tegur selagi tak batal solat. Jangan tolak imam dan ambil alih imam kerana dia silap, itu satu benda yang salah dari segi solat jemaah.

“Berjemaah dalam parti ini lebih besar dan mencabar sebab itu kita kena sedar khususnya dalam politik Islam ini, ada perkara dasar yang kita tidak boleh pertikaikan seperti asas perjuangan kita dan akidah. Ini tidak boleh kita berbeza dan bergaduh sama sekali, mesti berpegang teguh kepada Majlis Syura Ulama yang mengendalikan parti kita dengan sebaik-baiknya. Alhamdulillah,” katanya dalam kenyataan yang diulang siar menerusi laman sesawang http://muktamar.pas.org.my semalam.

Pemilihan jawatan kuasa tertinggi Pas akan diadakan pada 21 Jun ini dan keputusan diumumkan pada 23 Jun yang mana Abdul Hadi dan dan Timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menang tanpa bertanding selepas tiada yang menawarkan diri bertanding untuk dua jawatan berkenaan.

Bagi jawatan Naib Presiden, empat nama melepasi syarat untuk bertanding iaitu tiga penyandang sebelum ini, Idris Ahmad, Datuk Nik Mohd. Amar Abdullah dan Datuk Iskandar Abdul Samad manakala seorang lagi calon ialah Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Bagi Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat pula bakal menampilkan muka baharu yang menang tanpa bertanding selepas penyandang sebelum ini, Muhammad Khalil Abdul Hadi tidak bertanding untuk jawatan berkenaan dan jawatan Ketua Dewan Muslimat Pas kekal disandang Nuridah Mohd. Salleh yang juga menang tanpa bertanding.

Seramai 29 calon menawarkan diri bertanding jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas, 16 calon AJK Dewan Pemuda Pas dan 17 calon Dewan Muslimat Pas.

Muktamar Tahunan Pas Ke-65 akan diadakan pada 21 Jun hingga 23 Jun ini di Dewan Sukpa, Muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat pada 19 Jun hingga 20 Jun di Pusat Konvensyen Bukit Gambang Resort City (BGRC) dan Muktamar Dewan Muslimat Pas Pusat (15 Jun) di BGRC.

Muktamar Dewan Ulama Pas Pusat pula akan diadakan pada 20 Jun di Wisma Belia Indera Mahkota di sini.

Dalam soal berkenaan, Abdul Hadi turut menyentuh tentang perkara berkaitan dengan ‘mutaghayyirat’ yang boleh berubah mengikut keadaan, situasi dan realiti.

Kata beliau, ia perkara besar kerana berkait dengan strategi politik dan bagaimana hendak menangani isu-isu semasa yang perlu dibuat dengan cara bijaksana.

“Memang kita tidak ada tokoh seperti Nabi Muhammad SAW dan Khulafa’ Rasyidin, tetapi kita boleh membentuk ketokohan secara berjemaah dan kolektif. Jadi bila sudah membuat satu keputusan jemaah, kita mesti patuh pada keputusan itu.

“Saya menyaksikan bagaimana mereka yang istiqamah dengan keputusan parti walaupun mereka tidak setuju dalam pandangan-pandangan dia, tetapi bila parti buat keputusan dia tetap patuh, tetap hadir dan bersama dengan parti seperti Almarhum Ustaz Hassan Syukri dan lain-lain,” katanya. #sumber
Share:

Tenun Pahang Diraja Ilham Permaisuri Bagi Istiadat Pertabalan


KUALA LUMPUR - Kain Tenun Pahang Diraja menjadi pilihan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai persalinan baginda pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai ini.

Kain tenun itu merupakan sentuhan rekaan yang diilhamkan baginda sendiri dan ia bertambah unik dan istimewa kerana tenunan khas tersebut adalah hasil kerja tangan penghuni Penjara Penor dan Penjara Bentong, Pahang.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah hari ini berkenan menerima persembahan hasil kain tenunan tersebut di Istana Negara di sini, termasuk empat pasang tenunan khas sebagai persalinan Raja Permaisuri Agong pada istiadat pertabalan itu nanti.

Ketika ditemui pemberita, Tunku Azizah bertitah Penjara Penor dan Bentong dipilih untuk menghasilkan persalinan baginda pada istiadat pertabalan itu sebagai tanda penghargaan Raja Permaisuri Agong selaku Penaung Yayasan Tenun Pahang Diraja dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Tenun Pahang Diraja Negeri Pahang.

"Memang Beta mahu penjara yang buat baju untuk Beta pakai pada hari pertabalan. Beta sangat bangga untuk memakainya. Ini merupakan satu penghormatan kepada Beta dan Beta juga ingin memberi penghormatan kepada mereka.

"Ada juga rekaan tenunan yang memasukkan lambang Negeri Pahang. Dua minggu sekali Beta akan ke Penjara Penor dan Bentong untuk melihat sendiri perkembangan kerja tenunan yang dilakukan," titah Tunku Azizah selepas majlis itu.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Pengarah Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar; Pengarah Penjara Pahang Datuk Ab Basir Mohamad; dan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.

Baginda bertitah Tenun Pahang Diraja merupakan warisan seni tradisi yang dicipta rakyat Pahang sejak 300 tahun lalu.

Tunku Azizah yang mengagumi hasil kerja tenunan yang dipersembahkan itu bertitah baginda memperoleh ilham bagi rekaan tenunan itu antaranya daripada alam semula jadi dan keadaan sekeliling seperti biji kopi dan bayang-bayang pagar.

Baginda turut bertitah hasil upah menenun kain itu akan diagihkan kepada penghuni penjara berkenaan dan berharap kemahiran menenun akan dapat diperluaskan bagi memelihara warisan dan tradisi Melayu.

Penglibatan Tunku Azizah dalam membangunkan Tenun Pahang bermula pada 2005 dan baginda bertanggungjawab mengangkat Tenun Pahang dengan memasyhurkannya sebagai Tenun Pahang Diraja pada Mei 2006 dengan perkembangannya dipantau rapi menerusi Badan Penasihat Pembangunan Tenun Pahang Diraja.

Kerana minat begitu mendalam terhadap Tenun Pahang Diraja dan demi memartabatkannya, Tunku Azizah menubuhkan Institut Kemahiran Tengku Ampuan Mariam di Kompleks Budaya dan Kraftangan Pulau Keladi di Pekan, Pahang, pada 2010 bagi melatih golongan muda khasnya.

Sementara itu, Zulkifli berkata kerja tenunan itu melibatkan 73 banduan dari Penjara Penor dan 56 orang dari Penjara Bentong.

Beliau berkata kerja menenun dilakukan selama tiga bulan bermula Mac lepas dan tahap kemahiran penghuni kedua-dua penjara itu akan dinilai terlebih dahulu bagi menghasilkan mutu kerja yang berkualiti. #sumber
Share:

Bekalan Air Terjejas Ganggu 'Mood' Raya Warga Jengka 6 & 7 !


MARAN - Sambutan Aidilfitri bagi lebih 3,000 penduduk di Felda Jengka 6 dan 7 terjejas berikutan gangguan bekalan air beberapa hari di kawasan tersebut.

Situasi tersebut menyebabkan sambutan lebaran mereka menjadi episod duka malah menyebabkan sebahagian anak-anak peneroka terpaksa memendekkan percutian mereka.

Bagi penduduk di Felda Jengka 7, kesengsaraan mereka bermula sehari sebelum raya sebelum bekalan kembali pulih sepenuhnya semalam.

Gangguan tersebut dialami membabitkan keseluruhan 20 buah blok di Felda tersebut dan mereka mendakwa tiada notis gangguan diberikan.

Seorang penduduk,Izzudin Hafiz Bani, 43, terkilan dengan situasi tersebut yang disifatkan paling teruk berbanding sebelum itu.

Menurutnya,situasi itu memang dialami setiap kali lebaran namun tidak berlarutan hingga beberapa hari.

"Dah la tiada notis diberikan, menyebabkan penduduk terpaksa mengeluarkan kos tambahan membeli bekalan air mineral untuk kegunaan harian hingga habis bekalan air itu di D'Mart.

"Malah ada yang terpaksa memendekkan cuti masing-masing kerana masalah ini. Selain itu kerana terdesak nak mandi,terpaksa pergi ke taman rekreasi, Che Minah Sayang," katanya lagi.

Dakwanya, penduduk juga hairan dengan kewujudan tangki air di kawasan tersebut kerana sejak lima tahun dibina, ia langsung tidak mengatasi masalah bekalan air di situ.

Bagi Riduan Sohor, 58, mereka dimaklumkan oleh pihak terbabit masalah itu berpunca kerana tekanan air rendah dan penggunaan yang banyak ketika musim perayaan.

"Namun pada waktu malam, tiada setitis airpun yang keluar,dan masalah ini telah berlarutan berpuluh tahun," katanya lagi.

Sementara itu di Felda Jengka 7, gangguan itu berlaku pada hari raya pertama membabitkan lapan buah blok daripada 16 blok keseluruhan.

Rosliza Othman, 37, kesukaran sangat dirasai terutamanya bagi mereka yang memiliki ramai anak dan warga emas.

"Memang ada bekalan air dihantar, tapi tak cukup. Terpaksa berjimat cermat. Jadi memang menyusahkan penduduk dengan tanpa notis awal diberikan.

"Kami langsung tidak menjangka situasi ini berlarutan beberapa hari sebab sebelum ini paling lama sehari sahaja," jelasnya.

Dia mencadangkan supaya dapat disediakan tong tambahan setiap kali musim perayaan selain menghargai usaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang membenarkan penduduk menggunakan air di balai raya terbabit bermula kelmarin sebelum bekalan kembali pulih sepenuhnya semalam.

Bagi Azura Razali, 49, mengakui sambutan Syawal kali ini sedikit suram berikutan masalah tersebut.

"Nak masak, mandi dan basuh baju jadi susah kerana masalah ini. Kena keluarkan duit lagi sebab nak beli air mineral," katanya. #sumber

Share:

Pelantikan Latheefa: Selisih Dalaman PKR Kini Makin Melebar !


PETALING JAYA: Perselisihan dalam kalangan pemimpin PKR berhubung pelantikan Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semakin melebar dengan seorang naib presiden parti itu mempertahankan keputusan tersebut, sementara seorang anggota majlis pimpinan pusatnya mendesak beliau meletak jawatan.


Dalam satu kenyataan, Naib Presiden PKR, Tian Chua mengaku sesetengah pihak kurang senang dengan cara pelantikan itu dibuat dengan berkata, ia perlu disahkan oleh “Parlimen yang dipilih secara demokrasi”.

Beliau berkata, ini bermakna kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu mewujudkan satu mekanisme supaya “SPRM diberikan lebih banyak kuasa dan semua pesuruhjayanya disahkan oleh Parlimen”.

Bekas ahli Parlimen Batu itu berkata, walaupun PH berjanji bahawa semua pelantikan utama ke badan penting seperti Jabatan Peguam Negara, SPRM dan Bank Negara “mesti diluluskan oleh jawatankuasa Parlimen yang sesuai”, namun prosedur berhubung perkara itu belum diwujudkan setakat sekarang.


Undang-undang perlu dipinda bagi memberi kuasa kepada “jawatankuasa Parlimen yang sesuai” bagi meluluskan atau mengesahkan pelantikan ke semua jawatan tersebut, seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dan SPRM, katanya.

Tian Chua berkata, walaupun banyak pihak, termasuk beberapa ahli Parlimen, berpendapat jawatankuasa khas Parlimen yang baru dibentuk dipertanggungjawabkan dengan tugas meluluskan pelantikan sedemikian, namun tidak terdapat kerangka undang-undang dan garis panduan yang mencukupi bagi membolehkan jawatankuasa berkenaan menjalankan tugas itu pada masa ini.

“Penyokong kerajaan dan pihak terbabit mempunyai banyak kerja bagi menaik taraf institusi berkenaan,” katanya.

Beliau juga berkata, Latheefa kompeten dari sudut pengetahuan undang-undang dan juga komitmen beliau pada tugas.

Katanya, walaupun beliau pernah memegang pelbagai jawatan dalam parti, namun jiwa Latheefa “tidak pernah terikat pada politik berpihak”, malah beliau sendiri pernah mengakui dirinya tidak sesuai dengan politik sedemikian.

“Beliau ditawarkan bertanding dalam pemilihan parti beberapa kali, tetapi menolaknya setiap kali,” katanya.

Bagaimanapun Tian Chua berkata, Latheefa perlu membuktikan merit beliau dengan menjalankan misi SPRM dengan penuh integriti.

Hanya demikian masyarakat awam akan yakin sekiranya beliau terus “menunjukkan pertimbangan serta minda bebas dan tidak tunduk kepada kuasa dalam menjalankan tugasnya,” kata Tian Chua lagi.

Katanya, satu-satunya kebimbangan beliau ialah kemungkinan watak tegas Latheefa menycetuskan pergeseran dalam kalangan rakan sekerjanya, atau menimbulkan reaksi negatif daripada pegawai kerajaan.

“Saya berharap, dengan sedikit masa, beliau dapat membina sikap berhemah dan profesional apabila bekerja dengan perkhidmatan awam. Beri beliau masa untuk membuktikan kebolehan.”

Ahli Parlimen PKR gesa orang ramai tanda tangan petisyen tolak Latheefa

Sokongan Tian Chua kepada Latheefa dibuat beberapa jam selepas anggota pimpinan pusat PKR Nik Nazmi Nik Ahmad menggesa orang ramai menandatangani satu petisyen mendesaknya meletak jawatan.

Dalam satu pesanan di Twitter, Nik Nazmi berkata, PH telah memberi komitmen bahawa pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM mesti disahkan oleh jawatankuasa khas Parlimen.


“Mari kita sama-sama tanda tangan petisyen ini agar komitmen ini dipenuhi,” kata ahli Parlimen Setiawangsa itu, yang membuat kenyataan menolak pelantikan Latheefa beberapa hari lepas, dengan merujuk kepada petisyen di change.org.

“Isu ini lebih besar daripada Latheefa Koya, tetapi mengenai tekad reformasi yang kita janjikan,” katanya.

Minggu lepas, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengakui tidak membincangkan pelantikan Latheefa dengan Kabinet.

Ahli Parlimen Wangsa Maju dan bendahari agung PKR, Dr Tan Yee Kew turut menandatangani petisyen sama atas alasan pelantikan tersebut “jelas menyimpang daripada prinsip dan semangat reformasi institusi”.

Sejak dimulakan pada 6 Jun, petisyen tersebut, yang dicipta oleh sebuah akaun bernama Malaysia Baharu, mendapat 5,400 tanda tangan.

Latheefa, seorang peguam hak asasi manusia, mengambil alih kepimpinan SPRM pada 1 Jun lepas, menggantikan Mohd Shukri Abdull, yang dibenarkan menamatkan kontrak lebih awal daripada tarikh asal pada 17 Mei 2020.

Pelantikan beliau menimbulkan pelbagai reaksi, termasuk pihak yang mempersoalkan cara bagaimana ia dibuat dan sama ada Latheefa boleh bersikap adil dalam tugasnya.

Beliau menarik diri sebagai ahli PKR. #sumber
Share:

Hadi, Tuan Ibrahim Kekal Presiden Dan Timbalan Presiden PAS


KUANTAN - Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengekalkan jawatan masing-masing selepas mereka diumumkan menang tanpa bertanding dalam pemilihan Muktamar PAS ke-65.

Abdul Hadi menerajui parti itu sejak tahun 2002 bagi menggantikan Allahyarham Datuk Dr Fadzil Noor manakala Tuan Ibrahim menjawat jawatan nombor dua parti sejak 2015.

Pengerusi Pemilihan Jawatankuasa PAS Pusat Dr Mohd Fuad Mohd Salleh berkata keputusan itu dibuat selepas tiada calon lain yang menyatakan hasrat untuk bertanding selepas tempoh pencalonan ditutup kira-kira tiga minggu lepas.

Bagi jawatan Naib Presiden, Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah mengesahkan akan bertanding menentang tiga penyandang iaitu Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Datuk Iskandar Abdul Samad.

"Seramai 29 calon yang layak telah menyatakan kesediaan untuk bertanding bagi mengisi 18 jawatan Anggota Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat manakala bagi Dewan Pemuda PAS Pusat, seramai 16 calon bertanding bagi mengisi 12 jawatan AJK,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha PAS Datuk Takiyuddin Hassan, Pesuruhjaya PAS Pahang Rosli Abdul Jabar dan timbalannya Andansura Rabu.

Mohd Fuad berkata bagi Dewan Muslimat PAS Pusat, semua jawatan tertinggi juga dimenangi tanpa bertanding oleh penyandang manakala 17 calon akan bertanding bagi mengisi 12 jawatan AJK dewan tersebut.

Beliau memaklumkan Dewan Pemuda PAS Pusat juga bakal diterajui oleh ketua baharu yang menang tanpa bertanding, namun namanya hanya akan diumumkan kemudian, memandangkan penyandangnya Muhammad Khalil Abdul Hadi bertanding bagi jawatan AJK PAS Pusat.

Beliau juga memaklumkan bahawa semua calon yang bertanding diberikan masa sehingga Rabu ini jika mereka berhasrat menarik diri, dengan berbuat demikian secara bertulis kepada jawatankuasa pemilihan.

Berhubung pembentangan usul, Takiyuddin berkata mesyuarat khas akan berlangsung di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur pada Jumaat ini (14 Jun) bagi memperhalusi semua usul yang ingin dibawa oleh perwakilan.

Beliau berkata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosly Wan Ismail dan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man serta Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden Datuk Seri Mohamad Hassan turut dijangka menghadiri muktamar tahun ini.

"Kita menjangkakan tidak kurang 1,200 perwakilan akan menghadiri muktamar tahun ini dan Presiden dijadualkan menyampaikan amanat kepada semua perwakilan secara tertutup pada malam 20 Jun sebelum perasmian muktamar pada keesokannya," katanya.


Abdul Hadi juga dijadualkan merasmikan Konvensyen Dewan Himpunan Penyokong PAS pada 21 Jun ini, yang dijangka dihadiri 300 anggota.

Muktamar PAS ke-65 menyaksikan Dewan Muslimat PAS membuka tirai persidangan pada 15 Jun ini di Pusat Konvensyen Bukit Gambang di sini, diikuti Dewan Pemuda PAS pada 19 dan 20 Jun di tempat sama.

Selain itu, Dewan Ulama PAS Pusat bersidang di Wisma Belia Indera Mahkota di sini pada 20 Jun manakala persidangan utama berlangsung di Stadium Tertutup SUKPA di sini selama tiga hari bermula 21 Jun ini. #sumber
Share:

Penyanyi To’ki Cedera Parah Di Serang Tiga Lelak iMalamTadi !


KUALA LUMPUR - Penyanyi To’ki cedera parah ditangan kirinya selepas diserang tiga lelaki dalam kejadian yang berlaku sekitar pukul 8 malam semalam.

Menurut To’ki atau nama sebenarnya Mohd. Zaki Mansur, 54, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang dari pusat beli-belah, Selayang Mall ke rumahnya di Taman Koperasi Polis Fasa 2, Batu Caves, Gombak, Selangor.

“Ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, tiga orang lelaki yang menaiki dua motosikal menyerang saya menggunakan pisau.

“Mereka mahu merampas barang yang berada dalam bakul motosikal saya. Walhal barang-barang tersebut hanyalah alatan untuk saya melukis,” ujar To’ki ketika dihubungi  sebentar tadi.

Disebabkan kecederaan tersebut, To’ki yang pernah popular dengan lagu Seni Berzaman itu telah menjalani pembedahan selama lima jam di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menyambung semula urat-urat tangannya yang terputus akibat serangan tersebut.

“Alhamdulillah, keadaan saya stabil kerana tiada kecederaan lain selain tangan kiri. Bagaimanapun saya belum membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut,” ujar To’ki.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez sempat melawat To’ki untuk memberi sokongan dan semangat kepadanya.

“Pihak Karyawan akan memberi sokongan dan memantau keadaannya. Tambahan, To’ki perlu menjalani rawatan fisioterapi selepas ini kerana tangannya digunakan untuk bermain gitar.

“Saya berharap keadaan tangannya akan pulih seperti biasa memandangkan bermain muzik adalah punca rezeki utamanya,” tutur Freddie. #sumber
Share:

Hargailah Keamanan, Keselamatan Dan Kemakmuran Negara


KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah, menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia yang akan meraikannya esok.

Dalam titah perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri yang disiarkan menerusi saluran TV1, malam ini, Seri Paduka juga bertitah mengingatkan rakyat Malaysia menghargai keamanan, keselamatan dan kemakmuran yang dinikmati hari ini.

Seri Paduka juga menyeru seluruh rakyat agar menanam semangat perpaduan yang utuh dan menghindari dari sebarang perkara yang boleh menggugat kemakmuran negara ini.

"Sesuai dengan rakyat di negara ini yang berbilang bangsa dan agama, kedatangan Hari Raya Aidilfitri wajar disambut dengan penuh kegembiraan oleh sekalian rakyat Malaysia.

"Pada hemat Beta, budaya meraikan hari kebesaran agama dan amalan kunjung mengunjungi boleh menjadi jambatan perpaduan yang utuh kepada kita rakyat Malaysia,” titah Seri Paduka.

Sultan Abdullah bertitah bahawa Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong merafak setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmatnya, seluruh umat Islam dapat menyambut Aidilfitri setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadan.

Titah Seri Paduka, segala ibadah selama sebulan lepas diharap mampu melahirkan insan bertaqwa yang penuh rasa kehambaan dan kesyukuran ke hadrat Allah SWT.

Dalam pada itu, Seri Paduka turut menyeru agar rakyat negara ini tidak melupai pengorbanan serta jasa para pendahulu yang telah mewariskan Malaysia yang aman dan makmur untuk dinikmati generasi kini dan akan datang.

Sultan Abdullah turut menghargai pengorbanan mereka yang terpaksa bertugas pada hari raya khususnya anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia serta anggota agensi kerajaan yang bertugas, demi menjaga keamanan dan kemakmuran negara.

Dalam titah perutusan itu, Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia, yang telah menzahirkan ucapan takziah serta mendoakan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah yang mangkat pada 22 Mei lepas.

"Ingatan serta kasih rakyat Malaysia yang dicurahkan sedikit sebanyak mengubat rasa duka Beta sekeluarga. Beta dan Raja Permaisuri Agong mendoakan seluruh rakyat dan negara kita sentiasa berada di bawah perlindungan Allah SWT dan terus kekal aman makmur, dijauhi dari sebarang musibah dan bencana.

"Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia yang Beta kasihi. Maaf zahir dan batin,” titah Seri Paduka. #sumber
Share:

Ketua Kampung Maut Di Tembak Ketika Solat Witir Di Thailand


NARATHIWAT - Seorang ketua kampung maut manakala seorang lagi cedera ditembak ketika sedang menunaikan solat sunat witir di sebuah masjid di Daerah Rangae, Narathiwat malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 8.45 malam (waktu tempatan), Ketua Kampung Awae, Fakrudin Tokdeng, 48, sedang solat bersama kira-kira 30 orang jemaah di sebuah masjid di kampung itu. 

Seorang lagi jemaah, Mayudi Abu, 43, cedera akibat terkena peluru di bahagian paha.

Menurut seorang saksi yang enggan namanya disiarkan berkata semua jemaah sedang sujud dan suspek yang menutup muka memasuki masjid dan melepaskan tembakan ke arah mangsa.

“Suspek melepaskan dua das tembakan iaitu satu di bahagian kepala dan satu lagi belakang mangsa. Mangsa meninggal meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata suspek melarikan diri dengan menggunakan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV).

Penolong Ketua Polis Siasatan Jenayah Daerah Rangae Kapt. Pol. Nathawat Keawhan berkata kira-kira tujuh bulan yang lalu, mangsa menerima ugutan bunuh apabila menerima bungkusan beras yang mengandungi empat butir peluru hidup di masjid yang sama.

“Mangsa ditembak dengan kejam menggunakan rifel AK47,” katanya.

Beliau berkata polis sedang menjejaki individu yang terlibat dalam kejadian itu.

Mangsa yang meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak berusia 20 dan 16 tahun dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Awae.

Ini merupakan kes kedua kejadian tembak di masjid di Kampung Awae. Dua tahun lepas, Ketua Kampung Kuling, Daerah Yingo maut ditembak di salah sebuah masjid di kampung itu ketika solat subuh bersama jemaah lain. #sumber
Share:

NGO Felda Hargai Keprihatinan Kerajaan Tun M Beri Duit Raya


KUALA LUMPUR - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Felda menzahirkan penghargaan serta ucapan terima kasih terhadap kerajaan dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana memberikan bantuan khas Hari Raya kepada 112,635 peneroka di seluruh negara.

Bagi mereka bantuan khas sebanyak RM300 itu sedikit sebanyak meringankan beban para peneroka untuk persediaan menyambut Aidilfitri.

Ketua Peneroka Kebangsaan Sulong Jamil Mohamed Shariff berkata tindakan kerajaan yang turut menyarankan agar pembayaran tertunggak Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil kepada warga Felda juga patut dipuji.

"Kesungguhan kerajaan memberi bantuan tersebut amat melegakan warga Felda bagi membuat persediaan menjelang Aidilfitri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama, Timbalan Ketua Peneroka Kebangsaan Karib Mohd Saleh berkata sumbangan duit raya berkenaan juga membuktikan kerajaan prihatin dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan peneroka dipelihara di saat harga pasaran sawit yang rendah ketika ini. 

Perdana Menteri pada 31 Mei lepas mengumumkan bantuan berjumlah RM34 juta itu disalurkan selepas kerajaan mengambil kira beban kewangan ditanggung golongan sasar yang perlu menunggu untuk pokok kelapa sawit mengeluarkan hasil.

Presiden Majlis Belia Felda Malaysia Muhammad Fadzil Hasan turut memuji keprihatinan kerajaan kerana tetap memberi bantuan khas berkenaan walaupun agensi itu sedang berdepan masalah kewangan. #sumber
Share:

Mercun Bola "Meletop" Mangsa Berisiko Buta Mata Kanannya !


KUANTAN - Kanak-kanak berusia 10 tahun yang berisiko buta mata kanan selepas terkena letupan mercun bola dalam kejadian di Tanjung Batu, Pekan, dekat sini, Sabtu lalu, mengakui menyesal dengan perbuatannya.

Pengakuan Muhammad Isyraf Firdaus dimaklumkan oleh bapanya Zulrisam Kadri, 43, yang berkata, anak sulung daripada dua beradik itu juga berjanji tidak mahu bermain mercun lagi pada masa hadapan.

Zulrisam berkata walaupun sedih dengan kejadian itu, beliau tidak boleh terlalu mengikut perasaan kerana perlu sentiasa positif bagi memberi semangat kepada anak yang mesra dipanggil 'Yah' untuk pulih.

"Sedih memang sedih, tambahan bila tahu mata anak tak dapat diselamatkan lagi tapi saya kena kuat, anak perlukan semangat untuk pulih, begitu juga isteri yang perlukan sokongan bagi menghadapi perkara ini.

"Yah telah menjalani pembedahan membersihkan kornea mata yang pecah dan beberapa prosedur semalam selama tiga jam bermula 6 petang," katanya kepada pemberita semasa ditemui di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa yang bermain dengan rakan di padang berhampiran rumahnya cuba membuka tin yang diisi dengan mercun bola kerana mahu memeriksa mengapa mercun itu tidak meletup setelah dibakar.

Bagaimanapun, mercun itu dikatakan meletup secara tiba-tiba sehingga menyebabkan serpihan tin terkena pada mata kanannya menyebabkan dia dihantar ke Hospital Pekan sebelum dipindahkan ke HTAA semalam.

Mengulas mengenai kejadian itu, Zulrisam berkata tidak tahu anaknya bermain mercun bola kerana sebelum ini Muhammad Isyraf Firdaus hanya bermain mercun jenis 'mancis'.

"Yah membeli mercun itu secara senyap-senyap kerana tahu saya tidak benarkan dia main mercun bola. Mungkin dia gunakan wang yang saya beri sebelum itu untuk dia beli juadah berbuka puasa," katanya.

Zulrisam berkata kejadian berlaku di padang kira-kira 30 meter dari rumah mereka dan semasa kejadian, dia baharu sahaja meronda kawasan itu kerana berasa tidak sedap hati, namun tidak melihat kelibat anaknya.

Semasa itu, Zulrisam menyangka Yah sudah pulang menyebabkan beliau pulang semula ke rumah dan melihat orang sudah berkerumun di halaman rumah membawa anaknya yang sudah berlumuran dengan darah. #sumber
Share:

Kerajaan Failkan Saman Terhadap NFC Tuntut RM253.6 Juta !


KUALA LUMPUR - Kerajaan Malaysia memfailkan saman menuntut wang RM253.6 juta yang dipinjamkan kepada Pusat Fidlot Nasional (NFC) yang diuruskan oleh suami dan tiga anak kepada bekas menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Kerajaan selaku plaintif, memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini, pada Jumaat lepas.

Mahkamah menetapkan 17 Jun ini, bagi pengurusan kes itu di hadapan Timbalan Pendaftar Rumaizah Baharom.

Dalam pernyataan tuntutan, kerajaan selaku plaintif tunggal, menamakan Pusat Fidlot Nasional (NFC) sebagai defendan pertama manakala suami Sharizat, Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail dan tiga anaknya, Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah, sebagai defendan kedua hingga kelima.

Selain itu turut dinamakan defendan adalah enam syarikat dikawal keluarga tersebut yang dinamakan "Keluarga Salleh” iaitu National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd; Real Food Corporation Sdn Bhd; Meatworks Corporation Sdn Bhd; Agroscience Industries Sdn Bhd; Asian Bioscience Corporation Sdn Bhd; dan Techknowlogy Imageware (M) Sdn Bhd sebagai defendan keenam hingga ke-11.

Dalam penyataan tuntutan itu, kerajaan menuntut daripada NFC dan keluarga Mohamad Salleh berjumlah RM253.6 juta, iaitu pinjaman daripada kerajaan, bersama dengan faedah dua peratus setahun.

Kerajaan memohon pengisytiharan dari mahkamah, agar keluarga Mohamad Salleh secara peribadi bertanggungjawab terhadap pembayaran balik hutang itu, sejumlah RM118.04 juta yang disalahgunakan daripada pinjaman dan keuntungan rahsia timbul daripadanya, serta hak Putrajaya untuk menuntut hak hartanah dibeli menggunakan pinjaman RM250 juta yang dipinjam oleh NFC daripada kerajaan.

Kerajaan pada 6 Dis 2007, menandatangani perjanjian dengan NFC untuk memberi pinjaman RM250 juta yang sebahagiannya membiayai penubuhan dan operasi sebuah Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan, selaras dengan dasar kerajaan untuk membangun dan memajukan pengeluaran daging lembu serta produk-produk daging tersebut.

Pada waktu itu, kerajaan mengagihkan pinjaman itu dalam tiga peringkat dalam akaun NFC, dari 9 Jan 2008 hingga 31 Mac 2009.

Pada masa sama melalui pinjaman itu, keluarga Mohamad Salleh yang mendapat kelulusan kerajaan telah membuat 10 pengeluaran berjumlah RM180.51 juta, dari 24 Jan 2008 hingga 3 Jan 2011.

Daripada jumlah tersebut (RM180.51 juta), hanya RM8.32 juta dibayar langsung kepada pihak ketiga untuk membiayai projek pusat cadangan nasional, manakala baki itu disalurkan ke akaun NFC lain, di mana RM118.04 juta telah disalahgunakan.

Daripada jumlah itu (RM180.51 juta) juga, sebanyak, RM9.76 juta didakwa disalahguna untuk membayar sebahagian dua unit kediaman di One Menerung Residence oleh National Meat & Livestock Corp yang merupakan defendan keenam.

Pada masa sama, sejumlah RM300,000 telah digunakan untuk membayar kepada seorang individu iaitu Shamsubarin Ismail, bagi tujuan yang tidak didedahkan, selain RM1.8 juta telah dibayar kepada individu sama.

Keluarga Mohamad Salleh juga didakwa menggunakan pinjaman itu, untuk membayar sewa bulanan sebanyak RM28,000 kepada defendan ketiga, bagi sebuah lot pejabat di Solaris Mont Kiara.

NFC juga membayar sewa bulanan sebanyak RM8,240 untuk lot pejabat milik defendan kedua dan ketiga yang terletak di tempat sama.

Perbelanjaan lain yang besar termasuk RM3.36 juta untuk pembelian dua bidang tanah di Putrajaya dan RM1.51 juta kepada dua syarikat guaman, dengan sebahagiannya turut dibayar bagi pembelian sebuah kedai empat tingkat di Solaris Mont Kiara oleh Wan Shahinur Izran dan Wan Izzana Fatimah Zabedah. #sumber
Share:

Rakyat Raub Teruja Dapat Peluang Buka Puasa Bersama Agong


RAUB - Peluang berbuka puasa bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjadi kenangan tersendiri buat warga emas Raub, Mahayuddin Abdullah yang jelas tidak berhenti tersenyum apabila diminta 'bercerita' mengenainya. 

Mahayuddin, 66, yang berasal dari Kampung Gali di sini berkata dia dan rakannya Mat Soad Duhsan, 65, bertolak dari rumah mereka seawal jam 4 petang, kerana perlu 'menumpang kereta orang' untuk ke majlis yang diadakan di Masjid Sultan Abu Bakar di sini. 

"Bukan senang untuk berbuka puasa dengan Sultan... dahulu semasa muda, kami pernah juga menghadiri majlis berbuka puasa dengan Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah (ayahanda kepada Sultan Abdullah). Seronok bila tradisi ini diteruskan. Kami dapat tahu (tentang majlis ini) daripada orang kampung. 

"Sultan Abdullah benar-benar menurun sifat Almarhum Sultan Ahmad Shah. Kami sengaja berdiri di laluan masuk khemah makan dengan harapan dapat bersalaman dengan Sultan Abdullah. Cara baginda menegur, memang sama dengan cara ayahandanya bila bertemu rakyat," katanya kepada Bernama di sini hari ini. 

Terdahulu, Sultan Abdullah berkenan mencemar duli untuk berbuka puasa bersama-sama hampir 3,000 penduduk Raub di masjid itu, yang turut dihadiri Tengku Puteri Seri Teja Pahang, Tengku Datuk Muhaini Sultan Ahmad Shah; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman dan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin.  #sumber
Share:

Guan Eng: Jumlah Hutang Dan Liabiliti Kerajaan RM1.1 Trilion !


PUTRAJAYA - Jumlah hutang dan liabiliti kerajaan berjumlah RM1.1 trilion atau 75.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara setakat akhir 2018.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, kedudukan hutang dan liabiliti kerajaan itu diteliti secara menyeluruh menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Hutang (JPH) dipengerusikan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam dengan mengambil kira obligasi tunai dan komitmen kewangan jangka masa panjang.

Kenyataan itu memberitahu, jumlah tersebut berikutan peningkatan hutang langsung kerajaan sebanyak RM54.2 bilion kepada RM741 bilion daripada RM686.8 bilion pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, peningkatan hutang langsung ini adalah untuk membiayai defisit fiskal, terutamanya bagi menampung komitmen pajakan perkongsian awam swasta (PPP) dan perbelanjaan ‘off-budget’ yang sebelum ini tidak dimasukkan ke dalam penyata kewangan kerajaan secara telus.

"Jumlah jaminan yang ditanggung dan dibayar oleh kerajaan juga meningkat khususnya bagi membiayai projek pengangkutan awam sedia ada yang sedang diteruskan seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), MRT dan LRT.

“Peningkatan liabiliti ini bukanlah bagi membiayai projek infrastruktur baharu, tetapi untuk menampung pembiayaan projek sedang dilaksanakan. Dengan kata lain, peningkatan liabiliti ini adalah bagi menampung keperluan projek yang diluluskan oleh pentadbiran terdahulu,” katanya di sini hari ini.

Kementerian Kewangan berkata, kerajaan komited terhadap langkah konsolidasi fiskal, hutang dan liabiliti secara menyeluruh.

Justeru, JPH akan mengenal pasti langkah mengurangkan hutang dan liabiliti kerajaan ke paras lebih terkawal sambil meningkatkan kecekapan pengurusan hutang dan liabiliti.

“Ini termasuklah kajian semula projek berkos tinggi dan mengenal pasti jaminan ditanggung dan dibayar kerajaan yang boleh distruktur semula.

“Ia diperlukan kerana caj pembayaran balik hutang daripada pelbagai obligasi kewangan mengekang kerajaan daripada menyediakan peruntukan kepada program dan projek lain yang lebih produktif,” katanya.

Kementerian Kewangan berkata, ketika ini terdapat hutang dijamin kerajaan yang mempunyai kadar pembiayaan sama dengan entiti korporat tempatan bertaraf ‘AAA’.

Bagaimanapun, katanya, kos pembiayaan ke atas hutang yang dijamin kerajaan seharusnya hampir setara dengan kos terbitan kertas hutang kerajaan seperti Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS).

“Setakat 31 Mei lalu, kadar kupon MGS bagi tempoh 10 tahun adalah 3.78 peratus setahun dan ini adalah antara kadar terendah sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.

Kementerian Kewangan berkata, JPH juga akan menyemak semula segala akta, prosedur dan perundangan yang berkaitan dengan hutang langsung, jaminan dan komitmen lain kerajaan.

“Langkah konsolidasi fiskal akan diteruskan bagi memastikan kerajaan mempunyai ruang fiskal yang mencukupi bagi menghadapi sebarang krisis pada masa hadapan tanpa menjejaskan pasaran kewangan domestik, sambil menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

“Dengan langkah ini, kerajaan yakin penarafan kredit ‘A3’ dan ‘A-‘ bagi Malaysia dapat dikekalkan,” katanya. #sumber
Share:

Agong Titah Nama Baginda Tidak Sehebat Almarhum Ayahanda


TEMERLOH - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini sebak ketika mengimbau kenangan bersama Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah.

Sultan Abdullah juga perlu menghentikan beberapa kali titah ucapan baginda kerana kehilangan kata-kata, selain untuk mengesat air mata pada titah yang berkisar kepada jasa dan pengorbanan Almarhum Sultan Ahmad Shah sepanjang 45 tahun memerintah Pahang. 

Baginda bertitah Almarhum ayahanda baginda begitu hebat dalam pelbagai bidang termasuk agama, pendidikan, kebajikan, ketenteraan dan sukan yang menjadi faktor mengapa baginda 'menolak' nama baginda dimasyhurkan pada masjid baharu di sini, yang dirasmikan baginda hari ini. 

"Kerajaan negeri berhasrat memasyhurkan masjid ini dengan nama saya kerana mahu memberi penghormatan kepada saya sebagai sultan baharu, namun saya berpandangan nama saya adalah tidak sehebat atau segah nama Almarhum paduka ayahanda saya. 

"Saya memasyhurkan masjid ini dengan nama Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan diharapkan rumah Allah ini akan menjadi kenangan abadi untuk memperingati pemerintahan dan jasa Almarhum," titah baginda semasa berucap merasmikan masjid itu di sini, hari ini. 

Turut hadir ialah Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Almarhum Sultan Ahmad Shah, Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Tahir yang juga Anggota Parlimen Temerloh, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman dan barisan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang. 

Sultan Abdullah bertitah pembinaan masjid yang menelan belanja sebanyak RM18.7 juta yang boleh memuatkan 3,000 jemaah pada satu-satu masa itu juga adalah atas titah Almarhum sekitar akhir tahun 2013, selepas Temerloh diisytiharkan sebagai titik tengah Semenanjung Malaysia. 

"Sejak kerja dimulakan pada 19 Ogos 2014, Almarhum memberi sepenuh perhatian dan secara langsung memantau serta mengawal kerja pembinaannya seperti kelaziman semua masjid di Pahang yang mendapat sentuhan peribadi baginda dalam hiasan dalaman dan reka bentuk. 

"Namun manusia hanya mampu merancang. Almarhum tidak sempat merasmikan masjid ini kerana terlebih dahulu meninggalkan kita. Tahun lalu, saya telah berbincang mengenai hasrat saya supaya masjid ini dirasmikan oleh Almarhum secara persidangan video dari istana di Kuala Lumpur," titah baginda. 

Sehubungan itu, Sultan Abdullah menyifatkan keberangkatan tiba baginda di masjid itu begitu istimewa dan membawa pengertian yang sangat besar kepada baginda dan keluarga serta berharap sebuah galeri berkaitan usaha dan jasa Almarhum dapat diwujudkan di situ.

Pada titah baginda, Sultan Abdullah berkongsi cerita bahawa Almarhum adalah raja yang berjiwa rakyat kerana sentiasa mencari rakyat yang sakit dan antara yang paling pantas melawat, malah ada masanya lebih awal berbanding pegawai kerajaan atau wakil rakyat jika mengetahui ada rakyat ditimpa musibah. 

"Almarhum meletakkan penanda aras untuk kita semua supaya proaktif dalam perkara berkaitan keselesaan dan kesejahteraan rakyat. Baginda sentiasa sampai lebih awal daripada masa yang ditetapkan, malah kadang kala lebih awal dari keberangkatan tiba Tengku Mahkota Pahang (gelaran Sultan Abdullah sebelum ini). 

"Ini menyebabkan saya berada dalam kedudukan yang cukup bersalah sehingga saya terpaksa menyembah mengatakan kepada Almarhum bahawa baginda selalu tiba lebih awal menyebabkan kita yang dipersalahkan kerana lewat," titah baginda. 

Sultan Abdullah bertitah jasa Almarhum yang mangkat pada 22 Mei lalu di Institut Jantung Negara pada usia 88 tahun bukan hanya sekadar sebagai Sultan Pahang kelima, namun turut menabur bakti sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh. 

Titah baginda, sebagai seorang ketua agama, Almarhum menitahkan supaya lebih banyak masjid dibina yang mana setakat ini terdapat 15 masjid di Pahang yang dinamakan sempena nama baginda, menghadiri pelbagai program keagamaan dan menaik taraf kedudukan mufti. 

Suasana juga menjadi sepi apabila Sultan Abdullah selaku anakanda lelaki sulung Almarhum mewakili seluruh kaum kerabat baginda menzahirkan ucapan terima kasih kepada warga istana, doktor pakar, jururawat, kakitangan hospital, polis, tentera dan semua pihak yang berkhidmat sepanjang hayat Almarhum. 

"Jika ada terdapat kesilapan dalam pertuturan yang mungkin terasa di hati, saya berharap dapat dimaafkan dan doakan supaya Almarhum diberikan segala rahmat Allah dan ditempatkan bersama golongan solihin," titah baginda.  #sumber
Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.