script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

UMP Tidak Akan Kompromi Berhubung Integriti Ahli Akademik !


PEKAN - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyediakan kemudahan Perisian Anti Plagiat Turnitin bagi membantu pensyarah dan pelajar menyemak kadar persamaan dalam rujukan dan penghasilan sesebuah tugasan.

Perisian berasaskan laman sesawang itu disediakan melalui perpustakaan universiti berkenaan dengan 3,000 lesen perisian itu dilanggan setiap tahun.

Naib Canselor UMP, Profesor Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff berkata, perisian itu disediakan untuk kemudahan pelajar dan pensyarah UMP menyemak tugasan dan mengesan sebarang unsur plagiarisme dalam tesis serta penulisan akademik secara dalam talian.

Menurutnya, usaha itu sebahagian langkah pihak universiti membentung tindakan ahli akademik ataupun pelajar yang tidak berintegriti sama ada memalsukan hasil kajian atau dokumen, menyalahguna dana penyelidikan dan memplagiat hasil kerja orang lain tanpa keizinan.

“Perbuatan sedemikian boleh mencemar kesucian bidang pendidikan dan memberi impak terhadap usaha membangunkan modal insan di negara ini.

“Ia juga merupakan jenayah akademik yang bukan saja boleh menjejaskan profesionalisme mereka yang melakukannya, lebih buruk lagi boleh mencetuskan konflik jangka panjang yang mungkin menjejaskan kualiti ahli akademik atau bakal cendekiawan yang dihasilkan,” katanya.

Ir Dr Wan Azhar berkata, persekitaran pendidikan seharusnya menjadi lapangan untuk menerapkan nilai moral dan etika yang tinggi dalam diri generasi muda negara hari ini manakala aktiviti plagiat yang dilakukan ahli akademik atau graduan boleh merendahkan nilai harga diri dan ketinggian ilmu.

“Sekiranya gejala plagiarisme ini tidak dibendung, ianya akan memberi kesan terhadap kualiti graduan yang dilahirkan sekali gus menjejaskan perkembangan ilmu baharu yang seharusnya dicambah di menara gading,” katanya.

Tegas beliau, UMP tidak akan berkompromi dalam apa jua tindakan salah laku dan sekiranya didapati bersalah tindakan tegas akan diambil di bawah Kaedah 6: Larangan terhadap Plagiarism Kaedah-kaedah Universiti Malaysia Pahang (Tatatertib Pelajar Pelajar) 2009 dan Akta 605 (Akta Badan Berkanun) Tatatertib dan Surcaj 2000 Peraturan 3 (2) (a), (f), (g).

“Sekiranya terdapat aduan berhubung sebarang salah laku dalam penyelidikan seperti plagiat akan disiasat dan pihak universiti boleh mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana pelajar atau pensyarah di bawah peraturan dan akta yang sedia ada sekiranya terbukti bersalah,” katanya.

Beliau berkata, penyelidikan yang beretika hendaklah bersandarkan hasil yang asli dan berkualiti.

“Sebagai seorang ahli akademik, penyelidik atau pensyarah mestilah mempunyai kesedaran etika dan integriti yang tinggi malah menjadi tanggungjawab bersama untuk memperkasa dan membudayakan amalan integriti dalam semua aspek kehidupan,” katanya. #sumber
Share:

225 Lokasi Di Pahang Berpotensi Ada Sisa Pembuangan Toksik


KUANTAN - Sebanyak 225 kawasan di Pahang dikenal pasti berpotensi mempunyai sisa pembuangan toksik berdasarkan maklumat menerusi pemantauan teknologi penderiaan jauh atau 'remote sensing'.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, Kuantan mencatatkan kawasan paling tinggi iaitu 69 lokasi diikuti Jerantut (67), Cameron Highlands (28), Temerloh (26), Bentong (7) Bera dan Pekan (6), Raub (5), Lipis dan Rompin (4) manakala Maran tiga lokasi.

"Kebarangkalian ini belum dikenal pasti sama ada melibatkan kilang haram atau sebaliknya. Indikator ini diperoleh menerusi maklumat dari teknologi 'remote sensing'.

"Kita tidak mempunyai gambaran sebenar berhubung permasalahan ini namun melalui penggunaan teknologi 'remote sensing' yang dijalankan menunjukkan seolah-olah ada pembuangan sisa toksik di kawasan tersebut," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelupusan Buangan Berbahaya di sini hari ini.

Menurutnya, kesemua kawasan itu dipantau dari semasa ke semasa dan operasi bersepadu juga akan dilakukan Jawatankuasa Pemantauan Pelupusan Buangan Berbahaya Pahang selain melibatkan semua jabatan berkaitan di peringkat negeri atau Persekutuan

Dalam pada itu, Mohd Sharkar berkata, Jawatankuasa Pelupusan Buangan Berbahaya diluluskan penubuhannya oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada Mei lalu.

"Penubuhan jawatankuasa ini bagi memastikan tindakan segera dapat diambil jika berlaku sebarang kejadian melibatkan pembuangan sisa berbahaya terurama dalam industri perkilangan," katanya.

Menurutnya, jawatankuasa itu akan mengadakan operasi bersepadu diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak. #sumber
Share:

Dr.Asri: Usah Pelihara Kucing Jika Menyusahkan Keluarga, Jiran


KANGAR - Umat Islam dinasihatkan jangan memelihara kucing di rumah mereka sekiranya hobi itu boleh menimbulkan masalah dalam keluarga dan hidup berjiran, kata Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.

Beliau berkata, pemilik kucing harus menjaga haiwan peliharaan mereka dengan terurus dan jangan membiarkan kucing itu bebas keluar ke rumah jiran dan membuang najis di situ sehingga menyusahkan jiran tetangga.

“Jika kucing seseorang pergi dan membuang najis di rumah jiran tidak berdosa bagi jiran itu menangkap dan membuang kucing itu ke tempat lain,” katanya menjawab soalan jemaah pada kuliah mingguannya di Masjid Alwi di sini malam tadi.

Mohd. Asri juga berkata, tidak ada sebarang hadis yang menyebut Nabi Muhammad SAW menyuruh umatnya memelihara kucing tetapi baginda mengingatkan supaya jangan menyeksa dan menyakitkan kucing. #sumber
Share:

Riza Aziz Di Dakwa Terima Wang Haram Lebih Dari RM1 Bilion


KUALA LUMPUR - Anak tiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Riza Aziz didakwa di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi atas  atas lima pertuduhan melibatkan diri dengan menerima wang daripada aktiviti pengubahan wang haram berjumlah AS$248.173 juta (kira-kira RM1bilion) juta lapan tahun lalu. 

Bagaimanapun Riza atau nama sebenarnya Riza Shahriz Abdul Aziz, 43, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan pertama, dan kedua Riza didakwa menerima hasil dari aktiviti haram  masing-masing AS$1,173,104 juta dan AS$ 9 juta melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun milik Good Star Limited di RBS Zurich, Switzerland ke akaun City National Bank, Los Angeles Amerika Syarikat milik Red Granite Production Inc, yang mana wang tersebut adalah hasil daripada penyelewengan ke atas dana 1MDB.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di City National Bank Los Angeles Main, 525 South Flowers Street, Los Angeles California, Amerika Syarikat pada 12 April 2011 hingga 10 Oktober 2012.

Bagi pertuduhan ketiga hingga kelima pula, anak lelaki Datin Seri Rosmah Mansor itu didakwa menerima wang sejumlah AS$238 juta daripada akaun milik Aabar Investments PJS Limited di BSI SA Lugano ke akaun BSI Bank Ltd.Singapore milik syarikat Red Granite yang mana wang tersebut adalah hasil penyelewengan 1MDB.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan antara 18 Jun 2012 hingga 14 November 2012 di Ltd. Temasik Boulevard, #32-01 Suntec Tower One Singapura.

Bagi Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan Riza boleh didenda maksimum RM 5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM1 juta dengan dua penjamin bagi kesemua pertuduhan.

Dalam prosiding itu peguam Datuk Hariharan Tara Singh dan Datuk K.Kumaraendran yang mewakili Riza tidak membantah dan bersetuju dengan jumlah jaminan yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan.

Turut hadir semasa prosiding berlangsung dua anak Najib iaitu Norashman dan Nooryana Najwa yang juga adik tiri Riza

Mahkamah kemudian menetapkan 9 Ogos ini untuk sebutan semula kes. #sumber
Share:

Murid Tahun Enam Maut Jatuh, Lantai Bas 'Jerlus' Di Pasir Puteh


PASIR PUTEH - Seorang murid Tahun Enam sebuah sekolah rendah di Machang meninggal dunia selepas terpijak lantai bas reput dan terjatuh di atas jalan di Kampung Kandis, di sini hari ini.

Mangsa, Wan Muhammed Adam Mohd. Suria, 12, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian pada pukul 12.50 tengah hari selepas jerlus dari lantai sebuah bas sekolah. 

Menurut sumber, mangsa adalah salah seorang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bok, Machang yang menyertai rombongan untuk menyertai Bengkel Menjawab Soalan Bahasa Inggeris bersama  Universiti Teknologi Mara (UiTM) di  Bukit Keluang, Besut, Terengganu.

Penyelaras bengkel, Anis Sofea Uzaimi ketika dihubungi berkata, bas terbabit membawa murid sekolah itu yang sudah mengesahkan kehadiran mereka untuk menyertai bengkel yang  diadakan selama dua hari. 


Menurutnya,  dia tidak berada di tempat kejadian dan belum mendapat gambaran jelas mengenai kejadian tersebut  selain dimaklumkan mengenai kemalangan itu yang berpunca dari lantai bas yang reput. 

"Mangsa dikatakan berdiri bersama rakan-rakan yang lain di bahagian hadapan bas berhampiran tangga.

“Di kawasan itu difahamkan ada kawasan yang berlubang namun telah ditutup tetapi saya tak pasti ia ditutup dengan apa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Machang, Arazmi Seman ketika ditemui bersama keluarga mangsa di  Unit Forensik Hospital Tengku Anis Pasir Puteh hari ini mengesahkan kejadian itu.

Beliau enggan mengulas lanjut kerana kes berkenaan sudah dalam siasatan polis. #sumber
Share:

Mahkamah: Anak Tiri Bekas PM Riza Aziz Akan Di Dakwa Esok


PUTRAJAYA - Anak tiri kepada bekas Perdana Menteri, Riza Shahriz Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Riza Aziz akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pihaknya telah telah mendapat izin untuk mendakwa Riza pada pukul 9 pagi esok.

Jelasnya,beliau akan didakwa dengan lima pertuduhan pengubahan wang haram dari Good Star Ltd, syarikat yang dikaitkan dengan Low Taek Jho atau Jho Low.

Terdahulu, Riza yang juga pengasas bersama syarikat pembikinan filem, Red Granite Pictures ditahan SPRM selepas memberi keterangan namun, dibebaskan dengan ikat jamin.

Sebelum ini, Riza pernah dikaitkan kes 1MDB kerana didakwa menggunakan wang milik syarikat itu untuk menerbitkan sebuah filem. #sumber
Share:

Anwar: PKR Pecat Haziq Kerana Melanggar Kod Tata Etika Parti


PETALING JAYA: PKR membuat keputusan memecat Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta atas kesalahan melanggar kod tata etika parti.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Biro Politik PKR yang diketuainya membuat keputusan itu malam ini, selepas menerima syor dibentangkan Lembaga Disiplin parti dan surat pemecatan itu akan dikeluarkan segera.

“Lembaga Disiplin hari ini memberi syor memecat Haziq Abdullah dan Biro Politik yang bermesyuarat malam ini membuat keputusan menerima syor itu sebulat suara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim; Naib Presiden, Datuk Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Lembaga Disiplin pada 19 Jun lalu membuat keputusan untuk memberikan surat tunjuk sebab kepada Haziq Abdullah kerana didapati mencemarkan dan berniat merosakkan nama parti.

Haziq Abdullah menerima surat tunjuk sebab kerana membuat pengakuan terbuka sebagai individu dalam video lucah dikaitkan dengan seorang menteri.



Pada sidang media itu, Ahmad terlebih dulu menyatakan sebab Lembaga Disiplin PKR memberi syor kepada Biro Politik parti untuk memecat Haziq Abdullah.

“Kami menerima surat jawapan Haziq Abdullah bertarikh 2 Julai lalu. Selepas meneliti surat itu, dalam mesyuarat bersama Biro Politik hari ini, kita mencadangkan beliau dipecat daripada parti kerana didapati melanggar kod tata etika parti.

“Alasan mengemukakan syor memecat beliau ialah kerana beliau membuat tuduhan terbuka terhadap pimpinan parti berhubung salah laku rasuah tanpa bukti.

“Beliau juga membuat tuduhan terbuka dalam hal lain iaitu dalam kes yang sedang disiasat polis (video lucah),” katanya.

Mengulas keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan siasatan terhadap syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Untuk Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Negara (Forex), Anwar berkata PKR berpandangan satu siasatan yang telus harus dijalankan.

“Kalau kerajaan sudah putuskan (tidak meneruskan siasatan), terserah kepada kebijaksanaan kerajaan jika ada fakta,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, keputusan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kembali menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO tidak akan menjejaskan Pakatan Harapan (PH).

"Saya bukan ahli UMNO. Ya saya pernah jadi Timbalan Presiden UMNO, itu tahun 1998. Bagi saya itu (Ahmad Zahid kembali dari bercuti) keputusan dalaman UMNO. Ia tidak menjejaskan PH.

"Keputusan Ahmad Zahid itu menunjukkan UMNO belum mantap dan pemimpin yang diserah menjalankan tugas Presiden tidak mendapat dukungan kuat," katanya. #sumber
Share:

Dua Di Penjara Kerana Cuba Pecah Masuk, Miliki 25 Besi Pagar


KUANTAN - Dua lelaki dihukum penjara 10 bulan selepas mengaku salah atas tuduhan cuba memecah masuk rumah dan memiliki 25 batang besi pagar yang gagal dijelaskan kegunaannya, minggu lepas.

Majistret Nor Azizah Aling memerintahkan supaya Mohamad Nor Amin Khairudin, 32, dan Muhammad Iqmal Nirwan Adam Safian, 21, menjalani hukuman penjara tujuh bulan bagi kesalahan cuba memecah masuk dan tiga bulan bagi kesalahan memiliki besi itu.

Bagaimanapun, hukuman itu diarah berjalan serentak bermula dari tarikh mereka ditangkap iaitu 26 Jun lepas.

Bagi tuduhan pertama, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 457/511 Kanun Keseksaan kerana cuba memecah masuk sebuah rumah di Kampung Teluk Mahang di sini, pada 9.10 malam 26 Jun lepas.

Seksyen 511 memperuntukkan hukuman penjara yang tidak melebihi setengah daripada Seksyen 457, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan boleh dikenakan denda dan jika kesalahan adalah curi, hukuman penjara boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun, jika sabit kesalahan.

Manakala bagi kesalahan kedua, mereka didakwa mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil kerana memiliki besi pagar itu, yang tidak dapat dijelaskan dengan munasabah di tempat dan masa yang sama.

Akta itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Fakta kes yang diakui tertuduh menyatakan mereka ditahan oleh orang kampung semasa cuba mengumpil tingkap rumah itu dan pemeriksaan anggota polis ke atas motosikal yang dinaiki mereka menemukan besi pagar itu di bahagian bakul.

Peguam Nurul Syafiqah Syeba Atan dari Yayasan Bantuan Guaman merayu mahkamah menjatuhkan hukuman penjara paling ringan ke atas kedua-dua tertuduh atas alasan anak guamnya telah insaf.

"Mereka juga membantu menanggung keluarga yang mana Mohamad Nor Amin bekerja sebagai tukang cuci rumah dengan gaji RM1,500 sebulan manakala Muhammad Iqmal Nirwan memperoleh upah bulanan RM1,000 sebagai pembantu kantin sekolah," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aiysha Na'ilah Harizan. #sumber
Share:

Polis Tahan Tiga Individu ´berniaga´ Dadah Di Beranda Rumah !


PEKAN - Tindakan berani tiga individu menjual dadah secara terbuka di beranda rumah membawa padah apabila mereka diberkas pada Op Sarang Khas, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Amran Sidek berkata suspek termasuk seorang wanita berusia dalam lingkungan umur antara 33 dan 36 tahun ditahan pada pukul 11.30 malam di Kampung Bentan di sini, dan semasa ditahan suspek bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan, sebelum semuanya ditangkap.

“Risikan yang dijalankan selama hampir dua bulan mendapati kawasan beranda rumah itu bukan hanya dijadikan lokasi penjualan, namun juga tempat menghisap dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Dearah Pekan di sini, hari ini.

Beliau berkata 16.58 gram dadah jenis heroin dan 0.92 gram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM800 turut dirampas, dan siasatan dijalankan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman gantung sampai mati.

Dalam perkembangan lain, Amran memaklumkan polis menahan 23 individu berusia antara 21 dan 26 tahun atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah pada Op Sarang Khas yang dilaksanakan selama tiga hari bermula 28 Jun lalu.

"Operasi ini dijalankan sekitar kawasan Felda Chini, Pulau Serai, Permatang Pauh dan Kampung Bentan. Kita juga merampas pelbagai jenis dadah termasuk syabu, heroin, eramin 5, ubat batuk dan air ketum dengan nilai kira-kira RM1,900 dan menahan tiga lelaki yang disyaki pengedar dadah berumur antara 22 dan 25 tahun,” katanya. #sumber

Share:

Jawatankuasa Khas Selaraskan Pihak Terlibat Di Pasir Gudang


BERA - Sebuah jawatankuasa khas bagi menyelaraskan pihak yang terlibat dalam isu pencemaran di Pasir Gudang di Johor akan dibentuk, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata penubuhan jawatankuasa itu dimaklumkan Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal pada perbincangan mereka semalam, dan akan diumumkan secara rasmi oleh kerajaan negeri Johor.

"Jawatankuasa ini akan menyelaras semua pihak yang terlibat seperti Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kesihatan, pihak berkuasa tempatan dan juga Pejabat Tanah kerana mereka boleh merampas semula tanah jika pemilik premis itu menyewa.

"Jawatankuasa khas ini akan bertugas selama enam bulan bagi memastikan insiden pencemaran ini tidak berulang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Penggerak Dasar Komuniti Negara di Kompleks Rakan Muda Bera di sini, hari ini.




Zuraida juga memberi jaminan akan mengetengahkan dakwaan seorang bapa bahawa anaknya menghidap penyakit myo kimia disebabkan pencemaran toksik Sungai Kim Kim, Pasir Gudang kepada pihak terlibat termasuk Kementerian Kesihatan dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Dakwaan bapa pelajar itu tular di laman sosial sejak semalam, dan dia mendakwa anaknya yang berusia 12 tahun tidak dapat berdiri dengan stabil dan dilihat mengigil selain perlu mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur, menyebabkan dia berhasrat menyaman pihak berkuasa dalam isu tersebut.

Pada perkembangan lain, Zuraida berkata KPKT berharap lebih banyak NGO berminat untuk menyertai Penggerak Dasar Komuniti bagi mencapai sasaran kewujudannya di semua Parlimen menjelang 2020.

Katanya, setakat ini terdapat 70 NGO yang melibatkan diri dengan empat daripadanya di Pahang.

"Penubuhan pasukan ini di kawasan memudahkan jalinan program dilaksanakan dengan pihak berkuasa seperti polis dan bomba atau pihak lain kerana diberi latihan dan taklimat bagaimana mahu melaksanakan mesyuarat penyelarasan.

"Selain itu, kita juga berharap mereka ini boleh menjadi jurucakap yang menerangkan dasar kerajaan kepada setiap golongan masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan berita tidak benar," katanya. #sumber
Share:

Liat Bayar Zakat, 218 Individu Terima 'Surat Peringatan' MUIP !


KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) sudah menghantar surat peringatan kepada individu yang dipercayai liat membayar zakat walaupun mencukupi syarat menunaikan kewajipan itu.

Sehingga kini seramai 218 individu menerima surat peringatan apabila gagal mengemukakan maklumat pendapatan tahun lalu.

Timbalan Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan, berkata jika tiada maklum balas yang diterima, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap individu terbabit.

“Proses penguatkuasaan ini sudah dijalankan sejak April lalu bagi mendidik masyarakat untuk mengisytiharkan pendapatan supaya mereka dapat berzakat.

“Tindakan ini adalah jalan yang paling berkesan bagi memastikan mereka menunaikan kewajipan itu. Jadi, keputusan MUIP untuk menguatkuasakan enakmen berkaitan zakat ini adalah tepat,” katanya pada sidang media ketika sesi bersama media Pahang dan Jamuan Aidilfitri di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 di bawah Seksyen 24 (Enggan memberi taksiran pendapatan) dan Seksyen 40 (Tidak membayar zakat atau fitrah), jelas menetapkan setiap individu yang beragama Islam perlu mengemukakan maklumat pendapatan untuk semakan bagi pembayaran zakat.

Katanya, tahun lalu seramai 23,501 individu tidak mengembalikan maklumat pendapatan kepada Pusat Kutipan Zakat (PKZ), namun, jumlah terbabit akan disaring berdasarkan keterangan jawatan dalam pekerjaan.

“Tahun lalu kita melaksanakan Wajib Taksir Zakat (WTZ) di mana seramai 786 majikan menyerahkan nama kakitangan membabitkan 55,839 orang.

“Daripada jumlah itu, seramai 28,152 orang didapati tidak mempunyai rekod pembayaran zakat menyebabkan PKZ menghantar borang taksiran. Hasilnya, seramai 4,651 orang sudah membuat taksiran zakat,” katanya.

Wan Abdul Wahid berkata, tahun ini seramai 15,362 orang didapati tidak mempunyai rekod di PKZ dan pihaknya memberi tempoh sehingga 31 Julai ini untuk mereka mengembalikan borang taksiran zakat terbabit. #sumber
Share:

Sebar Rakaman CCTV Hotel, Bukti Konspirasi Jatuhkan Azmin !


KUALA LUMPUR: Komplot pembikinan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai diambil dari sebuah hotel di Sandakan, Sabah, bukti wujud konspirasi untuk menjatuhkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Berdasarkan satu rakaman CCTV yang diedit itu, ia memaparkan pergerakan bekas Ketua AMK Santubong, Haziq Abdullah Abdul Rashid dan Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Muhammad Hilman Idham, sebelum dimuat naik di laman Youtube, hari ini.

Individu yang memuat naik video itu menerusi akaun Youtube menggunakan nama Rahim Jaafar.

Hilman yang kini berada di Vienna, Austria berkata, penyebaran video berkenaan jelas menunjukkan wujud motif konspirasi untuk menjatuhkan kredibiliti dan imej Mohamed Azmin sebagai seorang menteri dan juga ahli politik disegani.

“Video CCTV yang didedahkan hanya membuktikan ada komplot politik untuk jatuhkan Azmin, sementara video asal dan CCTV yang didedahkan hanya menimbulkan lebih banyak keraguan.

“Malah tindakan pihak tidak bertanggungjawab ini mengedit video berkenaan dilihat cuba mewujudkan persoalan kepada masyarakat, meskipun mereka gagal membuktikan itu adalah Azmin Ali,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Hilman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia berkata, tindakan itu jelas membuktikan bahawa terdapat cubaan untuk menaikkan ‘seseorang’.

“Setakat ini pihak polis masih menjalankan siasatan dan pihak tidak bertanggungjawab ini seolah-olah tidak sabar untuk terus menghukum Datuk Seri Azmin.

“Perkara ini adalah serius dan Datuk Seri Azmin juga sebelum ini sudah berkali-kali menafikan dia adalah individu dalam tiga siri video lucah hubungan sejenis yang tersebar sejak 11 Jun lalu.

Katanya, Azmin juga turut meminta orang ramai untuk memberi ruang kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, dalam menjalankan siasatan sehinggalah keputusannya diumumkan kelak.

“Sebaik Haziq mengakui dia adalah individu dalam rakaman video lucah berkenaan, ia membuktikan ada pihak tertentu di belakangnya berkomplot memfitnah untuk menjatuhkan Azmin,” katanya. #sumber
Share:

Tiga Rakan Di Denda RM2,200 Akibat Gantung Iklan Ah Long !


KUANTAN, - Tiga rakan termasuk seorang remaja masing-masing didenda RM2,200 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menggantung iklan syarikat pinjaman wang tidak berlesen, minggu lepas.

Majistret Nor Azizah Aling juga memerintahkan supaya Lee Chong Yau, 29, Fon Chong Sheng, 22, dan Gan Hong Ren, 19, menjalani hukuman penjara tujuh bulan, jika gagal menjelaskan denda itu.

Semua mereka didakwa menggantung iklan pinjaman wang yang mengelirukan dan tidak jujur yang boleh mendorong orang awam untuk membuat atau cuba membuat pinjaman pada 2.35 petang, 27 Jun lepas di tepi jalan berhampiran Kompleks Mahkamah Kuantan di sini.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, perbuatan mereka disedari oleh anggota polis yang menjalankan rondaan di kawasan itu, dan pemeriksaan menjumpai 49 iklan syarikat pemberi pinjaman wang tidak berlesen bersama tertuduh.

Pada prosiding itu, peguam Nurul Syafiqah Syeba Atan daripada Yayasan Bantuan Guaman yang mewakili semua tertuduh merayu mahkamah menjatuhkan hukuman denda minimum kerana mereka kini tidak bekerja.

"Sebelum ditangkap mereka mengambil upah menggantung iklan syarikat pinjaman itu dengan gaji sekitar RM700 sebulan. Mereka telah insaf dan berjanji akan mencari kerja lain selepas ini," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aiysha Na'ilah Harizan.

Semua tertuduh menjelaskan denda tersebut. #sumber
Share:

JPJ Pahang Lelong 35 Buah Kereta Mewah, Klon Yang Di Sita !


KUANTAN - Sebanyak 35 buah kenderaan sita dan klon termasuk yang berjenama mewah bakal dilelong Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang.

Lelongan awam siri 1 2019 yang julung kalinya diadakan membabitkan kenderaan klon berkenaan akan dilakukan pada 8 Ogos 2019 bertempat di Dewan Serbaguna JPJ Pahang.

Pengarah JPJ Pahang, Mohamad Abdullah berkata, lelongan awam melibatkan kenderaan sita dilakukan setiap tahun tetapi kali ini berbeza kerana kali pertama kenderaan klon dilelong.

"Sebanyak 35 buah kenderaan iaitu 15 kereta sita dan 20 kereta klon akan dilelong.

"Lelongan bukan sahaja di JPJ Kuantan tetapi beberapa lagi Pejabat JPJ di negeri ini.

"Pelbagai kereta berjenama bakal dilelong termasuk Mercedes Benz, Honda Jazz, Toyota Wish, BMW 320i E90, Mitsubishi Grandis dan banyak lagi, " katanya ketika sambutan Aidilfitri di pejabat JPJ Pahang, hari ini.

Beliau berkata, orang ramai yang berminat boleh mendapatkan buku lelong yang mula dijual 17 Julai hingga 6 Ogos ini.

"Buku mengenai Lelongan ini boleh dibeli dengan harga RM50 di bahagian Kewangan JPJ Pahang.

"Semua mengenai barang lelongan, jenis kenderaan, harga dan info lengkap lain ada di dalamnya.

"Buku tersebut perlu dibeli dan selepas itu mereka boleh datang melihat kenderaan pada 5 dan 6 Ogos 2019," katanya.

Kata beliau, kenderaan yang dilelong masih berada dalam keadaan baik dan selebihnya item boleh dibeli daripada kenderaan yang diisytihar dilupuskan.

"Bagi yang ingin membeli kenderaan 'scrap' perlu memiliki lesen membeli barang lupus dan biasanya dimiliki mekanik.

"Kenderaan klon adalah kenderaan yang tidak berdaftar dan tiada perlindungan insurans.

"Lagi menarik semua kenderaan yang dilelong didaftar dengan nombor plat terkini di negeri ini," katanya. #sumber
Share:

Ainul Mardhiah Bakal Sambung Proses Rawatan Di Malaysia !


KUALA LUMPUR - Bayi perempuan berusia sembilan bulan yang menghidap kanser mulut ‘Germ Cell Tumor’, Ainul Mardhiah dilaporkan bakal pulang ke tanah air dalam masa terdekat.

Nurul Erwani Zaidi, 24, melalui laman sosial Instagramnya memaklumkan anaknya akan menyambung proses rawatan di Malaysia tidak lama lagi.

"Maaf kerana tidak selalu kemas kini mengenai Ainul. Alhamdulillah Ainul kini sihat dan bertenaga setiap hari.

"Sekarang ini semua doktor terlibat sedang memastikan segala perancangan yang sudah dibincangkan akan dilakukan dengan baik di Malaysia nanti, terima kasih semua," katanya hari ini.

Katanya, perasaan sedih mula dirasakan kerana terpaksa berpisah dengan semua jururawat di hospital tempat Ainul dirawat (di London).

"Semua jururawat sangat baik hati dan suka beri pujian pada Ainul. Mereka jaga Ainul dengan sangat baik serta lemah lembut.

"Selamat tinggal jururawat, tinggal lagi beberapa hari saja lagi Ainul di sini. Ainul pasti akan merindui kalian semua," ujarnya lagi.

Terdahulu, Ainul yang mengidap kanser mulut ‘Germ Cell Tumor’ menjalani rawatan di London dan dirawat di sana sejak awal bulan ini.

Setakat hari ini, bapa, Ahmad Safiuddin, 24, turut memaklumkan anak perempuannya itu sudah mula menunjukkan perkembangan positif dan semakin aktif seperti sudah mula meniarap. #sumber
Share:

Inkues Adib: Laporan Di Beri Dr. Ahmad Hafizam Tidak Lengkap


SHAH ALAM - Saksi ke-29 inkues kematian Muhammad Adib, Prof. Dr. Shahrom Abd. Wahid menganggap laporan eksperimen dikemukakan Pakar Forensik, Dr. Ahmad Hafizam Hasmi mengenai kecederaan dialami anggota bomba malang itu sebagai tidak lengkap.

Ketika menjawab soalan peguam mewakili keluarga mangsa, Syazlin Mansor, beliau berkata, individu yang menyediakan laporan ini dianggap tidak berpengalaman sebab ada antologi yang salah.

"Eksperimen yang dibuat ini sekadar suka-suka atau membabi buta. Dia kena tahu apa itu penyataan masalah dan konsepnya. 

"Maaf cakap, laporan ini secara fokusnya tidak lengkap," katanya dihadapan Koroner Rofiah Mohamad tadi.

Menurutnya, hasil kerja yang diberikan Dr. Ahmad Hafizam menerusi laporan eksperimen yang diberikan itu berkualiti rendah (sub standard). 

Prosiding inkues kematian Muhammad Adib memasuki hari ke-38 hari ini.

Selain Syazlin yang mewakili keluarga Muhammad Adib, peguam lain yang terkibat adalah Yahaya Othman, Kamaruzaman A. Wahab dan Ahmad Taufiq Baharum.

Empat peguam melibatkan tiga Peguam Kanan Persekutuan iaitu Suzana Atan, Mazlifah Ayob dan Fadzilatul Isma Ahmad Rafngah dan seorang Peguam Persekutuan Afiq Zainal Abidin yang kesemuanya mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). #sumber
Share:

Empat Sekeluarga Maut Perodua Viva Terhumban Dalam Parit !


KUALA SELANGOR - Empat sekeluarga maut apabila kereta jenis Perodua Viva yang dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam parit di Kilometer 55 Jalan Klang -Teluk Intan petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, Ahmad Awang, 56, dan isterinya, Hayati Mohd. Zain, 57, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian badan. 

Turut maut adalah Khmisah Saleh, 87, dan Norriyah, 61, yang merupakan ibu dan kakak kepada Hayati. 

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md. Asri A. Wahab berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian kesemua mangsa dalam perjalanan ke Teluk Intan dari Klang. 

Katanya, kereta yang dipandu Ahmad yang merupakan pengawal keselamatan kemudiannya hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

"Kereta tersebut seterusnya terhumban ke dalam parit dengan kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit.

"Mayat empat sekeluarga itu kemudiannya dihantar ke Hospital Tanjung Karang untuk dibedah siasat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. #sumber
Share:

PM Jangka Umum Inisiatif Baharu Felda Pada Hari Peneroka !


ROMPIN - Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dijangka mengumumkan inisiatif model baharu Felda pada sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan di Felda Selancar 3 Muadzam Shah di sini, Ahad ini.

Pengarah Besar Felda, Datuk Dr. Othman Omar berkata, pengumuman itu diharap membolehkan peneroka tidak lagi terlalu bergantung kepada tanaman sawit yang harganya tidak menentu.  

"Kita berharap peneroka berusaha dengan kaedah yang sedikit berbeza dari dahulu contohnya menerusi kaedah menyewakan tanah bagi jangka panjang dan terlibat dalam tanaman kontan," katanya ketika melawat tapak sambutan progam itu di sini, hari ini. 

Beliau berkata, sewaan jangka panjang dilihat lebih memanfaatkan peneroka terutama yang sudah berusia kerana Felda akan membuat tanaman semula tanpa mereka perlu berhutang modal tanaman semula. 

Katanya, terdapat lebih 70 peratus peneroka yang berusia lebih 56 tahun dan ada kalangan mereka menghadapi masalah untuk mewariskan tanah kerana anak berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan lain. #sumber
Share:

Eksesais Adalah Platform Terbaik Nilaikan Kesiapsiagaan TLDM


KUANTAN - Eksesais Kerismas dan Eksesais Taming Sari merupakan platform terbaik untuk menilai tahap kesiapsiagaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menghadapi ancaman di perairan negara.

Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany berkata selain menilai kesiapsiagaan pasukan, eksesais itu juga bertujuan meningkatkan kemahiran dan kompetensi profesionalisme armada, di peringkat operasional atau taktikal.

Katanya eksesais tersebut diadakan selama 18 hari bermula hari ini, melibatkan 11 kapal termasuk kapal selam KD Tun Razak dan kira-kira 3,000 anggota dengan eksesais Kerismas merupakan eksesais terbesar TLDM yang diadakan semula selepas 14 tahun.

"Latihan seumpama ini adalah platform terbaik bagi menguji dan mengemas kini setiap prosedur, publikasi, proses kerja dan sistem pemerintahan serta kawalan markas pemerintahan.

"Eksesais Taming Sari kali ini juga akan memberi peluang untuk menguji kesiapsiagaan missile platform, selepas kali terakhir penembakan misil ialah lima tahun lalu," katanya semasa berucap pada Majlis Pembukaan Eksesais Kerismas 26/2019, di Markas Wilayah Laut 1 di sini, hari ini.

Mohd Reza berkata penting untuk memastikan TLDM sentiasa bersedia menghadapi ancaman musuh pada setiap masa memandangkan Laut China Selatan, lokasi eksesais itu diadakan, terdedah kepada pelbagai tindakan ancaman musuh.

"Laut China Selatan adalah laluan dan perairan yang berkepentingan strategik kepada banyak negara... selain terdedah kepada ancaman musuh, ia juga berdepan keganasan maritim dan aktiviti yang menyalahi undang-undang laut," katanya.

Mohd Reza turut memberi jaminan, selain Laut China Selatan, TLDM juga memberi tumpuan khusus kepada keselamatan di Selat Melaka. #sumber
Share:

DPMM Fokus Ekonomi, Anggap Krisis Kepemimpinan Selesai !


KUANTAN - Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mahu memberi fokus terhadap agenda dan usaha menggerakkan ekonomi rakyat terutama ahlinya dengan menganggap krisis barisan kepemimpinan yang berlaku dalam pertubuhan berkenaan sejak hujung tahun lalu sudah selesai.

Presiden DPMM, Rizal Faris Mohideen Abdul Kader berkata, isu melibatkan tindakan 18 bekas ahlinya termasuk timbalan presiden yang didakwa menggunakan nama DPMM secara tidak sah jika berterusan hanya membantutkan usaha merangka strategi berdepan dengan cabaran ekonomi baharu.

Sebab itu, katanya, barisan kepemimpinan pertubuhan berkenaan diketuainya yang menerima sokongan daripada semua perwakilan pada mesyuarat agung tahunan (AGM) Sabtu lalu mahu memandang ke hadapan dengan memberi tumpuan termasuk mengenal pasti masalah ekonomi yang timbul dan langkah-langkah menanganinya bagi membantu rakyat.

“Dalam berdepan cabaran ekonomi semasa, DPMM melihat antara langkah yang boleh diambil ialah semua pihak termasuk ahli politik dan pakar ekonomi bergabung seterusnya mengusahakan inisiatif yang boleh membantu rakyat di peringkat akar umbi.

“Maksudnya, usaha menggerakkan ekonomi dibuat menerusi platform tersebut dengan melihat peranan yang boleh masing-masing mainkan untuk membantu mencapai matlamat Kemakmuran Bersama yang disebut oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad,” katanya ketika ditemui pada Majlis Mesra Aidilfitri DPMM negeri di Serambi Teruntum di sini hari ini.

Yang hadir sama Yang Dipertua DPMM negeri, Wan Alhamdulillah Wan Abd. Rahman.

Sebelum ini, Rizal Faris dilaporkan berkata, terdapat 18 ahli yang terlucut jawatannya secara automatik termasuk jawatan timbalan presiden DPMM sejak November tahun lalu.

Pada Khamis lepas, beliau dalam satu sidang akhbar menyifatkan tindakan 18 bekas ahlinya yang mengadakan AGM DPMM secara tidak sah di sisi undang-undang pertubuhan Malaysia dan perlembagaan DPMM sebagai melakukan penipuan besar serta menyebarkan berita palsu.

Sabtu lalu, semua 83 perwakilan DPMM yang menghadiri AGM dilaporkan sebulat suara bersetuju untuk mengekalkan Rizal Faris sebagai Presiden mereka.

Menurut Rizal Faris, isu melibatkan 18 bekas ahli itu dianggap sudah selesai namun akan melihat tindakan yang boleh diambil dari segi perundangan kerana berpandangan kumpulan tersebut melakukan jenayah dengan menipu dan menyebarkan berita palsu.

Berhubung cawangan DPMM di Perlis, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Terengganu dan Putrajaya, beliau berkata, pihaknya akan melantik barisan pengurusan baharu dalam tempoh sebulan bagi membolehkan pertubuhan itu terus berfungsi serta menjalankan tugasnya seperti biasa. #sumber
Share:

Setiausaha Kerajaan Negeri, Timbalan Presiden PBNP Baharu !


KUANTAN  - Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak dipilih sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) pada Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-63 persatuan itu di Hotel Shahzan Inn.di sini petang tadi.

Sallehuddin menggantikan Datuk Seri Muhammad Safian Ismail yang kini memegang jawatan Naib Presisen I manakala Naib Presiden II disandang oleh Datuk Seri Zamri Ramly.

Sementara itu, Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah kekal sebagai Presiden PBNP selepas menang tanpa bertanding.

Pemilihan jawatankuasa bagi penggal 2019-2022 yang diadakan pada Mesyuarat Agung Tahunan PBNP ke-63 turut menyaksikan dua muka baharu dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Majlis iaitu Datuk Mohd Mazri Mahmud dan Muhammad Muaz Dahari.

Lapan individu pula kekal menyandang jawatan yang sama iaitu Raja Mustapa Shah Raja Jalil Shah, Rosli Noordin, Abd Razab Wahab, Datuk Seri Mohamad Zaini Saleh, Ahmad Salizam Ghazali, Datuk Taufek Razak, S. Krishnan dan Adzland Zakaria.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Muhammad Safian itu dihadiri oleh 58 orang daripada 77 perwakilan termasuk Setiausaha Agungnya, Norlia Abdul Manaf. #sumber
Share:

Bekas ADUN Peramu Jaya, Wan Iqbal Afdza Meninggal Dunia


KUANTAN - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, Wan Iqbal Afdza Wan Abdul Hamid, 47 kembali ke rahmatullah kira-kira jam 3 pagi tadi ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUMMC), Indera Mahkota, di sini.

Allahyarham dimasukkan ke hospital berkenaan pada 17 Jun lalu akibat darah tinggi sebelum disahkan menghidap strok.

Menurut adiknya, Ardila Shazmily, Allahyarham mula tidak sedarkan diri pada 21 Jun lalu.

"Selepas beberapa hari dalam keadaan koma, abang sedar seketika dan kembali tidak sedarkan diri sehingga menghembuskan nafas terakhir awal pagi tadi," katanya.

Ardila berkata, jenazah abangnya diuruskan di Masjid Indera Mahkota sebelum dibawa pulang ke Kampung Belimbing, Pekan untuk dikebumikan.

"Insya-ALLAH jenazah akan dikebumikan selepas Zohor," katanya.

Allahyarham Wan Iqbal yang pernah menuntut di Univeraiti Yarmouk, Jordan merupakan ADUN BN (N21) Peramu Jaya.

Beliau menewaskan calon Pas, Wan Iqbal Hamdy Mohd Rusdy dengan majoriti 4,163 undi pada Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11).

Kehilangan pemimpin itu amat dirasai bukan hanya dalam kalangan keluarga malah beberapa pemimpin negeri yang pernah berkhidmat bersama Allahyarham sebelum ini termasuk Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Melalui Facebooknya, Wan Rosdy agak terkejut apabila mendapat khabar kematian Allahyarham.

Menurutnya, beliau pernah duduk bersebelahan arwah semasa sama-sama dalam Sidang DUN pada tahun 2004. #sumber

Share:

Parlimen: Ismail Sabri Dikekalkan Sebagai Ketua Pembangkang


KUALA LUMPUR - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kekal sebagai Ketua Pembangkang, kata Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, yang juga ahli Parlimen Bagan Datuk, berkata kini terdapat pembahagian tugas antara pucuk pimpinan parti tersebut.

"Buat masa ini, ada pembahagian tugas antara saya dan Datuk Seri Mohamad Hasan (Timbalan Presiden), Ismail Sabri dan juga Datuk Seri Mahdzir Khalid sebagai Ketua Whip dalam kalangan ahli pembangkang," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid mengumumkan menamatkan cutinya daripada tugas Presiden sejak 18 Disember tahun lalu dan kembali menjalankan tugas Presiden UMNO. #sumber
Share:

Lelaki Maut Tertembak Diri Sendiri Ketika Cuci Senapang Patah


ALOR SETAR - Seorang peniaga maut tertembak diri sendiri dalam kejadian di Kampung Perlis Simpor, Tikam Batu dekat Sungai Petani hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzly Abu Shah berkata kejadian berlaku pada pukul 5.50 petang ketika mangsa yang berusia 59 tahun itu sedang mencuci senapang patah miliknya di bahagian beranda rumahnya.

Adzly berkata siasatan awal mendapati sebelum kejadian isteri mangsa melihat suaminya membawa keluar senjata bersama peralatan mencuci senjata di bahagian beranda rumah.

“Berselang lima minit kemudian isteri mangsa mendengar bunyi tembakan dan meluru keluar rumah untuk melihat apa yang berlaku dan terkejut melihat suaminya tersembam di atas lantai, apabila diperiksa didapati mangsa tidak bermaya dalam keadaan memeluk senjata di celah kelangkangnya dan barrel (laras) senjata ke arah dagu,” katanya dalam satu kenyataan media malam ini.

Beliau berkata berdasarkan kedudukan mayat dan kecederaan yang dialami mangsa dipercayai dia sedang mencuci senjata dalam keadaan duduk di kerusi dan kemudian tertembak pada bahagian bawah dagu sebelah kiri.

Adzly berkata siasatan mendapati mangsa turut memiliki lesen pemilikan senjata api bagi tujuan mencegah musuh tanaman dan baharu sahaja memperbaharui lesen pada 25 Jun lepas.

“Kita juga dapati terdapat tiga kelongsong peluru, di luar senjata ada dua kelongsong iaitu satu kelongsong hidup dan satu lagi kosong manakala dalam chamber ada satu kelongsong hidup,” katanya.

Beliau berkata mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960. #sumber
Share:

Pelajar Tingkatan Dua Tidak Sedarkan Diri Gara-Gara Mabuk !


KUANTAN: Seorang pelajar Tingkatan Dua sebuah sekolah di Air Putih, dekat sini, ditemui tidak sedarkan diri, dipercayai akibat mabuk selepas mengambil minuman keras bersama rakannya, tengah hari tadi.

Kejadian itu disedari orang ramai kira-kira jam 1 tengah hari apabila melihat pelajar berkenaan yang lengkap berpakaian seragam sekolah terbaring di atas sebuah kerusi.

Sumber berkata, pelajar itu sepatutnya mengikuti sesi pembelajaran pada sesi petang, namun bertindak menyertai dua rakannya minum minuman keras murah berhampiran sekolahnya.

“Akibat terlalu mabuk, pelajar terbabit tidak sedarkan diri dan orang ramai yang menyedari kejadian itu segera memaklumkan pihak sekolah.

“Pasukan perubatan dikejarkan ke sekolah berkenaan dan pemeriksaan awal mendapati pelajar itu mengambil minuman keras secara berlebihan,” katanya.

Pelajar terbabit kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini untuk menerima rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan, Mohd Razali Mustafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan pihaknya akan memanggil pelajar berkenaan untuk sesi kaunseling.

“Kita juga akan mengadakan pertemuan dengan ibu bapa pelajar terbabit bagi mengetahui masalah yang mungkin dihadapi pelajar itu,” katanya.

Beberapa gambar pelajar itu mula tersebar melalui aplikasi WhatsApp dan laman sosial Facebook petang tadi dan mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai dan pelayar internet. #sumber
Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.