KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Datuk Seri Najib Tun Razak membela diri terhadap semua tujuh pertuduhan menyeleweng sejumlah RM42 juta daripada dana SRC International Sdn Bhd.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengumumkan keputusan itu pada 11.34 pagi.
Hakim membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas perdana menteri Najib, 66, bagi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berkaitan dengan dana itu.
Anggota Parlimen Pekan itu dituduh melakukan semua kesalahan itu antara 17 Ogos , 2011 dan 2 Mac, 2015.
Najib yang merupakan perdana menteri keenam dari 2009 sehingga 2018 ialah ketua kerajaan yang pertama di Malaysia dihadapkan ke mahkamah.
Najib yang berada dalam kandang tertuduh kelihatan tenang semasa hakim menyampaikan keputusan itu di dalam mahkamah yang penuh sesak.
Hakim Mohd Nazlan yang membuat keputusan itu pada akhir kes pendakwaan berkata, mahkamah mendapati elemen menggunakan kedudukan, tidak amanah dan pengubahan wang haram oleh tertuduh telah dibuktikan oleh pihak pendakwaan.
Hakim berkata keterangan yang dicatatkan dalam minit mesyuarat menunjukkan tertuduh hadir pada dua mesyuarat yang meluluskan jaminan kerajaan berjumlah RM4 bilion untuk SRC oleh Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).
Jaminan kerajaan bagi jumlah RM4 bilion itu telah diluluskan dalam dua peringkat iaitu RM2 bilion setiap satu.
“Pinjaman KWAP itu tidak mungkin diluluskan tanpa jaminan kerajaan dan pinjaman itu disalurkan dengan kadar segera sekiranya tertuduh bukan seorang Perdana Menteri atau Menteri Kewangan pada ketika itu.
“Tertuduh mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas syarikat (SRC) selaku Menteri Kewangan dan MOF Inc sebagai pemegang saham tunggal SRC,” katanya.
Hakim berkata bekas Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah cuba untuk campur tangan dalam perkara SRC tetapi telah dihalang oleh tertuduh.
Mahkamah menetapkan 3 dan 4 Dis, 9 hingga 12 Dis, dan 16 hingga 19 Dis untuk Najib membela diri.
“Ini adalah untuk tertuduh menyangkal keterangan. Saya mendapati elemen menyalahgunakan kedudukannya, tidak amanah dan melakukan pengubahan wang haram telah dibuktikan dan, oleh itu, tertuduh diperintah untuk membela diri," katanya.
Selepas hakim selesai membacakan penghakiman itu, Najib ditawarkan tiga pilihan untuk membela dirinya dan beliau memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari tempat duduk saksi dan tertakluk kepada pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.
Pasukan pendakwaan diketuai Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas. Pasukan itu turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk V.Sithambaram manakala Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai barisan peguam bela.
Terdahulu, Najib yang diiringi anaknya Nooryana Najwa dan Datuk Mohamad Nizar, tiba di Kompleks Mahkamah di sini pada 8.45 pagi.
Pada 9 pagi, beliau perlu menghadiri satu lagi perbicaraan melibatkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Prosiding kes itu ditangguhkan pada 10 pagi berikutan Najib perlu hadir di hadapan Hakim Mohd Nazlan untuk keputusan kes SRC. #sumber
Tun Dr Mahathir Mohamad
Perdana Menteri
Dr Xavier Jayakumar
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli
Latheefa Koya
Ketua SPRM
Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
Menteri Besar Pahang
Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak
Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang
Kolonel Nazim Mohd Alim
Setiausaha Sulit Sultan Pahang
_________________
1. Monopoli pasir tidak boleh menguntungkan Kerajaan Pahang.
2. Malah Akan memberi kesan lebih buruk apabila pelabur mula lari.
3. Kalau tidak ada angin masakan pokok bergoyang. Masalah ini muncul bila ada pihak ingin mengaut keuntungan atas angin.
4. Siapa tak kenal Lt. Kol. (B) Nor Hashim Abdul Aziz. Dia digelar raja pasir oleh sesetengah operator.
5. Saya kurang pasti dia (Kol. Hashim) ini sebenarnya masih berkhidmat atau tidak lagi sebagai _Setiausaha Sulit Khas Kepada Baginda Sultan Pahang_.
6. Menurut sumber, dengan kedudukan ini caranya dia menjual nama pihak istana untuk kepentingan dirinya dan memperkuda orang.
7. Sebelum ini dia menguruskan Syarikat yang memiliki permit eksport (AP) pasir ke luar negara.
8. Semua operator yang hendak mengeksport pasir wajib guna permit dia ini, sekiranya enggan makan pasir sahaja.
9. Menurut sumber juga, dia ada hubungan sangat rapat dengan beberapa pemimpin politik di Negeri Pahang.
10. Tiada siapa berani tegur kononnya dia ada kabel besar dan sering menjual titah Baginda Sultan.
11. Paling memalukan seluruh warga staf, pegawai tinggi kerajaan, Exco dan operator tahu perangai dia yang lebih sudu dari kuah.
12. Pada pertengahan tahun 2019, Kerajaan Pahang menubuhkan Syarikat Pengurusan Pasir Pahang Berhad.
13. Tujuan penubuhan Syarikat ini kononnya satu keperluan Kerajaan menyelaras pengeluaran pasir di Negeri Pahang.
14. Apa yang jadi kemusykilan nama Kol. Hashim adalah salah seorang Lembaga Pengarah Syarikat ini.
15. Selain dari nama dia, saya lihat nama Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pengarah Tanah dan Galian, Wakil Rakyat dan lain-lain penjawat awam.
16. Saya hairan nama-nama besar berkenaan boleh dimasukkan dalam Syarikat itu. Bagaimana penjawat awam boleh ada kepentingan perniagaan?.
17. Syarikat ini juga beroperasi mengagihkan konsesi pasir di Negeri Pahang.
18. Pejabat Tanah dan Daerah memaklumkan bahawa semua permohonan mengeluarkan pasir wajib dibuat melalui Syarikat ini.
19. Belum ada dalam sejarah Kerajaan Negeri membuat dasar seumpama ini.
20. Saya kurang pasti siapa yang menjadi pekerja kepada Syarikat ini. Adakah pekerja mereka semua ini pernah terlibat aktiviti perlombongan? Wallahua'lam bisshowab.
21. Menurut sumber, Kol. Hashim ini diberi kuasa untuk menapis setiap permohonan pasir.
22. Tetapi dia telah menyalah guna kuasa memilih hanya kroni kemudian membuang dokumen lengkap pemohon tidak dikenali. Perbuatan ini boleh merosakkan nama Ahli Lembaga yang lain.
23. Saya cadangkan demi kebaikan rakyat dan menyekat kroni, Menteri Besar perlu mengkaji kedudukan Kol. Hashim itu sebagai Lembaga Pengarah kerana menurut sumber juga hanya 'taukeh-taukeh' pasir tertentu akan dilayan istimewa olehnya.
24. Apa difahamkan oleh sumber, apabila taikun-taikun besar itu datang tidak perlu menunggu lama untuk berurusan sebaliknya terus berjumpa dalam biliknya walaupun sudah ada temu janji yang telah diatur lebih awal oleh rakyat biasa.
25. Tidak menjadi rahsia lagi siapa taukeh pasir besar dibelakangnya. Banyak konsesi sebelum ini juga diberikan kepada kroninya saja tanpa melalui proses tender terbuka yang adil. Ini membuktikannya tidak telus.
26. Dia yang paling banyak bercakap dalam mesyuarat pemilihan operator untuk mempengaruhi keputusan melantik siapa atau operator mana yang layak diberikan konsesi pasir mengikut kehendak dia.
27. Dia hanya mengenyangkan dirinya tetapi merugikan Kerajaan Negeri dan rakyat.
28. Saya juga akan membuat laporan kepada SPRM Putrajaya bagi menyiasat dakwaan itu.
29. Saya memohon kepada Menteri Air, Tanah dan Sumber asli menggantung sementara permit eksport (AP) pasir di Negeri Pahang sementara siasatan dijalankan nanti sehingga selesai.
30. Apa diharapkan Menteri Besar Pahang mengambil cakna berhubung perkara ini.
31. Kemelut dalam industri perlombongan pasir di negeri ini bukannya bertambah baik sebaliknya semakin parah hanya disebabkan tindakan seorang individu yang hanya memikirkan periuk nasi sendiri.
32. Peluang seharusnya lebih terbuka dan turut diberikan kepada pelbagai pihak yang mahu terlibat dalam industri perlombongan pasir di negeri ini bukan dimonopoli oleh satu pihak yang sudah jutaan ringgit mengaut keuntungan.
33. Beri kemudahan, bukan menambahkan sulit. Amat sedih, mengecewakan dan menganiaya.
34. Kembalikan hak rakyat. Adalah lagi baik kepada prosedur permohonan sebelum ini yang diuruskan oleh Jawatankuasa Pembangunan Tetap (Pasir) di Pejabat Tanah dan Daerah sahaja.
(Yang Mulia Tengku Rosfaizal Bin Tengku Bahakeri Shah)
Pengerusi Permuafakatan Pengusaha Pasir Pahang (PPPP)
Nombor Telefon: 010-3342142
KUANTAN: Tiga remaja yang dipercayai terlibat dengan kes kematian seorang pelajar cilik pusat tahfiz, Mohammad Aimin Nurul Amin yang berumur tujuh tahun Khamis lepas, kini direman sehingga Khamis ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Datuk Othman Nanyan yang memaklumkan perkara itu semasa dihubungi di sini hari ini bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
Mohammad Aimin disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Lanchang, Temerloh dekat sini selepas ditemukan dalam keadaan lemah di pusat tahfiz di Kampung Kuala Kaung, Lanchang itu.
Othman sebelum ini, mengesahkan pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan lebam pada tubuh arwah, yang baharu dihantar ke pusat tahfiz itu pada pertengahan Oktober lalu bersama-sama abang tirinya.
Sementara itu Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan ketika dihubungi mengesahkan bahawa pusat tahfiz berkenaan tidak pernah mengemukakan permohonan kepada pihak MUIP sejak mula beroperasi awal tahun ini dan pihaknya telah mengarahkan supaya pusat tahfiz itu ditutup hari ini.
Katanya MUIP yang membuat lawatan ke pusat tahfiz itu mendapati ia yang diusahakan oleh satu pasangan suami isteri, dan terdapat 14 pelajar belajar di situ, namun 10 pelajarnya berulang-alik setiap hari.
"Kami mendapati pusat tahfiz itu tidak menepati syarat dan kriteria yang diwajibkan bagi membuka pusat tahfiz termasuk dalam aspek keselamatan. Malah, jika diikutkan pusat tahfiz yang mahu mengambil pelajar kanak-kanak yang berusia tujuh tahun perlu mematuhi pelbagai syarat lain kerana mereka masih dianggap terlalu muda untuk menguruskan diri sendiri," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.
Selain keadaan pusat tahfiz tidak mengikut piawaian, Wan Abdul Wahid berkata kredibiliti dan kelayakan satu-satunya tenaga pengajar di pusat tahfiz itu juga boleh dipersoalkan kerana pengajar itu tidak dapat dipantau ekoran tahfiz berkenaan yang tidak berdaftar.
"Kita perlu pastikan ajaran yang dibawa adalah selari dengan amalan di negara ini, selain itu sekiranya ia melibatkan pelajar usia muda, subjek pendidikan adalah lebih meluas dan bukan hanya menghafal al-Quran semata-mata. Sebab itu, penting untuk ibu bapa mencari pusat tahfiz yang berdaftar bagi anak mereka supaya pendidikan yang diperoleh adalah menyeluruh untuk masa depan mereka," katanya.
Wan Abdul Wahid berkata tindakan tegas menutup mana-mana pusat tahfiz tidak berdaftar di Pahang juga akan mula dikuatkuasakan mulai tahun hadapan, mengambil kira aspek keselamatan dan kebajikan pelajar.
Katanya beliau berharap orang ramai tidak mudah menyerahkan tanah sebagai wakaf kepada mana-mana individu yang berhasrat membuka pusat tahfiz kerana ia menambah lagi kepada masalah pusat tahfiz yang tidak berdaftar.
Beliau berkata walaupun tindakan wakaf itu memang dibuat dengan niat baik, namun cara yang sebetulnya ialah dengan menyerahkan wakaf itu kepada majlis agama Islam supaya dapat ditadbir dengan lebih sempurna baik.
"Jika niat mahu membuka pusat tahfiz, maklumkan sahaja kepada MUIP semasa menyerahkan wakaf kerana ia lebih berterusan di bawah pentadbiran majlis. Sekiranya diwakafkan kepada individu, dikhuatiri wakaf itu tidak bersifat berterusan jika pemilik baharu tidak meneruskan pusat tahfiz itu atas sebab-sebab tertentu pada masa hadapan," katanya. #sumber

KUANTAN - Cemburu dipercayai menjadi punca pergaduhan sekumpulan pelajar sebuah pusat tahfiz di Lanchang, Temerloh dekat sini, yang berakhir dengan kematian kanak-kanak berusia tujuh tahun, Mohammad Aimin Nurul Amin pada Khamis lepas.
Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan berkata mangsa, yang baru belajar di situ mulai pertengahan Oktober lalu difahamkan mendapat lebih perhatian daripada pasangan suami isteri yang mengusahakan pusat tahfiz berkenaan.
"Mangsa yang merupakan pelajar paling muda di situ juga difahamkan agak mesra dan manja dengan pasangan tersebut sehingga dipercayai menimbulkan perasaan cemburu dalam kalangan pelajar lain yang membawa kepada pergaduhan," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.
Abd Jalil berkata bedah siasat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh semalam, mengesahkan punca kematian Mohammad Aimin adalah disebabkan trauma pada dada dan abdomen oleh permukaan atau objek tumpul.
Beliau memaklumkan tiga pelajar pusat tahfiz berusia 13 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan kematian Mohammad Aimin, kini direman sehingga Khamis depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Media semalam, melaporkan kematian Mohammad Aimin yang disahkan meninggal dunia sekitar 1.20 tengah hari Khamis, semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Lanchang di Temerloh.
Mohammad Aimin dibawa ke klinik itu oleh isteri pengusaha pusat tahfiz berkenaan, yang menemui mangsa dalam keadaan lemah di asrama, selepas menyedari mangsa tidak bersama pelajar lain ke masjid bagi menunaikan solat zuhur.
Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan lebam pada tubuh mangsa, yang difahamkan dihantar ke pusat tahfiz itu bersama abang tirinya.
Pusat tahfiz yang terletak di Kampung Kuala Kaung, Lanchang itu difahamkan mula beroperasi sejak awal tahun lepas dan tidak pernah berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan setakat ini mempunyai 14 pelajar, dengan hanya empat daripadanya menetap di asrama. #sumber
TEMERLOH - PKR Pahang memberi sokongan 100 peratus kepada presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Kelapan, kata Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pahang Fuziah Salleh.
Beliau berkata ketika ini kesemua 14 cabang PKR di negeri berkenaan memberi sokongan ke atas perkara itu supaya ia menjadi realiti bagi membolehkan parti itu memberi lebih tumpuan kepada gerak kerja dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.
“Kita berdoa supaya kita dapat melihat presiden kita sebagai perdana menteri kelapan dan negeri Pahang memberi sokongan 100 peratus terhadap perkara itu,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Negeri Pahang di Dewan Datuk Zaharuddin Abu Kassim Kampung Peragap, di sini, hari ini.
Dalam ucapannya, Ahli Parlimen Kuantan itu turut mengajak pimpinan PKR di setiap peringkat di negeri berkenaan supaya membantu rakyat yang memerlukan tanpa mengira latar belakang parti sokongan mereka.
“Janganlah memilih-milih dalam membantu rakyat yang memerlukan… sebagai contoh janganlah jika mereka datang daripada UMNO, kita tidak tanda tangan permohonan bantuan mereka,” katanya.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga Pengarah Konvensyen Nasional dalam ucapannya mengingatkan kepentingan parti untuk berusaha menunaikan janji pada pilihan raya umum lalu, untuk terus mendapatkan sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
"Jika kita tidak berjaya sampaikan, rakyat akan menghukum kita dan jika boleh, kita akan terus memperoleh kejayaan... bukan hanya kita dapat kekalkan Putrajaya, tetapi kita juga dapat merampas Pahang," katanya.
Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa berkata walaupun PRU-15 sukar ekoran 'perkahwinan UMNO-PAS' namun beliau yakin tidak mustahil Pahang boleh dirampas dari pentadbiran Barisan Nasional, jika isu yang membelenggu rakyat negeri ini boleh ditangani.
Antaranya, beliau merujuk kepada isu peneroka Felda yang merupakan kumpulan pengundi penting di Pahang, yang mana pimpinan parti perlu turun ke peringkat akar umbi untuk merungkai kekusutan dalam isu seperti menghapuskan hutang.
"Soal ekonomi juga penting kerana ramai rakyat Pahang yang berhijrah dan kita perlu ada jawapan pada soal ekonomi seperti peluang pekerjaan dan gaji yang sewajarnya.
Kita kena ubah struktur ekonomi untuk beri penyelesaian kepada orang muda dan dalam isu ini, kita tidak boleh nak menyalahkan sesiapa kerana kita kini berada di peringkat Persekutuan," katanya.
Nik Nazmi juga berkata penting untuk pimpinan parti mula mencari pelapis muda khususnya yang berusia dalam lingkungan 20-an bagi mendekati pengundi muda, yang kini masih bersekolah dan akan didaftarkan secara automatik pada usia 18 tahun. #sumber

KUALA LUMPUR - Dalam menggesa Malaysia menjadi sebuah negara berintegriti, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia tidak seharusnya membenarkan rasuah dan sifat tamak menyesatkannya sekali lagi.
Beliau berkata Malaysia perlu mengembalikan nama baik dan kredibilitinya di mata dunia, dan dapat berdiri sama tinggi dengan ekonomi Asia yang sedang pesat membangun sekali lagi.
"Sifat tamak dan rasuah yang berleluasa mendorong kita untuk tersesat jalan. Ini sama sekali tidak boleh berlaku sekali lagi,” katanya dalam amanat khas di Persidangan Antarabangsa ke-11 Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) 2019 di sini hari ini.
Bercakap di majlis dengan tema “Membina Ketelusan dan Keyakinan: Kolaboratif, Peningkatan dan Pengukuhan”, Dr Mahathir berkata rakyat mengharapkan agar kerajaan yang baharu mengambil alih pentadbiran negara susulan kemenangan pada pilihan raya umum tahun lepas, akan dapat menegakkan urus tadbir yang baik, berintegriti, dan menyingkirkan amalan rasuah serta penyalahgunaan kuasa.
“Tuntutan-tuntutan ini adalah hasil kepada tindak tanduk pentadbiran kerajaan sebelum ini dalam melaksanakan tugas-tugas mereka. Mereka tidak mempedulikan nilai-nilai murni ini, dan natijahnya mereka ditolak oleh rakyat Malaysia yang tidak tahan dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang berleluasa.
Perdana Menteri berkata sekitar waktu inilah jenayah kewangan dilakukan secara berleluasa dan terang-terangan tanpa mempedulikan undang-undang dan peraturan.
“Perbuatan ini boleh berlaku kerana mereka yang berkuasa dan diberi kepercayaan untuk mempertahankan undang-undang ini, merekalah yang sebaliknya melakukan jenayahnya,” katanya di persidangan yang dianjurkan oleh pertubuhan Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) dan Compliance Officers' Networking Group (CONG).
Dr Mahathir berkata antara langkah pantas yang diambil oleh kerajaan baharu bagi memastikan tindakan-tindakan sedemikian dapat dihentikan segera adalah penubuhan serta pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, dan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), bagi mempertahankan integriti negara dengan lebih mantap lagi.
Dr Mahathir berkata entiti ini dibangunkan selepas negara mengambil iktibar dari pengalaman pahit bahawa rasuah dan penyalahgunaan kuasa menghalang pembahagian kekayaan yang adil, memberi kesan kepada potensi ekonomi negara, menjejaskan masa depan, menghancurkan kekuatan dan keberkesanan institusi di samping melemahkan kepercayaan rakyat.
Beliau berkata pembaharuan ekonomi tidak dapat terlaksana dalam Malaysia Baharu, kecuali sekiranya ia diiringi dengan pembaharuan institusi dan urus tadbir.
Beliau menegaskan bahawa sementara undang-undang dan rangka kerja tadbir urus memainkan peranan penting dalam Malaysia yang bersih, telus dan bertanggungjawab, ia bagaimanapun tidak dapat bergerak jauh tanpa diiringi dengan kepimpinan yang tepat.
“Ia perlu diiringi dengan kepimpinan yang tepat dalam sektor swasta dan awam, bagi memastikan bahawa budaya integriti yang baharu diperkukuhkan ini akan menjadi satu amalan yang biasa di Malaysia,” katanya.
“Malaysia Baharu tidak dapat berlaku sekiranya kita tidak ubah dan buang mentaliti lama yang boleh menerima amalan-amalan rasuah,” tambahnya.
Dr Mahathir berkata sepanjang pemerhatiannya sejak beberapa tahun lepas, rasuah dilihat mencapai tahap di mana ia hampir menjadi gaya hidup biasa, dengan wang tunai yang banyak boleh dipindah begitu mudah dan dianggap sebagai ‘raja’.
"Tanpa perubahan ketara dalam tingkah laku dan jangkaan rakyat Malaysia yang memihak kepada ketelusan dan akauntabiliti, usaha kita untuk mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama akan gagal," katanya.
Perdana Menteri turut mempersetujui pelancaran inisiatif Perkongsian Awam-Swasta (PPP) sebagai usaha memerangi jenayah kewangan yang lebih baik.
Ia merupakan kolaborasi antara Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang serta institusi-institusi kewangan.
PPP memupuk sinergi dalam pencegahan kegiatan pengubahan wang haram atau langkah-langkah membanteras tindakan keganasan, dan ini dicapai menerusi perkongsian risikan kewangan yang efektif, tepat pada masanya dan lancar bagi tujuan pencegahan jenayah dan penguatkuasaan undang-undang.
“Bagi PPP Malaysia; institusi kewangan penguatkuasaan undang-undang akan terus mematuhi kerangka kerja undang-undang perlindungan data dalam memerangi jenayah kewangan,” kata Dr Mahathir. #sumber

KUANTAN - Pelaksanaan tempoh percubaan selama enam bulan bagi menguji Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu perlombongan dan pengeksportan bauksit memperlihatkan kerajaan serius menangani isu pencemaran akibat kegiatan tersebut.
Pengerusi Gerakan Rakyat Hentikan Pencemaran Bauksit (Geram) Ali Akbar Othman (foto) berkata tempoh percubaan itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi mencari jika masih ada 'kelompongan' yang perlu dibaiki pada SOP tersebut, sebelum dikuatkuasakan sepenuhnya.
"Jika dilihat pada SOP baharu yang dibentangkan sebelum ini, saya lihat ia memang bersifat menyeluruh dan meliputi segala aspek, bagaimanapun kita perlu mengetahui bagaimana cara pelaksanaannya kerana tidak mahu hanya cantik atas kertas.
"Syarikat, kontraktor dan semua pihak terlibat yang mendapat kelulusan mengambil bahagian dalam tempoh percubaan juga perlu dipastikan kewibawaannya dalam sama-sama mencari penyelesaian pelbagai masalah yang berlaku sebelum ini," katanya semasa dihubungi Bernama di sini hari ini.
Ali Akbar berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar pada persidangan Dewan Rakyat semalam, yang menyatakan kerajaan negeri Pahang bersetuju dengan tempoh percubaan pelaksanaan SOP baharu bauksit selama enam bulan sebelum aktiviti itu boleh dibuka semula.
Perlombongan bauksit yang aktif dijalankan di beberapa kawasan sekitar daerah ini terutamanya di Felda Bukit Goh, dihentikan sepenuhnya pada 15 Jan 2015 menerusi penguatkuasaan moratorium akibat masalah pencemaran sehingga menyebabkan Kuantan digelar 'Planet Marikh' kerana disaluti debu merah.
Xavier bagaimanapun mengesahkan bahawa tempoh moratorium perlombongan bauksit berakhir pada 31 Mac lepas, namun menegaskan tiada sebarang aktiviti perlombongan atau mengeksport bauksit dibenarkan sehingga SOP baharu dimuktamadkan.
Ali Akbar juga berpandangan antara isu kritikal yang perlu dimuktamadkan dalam tempoh percubaan itu ialah aspek penguatkuasaan kerana SOP yang menyeluruh itu mungkin kurang bermakna jika tiada tindakan tegas dalam aspek tersebut.
"Kita lihat bagaimana kekurangan sumber manusia menyebabkan pencemaran berleluasa selama ini kerana bagaimana anggota yang terhad mahu mengawal operasi bauksit yang melibatkan banyak pihak... kita tidak mahu alasan sama diulang pakai kerana itu alasan tahun 2014.
"Untuk aspek penguatkuasaan, kita berharap kerajaan boleh melibatkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi menambah sumber manusia sekaligus menunjukkan keseriusan kerajaan menangani isu pencemaran," katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Pengeluar Mineral Pahang Datuk Yap Soon Huat berharap aktiviti perlombongan yang sudah terhenti untuk jangka masa panjang dapat diteruskan dengan lancar dan mematuhi undang-undang serta SOP baru, selepas tamat tempoh percubaan.
Katanya, kontraktor dan syarikat perlombongan berlesen dalam aktiviti itu tidak mempunyai masalah untuk mematuhi SOP yang dikenakan kerana sedar isu alam sekitar merupakan keutamaan kepada semua pihak, termasuk kepada mereka sendiri.
"Apa yang menjadi kebimbangan ialah mereka yang melakukan aktiviti ini secara haram kerana sejak dahulu, operator yang tidak berlesen yang banyak menyebabkan pencemaran kerana tidak terikat dengan peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.
"Kami yang melakukan aktiviti perlombongan secara sah berdepan dengan pemeriksaan pelbagai agensi seperti Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) termasuk di tapak operasi menjadikan kami lebih peka dengan keperluan undang-undang," katanya.
Sehubungan itu, Yap berkata mereka sedia bekerjasama sebagai mata dan telinga kepada kerajaan dengan melaporkan aktiviti perlombongan bauksit haram kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya. #sumber

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes bunuh Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain menjadi pilu selepas tertuduh kedua membuat permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga mangsa di Mahkamah Tinggi hari ini.
Turut mengundang kesedihan apabila Muhammad Azamuddin Mad Sofi, 23, mendedahkan bahawa Zulfarhan, yang membahasakan dirinya sebagai Along, memberitahu yang dia merindui kedua-dua ibu bapanya dan mahu memohon maaf.
Ibu mangsa yang berada di galeri awam kelihatan menitiskan air mata selepas tertuduh kedua itu memberitahu kejadian tersebut.
Menceritakan detik berkenaan, Muhammad Azamuddin berkata sebelum Zulfarhan meninggal dunia pada 1 Jun 2017, dia dan mangsa berada di bilik rakan tertuduh pertama Muhammad Akmal Zuhairi, pelajar Universiti Tenaga Nasional (Uniten). Ketika itu Muhammad Akmal keluar membeli ‘Oral Rehydration Salt’ (ORS).
"Pada waktu itu Zulfarhan ada muntah sekali. Bila saya membersihkan muntahnya, Zulfarhan memberitahu saya dia minta maaf dekat saya sebab dia menyusahkan saya. Saya bagi tahu dia tak ada masalah kita kawan dan Zulfarhan bagi tahu dia rindu mak dan ayahnya dan mahu minta maaf.
"Dia cakap Along rindu mak dan ayah, saya cakap kalau rindu call lah, tapi dia cakap tak apa aku tak nak menyusahkan mak ayah aku, mak aku sakit. Saya rasa pelik kenapa tiba-tiba dia cakap macam itu.
"Tiba-tiba dia (Zulfarhan) mengimbau kenangan saya tumpang rumah dia di Johor Bahru. Saya bagi tahu Zulfarhan, apa yang jadi pun aku tetap dengan kau, kau kena kuat, minggu depan dah nak peperiksaan dan Zulfarhan bagi tahu dia sayang saya," katanya dan menambah ketika itu Zulfarhan berada dalam keadaan lemah.
"Zulfarhan beritahu dia mahu baring atas comforter (selimut) secara meniarap. Selang beberapa minit Muhammad Akmal lihat Zulfarhan tidak bergerak dan memanggil nama Zulfarhan, namun tiada tindak balas daripada Zulfarhan, lalu saya pegang tangan dia (Zulfarhan) dan saya rasa tangan dia sejuk," katanya.
Tertuduh kemudian menelefon ambulans dan sebelum ambulans tiba, pihak hospital memberi arahan kepada mereka supaya mengerengkan Zulfarhan.
"Anggota parademik yang tiba membuat pemeriksaan, tiada tindak balas daripada Zulfarhan dan selepas itu Zulfarhan dibawa ke Hospital Serdang.
"Tiba di hospital saya dan Muhammad Akmal melakukan pendaftaran di wad kecemasan hospital itu. Kakitangan hospital memberitahu kami Zulfarhan masih ada nadi dan pada 9.30 malam seorang doktor bagi tahu Zulfarhan sudah meninggal dunia," katanya.
Terdahulu, Muhammad Azamuddin membuat permohonan maaf itu selepas peguamnya, Amer Hamzah Arshad menyoalnya sama ada mahu bercakap sesuatu kepada keluarga Zulfarhan.
"Saya mewakili sahabat-sahabat saya memohon maaf atas apa yang berlaku," katanya dalam keadaan sebak ketika pemeriksaan utama oleh Amer Hamzah semasa membela diri di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.
Dia berkata hubungannya dengan Zulfarhan diibaratkan seperti "seutas tasbih yang mana ada awalnya dan tiada berpenghujung".
"Walapun Zulfarhan sudah pergi bertemu pencipta, saya dan rakan-rakan sentiasa mendoakan kesejahteraannya. Pengenalan kami (tertuduh dan Zulfarhan) bermula 2014, walaupun saya dan Zulfarhan berbeza dalam jurusan tetapi UPNM yang menanamkan erti persahabatan dan prinsip 'no man left behind' menyebabkan saya dan dia berkawan baik," katanya.
Dalam keterangannya, Muhammad Azamuddin berkata pada 22 Jun 2017, dia hanya melalukan seterika wap itu di bahu dan peha Zulfarhan selama satu saat.
"Saya guna seterika itu pada bahu dan peha Farhan tetapi masa buat seterika dan Farhan tidak bersentuhan.
"Saya ambil seterika wap itu apabila Mubin (rakan tertuduh) cakap Zulfarhan kena ajar sikit, selepas itu saya gunakan," katanya apabila ditanya Amer Hamzah bila tertuduh mengambil seterika itu.
Semasa ditanya mengapa menggunakan seterika wap itu, tertuduh menjawab: “Saya hanya menggertak atau menakutkan Zulfarhan”.
Ditanya lagi mengapa melakukan perbuatan tersebut yang boleh menyebabkan kematian sedangkan dia dan Zulfarhan bersahabat baik, Muhammad Azamuddin menjawab: “Pada saya, tindakan saya hanya untuk menasihati Zulfarhan sebab saya tahu bagaimana perangai Zulfarhan.
"Ketika saya melakukan perbuatan itu saya langsung tidak tahu ia mampu mendatangkan kecederaan kepada Zulfarhan kerana pada ketika itu jelas tiada kesan pada Zulfarhan dan saya tiada niat untuk mencederakan (Zulfarhan), jauh sekali untuk saya melakukan pembunuhan," katanya.
Pada 31 Julai lepas, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan 18 pelajar UPNM membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.
Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri menghadapi pertuduhan membunuh, manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa atas pertuduhan bersubahat membunuh Zulfarhan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala Abdoul Hakeem dituduh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Mereka bersama 12 lagi tertuduh iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.
Kesemua tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya, untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat, universiti tersebut, Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30 pagi dan 5.30 pagi, 21 Mei 2017.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azman bersambung esok. #sumber
KUANTAN - Satu kejadian tanah runtuh berlaku di Jalan Genting-Amber Court di Genting Highlands dekat sini, kira-kira 5.40 petang tadi, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Nor Hisham Mohammad.
Beliau bagaimanapun berkata, setakat ini tiada kemalangan atau kematian dilaporkan dalam kejadian yang berlaku berhampiran dengan ruang pameran sebuah syarikat hartanah di situ.
“Tanah runtuh itu telah menyebabkan laluan ke sebuah apartmen di situ secara keseluruhannya ditutupi tanah dan buat masa ini, kerja pembersihan sedang dilakukan.
“Bagaimanapun, laluan yang terlibat bukan laluan utama ke pusat pelancongan tanah tinggi itu, sebaliknya jalan untuk ke kawasan lain di Genting Highlands,” katanya semasa dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Nor Hisham berkata selain pihak bomba, operasi pembersihan juga dibantu kontraktor yang melakukan kerja pembinaan di tanah tinggi tersebut. #sumber
KUANTAN - Program advokasi kesedaran bahaya penggunaan basikal lajak oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) akan turut melibatkan golongan ibu bapa dalam usaha membanteras kegiatan itu.
Ketua Pengarahnya Mohd Nasri Ishak berkata penglibatan ibu bapa dalam program itu perlu kerana mereka adalah orang paling dekat berperanan mengawasi pergerakan anak-anak mereka.
"Mereka (ibu bapa) mampu memainkan peranan dalam mempengaruhi anak-anak supaya tidak terjebak dengan aktiviti basikal lajak yang membahayakan nyawa kerana aspek keselamatan basikal itu tidak dipatuhi.
"Program advokasi ini akan diadakan di sekolah dan kawasan perumahan yang dikenal pasti menjadi lokasi tumpuan kanak-kanak dan remaja bermain basikal lajak," katanya.
Mohd Nasri berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Modul Pendidikan Keselamatan Jalan Raya Sekolah Rendah Peringkat Negeri Pahang di Sekolah Kebangsaan Bunut Rendang di sini, hari ini.
Modul pendidikan itu mula diperkenalkan pada tahun ini, dengan pendedahan aspek keselamatan jalan raya kepada murid diselitkan dalam subjek Bahasa Melayu untuk tempoh dua jam setiap bulan.
Beliau juga menasihatkan ibu bapa untuk lebih peka dengan perubahan yang dilakukan pada basikal milik anak mereka untuk dijadikan basikal lajak, yang jelas tidak mematuhi undang-undang.
"Penggunaan basikal lajak bukan hanya membahayakan mereka yang menunggangnya, tetapi juga kepada pengguna jalan raya lain kerana berisiko menyebabkan kemalangan yang boleh berakhir dengan kematian," katanya. #sumber

KUANTAN - Seorang penganggur didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menjadi peminjam wang haram atau ‘Ah Long’ dan memiliki senjata.
Liau Kok Leong, 41, yang menggunakan topang ketiak kerana patah kaki kiri, mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali dan Hakim Dazuki Ali.
Di hadapan Siti Aminah, Kok Leong yang berasal dari Kajang, didakwa menawarkan pinjaman kewangan kepada pelanggan, tanpa lesen yang sah di sebuah rumah di Taman Indah, Lorong Air Putih 30 di sini, pada 8.45 pagi, 30 Okt lepas.
Dia dituduh mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang membawa hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Syarifah Nursyuhada Tuan Mamat mencadangkan wang jaminan RM80,000 dengan seorang penjamin namun Liau yang tidak diwakili peguam merayu jumlah itu dikurangkan kerana dia tidak bekerja dan perlu menanggung isteri, seorang anak dan ibu bapa yang sudah tua.
Siti Aminah membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Dis untuk sebutan semula kes.
Di hadapan Dazuki, Liau mengaku tidak bersalah memiliki sebilah parang berukuran 48 sentimeter dan satu buku lima jenis logam berwarna kuning di tempat dan waktu yang sama.
Bagi pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan 1958 (Akta 357) yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
TPR Haryati Abdullah tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh atas faktor keselamatan mangsa yang pernah meminjam wang daripada tertuduh.
Bagaimanapun, Dazuki selepas menimbangkan rayuan tertuduh yang mendakwa menghidap penyakit jantung membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada tarikh yang sama dengan tuduhan kes Ah Long. #sumber

KUALA LUMPUR - Seorang pekerja kontrak yang videonya tular berhubung kejadian membunuh kucing dipercayai bunting dengan memasukkannya ke dalam mesin pengering di sebuah dobi layan diri, hari ini dihukum penjara 34 bulan dan didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Selayang kerana mendatangkan penderitaan ke atas haiwan itu.
Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu terhadap K. Ganesh, 42, selepas mendapati tertuduh bersalah dan setelah pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
“Setelah membuat penilaian maksimum terhadap hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan mahkamah mendapati tertuduh didapati bersalah atas pertuduhan,” katanya dan memerintah tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan penjara empat bulan jika gagal membayar denda itu.
Beliau berkata dalam kes itu, tertuduh adalah individu yang memasukkan kucing dan mengunci mesin pengering pakaian di sebuah dobi.
“Saya harap hukuman ini dapat memberikan pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak menzalimi binatang,” katanya.
Lelaki itu bersama-sama seorang lagi yang telah dituduh didakwa dengan kejamnya atau secara tidak munasabah membuat atau meninggalkan untuk melakukan apa-apa perbuatan menyebabkan kesakitan atau penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap seekor kucing di premis dobi di Taman Gombak Ria, Batu Caves di sini antara 12.54 tengah malam dan 1 pagi, pada 11 Sept 2018.
Pertuduhan mengikut Seksyen 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan mengikut akta tersebut adalah yang pertama dijalankan di negara ini sejak ia berkuat kuasa pada Julai 2017.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor, Roslan Mohd Isa memohon hukuman berat mengambil kira kesalahan yang dilakukan tertuduh telah menjadi tular sehingga menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia.
“Kes ini melibatkan seekor kucing spesies domestik dan kucing ini tidak memberi ancaman kepada tertuduh. Tertuduh langsung tidak menghormati nyawa dan tidak menganggap binatang juga ada hak untuk hidup.
“Kes ini telah didedahkan melalui rakaman dan ditonton oleh masyarakat sehingga menjadi tular dan berasa marah dengan perbuatan tertuduh,” katanya.
Peguam S. Muthuveeran yang mewakili tertuduh memohon supaya anak guamnya dikenakan hukuman penjara dengan alasan anak guamnya tidak mampu membayar denda dan ini merupakan kesalahan pertamanya.
Muthuveeran juga memohon untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi dan mahkamah membenarkan dengan menaikkan jaminan daripada RM12,000 kepada RM20,000.
Pada 12 Sept lepas, mahkamah itu mengarahkan tertuduh untuk membela diri atas pertuduhan itu. Seramai lapan saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh memberi keterangan pada perbicaraan bermula 3 April lepas.
Pada 17 Jan, rakan Ganesh, pemandu teksi A. Mohanraj, 42, dihukum penjara dua tahun selepas menukar pengakuan kepada bersalah atas tuduhan sama manakala seorang lagi S. Satthiya, 27, dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan sama.
Sebelum ini, tular satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan tindakan kejam tiga individu membunuh kucing yang dipercayai bunting dengan cara memasukkannya ke dalam mesin pengering berkenaan.
Perbuatan tidak berperikemanusiaan tersebut kemudian tersebar di media sosial dan menerima kecaman masyarakat sebelum Persatuan Haiwan Malaysia bertindak membuat laporan polis dan mereka ditahan pihak polis. #sumber

KUANTAN - Seorang pembantu kedai makan, terpaksa merengkuk selama tujuh tahun di dalam penjara dan menerima dua sebatan, sebagai hukuman kerana telah menyamun seorang pelajar perempuan, dua bulan lepas.
Hakim Dazuki Ali menjatuhkan hukuman itu ke atas Sheikh Norafzan Abdul Ghani, 31, yang berasal dari Wakaf Bharu, Kelantan, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan perbuatan itu, di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Dalam penghakimannya, Dazuki menasihati tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahannya dan berkata lelaki itu seharusnya berfikir panjang sebelum terlibat dalam jenayah yang boleh membahayakan nyawa orang lain.
"Awak masih bernasib baik kerana tidak menikam mangsa memandangkan awak bersenjata. Jika awak yang disamun, adakah awak marah Atau jika kejadian sama berlaku terhadap adik atau waris awak
"Kesalahan yang dilakukan adalah serius. Saya lihat awak juga bernasib baik kerana mangsa tidak jatuh semasa awak menarik beg sandangnya. Jika mangsa cedera, keadaannya mungkin lebih teruk untuk awak," kata hakim itu yang mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan pada 16 Sept lepas.
Mengikut pertuduhan, Sheikh Norafzan didakwa menyamun Heng Khai Qi, 15, pada 4.00 pagi, 11 Sept lepas di Lorong Indera Mahkota 6/2 di sini, dengan melarikan beg sandang mangsa yang mengandungi wang tunai RM400 dan dua telefon pintar jenama iPhone dan Huawei.
Mangsa, yang ketika kejadian dikatakan baharu pulang dari restoran makanan segera berhampiran, mendakwa kerugian kira-kira RM1,000.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat.
Terdahulu, tertuduh yang berbaju-t hitam serta berseluar jeans biru dan tidak diwakili peguam merayu hukuman terhadapnya diringankan atas alasan perlu menjaga adik-beradiknya memandangkan ibu bapa mereka sudah meninggal dunia.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Haryati Abdullah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana tertuduh menggunakan pisau dan telah mengejar mangsa ketika kejadian itu, selain turut mempunyai rekod kesalahan lampau menceroboh. #sumber
KUANTAN - Seorang suri rumah mendakwa kerugian RM7,500 selepas terpedaya dengan tawaran membeli syiling lama oleh individu tidak dikenali, bulan lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof (foto) berkata mangsa yang berusia 36 tahun itu mendakwa menerima pesanan WhatsApp pada 25 Okt lalu daripada lelaki dikenali sebagai Mr Kaypaul mendakwa mencari syiling lama.
“Mangsa tertarik dengan tawaran harga tinggi menyebabkan dia bersetuju menjual wang lama miliknya pada harga RM5,000 dengan persetujuan bayaran diselesaikan pada hari yang sama.
“Pada 1.26 tengah hari, suspek memaklumkan wang sudah dipindahkan ke akaun mangsa namun mangsa perlu membuat beberapa bayaran sebelum boleh mengeluarkan wang itu kerana melibatkan transaksi luar negara,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mohd Wazir berkata mangsa yang mempercayai dakwaan itu telah memasukkan wang ke dalam empat akaun diberikan suspek sebanyak 20 kali secara beransur-ansur sehingga semalam, yang akhirnya berjumlah RM7,500.
Mangsa bagaimanapun, berasa curiga kerana bayaran yang dijanjikan tidak pernah diterima menyebabkan dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh dekat sini semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pada kes berasingan, impian seorang tukang kebun membesarkan perniagaan menjual perkakas pertanian miliknya tidak kesampaian selepas ditipu oleh syarikat pemberi pinjaman kewangan tidak wujud dalam talian, sehingga kerugian RM20,200.
Mohd Wazir berkata mangsa, 25, yang berasal dari Cameron Highlands dekat sini, mendakwa membaca iklan syarikat itu sekitar Oktober lepas, dan berurusan dengan suspek dikenali sebagai Kent bagi mendapatkan pinjaman sebanyak RM30,000.
“Suspek memberitahu permohonan itu diluluskan serta-merta dengan bayaran balik sebanyak RM780 selama empat tahun, namun mangsa perlu menjelaskan bayaran pentadbiran dan yuran guaman sebelum memperoleh wang pinjaman.
“Mangsa mendakwa hanya menyedari ditipu selepas mengira wang yang telah dibayar semakin hampir dengan jumlah pinjaman menyebabkan dia membuat laporan polis,” katanya. #sumber

KUALA LUMPUR - Malaysia tidak akan berputus asa menjalankan usaha mencari ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low yang kini dalam buruan, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau menegaskan bahawa usaha menjejaki Jho Low tidak akan berhenti dan akan dicari sehingga ke ‘lubang cacing’ sekalipun.
“Susah nak kata (tempoh Jho Low akan dibawa pulang ke Malaysia), tak boleh ramal. Apa pun terserah pada Polis Diraja Malaysia (PDRM), apa kerja mereka buat, kerjasama dengan Interpol (polis antarabangsa), negara yang kita agak (lokasi Jho Low) di situ. Apa pun kena tunggu,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.
Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini pihak berkuasa Malaysia dalam membawa pulang Jho Low, yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sementara itu, ditanya mengenai laporan berhubung kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador tentang kerjasama yang ditawarkan beberapa negara lain kepada Malaysia dalam menjejaki Jho Low, Muhyiddin mengesahkan perkara itu.
“Walaupun ada sikit sebanyak maklumat yang kita dapat tahu di mana dia (Jho Low) berada, walaupun dapat kerjasama dengan Interpol sudah naikkan ‘red flag’ (amaran), tetapi kalau tiada kerjasama negara berkenaan yang mana kita agak Jho Low ada di situ, jadi agak sukar nak ambil tindakan.
“Kita masih berusaha, tak boleh putus asa. Apapun kita nak dia dibawa ke Malaysia hadapi mahkamah dan serah kepada mahkamah tentukan,” katanya.
Terbaharu, Jho Low dilaporkan telah mendapatkan taraf warganegara di negara Mediterranean, Cyprus.
Sementara itu, mengenai kenyataan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Karmaine Sardini berhubung penduduk kampung harus bersyukur dengan harga minyak kelapa sawit, Muhyiddin menjelaskan kenyataan calon PRK itu disalah tafsir.
“Kita harus bersyukur sebagai orang Islam, tetapi apa yang penting adalah apa langkah yang kerajaan mahu buat untuk menyelesaikan masalah itu,” katanya. #sumber