KUALA LUMPUR - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, enggan mengulas mengenai spekulasi beliau akan meninggalkan PKR untuk menyertai parti lain.
Ditemui media malam ini, Zuraida sebaliknya berkata beliau tetap boleh memberikan khidmat "di mana" atau "sebagai apa" sekali pun.
“Kita lihat dulu... saya tak nak buat spekulasi atau sebagainya, (cuma) ia tidak jadi masalah.
“Saya boleh berkhidmat walau (sebagai) apa pun sahaja, bila-bila masa dan di mana saja saya berada. Ia tak masalah kepada saya,” katanya selepas menghadiri majlis anugerah perkhidmatan cemerlang Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Putrajaya hari ini.
Sebanyak 156 anugerah diberikan kepada kakitangan dan juga 14 pesara kementerian itu bagi mengiktiraf sumbangan mereka.
Terdahulu ahli parlimen Ampang itu ditanya mengenai kemungkinan dikenakan tindakan disiplin oleh PKR serta khabar angin mendakwa beliau akan menyertai parti lain ekoran krisis dalaman yang dialami parti itu.
Sebelum ini pernah tular suatu imej memaparkan borang keahlian parti Bersatu yang tertera nama Zuraida, namun beliau menafikannya.
Baca 'Saya di landasan benar, tak terlintas masuk parti lain'
Sementara itu, ditanya mengenai suratnya memohon bercuti daripada tugas sebagai naib presiden PKR, Zuraida menjelaskan bahawa terdapat sebab mengapa beliau bertindak sedemikian.
Kata Zuraida, dia berbuat demikian kerana tidak mahu mempengaruhi keputusan Biro Politik PKR yang menyiasat aduan yang dikenakan ke atasnya.
Menurut Zuraida, mengikut prosedur, laporan lembaga disiplin akan dibentangkan dalam mesyuarat biro politik, sedangkan pada masa sama beliau adalah sebahagian daripada anggota biro berkenaan.
"Justeru, lebih profesional kalau saya ambil keputusan berehat.
“[..] Biar mereka buat keputusan, saya tak nak mempengaruhi keputusan biropolitik,” katanya.
Untuk rekod, mesyuarat Biro Politik PKR hari ini sudah meluluskan permohonan Zuraida.
Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang, dipetik sebagai berkata, anggota biro berkenaan sebulat suara menerima permohonan tersebut. #sumber
KUANTAN - Tulisan jawi adalah satu medium komunikasi terbaik kepada umat Islam untuk mudah celik dalam bacaan al-Quran.
Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah bertitah, jika seseorang itu tidak dapat membaca tulisan jawi ia pasti boleh membawa kegagalan dalam membaca al-Quran.
Titahnya, menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memastikan tulisan jawi terus ada dan menjadi alat komunikasi kepada masyarakat.
"Maka kita sebagai umat Islam perlu terus memelihara dan memartabatkan tulisan ini agar ia tidak ditelan zaman.
"Ini kerana tulisan jawi memainkan peranan yang sangat penting dalam perkembangan Islam di alam Melayu," titahnya.
Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama isteri, Datin Seri Burhah Mohamed; Exco Hal Ehwal Agama Pelajaran dan Kesihatan, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.
Tengku Hassanal menyampaikan hadiah kepada juara tilawah al-quran, Norhanani pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Pahang kali ke-16 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah malam tadi.
Tengku Hassanal menyampaikan hadiah kepada juara tilawah al-quran, Norhanani pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Pahang kali ke-16 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah malam tadi.
Seramai 30 peserta telah menyertai Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Pahang kali ke-16 yang dimenangi Qari, Mohamad Syaheed Sabri dan Qariah, Norhanani Ayob.
Dalam pada itu, Tengku Hassanal mengingatkan semua umat Islam berpegang teguh pada ajaran Islam, perintah dan larangan yang terkandung dalam al-Quran.
Baginda juga mahu Kitab suci ALLAH itu dijadikan sumber rujukan dalam menyelesaikan masalah kehidupan.
"Jangan sesekali kita hanya mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain demi kepentingan diri serta kumpulan politik semata-mata," katanya.
Tengku Hassanal turut bertitah, supaya semua umat Islam melazimi bacaan al-Quran pada setiap hari secara istiqamah.
Titahnya lagi, ibu bapa dan majikan perlu membudayakan amalan di rumah dan di tempat kerja.
"Elak malu untuk belajar al-Quran, jika tidak pandai dan manfaatkan teknologi dengan memuat naik perisian al-Quran dalam telefon bimbit," titahnya. #sumber
KUALA LUMPUR- Saranan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), akan dikaji oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dalam masa terdekat.
KPM dalam satu kenyataan menyebut bahawa sambil mengambil baik saranan itu, kajian yang dilakukan akan dibawa kepada pertimbangan Jemaah Menteri sebelum pelaksanaannya
“Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris bukanlah perkara yang baharu dalam sistem pendidikan kebangsaan.
"Walaupun KPM telah memansuhkannya secara berperingkat-peringkat mulai tahun 2012, namun Program Dwibahasa (DLP) yang diperkenalkan pada tahun 2016 tetap memberi pilihan kepada sekolah untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.
"Sehingga Januari 2020, sebanyak 2,292 sekolah di seluruh negara telah melaksanakan DLP," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu juga menyebut bahawa Dr Mahathir merangkap pemangku Menteri Pendidikan telah menyatakan pandangan beliau berhubung kepentingan murid mempelajari mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.
Pandangan itu dilontarkan Dr Mahathir dalam sesi pertemuan dengan pengurusan tertinggi KPM pada 30 Januari 2020.
“Dr Mahathir berpendirian bahawa pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris adalah amat penting kerana pengetahuan serta bahan rujukan bagi kedua-dua mata pelajaran tersebut banyak diterbitkan dalam bahasa Inggeris,” menurut kenyataan itu.
Dr Mahathir hari ini dilaporkan sebagai berkata bahawa kerajaan masih menimbang sama ada untuk melaksanakan semula PPSMI dan keputusannya akan dibuat mengikut pendapat majoriti anggota Kabinet.
GOMBAK - Penerima Anugerah Sastera Negara ke-14, Profesor Dr Siti Zainon Ismail menyifatkan pengumuman Perdana Menteri yang juga pemangku Menteri Pendidikan, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai pelaksanaan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris sebagai satu 'jenaka'.
Beliau bagaimanapun berkata, rakyat di negara ini seharusnya berani menyuarakan pandangan mereka mengenai isu tersebut.
"Saya menganggap ini sebagai jenaka beliau. Saya pernah menjadi pengiring beliau semasa di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Dr Mahathir pernah komen katanya beliau malu datang ke DBP sebab bahasa Melayunya bahasa kampung (bahasa daerah).
"Maksudnya bahasa daerah itu menjadikan beliau tergugat dan anda juga tergugat. Bahasa daerah perlu diteruskan, orang Kelantan dengan dialeknya.
"Tapi apabila dalam majlis formal kita gunakanlah bahasa rasmi. Beliau (Dr Mahathir) cakap bahasa Melayu fasih. Dia buat 'joke' ketika itu. Sebab di DBP guna bahasa formal, tidak ada dialek Kelantan, Pulau Pinang..ini jenaka beliaulah ni," katanya.
Beliau berkata demikian selepas sidang media khas Isu PPSMI oleh Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) di pejabat Sekretariat Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di sini hari ini.
Siti Zainon berkata, rakyat tidak perlu gusar dan biarkan Perdana Menteri mengeluarkan pandangannya mengenai pelaksanaan PPSMI.
"Beliau sudah pangkat datuk dan berusia 90-an. Tapi tidak mengapa. Kita kena berani bersuara," katanya. #sumber
KUANTAN - Kira-kira 70 pekebun dari Lembah Bertam, Cameron Highlands merayu Kerajaan Pahang mempertimbangkan semula notis pengosongan kebun di atas tanah kerajaan, sebaliknya meminta pihak terlibat membuka ruang penyelesaian dengan mengambil kira kepentingan kedua-dua pihak.
Memorandum rayuan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut diserahkan dan diterima Setiausaha Menteri Besar, Nordin Ibrahim kira-kira jam 9 pagi tadi.
Wakil Pekebun, Khor See Keat berkata, notis dari Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang diterima pihaknya pada 10 Januari lalu kerana menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran pihak berkuasa negeri, namun menyifatkan tindakan itu sukar dibuat walaupun diberi masa 30 hari berikutan tempohnya terlalu singkat, sedangkan jangkaan tuaian hasil kebun untuk musim ini kira-kira enam bulan lagi.
"Sekiranya lanjutan tempoh tidak diberikan, kami akan mengalami kerugian mencecah ratusan ribu selain hilang mata pencarian.
"Justeru hari ini, kami datang ke sini (Wisma Sri Pahang) untuk menyerahkan memorandum rayuan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail agar mempertimbangkan semula arahan notis yang dikeluarkan sebelum ini," katanya ketika ditemui di luar pekarangan Wisma Sri Pahang di sini.
Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri Teruntum, Sim Chon Siang dan 45 wakil pekebun terlibat.
See Keat berkata, dia yang merupakan generasi ketiga mengusahakan kebun di kawasan itu merayu kerajaan negeri melanjutkan tempoh enam bulan lagi supaya mereka dapat menuai hasil sebelum mengosongkan kebun yang kini ditanam dengan pelbagai jenis sayuran dan bunga.
Sementara itu, seorang lagi wakil pekebun, Tan Kok Khiang turut berharap sesi dialog dapat diadakan antara pekebun dan wakil kerajaan Pahang bagi membincangkan permasalahan itu.
Katanya, pihak pekebun juga merayu agar jarak pengambilan tanah rezab jalan bagi kebun-kebun terlibat dikaji semula kerana berdasarkan penguatkuasaan sedia ada kini, jarak itu agak luas dan menjejaskan keluasan tapak kebun sesetengah pekebun terlibat.
"Kami mencadangkan agar dilakukan proses penempatan semula secara teratur kepada pekebun terlibat ke lokasi baharu atas cadangan kerajaan negeri di kawasan berdekatan agar kami dapat meneruskan aktiviti ini," katanya.
Sementara itu, Chon Siang berharap kerajaan negeri mempertimbangkan dan mengambil kira rayuan pekebun tersebut.
Beliau tidak menghalang langkah diambil kerajaan negeri itu, namun berharap kerajaan negeri menggunakan budi bicara dengan melihat isu tersebut dari pelbagai sudut demi kepentingan rakyat.
"Kawasan terlibat belum ada perancangan pembangunan dalam masa terdekat, justeru wajar agar tempoh pengosongan itu dilanjutkan supaya hasil tanaman mereka sempat dituai," katanya.
Pada 16 Januari lalu, Ops Lestari 2 dilancarkan bagi menggempur aktiviti penerokaan tanah secara haram di kawasan tadahan air Kuala Terla, Sungai Ichat di Cameron Highlands.
Tindakan penguatkuasaan dijalankan Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands dibantu beberapa agensi termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu merupakan kesinambungan kepada Op Lestari sebelum ini.
Usaha itu bagi memulihkan sumber air mentah terutamanya Sungai Ichat yang tercemar teruk akibat penerokaan tanah secara haram bagi tujuan pertanian. #sumber
JERANTUT - Fenomena ratusan burung hijrah yang menjadikan kawasan sawah padi di Kampung Gintong, di sini sebagai lokasi persinggahan sejak minggu lalu menimbulkan persoalan dalam kalangan penduduk kampung itu yang pertama kali berdepan situasi berkenaan.
Burung berkenaan memenuhi kawasan sawah padi tersebut dari awal pagi hingga Maghrib, sebelum hinggap di dahan pokok berhampiran pada waktu malam.
Seorang penduduk, Taufik Mansor, 45, berkata, kehadiran spesies tersebut di kawasan berkenaan dilihat kian bertambah berbanding minggu lalu dan dianggarkan kira-kira 600 ekor memenuhi kawasan dan berterbangan di sekitar kawasan sawah padi sehingga menimbulkan suasana unik.
"Kawasan sawah padi ini kini seperti pesta bila penduduk kampung dan orang luar mula datang ke kawasan sawah padi untuk melihat pemandangan tersebut, selain mengambil gambar sebagai kenangan.
"Sebelum kehadiran burung hijrah ini, hanya kelihatan beberapa ekor burung bangau berwarna putih mencari ikan atau siput di kawasan sawah padi itu. Burung ini seperti bangau juga cuma bersaiz lebih besar dan warnanya tidak putih sepenuhnya dan berwarna hitam di bahagian ekornya," ujarnya.
Menurutnya, burung-burung terbabit dipercayai berada di kawasan berkenaan untuk mencari makanan sebelum terbang ke kawasan lain.
Rakannya, Mohd Hanafiah Che Tengah, 46, berkata, pada awalnya penduduk menyangka kehadiran burung yang berterbangan itu ialah spesies helang yang hendak mencari anak ayam.
“Bagaimanapun, sebaik burung-burung itu turun ke sawah, ia kelihatan seperti bangau tetapi lebih besar, selain mempunyai kaki dan paruh lebih panjang.
"Pada waktu siang, burung itu dapat dilihat berada di kawasan berair untuk mencari ikan selain hinggap di pokok berdekatan dan kelihatan tidak ganas atau mengganggu penduduk,” katanya.
Mohd Hanafiah turut berkongsi maklumat mengenai pembacaannya di media bahawa burung berkenaan berasal dari India dan Bangladesh serta pernah berada di beberapa lokasi di Malaysia sebelum ini.
Fenomena ratusan burung hijrah menjadikan kawasan sawah padi di Kampung Gintong, di sini sebagai lokasi persinggahan sejak minggu lalu. #sumber
SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim sedia menunggu enam bulan lagi sebelum mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.Beliau juga yakin akan beroleh sokongan yang mencukupi di Parlimen bagi perkara itu.
Dalam satu wawancara bersama Reuters, Anwar dilaporkan berkata, tempoh enam bulan tidak menjadi masalah baginya setelah beliau sudah menunggu selama dua dekad.
“Sudah menunggu selama 20 tahun, lanjutan enam bulan lagi bukan satu masalah.
“Jika ada permintaan untuk kembali ke Parlimen, sudah pasti ia boleh dilakukan, namun PH memiliki kuasa majoriti ketika ini. Walaupun bukan ahli PH, sebahagiannya akan menyokong Perdana Menteri.
“Saya juga diberi jaminan itu. Mereka menyokong Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, dan akan meneruskan sokongan itu apabila saya dilantik,” katanya.
Dr Mahathir sebelum ini berjanji untuk menyerahkan portfolio Perdana Menteri kepada Anwar dalam tempoh dua tahun selepas pilihan raya, namun mengubah pendirian untuk kekal sebagai Perdana Menteri, sekurang-kurangnya hingga November ini, bagi menganjurkan sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).
Wawancara itu, juga melaporkan bahawa Anwar bersedia melupakan kisah silam yang pahit dan sanggup memberi ruang kepada Dr Mahathir untuk terus memberi sumbangan kepada negara walaupun selepasnya dilantik menjadi Perdana Menteri.
Beliau berkata, kehadiran Dr Mahathir akan membantu meningkatkan keyakinan ramai dan menyumbang kepada kestabilan serta keamanan negara.
“Tidak akan wujud sebarang perbezaan ketara dalam dasar politik. Akan wujud penekanan berbeza, namun atas kapasiti peribadi, saya mengalu-alukan kehadiran dan sumbangan beliau dalam apa jua cara," katanya.
Dalam masa sama, Anwar juga memberitahu, akan berusaha memulihkan hubungan antara India dan Malaysia yang terjejas susulan kritikan Dr Mahathir berhubung dua dasar baharu dilaksanakan New Delhi, yang menjejaskan dagangan minyak sawit antara kedua-dua negara. #sumber
KUANTAN - Sebanyak 60,000 swab alkohol dan 3,000 topeng muka akan diedarkan secara percuma kepada warga Kuantan pada Ahad ini.
Inisiatif tersebut dibuat oleh Just Pharmacy di Jalan Dato' Lim Hoe Lek di sini sebagai tanggungjawab sosial bagi mengelak penularan wabak koronavirus.
Ahli Farmasi, Esther Fong berkata, pihaknya mahu membantu masyarakat demi kesihatan dan keselamatan dengan mengetepikan keuntungan.
"Pada masa ini kami mendapati banyak lokasi kekurangan stok sehingga ada kedai yang mengambil keselamatan.
"Masyarakat dinasihatkan tidak panik. Jika tiada topeng muka dan pembersih tangan, boleh guna swab alkohol atau amalkan langkah pembersihan yang maksima.
"Selain itu boleh juga meningkatkan sistem imunisasi tubuh dengan mengambil banyak vitamin C," katanya.
Dengan peruntukan 60,000 swab alkohol itu dijangka dapat diberikan kepada 15,000 orang penerima manakala topeng muka terhad kepada 3,000 keping sahaja.
Edaran bermula jam 9.30 pagi sehingga habis atau sehingga jam 10 malam.
Esther berharap, peniaga tidak mengambil kesempatan dengan menjual topeng muka dan sanitizer pada harga yang tidak munasabah sehingga membebankan pengguna. #sumber
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi pada Khamis meminta bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meninggalkan mahkamah yang sedang mendengar perbicaraan berhubung kes rasuah melibatkan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.
Najib, 67, yang memakai kemeja merah berlengan pendek ketika itu sedang duduk di galeri awam di belakang Rosmah yang berada di tempat duduk tertuduh pada pukul 10.30 pagi semasa saksi pendakwaan memberikan keterangannya.
Kehadiran Najib disedari oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib yang kemudiannya memaklumkan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.
“Semasa siasatan, MACC (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia-SPRM) telah merekodkan keterangan Datuk Seri Najib. Ada kemungkinan dia boleh menjadi saksi, dan saya rasa tidak sesuai baginya untuk berada di sini,” kata Ahmad Akram.
Peguam Rosmah, Datuk Jagjit Singh kemudiannya memberitahu Najib hadir di mahkamah bagi menyokong isterinya.
“Namanya tidak ada dalam senarai saksi yang akan dipanggil oleh pihak pendakwa,” katanya.
Hakim Mohamed Zaini kemudiannya memberitahu Najib yang dia perlu meninggalkan mahkamah, dan berkata “sebagai langkah berwaspada, boleh saya minta anda meninggalkan mahkamah?”
Najib dilihat menganggukkan kepala sebelum berjalan meninggalkan mahkamah.
Rosmah, 68, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, menerusi bekas pembantu Rosmah iaitu Datuk Rizal Mansor bagi projek membekalkan tenaga solar kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di tiga tempat berasingan iaitu Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 dan 7 Sept, 2017. #sumber
KUANTAN - Enam penyelaras Parlimen dan 11 Pengerusi Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah Negeri Pahang dilantik berkuatkuasa 30 Januari lalu.
Pelantikan tersebut atas arahan Jemaah Menteri pada 9 Januari 2020.
Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPN) Pahang, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pelantikan Penyelaras Parlimen itu bagi kawasan Parlimen yang dimenangi Barisan Nasional (BN) pada Pilihanraya Umum ke 14.
Menurutnya, M Manogaran dari DAP dilantik sebagai Penyelaras Parlimen Cameron Highlands manakala Datuk Badarudin Abd Rahman (Bersatu) bagi Parlimen Lipis.
Sementara itu katanya, Wan Mohd Shaharir Wan Abd Jalil (Bersatu) dilantik bagi Parlimen Jerantut dan Mohamad Rafidee Hassan (Bersatu) sebagai Penyelaras Parlimen Kuala Krau.
"Zakaria Abd Hamid dari PKR dilantik Penyelaras Parlimen Bera dan Sitarunisah Ab Kadir (PKR) bagi Parlimen Rompin.
"Penyelaras Parlimen bagi kawasan Parlimen Pekan, Paya Besar dan Maran akan dilaksanakan kemudian," katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Saifuddin berkata, bagi Pengerusi Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah untuk 11 daerah di negeri ini, lapan dilantik dalam kalangan ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Pengarah Pembangunan Negeri dan Timbalan Pengarah Pembangunan Negeri.
Beliau yang juga Menteri Luar Negeri dan Ahli Parlimen Kuantan menerajui jawatankuasa itu bagi daerah Kuantan manakala Timbalan Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Mohd Anuar Mohd Tahir dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah Temerloh," katanya.
Menurut beliau, Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack dilantik menerajui Bentong, Pengarah Pembangunan Negeri Pahang, Datuk Zulkifli Yaacob (Maran, Jerantut dan Lipis ), Timbalan Pengarah Pembangunan Negeri Pahang, Noorzila Manaf (Pekan dan Rompin), ADUN Triang, Leong Yu Man (Bera), Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Raja Puji (Raub) dan ADUN Tanah Rata, Chiong Yoke Kong ( Cameron Highlands). #sumber
KLANG - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) masih belum dimuktamadkan.
Beliau berkata, ia berikutan perbincangan berhubung perlaksanaannya masih di peringkat awal.
"Perkara itu masih dalam perbincangan awal, keputusan masih belum dimuktamadkan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran Persatuan Hokkien Klang di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pelaksanaan dasar itu.
Perdana Menteri semasa mesyuarat khas bersama Kumpulan Pengurusan Kementerian Pendidikan Malaysia di Putrajaya Jumaat lepas menekankan tentang perlunya menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik.
Dr Mahathir yang juga pemangku Menteri Pendidikan berkata ini adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris dan penguasaan bahasa itu dalam sistem pendidikan negara. #sumber
KUALA TERENGGANU - Pas mencadangkan agar undi tidak percaya dilakukan terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekiranya masih ada desakan daripada pihak-pihak tertentu supaya beliau meletakkan jawatan.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sekiranya diberi pilihan, undi tidak percaya adalah lebih baik berbanding desakan agar Dr Mahathir mengundur diri kerana ia lebih demokratik.
Bagaimanapun, beliau mengulangi pendiriannya untuk tetap menyokong kepimpinan Dr Mahathir, seterusnya memimpin sehingga habis penggal.
"Demokrasi ini macam-macam, antaranya Perdana Menteri meletakkan jawatan dan digantikan orang lain, yang keduanya membuat undi tidak percaya di Parlimen. Pihak yang nak sangat (tukar Perdana Menteri), buat undi tidak percayalah. Itu yang paling cepat.
"Bagi saya, baik pilih undi tidak percaya, tidak menyusahkan rakyat sangat. Tukar ini susah, berlawan rakyat dengan polis (kesan desakan), tak pasal-pasal rakyat berlawan dengan polis.
"Tapi sekiranya berlaku undi tidak percaya, kita masih lagi akan mempertahankan Dr Mahathir. Melihat suasana sekarang, kita masih perlukan beliau," katanya di sini hari ini.
Turut hadir, Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat.
Abdul Hadi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desas-desus akan ada satu perhimpunan pada pertengahan bulan ini bagi mendesak Dr Mahathir meletak jawatan.
Sebelum itu, Abdul Hadi menyertai Diskusi Tokoh Bicara 'Demi Perpaduan' sempena Konvensyen Wanita Muda Se-Malaysia yang diadakan di Stadium Negeri di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak berkenaan perlu sedar bahawa Pakatan Harapan (PH) menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana Dr Mahathir.
"Sebelum ini mereka tonjolkan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi tidak berjaya tetapi apabila mereka tonjolkan Dr Mahathir, PH dapat mengambil alih kerajaan.
"Moral demokrasi itu salah (tukar orang lain). Walaupun kita tidak bersetuju dengan kerajaan, pilihan raya sudah berlaku.
"Tapi kita ada proses demokrasi iaitu undi tidak percaya. Itu lebih mudah," katanya. #sumber
SHAH ALAM - Pemuda UMNO akan memulakan prosedur saman terhadap Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman apabila menuduh UMNO terbabit dalam kejadian serangan sekumpulan individu di Ulu Tiram, Johor malam tadi.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, laporan polis akan dibuat Pemuda UMNO Johor pada petang ini berhubung tuduhan palsu Syed Saddiq yang juga ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Melampau kamu wahai Syed Saddiq! Kamu bergaduh sama sendiri musim pemilihan Armada, kamu tuduh UMNO yang cetuskan.
“Kalau berani buat laporan polis dan tulis terang-terang tuduhan kamu seperti dalam Facebook ini. Mudah kami Pemuda UMNO menyaman kamu buat laporan palsu.
“Sudahlah kes dengan Saudara Azri Papagomo dulu kamu tuduh beliau mencekik leher sehingga tisu terkoyak masih berjalan di mahkamah. Tunggulah pula saman kedua jika kamu terus menuduh UMNO yang menyebabkan kamu lompat pagar malam tadi,” katanya di laman Facebook hari ini.
Asyraf berkata demikian dengan memuat naik tangkap layar kenyataan Syed Saddiq di media sosial itu dengan tuduhan mengesyaki penglibatan UMNO dalam kejadian tersebut.
Dalam kenyataannya, Syed Saddiq memberitahu bahawa Armada turut membuat laporan polis terhadap sekumpulan individu yang sengaja mencetuskan huru-hara pada majlis pertemuan sayap parti itu di sebuah resort di Ulu Tiram, Johor malam tadi.
“Mereka disyaki daripada pihak pembangkang iaitu UMNO yang sengaja datang untuk mengganggu program kami. Namun tindakan mereka sangat ganas dan merbahaya,” katanya. #sumber
KUANTAN - Projek pembinaan tapak kemudahan pelupusan kekal (PDF) untuk sisa Water Leached Purification (WLP) Lynas Corporation yang diluluskan di Bukit Ketam dikhuatiri boleh menjejaskan kualiti air yang digunakan hampir 600,000 penduduk di daerah ini.
Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, keputusan kerajaan Pahang yang bersetuju dengan tapak tersebut mengecewakan pihaknya.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang keputusan sepatutnya perlu melalui Kajian Impak Alam Sekitar (DEIA), apatah lagi kedudukannya berhampiran Felda Bukit Kuantan.
"Felda Bukit Kuantan ialah kawasan tadahan air untuk Sungai Kuantan dan titik pengambilan air untuk loji rawatan Semambu yang terletak di hilir Sungai Kuantan. Loji itu memproses air minuman untuk 600,000 penduduk Kuantan.
"Saya ingin mengingatkan Lynas, perkara ini perlu Kajian Impak Alam Sekitar (DEIA). Dahulu Lynas pernah mendakwa mereka memperoleh kelulusan SIRIM (Institut Penyelidikan Standard Dan Industri Malaysia) untuk condisoil (produk perapi tanah), namun itu ternyata tidak benar sama sekali," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Semalam, pelombong nadir bumi Lynas Corporation mengesahkan kerajaan Pahang meluluskan pembinaan tapak pelupusan sisa operasi pengeluarannya di kawasan terpencil di Bukit Ketam, Pahang.
Syarikat itu berkata, tapak tersebut akan digunakan untuk melupuskan sisa WLP berdasarkan prosedur awal yang dijalankan pihaknya dan para perunding serta menjangkakan tapak itu sesuai sebagai lokasi PDF.
Selain kedudukannya berhampiran dengan Felda Bukit Kuantan, ia turut bersempadan dengan Terengganu dan terletak kira kira 30 kilometer ke arah utara.
Terdahulu, pengumuman berhubung kelulusan tapak tersebut dibuat susulan keputusan kontroversi Kabinet tahun lepas untuk membolehkan Lynas Malaysia meneroka PDF sebagaimana diumumkan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia tidak boleh memaksa Lynas meninggalkan Malaysia selepas mengundangnya untuk melabur di negara ini hanya kerana sesetengah orang tidak mahu menerima kajian pakar. #sumber
KUANTAN - Seorang peniaga berputih mata apabila menerima cek tendang daripada rakan sendiri melibatkan urusan jual beli motosikal sehingga mengalami kerugian sebanyak RM252,800.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek yang membeli beberapa buah motosikal dari kedai mangsa bukan sahaja gagal dihubungi, malah turut menghilangkan diri.
"Mangsa berurusan dengan suspek sejak 2015 dalam urusan jual beli motosikal dan pada awal Januari lalu, suspek ada membeli motosikal dari kedainya dan mangsa juga turut menjual motosikal pelbagai model kepada lelaki itu.
"Suspek kemudian membuat bayaran menggunakan cek secara berperingkat dengan jumlah keseluruhan RM222,000," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pada 25 Januari lalu, mangsa memasukkan salah satu cek diterima daripada suspek bernilai RM30,000 ke dalam akaun bank atas nama syarikat, namun dimaklumkan cek itu gagal ditunaikan kerana tiada wang dalam akaun bank.
"Keadaan itu menyebabkan mangsa terpaksa menanggung kerugian apabila kesemua 30 buah motosikal yang dibeli suspek gagal dijual dan mangsa yang berasa ditipu kemudian tampil membuat laporan polis
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya. #sumber
JOHOR BAHRU - Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata satu laporan polis telah dibuat berhubung tindakan sekumpulan lelaki yang dengan sengaja mencetuskan kekacauan di program Rapat Umum Armada Johor, di Ulu Tiram, di sini, malam tadi.
Menerusi laman Facebook, beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata ketika program dijalankan, ada satu kumpulan individu yang tidak dikenali yang datang dan mencetuskan huru-hara.
Beliau berkata kumpulan itu disyaki daripada pihak pembangkang yang sengaja datang untuk menganggu program, namun tindakan mereka sangat ganas dan berbahaya.
"Mereka melemparkan kata-kata kesat, memaki hamun dan menghalau kami semua. Kami telah membuat laporan polis mengenai perkara ini. Kami juga ada mempunyai rakaman video wajah-wajah mereka yang terlibat untuk dijadikan bahan bukti,” katanya dan menambah pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya untuk membantu pihak polis menjalankan siasatan.
Menurut Syed Saddiq, Armada ingin menyatakan dengan tegas bahawa pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan yang sangat kotor, jahat dan tidak berdemokratik seperti itu.
Beberapa media sebelum ini melaporkan tindakan kumpulan itu yang terdiri daripada hampir 200 orang yang memakai kemeja-T berwarna merah atau hitam, menyebabkan Syed Saddiq serta beberapa orang terpaksa beredar dari situ menerusi jalan belakang. #sumber
KUALA LUMPUR - Bekas timbalan menteri pendidikan, P Kamalanthan memuji tindakan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mengembalikan semula pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.
Kamalanathan berkata ia merupakan satu langkah ke hadapan, bagi memastikan pelajar dilengkapi dengan kemahiran untuk berjaya.
Bagaimanapun, Kamalanathan mengingatkan kerajaan bahawa langkah tersebut sebelum ini pernah berhadapan halangan sehingga pelaksanaannya dibatalkan.
Kamalanthan berkata masalah kekurangan tenaga pengajar yang mahir dalam berbahasa Inggeris juga merupakan masalah utama untuk memastikan subjek tersebut dapat diajar dengan lebih berkesan.
"Kita tidak boleh buatkan guru bahasa Inggeris yang mengajar Matematik dan Sains tetapi guru berkelulusan sains dan matematik yang mengajar dengan baik dalam bahasa Inggeris," katanya dalam satu kenyataan.
Lantaran itu, Kamalanathan memberi amaran berhubung langkah untuk mempercepatkan dasar tersebut.
"Antara sebab kenapa dasar itu ditukar ketika kali pertama dilaksanakan perlu dikaji dengan mendalam dan dasar tersebut hanya boleh dilaksanakan apabila semua kelemahan serta jurang dapat diatasi," katanya.
Dalam kenyataan yang sama, beliau juga berkata penglibatan yang komprehensif dan mendalam perlu dilakukan bersama pihak berkepentingan.
Menurutnya, ini untuk memastikan pihak berkepentingan melihat kepentingan serta kaitan dasar dan melakukan perubahan tersebut.
"Ini juga akan menjadi kunci dalam membuat dasar itu berjaya.
"Langkah-langkah ini mengambil masa dan kementerian perlu diberikan masa yang bijak untuk menilai secara komprehensif dan menyeluruh, menganalisis dan menyelesaikan semua isu supaya dasar itu tidak ditarik semula," katanya.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan Mahathir yang juga pemangku menteri pendidikan berkata beliau sekali lagi mahu pengajaran sains dan matematik dilaksanakan dalam bahasa Inggeris.
Bercakap pada mesyuarat khas di kementeriannya semalam, Mahathir berkata penguasaan bahasa Inggeris adalah elemen penting dalam pendidikan.
Mahathir memperkenalkan program pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2003 semasa penggal pertamanya sebagai perdana menteri.
Namun, dasar itu tidak popular, termasuk di kalangan parti pembangkang ketika itu seperti PKR.
PPSMI kemudian dibatalkan pada 2011.
Menurut menteri pendidikan ketika itu, Muhyiddin Yassin, program berkenaan menyaksikan ramai pelajar di luar bandar terkandas dalam sains dan matematik.
Bagaimanapun, ini dipertikaikan oleh beberapa pihak, yang mendakwa keputusan berkenaan telah bertambah baik di bawah PPSMI.
Pada tahun 2016, kerajaan memperkenalkan pula Program Dwi-Bahasa, di mana sekolah-sekolah tertentu mempunyai pilihan sama ada untuk mengajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. #sumber
JOHOR BAHRU - Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa dirinya bersama beberapa pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor diserang sekumpulan individu ketika menghadiri perjumpaan di Savanah Hill Resort, Ulu Tiram di sini malam tadi.
Beliau yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu dalam satu kenyataan di akaun Instagram miliknya malam tadi memberitahu, pertemuannya bersama ahli Armada dan Srikandi Bersatu Johor itu turut dicemari dengan laungan kata-kata kesat dan perbuatan tidak beradab.
“Malam ini diganggu sekumpulan individu (sekitar 200 orang) yang datang tidak dijemput. Mereka semua berdiri keliling berpakaian hitam datang ke majlis kami. Gengster dan tidak hormat orang.
“Mereka semua berdiri mengepung tempat makan kami, sergah dan langgar semua tetamu yang hadir. Mereka laung dan pekik macam-macam kata-kata kesat, ibu bapa saya juga jadi saksi malam ini.
“Ini apa? ada anak-anak kecil, wanita dalam majlis. Paling teruk mereka sergah supaya menteri minta maaf kepada TMJ (Tunku Mahkota Johor) kalau mahu pulang dari majlis. Apa yang berlaku saya pun tidak tahu. Yang saya tahu ini biadab dan kurang ajar. Apa salah saya? Saya berkhidmat untuk rakyat,” katanya menerusi kenyataan berkenaan.
Syed Saddiq berkata, keadaan berkenaan turut mengakibatkan dirinya terpaksa keluar melalui jalan belakang resort berkenaan kerana bimbang keselamatan diri.
“Lebih teruk, keselamatan semua yang hadir. Bayangkan dikepung lebih 200 individu lagak seperti gengster. Saya sendiri, YB Rafiq, YB Mazlan dan lain terpaksa lari guna jalan tikus dan lompat pagar. Lari seperti orang salah.
“Terima kasih Armada Johor, terima kasih Bersatu Johor. Malam ini adalah malam keluarga Armada dan Bersatu. Saya tidak akan maafkan kumpulan yang biadab ini,” katanya.
Ahli Parlimen Muar itu turut mengingatkan kepada mereka yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu bahawa negara mempunyai undang-undang dan tiada sesiapa yang lebih tinggi daripada perlembagaan. #sumber
PUTRAJAYA - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Kampung Baru, yang juga merupakan ikon di Kuala Lumpur, dibangunkan serta dimajukan seiring dengan pembangunan pesat Kuala Lumpur, dengan mengambil kira keutamaan hak dan kepentingan orang Melayu.
Dalam titahnya pada istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan 2020 di Istana Melawati di sini hari ini, Seri Paduka memaklumkan kerajaan sedang berusaha untuk membangunkan semula Kampung Baru menerusi pelan pembangunan yang telah dirangka dengan teliti.
Seri Paduka dalam titahnya menyuarakan harapan agar pembangunan semula Kampung Baru dapat direalisasikan dengan mengambil kira keutamaan hak dan kepentingan orang Melayu memandangkan Kampung Baru merupakan simbol penempatan orang Melayu di Kuala Lumpur.
Seri Paduka bertitah baginda telah disembah maklum bahawa rancangan pembangunan semula Kampung Baru adalah untuk memperkasakan masyarakat Melayu di Kuala Lumpur.
"Menerusi pembangunan semula ini, hak milik tanah akan kekal kepada orang Melayu. Selain itu warisan seni bina dan budaya Melayu akan terus kekal dan diperkasakan," titah Seri Paduka.
Dalam titahnya, Seri Paduka menzahirkan rasa amat gembira dan bersyukur melihat usaha dan komitmen kerajaan dalam membangunkan Wilayah Persekutuan.
Titahnya pelbagai aktiviti dan inisiatif telah dilaksanakan secara berterusan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan melibatkan penyertaan pelbagai kategori kumpulan sasar khususnya rakyat dari kumpulan B40, yang bertujuan untuk menjaga kebajikan rakyat, meringankan kos sara hidup dan menaikkan taraf hidup rakyat.
Antara inisiatif yang dilihat memberikan impak secara terus kepada rakyat adalah perkhidmatan bas percuma Go-KL, pemilikan rumah kepada golongan asnaf serta kemudahan penginapan dengan kadar sewaan yang rendah bagi golongan B40 yang berstatus bujang yang baru berhijrah mencari rezeki di ibu kota Kuala Lumpur.
"Beta berharap inisiatif dan program yang dilaksanakan oleh kerajaan akan dapat dinikmati oleh rakyat Wilayah Persekutuan sekaliannya, tanpa mengira bangsa mahupun agama," titahnya.
Al-Sultan Abdullah turut bertitah agar pembangunan sukan tidak dilupakan kerana ia merupakan wadah terbaik dalam menyatukan dan menyihatkan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama.
"Beta berharap agar program-program sukan di Wilayah Persekutuan terus diperkasa dan lebih ramai atlet daripada Wilayah Persekutuan dapat dilahirkan untuk mengharum nama negara di persada antarabangsa," titah Seri Paduka.
Turut hadir di majulis hari ini ialah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.
Seri Paduka turut menitahkan para penerima darjah kebesaran bintang dan pingat Wilayah Persekutuan untuk menjaga maruah, integriti dan nama baik diri bagi mengekalkan kemuliaan dan martabat anugerah yang dikurniakan.
Seramai 188 individu dikurniakan darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan tahun ini. #sumber