PUTRAJAYA : Kerajaan perlu meneliti secara terperinci syor Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang sedang meneliti kaedah terbaik bagi menghantar pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di kampus untuk pulang ke rumah masing-masing.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, ia melibatkan pergerakan besar dan dibimbangi menjejaskan usaha memutuskan rantaian COVID-19 yang dilakukan ketika ini.
"Kita menerima cadangan daripada KPT tadi. Walau bagaimanapun, kita kena meneliti dengan lebih lagi kerana ia melibatkan pergerakan yang sangat besar jumlahnya. Ada 80 ribu pelajar di seluruh negara iaitu pelajar IPTA dan IPTS.
"Angka yang kita dapat adalah pelajar di dalam kampus, bukan di luar kampus. Namun keinginan mereka mungkin sama iaitu mahu pulang. Malah ada yang ingin pulang ke Sabah dan Sarawak, yang akan dikuarantin secara wajib," katanya dalam sidang media di sini pada Sabtu.
Justeru, kerajaan akan meminta nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi melihat perkara berkenaan iaitu dari segi kesan kepada kesihatan yang bukan sahaja kepada pelajar, tetapi juga kepada penduduk.
"Akhirnya kita meminta KKM mengkaji perkara ini sebab KKM cakap sudah berlaku sedikit penurunan dari segi jumlah positif dan sebagainya.
"Jadi KKM tidak mahu perkara ini menjejaskan usaha mereka dan akhirnya jumlah akan kembali tinggi iaitu menggagalkan usaha kita yang selama ini duduk dalam rumah tiba-tiba kerana perkara-perkara kita tidak teliti akhirnya kita terpaksa duduk dalam rumah lebih lama. Kita hendak PKP akhirnya ditamatkan mengikut perancangan KKM," ujarnya. #sumber
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan sokongan Baginda terhadap pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April ini, seperti mana yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.
Dalam satu kenyataan hari ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Tuanku telah menitahkan agar rakyat mematuhi arahan PKP itu, serta semua arahan terkini oleh agensi kerajaan yang berkaitan.
Ahmad Fadil berkata, Tuanku Baginda merasakan ianya sesuatu yang amat penting dalam usaha kerajaan memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.
“Ini untuk turut membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia memberi tumpukan khusus kepada kumpulan sasar yang dikenal pasti menjadi punca penularan wabak ini.
“Yang lebih penting, ialah supaya pandemik ini dapat diakhiri agar rakyat dapat menjalani kehidupan seperti biasa, sihat, dan sejahtera,” kata Ahmad Fadil dalam kenyataan itu lagi.
Beliau berkata, Tuanku Baginda menzahirkan harapan agar rakyat terus bersabar dan tabah menghadapi dugaan dalam tatacara kebiasaan baharu atau the new normal.
“Rakyat turut dinasihatkan sentiasa berwaspada, menjaga kebersihan diri, amalkan penjarakan sosial, dan elakkan dari menghadiri sebarang perhimpunan, serta hindari tempat yang sesak,” katanya lagi.
Ahmad Fadil berkata, susulan daripada lanjutan PKP itu, serta mengambil kira situasi terkini, Istana Negara juga telah dinasihatkan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tidak menganjurkan apa-apa bentuk majlis dan tahlil berkenaan bersempena bulan Ramadan.
“Ini adalah kerana mengambil kira faktor keselamatan dan bagi mengelak risiko ke atas semua pihak, terutamanya rakyat,” katanya lagi.
Ahmad Fadil berkata, Tuanku Baginda turut menasihat umat Islam di negara ini supaya menyambut bulan Ramadan dengan menumpukan kepada amal ibadat, berdoa dan bertawakal kepada Allah bagi mengharungi ujian ini, di samping sentiasa mengambil berat terhadap keselamatan dan kesihatan diri, keluarga dan komuniti. #sumber
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan meneliti kaedah terbaik untuk menghantar pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang berada di kampus untuk pulang ke rumah masing-masing.
Menteri KPT, Datuk Noraini Ahmad berkata, perkara itu akan di bawa ke Mesyuarat Khas Menteri mengenai COVID-19 esok (Sabtu).
"Susulan pengumuman yang dibuat Perdana Menteri mengenai lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, saya bersama Kementerian sebentar tadi meneruskan perbincangan dan meneliti kaedah terbaik untuk menghantar pulang pelajar yg masih berada di kampus ke rumah masing-masing.
"Sebaiknya, saya mahu pelajar bukan sahaja dapat pulang ke rumah tetapi pulang dalam keadaan sihat dan selamat," katanya pada di laman media sosial Twitter, pada Jumaat.
Sebelum ini, beberapa laporan media melaporkan terdapat segelintir pelajar dan juga ibu-bapa yang memohon agar dibenarkan pulang ke rumah masing-masing berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khasnya pada Jumaat berkata, Perintah Kawalan Pergerakan fasa ketiga akan dilanjutkan bermula 15 April sehingga 28 April. #sumber
JOHOR BAHRU: Polis akan membuka kertas siasatan terhadap bekas Timbalan Menteri yang juga Ahli Parlimen Kuantan berikutan menyiarkan video dengan keterangan palsu di akaun Facebooknya malam tadi, sehingga menyebabkan kegusaran awam di negeri ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata Fuziah Salleh akan dipanggil memberi keterangan sekiranya siasatan membuktikan beliau memuat naik video palsu itu sehingga berlaku panik dalam kalangan masyarakat dan agensi penguatkuasa.
Katanya, Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir sudah membuat laporan polis di Balai Polis Larkin, Johor Bahru Selatan, kira-kira jam 11.30 pagi tadi.
“Polis sedang menyiasat kes ini mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian).
“Siasatan kes ini juga diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman. Tindakan memuat naik video dengan keterangan palsu itu amat tidak bertanggungjawab.
“Ia menyebabkan video itu viral sehingga bukan sahaja menimbulkan kegusaran awam malah menyebabkan agensi penguatkuasa kelam-kabut.
“Undang-undang negara adalah untuk semua tidak mengira orang awam atau Ahli Parlimen, jika membuat perkara yang menyalahi undang-undang, maka bersedialah untuk disiasat, ” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.
Dalam video yang dimuatnaik di akaun Facebook kira-kira jam 11.30 malam tadi, ia menunjukkan kononnya berlaku huru-hara di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini.
Antara keterangan bersama video itu – ‘Sedang berlaku di CIQ JB. Situasi di luar kawalan. Pekerja Malaysia di Singapore cuba balik secara beramai-ramai.
Pemeriksaan di akaun Facebook Fuziah mendapati video bersama keterangan palsu berkenaan sudah dipadamkan 15 jam lalu.
Malah pentadbir akaun itu memuat naik permohonan maaf yang menyatakan ia video lama.
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, video berkenaan sebenarnya adalah sesi latihan kebakaran di CIQ BSI pada Disember tahun lalu. #sumber
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP) akan disambung lagi dua minggu sehingga 28 April.
Keputusan itu dibuat susulan maklum balas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membendung wabak Covid-19.
PKP bermula pada 18 Mac untuk meratakan keluk jangkitan Covid-19 dan disambung sehingga 14 April.
Beberapa kawasan diletakkan bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) selepas merekodkan angka kes yang tinggi. #sumber
KUALA LUMPUR – Selepas mendakwa pekerja Malaysia di Singapura membuat percubaan untuk balik beramai-ramai ke negara ini di Facebook (FB), Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh membuat permohonan secara terbuka.
Permohonan maaf itu dibuat setelah posting berkenaan dipadam.
“Admin mohon maaf tersilap post video lama dan sudah pun di delete. Harap tidak menyebabkan panic!,” tulis admin FB Fuziah Salleh.
Semalam, FB rasmi bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu memuatnaik status gempar apabila mendakwa berlaku keadaan tidak terkawal di bangunan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ).
“Sedang berlaku di CIQ JB. Situasi diluar kawalan. Pekerja Malaysia di Singapore cuba balik ke Malaysia secara beramai-ramai. Harap adalah hotel lima bintang untuk quarantine mereka,” tulis FB itu semalam.
Status itu segera dinafikan FB Friends of PDRM yang mendakwa itu adalah video lama.
Malah ia adalah latihan kebakaran di bangunan itu yang dilaksanakan 18 Disember tahun lalu.
“Ramai yang dapat video ni kan? Itu video lama. Video tahun lepas. Keadaan di BSI@CIQ Malaysia Singapura. Jangan sebar lagi. Jangan buat orang panik,” kata FB itu. #sumber
KUALA LUMPUR – Ekoran masih ramai lagi rakyat negara ini yang ingkar akan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar denda, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Deri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut beliau, kadar kompaun yang dikenakan di negara ini terlalu rendah berbanding negar-negara lain dan dengan itu ramai yang masih ingkar akan arahan itu dengan keluar sesuka hati mereka.
“Mungkin kita nak minta Kementerian Kesihatan berbincang dengan Pejabat Peguam Negara mungkin kalau perlu kita boleh naikkan lagi denda atau kompaun yang boleh dikenakan.
“Hukuman penjara pun boleh diminta dipanjangkan dan ini boleh digunakan untuk memastikan tidak ada lagi ketakutan daripada rakan supaya tidak melakukan keingkaran dalam PKP ini,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat khas Menteri-menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya hari ini.
Daripada pelaksanaan PKP pada 18 Mac lalu sehingga kini, seramai 7,479 tangkapan telah dibuat oleh polis disebabkan ingkar arahan PKP.
Daripada jumlah itu, seramai 666 individu telah ditahan kerana ingkar arahan dan 393 daripada jumlah itu telah di kompaun dengan denda sebanyak RM1,000.
Ismail turut berkata 263 individu telah direman dan 11 telah diikat jamin polis.
Menteri Pertahanan itu turut berkata negara lain mengenakan kadar kompaun yang tinggi kepada mereka yang ingkar berbanding Malaysia yang mengenakan kompaun terendah dengan RM1,000 sahaja.
“Ada kemungkinan jumlah tangkapan yang masih ramai disebabkan jumlah kompaun RM1,000 dianggap terlalu rendah. Di Singapura misalnya, kesalahan (ingkar) pertama dikenakan SGD10,000 (RM30,491), manakala kesalahan kedua adalah SGD20,000 (RM60,982).
“Di Korea Selatan, kesalahan pertama adalah sebanyak RM35,000” katanya lagi. #sumber
KUALA LUMUR: Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata selepas menyemak tuduhan Abdul Hadi Awang terhadapnya yang mengaitkan MP Port Dickson itu dengan pergerakan C, beliau mendapati rupa-rupanya maklumat yang diperoleh Presiden PAS itu tidak sahih.
Dalam siaran langsung Facebook beliau malam tadi, Anwar menunjukkan laman “Civil Service Lodge No.143” yang mempunyai kakitangan dengan nama yang sama dengannya, “w.bro Anwar Ibrahim.”
Gambar tersebut menunjukkan seorang lelaki warga asing berbadan gempal, berpakain sut hitam bersama tiga orang rakannya, pada tahun 2006.
“Beliau (Hadi) menyebut saya ini, anggota bahkan orang besar, malah orang kanan Freemason.
“Jadi saya pun aneh juga. Ini kalau orang biasa cakap kempen-kempen dan tidak akhlak dan tidak ada asas agama, itu lain.
“Oleh itu, saya dengan demikian minta staff cari (maklumat), rupa-rupanya ada nama Anwar dan mereka tahu kerana ia keluarkan dulu (dalam) lodge officers 2010-2011 - civil service num 143, brother Anwar Ibrahim.
“Ini peluang mereka untuk menyerang saya,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab mengenai surat Hadi yang disifatkan melemparkan fitnah yang berat terhadap dirinya.
Terdahulu, sepucuk surat bertarikh 22 Mac dengan tajuk “Gerakan Islah Secara Aman, Bukan Rampasan Kuasa dan Revolusi,” yang ditulis dalam bahasa Arab itu dikesan tersebar di media sosial sejak 4 April lalu.
Surat yang dikatakan ditulis Hadi kepada pemimpin gerakan Islam seluruh dunia itu mengundang pelbagai kritikan kerana mengandungi pelbagai dakwaan terhadap Pakatan Harapan (PH) serta memburukkan Anwar.
Anggota Parlimen Port Dickson juga secara menyindir menasihatkan supaya Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu menyemak fakta sebelum menyebarkan fitnah.
“Ya Allah kalau nak politik pun, nak sokong Umno, janganlah sampai macam tu. Takkanlah saya 2006 boleh sihat segar bugar,” katanya sambil ketawa.
“Kita kalau nak buat tuduhan, semak fakta.
“Kalau dalam tazkirah pandai sekali, kita ambil hadis, kena tahu siapa perawinya, sahih atau tidak.
“Tapi bila nak fitnah orang, tak payah fakta, tak payah perawi,” katanya lagi.
Justeru itu, demi membersihkan namanya, Anwar berkata beliau akan menghantar satu surat balas kepada pemimpin dunia Islam sebagai menjawab dakwaan Hadi.
“Saya akan jawab dan beritahu kepada pemimpin-pemimpin dunia islam yang menerima surat daripada Haji Hadi Awang dan saya akan sebarkan surat ini kepada khalayak untuk menunjukkan fitnah.
“Ini bukan satu saja, ada hal-hal lain yang dibangkitkan.
“Dalam Islam kita boleh patuh kepada pimpinan, boleh walak kepada perkara apa pun, tapi jangan jadi pak turut sehingga tak boleh fikir, sehingga tak boleh nilai, sehingga sanggup memfitnah kerana musuh politik,” katanya. #sumber
KUALA LUMPUR – Saintis tersohor Malaysia, Profesor Emeritus Dr. Lam Sai Kit berkata, data daripada Kementerian Kesihatan menunjukkan Malaysia perlu meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau menyelaraskannya.
Sai Kit yang mencipta nama atas penyelidikan yang membawa kepada penemuan virus Nipah berkata, usaha PKP diperlukan untuk membantu kerajaan menjejak kumpulan jangkitan dan melakukan lebih banyak saringan.
“Jika PKP dipanjangkan, kita semua harus akur kepada keputusan kerajaan.
“Memandangkan ramai rakyat Malaysia sedang kembali ke tanah air termasuk dari Singapura, oleh itu PKP tidak harus ditamatkan begitu sahaja,”katanya kepada China Press.
Tegasnya, Malaysia mungkin akan “terjeremus” seperti Jepun dan Korea Selatan jika PKP ditamatkan secara terburu-buru.
Jelasnya, memandangkan sumber jangkitan terhad kepada beberapa kumpulan manakala jangkitan komuniti tidak tinggi, maka langkah pencegahan yang diambil boleh dikatakan berkesan.
“Langkah-langkah ini termasuk melakukan jarak sosial, penjagaan kebersihan diri, kerap mencuci tangan, pemakaian penutup mulut di tempat awam, penutupan sekolah dan perkhidmatan kurang penting, kerja dari rumah dan larangan berhimpun,” katanya.
Akademi Perubatan Malaysia turut menyaran supaya PKP dilanjutkan supaya usaha sebelum ini tidak menjadi sia-sia.
Akademi tersebut memberi amaran mengenai perayaan penting seperti Aidilfitri dan Pesta Menuai di Sabah dan Sarawak yang akan melibatkan perhimpunan dan kunjung-mengunjung, sekali gus meningkatkan risiko penularan penyakit.
Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Lee Boon Chye ketika dihubungi China Press pula berkata, kerajaan boleh melonggarkan kawalan secara berperingkat mengikut perkhidmatan dan tempat.
Katanya, kelonggaran boleh diberikan kepada perkhidmatan kurang berisiko seperti bengkel kereta, kilang kecil dan kedai barangan logam yang kurang berisiko kerana tidak banyak orang yang berkumpul.
“Sebelum dibenarkan beroperasi, mereka kena mengambil langkah-langkah pencegahan seperti saringan suhu pekerja, menjarak diri semasa bertugas, dan melakukan pembasmian kuman di tempat kerja.
“Pelanggan yang berkunjung juga harus didaftarkan,”katanya. #sumber
PUTRAJAYA – Seorang remaja perempuan berusia 23 tahun merupakan antara yang maut akibat wabak Covid-19.
Beliau menuntut di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan menetap di Kota Samarahan, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa yang menghidap penyakit tiroid lambat mendapatkan bantuan dari hospital.
“Mangsa perempuan ini mempunyai sejarah kontak rapat dengan dua kes positif Covid-19 dan merupakan generasi ke-5 kluster persidangan gereja di Kuching.
“Beliau mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling sebelum ini dan telah mula dirawat sejak 30 Mac lepas.
“Disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka pada 5 pagi tadi,” kata Noor Hisham.
Dalam pada itu, Noor Hisham memberitahu, sejumlah 72 pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), penurunan berbanding 76 pesakit semalam.
Jelasnya, daripada jumlah itu, seramai 43 pesakit memerlukan bantuan pernafasan, berkurang daripada 45 pesakit semalam.
“Seperti selalu saya meminta supaya orang ramai terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi pada setiap masa dan penjarakan sosial,” katanya. #sumber
KUALA LUMPUR – Persatuan Pemberi Pinjaman Wang atau Kredit Komuniti yang membabitkan persatuan pajak gadai bersetuju memberi moratorium selama tiga bulan selain bersetuju untuk mengecualikan caj bayaran lewat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, persetujuan tersebut dicapai setelah pihaknya mengadakan perbincangan Kredit Komuniti.
Bagaimanapun, Zuraida mengingatkan syarikat Kredit Komuniti supaya tidak mengenakan caj faedah melebihi yang ditetapkan dalam Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) iaitu sebanyak 12 peratus bagi pinjaman bercagar dan 18 peratus bagi pinjaman tidak bercagar kepada peminjam.
“Dalam tempoh PKP ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menerima banyak pertanyaan daripada orang awam mengenai perkhidmatan Kredit Komuniti dan Pemegang Pajak Gadai melalui talian Hotline KPKT,” katanya salam kenyataan.
Sementara itu, Zuraida berkata, kerajaan bersetuju premis syarikat Kredit Komuniti dan Pajak Gadai dibenarkan beroperasi selama dua hari seminggu dengan tempoh masa operasi dihadkan bermula 9 pagi hingga 2 petang.
Tambah beliau, syarikat terbabit perlu mematuhi arahan dan peraturan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), termasuk mengamalkan penjarakkan sosial sekurang-kurangnya 1 meter, memakai topeng muka tiga lapis, menyediakan cecair nyah kuman kepada pelanggan yang berurusan dan melakukan proses nyahkuman secara kerap di dalam premis.
Orang awam dan syarikat PKS yang terlibat juga boleh mendapatkan maklumat mengenai perkara ini dan juga perkhidmatan KPKT yang lain di talian Hotline KPKT iaitu
03 8891 3975. #sumber
PUTRAJAYA: Peratus kes kematian pesakit COVID-19 di negara ini iaitu sekitar 1.58 peratus, adalah jauh lebih rendah berbanding negara lain.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peratusan purata negara lain bagi kes kematian pesakit COVID-19 ialah sekitar 4.6 peratus atau 5.6 peratus.
“Negara kita kadar kematian adalah rendah (dan ini) menunjukkan perkhidmatan perubatan yang diberikan kepada pesakit terutamanya yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di tahap baik dan memuaskan.
“Pakar bius kita juga dapat merawat pesakit dengan baik secara tidak langsung dapat memberi rawatan yang mantap. (Dan ini) dapat memberi kesan kepada semua pesakit di wad dan ICU.
“Apabila lihat sekarang 88 peratus daripada pesakit COVID-19 yang positif di negara ini mempunyai gejala ringan dan tiada gejala.
“Lapan hingga 10 hari masa diambil untuk ujian saringan dan mereka mestilah negatif lebih 24 jam sebelum dibenarkan pulang,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.
Sehingga kini, Malaysia mencatatkan sebanyak 4,228 kes positif COVID19 dan sebanyak 67 kematian dilaporkan. #sumber
KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendedahkan, beberapa Ahli Parlimen dan kenamaan tersenarai sebagai penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kerana kelulusan dibuat secara automatik, berdasarkan data taksiran pendapatan individu itu pada 2018, yang ada dalam rekodnya.
Dalam kenyataannya hari ini, LHDN memaklumkan, penentuan penerima BPN dibuat mengikut kriteria pendapatan dengan data percukaian terkini, berdasarkan rekod percukaian Tahun Taksiran 2018 dan pangkalan data kerajaan.
Katanya, hanya individu yang mempunyai tahap pendapatan bercukai berada dalam julat pendapatan ditetapkan, layak menerima BPN.
“Merujuk isu beberapa Ahli Parlimen dan orang kenamaan turut layak dan menerima BPN, perlu dijelaskan bahawa kelulusan dibuat secara automatik berdasarkan data taksiran pendapatan individu itu pada 2018 dalam rekod LHDN.
“Namun demikian, LHDN menerima baik Ahli Parlimen yang secara sukarela memulangkan bayaran BPN itu. Mereka boleh berbuat demikian dengan mengemukakan surat penolakan dengan menyatakan nama penuh dan nombor MyKad.
“Seterusnya lampirkan draf bank dan cek atas nama Akauntan Negara Malaysia (mengikut jumlah pemulangan) dan dikemukakan kepada pihak Kementerian Kewangan di Pejabat Belanjawan Negara Kementerian Kewangan Malaysia Presint 2, 62592 Putrajaya,” katanya.
Mengulas lanjut, LHDN menegaskan permohonan baharu atau rayuan BPN hanya tertakluk kepada individu tidak mendaftar dengan Bantuan Sara Hidup (BSH) sebelum ini, manakala pembayar cukai perlu mengemaskini data peribadi masing-masing dengan LHDN.
“Pembayaran BPN seperti diumumkan sebelum ini bahawa penerima diluluskan secara automatik berdasarkan kepada pangkalan data BSH dan data rekod percukaian tahun taksiran LHDN tahun 2018.
“Kelulusan permohonan baharu adalah tertakluk kepada proses semakan dan verifikasi,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pahang, Fuziah Salleh antara Ahli Parlimen yang didakwa ‘lulus’ permohonan BPN. #sumber
KUANTAN: Polis menafikan dakwaan kononnya kawasan Indera Mahkota 2, Kuantan akan dilaksanakan ‘total lockdown’ seperti yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, berkata orang ramai diminta tidak mendengar berita tidak benar disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Memang tidak ada (lockdown). Justeru, saya menasihati orang ramai jangan mendengar berita yang tidak benar ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial kononnya kawasan Indera Mahkota 2 akan dilaksanakan ‘total lockdown’ yang bermakna orang ramai tidak boleh keluar masuk.
Berita "lockdown" seperti yang ditularkan semalam
Mesej itu antara lain turut mendakwa Tuan OCS Indera Mahkota meminta semua pihak bersedia untuk ‘total lockdown’.
Mohamad Noor berkata, orang ramai seharusnya menyemak sebarang maklumat yang diterima dengan pihak berkuasa serta tidak menyebarkan berita palsu dan tidak sahih.
“Saya memberi amaran kepada sesiapa yang menyebarkan berita palsu ini, kita boleh diambil tindakan mengikut undang-undang.
“Saya juga ingin ingatkan penduduk di daerah (Kuantan) ini supaya duduk di rumah dan tidak melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh pihak berkuasa, ” katanya. #sumber
KUALA LUMPUR – Seorang pemandu e-hailing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi aplikasi Twitter pada dua minggu lalu.
Sufazrin Amin Ismail, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.
Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh membuat penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya menggunakan nama Fazrin Ismail atau @Fazr_Ismail dengan niat untuk menganiayai orang lain.
Kesalahan itu dilakukan pada 23 hingga 25 Mac antara jam 9.58 pagi hingga 10.29 malam yang mana pautan itu dibaca pada jam 7 malam 28 Mac lalu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman di sini.
Bagi setiap pertuduhan, Sufazrin didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama dan boleh dihukum denda maksimum RM 50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan jika sabit kesalahan.
Pertuduhan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahrizzat Amadan dan beliau mencadangkan kadar jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan diberi kepada tertuduh.
Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar kadar itu dikurangkan dengan alasan dia perlu menanggung keluarga.
Mahkamah membenarkan Sufazrin diikat jamin berjumlah RM8,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan tidak boleh memuat naik posting lain sementara menunggu sebutan kes yang akan dijalankan pada 12 Mei depan. #sumber
PUTRAJAYA - Individu bankrap yang layak menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) tidak perlu melaporkan mengenai penerimaan bantuan itu kepada Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI).
MdI berkata, keputusan itu dibuat susulan kenyataan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 5 April lepas yang memaklumkan keputusan kerajaan mengenai individu berstatus bankrap yang memenuhi syarat kelayakan ditetapkan boleh membuat permohonan BPN.
"MdI memutuskan untuk membenarkan (individu) bankrap menerima BPN tanpa perlu melaporkan kepada MdI seperti yang diperuntukkan di bawah subseksyen 38(1)(ba) Akta Insolvensi 1967 yang mana jika (individu) bankrap gagal berbuat demikian, ia merupakan suatu kesalahan di bawah Akta 360," katanya dalam kenyataan hari ini.
MdI berkata sebarang pertanyaan lanjut berhubung perkara itu boleh disalurkan melalui talian 03-8885 1065, 03-8885 1928 atau 03-8885 1313. #sumber

KUANTAN- Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh terkejut apabila beliau layak dan lulus untuk menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN).
Beliau berkata, dia sendiri telah membuat semakan dan mendapati permohonannya 'lulus' sedangkan dia bukan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan tidak pernah membuat sebarang permohonan untuk BPN.
"Saya terpanggil untuk membuat semakan selepas tular berita berkenaan ada ahli parlimen, menteri, isteri mantan perdana menteri serta mantan timbalan menteri telah menerima kelulusan BPN.
"Tidak sangka dan agak terkejut apabila saya sendiri pun lulus untuk menerima bantuan tersebut," katanya melalui satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau yang juga mantan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, perkara itu menimbulkan persoalan bagaimana ia diluluskan dalam sistem sedangkan dia tidak layak menerima BPN.
"Kesilapan ini mungkin turut melibatkan lebih ramai individu yang tidak layak tetapi lulus untuk menerima bantuan ini.
"Memandangkan bayaran akan di buat secara terus, saya khuatir, ramai yang tidak menyemak dan tersalah terima,"katanya.
Beliau berkata, BPN yang diluluskan secara automatik tanpa permohonan terbuka membawa kepada kesilapan sistem yang serius.
"Sumber negara perlu digunakan sebaik mungkin dalam keadaan kita memerangi penularan wabak koronavirus (Covid-19 ) dan kesilapan begini tidak sepatutnya berlaku," katanya. #sumber

KUANTAN - Kerajaan Pahang dijangka menyalurkan bantuan kepada 420 pemandu pelancong dan pengusaha bot pelancongan minggu ini susulan lanjutan tempoh Perintah kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April depan.
Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, buat masa ini pihaknya sedang mendapatkan senarai nama penuh dan butiran lengkap menerusi semua saluran termasuk persatuan dan Tourism Pahang.
Beliau berkata, pemandu pelancong dan pengusaha bot pelancongan tidak perlu bimbang kerana pihaknya mempunyai mekanisme bagi mengenal pasti mereka yang layak menerima bantuan berkenaan.
"Kerajaan negeri prihatin dengan nasib pemandu pelancong dan pengusaha bot pelancongan kerana mereka ini bergantung kepada pendapatan harian.
"Selepas kita mendapat senarai penuh, bantuan akan mula diberikan.
"Dari segi kaedah pelaksanaan dan jenis bantuan itu akan ditentukan pihak kerajaan negeri kemudian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail minggu lepas membuat pengumuman mengenai bantuan sekali beri atau one-off sebanyak RM600 kepada pemandu pelancong di negeri itu. #sumber

KUANTAN - Individu yang berhasrat menjalankan perniagaan penghantaran sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) wajib mendapatkan permit bagi tujuan mengawal keselamatan orang ramai.
Ketua Seksyen Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Norkamawati Kamal berkata, langkah itu bertujuan mengumpul rekod pekerja penghantaran, membantu memudahkan petugas keselamatan dan mendidik prosedur operasi standard (SOP) ketika membuat penghantaran.
Menurutnya, permit yang dikeluarkan dalam tempoh sebulan adalah percuma dan setakat semalam lapan pekerja penghantaran makanan dan barangan mendaftar permit itu.
"Mereka mahu menambah pendapatan lebih-lebih lagi pekerja kedai makan. Tetapi apabila semakin ramai yang melakukannya perlu ada mekanisme bagi memantau pergerakan dan kontak mereka.
"Masyarakat perlu faham tidak semua sedar bahaya apabila berjumpa orang ramai yang kita tidak kenal dan tidak tahu sejarah kontak mereka," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, antara faktor MPK meluluskan permit supaya mendidik penghantar berkenaan mengenai kaedah yang selamat untuk berurusan dengan pelanggan.
Norkamawati memberitahu, permit tersebut juga memudahkan pihak berkuasa memantau pergerakan dan kontak mereka sekiranya didapati positif pandemik Covid-19.
Mereka yang tidak mempunyai permit juga boleh diarahkan pulang oleh petugas keselamatan. #sumber

KUANTAN - Kerajaan Pahang membuat keputusan tidak membenarkan penganjuran bazar Ramadan di 11 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu dibuat bagi memutuskan rantaian jangkitan koronavirus (Covid-19) di negeri ini.
Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan negeri mengambil berat kesukaran dihadapi peniaga dan meminta agar pihak pengurusan aplikasi PahangGo supaya menawarkan perkhidmatan dalam talian kepada peniaga.
"Perkhidmatan itu (dalam talian) yang ditawarkan memudahkan peniaga untuk terus meraih sumber pendapatan hasil daripada pesanan makanan yang dibuat untuk juadah berbuka puasa.
"Saya akui keputusan itu menyebabkan 94 lokasi penganjuran bazar Ramadan di seluruh negeri membabitkan seramai 4,639 peniaga berdasarkan statistik penganjuran bazar Ramadan tahun lalu akan terjejas," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, sehubungan itu, kerajaan negeri akan melancarkan platform pasar raya dalam talian atau portal dikenali sebagai ‘PahangMart’ yang akan memaparkan senarai pasar raya yang beroperasi di negeri ini berserta barang jualan mereka.
Selain itu, Wan Rosdy berkata, senarai tapak bazar Ramadan turut dipaparkan termasuk gerai jualan dan pengguna boleh melihat gambar juadah yang disediakan.
"Pengguna boleh membuat tempahan menerusi PahangGo dan penghantaran pesanan akan terus dihantar kepada mereka.
"Inisiatif itu diharap dapat membantu bukan sahaja rakyat untuk membeli juadah bazar Ramadan dan barangan keperluan harian lain, sebaliknya dapat membantu peniaga dan penjaja kecil untuk terus berniaga dalam tempoh yang sukar akibat wabak Covid-19," katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, rakyat di negeri ini yang berminat untuk mendaftar sebagai penghantar boleh menghubungi PahangGo menerusi laman sosial untuk mendapatkan maklumat.
Sebelum itu, Wan Rosdy berkata, penutupan bazar Ramadan itu dibuat bagi menyahut saranan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang tidak menggalakkan sebarang perhimpunan dalam tempoh enam bulan hingga setahun tanpa mengira sama ada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan atau tidak. #
sumber
KUANTAN - Semua urusan majlis akad nikah dan perkahwinan di Pahang ditangguhkan berkuatkuasa 1 hingga 14 April 2020.
Kadi
Daerah Kuantan, Abdul Zaki Md Zain berkata, arahan itu dikeluarkan
Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sehingga satu tempoh yang akan
ditentukan pihak kerajaan.
"Pihak JAIP menerima pertanyaan
daripada orang ramai yang tidak mengetahui mengenai penangguhan ini.
Arahan tersebut dikeluarkan oleh JAIP pada 30 Mac lalu.
"Sehubungan itu segala urusan membabitkan nikah kahwin dan urusan
pejabat dihentikan seketika sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan
kemudian.
"Keputusan ini dibuat bagi menjaga kemaslahatan semua pihak yang terbabit dalam urusan tersebut," katanya ketika dihubungi #sumber
SHAH ALAM - Pas berterima kasih dan menghargai kepercayaan Perdana
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melantik Presiden Pas, Datuk Seri
Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata,
perlantikan tersebut membolehkan Abdul Hadi turut membantu kerajaan
Perikatan Nasional (PN) dalam mengharmonikan lagi hubungan diplomatik
dan antarabangsa khususnya dengan negara-negara rantau tersebut.
Menurutnya, Abdul Hadi juga akan bekerjasama erat dengan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Wisma Putra.
“Pas dalam hal ini turut menafikan dakwaan bahawa tindakan
Perdana Menteri melantik Presiden Pas sebagai suatu usaha memujuk dan
memenangi hati ahli-ahli Pas.
“Ini kerana Pas lebih-lebih lagi
Presidennya tidak pernah meminta jawatan mahupun kedudukan dalam
kerajaan, sebaliknya bersedia berkhidmat di mana jua demi menguatkan
serta menjamin kestabilan kerajaan pimpinan Perdana Menteri,” katanya
dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, Takiyuddin berkata,
Pas akan melantik satu Jawatankuasa Penasihat berbentuk ‘Hisbah’ bagi
memantau tugas dan menasihati anggota kerajaan daripada kalangan Pas
agar mereka dapat menjalankan tugas serta tanggungjawab dengan jujur dan
terbaik.
“Memandangkan Presiden Pas turut berada dalam kerajaan,
mungkin jawatankuasa itu akan dilantik dari kalangan pimpinan Majlis
Syura Ulamak Pas. Sebelum ini Pas mempunyai Jawatankuasa Penasihat
Kerajaan Kelantan dan Terengganu yang dipengerusikan sendiri oleh
Presiden Pas,” katanya. #sumber
KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa membidas keputusan kerajaan
Perikatan Nasional (PN) yang memberi pengecualian kepada syarikat arak,
Heineken Malaysia Bhd untuk beroperasi dalam tempoh perintah kawalan
pergerakan (PKP) yang dakwanya bertentangan dengan dasar yang
ditetapkan.
“Ini jelas tidak selari dengan dasar yang diputuskan.
Tindakan perlu diambil segera,” katanya dalam satu ciapan di Twitter
hari ini.
Pemimpin Umno itu mengulas hantaran seorang netizen yang memprotes terhadap pengecualian berkenaan.
Sebelum
ini, sepucuk surat dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal
Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang memberi pengecualian kepada syarikat arak
itu untuk beroperasi tular di media sosial.
Dalam surat bertarikh
31 Mac yang dilihat Malaysiakini, kementerian berkenaan membenarkan
syarikat pembekal bir itu beroperasi dalam PKP, susulan permohonan yang
dibuat pada 24 Mac.
Pihak Heineken kemudian mengesahkan ketulenan
surat itu melalui satu kenyataan sambil menambah bahawa operasi terhad
mereka itu hanya dibenarkan dengan 10 peratus pekerja semasa PKP.
Sebelum
ini, PAS juga menjadi sebahagian daripada jemaah menteri kerajaan PN
turut membantah pelepasan yang diberikan kepada kilang arak itu.
Ahli
Jawatankuasa Pusat PAS Nasrudin Hassan, berkata beliau tidak pasti sama
ada surat yang tular itu benar atau tidak, justeru belum ada kenyataan
rasmi kerajaan memperakuinya walaupun terdapat dakwaan bahawa syarikat
arak berkenaan mengesahkan bahawa surat itu benar.
“Jika ia benar, maka saya yakin umat Islam khasnya akan tersinggung dan membantah pengecualian tersebut.
“Sementara
PAS yang kini menjadi sebahagian dari kerajaan, pastinya akan mengambil
peranan yang wajar agar kerajaan menimbang semula serta menarik balik
pengecualian tersebut.
“Justeru arak bukan minuman utama kepada
rakyat sehingga ia boleh memudaratkan ekonomi negara dan makan minum
rakyat di saat negara berdepan PKP ini,” kata Nasrudin dalam satu
hantaran di Facebook hari ini. #sumber
PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
mengesahkan empat kematian pesakit positif Covid-19 dilaporkan ke Pusat
Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Kebangsaan (CPRC) hari ini.
Angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 61 kes setakat ini.
Bercakap kepada media dalam sidang media harian di sini, Dr Noor
Hisham berkata, kematian ke-58 merupakan kes ke-2210 merupakan lelaki
tempatan berusia 72 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing
manis dan darah tinggi.
Mangsa yang dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 27 Mac lalu juga
mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 (kes ke-1031)
dan disahkan meninggal dunia jam 1.37 tengah hari tadi.
Kematian ke-59 juga membabitkan mangsa lelaki warga tempatan yang
berusia 68 tahun mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan
dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 27 Mac lalu.
“Beliau disahkan meninggal dunia petang semalam,” katanya.
Menurut Dr Noor Hisham, kes kematian ke-60 (kes ke-3073) merupakan lelaki
warganegara Malaysia berumur 53 tahun yang dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 31 Mac 2020.
Beliau disahkan meninggal dunia pada hari ini (5 April 2020) jam
12.39 pagi manakala kematian ke-61 pula merupakan kes ke-2200 yang
melibatkan mangsa berusia 66 tahun di Hospital Keningau, Sabah.
Mangsa menerima rawatan pada 26 Mac lalu dan mempunyai latar belakang kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.
Dalam pada itu, Noor Hisham berkata sebanyak 179 kes positif Covid-19
baharu telah dilaporkan hari ini menjadikan keseluruhan kes kini di
paras 3,662 kes.
“Daripada 179 kes ini, 46 adalah berkaitan dengan perhimpunan Seri Petaling.
Sehingga kini, seramai 99 kes positif Covid -19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Daripada jumlah tersebut, 48 kes memerlukan bantuan pernafasan,” kata Noor Hisham lagi. #sumber
KUANTAN: Pahang mencatatkan kematian pertama wabak COVID-19 apabila mangsa meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini kira kira jam 12 tengah malam tadi.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH Dato' Dr Haji Bahari Dato' Tok Muda Haji Awang Ngah ketika dihubungi Unit Komunikasi Dan Media Pahang (UKOMP) mengesahkan perkara itu.
Mangsa Arzemi Ibrahim,61, dari Indera Mahkota dekat sini dimasukkan ke HTAA pada 23 Mac lalu selepas mendakwa mengalami masalah demam dan pernafasan. Mangsa juga dipercayai mengidap masalah kencing manis.
Mangsa dikatakan pulang ke Kelantan untuk menziarahi ahli keluarga dan pulang semula ke Kuantan menaiki bas selepas itu.
Jenazah mangsa dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Galing oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia pagi tadi. #PDO