script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Dua Individu Lapor Polis Dakwa Jadi Mangsa Skim Pelaburan Tidak Wujud

KUANTAN - Dua individu membuat laporan polis semalam mendakwa menjadi mangsa skim pelaburan tidak wujud membabitkan nilai kerugian keseluruhan lebih RM27,000.

Mangsa berusia 28 dan 29 tahun membuat pelaburan selepas tertarik dengan iklan di laman sosial Facebook namun rasa tertipu selepas gagal menerima keuntungan lumayan yang dijanjikan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir berkata, salah seorang mangsa merupakan pengurus projek berusia 28 tahun kerugian RM24,180 selepas menyertai pelaburan di luar negara yang diperkenalkan dua kenalan Facebook pada Mac dan Mei lalu.

Menurutnya, mangsa membuat lapan kali pelaburan melalui dua kenalan Facebook tersebut dan pembayaran semua wang pelaburannya dibuat melalui akaun bank atas nama syarikat yang sama.

"Mangsa syak telah ditipu apabila sehingga laporan polis dibuat semalam, wang keuntungan gagal diterima seperti yang dijanjikan," katanya.

Sementara itu, pekerja sebuah syarikat pengangkutan turut menerima nasib sama apabila kerugian RM3,618 apabila menjadi mangsa skim pelaburan tidak wujud.

Mohd Wazir berkata, mangsa berusia 29 tahun itu ditawarkan empat pelan pelaburan melalui sebuah syarikat dan dia memilih dua daripada pelan tersebut berharga RM500 dan RM1,500.

"Mangsa dijanjikan keuntungan berjumlah RM18,700 melalui dua pelan pelaburan yang disertai itu dalam tempoh dua hari.

"Selepas membuat bayaran RM3,618 ke akaun bank atas nama seorang lelaki pada 9 Julai lalu, mangsa syak telah ditipu apabila dia gagal menerima wang keuntungan dalam tempoh dijanjikan," katanya.

Beliau berkata, dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Pihak polis akan melakukan semakan terhadap akaun bank dan nombor telefon yang digunakan dalam kes ini bagi mengesan suspek terlibat," katanya. #sumber

Share:

Pengarah Pendidikan Pahang: Tiada Pelajar Di Jangkiti Covid-19 Di Negeri Ini


KUANTAN - Tiada pelajar di Pahang dilaporkan dijangkiti wabak koronovirus (Covid-19) sejak sesi persekolahan bermula 15 Julai lalu sehingga hari ini.

Pengarah Pendidikan Pahang, Zaimi Abu Bakar berkata, semua pelajar di negeri ini berada dalam keadaan sihat dan selamat untuk meneruskan sesi persekolahan.

"Kita berdoa supaya tidak timbul isu ini (pelajar dijangkiti Covid-19) dan kita harapkan pelajar dapat belajar dengan tenteram dan selamat.


"Jadi, sebab itu kita meminta pihak sekolah mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas lawatan dan pemantauan pembukaan sesi persekolahan bagi murid Tahun Satu hingga Tahun Empat di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Talam di sini hari ini.


Zaimi meminta seorang murid Tahun Satu menunjukkan cara mencuci tangan dengan betul pada sesi lawatan di SK Sungai Talam hari ini.
Hadir sama, Guru Besar SK Sungai Talam, Normah Seliman.

Zaimi berkata, menerusi pemantauan SOP dilakukan, pihak sekolah termasuk guru, pelajar dan kakitangan mengamalkan penjarakkan sosial, mengambil suhu di pagar sekolah dan menggunakan pencuci pembasmi kuman serta kerap mencuci tangan.

Ditanya mengenai kewajipan pelajar memakai pelitup muka, Zaimi berkata, pihaknya menggalakkan pelajar berbuat demikian untuk menjaga keselamatan diri.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya ada pelajar yang bergelaja, berpenyakit dan mempunyai imunisasi rendah diwajibkan memakai pelitup muka.

"Kalau ada pelajar yang batuk, selesema dan ada penyakit kena pakai pelitup muka bagi mengelak jangkitan," katanya. #sumber

Share:

Identiti Wanita Di Kuarantin Minum Di Kafe Telah Pun Di Kenal Pasti

SUNGAI SIPUT - Jabatan Kesihatan Perak mengenal pasti wanita yang gagal mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) serta restoran yang dikunjunginya di bandar Meru Raya di sini, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata JKN Perak masih mengumpul maklumat terperinci berhubung insiden itu yang tersebar di media sosial sejak semalam.

“Saya nasihatkan orang ramai yang pernah makan di kafe itu mengambil langkah berjaga-jaga dan sekiranya bimbang mereka boleh membuat ujian Covid-19 atau menjalankan kuarantin di rumah jika bergejala,” katanya selepas menyaksikan pemindahan gajah liar di Kampung Jalong di sini, hari ini.

Semalam, gambar seorang wanita yang memakai tag merah jambu menunjukkan dia masih dalam tempoh kuarantin di rumah, minum di sebuah kafe di bandar Meru Raya tersebar di media sosial dan mendapat kritikan masyarakat.

Sementara itu, Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata pihaknya sudah melakukan operasi sanitasi nyahcemar kuman di premis itu dan beberapa kedai dalam deretan sama.

Katanya, operasi sejam setengah yang bermula 2.30 petang tadi melibatkan 6 anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru.

“Fokus operasi sanitasi nyahcemar kuman adalah di tempat melibatkan banyak sentuhan seperti meja dan kerusi.” #sumber

Share:

Tuan Ibrahim: Kerajaan Beri Jaminan Tidak Akan Naikkan Tarif Air

KUALA LUMPUR -- Kerajaan memberikan jaminan tidak akan menaikkan tarif air dalam situasi rakyat terbeban dengan keadaan ekonomi dan situasi pandemik COVID-19 yang belum berakhir, tegas Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sebaliknya beliau berkata, kerajaan akan menanggung kos itu bagi memastikan rakyat terus selesa berdepan situasi kritikal ketika ini.

"Saya ingin tegaskan bahawa dalam situasi rakyat berdepan dengan bebanan ekonomi yang teruk dan pandemik COVID-19 yang masih belum selesai dan tekanan bebanan hidup, saya ingin beri jaminan kerajaan tidak akan menaikkan tarif air dalam situasi rakyat masih terbeban ini.

"Kerajaan akan menanggung kos situasi susah sebagai kerajaan prihatin dengan tawaran (bantuan) pelbagai yang diberi, kita jamin rakyat tidak perlu risau dalam situasi kritikal ini," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) kepada Menteri Alam Sekitar dan Air, sama ada kerajaan dapat menjamin tarif air di Lembah Klang itu tidak naik selepas menyerahkan Loji Rawatan Air Langat 2, kepada Pengurusan Air Selangor.

Tuan Ibrahim berkata sebarang semakan tarif air seluruh negara akan mengambil kira keterlibatan pelbagai pihak dalam pengurusan air dan peranan Suruhanjaya Bekalan Air Negara sebagai badan kawal selia bekalan air, yang akan membuat rundingan dengan semua pihak terlibat.

Menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) mengenai adakah tarif air yang dikenakan kepada rakyat ketika ini membebankan, Tuan Ibrahim berkata pada masa ini rakyat membayar peratusan rendah untuk bil air berbanding keperluan asas yang lain.

"Kita harus akui tarif di negara kita rendah berbanding keperluan hidup yang lain. Ketika ini, tarif bil air yang dibayar oleh pengguna untuk sebulan hanya lima peratus berbanding elektrik 34 peratus, komunikasi 17 peratus, saluran TV berbayar 13 peratus dan Internet 28 peratus," katanya.

Menjawab soalan tambahan Hasanuddin mengenai sejauh mana kerajaan akan manfaatkan sumber-sumber lain untuk memastikan sumber air terawat negara ini mencukupi, Tuan Ibrahim berkata kerajaan sedang mengkaji untuk pewujudan 'highway air' bagi menampung sumber keseluruhan negeri dan mencari mekanisme terbaik supaya negeri yang kaya dengan sumber air boleh berkongsi dengan negeri yang kurang sumber air.

"Sebagai rancangan jangka pendek, kita sedang kaji untuk wujudkan loji berhampiran antara dua negeri…contohnya kita sedang runding antara Negeri Sembilan dan Melaka,” katanya menambah usaha ini akan membolehkan Negeri Sembilan membantu Melaka sekiranya, Melaka berdepan situasi sumber air berkurangan. #sumber


Share:

Bekas Pembantu Tadbir Di Dakwa Buat Tuntutan Palsu Lebih RM100,000

JOHOR BAHRU  -- Seorang pembantu tadbir kewangan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas enam tuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM100,00 kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) pada Nov 2015.

Tertuduh Meriam Mamat, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan, sejurus pertuduhan selesai dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh sebagai pembantu tadbir kewangan di Pejabat Kesihatan Daerah Muar, didakwa mengemukakan tuntutan baucar bayaran bagi pembekalan barangan bukan ubat, ke lima buah klinik kesihatan yang berjumlah RM109,930 kepada JKNJ, walhal barangan berkenaan tidak dibekalkan kepada klinik tersebut.

Klinik-klinik terbabit ialah Klinik Kesihatan (KK) Lenga, KK Parit Jawa, KK Air Hitam, KK Kampung Kenangan dan KK Bakri.

Dia dituduh mengemukakan tuntutan palsu itu menggunakan empat nama syarikat berlainan iaitu, Perniagaan Maju Sinar, Vista Kirana, Arryan Resources dan A One Access.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut dalam bulan November 2015 di Pejabat Kesihatan Daerah Muar.

Pendakwaan terhadap Meriam dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah dipalsukan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang tinggi.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor Norsyarina Raizan, yang mengendalikan kes menawarkan jaminan RM30,000 kepada tertuduh.

Bagaimanapun, Meriam merayu agar jaminan dikurangkan dengan alasan berpendapatan bersih bulanan kira-kira RM1,000, serta menghidapi beberapa penyakit antaranya sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.

Kamarudin kemudian membenarkan tertuduh diberi jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan, setiap bulan sehingga kes selesai. 

Beliau juga menetapkan 27 Ogos ini untuk sebutan semula kes. #sumber


Share:

Bicara Kes Saman Dr Zakir Naik Terhadap Ramasamy 22 Mac 2021

KUALA LUMPUR -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan perbicaraan dua kes saman fitnah, difailkan penceramah bebas Dr Zakir Naik terhadap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Dr P. Ramasamy, untuk berlangsung selama lima hari bermula 22 Mac tahun depan.

Dua saman itu difailkan secara berasingan pada Oktober dan Disember 2019, atas dakwaan Ramasamy mengeluarkan kenyataan fitnah membabitkan pendakwah bebas itu, selain mengaitkannya dengan isu LTTE.

Hakim Datuk Mohd Firuz Jaffril menetapkan tarikh 22 hingga 26 Mac  2021 itu, semasa  pengurusan kes itu hari ini dengan dihadiri peguam Datuk Akberdin Abdul Kader dan Meor Hafiz Salehan yang mewakili Zakir, manakala peguam Lee Mei Xian bertindak bagi pihak Ramasamy.

Hakim turut mengarahkan kedua-dua pihak, memfailkan penyataan saksi sebelum atau pada 1 Mac tahun depan, dan 13 Okt ini ditetapkan untuk pengurusan kes selanjutnya untuk pihak-pihak terlibat memaklumkan, perkembangan mengenai dokumen yang telah disediakan untuk perbicaraan.

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding Akberdin berkata, sepatutnya satu daripada kes saman itu didengar di mahkamah lain, namun dipindahkan ke mahkamah yang sama untuk dibicarakan secara bersama, kerana ia membabitkan defendan sama, iaitu Ramasamy.

“Seramai lima orang saksi plaintif termasuk Dr Zakir, akan dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu,” katanya.

Pada 16 Okt 2019, Dr Zakir menyaman Ramasamy selaku defendan atas dakwaan mengeluarkan kenyataan fitnah mengaibkannya, yang dimuat naik di laman sosial dan portal berita antara 2016 dan 2019.

Dalam penyataan tuntutan, plaintif mendakwa pada 10 April 2016, Ramasamy memfitnahnya apabila memanggil beliau (Dr Zakir) dengan gelaran yang tidak sopan di laman Facebook milik defendan, dan defendan juga sekali lagi telah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap plaintif, pada 1 Okt 2017, di mana artikel mengenainya dimuat naik di laman portal Free Malaysia Today (FMT), pada hari sama.

Dakwanya, pada 11 Ogos 2019, defendan memanipulasikan jawapannya ketika berucap dalam ceramah dianjurkan Kerajaan Negeri Kelantan, dan ia juga disiarkan di laman portal FMT pada hari sama, serta mendakwa defendan pada 20 Ogos tahun sama, turut mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap plaintif, yang disiarkan media antarabangsa, India Today.

Dr Zakir mendakwa, kenyataan itu membawa maksud, seolah-olah beliau berperwatakan jahat dan mengancam keamanan, serta keharmonian negara.

Oleh itu, plaintif menuntut injunksi bagi menghalang defendan daripada mengeluarkan, menerbitkan atau memuat naik kenyataan fitnah sama, selain menuntut permohonan maaf dan ganti rugi am, teruk, teladan dan pampasan, serta relif lain.

Pada Disember 2019, Dr Zakir sekali lagi menyaman Ramasamy selepas mendakwa defendan memfitnahnya, melalui komen yang disiarkan dalam portal The Malaysian Insight berhubung isu LTTE #sumber


Share:

Pahang Raih Pelaburan Baharu Lebih RM91 Juta Pada Jan-Mac

KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang telah menerima pelaburan baharu bernilai lebih RM91 juta bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata jumlah yang meliputi pelabur tempatan dan luar, bagaimanapun masih rendah berbanding sasaran pelaburan sebanyak RM5 bilion yang ditetapkan untuk tahun ini.

Menurutnya, walaupun sasaran itu terjejas akibat pandemik COVID-19, kerajaan negeri sebaliknya akan terus berusaha meninjau lebih banyak pelaburan dalam keadaan kebiasaan baharu, termasuk mengadakan mesyuarat secara telesidang.

"Selain itu, sebuah pusat sehenti telah diwujudkan di Gebeng, Kuantan baru-baru ini bagi mempercepatkan permohonan kemasukan pelabur ke Pahang yang kini memakan masa 22 hari berbanding 44 hari sebelum ini.

"Pusat sehenti itu turut melibatkan penyertaan penyedia infrastruktur di negeri ini supaya pelabur yang memerlukan kemudahan itu dapat berurusan dengan kadar segera tanpa berdepan karenah birokrasi," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Keterlibatan SIRIM-Industri Pahang di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohd Hani dan Timbalan Pengerusi Pertubuhan Kemajuan Pembangunan Pertanian Pahang Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin.

Untuk rekod, maklumat laporan Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA) menunjukkan Pahang telah meraih pelaburan dalam dan luar negara sebanyak RM9 billion yang melibatkan 244 projek pengilangan pada 2019.

Mengulas selanjutnya, Wan Rosdy berkata dua perkara dalam perancangan terkini kerajaan negeri adalah mendapatkan pelabur swasta yang berminat menaiktaraf dan mengkomersialkan usaha pendaratan ikan di Kuantan yang juga pusat pendaratan ikan terbanyak di wilayah Pantai Timur.

Perancangan lain adalah mewujudkan pusat pengumpulan sayur-sayuran di Pahang untuk terus dihantar ke Selayang, Selangor dan usaha itu akan dimulakan di Bentong dalam masa terdekat ini, katanya.

Mengulas program hari ini, Wan Rosdy berharap lebih ramai pemain industri termasuk kalangan industri kecil dan sederhana (IKS) dapat meningkatkan kualiti produk masing-masing melalui SIRIM seperti aspek pensijilan, pentauliahan dan pengujian serta penentukuran peralatan.

"Bantuan teknologi yang dibangunkan dan diusahakan oleh SIRIM akan dapat meningkatkan daya saing syarikat menembusi pasaran lebih luas, termasuk antarabangsa yang akhirnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

"Bagaimanapun, usaha kerajaan dan SIRIM ini tidak akan berjaya tanpa kerjasama pemain industri.

"Oleh itu, saya berharap syarikat IKS dapat mengambil peluang ini untuk memajukan diri, mempelajari lebih banyak teknologi baharu serta lebih inovatif," katanya. #sumber

Share:

Polis Pahang Akan Siasat Dakwaan Kes Anak Kucing Di Bakar

KUANTAN -- Polis Pahang sedang menyiasat kesahihan dakwaan kejadian anak kucing dibakar yang dikatakan berlaku di Pahang, selepas klip videonya tular di laman sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan berkata pihaknya akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan, persatuan penduduk dan komuniti bagi mencari pelaku kejadian itu, jika benar ia terjadi di negeri ini.

Katanya beliau juga telah mengarahkan supaya semua Ketua Polis Daerah di Pahang untuk berhubung dengan persatuan dalam kawasan masing-masing bagi mengenal pasti sekiranya kejadian itu berlaku di Pahang seperti yang didakwa.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Penghargaan Tolak Rasuah, Pengurusan Perumahan Terbaik PDRM, dan Anugerah Integriti PDRM di Briged Tenggara Pusat Gerakan Am (PGA) Kem Bukit Galing di sini, hari ini.

Semalam, Persatuan Haiwan Malaysia (Malaysia Animal Association) memuat naik satu klip video berdurasi 45 saat yang memaparkan seekor anak kucing sedang dibakar, dan perbuatan zalim itu dipercayai dirakam sendiri oleh pelakunya.

Persatuan itu menyatakan kejadian dipercayai berlaku di Pahang dan menawarkan ganjaran RM10,000 kepada mereka yang mempunyai maklumat terhadap individu yang dipercayai mencurah minyak sebelum mencucuh api pada haiwan itu. #sumber


Share:

Tiada Lagi Nasihat Tetapi Tindakan Tegas Di Ambil Jika Ingkar PKPP

KUALA LUMPUR -- Tiada lagi amaran serta nasihat akan diberikan, sebaliknya pihak polis akan segera mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia berikutan kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat kerana beranggapan PKP telah tamat selain tiada lagi tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mereka.

Terdahulu, Ismail Sabri berkata polis telah menahan 80 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP dan daripada jumlah itu, seramai 20 individu direman dan empat lagi telah dijamin manakala 56 individu dikenakan kompaun.

Jelasnya, antara kesalahan ingkar arahan PKPP ialah aktiviti di dalam pub atau kelab malam dengan 37 kesalahan dan aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (43 kesalahan).

“Kelab malam dan pusat hiburan masih dalam senarai aktiviti dilarang. Kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan ke atas kelab-kelab malam dan pusat hiburan yang beroperasi semasa tempoh PKPP.

“Ini termasuk tindakan menggantung lesen perniagaan. Pasukan petugas khas operasi pematuhan PKPP akan mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi SOP PKPP yang ditetapkan,” katanya pada sidang media hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata terdapat banyak laporan polis dan pasukan petugas operasi pematuhan PKPP terhadap premis makanan yang melakukan kesalahan melanggar PKPP antara lain adalah amalan penjarakan sosial oleh pelanggan.

Berikutan itu, beliau meminta setiap pemilik premis makanan untuk mengambil perhatian dan mematuhi SOP yang ditetapkan jika tidak mahu dikenakan tindakan tegas.

“Kerajaan berharap rakyat akan terus menjadi mata dan telinga bagi pihak berkuasa untuk melaporkan apa-apa tindakan yang melanggar SOP,” katanya lagi.

Mengenai perkembangan lain, Ismail Sabri berkata pihak polis telah berjaya menahan 14 warganegara asing di Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng atas kesalahan imigresen semalam.

Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan tidak akan berkompromi terhadap mereka yang terlibat dalam penyeludupan masuk pendatang tanpa izin. #sumber

Share:

Covid-19: Malaysia Catat Kes Baharu Dua Angka Tiga Hari Berturut-Turut

PUTRAJAYA  -- Jumlah kes baharu positif COVID-19 yang dilapor di Malaysia hari ini masih pada dua angka iaitu hari ketiga berturut-turut, pada 15 kes dengan 11 melibatkan penularan dalam negara.  

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif di negara ini sebanyak 8,815 kes dengan 130 kes kebolehjangkitan.

“Daripada 15 kes baharu yang dilaporkan, empat adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan tiga warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia atas urusan kerja, iaitu dari Belanda, Arab Saudi, United Kingdom dan Indonesia.

“Daripada 11 kes penularan di dalam negara, 10 adalah dalam kalangan warganegara Malaysia dan satu kes adalah bukan warganegara iaitu kes saringan kemasukan baharu ke Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Semuja, Sarawak,”  katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Pada 19 Julai, Malaysia mencatatkan 15 kes positif baharu diikuti 21 kes positif semalam (20 Julai).

Katanya daripada 10 kes penularan tempatan, lapan dilaporkan di Sarawak dan masing-masing satu di Selangor dan Sabah.

“Di Sarawak, lima kes dilaporkan daripada Kluster Sentosa (kluster baharu), satu kes daripada Kluster Stutong, satu kes daripada Kluster Pusat Perubatan Kuching dan satu kes saringan kendiri iaitu individu yang  merupakan penjaga kepada pesakit yang dirawat di sebuah pusat perubatan. Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

“Di Selangor, ia adalah satu kes saringan Severe Acute Respiratory Infection (SARI) yang dimasukkan ke Hospital Ampang manakala kes di Sabah pula adalah kes saringan Influenza Like Illness (ILI), dan dimasukkan ke Hospital Tawau,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat tujuh kes pulih dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dan didiscaj ialah sebanyak 8,562 kes atau 97.1 peratus daripada jumlah keseluruhan jangkitan.

“Sehingga kini, hanya empat kes positif COVID-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan satu kes memerlukan bantuan pernafasan, manakala tiada pertambahan kes kematian dilaporkan hari ini. Jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 kekal sebanyak 123 kes,” katanya.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham turut melahirkan kebimbangan dengan perkembangan terkini pandemik COVID-19 di negara ini berikutan jumlah kes harian yang meningkat, khususnya kes penularan dalam negara.

Katanya jumlah kes aktif telah menurun kepada 63 kes pada 9 Julai lepas, namun mula meningkat dan jumlah kes aktif kembali melebihi 100 kes pada 19 Julai dan kini mencecah 130 kes.

“Sehingga 21 Julai, jumlah kluster yang aktif ialah 19 kluster dengan 13 kluster baharu diumumkan dalam tempoh 10 hari ini. Tiga daripada 13 kluster ini berkaitan dengan penularan tempatan kes COVID-19 daripada kes import iaitu Kluster PUI Novgorod, PUI Shirala dan PUI Pitakwa.

“Kluster Jupiter tidak mengakibatkan penularan tempatan memandangkan ia melibatkan kluster terpencil di atas sebuah kapal yang sedang berlabuh,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan menyambut baik keputusan kerajaan mewajibkan prosedur Kuarantin Wajib 14 hari kepada warga asing atau rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara di stesen kuarantin berkuat kuasa 24 Julai, seperti yang diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Beliau yang mengharapkan keputusan itu dapat mengelakkan kewujudan kluster lain, turut mengingatkan masyarakat terdapat sembilan kluster melibatkan kes tempatan yang tiada kaitan dengan kes import pada masa ini.

“Ini menunjukkan masyarakat sememangnya telah mulai alpa dan leka, lalu mula menghindari prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” tegasnya. #sumber


Share:

Pemandu Mabuk: Penjara 20 Tahun, Denda Sehingga RM150,000 Memadai

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador menyifatkan cadangan kerajaan untuk menaikkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda maksimum RM150,000 dalam kes melibatkan pemandu mabuk adalah memadai.

Beliau berkata pihaknya pernah mencadangkan agar hukuman penjara mandatori dikenakan terhadap kelompok berkenaan bagi mengurangkan kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk di negara ini.

"Sekiranya Parlimen meluluskan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu yang membabitkan peningkatan jumlah denda dan tempoh hukuman penjara, saya amat mengalu-alukan,” katanya kepada Bernama selepas majlis penyerahan sumbangan kasut oleh Syarikat Bata Primavera Sdn Bhd, di Bukit Aman di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sebagai berkata kerajaan akan mengusulkan agar pemandu mabuk dikenakan hukuman lebih berat iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga RM150,000 menerusi pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Wee berkata pindaan juga mencadangkan mereka yang disabitkan kesalahan boleh digantung lesen memandu sehingga 20 tahun.

Pindaan akta itu dijadualkan dibentang pada persidangan Parlimen yang sedang berlangsung.

Terdahulu pada majlis berkenaan, Polis Diraja Malaysia menerima 60,000 pasang kasut dianggar bernilai RM3.6 juta daripada syarikat berkenaan.

Mengulas sumbangan itu, Abdul Hamid berkata kasut terbabit akan diagihkan kepada warga polis dan ahli keluarga mereka sebagai penghargaan kepada mereka yang bertugas memerangi penularan pandemik COVID-19.

Pihak Bata juga memaklumkan warga polis akan menikmati potongan sebanyak 20 peratus bagi sebarang pembelian kasut jenamanya di semua kedai syarikat itu di seluruh negara, katanya. #sumber

Share:

Kes Rasuah Tengku Adnan Di Dengar Semula Di Hadapan Hakim Nazlan

PUTRAJAYA -- Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan terus mendengar perbicaraan kes rasuah RM1 juta bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Ia berikutan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan hari ini, diketuai Hakim Datuk Nallini Pathmanathan mengakaskan keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan perbicaraan kes Tengku Adnan didengar di hadapan hakim lain.

Beliau kemudian menetapkan 24 Julai untuk sebutan kes itu di hadapan Mohd Nazlan.

Dalam keputusannya, Hakim Nallini mengatakan Mahkamah Rayuan telah melakukan kekhilafan dari sudut undang-undang dan menerapkan undang-undang secara salah pada fakta kes itu yang memerlukan campur tangan dan akas.

“Kes ini dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi yang asal untuk menyambung semula perbicaraan,” katanya dan sebulat suara membenarkan permohonan rayuan pendakwaan. #sumber


Share:

Operasi Perniagaan Di Pahang Kembali Ikut Kelulusan Lesen

KUANTAN -- Kerajaan Negeri Pahang membenarkan premis perniagaan yang beroperasi pada masa ini kembali mengikuti waktu operasi berdasarkan kelulusan lesen sedia ada, berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pengusaha premis perniagaan terlibat bagaimanapun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara.

"Semua premis perniagaan, fasiliti awam dan pelanggan juga diwajibkan menggunakan aplikasi MySejahtera atau PahangGo bagi tujuan pendaftaran pergerakan dan semakan kendiri status risiko atau kesihatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri hanya membenarkan operasi perniagaan di Pahang bermula 7 pagi hingga 12 tengah malam dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuat kuasa 10 Jun lalu.

Keputusan yang dibuat pada 22 Jun lalu bagaimanapun mengecualikan sektor seperti stesen minyak, klinik dan kilang yang dibenarkan beroperasi mengikut kelulusan lesen asal.

Wan Rosdy berkata kelab malam, pub dan disko masih tidak dibenarkan beroperasi, selari dengan keputusan kerajaan Persekutuan yang diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Bagi aktiviti dan acara keagamaan, sosial atau majlis rasmi seperti mesyuarat, perhimpunan dan latihan, Wan Rosdy berkata penganjuran program perlu mematuhi aspek kapasiti ruang dan jarakan sosial. #sumber


Share:

Dr Noor Hisham: Empat Kluster Baharu Dikenal Pasti Hari Ini

KUALA LUMPUR  - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti empat kluster baharu hari ini melibatkan individu dalam siasatan (PUI) Pitakwa, PUI Shirala, Pusat Perubatan Kuching dan Jupiter, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut Dr Noor Hisham pecahan kes indeks bagi keempat-empat kluster tersebut melibatkan dua warga tempatan dan dua bukan warganegara.

Katanya kes indeks kluster PUI Pitakwa merupakan seorang warga Malaysia (iaitu kes ke-8737) yang telah pulang ke tanah air dari negara Nigeria pada 11 Julai lepas dan saringan COVID-19 di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) didapati negatif.

Namun, tiga hari kemudian beliau perlu menjalani ujian ulangan COVID-19 kerana didapati mengalami gejala teruk dan dikesan positif serta dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu.

"Susulan itu, 44 kontak rapat telah dikenal pasti dan disaring terutama dalam kalangan ahli keluarga, penumpang dan kru kapal terbang, pemandu teksi serta rakan sekerja. Daripada jumlah tersebut dua dikesan positif (iaitu kes ke-8754 dan 8755), tiga negatif manakala selebihnya masih menunggu keputusan," menurut beliau dalam satu kenyataan hari ini. #sumber

Share:

Kakitangan Awam Pahang Dapat Bantuan Khas Kewangan RM500

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang hari ini telah mengumumkan pembayaran Bantuan Khas kewangan sebanyak RM500 seorang kepada kira-kira 8,000 penjawat awam di Pahang, ianyanya merangkumi Gred JUSA hingga kebawah. Pengumuman dibuat oleh Menteri Besar Pahang YAB Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail selepas Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) pada pagi tadi.

“Pembayaran akan dibuat esok, Khamis, 16 Julai 2020. Kerajaan Negeri memperuntukkan kira-kira RM4 juta bagi melaksanakan pembayaran ini”

Jelas Wan Rosdy lagi, ia selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2020 berkaitan Bantuan Kewangan 2020 yang merupakan sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) sepertimana YAB Perdana Menteri umumkan pada 27 Mac 2020.

Beliau juga berharap semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Badan-Badan Berkanun Negeri untuk meneladani serta membuat pembayaran yang sama.

“Pembayaran ini dapat membantu dalam persediaan meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha pada hujung bulan ini, kata Wan Rosdy. #sumber

Share:

Laporan Ketua Audit Negara: Projek Naik Taraf Bekalan Air Felda Di Pahang Lewat 1,187 Hari !

KUALA LUMPUR -- Projek menaik taraf sistem bekalan air Felda di negeri Pahang lewat 1,187 hari, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 3.

Menurut laporan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, projek menaik taraf sistem bekalan air Felda di seluruh negara pula, telah lewat 365 hari dari tarikh siap asal yang ditetapkan.

“Kelewatan ini menyebabkan objektif untuk mengurangkan gangguan bekalan air dan non-revenue water (NRW) masih belum tercapai.

“Sehingga projek siap sepenuhnya, objektif untuk mengurangkan gangguan bekalan air dan NRW masih belum menunjukkan pengurangan yang ketara,” menurut laporan tersebut.

Laporan Ketua Audit turut menyebut, pengauditan melibatkan penilaian terhadap pelaksanaan projek di seluruh Felda di Pahang bagi tempoh 45 bulan mulai Mac 2013 hingga September 2016, manakala untuk seluruh negara pula bagi tempoh 36 bulan mulai Januari 2016 hingga Disember 2018.

Menurut laporan itu, kerajaan telah menyalurkan sejumlah RM621 juta sehingga 2018 untuk pelaksanaan projek tersebut, yang antara lain mengurangkan gangguan bekalan air dan kadar kehilangan air tidak berhasil di rancangan Felda yang terlibat.

Semakan audit juga mendapati, terdapat kelemahan dalam prestasi kewangan, pengurusan nilai, pentadbiran kontrak, peruntukan kerja-kerja awalan, kualiti kerja pembinaan dan pemantauan bagi aspek pengurusan projek.

Audit kemudian mengesyorkan supaya Felda menjalankan siasatan dalaman dan mengambil tindakan terhadap pegawai yang terlibat, jika terbukti kecuaian dalam pelaksanaan pembayaran tidak teratur, hingga menyebabkan kerugian kepada kerajaan.

Selain itu, turut disyorkan, Felda perlu mengkaji semula mekanisme pemantauan terhadap projek, supaya pentadbiran kontrak dan pengurusan pembinaan yang lebih rapi dan berkesan dapat diwujudkan. #sumber


Share:

Pesara Rugi RM53,500 Angkara Pelaburan Bitcoin Tak Wujud

KUANTAN - Hasrat seorang pesara untuk menikmati keuntungan daripada hasil pelaburan saham selama empat tahun berkubur apabila dia sebenarnya ditipu oleh skim pelaburan yang tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintenden Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 60 tahun kerugian RM53,500 akibat menyertai pelaburan itu pada 2017 selepas dipengaruhi oleh seorang rakannya.

"Mangsa berminat selepas diberitahu bahawa duit pelaburan itu ditukarkan kepada bitcoin dalam nilai Dolar AS dan akan masuk ke dalam akaun cyrptogold miliknya.

Suspek memaklumkan kepada mangsa, bahawa akan menerima keuntungan berterusan dan wang modal dikembalikan selepas setahun, jika sanggup melabur sebahagian wang simpanannya untuk pelaburan saham tersebut.

"Tanpa berfikir panjang mangsa membuat pemindahan wang sebanyak RM26,500 pada 28 November 2017. Seterusnya pada 24 Januari 2018 mangsa membuat pindahan wang sekali lagi sebanyak RM27,000 ke akaun sama.

Namun sehingga laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh, mangsa masih tidak menerima pulangan," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan kerana menipu. #sumber

Share:

Lelaki Bunuh Kucing Di Kedai Dobi, Direman Empat Hari

KUALA LUMPUR: Lelaki berusia 30-an yang membunuh tiga ekor kucing secara kejam dengan melemaskan haiwan itu dalam tiga mesin basuh di sebuah kedai dobi layan diri di Kepong, di sini, semalam direman selama empat hari.

Suspek terbabit diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar, malam tadi oleh penduduk yang mengenalinya, direman bagi membantu siasatan mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Perkhidmatan Veterinar Dr Zainita Mohd Noor, berkata bangkai kucing itu telah diambil untuk dibuat bedah siasat bagi penyediaan laporan awal.

"Ia masih dalam siasatan dan proses penyediaan kertas laporan siasatan sedang dibuat," katanya ketika dihubungi.

Semalam, seorang wanita mendedahkan dalam laman media sosial mengenai tindakan kejam individu yang membunuh tiga ekor kucing dengan cara dilemaskan dalam tiga mesin basuh di sebuah kedai dobi layan diri di Kepong.

Tindakan kejam itu dipercayai dilakukan seorang lelaki berusia 30-an kira-kira jam 5.30 pagi.

Lelaki terbabit yang didakwa kurang siuman dan hidup gelandangan selepas kematian ibu bapanya ditahan bagi membantu siasatan selepas ditemui penduduk di Aman Puri, Gombak. #sumber


Share:

MP Kuantan, Fuziah Salleh Dilantik Sebagai Ketua Wanita PKR

KUALA LUMPUR - Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh dilantik sebagai Ketua Wanita PKR yang baru selepas bekas penyandangnya Haniza Talha dipecat PKR dua minggu lalu.

Fuziah mengesahkan perkara tersebut ketika dihubungi.

“Tadi mesyuarat yang dipanggil oleh penasihat parti (Dr Wan Azizah Wan Ismail) dengan pimpinan wanita dan juga taskforce (jawatankuasa) wanita untuk umumkan lantikan,” katanya.

Difahamkan lantikan tersebut diputuskan oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

Untuk rekod, Fuziah tewas kepada Haniza dalam pemilihan parti pada tahun 2018 selepas hanya meraih 47 peratus undi.

Selepas Haniza dipecat, pengerusi PKR Pahang itu antara empat calon yang dinamakan untuk menggalas jawatan ketua wanita parti.

Selain beliau ialah Rodziah Ismail, Elizabeth Wong dan Gan Pei Nei.

Jawatan Timbalan Ketua Wanita PKR juga kosong susulan peletakan jawatan Dr Doroyah Alwi.

Haniza dan Daroyah merupakan penyokong setia bekas Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, yang kini bersama Bersatu. #sumber


Share:

Dewan Rakyat Lulus Usul Speaker Kosongkan Jawatan

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat sebentar tadi meluluskan usul dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Speaker Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan jawatannya.

Usul itu diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen, yang diperoleh menerusi undian secara belah bahagi.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon memaklumkan seramai 111 Ahli Parlimen menyokong, sementara 109 Ahli Parlimen lagi menolak, seorang Ahli Parlimen tidak hadir.

Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Maximus Joniti Ongkili tidak hadir.

Sebelum itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, membentangkan usul itu sebelum dibahaskan kira satu jam 10 minit oleh empat Ahli Parlimen, masing-masing mewakili kerajaan dan pembangkang.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hasan ketika sesi penggulungan menegaskan usul yang dibawa Muhyiddin supaya Mohamad Ariff mengosongkan jawatannya dibuat berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, usul itu juga tidak cacat dan ia diterima oleh Mohamad Ariff sendiri pada 29 Jun lalu, mencakupi tempoh masa 14 hari sebelum persidangan Dewan Rakyat bermula.

"Saya ingin memaklumkan bahawa usul ini dibuat berdasarkan Perlembagaan dan undang-undang yang ditetapkan dalam Parlimen.

"Sebagai contoh, tidak pernah berlaku dalam negara ada Perdana Menteri interim, tetapi ia berlaku dan kita menerimanya.

"Jadi jangan hanya melihat Peraturan Mesyuarat sahaja kerana Peraturan Mesyuarat dibuat berdasarkan Perlembagaan Persekutuan," katanya. #sumber

Share:

Pemandu Mabuk Cedera, Langgar Tembok Masjid Di Bukit Mertajam


BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki dipercayai memandu dalam keadaan mabuk cedera parah selepas kereta dipandunya terbabas dan merempuh pagar Masjid Jamek Tengah Berapit di Jalan Berapit di sini, awal pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Shafee Abd Samad, dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, lelaki berusia 23 tahun itu memandu bersendirian dan siasatan awal mendapati lelaki itu memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Kemalangan berlaku di laluan lurus dan pemandu di percayai hilang kawalan sebelum terbabas serta merempuh pagar masjid itu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pemandu yang cedera parah dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki yang tinggal di Kampung Aston Road itu negatif daripada penggunaan dadah dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987. #sumber
Share:

Lelaki Bunuh Tiga Ekor Kucing Dalam Mesin Basuh Di Kedai Dobi !


KUALA LUMPUR - Tidak berperikemanusian dan kejam. Itulah perilaku seorang lelaki yang membunuh tiga ekor kucing dengan cara melemaskannya di dalam mesin basuh di sebuah kedai dobi layan diri di Kepong di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada 9.30 pagi tadi melalui seorang wanita berusia 39 tahun.

“Wanita itu memaklumkan kejadian berkenaan berlaku semasa dia datang ke dobi untuk membasuh baju namun menjumpai tiga ekor kucing yang sudah mati di dalam tiga mesin basuh berasingan.


“Wanita berkenaan kemudiannya menghubungi serta melaporkan kejadian itu kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan.

Arifai berkata siasatan lanjut menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kegiatan itu dilakukan seorang lelaki yang bertindak memasukkan tiga ekor kucing berkenaan di dalam mesin basuh pada pukul 5.30 pagi.

Beliau berkata siasatan lanjut dirujuk kepada Pejabat Veterinar Shah Alam untuk tindakan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015. #sumber
Share:

PM Kemuka Usul Pengosongan Kerusi Yang Dipertua Dewan Rakyat


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengusulkan di Dewan Rakyat supaya jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dikosongkan atas alasan terdapat pencalonan lain bagi jawatan berkenaan.

Ahli Parlimen Pagoh itu bangun mengusulkan cadangan tersebut di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon.

“Bahawa Dewan Rakyat ini mengambil ketetapan untuk Tuan Yang Dipertua, Yang Berhormat Tan Sri Dato' Mohamad Ariff bin Md Yusof mengosongkan jawatannya atas alasan terdapat pencalonan lain bagi jawatan Tuan Yang Dipertua,” kataya ketika membacakan usul tersebut.

Usul berkenaan disokong Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali 

Mohd Rashid kemudian membuka kepada sidang untuk membahaskan usul berkenaan.

Mohamad Ariff sebelum ini dipilih menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 16 Julai 2018, sebaik mesyuarat pertama Parlimen ke-14 selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Mengikut Aturan Mesyuarat hari ini, Muhyiddin akan mengusulkan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun bagi menggantikan Mohamad Ariff sebagai Yang Dipertua.

Selain itu, beliau turut dijadual mengusulkan supaya Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming mengosongkan jawatan sebelum kemudiannya mengusulkan cadangan  supaya Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said menggantikan Nga sebagai Timbalan Yang Dipertua. 

Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 yang bersambung semula bermula hari ini sebelum ini hanya diadakan selama sehari pada 18 Mei lepas melibatkan titah ucapan pembukaan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Persidangan akan berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos 2020 berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19. #sumber
Share:

Wanita Malaysia Pertama Dilantik Profesor Madya Di Universiti Oxford

KUALA LUMPUR: Pakar kardiologi, Dr Masliza Mahmod melakar sejarah sebagai wanita pertama Malaysia yang dinaikkan pangkat sebagai Profesor Madya bagi Perubatan Kardiovaskular di Universiti Oxford, United Kingdom baru-baru ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengucapkan tahniah kepada Dr Masliza atas kenaikan pangkatnya selain mengakui kebijaksanaan dan pencapaian hebat beliau sebagai pakar kardiologi.

"Beliau sememangnya seorang pakar kardiologi yang bijak dan meskipun berdepan pelbagai kesulitan serta cabaran, ketabahan dan minat mendalam beliau dalam penyelidikan klinikal menjadikannya seorang pakar kardiologi akademik yang ulung.E"Tiada apa yang boleh menghalang beliau untuk terus melangkah ke tahap lebih tinggi. Kita amat berbangga dengan pencapaian beliau... ," katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Menurut Jabatan Perubatan Radcliffe di Universiti Oxford, penyelidikan Dr Masliza memfokus kepada penggunaan pengimejan resonans magnetik kardiovaskular (CMR), teknik-teknik spektroskopi bagi pengesanan awal kelainan jantung serta mencari rawatan baharu untuk pesakit kardiomiopati, kegagalan jantung, penyakit injap aorta dan diabetes mellitus.

Dr Maszlina, 47 tahun berasal dari Batu Pahat, Johor kini menganggotai Jawatankuasa Pemandu Pasukan Petugas Penyelidikan Kegagalan Jantung British Society of Cardiovascular Magnetic Resonance (BSCMR).

Beliau juga adalah Ahli Royal College of Physicians (MRCP) dari London itu memiliki Ijazah Sarjana Perubatan Dalaman (MMed) dari Malaysia dan ijazah perubatan awal (MBChB) dari Universiti Otago, New Zealand. #sumber

Share:

Polis Kesan 532 Individu Gagal Hadir Saringan Kedua Covid-19


KUALA LUMPUR - Polis telah berjaya mengesan 532 individu yang menjalani kuarantin di rumah namun gagal hadir saringan kedua COVID-19  sebelum ini dengan  kesemuanya didapati telah berbuat demikian di klinik kesihatan berdekatan. 

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata polis kini menjejaki baki 45 individu.

Mereka yang telah dikesan merangkumi 303 orang di Selangor, Kuala Lumpur (156), Johor (62), tiga di Sabah, masing-masing dua di Pahang dan Kedah, serta seorang masing-masing di Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan dan Sarawak, katanya.

Menurutnya polis menerima senarai 577 individu yang dikategorikan ‘tercicir’ terbabit, iaitu gagal hadir saringan kedua COVID-19, daripada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan pada Jumaat minggu lepas.

“Sehubungan itu, Jabatan Siasatan Jenayah telah melancarkan tindakan pengesanan ke atas individu-individu terbabit  di seluruh negara,” katanya kepada Bernama di sini.

“Usaha pengesanan individu-individu berkenaan adalah menggunakan pendekatan berikut, iaitu seramai 392 individu berjaya dihubungi menerusi panggilan telefon manakala seramai 140 individu pula dikesan menerusi alamat rumah.

“Individu-individu yang masih belum menjalani saringan kedua COVID-19 itu dinasihati  hadir membuat saringan kedua pada kadar segera di klinik-klinik kesihatan berdekatan,” katanya.

Abdul Hamid berkata sekiranya masih ingkar, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas mengikut Akta Akta Pencegahan dan PengawalanPenyakit Berjangkit 1988 dan undang-undang lain yang berkuat kuasa. 

Pada 1 Julai lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob dilapor berkata seramai 1,472 individu yang menjalani kuarantin di rumah masih belum menjalani ujian COVID-19  kedua pada hari ke-13 tempoh kuarantin mereka. #sumber
Share:

Orang Ramai Di Minta Waspada Sindiket Penipuan Bayaran Cukai


KUALA LUMPUR - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dengan sindiket penipuan yang mengarahkan mangsa membuat bayaran tertunggak Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) melalui surat palsu dengan menggunakan nama dan logo LHDN.

LHDN dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan bahawa surat palsu itu mengandungi butiran peribadi mangsa termasuk maklumat perbankan dan amaun cukai tertunggak yang perlu dibayar serta dilengkapi dengan tandatangan palsu pegawai LHDN.

Menurut LHDN orang ramai boleh mengenalpasti surat palsu itu dengan mudah kerana perihal SST adalah dikendalikan oleh agensi lain dan bukannya di bawah LHDN.

“LHDN memandang seriuys terhadap perkara ini dan orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan setiap panggilan, e-mel mahupun surat yang meragukan dengan mendapatkan pengesahan daripada LHDNM terlebih dahulu.

“Sebarang bayaran cukai juga hendaklah dibuat terus ke akaun LHDN dan bukannya melalui akaun peribadi individu mahupun pihak ketiga,” menurut kenyataan itu.

Untuk sebarang maklumat lanjut, orang ramai juga boleh melayari portal rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my dan pertanyaan serta maklum balas berkaitan perkara ini juga boleh diajukan kepada LHDN melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-89111100 (Luar Negara) dan media sosial rasmi LHDN. #sumber
Share:

Kemalangan Di LPT: Kereta Langgar Pembahagi Jalan, Dua Maut


KUANTAN - Dua lelaki terbunuh selepas kenderaan SUV yang dinaiki mereka terbalik selepas melanggar pembahagi jalan dalam satu kemalangan di KM196.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala barat di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata pemandu, Ahmad Roshidi Halim, 51, dan penumpang Rajhan Ibrahim, 64, yang duduk di tempat duduk belakang meninggal dunia dalam kejadian pada pukul 5.05 petang itu, manakala seorang lagi penumpang Mohd Wari Mat Zaki, 51, hanya mengalami kecederaan ringan.

Kedua-dua Ahmad Roshidi dan Rajhan berasal dari Alor Setar, Kedah, manakala Mohd Wari dari Kangar Perlis, dan ketiga-tiga mereka dipercayai rakan niaga.

"Kemalangan dipercayai berlaku selepas kenderaan itu hilang kawalan, menyebabkan ia melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri sebelum ia terbalik di antara dua laluan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semua mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. #sumber
Share:

Azhar Letak Jawatan Pengerusi SPR, Azmi Jalankan Tugas Pengerusi

PUTRAJAYA  --  Datuk Azhar Azizan Harun meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkuat kuasa pada 29 Jun lepas.

SPR dalam kenyataan hari ini berkata Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom akan menjalankan tugas-tugas Pengerusi SPR sehingga pelantikan pengerusi baharu SPR, selaras dengan Perkara 114 (7) Perlembagaan Persekutuan.

SPR berkata peletakan jawatan itu telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan dimaklumkan melalui surat Istana Negara bertarikh 30 Jun 2020.

Azhar dilantik sebagai Pengerusi SPR pada 21 Sept 2018 menggantikan Tan Sri Mohd Hashim Abdullah yang tamat tempoh perkhidmatan.

"SPR mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Azhar Azizan Harun atas segala sumbangan dan khidmat bakti beliau sebagai Pengerusi SPR," kata suruhanjaya itu.  #sumber


Share:

Selepas Di Kecam, Latiff Ahmad Mohon Maaf Kata ‘UMNO Tak Laku’

KUALA LUMPUR - Selepas menerima bidasan demi bidasan dari pemimpin UMNO, akhirnya, anggota parlimen Mersing Dr Abdul Latiff Ahmad mengakui kesilapannya.

Sambil mengingatkan UMNO, musuh sebenar adalah pihak lawan dan mereka tidak sepatutnya bercakaran sesama sendiri, katanya beliau memohon maaf sekiranya kenyataan berhubung "UMNO tidak laku di Sabah" telah disalah anggap dan menyakiti hati banyak pihak.

"Kenyataan itu adalah kenyataan peribadi bukan mewakili parti.

"Saya dengan rendah diri Ingin memohon maaf sekiranya kenyataan saya itu menyinggung perasaan sesetengah pihak.

“Musuh sebenar adalah pihak lawan, Jangan biarkan kita bercakaran," katanya seperti lapor Pnbbcportal.

Sebelum itu, Abdul Latiff yang juga pemimpin Bersatu membuat kenyataan dalam sebuah forum terbuka yang kemudian menjadi tular di media sosial.

“Orang Sabah dia tak panggil lompat, dia panggil hijrah. Biasa dari Berjaya ke PBS, PBS pergi UMNO.

“Sekarang ini UMNO sudah tak lakulah. UMNO maksud saya parti UMNO di Sabah. Itu realitinya kerana (orang) tak yakin. Semua yang lompat juga sudah hijrah ke Bersatu,” kata menteri berkenaan.

Untuk rekod, Abdul Latiff yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar adalah antara beberapa bekas Ahli Parlimen UMNO yang meninggalkan parti itu untuk menyertai Bersatu selepas kekalahan BN pada pilihan raya umum lalu.

Dalam pada itu, anggota Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi secara sinis berkata, jika parti itu tidak laku di Sabah mana mungkin Salleh Said Keruak memohon untuk kembali menyertai UMNO.

"Mujur Dr Latif tidak dibaling dengan batu dan telur busuk walaupun mengata UMNO sebagai sarkas dan tidak laku di Sabah.

"Kalau tidak laku, macam mana Salleh mohon masuk balik UMNO? Sedarkah Latif, di Mersing PPBM (Bersatu) hanya ada lima cawangan," katanya.

Sindir Mohd Puad lagi, apakah dengan lima cawangan di Mersing itu membuktikan Bersatu diterima rakyat.

Sementara itu, Exco Pemuda UMNO Mustafa Shah Abdul Hamid mencabar Abdul Latiff mengosongkan kerusi yang dimenanginya atas tiket UMNO di Mersing jika berasakan Umno sudah tidak laku lagi.

"Saya mencabar beliau supaya melepaskan kerusi Parlimen Mersing yang dimenanginya atas tiket UMNO sebelum.

"Di situ baru beliau sedar bahawa UMNO itu masih laku ataupun tidak. Jika tidak kerana UMNO berinya bertanding di situ, beliau tidak akan dapat jadi menteri.

"Menang pun disebabkan jentera Umno, ada hati mencemuh UMNO" katanya lagi. #sumber

Share:

Rasuah: Kejian Warganet 'Lahanat', Mokhtar Senik Bela Mat Sabu

KUALA LUMPUR - Anggota jawatankuasa pusat PAS Mokhtar Senik membela bekas menteri merangkap presiden Amanah Mohamad Sabu yang dikeji warganet ekoran penahanan pegawainya atas kes rasuah.

Mengulas satu tangkap layar hantaran yang melabel Mohamad sebagai “lahanat”, kata Mokhtar, perkataan yang membawa maksud laknat itu diharamkan oleh ulama untuk digunakan kepada orang lain, meskipun kepada orang fasik.

“Yang ditahan itu katanya mantan setiausaha beliau. Lalu mengapa terus disebut nama beliau.

“Kes dalam siasatan. Belum diputuskan oleh mahkamah. Adab Islam ialah ‘seorang itu tidak bersalah kecuali telah dibuktikan bersalah’, melalui prosedur pengadilan yang benar,” katanya dalam satu hantaran Facebook.

Dalam tangkap layar yang dikepil bersama hantarannya itu, seorang warganet membuat kenyataan “Lahanat betul Mat Sabu(Mohamad) ni, baru 22 bulan RM56 juta.”

Hari ini, setiausaha politik Mohamad dilaporkan direman enam hari setelah ditahan semalam, kerana disyaki menerima rasuah bagi projek selenggaraan sistem keselamatan negara bernilai lebih RM56 juta.

Dia direman bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati suspek telah menerima rasuah bernilai jutaan ringgit daripada sebuah syarikat, sebagai balasan mendapatkan projek sistem itu secara rundingan terus dengan sebuah kementerian, pada sekitar Ogos 2019.

“Selain itu, SPRM turut menyita pelbagai mata wang tunai yang dianggarkan bernilai lebih RM70,000, serta dokumen berkaitan projek berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM,” kata sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengulas lanjut, kata Mokhtar, dia secara peribadi tidak bersetuju perkataan sebegitu dilontarkan.

Pesannya, kalau hendak berpolitik sekalipun, haruslah secara Islami, menepati aqidah, syariat dan akhlaknya.

“Walaupun seseorang itu musuh politik kita, namun kita hendaklah menghadapinya secara benar menurut hukum.

“Jadi saya sarankan berhati-hatilah mengeluarkan perkataan. Jangan terikut-ikut dengan ahli-ahli politik jalanan. Ingat, Allah memerhati kita,” pesannya lagi. #sumber

Share:

Setpol Menteri Ditahan: Amanah Tuntut SPRM Bersikap Profesional

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) menuntut supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersikap profesional dalam menjalankan siasatan ke atas seorang setiausaha politik yang ditahan berhubung kes tuduhan rasuah petang semalam.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, ini kerana tiada keperluan untuk SPRM memohon reman ke atas setiausaha politik kepada seorang pemimpin daripada sebuah parti itu memandangkan beliau mampu memberikan kerjasama sepenuhnya.

"Tiada keperluan SPRM memohon penahanan reman. Hanya sekiranya beliau tidak hadir bila dipanggil dan tidak memberi kerjasama dengan SPRM mungkin ada alasan untuk dia direman.

"Amanah memandang serius tindakan SPRM yang bersifat keterlaluan dan kami memohon supaya beliau diberikan hak untuk bertemu peguam sejajar dengan prinsip hak asasi dan perlembagaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Hatta berkata, kegagalan SPRM untuk menjalankan siasatan secara adil dan telus boleh menimbulkan tanggapan bahawa tindakan suruhanjaya itu bermotif politik serta boleh menjejaskan imej mereka.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mendedahkan SPRM telah melakukan operasi penggeledahan di ibu pejabat parti di Wisma Amanah Negara, Kuala Lumpur pada awal pagi ini.

Beliau mendakwa, tindakan geledah itu dilakukan tanpa dikemukakan terlebih dahulu dokumen waran geledah kepada pegawai keselamatan Wisma Amanah Negara dan ketika ditanya, waran dikatakan akan diserahkan kepada individu berkenaan yang dibawa bersama.

Terdahulu, SPRM menahan seorang setiausaha politik bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu untuk membantu siasatan rasuah membabitkan projek secara rundingan terus di Kementerian Pertahanan bernilai lebih RM56 juta.

Majistret, Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman selama enam hari terhadap lelaki itu bermula hari ini hingga 13 Julai ini, selepas mendengar permohonan dikemukakan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya. #sumber

Share:

Setpol Bekas Menteri Direman, Terima Suapan Jutaan Ringgit !

PUTRAJAYA - Seorang bekas Setiausaha Politik (Setpol) kepada bekas menteri direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes menerima suapan bagi projek selenggaraan sistem keselamatan negara yang dianggarkan bernilai lebih RM56 juta.

Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman selama enam hari terhadap lelaki itu bermula hari ini sehingga 13 Julai ini, selepas mendengar permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Menurut sumber, bekas Setiausaha Politik berusia 49 tahun tersebut ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada jam 8 malam semalam selepas hadir memberi keterangan.

"Siasatan awal mendapati suspek dikatakan telah menerima wang rasuah bernilai jutaan ringgit daripada sebuah syarikat sebagai balasan mendapatkan projek sistem tersebut secara rundingan terus dengan sebuah kementerian pada Ogos 2019.

Katanya, SPRM turut menyita pelbagai mata wang tunai yang dianggarkan bernilai lebih RM70,000 serta dokumen berkaitan projek berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM," katanya. #sumber

Share:

Dipecat Bersatu, Pemuda Amanah Pelawa Syed Saddiq Sertai Parti Itu

KUALA LUMPUR - Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) mempelawa bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan anggota kepemimpinan sayap itu untuk menyertai parti berkenaan.

Ketua Pemuda AMANAH, Shazni Munir Mohd Ithnin, berkata pelawaan itu susulan pemecatan Syed Saddiq daripada BERSATU pada 28 Mei lalu, selain sebahagian pemimpin ARMADA mungkin akan diketepikan.

Katanya, AMANAH bukan parti yang asing bagi Ahli Parlimen Muar itu dan anggota ARMADA, terutama sejak menjalinkan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)

"Sejak menghadapi PRU-14 sehingga hari ini, AMANAH terus bekerjasama dengan kumpulan BERSATU pro Tun Dr Mahathir Mohamad (bekas Perdana Menteri), termasuk Syed Saddiq.

"Pastinya AMANAH sangat terbuka menerima penyertaan tokoh dan aktivis anak muda ini ke dalam parti untuk bersama-sama memperjuangkan Malaysia yang lebih baik.

"Pemuda AMANAH optimis penyertaan ini bakal merancakkan lagi gerakan anak muda dalam arena politik tanah air," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Syed Saddiq memaklumkan akan menarik semula saman sivil berhubung kes pemecatan keahliannya daripada BERSATU.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebooknya, beliau yang juga antara pengasas BERSATU reda dengan nasib yang menimpanya dalam parti itu.

Syed Saddiq antara lima bekas pimpinan BERSATU yang memfailkan tuntutan membatalkan pemecatannya dari parti itu. #sumber

Share:

Dakwa UMNO Sabah 'Tak Laku', Dr Latiff Perlu Letakkan Jawatan !

KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad yang menyifatkan UMNO Sabah sebagai sebuah “parti yang tidak laku” disifatkan sebagai satu penghinaan yang diungkapkan oleh seorang pengkhianat yang lari daripada parti tersebut.

Oleh itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memandang serius video tular kenyataan Abd Latiff yang biadab dan angkuh itu.

Tegasnya, kenyataan seperti itu tidak harus diungkapkan oleh seorang yang sudah berstatus Menteri dalam sebuah kerajaan yang terbentuk hasil kerjasama gabungan parti-parti politik terutamanya UMNO sebagai rakan komponen terbesarnya.

”Lebih menghiris lagi apabila kenyataan yang berupa penghinaan sebegitu diluahkan oleh seorang pengkhianat parti yang lari dan terjun meninggalkan bahtera UMNO di saat badai besar melanda, sedangkan bahtera inilah yang pernah mengangkat beliau sebagai Ahli Parlimen Mersing.

”Justeru, demi maruah UMNO dan mengekalkan keharmonian dan penghormatan parti-parti yang bekerjasama dalam Kerajaan Perikatan Nasional, Pemuda UMNO bertegas agar Datuk Latiff segera meletakkan jawatan selaku Menteri Kabinet,” katanya.

Tegasnya, Pemuda UMNO tidak sesekali merelakan maruah parti terus dicabuli buat kali kedua dengan kata nista berupa penghinaan setelah perilaku pengkhianatan ke atas parti ini cuba kami kompromi. #sumber

Share:

Curi Elektrik: ST Dan TNB Serbu Dua Premis Melombong Matawang Kripto


PELABUHAN KLANG -- Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyerbu dua premis perniagaan matawang kripto di Taman Pendamar Indah di sini, kerana disyaki beroperasi dengan mencuri bekalan elektrik.

Serbuan Ops Bitcoin selama hampir dua jam bermula kira-kira pukul 9 pagi itu, dijalankan 40 kakitangan  SEAL (Special Engagement Against Losses) TNB bersama 12 penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan 15 kakitangan ST.

Pengarah Unit Perancangan dan Penyelarasan Penguatkuasaan ST Ir Shafie Mohamed berkata, siasatan selama sebulan yang dijalankan TNB menemukan satu pendawaian haram diwujudkan, untuk menyalurkan bekalan elektrik ke premis terbabit.

“Pendawaian haram ini dilakukan supaya bekalan elektrik disambung secara terus dan tidak melalui meter TNB. Dianggarkan premis ini telah beroperasi sejak tiga bulan lepas," katanya kepada pemberita selepas serbuan berkenaan di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) Elya Marini Darmin.

Tambah Shafie, pihaknya menganggarkan TNB mengalami kerugian kira-kira RM30,000 setiap bulan bagi sebuah premis yang melakukan kegiatan mencuri elektrik berkenaan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990 dan jika didapati bersalah, mereka boleh didenda dan dihukum penjara,” katanya.

Sementara itu, Elya Marini berkata, MPK mengenal pasti 21 premis di sekitar kawasan pentadbiran majlis perbandaran itu, yang melakukan kegiatan mencuri bekalan elektrik.

Katanya, MPK akan mengenal pasti pemilik premis berkenaan dan maklumat mengenainya akan disalurkan kepada ST serta TNB, untuk siasatan lanjut bagi dikenakan tindakan undang-undang.

“Siasatan dijalankan oleh ST dan TNB kerana mungkin sambungan itu dibuat sama ada oleh pemilik, penyewa atau penceroboh #sumber
Share:

Mahkamah Kekalkan Hukuman Penjara, Enam Sebatan Tentera Rogol Isteri Rakan

PUTRAJAYA -- Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 13 tahun dan enam sebatan dihadapi seorang anggota tentera yang disabitkan kesalahan merogol isteri rakannya semasa bermalam di rumah pasangan itu empat tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said, dalam keputusan sebulat suara, menolak rayuan terakhir Koperal Mohd Zulkarnain Abdul Razak selepas mendapati rayuannya tidak mempunyai merit.

Panel itu yang turut dianggotai Hakim Mahkamah Rayuan P. Ravinthran dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin mengekalkan keputusan dibuat Mahkamah Sesyen Ampang dan Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Sesyen Ampang pada 2017, mendapati Mohd Zulkarnain bersalah terhadap pertuduhan merogol wanita itu, ketika itu berusia 25 tahun, di dalam bilik tidur apartmennya di Ampang, Selangor pada 3.30 pagi, 12 Julai, 2016.

Mohd Zulkarnain, 40, dijatuhi hukuman penjara 13 tahun dan enam sebatan dengan rotan oleh Mahkamah Sesyen itu.

Mohd Zulkarnain gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas mahkamah itu pada 13 Feb tahun lepas menolak rayuannya, mendorongnya mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Menurut fakta kes, mangsa sedang tidur dengan anaknya apabila  Mohd Zulkarnain masuk ke dalam bilik dan merogolnya dalam keadaan gelap.

Suami mangsa tiada di rumah ketika itu.

Mohd Zulkarnain, dalam pembelaannya, tidak menafikan yang dia bermalam di rumah mangsa tetapi menafikan dia merogol wanita itu.

Peguam Noor Svetlana Mohd Noor Nordin mewakili Mohd Zulkarnain manakala Timbalan Pendakwa  Raya Mohd Zain Ibrahim mewakili pihak pendakwaan. #sumber

Share:

Wang RM835,258.19 Disita Daripada MCA Pahang Kini Milik Kerajaan


KUALA LUMPUR - Wang berjumlah RM835,258.19 yang disita darripada MCA Pahang oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kini menjadi milik kerajaan.

Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin yang membenarkan permohonan SPRM selaku pemohon untuk melucut hak ke atas wang berkenaan daripada MCA Pahang selaku responden.

Dalam penghakiman ringkas, Muhammad Jamil berkata pemohon telah berjaya membuktikan wang tersebut disita daripada MCA Pahang adalah hasil daripada aktiviti haram.

Katanya, responden menerusi afidavit, tidak pernah menafikan fakta bahawa mereka telah menerima pembayaran bernilai RM3 juta melalui cek daripada Datuk Seri Najib Tun Razak, namun mendakwa wang itu telah habis dibelanjakan.

"Responden dalam afidavit mereka menyatakan bahawa wang RM835,258.19 adalah wang derma dari sumber lain," katanya.

Hakim itu berkata bagaimanapun responden tidak mengemukakan apa-apa penyata akaun bank yang boleh menunjukkan wang RM835,258.19 daripada derma lain yang diterimanya.

Katanya, laporan kewangan responden juga dalam bahasa Cina dan mahkamah tidak memahami kandungannya selain tiada penyata akaun bank dikemukakan kepada mahkamah.

Muhammad Jamil berkata mahkamah juga bersetuju dengan hujahan pendakwaan bahawa jumlah RM835,258.19 adalah baki dari wang RM3 juta.

" Oleh itu mahkamah mendapati wang RM3 juta yang dibayar oleh Najib kepada responden adalah berkaitan dengan kesalahan di bawah hasil aktiviti haram mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan di bawah kesalahan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM.

Atas imbangan kebarangkalian pemohon telah berjaya membuktikan wang RM835,258.19 yang disita daripada MCA Pahang adalah hasil daripada aktiviti haram," katanya.

Seksyen 23 adalah kesalahan menggunakan kedudukan atau jawatan bagi mendapatkan suapan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh manakala MCA Pahang diwakili peguam Datuk Ben Chan dan Ken Low Hai Liang. #sumber
Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.