script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Cikgu Kasim Samat Dipilih Sebagai Calon Perikatan Nasional Untuk PRK Pelangai !

KUANTAN: Perikatan Nasional (PN) menamakan Kasim Samat sebagai calon mereka bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Bentong pada 7 Oktober nanti.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam Ceramah Pengisytiharan Calon dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN yang diadakan di Simpang Pelangai, Bentong malam tadi.

Kasim yang merupakan pesara guru sebelum ini turut dinamakan sebagai calon di DUN Pelangai dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, namun tewas kepada penyandangnya Datuk Johari Harun.

Sebagai rekod, dalam PRU15 lalu, PN berjaya memenangi 17 kerusi, BN pula menang 16 kerusi dan Pakatan Harapan (PH)menang lapan kerusi daripada keseluruhan 42 kerusi DUN di negeri ini.

Bagaimanapun, DUN Pelangai yang mempunyai 16,456 pengundi menghadapi kekosongan kerusi luar jangka berikutan kematian Johari, 53, dalam nahas pesawat terhempas berhampiran bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

Ekoran itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Hari Penamaan Calon berlangsung pada Sabtu ini, manakala 3 Oktober sebagai Hari Undi Awal, manakala Hari Mengundi pengundi biasa ditetapkan pada 7 Oktober.

Pada PRU15 lalu, Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon PN Kasim Samat, calon PH Ahmed Wafiuddin Shamsuri dan calon Pejuang, Isa Ahamd. #sumber

Share:

Amizar Abu Adam Diumum Sebagai Calon Barisan Nasional Bagi PRK DUN Pelangai

 

BENTONG: Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong, Datuk Amizar Abu Adam, diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, bulan depan.

Majlis pengumuman calon disempurnakan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, di Majlis Daerah Bentong, malam tadi.

Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berkata, pemilihan Amizar dibuat selepas perbincangan dan persetujuan bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Jadi saya harap, bagi rakan-rakan yang disebut (sebagai calon) tetapi tak tersenarai, tidak merajuk atau bercuti. Kita sebagai orang parti, tolonglah kawan kita ini (Amizar) untuk menang di Pelangai.

"Ahli UMNO ada 3,040 orang di Pelangai, jadi saya harap kita ahli parti kerja keras, dapat keluarkan sekurang-kurangnya 90 peratus ahli kita keluar mengundi, terus bagi sokongan dan dukungan supaya calon kita boleh menang dengan cemerlang," katanya.

Turut hadir Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu; Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup; Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Naib Presiden MIC, Datuk M Asojan.

Amizar, 53, pernah bertanding bagi kerusi DUN Ketari pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tetapi tewas kepada calon Pakatan Harapan, Su Keong Siong.

Sementara itu, Amizar yang berasal dari FELDA Chemomoi dalam DUN Pelangai, secara rendah hati akan cuba menterjemahkan mandat dan kepercayaan parti dalam bentuk kemenangan pada PRK Pelangai.

"Saya akan usahakan kemenangan, saya nak teruskan khidmat, teruskan legasi Allahyarham Datuk Seri Johari Harun kepada Pelangai," katanya yang berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan dan Kepimpinan Strategik Universiti Sains Malaysia (USM).

PRK DUN Pelangai diadakan pada 7 Oktober ini susulan kematian penyandang kerusi, Datuk Seri Johari Harun, 53, dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada petang 17 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon berlangsung Sabtu ini, manakala 3 Oktober sebagai hari undi awal.

Pada PRU15, Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon PN Kasim Samat, calon PH Ahmed Wafiuddin Shamsuri dan calon Pejuang Isa Ahmad. #sumber

Share:

Kerajaan Pahang Beri Jaminan Akan Terus Laksana Pelbagai 'Projek' Di Mohon Johari

BENTONG: Kerajaan negeri Pahang memberi jaminan akan melaksanakan pelbagai projek yang telah dimohon oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai Allahyarham Datuk Seri Johari Harun, bagi kawasan itu.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata beliau telah berjumpa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi mengemukakan projek yang dimohon dan telah mendapat kelulusan.

Justeru, katanya sebanyak RM5.5 juta diperuntukkan untuk melaksanakan 32 projek merangkumi pelbagai kerja termasuk bina baharu dan naik taraf di kawasan Pelangai.

"Projek-projek berkenaan antara yang dimohon oleh Allahyarham Datuk Seri Johari Harun dan baru-baru ini saya berjumpa dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri supaya ia diteruskan.

"Ini juga bermakna kedudukan ekonomi kita bertambah baik, kalau tidak mana mungkin ia diluluskan dengan serta-merta dan projek ini semua berkaitan dengan rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Pahang di Felda Chemomoi di sini, pada Sabtu. 

Wan Rosdy berkata antara projek yang akan dilaksanakan ialah kerja-kerja naik taraf dan baik pulih Surau Kg Sungai Gapoi dan Surau Asyakirin serta bina baharu jalan di Kampung Sungai Poh, selain naik taraf jalan di Kampung Chemomoi.

Mengulas lanjut, beliau berkata projek berkenaan bukannya 'gula-gula' sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai kerana sebelum inipun pelbagai bantuan telah diberikan kepada rakyat walaupun bukan musim pilihan raya.

"Ini semua bukan sebab pilihan raya, di tempat lain pun ada juga kelulusan untuk kawasan DUN di Pahang...kita pada (sejak) dahulu lagi kalau tidak ada pilihan raya tetap bagi bantuan kepada semua golongan masyarakat.

"Di Pelangai, kerajaan negeri sendiri telah peruntukkan kira-kira RM2 juta manakala di kawasan DUN lain lebih sejuta," katanya.

PRK Pelangai diadakan susulan penyandangnya Johari, 53, terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya itu berlangsung pada 7 Oktober ini dengan hari penamaan calon pada 23 September manakala hari pengundian awal 3 Oktober.

Terdahulu, sambutan Hari Malaysia Peringkat Pahang diadakan meriah dengan pelbagai acara seperti persembahan tarian oleh murid sekolah dan nyanyian artis tempatan Santesh, selain pameran daripada agensi kerajaan. #sumber

Share:

Haslihelmy Nekad Bertanding Bebas Di Pilihan Raya Kecil DUN Pelangai Kali Ini

KUANTAN: Presiden Pertubuhan Anak Suara Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli nekad untuk bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Bentong pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 7 Oktober depan.

Beliau memaklumkan sudah melengkapkan borang pencalonan pada 16 September lalu dan hanya menunggu masa untuk penamaan calon pada Sabtu ini.

Menurutnya, walaupun ramai yang mengatakan beliau bakal tewas, namun ia langsung tidak memberi kesan kepadanya.

"Saya yakin dengan sokongan yang sedia ada di Pelangai. Sejak mula saya menawarkan diri (bertanding) ramai pengundi di Pelangai menghubungi dan mahu membantu saya (dalam kempen).

Pada waktu yang sama, saya (turut) diajak berbincang oleh beberapa pihak (yang tidak dinamakan) yang menentang BN (Barisan Nasional) supaya hasrat ini diteruskan," katanya pada Selasa.

Haslihelmy merupakan seorang ahli perniagaan juga anak jati kelahiran Pelangai berpendapat, pengundi mahukan seorang anak tempatan mewakili suara mereka di DUN.

Mereka memberi keyakinan bahawa penglibatan dirinya dalam PRK Pelangai membuktikan ramai pemimpin muda sepatutnya diberi peluang untuk menjadi pemimpin dalam kerajaan sepertimana yang mereka telah buktikan," ujarnya. #sumber

Share:

Kekalkan Barisan Nasional Di Pelangai, Jangan Pilih Pemimpin Banyak Alasan !

BENTONG: Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Tengku Muhammad Hafiz Tengku Adnan menyeru para pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai untuk terus mengekalkan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bakal diadakan pada 7 Okt nanti.

Katanya, amat penting sokongan kepada wakil rakyat dilaksana selari dengan kerajaan negeri dan pentadbiran Persekutuan agar kesinambungan perancangan pembangunan dan kemajuan tempatan dapat dilakukan dengan lancar.

“DUN Pelangai adalah kerusi yang dimenangi oleh BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu maka sewajarnya sokongan ini dikekalkan bagi memastikan setiap perancangan yang telah dibuat oleh Allahyarham Datuk Johari dapat diteruskan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan di DUN Pelangai melihat persiapan pusat operasi Pemuda BN bersama-sama dengan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bentong, Mohd Hafifi Jamaludin, semalam.

Jelas Tengku Muhammad Hafiz, dalam menentukan wakil rakyat tempatan, perlulah memastikan bahawa pemimpin yang dipilih mampu melaksanakan tanggungjawab dan akan dapat membawa suara rakyat secara terus kepada kepimpinan tertinggi sama ada di negeri atau di Pusat.

“Ambil contoh Putrajaya yang hari ini ditadbir oleh pembangkang, banyak usaha pembangunan dan perancangan penambahbaikan yang telah dibuat sebelum ini terhenti apatah lagi Ahli Parlimen Putrajaya kali ini tidak selari dengan pentadbiran kerajaan Pusat.

“Kerana itu, ia juga seringkali dijadikan alasan oleh wakil rakyat Putrajaya apabila gagal membantu rakyat iaitu mendakwa bukan lagi menteri, bukan kerajaan dan macam-macam lagi.

“Oleh itu, untuk warga Pelangai, saya harap gunakanlah peluang ini untuk memilih wakil rakyat yang benar-benar mampu membawa suara masyarakat, selari dengan kerajaan Negeri yang ditabdir oleh BN dan selari juga dengan kerajaan Pusat di bawah Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya.

Terdahulu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Pelangai diadakan pada 7 Oktober ini dengan 23 September sebagai hari penamaan calon.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina di Shah Alam pada 17 Ogos lalu

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Johari berjaya memenangi kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat. #sumber

Share:

Sentimen 3R: Pegawai Khas MP Bentong Buat Laporan Polis Terhadap YB Jengka !

KUANTAN: Pegawai khas Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman, Ahmed Wafiuddin Shamsuri membuat laporan polis terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka Shahril Azman Abd Halim yang didakwa memainkan sentimen 3R (kaum, agama dan institusi diraja) di akaun TikTok beliau.

Laporan itu dibuat di Balai Polis Manchis di Bentong pada Ahad.

Ahmed Wafiuddin mendakwa Shahril Azman membuat kenyataan yang menyentuh hak Bumiputera selain turut menyentuh nama Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan DAP.

"Pemilik akaun ini jelas menyebarkan satu fitnah jahat dan memainkan sentimen 3R yang bahaya dan boleh mengganggu-gugat ketenteraman serta (menimbulkan) kegusaran dalam masyarakat,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Bernama.

Ahmed Wafiuddin juga mendakwa video itu turut menunjukkan Shahril Azman yang merupakan ADUN daripada Pas, sedang berkempen di Felda Sungai Kemahal yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, sebelum hari penamaan calon yang ditetapkan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan.

PRK Pelangai diadakan ekoran penyandangnya Datuk Seri Johari Harun, 53, terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya itu berlangsung pada 7 Oktober dengan hari penamaan calon pada 23 September manakala hari pengundian awal ialah 3 Oktober ini. #sumber

Share:

Fadzli: Kerajaan Pahang Setuju Kuantan Jadi Lokasi Himpunan RXZ Tahun Depan

BENTONG: Kuantan bakal menjadi lokasi Himpunan RXZ Member tahun depan selepas kerajaan negeri bersetuju menganjurkan himpunan terbabit yang menghimpunkan pemilik dan peminat motosikal itu dari seluruh negara.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri, Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat persetujuan daripada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Menurutnya, ia bukti keprihatinan dan cakna menteri besar terhadap minat anak muda khususnya peminat RXZ dari seluruh negara termasuk di Pahang.

Beliau berkata demikian selepas mendengar Taklimat Status Pencapaian Jendela di kawasan Parlimen Bentong dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Taklimat Status Capaian Infrastruktur Jalur Lebar Tetap dan Projek 'Fiber-To-The-Home' oleh Telekom Malaysia (TM) Pahang di Pusat Internet Komuniti (PEDi) Simpang Pelangai, Bentong pada Khamis.

Fadzli berkata, satu perbincangan akan diadakan dan beliau memberitahu akan berhubung rapat dengan kelab-kelab permotoran di dalam mahu pun di luar negeri Pahang bagi membincangkan pengisian program sepanjang himpunan itu berlangsung nanti.

"Insya-ALLAH berbagai acara menarik akan dianjurkan sepanjang himpunan ini berlangsung.

"Saya percaya jika acara ini diuruskan dengan baik, ia akan menjadi acara yang terkemuka bukan sahaja di negara ini tetapi juga mendapat sambutan dari negara-negara luar," tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan dan berterima kasih terhadap keprihatinan menteri besar dengan minat generasi muda.

Himpunan jentera Yamaha RXZ terbesar di Malaysia ini sudah memasuki edisi kelima penganjurannya selepas kali pertama diadakan bermula 2017 sehingga 2019 sebelum kembali berhimpun pada tahun lepas dan terbaharu tahun ini di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak. #sumber

Share:

Masalah Di Terengganu, Pemuda UMNO Cadang 'Himpunan RXZ' Buat Di Pahang

KUANTAN: Program Himpunan RXZ dicadangkan diadakan di Pahang jika terdapat pelbagai halangan apabila diadakan di negeri Terengganu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Mohd Kamil Ibrahim berkata, aktiviti pemotoran yang mampu menarik orang muda itu seharusnya diketengahkan dengan platform lebih baik dan ’halal’.

Jelasnya, pihak penganjur Himpunan RXZ itu boleh cuba berbincang dengan kerajaan negeri ini bagi melaksanakan program itu dengan mematuhi segala spek undang-undang.

Event ini sentiasa buat dekat Negeri Terengganu. Dalam hati saya sebenarnya ingin ada event seperti ini dekat Pahang. Banyak lokasi sesuai kat Pahang untuk penganjuran event macam ini.

”Saya juga bersedia untuk duduk semeja jika ramai yang berminat untuk menganjurkan event seperti ini di Negeri Pahang. Insya-Allah saya boleh permudahkan cara jika betul-betul mahukan ia dianjurkan di bumi Pahang.

"Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kita pun ’layan’ juga RXZ ini, confirm Tok Wan akan join juga nanti,” katanya.

Kamil berharap pihak penganjur dan pihak berkuasa serta kerjasama dengan pihak kerajaan negeri dapat memberi sedikit kelonggaran kepada mereka menyertai program motor secara tahunan ia supaya ia berjalan lancar.

Beliau berpendapat penganjur juga sudah berusaha menganjurkan dengan sehabis baik dan tanggungjawab peserta pula menjaga sikap untuk memastikan event ini disambut meriah.

Pihaknya berharap pihak berkuasa agar tidak terlalu mengambil tindakan tegas dan mendidik kepada peserta agar tidak mengulangi kesilapan mereka.

”Baru-baru lagi kita dengar ada masalah dihadapi oleh geng-geng kita yang pergi join RXZ Members di mana mereka banyak ditahan dan disaman oleh pihak berkuasa.

”Namun kita pun perlu menjaga sikap kita kerana bukan kita sahaja yang mengunakan jalan raya ini. Pihak berkuasa juga perlu menjalankan tugas untuk menjaga ketenteraman awam. Cuba elak buat perkara yang boleh menyalahi undang-undang,” katanya.

Pada 8 September, lebih 120 buah motosikal peserta himpunan Yamaha RXZ Members 5.0 ditahan atas pelbagai kesalahan yang dikesan menerusi operasi bersepadu dijalankan pada Jumaat lalu di Terengganu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, kesemua motosikal berkenaan didapati melanggar pelbagai kesalahan trafik antaranya tidak memiliki lesen memandu, mengubah suai kenderaan serta tidak memasang brek kenderaan.

Manakala Pengarah Program Himpunan RXZ 5.0, Mohamad Faizal Mat Ali belum memutuskan sama ada bakal meneruskan lagi penganjuran program itu atau sebaliknya pada tahun depan.

Ia susulan ada peserta program terbesar di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak selama dua hari yang berakhir semalam menghadapi masalah termasuk ramai ditahan pihak berkuasa atas pelbagai kesalahan motosikal masing-masing.

Susulan itu pihak penganjur membayangkan penganjuran yang bermula edisi pertama pada 2017 itu mungkin yang terakhir pada tahun ini.

Difahamkan sambutan Himpunan RXZ Member 5.0 pada kali ini begitu meriah dan luar biasa berbanding RXZ Member 1.0 hingga 4.0. di mana lebih 60,000 peserta seluruh negara hadir termasuk dari Thailand, Indonesia, Brunei dan Singapura. #sumber

Share:

Umat Islam Perlu 'Tinggalkan' Makanan Syubhah, Wajib Cari Yang Diyakini Halal

KUALA LUMPUR: Umat Islam perlu meninggalkan makanan diragui ataupun syubhah dan bertanggungjawab mencari makanan yang diyakini halal.

Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, peniaga juga perlu bertanggungjawab dan jujur dalam pengendalian makanan supaya tidak menimbulkan keraguan.

Menurutnya, walau di mana orang Islam berada, mereka mesti bertanggungjawab untuk mencari makanan yang diyakini halal dan meninggalkan sesuatu yang samar serta tidak jelas hukumnya.

"Benda syubhah boleh jatuh kepada haram, lebih baik kita tinggalkan. Orang Muslim elak makan di situ (mana-mana premis yang diragui).

"Premis orang Muslim (pelanggan) boleh tanya sendiri untuk buktikan (bahan digunakan) dan peniaga perlu bertanggungjawab serta jujur untuk menjawabnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi bagi mengulas mengenai isu premis nasi ayam claypot di Sri Petaling, di sini yang tular di media sosial, selepas status halalnya diragui kerana didakwa menggunakan rice wine atau wain beras.

Dr Abdul Rahman berkata, mengenai dakwaan terhadap penggunaan terlarang oleh premis itu, siasatan perlu dilakukan untuk pengesahan.

Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dilapor mengesahkan pihaknya tidak pernah mengeluarkan pensijilan halal ke atas premis itu dan semakan Portal Halal menunjukkan premis tiada Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM). #sumber

Share:

Pahang, Johor Diramalkan Alami Hujan Lebat Dan Ribut Petir Mulai Semalam !

KUALA LUMPUR: Hujan lebat, ribut petir dan angin kencang diramal melanda beberapa kawasan di Pahang dan Johor sehingga jam 6 petang semalam.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan di Facebook memaklumkan, di Pahang, keadaan cuaca itu diramal berlaku di Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Pekan dan Rompin.

Di Johor, cuaca sama diramal di Segamat, Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

"Amaran dikeluarkan apabila ada tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mililiter (mm) per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

"Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran," katanya. #sumber

Share:

UMNO Teliti Empat Nama Yang Akan Di Pilih Jadi Calon BN PRK DUN Pelangai !

BENTONG: UMNO sedang meneliti empat calon yang akan dipilih bagi mewakili Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, calon bagi PRK berkenaan akan diumumkan sebelum 23 September ini.

“Calon masih lagi (diteliti) daripada enam tinggal empat dan masih lagi diperhalusi dan saya akan bincang dengan Presiden parti (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) sebelum dimuktamadkan.

“Kriterianya banyak, antaranya ialah wali, boleh menang, diterima dan disukai,” katanya pada program agihan bantuan Prihatin Pahang Kluster Siswa di Dewan Felda Kemasul di sini pax Ahad.

Ditanya mengenai isu calon tempatan beliau yang juga Pengerusi BN Negeri berkata, ia perkara biasa setiap kali pilihan raya.

Katanya apa yang penting adalah calon yang akan dipilih nanti adalah calon terbaik yang dapat memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

Kerusi DUN Pelangai diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya daripada BN, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat dalam nahas pesawat di bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.

Susulan itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 September ini sebagai hari penamaan calon dan 7 Oktober depan hari pengundian untuk DUN Pelangai.

Johari yang merupakan tokoh korporat berjaya dan kali pertama bertanding mewakili BN pada PRU15 lalu menang di kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi.

Allahyarham menewaskan calon Perikatan Nasional, Kasim Samat 3,260 undi, Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (PH) 2,031 undi dan Isa Ahmad dari Parti Pejuang memperoleh 65 undi. #sumber

Share:

Perikatan Nasional (PN) Tidak Tergugat Kemasukan Calon Bebas PRK Pelangai !

 

KUANTAN: Perikatan Nasional (PN) Pahang tidak akan tergugat dengan kehadiran calon Bebas yang dikatakan akan merebut kerusi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada 7 Oktober depan.

Ketua Penerangan PAS negeri, Mohd Tarmizi Yahaya berkata, kemasukan calon Bebas disifatkan kurang memberi saingan berbanding calon yang memiliki jentera dan parti.

Menurutnya, namun sesiapa sahaja berhak untuk menyertai pilihan raya dan menjadi calon bertanding.

"Realiti dalam negara kita pada hari ini, mana-mana calon masuk atas tiket Bebas ditolak oleh rakyat.

"Rakyat masih lagi melihat kekuatan calon berdasarkan pakatan mereka. Jadi, PN buat masa ini tidak rasa tergugat dengan kemasukan calon Bebas," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Pada 29 Ogos lalu, Presiden Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli menjadi individu pertama menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon Bebas selepas mendapatkan borang pencalonan di Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pahang.

Beliau berkata, keputusan untuk bertanding di kerusi terbabit kerana mahu membawa suara anak Pahang perlu didengar dalam DUN.

Mengulas lanjut, Mohd Tarmizi menjelaskan pengalaman pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini jelas menunjukkan sebahagian besar calon bebas tidak boleh diterima rakyat.

Jelasnya, malah ia dapat diterjemahkan dalam PRK di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram yang secara terangan menolak calon bebas.

"Kalau kita lihat sebahagian besar mereka (calon bebas) kehilangan deposit dalam pilihan raya.

"Kita masih lagi yakin mood yang sama diterjemahkan juga dalam PRK di Pelangai," ujarnya.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun.

Pada 17 Ogos lalu, Johari antara 10 individu yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Johari menang kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon PN, Kasim yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi). #sumber

Share:

Lebih 600 Pegawai Dan Anggota Polis Akan Bertugas Pada PRK Dun Pelangai

 

KUANTAN: Lebih 600 pegawai dan anggota polis akan bertugas sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Pelangai di Bentong.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, semua pegawai dan anggota itu hanya membabitkan sumber kekuatan dalaman daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

Menurutnya, pihaknya bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya berkenaan bermula pada hari penamaan calon, tempoh berkempen, undi awal dan hari mengundi.

"Bagi menjamin keselamatan sepanjang PRK, polis sudah mengadakan siri latihan persediaan untuk memastikan segalanya berjalan lancar. Kita akan membuka bilik gerakan dua hari sebelum hari penaman calon.

"Berdasarkan rekod pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 (PRU-15) lalu, tiada isu ketenteraman dan kaum di Dun Pelangai.

"Oleh itu, saya memohon semua petugas menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan mengikut undang-undang serta garis panduan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan di IPK Pahang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Noor Hisam Nordin.

PRK Dun Pelangai ditetapkan 7 Oktober depan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun pada 17 Ogos lalu dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam.

SPR menetapkan 23 September adalah hari penamaan calon, tempoh kempen selama dua minggu bermula 23 September hingga 6 Oktober, undi awal (3 oktober) dan hari pengundian (7 Oktober). #sumber

Share:

DAP Akan Kerah Jentera, Pastikan Calon PH-BN 'Memenangi' PRK DUN Pelangai !

 

PUTRAJAYA: DAP akan mengerahkan seluruh jenteranya membantu kemenangan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, di Bentong, Pahang pada 7 Oktober depan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata komitmen itu bersandarkan semangat bersama, selain membalas komitmen sama ditunjukkan jentera BN yang membantu kemenangan calon PH di dua PRK di Johor, baru-baru ini.

"Kemenangan ini (PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Johor) satu suntikan keyakinan kepada Kerajaan Perpaduan dan sudah tentu kita akan bawa semangat ini ke PRK DUN Pelangai nanti.

"Kita nampak kesungguhan jentera di Johor untuk memenangkan calon PH. Ia satu formula kejayaan, sudah tentu apabila sampai ke DUN Pelangai nanti, giliran PH pula berkempen untuk calon UMNO dan BN.

"Kebetulan DUN Pelangai itu dalam Parlimen Bentong, yang diwakili DAP. Jadi sudah tentu DAP akan mengerahkan jentera kita untuk menumpukan perhatian di DUN Pelangai yang kita ada sokongan dan pengaruh besar seperti di Telemung dan beberapa kawasan kampung baharu yang lain. Itu strategi kita.

"Saya yakin DUN Pelangai juga kubu kuat UMNO selama ini. Kerusi mantan Menteri Besar dan UMNO menang selesa pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu," katanya pada sidang media selepas Persidangan Parti DAP 2023 di sini, kelmarin.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan PRK DUN Pelangai pada 7 Oktober ini dengan 23 September sebagai hari penamaan calon.

Kerusi DUN Pelangai diisytiharkan kosong apabila penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia selepas terbabit dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam, yang turut mengorbankan sembilan individu lain.

Loke yakin dengan semangat dan kerjasama semua parti dalam Kerajaan Perpaduan, kemenangan diperoleh PH-BN akan berterusan di DUN Pelangai .

"Rakyat tidak mahu melihat politik berpecah, apa yang mereka mahu ialah kestabilan politik supaya kerajaan ada fokus. Kestabilan politik sangat penting ketika ini," katanya.

Mengulas lanjut, Loke berkata, keputusan PRK DUN Simpang Jeram juga membuktikan rakyat di Johor mahukan pimpinan Menteri Besar sedia ada dikekalkan dan diteruskan.

Menyentuh pendirian MUDA terhadap Kerajaan Perpaduan sejak akhir-akhir ini, Loke mengingatkan Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa kemenangan parti itu di Parlimen Muar sebelum ini, dicapai atas sokongan daripada pengundi PH.

"Saya kena ingatkan Syed Saddiq, di Parlimen Muar, dia menang sebab mereka ada persefahaman dengan PH. Kita tak letak calon di sana. DAP sokong dan kempen kepada mereka, ia bukan kemenangan peribadi Syed Saddiq di Muar.

"Jadi, jangan lupa kemenangan dia di Muar atas persefahaman politik dengan PH. Kita beri enam kerusi kepada MUDA, tanpa ada pertandingan. Dia menang ketika itu atas blok PH walaupun dia tak bertanding atas logo PH," katanya.

"Saya rasa kita kena bagi kredit kepadanya (Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi). Dalam kajian kita, dia mempunyai tahap sokongan yang cukup tinggi daripada pengundi. Ini satu manifestasi kepada kepimpinan beliau," katanya. #sumber

Share:

Konvoi Tiga Sahabat Bertukar Menjadi Tragedi, Motosikal Di Langgar Kereta !


MARAN: Konvoi tiga sahabat yang pulang selepas makan ikan patin Temerloh bertukar tragedi apabila kesemuanya maut setelah motosikal yang ditunggangi mereka dirempuh sebuah kereta di jalan besar Felda Jengka 17 di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, kemalangan melibatkan tiga motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan kereta jenis Peugeot.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Norzamri Abd Rahman berkata, ketiga-tiga mangsa iaitu Fadhil Syah Sulaiman,19, Muhammad Firdaus Zainal Abidin, 20, masing-masing beralamat Felda Lepar Utara 1 dan Mohd Ridhwan Mahayadin, 35, beralamat Felda Jengka 17 meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 51 tahun dari arah Bandar Pusat Jengka menghala ke Temerloh, manakala ketiga-tiga penunggang motosikal dari arah Temerloh menghala ke Bandar Pusat Jengka.

"Apabila sampai di lokasi kejadian, pemandu kereta itu telah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan ketiga-tiga penunggang motosikal tersebut.

"Akibat pertembungan itu, kesemua penunggang meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Jengka untuk tujuan bedah siasat," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Norzamri berkata, pemandu kereta terbabit mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Tambah beliau, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu kereta yang gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan berlaku.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan mengesan saksi-saksi bagi membantu siasatan," katanya. #sumber

Share:

Barisan Nasional (BN) Pahang Tidak Akan Ambil Mudah Cabaran PRK DUN Pelangai

KUANTAN: Barisan Nasional (BN) Pahang tidak akan sama sekali mengambil mudah cabaran Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Bentong pada 7 Oktober depan.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebaliknya parti itu akan bekerja keras bagi memastikan kerusi DUN Pelangai yang menjadi kubu kuat BN dipertahankan.

"Kita (BN) dalam keadaan macam mana sekali pun, kita akan terus bekerja kuat dan tidak ambil mudah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar selepas majlis pelancaran Buku Budi Pujangga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist Girl School, di sini pada Isnin.

Menjawab isu calon, Wan Rosdy menjelaskan enam nama calon yang berbakat dan potensi untuk menang sedang diteliti dan dikaji oleh pucuk pimpinan parti.

Ujarnya, perbincangan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedang diusahakan bagi mendapatkan persetujuan dan watikah dikeluarkan.

"Kita akan mengumumkan calon dua atau tidak hari sebelum hari penamaan calon," katanya.

Dalam pada itu, Wan Rosdy memaklumkan kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRK DUN Pelangai sudah lama wujud termasuk ketika Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 (PRU15) DUN Tioman.

"Politik pun kena ada kerjasama baru ada senergi sebagai contoh kerjasama kerajaan perpaduan, kalau tiada kerjasama kerajaan tidak boleh ditubuhkan," ujarnya.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun.

Pada 17 Ogos lalu, Johari antara 10 individu yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam.

Pada PRU15, Johari menang kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon PN, Kasim yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi). #sumber

Share:

PRK DUN Pelangai, Barisan Nasional (BN) Pahang Senarai 'Enam Calon' Berkaliber !

 

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) Pahang telah menyenaraikan enam nama berpotensi, berkaliber dan berwibawa tersenarai untuk dipertimbangkan sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Senarai nama berkenaan telah diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk dibincang dan diputuskan.

Difahamkan antara nama yang berada dalam senarai tersebut adalah Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bentong, Datuk Jamaludin Buyong.

Jamaludin, 60, yang juga anak kelahiran Bentong merupakan bekas Pemangku Pengarah Urusan TRIpic Berhad.

Selain Jamaluddin, nama-nama lain yang dipertimbangkan adalah Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh; Naib Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Hazraf Ali Hasan dan Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Bentong, Fadliyatun Ahmad.

Dua bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bentong, Datuk Ekmal Hamid Zakaria dan Datuk Khairuddin Yaakob dikatakan turut disenaraikan.

Nama calon BN yang akan bertanding di PRK DUN Pelangai akan diumumkan dalam satu majlis pada 17 September ini.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun pada 17 Ogos lalu.

Johari adalah antara 10 individu yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam.

Pada PRU15, Johari berjaya memenangi kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat.

Beliau memperoleh 7,308 undi berbanding 3,260 undi diterima lawannya itu manakala dua lagi calon iaitu Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (2,031) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).  #sumber

Share:

Balu JJ, Anak-Anak Serta Ibu Mentuanya 'Gagal Sepakat' Harta Lebih RM2 Bilion !

KUALA LUMPUR: Balu Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis, Puan Sri Kalsom Ismail dan empat anak serta ibu mentuanya, gagal mencapai persetujuan dalam tuntutan harta sepencarian berjumlah lebih RM2 bilion.

Tuntutan harta sepencarian itu difailkan Kalsom selaku plaintif terhadap empat anaknya, Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa dan Noor Adilla serta ibu mentuanya, Aminah Abdullah yang dinamakan sebagai defendan pertama hingga kelima.

Peguam, Nur Hidayah A Bakar, yang mewakili Aminah, ketika ditemui selepas prosiding hari ini berkata, Hakim Syarie Abdul Shukor Abd Hamid memutuskan supaya kes itu diteruskan dengan perbicaraan berikutan kedua-dua belah pihak gagal mencapai persetujuan.

Hidayah berkata, keputusan berkenaan dibacakan oleh Pendaftar Mahkamah Tinggi yang kemudian menetapkan sebutan kes pada 9 Oktober ini.

Kalsom, 67, memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia dan Makkah serta beberapa syarikat pada Oktober 2018, dengan menamakan empat anak serta ibu mentuanya sebagai defendan.

Pada 4 April 2015, Jamaluddin, yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada jam 4.55 petang.

Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier, Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Azlin Alias, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang, pegawai peribadi Jamaluddin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva. #sumber

Share:

PH Menang Majoriti 3,514 Undi Di DUN Simpang Jeram, Jurutera Pilihan Rakyat

MUAR: Pakatan Harapan (PH) berjaya meneruskan tampuk pimpinan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, sekali gus melenyapkan stigma gelombang Perikatan Nasional (PN) di kawasan itu.

Calon PH, Nazri Abdul Rahman yang juga seorang jurutera menang dengan majoriti 3,514 selepas meraih 13,844 undi menewaskan pakar bedah, Dr Mohd Mazri Yahya yang meraih 10,330 undi manakala calon Bebas S.Jeganathan hanya mendapat 331 undi.

Pengumuman rasmi itu dibuat, Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Simpang Jeram, Jamil Hasni Abdullah. #sumber

Share:

PH Kekalkan Kemenangan Parlimen Pulai Dengan Majoriti Sebanyak 18,641 Undi !

JOHOR BAHRU: Calon kerajaan perpaduan, Suhaizan Kayat memang kerusi Parlimen Pulai dengan majoriti 18,641 undi.

Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor itu memperoleh 48, 283 undi bagi mengatasi pencabarnya, Zulkifli Jaafar (Perikatan Nasional) yang mendapat 29,642 undi dan Samsudin Mohamad Fauzi (Bebas) yang memperoleh 528 undi. 

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya, Miswan Yunus di di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, jam 10.09 malam.

Sebanyak 47.33 peratus daripada 165,509 pemilih berdaftar keluar mengundi hari ini.

Sementara itu Suhaizan yang ditemui melahirkan rasa syukur apabila percubaannya bertanding buat kali ketujuh membuahkan hasil bagi membolehkan Amanah mempertahankan kerusi yang disandang Allahyarham Datuk Seri Salahudin Ayub.

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu pernah bertanding di DUN Pulai Sebatang, DUN Kukup, DUN Kempas dan Parlimen Simpang Renggam. #sumber

Share:

Pahang Warta Hutan Taman Negeri Lubuk Yu, 'Kelulusan Balak' Di Situ Di Batalkan !

KUANTAN: Kerajaan Pahang bersetuju mewartakan sebahagian Hutan Simpan Berkelah, Mukim Chenor di daerah Maran seluas 14,679.28 hektar sebagai Hutan Taman Negeri Lubuk Yu

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata keputusan itu diluluskan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri yang bermesyuarat pada 6 September lalu, sekali gus menjadikan Hutan Taman Negeri Lubuk Yu itu adalah hutan taman negeri keempat di Pahang.

"Hutan Taman Negeri Lubuk Yu juga turut diwartakan sebagai hutan tadahan air sebagaimana keperluan mengikut perenggan 10(1)(e), Akta Perhutanan Negara (APN) 1984.

"Hutan ini diletakkan di bawah Perbadanan Taman Negeri Pahang dan diuruskan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), malah ia juga akan mewujudkan zon penampan taman negeri selebar 1.5 kilometer.

"Selain itu, menerusi pewartaan ini, kelulusan pembalakan di kawasan terbabit juga dibatalkan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Untuk rekod, Kerajaan Pahang menubuhkan Taman Negeri Cameron Highlands pada 2019 yang berkeluasan 2,270 hektar, diikuti Taman Negeri Rompin dengan keluasan 31,797 hektar pada 2000 dan Hutan Taman Negeri Tasik Chini pada 2022 dengan keluasan 6,502.80 hektar.

Wan Rosdy berkata, melalui penubuhan Hutan Taman Negeri Lubuk Yu yang baharu ini, Pahang kini mempunyai hutan taman negeri yang berstatus hutan simpanan kekal seluas 55,249.08 hektar.

"Jadi, saya berharap kita berupaya terus melindungi habitat flora dan fauna yang berharga di hutan taman negeri, selain menjadikannya lokasi pelancongan eko-rimba yang menarik serta unik," katanya. #sumber

Share:

PRK DUN Pelangai: 'Anak Felda' Antara Senarai Calon Barisan Nasional Pahang

 

BENTONG: Barisan Nasional (BN) Pahang telah menyenarai pendek enam nama bagi pemilihan calon untuk Piliran Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Pahang bulan hadapan.

Dua nama yang paling disebut-sebut sebagai antara pertimbangan UMNO dan Barisan Nasional ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh dan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bentong, Datuk Amizar Abu Adam.

Mengikut hirarki UMNO Bahagian, Mohamad Zaini mungkin menjadi pilihan utama pucuk pimpinan parti menggantikan Datuk Seri Johari Harun yang terkorban dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam, 17 Ogos lalu.

Bagaimanapun dalam situasi politik hari ini hampir sama dengan pasca Pilihan Raya Umum-14 – di mana UMNO berhadapan penolakan rakyat, calon popular dalam kalangan pengundi mungkin menjadi pilihan.

Dalam PRK Cameron Highland 2018, UMNO memilih Ramli Md Noor sebagai calon dan berjaya menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) yang menjadi kerajaan ketika itu. Demikian juga dalam PRK DUN Semenyih 2019 , UMNO sekali lagi meletak calon luar hirarki parti dan berjaya merampas kerusi terbabit dari PH.

Sekiranya formula pasca PRU14 diguna pakai, Amizar mungkin akan menjadi pilihan utama berbanding pemegang jawatan utama dalam UMNO Bahagian biarpun hanya memegang jawatan lantikan sebagai sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian.

Amizar pernah menjadi calon dalam PRU15 dan tewas. Namun nama beliau menjadi sebutan berikutan kejayaan  mendapat undi yang signifikan banyak di DUN Ketari yang menjadi kawasan kubu kuat DAP.

Dalam PRU14 DAP menang dengan majoriti 3,710 undi. Namun dalam PRU15, Amizar  berjaya mengurangkan majoriti DAP kepada 120 undi sahaja. Calon PH (DAP) Keong Siong mendapat 9,722, manakala Amizar (BN) mendapat 9,602.

DUN Pelangai boleh dianggap kubu kuat UMNO/BN berikutan tidak terjejas dengan gelombang hijau PN dalam PRU15 lepas. Ketika UMNO Pahang kalah di banyak tempat, calon BN di DUN Pelangai memperolehi majoriti yang besar.

Allahyarham Johari memenangi kerusi itu dalam pertembungan empat penjuru dengan majoriti 4,048 selepas memperoleh 7,308 undi. Kasim Samat dari PN memperoleh 3,260 undi, Ahmed Wafiuddin Shamsuri dari PH (2,031 undi) dan Isa Ahmad dari Pejuang (65 undi).

Berdasarkan keputusan tersebut, BN seharusnya menang selesa dengan tambahan undi dari PH.

Namun PRN enam buah negeri yang baru tamat menunjukkan pemindahan undi dari BN ke PN berlaku dalam skala besar sehingga menyebabkan banyak DUN majoriti Melayu di Pulau Pinang dan Selangor berpindah kepada PN walaupun di atas kertas gabungan BN-PH boleh menang mudah.

Sekiranya gelombang yang sama berterusan, BN memerlukan calon yang digemari ramai bagi mengelak trend tersebut merebak ke Pelangai. Justeru pemilihan seorang calon yang berpengalaman dan telah dikenali ramai dalam kalangan pengundi mungkin menjadi satu kriteria utama.

Sebagai seorang usahawan dan juga penggerak badan bukan kerajaan (NGO) Kami Anak Felda, Amizar yang dibesarkan di Felda Chemomoi dalam DUN Pelangai, Amizar mungkin mempunyai kelebihan bagi berhadapan gelombang sokongan orang Melayu terhadap PN sejak PRU-15 lalu. #sumber

Share:

Sidang DUN Pahang, Dua ADUN Perikatan Nasional (PN) Kemukakan Soalan Lisan !


KUANTAN: Sebanyak dua soalan lisan dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Perikatan Nasional (PN) dalam Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 pada Selasa.

Mereka ialah ADUN Damak, Zuridan Mohd Daud dan ADUN Lepar, Mohd Yazid Ahmad.

Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berlangsung separuh hari, secara keseluruhan sebanyak 11 soalan lisan dikemukakan oleh ADUN yang dijawab oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) terbabit.

Dalam soalan lisannya, Zuridan bertanyakan jumlah usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Jerantut dan apakah langkah-langkah inisiatif yang diambil oleh kerajaan negeri untuk membantu mereka.

Exco FELDA, Koperasi dan Usahawan Pahang, Ir Razali Kassim, berkata hasil semakan pentadbiran Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri, seramai 215 usahawan IKS dari Jerantut didaftarkan di bawah sistem maklumat usahawan Pahang dan menerima pelbagai bantuan.

Selain itu, katanya pelbagai plafform disediakan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama pelbagai agensi bukan saja di Jerantut tetapi di semua daerah.

“Setakat ini sebanyak 22 juta telah dimanfaatkan oleh 2,275 usahawan mikro,” katanya.

Sementara itu, Mohd Yazid pula mendedahkan banyak gerai di bawah kendalian Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) telah uzur dan usang, serta ada yang tidak lagi tersusun dengan elok menyebabkan tarikan pelancongan dan pembeli makin kurang.

Menurutnya, penyewa pula perlu terus membayar sewa seperti biasa seperti gerai di hadapan Masjid Mahkota Aman.

Sehubungan itu, beliau ingin tahu perancangan kerajaan bagi membaik pulih dan mencantikkan semula keindahan semua gerai di bawah PBT atau di bawah kendalian kerajaan negeri di seluruh Pahang.

Menjawab perkara ini, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Dato’ Sri Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, berkata MBK sentiasa merancang dan melaksanakan tindakan untuk membaik pulih dan menaik taraf gerai yang uzur secara berperingkat.

Bagi tempoh 2019 hingga 2023, katanya MBK telah membelanjakan RM23 juta melalui peruntukan yang diterima oleh kerajaan Pusat dan negeri serta peruntukan dalaman MBK sendiri untuk tujuan berkenaan. #sumber

Share:

Ketua Polis Daerah Temerloh Di Dakwa Atas 46 Pertuduhan Rasuah RM70,600

 

KUANTAN: Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Azhar Mohd Yusof, didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas 46 tuduhan menerima suapan berjumlah RM70,600.

Dua jurubahasa mahkamah mengambil masa hampir sejam untuk membaca kesemua 46 pertuduhan.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Tertuduh, didakwa menerima suapan antara RM100 dan RM3,000 secara dalam talian antara Mac 2019 hingga September 2019.

Semua suapan didakwa diterima daripada beberapa pengusaha pusat urut bagi mengelak dikenakan tindakan.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM,  Ahmad Feisal Mohd Azmi.

Tertuduh diwakili dua peguam diketuai Datuk Bob Arumugam.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 serta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, serta melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan hingga perbicaraan kes selesai.

Tertuduh  juga dilarang menganggu saksi. Pengurusan kes ditetapkan 15 November depan. #sumber

Share:

Sebanyak Enam Calon Di Senarai Pendek Untuk Wakili BN Pada PRK DUN Pelangai


KUANTAN: Nama calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dijangka diumumkan pada 17 September ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata setakat ini, enam calon berpotensi, berkaliber dan berwibawa tersenarai untuk dipertimbangkan.

Katanya, senarai nama berkenaan akan diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk dibincang dan diputuskan.

"Insya-Allah, pada 17 September ini nama calon kerusi DUN Pelangai akan diumumkan dan setakat ini, enam calon yang berpotensi, berkaliber dan berwibawa," katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penutup Seminar Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Ulu Cheka, Jerantut dan Majlis Meraikan Pengekalan Man and Biosphere (MAB) UNESCO Tasik Chini Pahang di sini semalam.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun pada 17 Ogos lalu.

Johari adalah antara 10 individu yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam.

Pada PRU15, Johari berjaya memenangi kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat.

Beliau memperoleh 7,308 undi berbanding 3,260 undi diterima lawannya itu manakala dua lagi calon iaitu Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (2,031) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi). #sumber

Share:

Pelumba Drag Hattem Rashdi Meninggal Dunia, Nahas Di 'Litar Lumba' Pada Ahad !

KUANTAN: Pelumba drag Hattem Rashdi, 22, meninggal dunia selepas 12 jam bertarung nyawa susulan kemalangan di litar lumba ketika menyertai perlumbaan Malaysia Drag Bike National ET Record di Pekan, kelmarin.

Berita pemergian Hattem dimaklumkan oleh kakaknya di laman Instagram pelumba itu.

“Assalamualaikum, saya ingin memaklumkan Hattem Rashdi meninggal dunia pada jam 2.29 petang, hari ini (Isnin).

“Mereka yang mengenalinya boleh menghadiri pengebumiannya pada jam 9 pagi esok (Selasa). Terima kasih. Al-Fatihah,” tulis kakaknya.

Hattem yang mewakili ESR Motor dibawa ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut sebelum dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan memandangkan keadaannya makin tenat.

Pemilik ESR Motor, Adib Affandi Mohamad memaklumkan jenazah Hattem dibawa pulang ke kampung halamannya di Alor Janggus, Kedah bagi urusan pengebumian.

“Allahyarham adalah pelumba litar drag berbakat dan menjadi pelumba ESR Motor sejak dua tahun lalu.

“Difahamkan, jentera yang ditunggangi Allahyarham berhadapan masalah teknikal sebelum terbabas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu semalam. #sumber

Share:

Wan Rosdy: Usaha Pulihkan Sungai Pukin Sedang Giat Di Jalankan Agensi Terlibat !

KUANTAN: Pencemaran Sungai Pukin di Keratong, dekat Rompin yang berlaku sejak 28 Ogos lalu dipercayai berpunca daripada pelepasan efluen kilang kelapa sawit yang tidak terawat ke sungai berhampiran mendapat perhatian Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Dalam perkongsian Facebook miliknya pada Isnin, beliau memberitahu usaha memulihkan sungai tersebut sedang giat dijalankan.

"Kesan pencemaran ini mengakibatkan pelbagai spesies ikan dan hidupan air yang lain mati, selain Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Keratong terpaksa menghentikan operasi sekali gus memberi kesan kepada 11,500 akaun pengguna," kata beliau dalam hantaran tersebut.

Ujar Wan Rosdy, tindakan segera telah diambil oleh pelbagai agensi berkaitan bagi mengatasi masalah berkenaan.

"Antara agensi terlibat ialah Majlis Daerah Rompin, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Bahagian Kawal Selia Air (BKSA), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Jabatan Kimia Malaysia.

"Malah, Jabatan Alam Sekitar telah pun mengambil tindakan penguatkuasaan di bawah Seksyen 16, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya dengan mengarahkan kilang terlibat menghentikan operasi dan memberikan tumpuan kepada kerja-kerja pembersihan.

"Di samping itu, operasi di semua kilang berhampiran Sungai Pukin, Sungai Keratong dan lain-lain anak sungai berhampiran juga telah diarah menghentikan operasi sehingga kerajaan negeri berpuas hati terhadap status pembersihan," tambah Wan Rosdy.

Jelas beliau lagi, Paip juga mengatur gerak lori-lori tangki bagi menghantar bekalan air ke kawasan penduduk terjejas setiap hari sehingga pencemaran Sungai Pukin kembali pulih dan LRA Sungai Keratong dapat beroperasi semula.

"Dalam pada itu, saya memberi amaran keras agar semua kilang berhampiran Sungai Pukin dan Sungai Keratong perlu lebih bertanggungjawab terhadap pengoperasian kilang mereka kerana kejadian sama pernah berlaku sebelum ini.

"Saya juga berharap agar penduduk yang terkesan di sekitar kawasan DUN (Dewan Undangan Negeri) Muadzam Shah dan DUN Bukit Ibam dapat bersabar kerana usaha-usaha memulihkan semula Sungai Pukin sedang giat dijalankan oleh pihak bertanggungjawab," ujar beliau. #sumber

Share:

PAIP: Sungai Keratong Tercemar, LRASK Terpaksa Hentikan Operasi Rawatan Air

KUANTAN: Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) memberhentikan Loji Rawatan Air Sungai Keratong (LRASK) terpaksa dihenti tugas pukul 2.30 petang Sabtu.

Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Datuk Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, perkara tersebut dilakukan ekoran sumber air mentah Sungai Keratong masih tercemar.

“Hal ini berpunca daripada sumber air mentah Sungai Keratong yang masih tercemar gagal dirawat dan pengeluaran air LRASK tidak melepasi Piawaian Kualiti Air Minum Kebangsaan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“PAIP sentiasa memantau kualiti air terawat yang diproses di LRA setiap jam bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pengguna,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Saiful Zaini, bekalan alternatif seperti lori tangki dan tangki statik akan diteruskan di kawasan-kawasan yang masih terjejas sehingga keadaan kembali terkawal dan kawasan terjejas kembali pulih bekalan air sepenuhnya.

Beliau berharap semua warga kerja PAIP, operator-operator air negeri lain dan agensi berkaitan yang terlibat dengan operasi Emergency Plan (ERP) dapat bertungkus-lumus dalam memberi bekalan air alternatif agar dapat meminimakan kesulitan yang dihadapi para pengguna yang terjejas.

“PAIP juga dengan rendah diri dan berbesar hati ingin memohon para pengguna untuk terus bersabar dan memahami kesulitan yang dihadapi.

“LRASK akan kembali operasi sekiranya keadaan air mentah dan proses air terawat adalah selamat untuk digunakan,” jelasnya.

Pengguna yang mempunyai sebarang pertanyaan berkenaan perkhidmatan air boleh menghubungi talian Pusat Khidmat Pelanggan (PULAPEL) di talian 09-573 9999. #sumber

Share:

Program Rehlah Islahiyyah Diperluaskan Di Semua Daerah Seluruh Negeri Pahang

KUANTAN: Kerajaan negeri berhasrat untuk memperluaskan program ‘kembara penyucian jiwa’ atau Rehlah Islahiyyah di setiap daerah di negeri ini sebagai agenda dakwah penyebaran dakwah.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pengisian program sedemikian akan diteruskan di Lipis dan daerah lain setelah melihat sambutannya yang baik daripada umat Islam di seluruh negara.

Menurutnya agama Islam yang merupakan syumul yang perlu dipelihara dan kerajaan negeri di bawah pimpinannnya mengalu-alukan penganjuran program dakwah dan tarbiah kepada semua golongan peringkat umur.

“Pogram ini elok dibuat selalu.Saya sangat mengalu-alukan sebegini, jadi bercadang nak buat di Lipis dan di daedah seluruh daerah di Pahang.

“Program sebegini memang elok untuk anak-anak muda, kita lihat waktu maghrib banyak anak muda di kompleks membeli-belah, yang sepatutnya mereka ada di rumah atau di masjid.

“Program sebegini patut diberi kesedaran dan apabila ia mendapat sambutan dan bermakna mendapat kesedaran. Agama Islam ini perlu dijaga,” katanya.

Beliau demikian pada Majlis Perasmian Penutupan Program Rehlah Islahiyyah Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur, di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, hari ini.


Wan Rosdy turut menzahirkan niatnya untuk menyertai program dakwah sedemikian.

“Jika diizinkan panjang umur, sihat tubuh badan sikit saya juga akan bersama sertai.

“Perjuangan yang dilakukan meluluskan peruntukan berkaitan pendidikan, agama dan dakwah merupakan kerja dakwah yang saya lakukan,” katanya.

Hadir sama ialah Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Dan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Dr Haji Zulkifle Ali Al-Hafiz.

Sementara itu katanya, Pahang sentiasa berusaha mempertingkat usaha penyebaran dan perkembangan dakwah Islam menerusi medium insititusi pendidikan berteraskan agama.

Ia terbukti dengan penubuhan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS), Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP), Maahad Tahfiz Turath, Sekolah Rendah Tahfiz dan Tadika Tahfiz negeri.

Selain itu katanya, kerajaan negeri menerusi Yayasan Pahang juga menaja pelajar ke universiti di Timur Tengah.

Malahan peruntukan turut diberikan menerusi Bantuan Prihatin Pahang (BPP) bagi pengembangan institusi masjid dan surau, pusat tahfiz, termasuk kepada mualaf, jemaah haji dan pelajar tahfiz.

“Kita beri peruntukan kepada 183 pusat tahfiz, RM2,000 setiap seorang dan meningkat kalau kedudukan kewangan bertambah.

“Sebanyak RM6.88 juta semua surau dan masjid di Pahang, duit poket kepada jemaah haji sebanyak RM500.

“Bahkan kita negeri yang pertama menubuhkan universiti Islam, Pahang berhasrat nak buat universiti hafazan di Pahang, itu merupakan usaha untuk berdakwah,” katanya. #sumber

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.